Perkataan ruju’ dalam Bahasa Arab bermaksud ”kembali kepada asal sesuatu, sama ada asal itu bertempat, perbuatan atau perkataan. Begitu juga dengan kesemua perbuatan atau sebahagian atau satu perbuatan sahaja.”
Di dalam undang-undang keluarga Islam maksud “Rujuk isteri yang telah ditalak,iaitu mengembalikan isteri yang ditalak kepada nikah yang asal tanpa akad yang baharu.”
Dalam perihal rujuk ini berlaku ada beberapa persoalan, antaranya seperti yang diajukan kepada Mufti Wilayah Persekutuan ini.
Soalan : Assalamu’alaikum ustaz, jika pasangan suami isteri itu bercerai talak satu, kemudian suami itu menyentuh isterinya tersebut dengan syahwat, adakah perbuatan tersebut dikira sebagai rujuk?
Jawapan : Islam amat menggalakkan supaya dikekalkan hubungan perkahwinan di antara suami isteri. Meskipun begitu, kadangkala boleh berlaku perselisihan dan salah faham sesama pasangan dalam bentuk yang sukar untuk dipertahankan ikatan perkahwinan.
Maka Islam memberikan jalan keluar untuk sekalian umatnya menerusi pensyariatan talak (cerai). Dalam masa yang sama, syariat Islam menjadikan asal bagi talak adalah merupakan talak raj’ie (yang boleh dirujuk semula) yang tidak memutuskan ikatan perkahwinan secara menyeluruh.
Kerana itulah syarak memberikan hak kepada seorang suami untuk merujuk semula dengan isterinya selama dalam tempoh iddah.Iddah bagi wanita yang diceraikan adalah selama tempoh tiga kali suci.
Ini berdasarkan firman Allah S.W.T :
وَالْمُطَلَّقَاتُ يَتَرَبَّصْنَ بِأَنفُسِهِنَّ ثَلَاثَةَ قُرُوءٍ Maksudnya: Dan wanita-wanita yang diceraikan itu maka mereka ‘mengurung’ diri mereka selama tiga kali suci. Surah Al-Baqarah (228)
Justeru, dalam tempoh tiga kali suci tersebut seorang suami itu boleh untuk merujuk semula kepada isterinya yang telah diceraikan.
Ads
Berbalik kepada persoalan yang dikemukakan, suka kami menjelaskan beberapa nas yang menunjukkan kepada pensyariatan ruju’.
Ini adalah berdasarkan firman Allah S.W.T :
وَبُعُولَتُهُنَّ أَحَقُّ بِرَدِّهِنَّ فِي ذَٰلِكَ إِنْ أَرَادُوا إِصْلَاحًا Maksudnya : Dan suami-suami mereka (orang perempuan) berhak meruju’ semula dengannya dalam tempoh masa (iddah) tersebut, sekiranya mereka (para suami) berkehendakkan kepada kebaikan. Surah Al-Baqarah (228)
Imam Al-Syafie dalam mengulas ayat di atas beliau berkata : Memperbaiki talak adalah dengan cara melakukan ruju’.Rujuk Al-Umm, Al-Syafi’e (5/260)
Manakala nas daripada sunnah adalah berdasarkan perbuatan Nabi S.A.W yang meruju’ semula kepada isterinya Ummu al-Mu’minin Hafsah. Ini seperti yang disebutkan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Umar Ibn al-Khattab R.A beliau berkata :
أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم طَلَّقَ حَفْصَةَ ثُمَّ رَاجَعَهَا Maksudnya : Sesungguhnya Rasulullah S.A.W pernah menceraikan Hafsah kemudian baginda meruju’ semula. Riwayat Abu Daud (2283)
Persoalan yang utama dalam isu ini adalah, apakah kayu ukur yang diambil kira untuk seseorang suami itu merujuk semula kepada isterinya? Maka kami menyatakan bahawa para ulama berbeza kepada beberapa pendapat yang utama dalam isu ini.
Ads
Para ulama al-Syafi’eyyah berpendapat bahawa tidak sah perbuatan ruju’ (rujuk) seorang lelaki melainkan hanya dengan perkataan. Sekiranya dengan perbuatan seperti seorang suami itu menyetubuhi isterinya dalam tempoh iddah, maka ia tidak dikira sebagai ruju’.
Maka tidak sah merujuk menerusi perbuatan yang melibatkan berpelukan, menyentuh, dan sebagainya selama mana seseorang itu mampu untuk mengucapkan lafaz rujuk. Kata Imam Al-Nawawi: Tidak sah meruju’ melainkan dengan ucapan.
Sekiranya seseorang itu menyetubuhinya maka hal tersebut tidak dianggap sebagai ruju’. Maka tidak sah (ruju’) dengan perbuatan sekiranya seseorang mampu untuk mengucapkan (lafaz ruju’). Kemudian beliau berkata lagi :
فأما إذا وطئها أو قبلها أو لمسها فلا يكون ذلك رجعة، سواء نوى به الرجعة أو لم ينو Maksudnya : Sekiranya seseorang lelaki itu menyetubuhi isterinya (dalam tempoh iddah raj’ie), menciumnya, atau menyentuhnya, maka yang demikian itu tidak berlaku padanya ruju’. Sama ada dia melakukannya dengan niat ruju’ atau pun tidak. Rujuk Al-Majmu’, Al-Nawawi (7/266).
Manakala di sisi mazhab Hanbali, ada dua pendapat dalam isu ini. Pertama, ruju’ tidak berlaku melainkan dengan ucapan sahaja.
Manakala pendapat yang kedua menyebutkan bahawa ruju’ itu terhasil dengan persetubuhan, sama ada dengan niat ruju’ atau pun tanpa niat. Rujuk Al-Mughni, Ibn Qudamah (7/523).
Imam Ibn Qudamah menambah lagi : Sekiranya seorang lelaki itu mencium isterinya (dalam tempoh iddah), menyentuhnya dengan syahwat, menyelak kemaluan lalu melihatnya, maka pendapat yang dinaskan daripada Imam Ahmad adalah kesemuanya itu tidak dianggap sebagai ruju’.
Ads
Manakala menurut Ibn Hamid : Ada dua pendapat dalam isu ini. Pertama : Ia dianggap sebagai ruju’, kerana perbuatan ini dianggap sebagai berseronok-seronok yang hanya diharuskan menerusi perkahwinan. Maka terhasil ruju’ dari perbuatan tersebut sama seperti persetubuhan.
Manakala pendapat yang kedua menyatakan bahawa ia tidak dianggap sebagai ruju’. Ini kerana ia (perbuatan-perbuatan tersebut) adalah perkara yang tidak ada kaitan dengan ijab iddah dan juga mahar. Maka tidak terhasil ruju’ dari perbuatan tersebut. Rujuk Al-Mughni, Ibn Qudamah (7/53).
Syeikh Dr. Muhammad Al-Zuhaili menyatakan: ‘’(Ruju’) adalah lafaz yang ringkas maka tidak sah ruju’ melainkan dengan perkataan. Hendaklah ia merupakan lafaz yang sarih dan ia tidak memerlukan kepada niat. Seperti ucapan ‘aku ruju’ kamu’, dan lain-lain’’.
Begitu juga beliau berkata : ‘’Dan haram istimta’ (bermesraan) dengan wanita yang ditalakkan dengan talak raj’ie menerusi persetubuhan, bersentuhan, dan melihat ke arahnya meskipun tanpa syahwat, ini kerana dia telah berpisah dengan suaminya..’’ Rujuk Al-Mu’tamad, Al-Zuhaili (4/185 – 190).
Penutup Sebagai kesimpulan, kami menyatakan bahawa kami cenderung kepada pendapat mazhab Al-Syafi’e dalam isu ini.
Dari sudut ruju’ antara pasangan yang bercerai tidak boleh berlaku dengan perbuatan semata-mata sekiranya seorang lelaki itu mampu untuk melafazkan ruju’. Bahkan ia hanya sah dengan ucapan ruju’ dari pihak suami sahaja.
Kami juga menyatakan, dalam kes-kes sebegini hendaklah pasangan tersebut mendaftarkan pengesahan lafaz cerai di Mahkamah Syariah terlebih dahulu.
Kemudian setelah mendapat perintah mahkamah, proses ruju’ boleh diteruskan selama masih dalam tempoh iddah. Proses-proses ini boleh dirujuk kepada Pejabat Agama Islam Daerah yang berdekatan atau Jabatan Agama Islam Negeri masing-masing.
Akhir kalam, kami berdoa kepada Allah S.W.T agar memberikan kefahaman yang tepat kepada kita semua dalam beragama. Amin.
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download
sekarang ya?
Mengambil peluang boleh merentas negeri selepas diumumkan oleh pihak kerajaan, banyak pasangan pengantin mahu meraikan hari bahagia dengan keluarga tercinta dan sanak saudara yang tinggal jauh.
Sehingga kini, beberapa buah negeri sudah memasuki Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN). Antaranya Putrajaya, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Melaka, Selangor dan mulai hari ini, dua lagi negeri mengekori rapat iaitu Johor dan Terengganu.
Manakala negeri-negeri yang berada di Fasa 3 ialah Perlis, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Kedah, Sabah dan Sarawak sementara Fasa 1 dan 2 tiada yang tersenarai. Dalam pada itu, pasti ramai yang tertanya-tanya, berapa ramaikah tetamu yang boleh menghadiri majlis pernikahan memandangkan sudah boleh merentas negeri.
Dalam satu kenyataan, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) masih mengekalkan SOP menghadkan enam orang tetamu termasuk bakal pengantin bagi majlis pernikahan yang sudah boleh dilakukan di masjid dan surau solat Jumaat berbanding dahulu hanya boleh diadakan di pejabat agama sahaja.
Menurut Bahagian Komunikasi Korporat JAIS, buat masa ini pengekalan SOP itu tidak berubah sekali pun negeri Selangor berada di Fasa 4 kala ini.
“Bagi pasangan yang ingin bernikah di pejabat agama islam, jumlah kehadiran dihadkan kepada tiga orang sahaja termasuk bakal pengantin dan wali.
“Sementara bagi masjid dan surau kehadiran tetamu ialah 6 orang sahaja (termasuk bakal pengantin dan wali) dan kehadiran jurugambar masih tidak dibenarkan sama sekali,” kata jurucakap JAIS ketika dihubungi.
JAIS sebelum ini melalui perkongsian dalam Facebook rasmi memaklumkan, majlis itu boleh dilangsungkan setiap hari tetapi kehadiran masih terhad kepada pasangan pengantin dan wali saja, manakala individu lain tidak dibenarkan hadir termasuk jurugambar.
“Bagi yang sudah lengkap vaksinasi berdasarkan kad atau sijil digital vaksinasi, mereka perlu memenuhi kriteria iaitu melepasi 14 hari dari tarikh suntikan kedua bagi vaksin Pfizer, AstraZeneca serta Sinovac, dan melepasi 28 hari bagi vaksin Johnson & Johnson serta CanSino.
“Bagi yang belum lengkap vaksinasi pula, ujian saringan Real-Time Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) hanya wajib ke atas pengantin serta wali.
“Ujian saringan COVID-19 itu perlu dilakukan dalam tempoh 72 jam (tiga hari) dari waktu pelaksanaan majlis, dan keputusan ujian perlu dikemukakan kepada pendaftar sebelum majlis dilaksanakan,” menurut kenyataan itu.
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download
sekarang ya?
Islam itu cukup sempurna daripada segala sisi. Sesungguhnya agama Islam itu agama yang cukup Indah.
Kesempurnaan agama Islam itu daripada sekecil-kecil perkara sehinggalah sebesar-besar perkara. Pendek kata, semuanya ada adab dan ‘peraturan’ yang tersendiri termasuklah tidur.
Maka sebab itulah ada adab serta sunnah yang boleh dipraktikkan oleh muslim ketika mana ingin tidur. Antaranya:
Maksudnya: Jika kamu mendatangi tempat pembaringanmu, maka berwuduklah seperti mana wudhu`mu untuk melakukan solat. Riwayat Al-Bukhari (247), Muslim (2710) & Abu Daud (5046)
2. Tidur pada lambung kanan (mengiring ke kanan)
Ini juga berdasarkan hadis Nabi SAW:
ثُمَّ اضْطَجِعْ عَلَى شِقِّكَ الأَيْمَنِ
Maksudnya: …kemudian berbaringlah kamu di atas lambung kamu di sebelah kanan. Riwayat Al-Bukhari (247) & Muslim (2710)
Gambar sekadar hiasan.
3. Membaca Ayat al-Kursi
Membaca ayat al-Kursi sebelum tidur dapat memelihara diri dari gangguan syaitan sehingga subuhnya. Fadhilat ini berdasarkan hadis sahih diriwayatkan oleh al-Imam al-Bukhari di dalam Sahihnya. [4] Ianya adalah sebuah hadis yang panjang dan kami sertakan sekali takhrijnya bagi rujukan para pembaca.
4. Membaca 3 Qul
Ini berdasarkan hadis Nabi SAW daripada `Aisyah R.Anha:
Maksudnya: Adalah Nabi SAW jika ingin tidur pada setiap malam akan menadah tangannya lalu dihembuskan pada keduanya dan dibacakan padanya Surah al-Ikhlas, al-Falaq dan al-Naas kemudian Baginda menyapu pada kedua tapak tangannya it uke bahagian badan (yang boleh dicapai) dimulai dengannya pada bahagian kepala. Muka dan bahagian depan badan Baginda dan Baginda melakukannya sebanyak tiga kali. Riwayat al-Bukhari (5017)
Maksudnya: Jika salah seorang dari kamu ingin mendatangi tempat tidur kamu, maka ambillah sebahagian kain lalu dikibaskannya (bagi membersihkan tempat tidur itu)… Riwayat Muslim (2714)
6. Membaca Doa
Antara doa tidur yang boleh diamalkan:
بِاسْمِكَ رَبِّ وَضَعْتُ جَنْبِي، وَبِكَ أَرْفَعُهُ، إِنْ أَمْسَكْتَ نَفْسِي فَارْحَمْهَا، وَإِنْ أَرْسَلْتَهَا فَاحْفَظْهَا بِمَا تَحْفَظُ بِهِ عِبَادَكَ الصَّالِحِينَ[5]
Maksudnya: Dengan nama-Mu Tuhan aku meletakkan lambungku Dan dengan Nama-Mu pula aku bangun daripadanya. Apabila Engkau menahan rohku (mati), maka berilah rahmat padanya. Tetapi apabila Engkau melepaskannya, maka peliharalah, sebagaimana Engkau memelihara hamba-hamba-Mu yang soleh.
اللَّهُمَّ أَسْلَمْتُ نَفْسِي إِلَيْكَ، وَوَجَّهْتُ وَجْهِي إِلَيْكَ وَفَوَّضْتُ أَمْرِي إِلَيْكَ، وَأَلْجَأْتُ ظَهْرِي إِلَيْكَ، رَغْبَةً وَرَهْبَةً إِلَيْكَ، لاَ مَلْجَأَ وَلاَ مَنْجَا مِنْكَ إِلاَّ إِلَيْكَ، آمَنْتُ بِكِتَابِكَ الَّذِي أَنْزَلْتَ، وَبِنَبِيِّكَ الَّذِي أَرْسَلْتَ[6]
Maksudnya: Ya Allah, aku menyerahkan diriku kepada-Mu, aku mengarahkan wajahku kepada-Mu, aku serahkan urusanku kepada-Mu menghadapkan wajahku kepada-Mu dan aku sandarkan belakangku kepada-Mu karena mengharap dan takut kepada-Mu, tidak ada tempat berlindung dan menyelamatkan diri dari (ancaman)-Mu kecuali kepada-Mu, aku beriman kepada kitab yang Engkau turunkan dan kepada Nabi yang Engkau utus.
اللَّهُمَّ بِاسْمِكَ أَحْيَا وَأَمُوتُ[7]
Maksudnya: Ya Allah, dengan nama-Mu aku hidup dan aku mati.
7. Buanglah sifat dengki dan maafkanlah orang lain sebelum tidur.
8. Membaca doa ketika bangun dari tidur
Ini berdasarkan hadis Nabi SAW, daripada Huzaifah RA:
كَانَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم إِذَا أَوَى إِلَى فِرَاشِهِ قَالَ ” اللَّهُمَّ بِاسْمِكَ أَحْيَا وَأَمُوتُ ”. وَإِذَا أَصْبَحَ قَالَ ” الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي أَحْيَانَا بَعْدَ مَا أَمَاتَنَا وَإِلَيْهِ النُّشُورُ
Maksudnya: Adalah Nabi SAW jika mendatangi tempat tidurnya akan berdoa: “Allahumma bismika ahya wa amut”. Apabila bangun dari tidur berdoa: “Alhamdulillahillazi Ahyana ba`da Ma amatana wa ilaihi al-Nusyuur”. Riwayat al-Bukhari (7394)
Sumber Kredit: S.S Datuk Dr. Zulkifli Bin Mohamad Al-Bakri, Mufti Wilayah Persekutuan
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download
sekarang ya?
Setiap hari beri makan 40 ekor kucing jalanan. ‘Ini caranya saya kongsi ganjaran pahala dengan penderma buah pinggang anak.’ Begitulah luahan seorang bapa yang amat menghargai penderma buah pinggang anaknya.
Disebabkan pihak hospital merahsiakan nama penderma atas permintaannya, jadi beginilah cara lelaki tua ini membalas jasa dan pengorbanan penderma itu kepada mereka sekeluarga.
“Inilah yang mampu saya lakukan untuk berkongsi ganjaran pahala dengan penderma buah pinggang yang tidak dikenali menderma buah pinggang kepada anak perempuan saya yang bongsu,” kata warga emas, Nasir Salaton, 69.
Setiap hari dia memberi makanan kepada kira-kira 40 ekor kucing jalanan sejak lima tahun yang lalu, dekat Slim River, Perak.
Menurut Nasir, dia kini hanya mempunyai dua anak iaitu anak sulung lelaki dan anak bongsu perempuan selepas anak perempuan yang kedua meninggal dunia.
Jelasnya, anak perempuannya, Nurul Faezah, 33, menderita sakit buah pinggang selama 15 tahun selepas tamat menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia ( SPM).
40 Ekor Kucing Jalanan
Katanya, pada peringkat awal dia memberi kucing makan hanya sekitar kawasan tempat tinggal iaitu di Kampung Kurnia dan perumahan sahaja.
“Pada tahun 2020, selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diumumkan oleh pihak kerajaan, saya menerima panggilan telefon daripada pihak hospital.
“Pihak hospital memaklumkan ada seorang penderma ingin menderma buah pinggang kepada anak saya dan ketika itu memang saya rasa terkejut dan amat bersyukur dengan berita terbabit,” katanya lagi.
Ini Caranya Saya Kongsi
Selepas menjalani pembedahan di hospital berkenaan, anak perempuannya kembali pulih dan kehidupan seharian anaknya kembali normal.
Ekoran pihak hospital diminta merahsiakan nama penderma buah pinggang kepada anaknya sehingga hari ini, dia tidak mengetahui siapa insan misteri yang berhati mulia membantu anak perempuannya itu.
“Saya ingin berjumpa dengan penderma sekurang-kurangnya dapat mengucapkan terima kasih kepadanya yang sanggup berkorban menderma buah pinggang namun pihak hospital tetap memegang amanah yang diberikan kepada mereka agar merahsiakan nama penderma terbabit.
“Oleh itu, bagi membalas jasa dan pengorbanan penderma terbabit, saya memberi kucing makan sambil berdoa menghadiahkan atau memanjangkan ganjaran pahala ke atas apa yang saya lakukan kepada penderma terbabit,” katanya.
Ganjaran Pahala
Tambahnya lagi, jika dahulu dia hanya memberi makanan kucing hanya sekitar kampung dan perumahan sahaja namun sejak dua tahun yang lalu beliau memberi kucing makan di sekitar pekan Slim River, Perak pula.
Katanya, beliau membelanjakan kira-kira RM50 sehari untuk membeli ikan dan ayam yang akan digaul bersama nasi setiap hari sebelum bergerak ke tempat tinggal kucing jalanan terbabit setiap pagi.
“Begitulah rutin pada waktu pagi saya setiap hari dengan menunggang motosikal untuk menjejaki tempat tinggal kucing jalanan sambil membawa makanan.
“Bunyi sahaja deruman dan hon motosikal atau suara saya, kucing jalanan akan datang menghampiri untuk menikmati makanan termasuklah anjing liar di kawasan pekan,” katanya.
Keadaan Nurul Faezah yang masih belum sembuh sepenuhnya menyebabkan dia tidak mampu bekerja dan tinggal bersama ibu bapanya di samping membantu mengurus kehidupan seharian.
Malah, masih menjalani rawatan susulan di salah sebuah hospital kerajaan secara berkala dan bergantung kepada keadaan kesihatan.
Oleh itu, Nurul Faezah yang akan memasak makanan kucing setiap hari sebelum ayahnya menunggang motosikal sambil membawa makanan kucing dari rumah kira-kira jam 7 pagi.
Nasir berkata, kucing atau anjing jalanan juga makhluk Tuhan dan perlukan makanan seperti manusia untuk terus bernafas di muka bumi walaupun hanya sementara.
Buah Pinggang Anak
Katanya, apa yang dilakukan diharapkan mampu memberi kesedaran kepada masyarakat setempat agar perihatin kepada makhluk Tuhan.
“Hati saya berasa lebih tenang dan berharap pahala yang saya niatkan semasa memberi makan kucing sampai kepada penderma buah pinggang terbabit.
“Saya sekeluarga mengucapkan terima kasih kepada penderma terbabit kerana memberi sinar baharu kepada anak perempuan saya dan jasa baiknya hanya Tuhan sahaja mampu membalasnya,” katanya.
Jadi tidak hairanlah, kelibat lelaki ini memberi kucing jalanan makan setiap hari sudah menjadi kebiasaan penduduk yang tinggal sekitar Slim River dan rata-rata mereka memuji usaha yang dilakukan oleh beliau itu.
Kashoorga : Tindakan Nasir patut dijadikan inspirasi dan contoh kerana tak semua yang ambil berat tentang kucing jalanan.
Kekayaan bukan sekadar harta dunia, tetapi amanah daripada Allah yang perlu diurus dengan adil, penuh kasih sayang dan berlandaskan iman. Demikian antara perkara bakal...