Nafsu itu memang ada dalam diri setiap diri manusia. Ia adalah anugerah daripada Allah SWT dalam menangani kehidupan sebagai hamba Allah sebagaimana Allah mengurniakan akal untuk manusia berfikir dan merencana kehidupan.
Nafsu ini sememangnya ada dalam kita untuk kita menjalani aktiviti seperti makan, minum dan berkahwin. Cuma, yang menjadi kebimbangan adalah tingkat kawalan kita terhadap nafsu yang wujud dalam diri kita.
Nafsu ini sering terkait dengan perbuatan jahat sedangkan kita tahu sebenarnya nafsu ini mempunyai banyak tingkat atau tahapnya. Sebagai manusia biasa kita sering leka sehingga terus melakukan kesilapan demi kesilapan. Oleh itu, amat baik kalau kita dapat memahami tingkat-tingkat nafsu agar kita sentiasa berusaha memperbaiki diri.
Firman Allah SWT yang bermaksud:-
“Bahkan sebenarnya telah diperhiaskan oleh iblis bagi orang-orang yang kafir itu akan kekufuran dan tipu daya mereka (terhadap Islam), dan mereka pula disekat oleh hawa nafsu mereka daripada menurut jalan yang benar. Dan (ingatlah) sesiapa yang disesatkan oleh Allah (dengan pilihannya yang salah) maka tidak ada sesiapapun yang dapat memberi hidayah petunjuk kepadanya.” (Ar-Ra’d 13:33)
1. Nafsu Ammarah
Nafsu yang mesti dikalahkan ialah nafsu ammarah, iaitu nafsu yang sangat jahat. Nafsu inilah yang mendorong manusia kepada kejahatan. Orang yang memiliki nafsu ini akan berasa bangga kerana dapat melakukan dosa. Bahkan berlumba-lumba dengan orang lain untuk menunjukkan siapa yang paling banyak berbuat maksiat. Allah SWT telah menyatakan tentang sifat nafsu ammarah itu kepada kita dalam firmanNya yang bermaksud:-
“Sesungguhnya hawa nafsu sangat mengajak kepada kejahatan.” (Yusuf 12:53)
Nama ini diambil daripada ayat al-Quran yang menceritakan mengenai pengakuan Zulaikha (Imratulaziz) atas kesalahan dan kesediaannya membuat pengakuan yang Yusuf bersih daripada sebarang keburukan dan kesalahan.
Ia adalah nama bagi nafsu di tahap paling rendah. Diri di tahap ini disifatkan al-Quran sebagai yang menyuruh kepada keburukan dan kejahatan. Jika melakukan kebaikan sekalipun hanya sebagai topeng untuk kejahatan.
Maksudnya diri manusia dikuasai sepenuhnya oleh unsur kejahatan sehingga manusia menjadi hamba nafsu, bahkan menjadikan nafsu sebagai Tuhan yang ditaati.
Manusia yang memiliki akhlak serendah ini baginya nilai baik dan buruk tidak bermakna dan tidak penting. Cuma yang penting baginya ialah yang dapat memenuhi kehendak nafsunya saja. Manusia yang sedemikian akan mendabik dada, kerana berbangga dengan kejahatan yang dilakukan.
Diri dalam peringkat terendah inilah yang diistilahkan oleh ahli kerohanian Islam sebagai ‘nafsu’.
2. Nafsu Lawwamah
Apabila nafsu Ammarah itu dapat dikalahkan, ia akan berubah kepada satu tahap yang bernama Lawwamah. Orang yang di peringkat ini sudah ada bunga kesedaran, keinsafan, dia sedar kejahatan itu berdosa dan kebaikan itu pahala, dia ingin berbuat baik, tetapi tidak tahan lama, waktu jatuh dalam kejahatan dia resah tidak tentu arah, walaupun dia puas dengan kejahatan tapi hati menderita dengan kejahatan. Rasa berat untuk keluar dari kejahatan. Ini peringkat orang yang baru dapat hidayah, baru insaf.
Nafsu ammarah telah dapat diatasi.
Allah SWT berfirman yang bermaksud:-
Ads
“Dan Aku bersumpah dengan “Nafsul Lawwaamah” (Bahawa kamu akan dibangkitkan sesudah mati)!” (Al-Qiaamah 75:2)
Ketika ini timbul perebutan antara nafsu dan akal. Nafsu mengajak kepada kejahatan, akal mengajak kepada kebaikan. Orang yang memiliki nafsu lawwamah belum dapat membuat keputusan untuk berbuat baik. Ia seperti daun lalang, ikut ke mana arah angin bertiup. Tidak ada kekuatan untuk meninggalkan maksiat, dia boleh melakukan kejahatan lagi sesudah ia berbuat baik. Kadang-kadang ke tempat ibadah, kadang-kadang ke tempat maksiat, hatinya selalu merintih kepada Allah bila tidak dapat melawan nafsu untuk membuat maksiat. Atau tidak dapat istiqamah dalam berbuat kebaikan.
Nafsu lawwamah inilah yang perlu dididik atau ditarbiyah. Peringkat ini perlu teruskan mujahadah, lawan nafsu. Tolak kehendak-kehendak yang jahat, yang disukai nafsu walaupun jiwa rasa menderita. Memanglah sakit, maklumlah melawan nafsu sama seperti melawan diri sendiri.
Nafsu lawwamah ini diatasi dengan menambah ilmu, khususnya ilmu fardhu ain. Dengan ilmu itu dapat menyuluh mana halal, mana yang haram, mana yang berpahala, mana yang berdosa. Mana jalan ke syurga, mana jalan ke neraka.
Bila sudah ada ilmu, sudah mula beramal sedikit-sedikit, nafsu mula terdidik, jadi baik sedikit dari sebelumnya. Nafsu yang agak baik ini dinamakan nafsu Mulhamah.
3. Nafsu Mulhamah
Dalam Al Quran, Allah ceritakan hal nafsu mulhamah dalam firmanNya yang bermaksud:-
“Maka Allah mengilhamkan kepada jiwa itu, jalan kejahatan dan ketaqwaan.” (Asy-Syams 91:8)
Di peringkat ini rupanya baru nampak jalan untuk menuju Allah. Allah tunjukkan jalan. Ini cara Allah hendak jadikan seseorang itu baik.
“Maka sesiapa yang Allah kehendaki untuk memberi hidayah petunjuk kepadanya nescaya Ia melapangkan dadanya (membuka hatinya) untuk menerima Islam.” (Al-An’aam 6:125)
Bagaimana rasa hati orang yang memiliki nafsu mulhamah ini? Iaitu apabila hendak berbuat amal kebajikan terasa berat. Dalam keadaan bermujahadah dia berbuat kebaikan-kebaikan kerana sudah mulai takut kemurkaan Allah dan Neraka. Bila berhadapan dengan kemaksiatan, hatinya masih rindu dengan maksiat, tetapi hatinya dapat melawan dengan mengenangkan nikmat di syurga. Kerana itu perlu belajar tentang syurga dan neraka, ia dapat membantu orang yang bernafsu mulhamah ini bermujahadah.
Ads
Dalam hatinya masih banyak sifat-sifat mazmumah, sifat keji. Dia sudah dapat mengenali penyakit yang ada dalam dirinya. Dia tahu dirinya ada sombong, riak, pemarah, dendam, hasad dengki. Cuma tidak mampu lawan. Belum cukup kekuatan. Dalam pada itu, dia cuba beribadah dengan sabar.
Bagaimana hendak melawan penyakit hati yang ada dalam orang yang berada di peringkat nafsu mulhamah ini? Oleh kerana ia didorong oleh nafsu dan syaitan, kenalah amalkan zikir-zikir dan wirid-wirid tertentu, sebab syaitan dan nafsu hanya takut pada tuannya saja iaitu Allah SWT. Bila kita sentiasa berwirid dan berzikir, baru dapat merasai Allah sentiasa melihat kita. Boleh juga banyakkan membaca Al Quran.
Bila penyakit-penyakit hati, segala sifat mazmumah yang terkeji itu sudah tiada lagi, barulah Allah datangkan satu rasa kemanisan dalam hatinya dalam beribadah juga berbuat baik, dan akan timbul rasa benci dengan kejahatan. Itu petanda dia telah meningkat ke taraf nafsu yang lebih baik lagi iaitu nafsu Muthmainnah, atau nafsu yang tenang.
4. Nafsu Muthmainnah
Orang yang memiliki nafsu muthmainnah, Allah ceritakan sifatnya dalam Al Quran:
“Wahai jiwa yang tenang (muthmainnah), kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang redha (kepada Allah) dan diredhai (oleh Allah), maka masuklah ke dalam golongan hamba-hamba-Ku, dan masuklah ke dalam Syurga-Ku.” [Al Fajr : 27-30]
Hamba Allah yang sebenarnya ialah mereka yang telah sampai kepada nafsu muthmainnah. Allah iktiraf mereka sebagai hambaNya. Sebelum itupun hamba juga. Cuma hamba yang menyembah Allah kerana dipaksa, bukan atas dasar keredhaan. Hamba Allah yang sebenar, mereka redha dengan Allah, dan Allah juga redha kepada mereka, kerana itulah mereka ini dijemput Allah untuk masuk ke syurga. Nafsu muthmainnah inilah nafsu ahli syurga.
Mari kita kenali, bagaimana sifat orang-orang yang mencapai nafsu muthmainnah ini? Iaitu bila dia buat amal kebajikan rasa sejuk hatinya, tenang dan puas. Selalu rasa rindu nak buat kebajikan, mereka senantiasa menunggu waktu untuk beribadah kepada Allah. Kerana itu mereka sanggup bangun awal di tengah malam, ternanti-nanti waktu Subuh. Ternanti-nanti saat pertemuan dengan Allah. Sementara menanti itu mereka isi waktu itu dengan zikir dan solat sunat dengan rela, sungguh rela, bukan terpaksa.
Hati mereka senantiasa rindu dengan Allah, bila dia baca ayat Allah yang ada kaitannya dengan neraka, dia rasa takut, cemas, hingga ada yang pengsan, kadang-kadang ada yang mati. Mereka takut dengan dosa, seolah-olah gunung akan menimpa kepalanya. Bila berkorban di jalan Allah berhabis-habisan, baru rasa puas hatinya. Senantiasa rasa cemas dengan maksiat dan cuba cegah habis-habisan.
Mereka yang mencapai muthmainnah ini, ia akan bersabar dengan ujian dari Allah kepada dirinya. Doanya mustajab, Allah cepat kabulkan, rezekinya terjamin, dijamin oleh Allah. Bila selalu diuji dia sabar, akhirnya ia sudah boleh redha dengan ujian. Hasil dari kesabaran dan keredhaan dalam hatinya, maka ia akan meningkat kepada nafsu yang kelima iaitu nafsu Rodhiah.
Ads
Kalau boleh sampai ke tahap muthmainnah inipun sudah cukup, sudah dikira dalam golongan bertaqwa. Sudah Allah sahkan sebagai hambaNya yang dijemput ke syurga, apatah lagi jika dapat mencapai tahap nafsu yang lebih baik, iaitu nafsu Rodhiah.
Setakat ilmunya bolehlah cerita, untuk mencapainya kenalah minta tolong dengan Allah saja, moga disampaikan ketahap itu. Kerana ini peringkat nafsu yang dimiliki para wali-wali Allah, orang yang sangat hampir dengan Allah.
5. Nafsu Rodhiah
Pernahkah dengar, ada orang yang kematian anak, mengucap syukur kepada Allah, berkata Alhamdulillah. Pernahkah kita dengar ada orang yang tidak terpilih ke medan perang, menangis dan bersedih?
Biasanya jika orang kematian anak, pastilah menangis. Begitu juga kalau tidak terpilih ke medan perang, patutnya gembira, kerana masih boleh tinggal bersenang lenang dengan keluarga.
Tetapi, itulah sifat orang yang telah mencapai tahap nafsu rodhiah. Mereka redha terhadap apa yang Tuhan redha, terhadap apa yang berlaku dalam hidup mereka.
Pernah terjadi dalam sejarah, seorang ibu bila orang membawa berita tentang anaknya yang gugur di medan jihad, dia rasa gembira, kerana Allah telah pilih anak-anaknya menjadi ahli syurga. Anak yang syahid itu boleh memberi syafaat kepadanya di akhirat nanti. Begitu jauh pandangan mereka tentang akhirat, kerana itu mereka boleh redha dengan ketentuan Allah SWT.
Di segi amalan, walau sekecil-kecil tentang larangan, ia akan tinggalkan sungguh-sungguh, bagi dia apa yang makruh, dia anggap macam haram, yang sunat dia anggap macam wajib. Kalau tidak buat yang sunat seolah-olah rasa berdosa.
Mereka, dalam beribadah kepada Allah, khususnya Al Quran, bukan sekadar sedap membaca, bahkan sedap beramal. Sudah terasa lazat dalam beribadah. Akhlak mereka terpuji di sisi Allah.
Mereka mampu memberi maaf ketika berkuasa. Satu peristiwa, sahabat Rasulullah yang memiliki hamba, suatu hari hambanya membawa dulang yang berisi daging kambing, tiba-tiba pisau yang terletak di atas dulang terjatuh di kepala anaknya yang sedang merangkak dan terus mati. Dalam keadaan demikian hamba tadi merasa takut, maka kata sahabat tadi, “Bertenanglah kamu, anak itu Allah punya, Allah ambil balik, maka pada hari ini aku memerdekakan kamu.”
Tiada siapa yang boleh berbuat demikian kecuali mereka yang memiliki nafsu rodhiah. Mereka akan rasa menderita bila sahabat terjerumus kepada dosa. Mereka akan doakan khusus untuk sahabatnya di malam hari agar terselamat dari maksiat.
Mereka juga banyak mendapat pertolongan dari Allah, di antaranya firasat yang Allah berikan, mereka mudah kenal dengan orang yang berbuat maksiat atau tidak. Mereka mudah untuk memimpin masyarakat, sebab dia kenal sifat-sifat hati. Orang yang dia didik nasihat-nasihatnya tepat. Mereka ini, jika dihalau dari masyarakat oleh pemerintah, tunggulah bala Allah akan turun. Banyak lahir karamah-karamah dari mereka, mulutnya masin apa yang disebut insya Allah akan terjadi.
Memang amat payah kita mencapai tahap mereka itu, tetapi kita tetap disuruh berusaha ke arah itu, kerana itulah hakikat ajaran Islam yang sebenar. Mintalah kepada Allah.
6. Nafsu Mardhiah
Jika nafsu mardhiah, sudah tentu lebih hebat lagi. Orang yang berada di peringkat nafsu ini ialah apa saja yang mereka lakukan mendapat keredhaan Allah. Allah redha dengan apa saja yang mereka buat. Mereka inilah yang disebut dalam Hadis Qudsi: “Mereka melihat dengan pandangan Allah, mendengar dengan pendengaran Allah, berkata-kata dengan kata-kata Allah.” Kata-kata mereka masin, sebab itu mereka cukup menjaga tutur kata. Kalaulah mereka mengatakan celaka, maka celakalah. Kerana kata-kata mereka, kata-kata yang diredhai Tuhan. Mereka memandang besar apa saja yang Allah lakukan.
7. Nafsu Kamilah
Akhir sekali, nafsu kamilah iaitu nafsu yang paling sempurna di sisi Allah. Amat dikasihi oleh Allah. Manusia biasa tidak mampu sampai ke maqam ini. Kamilah hanya darjat untuk para rasul dan para nabi. Manusia biasa hanya sekadar peringkat keenam saja iaitu mardhiah. Ini sudah bertaraf wali besar.
Itulah 7 peringkat nafsu manusia. Jadi orang yang hendak mendidik manusia mesti faham peringkat-peringkat nafsu ini. Kemudian perlu faham bagaimana pula hendak mendidik setiap peringkat-peringkat nafsu tersebut supaya manusia menjadi manusia yang benar-benar hamba Allah.
Seseorang muslim tidak boleh menggelar atau menuduh saudaranya sebagai munafik hanya berdasarkan zahirnya sahaja sekalipun ia kelihatan sedemikian. Hal ini kerana, Nabi SAW melarang umatnya menggelarkan seseorang itu sebagai munafik selagi mana ia mengucapkan kalimah tauhid dan beriman kepada Allah SWT.
Tapi siapakah golongan munafik dalam kalangan orang Islam? Berikut adalah penjelasan Ustaz Azhar Idrus tentang persoalan ini.
Orang munafik dalam kalangan orang Islam
Pada awal surat Al-Baqarah Allah Taala menyebutkan tiga golongan manusia iaitu :
Golongan Mukmin
Golongan Kafir
Golongan Munafik
Allah Taala menjelaskan kepada golongan Mukmin pada ayat-ayat dalam permulaan surah Al-Baqarah tentang busuknya hati orang-orang munafik dan permusuhan mereka kepada golongan Mukmin.
Berikut adalah sifat-sifat golongan munafik yang diceritakan dalam surah Al-Baqarah :
Suka berbuat kerosakkan tetapi mendakwa sebagai orang yang melakukan perkara baik.
Artinya : “Apabila dikatakan kepada mereka : “Janganlah kamu melakukan kerosakan di muka bumi.” Maka mereka berkata : “Kami hanyalah orang-orang yang melakukan kebaikan.” Ketahuilah, mereka adalah golongan yang melakukan kerosakan tetapi mereka tidak menyedarinya.” (Al-Baqarah : 11-12)
Orang-orang yang sangat bodoh tetapi mengaku pandai sebaliknya menuduh orang yang mahu menegakkan Islam sebagai bodoh.
Artinya : “Apabila dikatakan kepada mereka : “Berimanlah kamu (yakni percayalah kamu kepada janji Allah dan agama Islam) sebagaimana orang-orang lain telah beriman.” Mereka menjawab : “Adakah kami perlu percaya sebagaimana orang-orang yang bodoh itu telah percaya?” Jawab Allah : Ingatlah sesungguhnya merekalah orang-orang yang bodoh tetapi mereka tidak tahu.” (Al-Baqarah : 13)
Artinya : “Allah akan (membalas) olok-olokan mereka dan membiarkan mereka terombang-ambing dalam kesesatan mereka itu.” (Al-Baqarah : 15)
Orang yang Islam hanya pada zahirnya tetapi tidak pada hatinya.
Alamat golongan ini ialah :
– Bila berada bersama orang beriman mereka pura-pura sukakan Islam tetapi bila bersama golongan kafir mereka turut sama menentang golongan Islam.
– Bila hukum Islam hendak ditegakkan mereka akan lantang bersuara menentang.
– Mereka kasih kepada orang-orang kafir dan benci kepada orang beriman.
– Mereka melantik orang-orang kafir sebagai ketua dan pemimpin dan meninggalkan orang-orang beriman.
– Apabila orang-orang beriman mahu melaksanakan Al-Quran dan hadith di dalam negara mereka akan memberikan berbagai alasan supaya ianya tidak berlaku.
-Mereka menyebelahi orang-orang kafir berlawan dengan orang-orang beriman.
– Mereka sangat setia kepada tunjuk ajar dan perintah orang-orang kafir.
– Apabila orang-orang beriman berkata yang benar mereka akan menuduh dengan berbagai tuduhan dan memusingkan perkataan tersebut supaya nampak salah dan apabila orang-orang kafir berkata yang batil mereka akan mempertahankannya bermati-matian.
– Mereka suka mencari kesilapan orang-orang beriman.
– Mereka suka memuji orang-orang kafir.
Dan sebagainya.
Maka hukum orang Islam yang munafik seperti ini adalah kafir. Ialah kafir yang paling keji diantara berbagai jenis kafir.
Ertinya : (Yaitu) pada hari ketika kamu melihat orang mukmin laki-laki dan perempuan sedang cahaya mereka bersinar di hadapan dan di sebelah kanan mereka (dikatakan kepada mereka): “Pada hari ini ada berita gembira untukmu, (yaitu) syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai yang kamu kekal di dalamnya. Itulah keberuntungan yang sangat besar.”
Pada hari ketika orang-orang munafik laki-laki dan perempuan berkata kepada orang-orang yang beriman : “Tunggulah kami supaya kami dapat mengambil sebagian dari cahaya kamu.” Dikatakan (kepada mereka) : “Kembalilah kamu ke belakang dan carilah sendiri cahaya (untukmu).” Lalu diadakan di antara mereka dinding yang mempunyai pintu di sebelah dalamnya ada rahmat dan di sebelah luarnya ada siksa. Orang-orang munafik itu memanggil mereka (orang-orang mukmin) sambil berkata : “Bukankah kami dahulu bersama-sama dengan kamu?” Mereka menjawab : “Benar tetapi kamu telah mencelakakan diri kamu sendiri dan menunggu (kehancuran kami) dan kamu ragu-ragu serta ditipu oleh angan-angan kosong sehingga datanglah ketetapan Allah dan kamu telah ditipu terhadap Allah oleh (syaitan) yang amat dusta.” (Al-Hadid : 12-14)
Artinya : “Tidakkah mereka (orang-orang munafik) mengetahui bahwasanya barang siapa menentang Allah dan Rasul-Nya maka baginya adalah neraka jahanam. Dia kekal di dalamnya dan itu adalah kehinaan yang besar.” (At-Taubah : 63)
Artinya : “Allah mengancam orang-orang munafik yang laki-laki dan perempuan serta orang-orang kafir dengan neraka jahanam. Mereka kekal di dalamnya.” (At-Taubah : 68)
Artinya : “Sesungguhnya orang-orang munafik itu (ditempatkan) pada tingkatan yang paling bawah dari neraka. Dan kamu sekali-kali tidak akan mendapat seorang penolong pun bagi mereka.” (An-Nisa : 145)
Antara amalan sunat yang boleh dilakukan apabila tibanya Syawal adalah dengan melakukan ibadah puasa sunat 6 hari di bulan Syawal. Ianya thabit dari perbuatan Nabi SAW yang mana di dalam hadith ada menyebutkan mengenai kelebihan berpuasa 6 hari di bulan Syawal iaitu bersamaan pahalanya dengan berpuasa sepanjang tahun. Ini berdasarkan sebuah hadith riwayat Muslim daripada Abu Ayub al-Ansari RA yang mana Rasulullah SAW telah bersabda:
Maksudnya: Barangsiapa yang berpuasa di bulan Ramadhan kemudian diikuti dengan enam hari di bulan Syawal, ianya bersamaan dengan berpuasa sepanjang tahun.
Riwayat Muslim (1164)
Al-Imam al-Nawawi Rahimahullah ketika mensyarahkan hadith di atas menyebut bahawa hadith ini menjadi dalil bagi mazhab Syafi’e, Hanbali dan juga Daud (al-Zahiri) bahawa disunatkan untuk berpuasa enam pada bulan Syawal manakala fadhilat seumpama berpuasa sepanjang tahun adalah berdasarkan hadith Nabi SAW yang lain yang mana menyebutkan bahawa setiap kebaikan itu dibalas dengan 10 kali ganda (أَنَّ الْحَسَنَةَ بِعَشْرِ أَمْثَالِهَا )[1].
ADAKAH PUASA ENAM PERLU DILAKUKAN SECARA BERTURUTAN?
Setelah mengetahui akan pensyariatan puasa sunat enam Syawal beserta fadhilatnya, timbul juga persoalan mengenai adakah puasa yang enam itu perlu dilakukan secara berturutan ataupun boleh dilakukan secara berasingan.
Mengenai persoalan di atas, al-Imam al-Nawawi Rahimahullah di dalam al-Majmu’ ada menyebutkan: “…dan disunatkan untuk berpuasa secara berturutan di awal Syawal. Sekiranya dipisahkan (tidak berpuasa 6 hari secara berturutan) ataupun diakhirkan puasa tersebut di dalam bulan Syawal, maka ianya dibolehkan…”[2]
Al-Imam Ibn Qudamah di dalam kitabnya al-Mughni menyebutkan mengenai permasalahan ini seperti berikut: “…tidak ada bezanya (menjadikan puasa tersebut) dilakukan secara berturutan ataupun dipisahkan samaada di awal Syawal ataupun diakhirnya kerana hadith menyebutkannya secara mutlaq tanpa dikaitkan dengan sesuatu yang lain…”[3]
KESIMPULAN
Berdasarkan pendapat-pendapat yang terdapat di dalam isu ini, kami katakan bahawa isu ini ada fleksibilitinya yang tersendiri iaitu puasa 6 boleh dilakukan secara berturutan ataupun dipisahkan. Diawalkan ataupun dilewatkan selagi mana masih berada di dalam bulan Syawal. Ianya tidak menjadi masalah.
Di dalam kemeriahan kita menyambut Syawal, sudah pasti akan ada jemputan dari sanak saudara juga rakan taulan untuk menghadiri rumah terbuka, kenduri dan sebagainya. Maka ianya tidak menjadi masalah serta penghalang untuk menunaikan puasa 6 Syawal kerana terdapat fleksibiliti di dalam kaifiat menunaikannya. Alangkah baiknya jika kita dapat menghimpunkan dua kebaikan dalam bulan Syawal ini, satunya dengan berpuasa enam dan keduanya dengan menghubungkan silaturrahim sesama kita. Wallahu a’lam.
Menziarahi orang sakit merupakan perbuatan yang digalakkan dan ia sunat dilakukan serta mendapat ganjaran pahala bagi yang melawat. Dengan niat ziarah yang baik, ia akan secara tidak langsung memberi sokongan moral kepada pesakit untuk pulih.
Sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a, yang bermaksud:
Sesiapa yang menziarahi orang sakit, ataupun ziarah saudaranya kerana Allah SWT maka suatu (suara) akan menyerunya: “Bahawa kamu telah melakukan kebaikan, langkahmu adalah baik dan engkau telah menyediakan sebuah tempat tinggal di dalam Syurga”(Hadis riwayat at-Tirmizi (2008)
Bagaimanapun, bagi menghormati dan menggembirakan orang sakit, kita haruslah tahu adab melawat mereka agar hubungan menjadi semakin erat. Berikut adalah adab yang perlu dijaga sepanjang mnejenguk orang sakit di hospital.
1. Sedekah doa untuknya
Tatkala sakit, tiada apa yang diharapkan olehnya selain daripada doa kaum kerabat, sahabat dan kenalan. Justeru itu, doakanlah kesembuhan baginya agar ia dapat segera kembali aktif seperti sedia kala. Doa kita pasti sangat dihargai oleh orang yang sakit itu. Dari Abdul Aziz dia berkata;
“Aku dan Tsabit pernah mengunjungi Anas bin Malik, lalu Tsabit berkata; “Wahai Abu Hamzah, aku sedang menderita suatu penyakit.” Maka Anas berkata; “Mahukah kamu aku ruqyah dengan ruqyah Rasulullah SAW?” dia menjawab; “Tentu.”
Anas berkata; “Allahumma rabban naasi mudzhibil ba`sa isyfii anta syaafi laa syaafiya illa anta syifaa`an laa yughaadiru saqama (Ya Allah Rabb manusia, Zat yang menghilangkan rasa sakit, sembuhkanlah sesungguhnya Engkau Maha Penyembuh, tidak ada yang dapat menyembuhkan melainkan Engkau, iaitu kesembuhan yang tidak meninggalkan rasa sakit).”(HR Bukhari no 5301)
2. Tetap menutup aurat
Islam tidak melarang seorang yang bukan mahram menjenguk saudara atau temannya. Namun hendaknya ketika menjenguk tetap menutup aurat, baik yang menjenguk maupun yang dijenguk. Sebagaimana yang dicontohkan oleh Rasulullah, Dari Ummu Al ‘Ala` ia berkata;
Rasulullah SAW menjengukku sementara aku sedang sakit. Kemudian beliau berkata:
“Bergembiralah wahai Ummu Al ‘Ala`, kerana sesungguhnya sakit seorang mukmin kerana Allah menghilangkan dosa-dosanya sebagaimana api menghilangkan kotoran emas dan perak.”(HR Abu Daud no 2688)
3. Sokongan moral suntik semangat
Apabila menziarahi orang sakit, mereka sangat perlukan sokongan moral kita bagi menyuntik semangat untuk pulih segera. Nyatakan lah kata-kata semangat yang ikhlas dari hati. Dengan memberikan semangat maka dia akan selalu berfikiran positif dan akan berusaha serta berdoa agar dapat sembuh.
Dari Ibnu Abbas r.a. bahwa Nabi SAW pernah menjenguk seorang Arab Badwi, Ibnu Abbas melanjutkan; “Setiap kali beliau menjenguk orang sakit, maka beliau akan mengatakan kepadanya: “Tidak apa-apa, Insya Allah baik-baik saja.” Ibnu Abbas berkata; lalu aku bertanya;
“Baik?!, tidak mungkin, sebab penyakit yang di deritanya adalah demam yang sangat serius, yang apabila diderita oleh orang tua akan menyebabkannya meninggal dunia.” Maka Nabi SAW bersabda: “Kalau begitu, memang benar.”(HR Bukhari no 5224)
4. Menunjukkan keprihatinan kita
Ketika menjenguk orang sakit, tunjukkan bahawa kita benar-benar ambil berat dan prihatin pada keadaannya. Tanyakan tentang perkembangan kesihatan dan hal lainnya untuk menunjukkan simpati kepadanya. Tapi awas, ada juga yang terlanjur bertanya khabar pesakit. Walaupun ia sekadar manis mulut, namun pertanyaan itu kurang sesuai pada saat itu.
Dari Ibn Sinni Rasulullah saw. bersabda: مِنْتَمَامِالْعِيَادَةِأَنْتَضَعَيَدَكَعَلَىالْمَرِيْضِ،فَتَقُوْلُ: كَيْفَأَصْبَحْتَ؟أَوْكَيْفَأَمْسَيْتَ؟
Di antara kesempurnaan menjenguk adalah engkau meletakkkan tangannya pada bahagian tubuh orang yang sakit sambil bertanya, “Bagaimana keadaanmu pagi ini? Atau bagaimana keadaanmu petang ini?
5. Memberi apa yang diinginkan
Hal ini pernah ditunjukkan oleh Rasulullah. Pada kitab Sunan Ibn Majah menceritakan bahawa Rasulullah SAW pernah menjenguk seorang lelaki kemudian beliau bertanya, “Apakah engkau menginginkan sesuatu? Mahu kuih?” lelaki itu menjawab “Ya”. Rasul SAW pun mencarikan kuih untuknya.
6. Melarangnya berharap kematian
Orang sakit hati dan perasaannya sangat sensitif. Mudah terasa hati dan berputus asa. Malahan ada juga yang mengharapkan kematian datang menjemput. Dalam keadaan ini, kita berikanlah nasihat untuknya agar tidak menyerah dan berharap pada kematian.
Sebagaimana yang ditunjukkan Rasul ketika mengunjungi bapa saudaranya,
“Wahai bapa saudara! Janganlah engkau mengharap kematian. Sebab bila selama ini engkau berbuat baik, kemudian (umurmu) ditangguhkan, maka itu adalah kebaikan yang ditambahkan kepada kebaikanmu dulu, dan itu baik bagimu.
“Bila selama ini engkau berbuat tidak baik, kemudian (umurmu) ditangguhkan, lalu engkau diberi kesempatan untuk bertaubat dari kesalahanmu, maka itu pun baik pula bagimu. Maka janganlah engkau mengharap kematian.” (HR. Ahmad dan Hakim)
7. Memberikan nasihat
Ketika menjenguk, tentu kita akan mendengar berbagai keluh kesah dari orang sakit. Di sini, sgeeralah mainkan peranan dengan memberi nasihat padanya bahawa seluruh rasa sakit yang dia rasakan sekarang akan menjadi penebus dosa yang dia lakukan di masa lalu.
“Sesungguhnya kita milik Allah dan hanya kepada-Nya semata kita akan kembali. Ya Allah, berilah pahala dari musibah ini, dan gantikanlah bagiku dengan yang lebih baik darinya.” (HR. Muslim)
8. Membawa buah tangan
Sebaiknya janga lah datang dengan tangan kosong, sebaiknya kita bawakan juga hadiah atau buah tangan agar hatinya semakin senang. Sebagaimana sabda Rasulullah SAW dimana kita sebaiknya sering memberikan hadiah untuk mempererat persaudaraan. Dari Abu Hurairah ra, Nabi SAW bersabda, tahaadu tahaabbu,
تَهَادَوْاتَحَابُّوا “Salinglah memberi hadiah, maka kalian akan saling mencintai.” (HR. Bukhari dalam Al-Adab Al-Mufrod, no. 594.
Hadis ini dihasankan oleh Syaikh Al-Albani dalam Al-Irwa’, no. 1601. Syaikh Musthofa Al-‘Adawi dalam catatan kaki Fiqh Al-Akhlaq menyatakan bahawa sanad hadisnya hasan dengan syawahidnya)
9. Jangan duduk terlalu lama
Kebanyakan hospital telah menetapkan waktu melawat. Jika ada peluang melawat, kita jangan pula duduk bersembang terlalu lama. Dalam keadaannya yang begitu, dia perlukan banyak rehat dan suasana tenang. Kalau berlama-lama, takut pesakit juga akan menjadi jemu dan tidak selesa.
Islam memberikan kelonggaran kepada umat-Nya dalam beberapa keadaan tertentu melalui rukhsah (keringanan). Salah satunya adalah mengqasarkan solat ketika dalam perjalanan jauh.Namun, apa hukum jika...