Kala ini dunia diuji dengan pandemic COVID-19 hingga menjejaskan banyak kehidupan dan perniagaan kecil. Malah tidak kurang rumahtangga yang berantakan hingga bercerai berai kerana ada pasangan hilang punca pendapatan. Lebih menyukarkan bila mana pemotongan gaji dilakukan hingga ramai perlu melakukan dua tiga pekerjaan dalam satu masa.
Dalam satu pertanyaan kepada Mufti Wilayah Persekutuan, dilema dihadapi seorang lelaki dan juga bekas suami ialah gajinya yang tidak seberapa. Masa yang sama perlu bayar hutang dan nafkah anak-anak. Persoalannya, mana yang lebih utama, membayar hutang atau membayar nafkah? Mohon pandangan.
JAWAPAN
Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.
Dalam menjawab persoalan ini, perlu untuk kita memahami tentang kedua-dua perkara yang ditanya di atas. Sesungguhnya dalam hal ini penting untuk dicermati dan difahami oleh semua umat Islam, dek kerana kami melihat begitu ramai rakyat Malaysia terbelenggu dengan hutang. Maka, penting untuk kita tekuni bersama isu ini. Yang pertama, perlu untuk kita memahami konsep hutang di dalam Islam.
Dari segi bahasa (dayn) hutang ialah sebarang liabiliti (tanggungan) masa hadapan yang dipertanggungkan ke atas seseorang sama ada dalam bentuk wang atau sebagainya.
Dari segi istilah, ulama membahagikan hutang kepada dua jenis:
Umum: Iaitu hak/tanggungjawab yang wajib ditunaikan oleh seseorang yang menanggung beban di masa hadapan.
Khusus: Menurut jumhur ulama, iaitu sebarang kewajipan dalam bentuk kewangan ke atas seseorang yang terjadi kesan daripada pertukaran transaksi, kerosakan harta benda, kecederaan, ataupun untuk melunaskan hak-hak Allah seperti zakat.
Dalam al-Fiqh al-Manhaji menyebut: Menurut istilah para fuqaha’, hutang ialah memberi hak milik sesuatu barangan kepada orang lain dengan syarat orang tersebut memulangkan semula gantinya tanpa sebarang tambahan. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 4/121)
Sesungguhnya Islam telah menekankan tentang konsep berhutang menerusi Firman Allah SWT:
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu menjalankan sesuatu urusan dengan hutang piutang yang diberi tempoh hingga ke suatu masa yang tertentu maka hendaklah kamu menulis (hutang dan masa bayarannya) itu dan hendaklah seorang penulis di antara kamu menulisnya dengan adil (benar) dan janganlah seseorang penulis enggan menulis sebagaimana Allah telah mengajarkannya. Oleh itu, hendaklah ia menulis dan hendaklah orang yang berhutangitu merencanakan (isi surat hutang itu dengan jelas). Dan hendaklah ia bertaqwa kepada Allah Tuhannya, dan janganlah ia mengurangkan sesuatu pun dari hutang itu. Kemudian jika orang yang berhutang itu bodoh atau lemah atau ia sendiri tidak dapat hendak merencanakan (isi itu), maka hendaklah direncanakan oleh walinya dengan adil benar); dan hendaklah kamu mengadakan dua orang saksi lelaki dari kalangan kamu. Kemudian kalau tidak ada saksi dua orang lelaki, maka bolehlah, seorang lelaki dan dua orang perempuan dari orang-orang yang kamu setujui menjadi saksi, supaya jika yang seorang lupa dari saksi-saksi perempuan yang berdua itu maka dapat diingatkan oleh yang seorang lagi. Dan jangan saksi-saksi itu enggan apabila mereka dipanggil menjadi saksi.”(Surah al-Baqarah: 282)
Selain daripada mengajarkan konsep berhutang di dalam Islam, turut ditekankan sekeras-kerasnya perintah untuk melangsaikan hutang. Hal ini jelas sepertimana yang berlaku ketika zaman Rasulullah SAW, berdasarkan sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Salmah bin al-Akwa’:
Maksudnya: “Bahawa Nabi SAW dibawa kepadanya jenazah untuk baginda mengimamkan solat jenazah tersebut, maka Baginda SAW bersabda: Adakah dia ini menanggung hutang? Mereka menjawab: Tidak. Lalu baginda pun solat ke atas jenazah tersebut. Kemudian di datangkan jenazah yang lain, Baginda bersabda Adakah dia ini menanggung hutang, mereka menjawab:Ya. Nabi SAW, (menolak untuk mengimamkan jenazah tersebut) solatlah kamu ke atas sahabat kamu” Riwayat al-Bukhari (2295)
Begitulah betapa syariat yang dibawa Rasulullah SAW bukan sahaja datang untuk mengajarkan manusia beribadat dan menjaga hubungan dengan Allah, tetapi mengangkat hubungan muamalat sesama manusia sebagai suatu perkara yang tidak dipandang enteng di dalam Islam. Selain daripada kejadian Baginda menolak untuk membiarkan sahabat lain sahaja yang melakukan solat jenazah, hal hutang ini turut ditegaskan melalui sabda Baginda SAW yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA:
Maksudnya: Roh orang yang beriman itu tergantung disebabkan hutang, sehingga dibayarkan untuknya (hutang tersebut). Riwayat al-Tirmizi (1078)
Begitulah besarnya kesan orang yang tidak membayar hutang, secara tidak langsung hadith-hadith di atas meletakkan hukum membayar hutang adalah wajib.
Ads
Yang kedua, dalam masalah nafkah ini perlu difahami dengan baik. Ini kerana, nafkah adalah suatu elemen yang penting dalam perkahwinan yang dimasukkan di bawah tanggungjawab suami ke atas isteri dan tanggungannya.
Di dalam perbahasan nafkah suami terhadap isteri, para fuqaha’ membahagikan kepada tiga golongan suami, yang senang, sederhana dan susah. Sekiranya suami merupakan orang susah, maka cukup sekadar mengeluarkan nafkah yang asas. Seperti mengeluarkan secupak beras berserta dengan lauk asas yang mengikut tradisi setempat. Kemudian, menyediakan pakaian asas untuk dipakai isteri mengikut pakaian yang dipakai masyarakat setempat sama ada ketika di rumah dan ketika keluar dari rumah, cukup sekadar menutup aurat serta mengikut budaya pakaian orang Islam setempat. Kemudian, menyediakan rumah mengikut kemampuan, tanpa disyaratkan untuk memiliki rumah tersebut, sudah memadai sekiranya menyewa. Sekiranya suami yang tidak berkemampuan ini menunaikan tanggungjawab dengan memberi nafkah asas ini, maka isteri tidak berhak untuk memohon fasakh. Lihat perbahasan ini di dalam kitab al-Mu’tamad (4/283).
Sedarlah bahawa perkahwinan itu datang bersama dengan tanggungjawab seorang suami kepada isteri. Namun, yakinlah bahawa Allah SWT tidak sesekali membebankan para suami apatah lagi menzalimi. Yakinlah bahawa setiap yang Allah syariatkan itu mempunyai hikmah yang besar. Hal ini sepertimana yang dijelaskan Allah SWT di dalam al-quran:
Maksudnya:Hendaklah orang yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya; dan sesiapa yang di sempitkan rezekinya, maka hendaklah ia memberi nafkah dari apa yang diberikan Allah kepadanya (sekadar yang mampu); Allah tidak memberati seseorang melainkan (sekadar kemampuan) yang diberikan Allah kepadanya. (Orang-orang yang dalam kesempitan hendaklah ingat bahawa) Allah akan memberikan kesenangan sesudah berlakunya kesusahan. (Surah al-Talaq:7)
Ads
Kesimpulan
Berdasarkan nas dan penghujahan di atas, kami simpulkan persoalan ini bahawa hutang dan nafkah adalah dua tanggungjawab yang perlu ditunaikan. Namun begitu, sekiranya yang bertanya ini mempunyai keadaan yang sangat mendesak, maka Islam telahpun menyediakan talian hayat melalui sistem zakat yang senarai penerimanya merangkumi orang yang berhutang. Ini sepertimana yang telah kami jelaskan di dalam artikel Irsyad Al-Fatwa Ke-131: Al-Gharimin Di Dalam Asnaf Zakat[2].
Begitu juga nafkah, ia merupakan kewajipan ke atas seorang suami seperti yang kami terangkan. Maka, dalam keadaan ini, suami tetap wajib membayar nafkah sekalipun, mengikut kadar nafkah yang asas seperti di atas.
Ini kerana hutang terbahagi kepada hutang yang perlu untuk diselesaikan segera dan hutang yang boleh ditangguh pembayarannya. Maka, kami turut menasihatkan agar semua yang terlibat dalam masalah hutang mempelajari teknik menguruskan kewangan. Ini penting dalam menguruskan dan meletakkan apa yang perlu didahulukan ketika dalam keadaan berkemampuan, seperti nafkah yang asas perlu ditunaikan segera kepada isteri.
Justeru, fiqh awlawiyyat adalah amat penting difahami dan dilaksanakan dengan cara yang terbaik. Melihat kepada peri pentingnya management kewangan dan juga urusan berkaitan perbelanjaan keperluan serta melangsaikan hutang mungkin dapat dilaksanakan dengan serentak, tetapi dengan kadar yang minimum agar dapat memberi setiap hak akan hak masing-masing. Ketika itu sebuah ketenangan dan pelan pengurusan kewangan yang tepat boleh meringankan pelbagai bebanan kehidupan yang sedang dipikul oleh kita semua yang terbabit atau terperangkap dalam isu yang diutarakan di atas.
Kami akhiri dengan menitipkan sebuah doa untuk menjadi amalan dalam melaksanakan hutang dan meringankan bebanan kehidupan yang biasa berlaku kepada seseorang:
Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada Engkau dari kedukaan dan kesedihan. Aku berlindung kepada Engkau dari sifat lemah dan malas. Aku berlindung kepada Engkau dari sifat pengecut dan bakhil. Dan aku berlindung kepada Engkau dari bebanan hutang dan penindasan manusia.” Abu Umamah RA berkata: “Setelah membaca doa tersebut, Allah menghilangkan kedukaanku dan melunaskan hutangku.” Riwayat Abu Daud (4/353)
Semoga Allah memberi taufiq dan hidayah kepada semua umat Islam untuk memahami dan mengamalkan syariat-Nya. Amin.
‘Isteri wajib taat perintah suami.’ Tapi janganlah sampai jatuh talak, bila isteri minta balik raya rumah mak dia. Bab cerai ini jangan buat main, jangan terlalu ikut emosi hingga hubungan yang terbina terputus.
Soal balik raya memang sensitif, apatah lagi bila seorang suami atau isteri tidak bersikap adil dalam penggiliran balik beraya.
Mungkin orang yang tak melaluinya rasa “remeh’ tapi bila setiap tahun beraya rumah mentua, pasti lama-lama kecil hati. Macam dia seorang ada mak, bapak.
Ikuti perkongsian Ustazah Nur Aqidah Mawardi ini dan hadam baik-baik ya wahai suami.
Hukum asal… Wajib seorang isteri taat kepada perintah suami selagi tidak bercanggah dengan syarak.
Tapi Janganlah Sampai Jatuh Talak
Cuma!
Janganlah sampai nak jatuh talak jika isteri membuat permohonan dan keizinan hendak balik umah mak dia.
Wahai segelintir suami, anda berkahwin dengan anak orang. Bukan anak buluh betung. Anda sepatutnya kene mainkan peranan bercakap dengan ibu kalian tanpa membabitkan isteri.
Seperti contoh, “Mak, abang raya pertama baru balik kampung yer, sebab tahun ini abang teringin nak beraya dengan mentua abang.”
Bila bercakap macam ini, mak anda akan lebih faham sebab sebagai ibu pastinya dia hendak anak dia bahagia.
Bila Isteri Minta Balik
Wahai para ibu yang sudah punya menantu. Ketahuilah anak kita sudah berkahwin dengan anak orang lain. Jadilah ibu yang support anak meraikan pasangannya.
Andai satu hari, anak perempuan kita diperlakukan sedemikian rupa, apa perasaan kita? Jika kita perlakukan menantu ”buruk”, ingat! Kita ada anak perempuan atau adik perempuan atau saudara perempuan. Allah Maha Adil.
Begitu juga suami, jangan tanya kenapa andai satu hari anak perempuan mu menjadi hamba abdi suaminya kita kamu perlakukan isteri mu lebih teruk dari hamba abdi.
Raya Rumah Mak Dia
Jangan mudah-mudah labelkan anak kita anak derhaka, parah hidup anak itu nanti.
Bertoleransilah, berlapang dadalah dan kita bersama-sama tanamkan azam. Bila jadi menantu atau mertua atau apa sahaja peranan, kita usaha untuk jadi yang baik semampunya tapi jangan sampai makan diri.
Minta agar kita semua dipelihara oleh Allahu Ya Hafiz.
Segala yang ditinggalkan arwah wajib faraid. ‘Perabot, pinggan mangkuk perlu dibahagikan pada waris berhak.’
Namun begitu, sikap bertolak ansur dan juga keprihatinan perlulah ada ketika menentukan jenis harta yang perlu dibahagikan secara faraid agar tidak pula menzalimi orang lain terutamanya ahli keluarga yang paling dekat.
Ikuti kemusykilan kali ini yang dikongsikan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan berkaitan isu faraid:
Segala Yang Ditinggalkan Arwah
Soalan:
Assalamualaikum, saya ingin bertanya berkenaan perabot dan perkakas dalam rumah, begitu juga benda-benda kecil seperti pinggan mangkuk, adakah ia perlu difaraidkan apabila berlakunya kematian?
Wajib Faraid
Ringkasan Jawapan:
Segala sesuatu yang ditinggalkan si mati termasuklah perkakas rumah dan juga isinya merupakan harta pusaka yang perlu dibahagikan secara faraid kepada para warisnya yang berhak.
Dalam masa yang sama, sikap bertolak ansur dan juga keprihatinan perlulah ada sewaktu menentukan jenis harta yang perlu dibahagikan secara faraid agar tidak pula menzalimi orang lain ataupun merenggangkan hubungan silaturahim sesama ahli waris.
Maksudnya: “Bahagikanlah harta perwarisan kepada yang berhak dalam kalangan ahli waris. Sekiranya ada yang berbaki maka yang lelaki dalam kalangan kamulah yang lebih berhak.”
Riwayat al-Bukhari (6732), Muslim (1615)
Hadis ini jelas menerangkan kepada kita agar membahagikan harta peninggalan si mati atau harta pusaka kepada sekalian para waris yang berhak berdasarkan kepada apa yang telah ditetapkan oleh Allah SWT di dalam al-Quran dan juga berdasarkan kepada sunnah Rasulullah SAW.
Pada dasarnya, harta pusaka ialah segala apa yang ditinggalkan oleh si mati selepas kematiannya sama ada dalam bentuk harta alih seperti emas, perak, duit, perabot dan sebagainya, atau dalam bentuk harta tidak alih seperti tanah, rumah dan sebagainya.
Perlu Dibahagikan
Kesemua ini termasuklah dalam takrifan harta peninggalan. Maka, apabila meninggalnya seseorang dan meninggalkan sekian-sekian harta seperti di atas, maka hendaklah ia dibahagikan kepada para warisnya yang berhak.
Berdasarkan kepada takrifan harta pusaka, segala isi rumah hendaklah dibahagikan secara faraid kepada seluruh ahli warisnya yang berhak.
Adapun sesuatu barangan yang telah dipastikan bahawa ia milik orang lain seperti isteri atau selainnya, maka ia tidaklah menjadi harta pusaka si mati.
Bagi menentukan pembahagian terhadap harta pusaka tersebut, maka ia perlulah dinilai terlebih dahulu. Seterusnya barangan yang tiada nilai atau mempunyai nilai yang kecil, bolehlah diambil atau digunakan tanpa perlu melalui proses faraid, namun perlulah mendapat keizinan para waris yang lain.
Sehubungan dengan itu, di sinilah terletaknya unsur utama dalam hal pembahagian harta iaitu sikap bertolak ansur dan keprihatinan.
Antara nilai murni lain yang perlu diambil kira sewaktu proses pembahagian pusaka ini juga termasuklah sikap kebertanggungjawaban dan tidak mementingkan diri sendiri.
Hal ini kerana, apabila berlakunya kematian, lalu sikap-sikap tidak baik seperti tamak dan mementingkan diri sendiri ini muncul, maka ia boleh meruntuhkan dan juga merenggangkan hubungan baik sesama keluarga atas sebab perebutan harta.
Maka, dalam hal ini, para waris sebaiknya saling bertolak ansur sesama mereka bagi menentukan pembahagian pada barangan tersebut berjalan lancar.
Faraidkan Kepada Waris
Kesimpulannya, segala sesuatu yang ditinggalkan si mati termasuklah perkakas rumah dan juga isinya pada asasnya merupakan harta pusaka yang perlu dibahagikan secara faraid kepada para warisnya yang berhak.
Dalam masa yang sama, sikap bertolak ansur dan juga keprihatinan perlulah ada sewaktu menentukan jenis harta yang perlu dibahagikan secara faraid agar tidak pula menzalimi orang lain ataupun merenggangkan hubungan silaturahim sesama ahli waris.
Kashoorga : Jangan disebabkan harta pusaka, hubungan keluarga terputus.
Ramai antara kita adakalanya tidak selesa dengan rambut yang agak serabut khususnya mereka yang berambut kerinting. Dan bercadang untuk melakukan rebonding agar kelihatan terurus. Apakah hukumnya meluruskan rambut? Persoalan ini dijawap oleh Mufti Wilayah Persekutuan mengenai hukum melakukan rebonding ini.
Assalamualaikum Dato. Nak Tanya bolehkah sekiranya suami meminta isterinya untuk meluruskan rambut dengan cara rebonding supaya rambut lebih cantik dan lurus. Terima kasih.
Jawapan:-
Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.
Perhiasan dan Kecantikan
Pada asalnya, Islam tidak melarang umatnya untuk memperhiasi diri demi kecantikan. Malah Islam menyarankan umatnya supaya sentiasa dalam keadaan kemas dan kelihatan cantik dengan cara bersederhana dan sesuai dengan keadaan. Ini bertepatan dengan hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Mas’ud RA, Sabda Nabi SAW:
إِنَّ اللَّهَ جَمِيلٌ يُحِبُّ الْجَمَالَ Maksudnya: “Sesungguhnya Allah itu indah dan Dia sukakan keindahan”. Riwayat Imam Muslim (275)
Berkata Imam al-Munawi: “Dia sukakan keindahan” ertinya orang yang mempercantikkan diri daripada kalangan kamu pada keadaan dirinya…” (Lihat: Faidh al-Qodir, 2/224) Perhiasan merupakan keinginan semulajadi bagi setiap wanita. Namun islam juga menggariskan beberapa panduan supaya menjadi rujukan dalam melakukannya.
Maksudnya: “Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu Berjaya”. (Surah al-Nur, 31)
Syeikh al-Maraghi dalam mentafsirkan ayat di atas menyatakan: “Dilarang memperagakan perhiasan kepada ajnabi. Melainkan apa yang susah untuk disembunyikan dan menjadi kebiasaan untuk tidak menyembunyikannya seperti cincin”. (Lihat: Tafsir al-Maraghi 18/99)
Jelas bahawa hukum asal bagi semua yang berkaitan dengan pakaian dan perhiasan adalalah halal dan harus melainkan jika terdapat hukum asal di dalam nas-nas serta dalil yang khusus. (Lihat: al-Fiqh al-Manhaji 3/90)
Pengubahan Rambut
Ulama berbeza pendapat berkenaan hal ini. Syeikh Muhammad Zuhaili menyatakan di antaranya adalah pengharaman menghitamkan rambut dan janggut. Ini kerana terdapat unsur-unsur penipuan dan pemalsuan. Dengan warna hitam, seseorang itu akan kelihatan muda.
Begitu juga dengan pengharaman menyambung rambut palsu. Haram bagi sesiapa yang menyambung rambut menggunakan rambut manusia dan juga bulu binatang yang najis. Adapun dengan menggunakan bulu binatang yang tidak najis dibolehkan bagi perempuan yang mendapat keizinan suaminya. (Lihat: al-Fiqh al-Manhaji, 3/100) Ini berdasarkan hadis daripada Asma’ bin Abu Bakar RAnha katanya, seseorang perempuan datang menemui Rasullullah SAW dan bertanya:-
يَا رَسُولَ اللَّهِ، إِنَّ لِي ابْنَةً عُرَيِّسًا، أَصَابَتْهَا حَصْبَةٌ فَتَمَرَّقَ شَعْرُهَا، أَفَأَصِلُهُ؟ فَقَالَ: لَعَنَ اللَّهُ الْوَاصِلَةَ وَالْمُسْتَوْصِلَةَ Maksudnya: “Wahai Rasulullah! Aku mempunyai seorang anak gadis yang keguguran rambut disebabkan penyakit campak. Bolehkah aku menyambungkannya dengan rambut orang lain?” Baginda bersabda: “Allah melaknat perempuan yang memakai rambut orang lain dan perempuan yang diminta memakaikannya.” Riwayat al-Bukhari (5591) dan Muslim (2122)
Berkenaan dengan mengerintingkan rambut, para fuqaha’ berbeza pendapat berkenaan dengannya. Imam Nawawi menukilkan pendapat Imam Haramain dengan menyatakan dibolehkan mengerintingkan rambut seperti mana hukum mewarnakan rambut dengan inai bagi perempuan yang berkahwin. (Lihat: al-Majmuk syarah al-Muhazzab, 3/140)
Imam Ramli di dalam kitabnya menyatakan: “Dan diharamkan mengerintingkan rambut, menjarangkan gigi, menghitamkan rambut, memerahkan pipi, berinai dan selainnya.
Sekiranya diizinkan oleh suaminya maka diharuskan. Ini kerana bertujuan untuk perhiasan kepada yang diizinkan”. (Lihat: Nihayah al-Muhtaj ila Syarah al-Minhaj, 2/25).
Kesimpulan:-
Menjawap persoalan yang diajukan dan berdasarkan keterangan di atas, dapat disimpulkan bahawa:
Dibolehkan melurus rambut sekiranya tujuan untuk kecantikan dan menghiaskan diri sama ada untuk suami atau keselesaan diri sendiri. Selain itu, digalakkan supaya menjaga rambut serta memuliakannya. Hadis daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasullullah SAW bersabda:
مَنْ كَانَ لَهُ شَعْرٌ فَلْيُكْرِمْهُ Maksudnya: “Barangsiapa yang memiliki rambut maka hendaklah dia memuliakannya.” Hadis riwayat Imam Abu Daud (4163)
Tidak menyerupai orang kafir dan fasiq. Bukanlah bertujuan untuk menunjuk dan memperagakannya dikhalayak ramai. Ini kerana menghindari dari sikap sombong dan riak dan mengundang kemurkaan Allah SWT. Selain itu, menutup aurat merupakan kewajipan bagi setiap orang Islam.
Memastikan peralatan dan bahan yang digunakan tidak mendatangkan kemudharatan serta kerosakan pada rambut.
Oleh itu, niat dan tujuan menjadi faktor utama dalam menentukan hukum meluruskan rambut. Sekiranya tujuan adalah untuk perkara yang baik dan di syariatkan maka dibenarkan. Namun sekiranya untuk tujuan yang tidak baik seperti menipu dan melakukan maksiat serta ianya boleh memberi kemudharatan maka haram hukumnya. Semoga penjelasan ini memberikan manfaat kepada semua supaya melaksanakan kewajipan solat seperti yang disyariatkan. Amin.
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download
sekarang ya?
Kekayaan bukan sekadar harta dunia, tetapi amanah daripada Allah yang perlu diurus dengan adil, penuh kasih sayang dan berlandaskan iman. Demikian antara perkara bakal...