Pernah tak sahabat anda berkata,”Aku yang perempuan ni pun tak secantik orang transjantina (sila rujuk definisi nota kaki).” Golongan transjantina atau amrad ini adalah sebahagian golongan dalam masyarakat kita.
Kehadiran mereka sering menarik perhatian ramai berikutan penampilan yang jauh berani daripada wanita sejati.
Kemajuan teknologi komunikasi menambahkan lagi penyebaran aktiviti mereka di media sosial. Segalanya kini bergantung kepada diri kita sendiri samada menyukainya atau tidak.
Ada persoalan timbul, apakah hukumnya memandang golongan ini dan bagaimana ia boleh jatuh berdosa? Kita ikuti penjelasan ustaz Syed Shahridzan dari entri di facebooknya.
Lihat boleh tapi tak perlu lah lama-lama
Terdapat istilah bahasa Arab yang dikenali sebagai “Amrad” atau disebut “Syab Amrad”. Apakah maksud istilah ini?
Menurut kitab “al-Qamus al-Muhit” maksud “Amrad” ialah lelaki yang tiada misai dan janggut.
Manakala menurut perbahasan fuqaha’, “Amrad” bermakna lelaki yang tiada janggut. Amrad juga termasuk lelaki tanpa misai dan janggut yang mana wajahnya cantik seperti wanita.
IKLAN
Jadi golongan amrad dalam istilah Alam Melayu amat sesuai dikaitkan golongan transjantina.
Apakah hukum melihat wajah dan aurat golongan transjantina? Menurut Mazhab Syafi’ie seperti yang dinyatakan oleh Imam Nawawi dalam karangan beliau “Raudah al-Tolibin”
“Lelaki melihat lelaki hukumnya harus pada keseluruhan badan kecuali di antara pusat dan lutut. Tetapi haram melihat lelaki amrad dan selainnya dengan terbitnya rasa ‘teringin’”
Menurut penjelasan Imam Nawawi bahawa haram melihat golongan amrad samaada muka dan juga tubuh mereka dengan ada rasa seronok. Bahkan pengharaman ini tiada khilaf dalam kalangan ulama dari mana-mana mazhab sekali pun.
Perkara ini dinyatakan di dalam “Mausuah Fiqhiyyah Kuwaitiyyah”: “Para ulama fiqh bersepakat ke atas pengharaman melihat wajah amrad dengan rasa ‘syok’”
Dalam rujukan yang sama dijelaskan juga: Para ulama fiqh bersepakat tentang pengharaman melihat pada amrad dengan tujuan berlazatan dan menikmati keindahannya.
IKLAN
Tiada beza antara amrad yang comel atau tidak. Bahkan telah dinyatakan oleh ulama Mazhab Hanafi dan Syafi’ie bahawa melihat golongan amrad dengan rasa ‘teringin’ lebih besar dosanya daripada melihat wanita kerana ia (amrad) tidak halal sama sekali (untuk golongan lelaki berbanding perempuan)
Kesimpulannya, haram lelaki melihat wajah dan tubuh badan golongan transjantina penuh keteringinan sama ada berwajah cantik atau tidak, apatah lagi wajah dan anggota badan yang mirip dengan wanita.
Bayangkan melihat wajah golongan amrad hukumnya haram apatah lagi melihat tubuh badan atau aurat mereka yang juga mirip kepada bentuk badan wanita.
Bahkan di sisi Syafi’iyyah lebih haram dan besar dosanya melihat golongan ini berbanding wanita kerana amrad sama sekali tidak boleh dinikahi oleh golongan lelaki
Wallahu A’lam Abu Ruqayyah Ba ‘Alawi
Kashoorga: Suntingan dilakukan pada beberapa perenggan, ayat dan istilah tertentu yang terpaksa kami gantikan bagi mengelakkan pelanggaran peraturan penulisan di Facebook. Harap maklum.
Secara umumnya, zakat yang diterjemahkan dari bahasa Arab bererti pertumbuhan, berlipat ganda, atau bertambah. Perkataan ‘zakat’ juga membawa maksud kesuburan, penyucian, dan penuh keberkatan (baraqah).
Kewajipan berzakat ini terangkum dalam rukun Islam seiring dengan solat dan puasa yang wajib dilaksanakan oleh individu beragama Islam.
Namun tak dinafikan masih ramai yang memahami zakat hanya setakat zakat fitrah. Sedangkan hakikatnya terdapat lapan lagi jenis zakat yang perlu difahami dan lunaskan oleh umat Islam bila cukup syaratnya.
Secara umumnya syarat wajib mengeluarkan zakat adalah Islam, merdeka, sempurna milik, cukup nisab, cukup haul dan harta yang berkembang. Bila mana cukup syarat yang dinyatakan zakat-zakat berikut wajib dikeluarkan.
Zakat Pendapatan
Zakat pendapatan timbul daripada konsep zakat al-mal al-mustafad (zakat harta perolehan). Konsep al-mal al-mustafad bermaksud mewajibkan zakat ke atas mana-mana harta perolehan dari hasil usaha, secara ringkasnya ia diperoleh dengan sebabnya tersendiri seperti gaji, upah kerja, elaun, hadiah dan lain-lain.
Para fuqaha telah mewajibkan zakat ke atas hasil pendapatan dan gaji. Ini kerana pendapatan merupakan sebuah harta yang berkembang dan boleh membawa perolehan yang lumayan.
Para fuqaha telah mewajibkan zakat ke atas hasil pendapatan dan gaji. (Kredit Foto: freepik)
Zakat Perniagaan
Manakala zakat perniagaan ialah zakat yang wajib dikeluarkan hasil daripada harta perniagaan sama ada yang melibatkan barangan atau perkhidmatan.
Zakat perniagaan merupakan suatu tanggungjawab yang wajib ditunaikan ke atas mereka yang telah memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan. Syarat pertama, Muslim.
Manakala perniagaan yang mempunyai pemilikan bercampur antara Muslim dengan bukan Muslim, hanya bahagian pemilikan dan kepentingan orang islam sahaja yang dikenakan zakat.
Di samping itu, syarat khusus lainnya kepada kewajipan zakat perniagaan adalah sempurna milik, cukup nisab, cukup haul, niat berniaga serta barang perniagaan dan perkhidmatan yang halal.
Zakat Wang Simpanan
Wang merupakan harta cair yang boleh digunakan dalam hal pertukaran, ukuran nilai dan tabungan. Malah, wang sama ada berbentuk kertas, syiling atau sebagainya setaraf dengan emas dan perak sebagai satu bentuk kekayaan yang memberi kuasa membeli.
Wang yang disimpan di dalam akaun simpanan, akaun simpanan tetap, simpanan semasa, serta lain-lain bentuk simpanan di bank atau mana-mana institusi kewangan diwajibkan zakat sekiranya memenuhi syarat-syaratnya.
Zakat Saham
Saham adalah satu bentuk aset kewangan yang baharu yang tidak wujud pada zaman dahulu. Saham mewakili pemilikan sebahagian daripada modal syarikat yang mana turut membawa kepada keuntungan atau kerugian.
Umumnya, memiliki dan berurusniaga dengan saham adalah dibenarkan di sisi syarak, asalkan ianya terhindar dari aktiviti haram seperti riba, gharar, judi dan arak. Para ulama telah menetapkan saham itu wajib dizakatkan oleh kerana nilai dan kekayaan seseorang boleh dibentuk dengan aktiviti jual-beli atau memiliki saham.
Zakat KWSP
Wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) juga diwajibkan zakat (setelah memenuhi syarat-syaratnya) kerana konsepnya sama seperti wang simpanan, cuma perbezaannya simpanan di KWSP tidak boleh dikeluarkan sewenang-wenangnya seperti akaun simpanan biasa, justeru ia tidak memenuhi syarat “Sempurna Milik”.
Namun syarat “Sempurna Milik” akan dipenuhi sejurus apabila pencarum diberi kebenaran untuk mengeluarkannya (sama ada sudah capai umur atau pengeluaran lain yang dibenarkan dibawah Skim Pengeluaran KWSP).
Kewajipan zakat juga tertakluk kepada jenis-jenis pengeluaran yang dibuat berpandukan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan.
Zakat Emas
Islam memandang emas sebagai simbol kekayaan harta yang berharga dan mampu berkembang. Pada masa dahulu emas diguna sebagai wang dalam urusan jual beli.
Emas-emas ditempa menjadi kepingan berbentuk syiling (dinar) dan juga dibentuk menjadi barang perhiasan wanita. Oleh sebab keistimewaan yang dimilik oleh emas dan menjadi ukuran kekayaan maka Islam mewajibkan zakat ke atas emas.
Zakat yang dikenakan ke atas emas termasuklah yang berbentuk emas perhiasan dipakai (tertakluk kepada kadar uruf 800gm), emas yang disimpan dan juga emas pelaburan.
Islam memandang emas sebagai simbol kekayaan harta yang berharga dan mampu berkembang. (Kredit Foto: freepik)
Zakat Perak
Logam perak (silver) merupakan logam yang berharga dan berguna. Pada masa dahulu, perak telah digunakan sebagai alat tukaran (wang) dalam urusan jual beli.
Walaupun kegunaan perak pada zaman moden telah berubah berbanding zaman dahulu, namun fizikalnya yang masih kekal sebagai alat simpanan nilai dan simbol kekayaan seseorang.
Justeru kewajipan syariat zakat ke atas perak kekal termaktub dan seharusnya ditunaikan oleh orang Islam apabila memenuhi syarat-syaratnya. Zakat yang dikenakan ke atas perak termasuklah yang berbentuk syiling perak, jongkong perak, perkakasan dibuat daripada perak, barang perhiasan dibuat daripada perak serta barang kemas perak dan sebagainya.
Zakat Pertanian
Kewajipan menunaikan zakat pertanian telah disebutkan dalam al-Quran dan hadis.
Bila mana Allah mengarahkan manusia untuk menunjukkan rasa syukur atas nikmat yang telah diberikan, maka sudah tentulah umat Islam yang beriman menunaikannya dengan mengeluarkan zakat dari sebahagian dari hasil tanam-tanaman mereka.
Kredit Foto: freepik
Zakat Fitrah
Zakat fitrah ialah zakat yang wajib ditunaikan pada bulan Ramadan. Perintah menunaikan zakat fitrah bermula pada tahun kedua Hijrah, iaitu tahun diwajibkan puasa pada bulan Ramadan untuk mensucikan orang Islam yang berpuasa dari kata-kata dan perbuatan yang tidak berguna.
Sebenarnya, zakat fitrah berbeza dari zakat harta kerana ia merupakan kewajipan ke atas individu-individu, sedangkan zakat harta merupakan kewajipan kepada harta-harta yang dimiliki.
Oleh sebab itu, tidak disyaratkan pada zakat fitrah seperti apa yang disyaratkan pada zakat harta, seperti nisab, haul dan sebagainya.
Zakat fitrah berbeza dari zakat harta kerana ia merupakan kewajipan ke atas individu-individu. (Kredit Foto: freepik)
Kesimpulannya, amalan berzakat secara tak langsung boleh membiasakan diri pengeluarnya supaya bersifat pemurah. Amalan itu juga boleh membuang sifat kedekut dan unsur-unsur bakhil.
Amalan berzakat merupakan suatu bentuk pembersihan harta dan penyucian jiwa bagi pengeluar zakat. Ia juga dapat menambah keberkatan harta dan tidak sesekali akan menguranginya.
Hal ini sebagaimana yang ditegaskan oleh Rasulullah SAW dengan sabdanya:
مَا نَقَصَتْ صَدَقَةٌ مِنْ مَالٍ
Maksudnya: “Zakat itu tidak mengurangi harta.” [HR Muslim]
Selain mengerjakan amalan mulia seperti mengaji atau Solat Sunat sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ada juga antara kita yang terjebak dengan aplikasi Tik Tok.
Namun dalam satu posting di laman Instagram Pencetus Ummah, PU Amin beliau menasihati orang ramai agar jangan terlalu seronok dan ghairah untuk mencuba aplikasi ini sewaktu negara sedang ditimpa bencana.
Sebaliknya gunakan masa yang ada ini untuk berzikir, selawat dan membaca Al-Quran dan tidak melakukan perkara sia-sia.
Tambahnya lagi, apabila hati dan lidah sentiasa mengingati Allah, maka akan hilangkan rasa seseorang itu untuk bertik tok.
Menurut PU Amin juga tidak salah untuk seseorang itu merakam video joget tetapi janganlah dipertontonkan kepada khalayak ramai. Ujarnya lagi pada ketika ini sepatutnya lebih kepada bermuhasabah diri dan tinggalkan perkara yang sia-sia.
“Isi masa yang ada dengan zikir , ibadah , selawat dan baca Al Quran . Jangan isi masa bosan dengan perkara sia sia .
“Kalau nak rekod video joget , boleh , tapi hanya dilihat oleh mahram kita . Kita saling berpesan , kerana waktu bencana bukan waktu berseronok , waktu bencana adalah waktu untuk bermuhasabah .
“Yakinlah , bila kita tinggal perkara sia sia yang biasa kita buat Allah akan berikan kasih sayang nya pada kita . Saya berpesan pada diri saya yang serba jahil ini .
Malam Lailatul Qadar yang disebut juga malam seribu bulan sememangnya amat didambakan oleh jutaan manusia yang memahami pengertian Ramadhan. Semakin menghampiri ke penghujung, malam Lailatul Qadar ini selalu disebut sebagai 10 malam ganjil Ramadhan.
Bagaimana mahu memperolehnya bagi wanita yang datang haid? Adakah tiada peluang langsung? Mufti Perlis, Datuk Mohd Asri Zainul Abidin di fbnya ada berkongsi ilmu apakah yang boleh dibuat oleh wanita dalam haid untuk bersama-sama memperoleh Lailatulqadar.
Dr MAZA: Ramai wanita bertanya saya, apakah yang patut dibuat oleh wanita haid agar tidak terlepas kelebihan Lailatul Qadar?
Jawapan ringkas saya secara pantas ialah, wanita yang haid tidak wajar terlepas dari kelebihan Lailatul Qadar. Menghidupkan Malam al-Qadar itu adalah dengan beribadah.
Wanita haid masih boleh beribadah sekalipun tidak boleh solat. Antara yang boleh mereka lakukan ialah;
Berdoa kepada ALLAH. Doa adalah ibadah. Sabda Nabi s.a.w:
“Doa itulah ibadah. (Kemudian Nabi s.a.w membaca firman ALLAH dari Surah al-Gahfir ayat 60) -maksudnya-“Tuhan kamu berfirman: Berdoalah kepadaKU nescaya AKU memustajabkan untuk kamu” (Riwayat Abu Daud, al-Tirmizi dll. Hadis sahih)
Beristighfar. Istighafar iaitu memohon keampunan ALLAH, ia mempunyai fadilat yang sangat besar. Begitu banyak dalil mengenai fadilatnya dalam al-Quran dan al-Sunnah. Wanita haid sama seperti orang lain digalakkan berdoa dan beristighfar. Dalam hadis Nabi s.a.w menyebut:
“Tuhan kita Yang Maha Berkat dan Agung turun (dengan makna yang layak bagi keagunganNYA) setiap malam ke langit dunia, ketika hanya tinggal sepertiga malam yang akhir. Lalu berfirman: “Sesiapa yang berdoa kepadaKu, akan Aku perkenankan untuknya. Sesiapa yang meminta kepadaKu, akan aku berikanNya. Sesiapa yang memohon keampunan kepadaKu, akan Aku ampunkannya” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Membaca pelbagai zikir seperti tasbih (subhanalLah), tahmid (alhamdulillah), tahlil (la ilaha illa ALLAH), solawat dan pelbagai lagi. Haid tidak menghalang mereka menghayati zikir-zikir ini.
Membaca al-Quran. Wanita haid boleh membaca al-Quran merupakan pendapat dalam Mazhab Malik, riwayat qaul qadim Mazhab al-Syafii, salah satu qaul al-Imam Ahmad, Mazhab Zahiri, pendapat Ibn Jarir al-Tabari, pendapat ini yang ditarjih oleh al-Imam Ibn Taimiyyah, al-Imam Ibn Qayyim dan al-Imam al-Syaukani dan ramai tokoh tarjih yang lain termasuk al-Syeikh Dr Yusuf al-Qaradawi.
Lajnah Fatwa Arab Saudi juga mentarjihkan pendapat ini. Hujah dan alasan pihak yang membenarkan dilihat kukuh di segi dalil nas dan akal. Namun, majoriti ulama khususnya dari Mazhab Hanafi, Syafii dan Hanbali tidak membenarkan. Mereka juga mempunyai hujah dan alasan yang tersendiri. Kalangan mereka mengizinkan jika ada keperluan seperti untuk guru al-Quran dan pelajar yang memerlukan.
Bagi yang memilih pendapat yang membolehkan wanita haid membaca al-Quran, dia sewajarnya membaca dari ingatan atau dari HP atau apa skrin, tanpa menyentuh mashaf al-Quran. Adapun menyentuh mashaf al-Quran, kebanyakan ulama tidak membenarkan termasuk ulama yang membenarkan wanita haid membaca al-Quran juga tidak membenarkan mereka memegang mashaf.
Jadi jangan bersedih jika datang haid kerana wanita datang bulan juga boleh memperoleh keberkatan Ramadhan dan memperoleh Lailatul Qadar.
Sejak dari kecil hingga hujung nya (dengan izinNya) kita menunaikan solat. Bermakna bertahun lamanya kita sujud kepadaNya. Sujud adalah salah satu daripada rukun sah solat.