
Zikir yang membawa ke syurga diajar Rasulullah SAW
Dalam dunia yang penuh dengan ujian dan cabaran, setiap Muslim mencari jalan untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT. Ada yang melakukannya melalui solat sunat, membaca al-Quran, atau sedekah berterusan.
Namun dalam kesibukan hidup, terdapat satu amalan ringan yang diajarkan oleh Rasulullah tetapi ganjarannya sangat besar, iaitu syurga.
Zikir ini pendek, namun sarat dengan makna akidah dan ketundukan hati. Ia bukan sekadar lafaz di bibir, tetapi perlu lahir dari hati yang benar-benar reda dan cinta kepada Allah, agama Islam dan Rasulullah. Inilah asas kepada iman yang sempurna.
Zikir yang membawa ke syurga
Sabda Rasulullah ﷺ:
مَنْ قَالَ : رَضِيتُ بِاللَّهِ رَبًّا ، وَبِالْإِسْلَامِ دِينًا ، وَبِمُحَمَّدٍ رَسُولًا ، وَجَبَتْ لَهُ الْجَنَّةُ
“Barang siapa yang mengucapkan: Aku reda dengan Allah sebagai Tuhanku, Islam sebagai agamaku dan Nabi Muhammad SAW sebagai Rasulku, maka wajib ke atasnya syurga. (HR Abu Daud)
Menurut Profesor Madya Dr Ahmad Sanusi Azmi yang juga Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi, Fakulti Pengajian Quran Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) hadis ini pada hakikatnya menggambarkan kepada kita tentang kesempurnaan iman seorang Muslim.
Bila mana seorang Muslim itu meletakkan Allah sebagai kemuncak segala tujuan hidupnya maka sempurnalah keimanan buat dirinya.
Begitu juga apabila seseorang itu redha agar Islam itu menjadi panduan hidupnya dan Rasulullah itu petunjuk jalan bagi dirinya, maka dia telah meletakkan agama ini sebagai pengaruh utama yang membentuk halatuju dan kerangka hidupnya, maka dia telah mencapai kemanisan iman.
Ini bertepatan dengan hadis Rasulullah yang menyebutkan:
ثَلَاثٌ مَنْ كُنَّ فِيهِ ، وَجَدَ حَلَاوَةَ الْإِيمَانِ ؛ أَنْ يَكُونَ اللَّهُ وَرَسُولُهُ ، أَحَبَّ إِلَيْهِ مِمَّا سِوَاهُمَا ،

(Terdapat) Tiga perkara yang andai sekiranya seseorang itu memiliki tiga perkara ini, dia akan merasa kemanisan iman. Iaitu yang pertamanya dia mencintai Allah (reda kepada-Nya) dan mencintai Rasul-Nya lebih daripada segala-galanya (maka dia akan merasai kemanisan iman). (HR al-Bukhari)
Redha di sini bukan sekadar menerima sahaja, tetapi mencintai dan menjiwai setiap perintah Allah dan Rasul-Nya, lalu dia menjadikan Allah dan Rasul sebagai panduan hidupnya, maka pastilah dia akan dikurniakan syurga Allah.
Sumber: Dr Ahmad Sanusi
Baca lagi: Kedudukan Selawat Berbanding Zikir, Mana Lebih Tinggi?
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI