Surah Al-Ikhlas hanya mengandungi empat ayat. Ia surah ke 112 dari keseluruhan surah dalam Al-Quran.
Pernah diceritakan langit menjadi mendung selepas selepas 70,000 malaikat membaca surah Al-Ikhlas ini selepas kematian Muawiyah bin Muawiyah yang sering membaca surah ini semasa hidupanya.
Namun parawi hadis terdahulu mempunyai berbagai pendapat mengenainya. Berikut adalah kupasan dari Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan mengenai kelebihan membaca surah Al-Ikhlas. Moga kita tidak lupa membacanya setiap masa.
Riwayat ini dimasukkan oleh Imam al-Qurtubi di dalam tafsirnya bagi Surah al-Ikhlas. Berkata Anas bin Malik RA:
Maksudnya: Pernah suatu ketika kami bersama Rasulullah SAW di Tabuk. Matahari terbit dengan sinaran dan cahaya putih, tidak seperti terbit yang biasa dilihat sebelumnya. Lalu datanglah Jibril dan Rasulullah SAW bertanya kepada beliau, ‘Wahai Jibril, mengapakah aku melihat matahari terbit dengan sinaran yang tidak pernah aku lihat terbitnya sebegitu sebelum ini?’ Jibril menjawab, ‘Itu kerana Muawiyah bin Muawiyah al-Laitsi meninggal di Madinah hari ini, maka Allah membangkitkan 70 000 malaikat untuk berselawat ke atasnya.’ Dia berkata, ‘Mengapa begitu?’. Jawab Jibril, ‘Adalah (Muawiyah) banyak membaca Qul huwaLlahu Ahad (Surah al-Ikhlas) sepanjang malam dan siang, ketika berjalan, bangkit dan duduknya. Maka adakah anda ingin wahai Pesuruh Allah aku tahan bumi ini supaya anda boleh berselawat (berdoa) juga keatasnya?’ Jawab Nabi, ‘Ya.’ Lalu Baginda berselawat ke atas Muawiyah kemudia pulang.Rujuk al-Jami’ li Ahkam al-Quran (20/250) Kata al-Qurtubi: “Kisah ini disebut oleh al-Tsa’labi. Allah lebih mengetahui.”
Kata Imam Ibn al-Jauzi dalam al-`Ilal al-Mutanahiah (1/298) : “Tidak sahih.”
Kata Imam Ibn Hibban dalam al-Majruhin (2/173) : “Hadis munkar yang tidak dapat dikuatkan dengan mutaba’ah.”
Kata Imam al-Nawawi: “Ulama sepakat atas kedaifan hadis ini antaranya al-Baihaqi dengan katanya, ‘al-Ala’ mengambil hadis daripada Anas dengan hadis-hadis munkar.”
Berkata Imam al-Baihaqi: “Hadis ini juga diriwayatkan dalam riwayat lain yang juga daif.”
Kata Imam al-Bukhari: “Munkarul Hadith”. Begitu juga pendapat Abu Hatim dan Ibn `Adiy. Rujuk Khulasah al-Ahkam (2/964).
Ads
Selawat para malaikat dalam hadis ini bermaksud mendoakan keampunan dan rahmat bagi Muawiyah.
Fadilat-fadilat yang sahih berkenaan surah al-Ikhlas:
1. Allah SWT mencintai orang yang mencintai Surah al-Ikhlas
Maksudnya: “Sesungguhnya Nabi SAW mengutus seseorang kepada sekelompok pasukan, dan ketika orang itu mengimami sahaba-sahabatnya yang lainnya di dalam solat mereka dan beliau mengakhiri bacaannya dengan Kulhu allahu ahad , maka apabila mereka pulang, mereka menceritakan hal itu kepada Rasulullah SAW, lalu Baginda pun bersabda: “Tanyalah beliau, mengapa beliau berbuat demikian?” Lalu mereka bertanya kepadanya. Beliau pun menjawab: “Kerana surat ini (mengandung) sifat al-Rahman, dan aku mencintai membaca surah ini,” lalu Nabi SAW bersabda: “Beritahu beliau, sesungguhnya Allah pun mencintainya”Hadis riwayat Imam al-Bukhari (7375)
2. Al-Ikhlas bersamaan sepertiga al-Quran
Ads
Daripada Abu Sa`id al-Khudri RA:
أَنَّ رَجُلًا سَمِعَ رَجُلًا يَقْرَأُ: قُلْ هُوَ اللَّهُ أَحَدٌ يُرَدِّدُهَا، فَلَمَّا أَصْبَحَ جَاءَ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَذَكَرَ ذَلِكَ لَهُ، وَكَأَنَّ الرَّجُلَ يَتَقَالُّهَا، فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ إِنَّهَا لَتَعْدِلُ ثُلُثَ القُرْآنِ» Maksudnya: “Sesungguhnya seseorang mendengar orang lain membaca Kulhu allahu ahad dengan berulang kali, lalu dia datang bertemu Rasulullah SAW dan menceritakan hal itu kepadanya, dan seolah-olah orang itu menganggap remeh surah itu, maka bersabdalah Rasulullah SAW : “Demi Dzat yang jiwaku berada di tanganNya, sesungguhnya surat itu sebanding dengan sepertiga al Qur`an.”Hadis riwayat Imam al-Bukhari (5013)
Maksudnya: “Aku datang bersama Rasulullah SAW lalu aku dengar seorang lelaki membaca Kulhu allahu ahad Allahussamod, Lalu Rasulullah SAW bersabda: “Telah wajib.” Aku bertanya: “Apa yang telah menjadi wajib?”. Kata Baginda: “Syurga (baginya).”Hadis riwayat Imam al-Tirmidzi dalam Sunan (2897). Beliau berkata: “Hadis hasan sahih gharib.”
Ads
4. Menjadi perlindungan dengan izin Allah SWT, jika dibaca bersama Surah al-Alaq dan Surah al-Nas.
Maksudnya: Ketika mana aku memimpin kenderaan Rasulullah SAW dalam sebuah peperangan, tiba-tiba Baginda bersabda: “Wahai Uqbah, katakanlah,” Aku pun mendengarkan, kemudian beliau berkata (lagi): “Wahai Uqbah, katakanlah,” Aku pun mendengarkan. Dan Baginda mengatakannya sampai tiga kali, lalu aku bertanya: “Apa yang perlu aku katakan?” Baginda pun bersabda: “Katakan Kulhu allahu ahad”, lalu Baginda membacanya sampai selesai. Kemudian Baginda membaca Kul auzubirobbilfalaq, aku pun membacanya bersamanya hingga selesai. Kemudian Baginda membaca Kul auzubirobbinnas, aku pun membacanya bersamanya hingga selesai. Kemudian Baginda bersabda: “Tidak ada seorang pun yang berlindung (dari segala keburukan) seperti orang orang yang berlindung dengannya (tiga surat) tersebut” Hadis riwayat Imam al-Nasaie (5430)
Maksudnya: Bahawa Nabi SAW apabila menuju ke pembaringannya (untuk tidur) setiap malam, Baginda akan menghimpunkan kedua tangannya (yakni menadah tangan) dan meniupnya setelah Baginda membaca Surah al-Ikhlas, al-Falaq, dan al-Nas, kemudian menyapu kedua-dua tapak tangannya pada tempat yang mampu dicapai olehnya dari setiap tubuhnya, dimulakan dari kepala, muka, dan apa yang boleh ditemui daripada badannya, sebanyak tiga kali. Hadis riwayat Imam al-Bukhari (5017)
Daripada Buraidah bin al-Hasib RA:
أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ سَمِعَ رَجُلًا يَقُولُ: اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ أَنِّي أَشْهَدُ أَنَّكَ أَنْتَ اللَّهُ، لَا إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ، الْأَحَدُ الصَّمَدُ الَّذِي لَمْ يَلِدْ، وَلَمْ يُولَدْ، وَلَمْ يَكُنْ لَهُ كُفُوًا أَحَدٌ، فَقَالَ: لَقَدْ سَأَلْتَ اللَّهَ بِالِاسْمِ الَّذِي إِذَا سُئِلَ بِهِ أَعْطَى، وَإِذَا دُعِيَ بِهِ أَجَابَ Maksudnya: Bahawa Rasulullah SAW mendengar seorang lelaki berdoa: “Ya Allah, sesungguhnya aku meminta kepada-Mu, bahwa diriku bersaksi sesungguhnya Engkau adalah Allah yang tidak ada tuhan yang berhak disembah melainkan Engkau Yang Maha Esa, Yang bergantung kepada-Mu segala sesuatu, Yang tidak beranak dan tidak pula diperanakkan, dan tidak ada seorang pun yang setara dengan-Nya,” kemudian Rasulullah SAW bersabda: “Sungguh dirimu telah meminta kepada Allah dengan nama-Nya, yang jika Dia diminta dengannya (pasti akan) memberi, dan jika Dia diseru dengannya, (pasti akan) mengabulkannya”.Hadis riwayat Abu Daud (1493)
Sumber: Mufti Wilayah Persekutuan
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama. Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
Istimewanya baca surah Yasin waktu pagi, lepas amalkan baru nampak keajaibannya. Begitulah kelebihan surah Yasin yang ramai tidak tahu banyak manfaatnya bila di baca di awal pagi, paling penting kita cuba amalkan dan selebihnya serahkan kepada Allah SWT.
Membaca surah Yasin adalah satu ibadah dan mendapat pahala bagi sesiapa yang membacanya kerana ia merupakan satu surah daripada surah-surah di dalam al-Quran. Selain itu, hadis Nabi SAW juga menunjukkan bahawa sesiapa yang membaca al-Quran akan mendapat pahala yang besar.
Dinyatakan dalam Al-Quran, di dalam tafsir Ibnu Kasir ada ditulis berhubung satu hadis bahawa sesiapa yang membaca surah Yasin pada suatu malam, maka waktu subuh dia sudah dapat keampunan Allah SWT. Siapa yang baca surah Yasin pada siangnya pula, maka pada petangnya dia sudah dapat keampunan Allah.
“Namun ini (baca Yasin) tidak khusus pada hari Jumaat. Apa pula hukum baca Yasin pada malam Jumaat? Nabi SAW tidak mengatakan baca pada malam Jumaat sahaja, sebaliknya baca pada setiap malam. Tetapi kerana tidak sanggup setiap malam, maka ramai memilih malam Jumaat kerana ia adalah penghulu hari.
Surah Yasin menjadi satu pedoman luar biasa. Ia juga mengingatkan kita tentang kekuasaan Allah SWT untuk menghidupkan kita kembali setelah melalui saat kematian dengan hanya satu kata iaitu kun fayakun. Maka sangat baik untuk surah Yasin dibaca dan menjadi amalan seluruh umat Islam.
Lepas Amalkan
Ikuti perkongsian Yusra Idham tentang kelebihan membaca surah Yasin.
Dulu masa arwah Abah ada, Mak selalu pesan.
“Nak Abah sihat, jangan tinggal Yasīn setiap pagi. Amal dan doa moga Abah diberi kesihatan yang baik.”
Masa itu, saya cuba amalkan saja sebab sayangkan Abah. Memang hendak sangat Abah kembali sihat macam biasa. Gelak-gelak, melawak, ceria dan boleh jalan-jalan.
Saya tak pernah tahu apa kelebihan baca Surah Yasīn setiap pagi. Hingga kakak saya Suwaidah Idrus syorkan baca Surah Yasīn.
Kebetulan saya memang sedih waktu itu dan terasa down sangat-sangat. Dialah yang menceritakan kelebihan-kelebihan baca Surah Yasīn dan keajaiban yang berlaku kepada dirinya setelah mengamalkan surah ini.
Baru Nampak Keajaibannya
Dia kata, “Bila kita tinggal berjauhan dengan family elok amal surah Yasīn. Mahu apa, niatkan saja sambil baca Surah ni. Insyallah, Allah akan makbulkan.”
Ternyata setelah bertahun-tahun saya amalkan, alhamdulillah satu-persatu Allah makbulkan.
Antaranya, walaupun saya selalu mohon pada Allah moga Abah kembali sihat, dalam masa yang sama saya juga mohon untuk Allah beri kesempatan untuk saya berkhidmat untuk Abah.
Dan alhamdulillah Allah makbulkan doa saya, walaupun baru saja balik cuti tapi saya sempat untuk berkhidmat hingga nyawa abah yang terakhir.
Beberapa doa yang lain saya mohon pada Allah, Allah makbulkan. Walaupun lambat, alhamdulillah saya perolehinya.
Ayuh sahabat.
Saya nak sangat ajak sahabat-sahabat untuk sama-sama amalkan surah yasīn di awal pagi sebagai permulaan sebelum kita melakukan sesuatu.
Insyallah biiznillah jika niat kita baik, Allah akan bantu.
Hadis berkaitan kelebihan membaca Yasin
Memetik perkongsian Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, terdapat sebuah hadis yang dinilai sahih oleh Ibn Hibban walaupun status menjadi perselisihan oleh para ahli hadis, namun Ibn Hibban meletakkan hadith ini di dalam kitabnya Sahih Ibn Hibban. Daripada Jundub bin Abdillah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
Maksudnya: “Barangsiapa yang membaca surah Yasin pada malam hari untuk mencari redha Allah maka akan diampunkan dosanya”. [Riwayat Ibn Hibban, no. hadith 2574]
Daripada Anas bin Malik RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
Maksudnya: “Setiap sesuatu itu mempunyai hati, dan sesungguhnya hati al-Quran adalah surah Yasin. Barangsiapa yang membacanya maka pahalanya seumpama membaca sepuluh kali al-Quran”. [Riwayat al-Tirmizi, kitab keutamaan al-Quran, bab keutamaan surah Yasin, no. hadith 2812 dan riwayat al-Darimi, kitab keutamaan al-Quran, bab keutamaan surah Yasin, no. hadith 3282]
Kashoorga: Semoga kita jadikan bacaan Yasin sebagai rutin dan bukan hanya di malam Jumaat sahaja.
Berhijab dan tutup aurat itu wajib bagi wanita. ‘Tiada alasan jadi diri sendiri bila buka tudung.’ Benda wajib tidak boleh diubah-ubah sesuka hati dan menurut selera kita.
Namun ada beberapa individu memberi alasan sebegitu apabila mereka tanggalkan hijab. Katanya tidak mahu hipokrit dan mahu jadi sendiri. Masyallah jauh menyimpang daripada ajaran agama Islam.
‘Tutup aurat ini perkara wajib. Dalam apa keadaan pun, tiada alasan untuk nak kata tak wajib, sebab ia wajib. Jadi, siapa yang tidak menutup aurat itu, haram,” kata pendakwah bebas juga juara Imam Muda musim kedua (IM2), Hassan Adli.
Jelas Imam Muda Hassan, bagi wanita yang membuka tudung dengan alasan tidak mahu hipokrit dan nak menjadi diri sendiri, ia sama sekali tidak akan menggugurkan hukum wajib itu.
“Memakai tudung dan menutup aurat itu wajib. Tak ada alasan untuk tidak memakainya bagi wanita Islam. Sebagai contoh juga, solat lima waktu yang hukumnya wajib dilakukan.
Itu Wajib Bagi Wanita
“Jadi, kita tidak bolehlah kata, saya tak nak solat sebab tak ikhlas, tak nak solat sebab suka berjudi, tak nak solat sebab saya riak, pelbagai alasan itu tidak boleh diterima sebab hukumnya wajib. Tetap kena solat dalam apa jua keadaan dan tak alasan untuk kita tak nak buat,” katanya.
Tambahnya, solat juga tidak akan gugur hukumnya sama seperti menutup aurat. Benda yang wajib itu tetap kena buat.
“Di sini, apa-apa situasi pun tak boleh kita kata hipokrit, tak hipokrit, riak, tak riak ke sebabnya, hukum tetap hukum, wajib tetap wajib,” katanya.
Tiada Alasan Jadi Diri Sendiri
Menurut Hassan, jadi seseorang wanita itu nak berhijrah menutup aurat, hijrahlah bersungguh-sungguh. Jangan dibuat sekerat jalan, sebab takutnya kita mempermainkan agama pula.
“Apapun, tudung ini kalau nak berfesyen tiada masalah. Dalam Islam, tak adalah sampai tak boleh ikut fesyen langsung. Masih boleh berfesyen, tinggal lagi jangan sampai melampau-lampau. Cukup sekadar berpada-pada.
“Maksudnya, selagi mana fesyen itu cukup syarat menutup aurat. Kemudian, tidak melampaui batas, pada saya ia okay lah,’ ungkapnya.
Bila Buka Tudung
Pada masa kini, didapati pemakaian tudung dalam kalangan segelintir wanita termasuk golongan selebriti umpama mengikut ‘trend’.
Apabila mahu memakainya, mereka pakai. Kemudian apabila tidak mahu, ditanggalkan begitu saja dengan alasan tertentu seperti ingin menjadi diri sendiri.
Fidyah ialah denda ke atas seseorang Islam yang telah baligh kerana meninggalkan puasa wajib atas sebab-sebab tertentu atau sengaja melewatkan puasa ganti (qada) Ramadan.
Tapi dalam keadaan sekarang ada juga antara kita yang hidup dalam serba kekurangan dan tidak mampu membayar fidyah malah tidak mampu juga menggantikan puasa akibat sakit kronik atau sakit tua.
Ustazah Asma’ Harun memberikan penjelasan bagi mereka tidak mampu membayar fidyah ini. Bagi golongan seperti ini terang Ustazah Asma’, ulama telah membahaskan kepada 2 pendapat.
1. Pendapat Pertama: Sebahagian mazhab Syafieah dan Hanabilah.
Pendapat ini mengatakan tidak gugur kewajipan fidyah.
2. Pendapat Kedua : Mazhab Hanafiah, sebahagian Syafieah, dan Hanabilah
Pendapat ini mengatakan gugur fidyah bagi orang yang tidak berkemampuan.
Walaubagaimanapun, sekiranya seseorang itu tidak mampu membayar fidyah pada awalnya, kemudian setelah itu berkemampuan, adakah menggugurkan kewajipan tersebut?
Maka, Imam al-Nawawi menyebutkan di dalam al-Majmu` Syarh al-Muhadzzab
“Jika kita mengatakan wajib fidyah ke atas orang tua, pesakit yang putus asa daripada sembuh, tetapi jika dia itu mu`sir (orang susah) adakah dia masih wajib membayar fidyah apabila dia kembali senang atau sudah gugur apa-apa kewajiban daripadanya?
Dalam isu ini ada dua qoul (pendapat Imam al-Syafie) seperti hukum kaffarah. Pendapat yang asoh (lebih sahih) dalam isu kaffarah ialah kekal liabiliti untuk membayarnya apabila sudah senang kerana fidyah itu wajib sebagai timbal balas akibat jenayah yang dia lakukan (seperti zihar atau jimak waktu siang Ramadhan) seperti hukum balasan bagi orang yang melanggar larangan buruan.
Tetapi sewajarnya di sini hukum yang asal ialah bahawa liabiliti fidyah itu gugur (bagi orang mu`sir) dan tidak wajib juga membayarnya apabila sudah senang, sama seperti hukum membayar zakat fitrah, kerana dia lemah semasa keadaan taklif (tidak mampu ketika diberikan tanggungjawab) sedangkan dia tidak dikenakan apa-apa timbal balas kerana suatu perbuatan jenayah, atau seumpamanya,”jelas beliau dalam satu perkongsian di Facebook.
Kesimpulan
1. Bagi golongan yang tidak berkemampuan untuk membayar fidyah kerana susah dan miskin maka tidak diwajibkan untuk membayar fidyah puasa sekalipun jika akan datang dia ditakdirkan sembuh atau sudah senang.
2. Hal ini kerana, kewajiban fidyah yang dikenakan bukan kerana kaffarah dosa. Ia adalah kerana keadaan dia yang tidak mampu pada saat wujud sebab taklif.
3. Golongan ini diperbolehkan untuk menqada’ puasa yang telah ditinggalkan.
Bayar Deposit Beli Barang Tapi Tak Jadi Ambil, Duit Pendahuluan Ini Hak Pembeli Atau Penjual?Dalam urusan jual beli hari ini, bayaran pendahuluan atau deposit...