Mata tertancap pada satu foto di skrin komputer. Terpapar gambar seorang gadis dengan fesyen tudung terkini gadis remaja. Terpapar foto gadis yang mengenakan turtle neck inner di sebelah dalam dengan lilitan tudung dari satin pada bahagian luarnya sebagai pelengkap.

Tudung yang disarungkan sudah menutupi bahagian dada namun keseluruhan penampilan dan gaya yang ditunjukkan masih ada yang tidak kena. Biarpun ada segelintir Muslimah moden hari ini merasakan isu aurat dan yang berkait dengannya sebagai isu kecil tetapi selagi mana sesuatu perkara itu mengetengahkan hukum Allah SWT dan masalah-masalah yang berada di sekitarnya, selama itulah isu tersebut sangat perlu diambil perhatian walau berapa kali ia diulang penjelasan.

Ia peringatan juga sebagai satu usaha nasihat menasihati yang sangat disarankan oleh Ar Rahman.

Firman-Nya dalam Surah Az-Zaariyat ayat 55 yang maksudnya : “Dan tetaplah memberi peringatan, karena sesungguhnya peringatan itu bermanfaat bagi orang-orang yang beriman.”

Perjuangan dan trend

Andai di era permulaan perintah hijab ketika Rasulullah SAW masih bersama, para sahabiyat mengenakan pakaian menutup aurat sebagai manifestasi dari ketaatan mereka atas akujanji: Sami’na wa atho’na. Keadaan ini terserlah daripada tindakan mereka menarik apa sahaja yang tercapai dek tangan sebaik mendengar ayat hijab dibacakan oleh saudara-saudara lelaki mereka baik suami, abang atau ayah.

Suasana ini terakam indah pada hadis Rasulullah SAW :

IKLAN

“Ketika kami bersama ‘Aisha RA, kami menyebut mengenai kelebihan wanita Quraisy, lalu ‘Aisha menyampuk: “Memang benar wanita Quraisy ada kelebihan, tetapi demi ALLAH sesungguhnya aku tidak pernah melihat wanita yang lebih baik daripada wanita Ansar dari segi kuatnya iman dan pegangan mereka terhadap kitab ALLAH. Apabila ALLAH turunkan ayat (yang bermaksud) : ‘…dan hendaklah mereka menutup belahan leher baju mereka dengan tudung kepala mereka…’serta-merta suami-suami mereka balik dan membacakan kepada mereka apa yang ALLAH turunkan kepada mereka, anak perempuan mereka, saudara perempuan mereka dan semua kaum kerabat mereka, sehingga tiada seorang perempuan pun daripada mereka melainkan bergegas mencari apa saja kain yang ada di sekeliling mereka lalu bertudung dengannya sebagai membenarkan dan membuktikan iman kepada apa yang diturunkan ALLAH, maka jadilah mereka wanita yang bertudung bersama Rasulullah SAW, seperti sekumpulan gagak hitam berada atas kepala mereka.”  (Hadis riwayat Abu Daud)

Akan tetapi di era milenium ini, kala fesyen busana Muslimah semakin mendapat tempat di kalangan wanita biasa, selebriti dan wanita ternama, rata-rata yang mengenakan tudung dan busana tersebut, kelihatan belum benar-benar memahami tuntutan sebenar dari kehendak ILAHI. Ia lebih mengikut ‘trend’ berbanding kesedaran untuk melangsaikan kewajiban.

Dek kerana itu, masih ramai yang bertudung tetapi memakai baju ketat dengan legging atau seluar sendat. Akibatnya keindahan wanita yang sepatutnya terlindung di sebalik hijab menjadi lebih mempesona dan membangkit ghairah lelaki yang rosak jiwanya untuk ‘menikmati’ dengan mata ‘luas terbuka’

Bukan mudah untuk wanita menghadapi cabaran arus berfesyen terutama wanita bekerjaya. Penampilan adalah antara subjek penting untuk menambah keyakinan di alam pekerjaan. Naluri wanita  yang semestinya sentiasa menginginkan kecantikan membaluti diri. Melihat gaya semasa, dia mahu mencuba. Bila muncul ‘trend’ terkini, dia juga tidak mahu ketinggalan sama.

IKLAN

Perkembangan semasa

Melangkah sahaja keluar dari rumah, di jalan raya, di dalam bas, lif sehingga tiba di pejabat untuk bekerja, mata akan menangkap pelbagai fesyen dan gaya anggun mewarnai suasana. Sedikit sebanyak rasa cemburu dengan penampilan serba indah orang lain mampu menggugah jiwa. Sukarnya untuk bertahan dan kekal dengan penampilan yang sudah tidak lagi menjadi pilihan ramai sedangkan jika dibuat perbandingan, pakaiannya itu sudah menepati kehendak agama.

Memang tidak mudah melawan arus. Tersilap berpegang dan berpaut, diri akan hanyut. Mungkin ini salah satu yang dinyatakan sebagai sabar dalam mengerjakan ketaatan. Wanita yang benar-benar mahu mengenakan pakaian yang bertepatan kehendak syari’at semata-mata demi memenuhi tuntutan agama, kerana DIA semata, perlu mempertingkatkan kesabarannya supaya tidak mudah ‘tergoda’ dengan arus semasa yang bagai melambai-lambainya untuk turut serta.

Patuh syariah

IKLAN

Wahai Muslimah, fahamilah tentang busana yang benar-benar patuh syari’ah. Selama mana kita masih mengikat hati dan tunduk dengan keinginan ‘dunia wanita’ dalam diri kita, selagi itu kita belum mampu ‘membezakan’ hijab yang syar’ie dengan yang sebaliknya.

Ia menutup, melindungi dan sekali gus menjadikan mata-mata yang memandang, terdorong melakukan ketaatan bukan menaikkan nafsu, memuntah rasa cemburu dan hasad yang merosakkan jiwa. Biar pun mungkin ia tidak dizahirkan secara lisan tetapi ia memakan jiwa dalam sehingga lahirnya Muslimah yang keliru dalam beragama.

Terlalu banyak design yang menarik di pasaran tetapi sejauh mana keprihatinan kita untuk ‘menghijrahkan’ design yang menarik itu sesuai kehendak ILAHI. Adakah ia benar-benar melindungi tubuh sendiri dan bukan semata memenuhi keinginan peribadi atas nama agama yang suci ini.

Sebagai wanita ramai yang sering teruja untuk ‘meniru’ gaya seseorang terutama selebriti dan tokoh ternama yang kelihatan cantik dan anggun dengan penampilan, pakaian dan tudungnya, tanpa lebih dulu bercermin dan ‘jujur’ melihat diri. Tidak semua gaya dan penampilan wanita lain yang cantik pada pandangan mata akan turut cantik bila dikenakan ke atas diri sendiri.

Anda bukan Hana Tajima, anda juga bukan Ana Althafunnisa. Anda bukan sesiapa melainkan anda adalah diri anda sendiri. Justeru kenali tubuhmu, mesrai naluri iman dalam jiwamu dan dari situ tentukan gayamu. Namun jangan sesekali lupa, pastikan penampilan itu mendapat ‘restu’ Yang Esa…

Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?

KLIK DI SEENI