Hadis dan Sunnah berasal daripada sumber yang sama iaitu Rasulullah s.a.w. Yang berbeza adalah penggunaan istilah di kalangan ulama yang berlainan bidang.
Kita boleh lihat perbezaan dan persamaannya melalui takrif berikut:
AS-SUNNAH
1) Sunnah menurut bahasa ialah: metode (thoriqoh), kebiasaan, perjalanan hidup atau perilaku baik, jalan (sabiil) yang dilalui sama ada terpuji atau tidak, jalan yang baik atau buruk; juga suatu adat yang telah dibiasakan walaupun tidak baik.
Rasulullah s.a.w bersabda:
Maksudnya: “Sungguh kamu akan mengikuti sunnah-sunnah (perjalanan-perjalanan) orang yang sebelum kamu sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta sehingga sekiranya mereka memasuki lubang dhab (serupa binatang biawak) nescaya kamu memasukinya juga.” [Riwayat Al-Bukhari].
Rasulullah s.a.w juga telah bersabda: “Sesiapa yang memulai sunnah yang baik dalam Islam, maka baginya pahala dan pahala orang-orang yang mengikuti amal itu setelahnya, tanpa mengurangi pahala mereka sedikitpun. Dan sesiapa yang memulai sunnah yang tidak baik, maka dia menanggung dosanya dan dosa orang-orang yang mengikuti setelahnya, tanpa mengurangi dosa mereka sedikitpun.” [Riwayat Muslim].
2) As-Sunnah menurut istilah Syara’ ialah segala sesuatu yang bersumber dari Nabi s.a.w dalam bentuk qaul (ucapan), fi’il (perbuatan), taqrir (penetapan), sifat fizikal Baginda serta akhlak dan tingkah lakunya.
3) As-Sunnah menurut istilah ulama usul fiqh ialah segala sesuatu yang bersumber dari Nabi s.a.w selain dari Al-Qur’an, baik perbuatan, perkataan, taqrir (penetapan) yang baik untuk menjadi dalil bagi hukum Syarak. Ulama usul fiqh membahas dari segala yang diSyari’atkan kepada manusia sebagai undang-undang kehidupan dan meletakkan kaedah-kaedah bagi perundangan tersebut.
Inilah pengertian yang dimaksudkan oleh sabdanya s.a.w ini: “Sesungguhnya aku telah tinggalkan pada kamu dua perkara tidak akan kamu sesat selama kamu berpegang dengan keduanya iaitu Kitab Allah dan Sunnah Rasul-Nya.” [Riwayat Imam Malik].
Ads
4) As-Sunnah menurut istilah ahli fiqh (fuqaha) ialah segala sesuatu yang sudah tetap dari Nabi s.a.w dan hukumnya tidak fardhu dan tidak wajib, yakni hukumnya sunat atau mustahab.
5) As-Sunnah menurut ulama Salaf adalah petunjuk yang dilaksanakan oleh Rasulullah s.a.w dan para sahabatnya, baik tentang ilmu, i’tiqad (keyakinan), perkataan mahupun perbuatannya.
6) Sunnah menurut istilah ahli hadis: Adalah sama dengan istilah yang digunakan bagi Hadis.
HADIS
1) Hadis menurut bahasa ialah;
i: Yang baharu.
ii: Perkhabaran.
iii: Yang dekat atau yang belum lama.
Ads
2) Menurut istilah ahli hadis: ialah segala ucapan Nabi, segala perbuatan dan segala keadaannya.
Termasuk dalam pengertian ini ialah keadaannya, segala yang diriwayatkan dalam buku sejarah atau sirah seperti hal keputeraannya, tempatnya dan segala yang bertalian dengannya. Pengertian ini samalah dengan pengertian sunnah menurut istilah mereka.
Walau bagaimanapun pengertian ini berlainan dengan pengertian ahli usul fiqh. Sebab berlainan ini ialah kerana berlainan jurusan yang mereka lihat dan mereka tinjau.
3) Ulama’ usul membahaskan Rasul sebagai seorang pengatur undang-undang yang meletakkan atau menciptakan dasar-dasar ijtihad bagi para mujtahid sesudahnya, dan menerangkan kepada manusia perlembagaan hidup (dustur al-hayat) maka mereka pun memperhatikan segala tutur kata Rasul, perbuatan-perbuatannya dan taqrirnya, iaitu pengakuan-pengakuannya bersangkutan dengan perkara penetapan hukum.
Ads
4) Sementara itu ulama’ fiqh berpendapat bahawa suatu yang diterima dari Nabi s.a.w dengan tidak difardukan dan tidak diwajibkan dinamakan sunnah. Imbangannya ialah wajib, haram, makruh dan mubah. Lawannya ialah bid’ah, seperti; talak yang dijatuhkan dalam haid menurut mereka dinamakan: talak bid’ah.
Supaya lebih mudah pembaca memahaminya, di sini diberikan beberapa contoh jenis-jenis sunnah;
Sunnah itu secara umumnya terbahagi kepada tiga iaitu:
Perkataan (qauliyyah), perbuatan (fi’iliyyah), perakuan (taqririyyah).
1. Contoh sunnah (hadis) perkataan (qauliyyah) ialah sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: “Segala amal itu dengan niat.” [Riwayat Bukhari dan Muslim]
2. Contoh sunnah (hadis) perbuatan (fi’iliyyah) ialah:
Rasulullah s.a.w bersolat kemudian Baginda bersabda, maksudnya: “Bersolatlah kamu sebagaimana kamu melihat aku bersolat.” [Riwayat Bukhari dan Muslim].
3. Contoh hadis (sunnah) perakuan (taqririyyah).
Taqrir ialah:
(a) Nabi s.a.w membenarkan apa yang diperbuat oleh seorang sahabat dengan tidak mencegah atau menyalahkan serta menunjukkan keredhaannya;
Contohnya ialah sebagaimana Nabi s.a.w membenarkan ijtihad para sahabat mengenai urusan sembahyang ‘Asar di Bani Quraizah dengan sabdanya:
Bermaksud: “Jangan bersolat Asar seorang kamu melainkan di Bani Quraizah.” [Riwayat Bukhari].
Sebahagian sahabat memahami perkataan itu menurut hakikat larangannya lalu menta’khir (melewat)kan solat ‘Asar. Manakala ada sebahagian yang lain tidak memahami sedemikian, mereka memahami bahawa yang dimaksudkan Nabi bercepat-cepat pergi ke Bani Quraizah. Kerana itu mereka mengerjakan solat ‘Asar pada waktunya, sebelum tiba ke Bani Quraizah.
Kedua-dua perbuatan sahabat yang berlainan oleh berlainan ijtihad sampai kepada Nabi s.a.w beritanya, dan Nabi s.a.w hanya berdiam diri tidak membantah apa-apa.
(b) Menerangkan kebaikan yang diperbuat itu serta dikuatkan pula.
Contohnya sebagaimana yang diriwayatkan bahawa Khalid bin al-Walid pernah memakan dhab (sejenis haiwan seperti biawak) kemudian dikemukakan orang kepada Nabi s.a.w. Baginda s.a.w sendiri enggan memakannya, maka sebahagian sahabat bertanya: “Adakah diharamkan memakannya wahai Rasulullah?” Lalu Baginda bersabda: “Tidak! Cuma binatang itu tidak ada di negeri kaumku, kerana itu aku tidak gemar kepadanya.” [Riwayat Bukhari]
Ulama’ Syafi’e mengatakan bahawa sunnah itu ialah suatu yang diberi pahala orang yang mengerjakannya, tidak berdosa orang yang meninggalkannya.
Menurut ulama’ mazhab Hanafi, sunnah itu ialah suatu yang disunnahkan Nabi s.a.w atau para khalifah serta dikekalkan mengerjakannya, seperti azan dan berjama’ah.
Apapun pengertiannya yang mahu digunakan sebagai umatnya yang mengaku cintakan Rasulullah s.a.w, wajarlah ke atas kita untuk mencontohi, mengikuti dan berjalan di atas manhaj. Baginda s.a.w serta berpegang teguh dan mengamalkan seluruh perkataan dan perbuatan Baginda s.a.w. Tanda orang yang benar-benar mencintai Rasulullah s.a.w adalah orang yang mengikuti Rasulullah s.a.w secara zahir dan batin dan cuba sedaya upaya sentiasa menyesuaikan perkataan dan perbuatannya dengan sunnah Rasulullah s.a.w. Semoga kita tergolong dalam kumpulan ini.
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama. Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
Apa perkara pertama yang anda lakukan bila anda hadapi masalah? Adakah anda cari keluarga dan kawan-kawan dan kongsi kerisauan anda dengan mereka? Adakah anda minta bantuan orang lain? Atau anda minta pada Allah SWT dahulu?
Malangnya ramai orang tak cari Allah SWT dulu bila masalah datang. Mereka lebih memilih untuk mengadu pada orang lain dan hanya berdoa pada Allah SWT selepas bercerita pada manusia lain.
Ibn Abbas RA berkata; “Satu hari, aku sedang menunggang di belakang Rasulullah SAW bila Baginda bersabda: “Wahai lelaki! Aku akan mengajarkanmu beberapa perkara. Lindungi perintah-perintah Allah, dan Allah akan melindungimu. Lindungi hakNya, Dia akan selalu bersamamu. Jika kamu meminta pertolongan, mintalah pertolongan hanya pada Allah; dan jika kamu perlukan bantuan, berdoa hanya pada Allah untuk mendapat bantuan.
Dan ingatlah jika semua orang berkumpul untuk memberi manfaat kepada kamu, mereka tak akan dapat member manfaat kepada kamu melainkan apa yang Allah telah tentukan (untuk kamu); dan jika mereka semua berkumpul untuk mendatangkan mudarat kepadamu, meraka tak akan dapat memdatangkan apa-apa kepadamu melainkan apa yang telah Allah takdirkan untuk kamu. Pen telah diangkat dan dakwatnya telah kering.” (HR Tirmidzi)
Hadis yang indah ini adalah bukti bahawa kita mesti berpaling hanya kepada Allah SWT dahulu sebelum manusia lain. Dan jika Allah menghendaki, Dia akan memberikan anda jalan keluar dengan menghantarkan bantuan yang sesuai kepada anda.
Allah SWT cinta pada orang-orang yang hanya bergantung harap padaNya, jadi bila ada masalah yang datang menimpa, bantulah diri sendiri dengan cari Allah SWT dahulu. Cuba cara yang satu ini, dan lihat bagaimana hidup anda akan berubah.
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama. Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
Maksudnya: “Rasulullah SAW bersedih atas kematian al-Najasyi, lalu Baginda keluar ke tempat solat, berbaris bersama-sama sahabat dan bersolat sebanyak empat kali.” Riwayat al-Bukhari (1188) dan Muslim (951)
Maksudnya: Dan orang ramai mensolatkan Baginda sendiri-sendiri, seorang demi seorang. Tanpa ada seorang pun yang mengimamkan mereka. (Lihat al-Muwatta’, 1/316)
Begitu juga hal ini telah dinaskan oleh Imam al-Baihaqi, iaitu daripada Ibn Abbas, Ibn Sa’d daripada Sahl bin Sa’d dan daripada Ibn al-Musayyib dan lainnya.
Dalam riwayat al-Tirmizi, orang ramai bertanya kepada Abu Bakar R.A: “Adakah kita perlu solat ke atas jenazah Rasulullah SAW?” Maka jawab Abu Bakar: “Ya.” Mereka bertanya: “Bagaimana cara kita solat?” Jawab Abu Bakar: “Satu puak akan masuk. Mereka bertakbir dan solat serta berdoa. Kemudian puak yang lain masuk, mereka bertakbir, bersolat dan berdoa secara perseorangan.”
Daripada Ibn Sa’d, daripada Ali R.A, katanya: “Dia (Rasulullah SAW) adalah imam kamu sama ada pada masa hidup atau mati. Maka tiada seorang pun boleh mengatasinya.” Inilah yang dinyatakan oleh al-Zurqani. (Lihat Awjaz al-Masalik ila Muwatta’ Malik, 8/500)
Syeikh Sofiyyurahman menyebut dalam al-Rahiq al-Makhtum: Orang ramai masuk ke dalam bilik secara bergilir-gilir, sepuluh orang untuk mensolatkan jenazah Rasulullah SAW, tanpa seorang pun menjadi imam. Giliran pertama yang mensolatkan Baginda adalah pihak keluarga, kemudian disusuli oleh orang-orang Muhajirin dan kemudian orang-orang Ansar. Setelah kaum lelaki, giliran kaum wanita yang mensolatkan, kemudian disusuli oleh kanak-kanak.
Semua ini dilakukan sehari penuh, pada hari Selasa, hingga menginjak malam Rabu. Aisyah berkata: “Kami tidak mengetahui penguburan Rasulullah SAW hingga kami mendengar suara cangkul di tengah malam Rabu.” (Lihat al-Rahiq al-Makhtum, hlm. 688)
Ya Allah, kami cintakan kepada rasul-Mu. Jadikanlah kami bersama mereka dalam syurga-Mu! Aamiin
Sumber kredit: Mufti Wilayah Persekutuan. Sahibus Samahah Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama. Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
Bunian adalah merujuk kepada makhluk halus atau orang halus yang tinggal di hutan, sebagaimana yang dinyatakan di dalam Kamus Dewan Edisi Keempat. Masyarakat Melayu menganggap bunian adalah antara makhluk ghaib yang menjadi penyebab kepada histeria (penyakit urat saraf yang terlihat pada letusan-letusan emosi yang tidak dapat dikawal) atau dikenali dalam kebudayaan Melayu sebagai ‘dirasuk hantu’.
Menurut pandangan pakar perubatan Islam terkemuka, almarhum Tuan Guru Dato Dr. Haron Din, orang bunian adalah wujud dan tergolong dalam kelompok makhluk halus. Makhluk halus seperti ini suka tinggal bersama manusia dalam rumah manusia, malah mereka suka mencari tempat yang tidak berjauhan dari perkampungan manusia dan mewujudkan perkampungan mereka sendiri disamping hidup berkeluarga dan bermasyarakat.
Secara khususnya, orang bunian adalah daripada kelompok jin yang dikenali dengan nama ‘Amir (عَامِرٌ) yang tinggal bersama-sama dengan manusia. Ini kerana ianya bersamaan dengan kebiasaan kelompok bunian yang tinggal berdekatan dengan penempatan manusia dan mempunyai penempatan tersendiri.
Ini disokong oleh sebuah hadis Nabi SAW:
الجِنُّ على ثَلَاثَةِ أَصْنَافٍ صِنْفٌ لَهُمْ أَجْنِحَةٌ يَطِيرُونَ في الهَوَاءِ وَصِنْفٌ حَيَّاتٌ وَكِلَابٌ وَصِنْفٌ يَحِلُّوْنَ وَيَظْعَنُوْنَ
Maksudnya: “Jin itu ada tiga golongan. Satu golongan yang mempunyai kepak yang terbang ke sana ke mari (di udara), satu golongan pula berbentuk ular dan anjing, manakala golongan yang ketiga ada yang tinggal setempat dan ada yang berpindah randah.” (Riwayat al-Tabarani)
BOLEHKAH MANUSIA BERKAHWIN DENGAN JIN
Manusia diciptakan Allah daripada tanah sedangkan jin diciptakan Allah daripada api. Hal ini dengan jelas daripada ayat yang banyak dan nas yang banyak. Antara tujuan ciptaan jin dan manusia adalah untuk beribadat kepada Allah.
Maksudnya: “Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu.” (Surah al-Zariyat: 56)
Al-Maraghi berkata: “Sebahagian ahli tafsir berpendapat, supaya mereka tunduk dan merendah diri kepadaKu iaitu golongan jin dan manusia hendaklah patuh kepada perintah Allah dan mengikut apa yang ditakdir kepadanya.”
Berkenaan dengan isu perkahwinan antara jin dan manusia, terdapat 3 pandangan ulamak:
Hukumnya haram. Inilah pendapat Imam Ahmad, Imam al-Zuhri, al-Hakam, Qatadah, Hasan al-Basri, Hajjaj ibn Artat, Abu Hammad dan Imam al-Ghazali
3. Hukumnya harus. Ini sebahagian pendapat ulama’ Syafie. Ini juga pandangan sebahagian salaf seperti al-Tha’labi, al-A’masy, Uthman ibn Sa’id al-Dari.
Gambar sekadar hiasan.
Al-Imam al-Munawi dalam Syarh al-Jami’ al-Saghir berkata:
“Dalam al-Fatawa al-Sirajiyyah oleh ulamak Hanafi, tidak harus perkahwinan antara jin dan manusia kerana berlainan jenis. Begitu juga dalam Fatawa al-Barizi di kalangan ulama’ Syafiiyah tidak harus berkahwin antara keduanya. Begitu juga pandangan ulamak Syafie yang mengharamkannya seperti al-Khatib al-Syarbini. Katanya: “Pengharaman dalam perkahwinan itu ada dua; bersifat selama-lamanya atau selamanya. Antara bentuk perkahwinan yang diharamkan selama-lamanya adalah perkahwinan antara jenis yang berlainan. Contohnya, tidak dibenarnya perkahwinan antara lelaki dari kalangan manusia dan perempuan dari kalangan jin (atau sebaliknya).”
Tidak harus ada perkahwinan antara jin dan manusia kerana ia berlainan jenis dan juga tabiatnya. Sifat jin adalah tidak berjisim dan sifat manusia adalah berjisim.
Ini berasaskan kepada firman Allah SWT dalam Surah al-Nahl, ayat 72:
Maksudnya: “Dan Allah menjadikan bagi kamu dari diri kamu sendiri pasangan-pasangan.”
Mafhum daripada kenyataan ini menunjukkan kepada kita bahawa manusia dikurniakan Allah isteri dan suami mereka dari jenis mereka sendiri dan ia terbeza yang amat ketara antara manusia dan jin. Ini dijelaskan lagi dengan firmanNya
Maksudnya: “Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan.” (Surah al-Rum: 21)
Al-Syeikh al-Syanqiti menyebut:
“Ayat ini juga menunjukkan bahawa Allah tidak menciptakan manusia untuk pasangan-pasangan mereka kecuali untuk jenis dan diri pasangan mereka sendiri.”
Antara beberapa masalah yang timbul akibat membenarkan pernikahan antara manusia dan jin adalah:
Boleh terjerumus kepada banyaknya perzinaan dan kemudian dinisbahkan kandungan kepada alam jin.
Nikah memberi maksud untuk memperoleh zuriat dan kehidupan keluarga serta anak-anak. Kepada siapa untuk dinisbahkan mereka dan bagaimana penciptaan mereka?
Berinteraksi dengan jin seumpama ini tidak sunyi daripada pelbagai kemudaratan sedangkan Islam menggesa untuk memelihara keselamatan manusia.
Lebih parah lagi, ia membawa kepada membuka pintu kepada banyak persoalan yang tidak berkesudahan dan sukar diselesaikan.
Sumber kredit: Mufti Wilayah, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri
VIDEO:
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama. Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
Kebelakangan ini kita banyak melihat perkongsian di sosial media yang dikaitkan dengan istidraj. Melakukan dosa terang-terangan dan merasa bangga dengannya kerana hidup masih senang...