Berwuduk adalah syarat sah solat. Namun ada sebahagian dari kita mungkin bersikap sambil lewa melalukan air di bahagian wajib digosok. Berikut adalah penjelasan dari Mufti Wilayah berkaitan soalan, sahkah wuduk sekiranya seseorang itu hanya melalukan sahaja air ke bahagian tangan dan kaki tanpa menggosok anggota wuduk tersebut? Bagaimanakah pula dengan mandi wajib?
Jawapan:-
Wa’alaikumussalam w.b.t. Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.
Berwuduk merupakan salah satu dari syarat sah solat dan hukumnya adalah wajib. Ini seperti yang disebutkan menerusi firman Allah S.W.T :-
Maksudnya : Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu hendak mendirikan solat maka basuhlah muka-muka kamu serta tangan-tangan kamu sehingga ke bahagian siku. Dan sapulah kepala kamu serta (basuhlah) kaki-kaki kamu sehingga ke bahagian buku lali.Surah Al-Ma’idah (6)
Ayat di atas ini menjelaskan beberapa anggota yang wajib dibasuh dan disapu dalam wuduk. Iaitu muka, kedua tangan sehingga ke siku, kepala, serta kaki sehingga ke buku lali. Dua lagi perkara fardhu dalam wuduk adalah niat dan juga tertib.
Merujuk kepada persoalan yang dikemukakan, isu ini sebenarnya melibatkan perbahasan para ulama fekah berkenaan hukum menggosok anggota wuduk setelah dikenakan air padanya.
IKLAN
Dalam bahasa arab perbuatan ini disebut sebagai الدلك. Dari sudut bahasa, ia membawa maksud : Melalukan tangan kepada anggota. Rujuk Mu’jam Maqayis al-Lughah, Ibn Faris (2/297).
Dalam mazhab Imam al-Syafi’e, perbuatan menggosok anggota wuduk untuk meratakan air adalah termasuk dalam kategori perkara-perkara sunat ketika berwuduk. Imam Al-Nawawi ketika menghuraikan beberapa perkara sunat dan mustahab di dalam berwuduk beliau berkata:-
وَأَنْ يُدَلِّكَ الْأَعْضَاءَ
Maksudnya : Dan seseorang itu menggosok anggota wuduk. Rujuk Al-Majmu’ Syarah Al-Muhazzab, Al-Nawawi (1/465).
IKLAN
Begitu juga dalam kitab Al-Fiqh al-Manhaji (1/59) menyebutkan bahawa antara perkara sunat dalam wuduk adalah الدلك ini. Iaitu melalukan tangan ke atas anggota ketika membasuhnya. Para penulis kitab berhujah menggunakan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Zaid R.A beliau berkata :-
Maksudnya : Dan aku suka sekiranya dia menggosok kadar yang dia mampu dari bahagian badannya. Namun sekiranya dia tidak melakukannya dan mengenakan air kepada anggota tubuhnya maka itu telah mencukupi. Rujuk Al-Umm, Al-Syafi’e (1/57).
Seperti yang kita ketahui, wuduk dan juga mandi wajib keduanya adalah sama dari sudut keduanya mengangkat hadas. Wuduk mengangkat hadas kecil dan mandi wajib mengangkat hadas besar. Justeru, keadaannya adalah sama dari sudut selama mana seseorang itu mengenakan air sahaja kepada anggota badan dan tidak menggosoknya, maka yang demikian itu telah memadai dan mencukupi.
Penutup
Sebagai kesimpulan kami menyatakan bahawa hukum menggosok anggota wuduk setelah mengenakan air ke anggota wuduk adalah sunat. Justeru, sekiranya seseorang yang berwuduk sekadar mengenakan air kepada anggota wuduknya seperti meletakkan tangan atau kaki di bawah air paip, maka wuduknya adalah sah. Demikian juga sama hukumnya ketika mandi wajib.
Meskipun begitu, sekiranya tanpa menggosok anggota badan semasa wuduk atau mandi wajib akan menyebabkan air tidak kena kepada anggota tersebut, maka dalam keadaan ini hukum menggosok anggota wuduk atau badan tersebut adalah wajib.
Akhir kalam, kami berdoa kepada Allah S.W.T agar memberikan kefahaman yang tepat kepada kita semua dalam beragama. Ameen.
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama. Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
Sebagaimana orang lelaki, wanita juga bermimpi basah. Dan kadang kala melakukan kerja gila dengan melakukan masturbasi untuk melepaskan puncak seksual terutama bagi pasangan yang tinggal berjauhan. Persoalannya, perlukah mandi junub kalau mimpi basah?
Mufti Wilayah berkongsi jawapan mengenai hal ini.
Saya ada satu persoalan. Wajibkah seseorang itu mandi wajib jika dia sengaja beronani tanpa keluar air mani, walaupun untuk perempuan? Dan sekiranya dia was-was terhadap air atau cecair yang keluar dan mengambil jalan untuk mandi wajib adakah memadai? Mohon pencerahan mengenai perkara ini.
Jawapan :-
Waalaikumussalam w.b.t. Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga baginda, para sahabat baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga Hari Kiamat.
Maksudnya :“(Dan golongan yang beriman itu) adalah mereka yang memelihara kemaluan mereka. Melainkan ke atas para isteri mereka atau hamba-hamba sahaya mereka, sesungguhnya mereka itu tidak tercela. Maka sesiapa yang mencari-cari di sebalik itu mereka merupakan golongan yang melampaui batas.” (Surah al-Mukminun : 5 – 7)
Para ulama kebanyakannya menyatakan bahawa hukum beronani adalah haram. Imam Syafie ketika mengulas ayat di atas menyatakan bahawa :
Maksudnya :“Tidak halal menggunakan zakar melainkan kepada isteri atau kepada hamba perempuan yang dimiliki. Dan tidak halal juga perbuatan istimna’ (mengeluarkan air mani).” (Lihat al-Umm, 5/102)
Kami jelaskan terlebih dahulu definisi bagi perkataan onani. Onani ialah perbuatan mengeluarkan mani dengan tangan. (Lihat Kamus Dewan Edisi Keempat, hlm. 1097) Lafaz الاستمناء atau onani itu berasal dari kata terbitan استمنى iaitu usaha mengeluarkan air mani. Manakala dari sudut istilah pula ia membawa maksud mengeluarkan air mani tanpa melalui proses persetubuhan, sama ada secara haram seperti menggunakan tangan bagi memenuhi tuntutan syahwat, ataupun secara tidak haram, seperti mengeluarkan air mani melalui tangan isteri. (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 4/97)
Sebab-sebab yang mewajibkan mandi
Antara sebab yang mewajibkan seseorang itu untuk mandi ialah janabah. Makna asal janabah ialah jauh. Janabah juga bermaksud air mani yang terpancut atau persetubuhan.
Oleh itu, orang yang junub ialah orang yang tidak suci disebabkan keluarnya air mani atau bersetubuh. Ia dinamakan sebagai junub kerana orang yang berjanabah itu menjauhkan diri daripada mendirikan solat selama mana dia berkeadaan demikian. Perkataan junub digunakan untuk umum, sama ada untuk lelaki atau perempuan, dan sama ada untuk seorang atau ramai.
Dan seseorang itu dianggap sebagai telah berjunub disebabkan oleh dua perkara :
Keluar air mani sama ada di kalangan lelaki atau perempuan dengan apa-apa sebab sekalipun sama ada dengan bermimpi, bercumbuan, melihat seseorang dengan berahi atau berkhayal.
Bersetubuh sekalipun tidak keluar air mani.
(Lihat al-Fiqh al-Manhaji, Cet. Dar al-Qalam, 1/73-74)
Beronani tetapi tidak keluar air mani
Secara umumnya, perbuatan onani yang mewajibkan pelakunya untuk mandi wajib, diikat dengan syarat keluarnya air mani. Sekiranya air mani tidak keluar disebabkan oleh zakar yang menahannya daripada keluar dan dia tidak mengetahui (atau nampak tanda-tanda) mengenai keluarnya air mani tersebut selepas itu, maka majoriti ulama termasuk mazhab Syafie mengatakan tidak perlu mandi wajib. (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 2/140)
Begitu juga, turut dinyatakan di dalam kitab al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah (4/99) bahawa :
Maksudnya :“Wajib ke atas seorang perempuan yang beronani untuk mandi wajib, sekiranya keluar air mani kerana perbuatan onaninya itu, dengan apa cara sekalipun.” Oleh itu, difahami daripada kenyataan di atas, sekiranya seseorang perempuan itu beronani tetapi tidak sampai mengeluarkan air mani, maka tidak wajib ke atasnya untuk mandi wajib.
Hal ini juga adalah berdasarkan kepada hadis Aisyah R.Anha, katanya :
سُئِلَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنِ الرَّجُلِ يَجِدُ الْبَلَلَ وَلاَ يَذْكُرُ احْتِلاَمًا قَالَ : يَغْتَسِلُ. وَعَنِ الرَّجُلِ يَرَى أَنَّهُ قَدِ احْتَلَمَ وَلاَ يَجِدُ الْبَلَلَ قَالَ: لاَ غُسْلَ عَلَيْهِ. فَقَالَتْ أُمُّ سُلَيْمٍ: الْمَرْأَةُ تَرَى ذَلِكَ أَعَلَيْهَا غُسْلٌ قَالَ: نَعَمْ ، النِّسَاءُ شَقَائِقُ الرِّجَالِ Maksudnya :“Rasulullah SAW telah ditanya tentang seorang lelaki yang mendapati dirinya basah tetapi dia tidak ingat mimpinya. Rasulullah SAW menjawab: Dia hendaklah mandi. Baginda juga ditanya tentang seorang lelaki yang bermimpi tetapi mendapati dirinya tidak basah. Baginda menjawab: Dia tidak wajib mandi. Kemudian Ummu Sulaim pula bertanya: Jika perempuan bermimpi demikian, adakah dia wajib mandi? Rasulullah SAW menjawab: Ya, kerana perempuan adalah pasangan kepada lelaki.” Riwayat Abu Daud (236)
Berbalik kepada persoalan di atas, seorang perempuan yang beronani hukumnya sama seperti lelaki yang beronani iaitu diwajibkan untuk mandi sekiranya keluar air mani kerana perbuatan onaninya itu, dan sekiranya tidak keluar air mani maka tidak diwajibkan untuk mandi.
Had penentuan keluar air mani (inzal) yang mewajibkan perempuan untuk mandi
Namun, perkara yang mesti diberi perhatian oleh kaum perempuan ialah had penentuan yang menunjukan bahawa telah berlakunya inzal (keluar air mani) yang mewajibkannya untuk mandi. Mengenai perkara ini, Imam al-Nawawi telah menukilkan di dalam kitabnya bahawa :
Maksudnya :“Jika seorang perempuan itu telah keluar air mani sehingga sampai ke farajnya, maka sekiranya dia seorang anak dara (belum pernah berkahwin dan disetubuhi), tidak wajib ke atasnya untuk mandi sehinggalah air mani tersebut keluar daripada farajnya kerana bahagian dalam farajnya mengambil hukum bahagian anggota dalam (bukan zahir dan nampak).
Oleh kerana itu, tidak wajib ke atasnya membersihkan bahagian dalam farajnya ketika beristinja’ dan mandi wajib sepertimana hukum urethra (saluran kencing) zakar. Manakala sekiranya dia seorang thayyib (pernah berkahwin dan disetubuhi), wajib ke atasnya untuk mandi kerana diwajibkan juga ke atasnya untuk membasuh bahagian dalam farajnya ketika beristinja’. Maka ia menyerupai hukum anggota zahir (yang nampak).” (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 2/140)
Habib Hasan bin Ahmad al-Kaff dan al-Khatib al-Syirbini menjelaskan lagi bahawa seorang perempuan itu, tidak wajib untuk mandi melainkan setelah keluar air mani. Bagi anak dara (belum pernah berkahwin dan disetubuhi), wajib ke atasnya untuk mandi sekiranya air mani telah keluar dari farajnya (melepasinya).
Manakala bagi thayyib (pernah berkahwin dan disetubuhi) pula, wajib ke atasnya untuk mandi sekiranya air mani tersebut telah sampai di tempat yang wajib untuknya basuh ketika beristinja’ (sekalipun masih belum keluar melepasi farajnya), iaitu bahagian yang terzahir (nampak) ketika duduk atas kedua kakinya (duduk bercangkung) atau sewaktu qada’ hajat (buang air). (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 114, Mughni al-Muhtaj, 1/214 dan al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 16/49) Ini juga adalah merupakan pendapat Imam al-Hattab al-Maliki. (Lihat Mawahib al-Jalil fi Syarh Mukhtasar Khalil, 1/307)
Syak atau waswas pada air yang keluar sama ada air mani atau bukan
Terlebih dahulu, kami ingin sebutkan di sini beberapa tanda yang telah disebutkan oleh para ulama yang menunjukan bahawa ia adalah air mani dan wajib ke atas sesiapa yang ada salah satu daripada tanda-tanda ini untuk mandi wajib, tidak kira sama ada lelaki mahupun perempuan. Tanda-tandanya ialah :
Ia keluar dengan rasa lazat dan kepuasan syahwat.
Ia keluar secara memancut.
Mempunyai bau seperti tepung yang diuli apabila ia basah atau berbau hanyir seperti bau putih telur jika ia kering.
Walau bagaimanapun, Habib Hasan bin Ahmad al-Kaff juga menegaskan bahawa bukanlah tanda air mani itu mesti bewarna putih atau keluarnya dengan diiringi lembiknya zakar atau rasa lemah. Akan tetapi, ia hanyalah perkara yang menunjukan kebiasaannya begitu. (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 116)
Oleh itu, sekiranya perempuan tersebut tidak pasti atau waswas terhadap air yang keluar sama ada air mani atau mazi selepas beronani. Juga tidak terdapatnya sebarang rasa atau tanda-tanda lain yang menunjukan bahawa air maninya telah pun keluar. Dalam kes ini, perempuan tersebut diberi pilihan sama ada cenderung untuk menganggapnya sebagai air mani atau air mazi.
Sekiranya dia cenderung untuk menganggapnya sebagai air mani, maka wajib ke atasnya untuk mandi. Dan sekiranya dia cenderung untuk menganggapnya sebagai air mazi, maka wuduknya telah terbatal dan perlu membasuhnya. Akan tetapi, adalah lebih baik (afdhal) untuk dia menghimpunkan kedua-duanya sekali iaitu mandi wajib dan membasuh bahagian yang terkena air tadi. (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 116-117) Pilihan yang ketiga ini lebih selamat dan keluar daripada khilaf.
Kesimpulannya
Berdasarkan kepada perbincangan dan perbahasan di atas, kami menyimpulkan kepada beberapa perkara :
Pertama sekali, kami ingin menegaskan bahawa beronani adalah haram dan boleh membawa kepada kesan-kesan sampingan yang negatif sama ada dari sudut emosi, kekuatan tubuh badan, dan pelbagai kesan yang lain.
Seorang perempuan yang beronani diwajibkan ke atasnya untuk mandi wajib sekiranya keluar air mani disebabkan oleh perbuatan onaninya itu. Dan sekiranya tidak keluar air mani maka tidak diwajibkan ke atasnya untuk mandi.
Namun, perkara yang mesti diberi perhatian oleh kaum perempuan ialah had penentuan yang menunjukan bahawa telah berlakunya inzal (keluar air mani) yang mewajibkannya untuk mandi. Sekiranya dia seorang anak dara (belum pernah berkahwin dan disetubuhi), tidak wajib ke atasnya untuk mandi sehinggalah air mani tersebut keluar daripada farajnya (melepasinya).
Manakala jika dia seorang thayyib (pernah berkahwin dan disetubuhi), wajib ke atasnya untuk mandi sekiranya air mani tersebut telah sampai di tempat yang wajib untuknya basuh ketika beristinja’ (sekalipun masih belum keluar melepasi farajnya), iaitu bahagian yang terzahir (nampak) ketika duduk atas kedua kakinya (duduk bercangkung) atau sewaktu qada’ hajat (buang air).
Begitu juga, sekiranya perempuan tersebut tidak pasti atau waswas terhadap air yang keluar sama ada air mani atau air mazi selepas beronani. Juga tidak terdapatnya sebarang rasa atau tanda-tanda lain yang menunjukan bahawa air maninya telah pun keluar. Dalam kes ini, perempuan tersebut diberi pilihan sama ada memilih untuk menganggapnya sebagai air mani atau air mazi. Sekiranya dia memilih untuk menganggapnya sebagai air mani, maka wajib ke atasnya untuk mandi. Dan sekiranya dia memilih untuk menganggapnya sebagai air mazi, maka wuduknya telah terbatal dan perlu membasuhnya. Akan tetapi, adalah lebih baik (afdhal) untuk dia menghimpunkan kedua-duanya sekali iaitu mandi wajib dan membasuh bahagian yang terkena cecair tadi. Pilihan yang ketiga ini lebih selamat dan keluar daripada khilaf.
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam mengamalkan kehidupan beragama. Ameen.
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama. Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
Bagi yang telah kehilangan insan tersayang atau kenalan rapat, digalakkan untuk menziarah kubur mereka, lantaran itu adalah satu perbuatan baik yang dapat memberi keinsafan selain menitipkan doa buat mereka yang telah pergi.
Setelah membersihkan kawasan berhampiran kubur, gunakan kesempatan ini untuk menyedekahkan doa serta membacakan surah-surah al-Quran. Namun adakah perbuatan ini dianjurkan Islam? Apakah yang kita lakukan selama ini (membaca al-Quran) di kubur sekadar ikutan? Kita baca penjelasan lanjut PU Salman menerusi entri di facebooknya. Semoga memberi manfaat buat semua.
Ulama berselisih pendapat tentang hukum membaca al-Quran di kubur. Jumhur ulama mengharuskannya manakala mazhab Maliki berpendapat makruh dan ulama Saudi kata bid’ah (haram).
Pendapat jumhur ulama iaitu mazhab Syafie , Hambali dan Hanafi lebih kuat pandangannya dan menjadi pilihan berdasarkan hujah-hujah berikut:
Tiada nas yang melarang baca al-Quran di kubur. Maka ianya diharuskan secara umum berdasarkan nas-nas yang menyuruh kita membaca al-Quran
Nabi Muhammad SAW meletakkan pelepah pada dua kubur yang diazab penghuninya dan Nabi SAW bersabda:
لعلهيخففعنهما،مالمييبسا Mudah-mudahan diringankan azab mereka berdua selagi belum kering. (HR Bukhari dan Muslim)
Sebahagian ulama mengambil dari hadis ini : Sesungguhnya mayat mendapat manfaat bacaan di kuburnya yang diambil hadis ini berdasarkan diringankan dua penghuni kubur kerana tasbih tumbuhan (pelepah) selagi mana ianya lembap.
Bacaan al-Quran lagi bermanfaat dari tasbih itu. Antara yg berpendapat sebegini ialah imam Khattabi , Ibnu Mulaqqin dan imam Nawawi dalam syarah sahih Muslim.
Imam Ahmad bin Hambal melarang seorang buta membaca al-Quran di kubur. Imam Ahmad pun berkata,”Sesungguhnya membaca al-Quran di kubur itu bid’ah. Lalu Muhammad bin Quddamah al-Jauhari bertanya kepada imam Ahmad “Apa pandangan kau terhadap Mubasyir al-halabi?”
Beliau menjawab “Seorang thiqah (diterima hadisnya).” Lalu Muhammad berkata “Mubassyir telah memberitahu aku hadis dari ayahnya yang berpesan jika dia dikebumikan bacakan permulaan dan penutup al-Baqarah dan dia berkata “Aku mendengar ibnu Umar berkata demikian. Imam Ahmad pun berkata “Kembali engkau berkata kepada lelaki buta tadi dan suruh dia baca al-Quran di kubur.”
Hadis ini diriwayat Khilal dari Abu Bakr bin Sadqah dengan sanad yang hasan (Imam Nawawi dan al-Hafiz) dan Haithami mengatakan perawi thiqah (majmauz zawaid).
Telah sabit Nabi SAW solat di kubur dan solat itu mengandungi ayat al-Quran . Hadis yang diriwayatkan Imam Muslim itu menceritakan Nabi SAW solat di kubur seorang wanita (cleaner masjid) Seusai solat Nabi SAW bersabda:
“Sesungguhnya kubur ini dipenuhi dengan kegelapan dan Allah SWT memberi cahaya kubur ini dengan sebab solat ku.
Dan dibacakan di kubur surah al-Fatihah, surah al-Baqarah ayat :1-5, ayat kursi, 2 ayat akhir al-Baqarah , surah Yasin, surah al-Mulk, surah takathur, al-Ikhlas 12, 11, 7 atau 3 kali.
Kesimpulan, perbuatan ini adalah perkara khilaf . Kita di Malaysia majoriti ikut mazhab Syafi’e mengharuskan perkara ini. Malahan sunat hukumnya seperti disebut oleh imam Ramli :
وسنأنيقرأعندهيعنيالقبرماتيسر Dan sunat baca al-Quran di sisinya iaitu di kubur apa yang termampu. (nihayatul muhtaj)
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama. Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
‘Pelanggan bayar harga yang sama, ambil makanan kuantiti berbeza.’ Ini hukum jual beli bufet Ramadan, adakah dibenarkan kita berjual beli makanan buffet sedangkan ada yang makannya sedikit dan ada pula diambil makanan sebanyak-banyaknya.
Setiap kali menjelang Ramadan, kelihatan restoran dan hotel-hotel mula mempromosi hidangan bufet Ramadan dengan pelbagai tawaran. Ada yang mahal dan ada yang berpatutan.
Selalunya aktiviti berbuka dengan hidangan bufet menjadi pilihan syarikat-syarikat atau orang persendirian dalam memeriahkan suasana di bulan Ramadan.
Namun di sini timbul kemusykilan yang diutarakan kepada Pejabat Mufti Wilayah Perseketuan:
Harga Yang Sama
Soalan:
Sebagaimana diketahui, bila tiba bulan Ramadan, kedai makan atau hotel banyak menyediakan hidangan berbentuk bufet. Persoalan di sini, apakah hukum menjual beli hidangan bufet sebegini?
Adakah jual beli secara hidangan bufet tidak dibenarkan kerana pelanggan membayar harga yang sama tetapi mengambil hidangan tersebut dengan kadar yang berbeza-beza? Mohon penjelasan Datuk Mufti. Terima kasih.
Jawapan:
Jual beli hidangan bufet termasuk di dalam kategori gharar yasir iaitu ketidakjelasan yang ringan dan sedikit, di mana perbezaan kuantiti makanan yang diambil tersebut masih boleh diterima secara adat.
Para ulama bersepakat dalam mengharuskan jual beli yang mempunyai unsur gharar yang sedikit dan sukar dielakkan. Justeru, hukum jual beli hidangan bufet adalah harus menurut syarak.
Ambil Makanan
Jual beli hidangan bufet merupakan satu sistem penjualan menu di restoran atau kedai makan di mana pelanggan hanya membuat sekali bayaran untuk menikmati kesemua menu yang tersedia dalam tempoh waktu tertentu atau sebaliknya.
Pelanggan yang mengunjungi restoran berkonsepkan hidangan bufet dibenarkan mengambil dan memilih sendiri kesemua hidangan yang telah disediakan oleh pihak restoran.
Dalam membeli secara bufet begini sebahagian daripada pelanggan mengambil makanan dengan kuantiti yang sedikit dan sebahagian yang lain pula mengambil dengan kuantiti yang lebih banyak sedangkan bayaran yang ditetapkan adalah sama.
Kuantiti Berbeza
Adakah ia termasuk dalam kategori jual beli gharar (ketidakpastian) yang dilarang dalam Islam?
Firman Allah SWT: وَأَحَلَّ اللَّهُ الْبَيْعَ وَحَرَّمَ الرِّبَا
Maksudnya: “Padahal Allah telah menghalalkan berjual-beli (berniaga) dan mengharamkan riba.”
Surah al-Baqarah (275)
Imam al-Qurtubi menjelaskan bahawa lafaz jual beli ini adalah dalam bentuk umum namun pada masa yang sama ia juga khusus, iaitu terkecuali daripada riba dan selainnya yang dilarang dan ditegah syarak.
Pada dasarnya, segala bentuk jual beli adalah harus, namun ia boleh berubah menjadi makruh atau haram atas sebab wujudnya unsur-unsur yang tidak dibenarkan oleh syarak seperti al-gharar(ketidakpastian), al-maisir(perjudian) dan sebagainya pada transaksi yang dijalankan.
Ini Hukum
Oleh yang demikian, kita selaku individu Muslim wajib menjauhi transaksi yang mengandungi segala unsur yang tidak dibenarkan ini.
Abu Hurairah RA meriwayatkan sebuah hadis: نَهَى رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ بَيْعِ الْغَرَرِ
Maksudnya: “Rasulullah SAW melarang jual beli al-Gharar.”
Riwayat Muslim (3881)
Ibn Taimiyah mendefinisikan gharar sebagai sesuatu yang tidak diketahui akibatnya. Beliau menjelaskan bahawa gharar dalam jual beli berlaku apabila satu pihak mendapat keuntungan sementara sebelah pihak lagi tidak menerima haknya.
Jual Beli
Di samping itu, gharar ditakrifkan di dalam kitab Qalyubi wa Umairah sebagai:
ما انطوت عنا عاقبته أو ما تردد بين أمرين أغلبهما أخوفهما
“Sesuatu yang akibatnya tersembunyi daripada kita atau perkara di antara dua kemungkinan di mana yang paling kerap berlaku ialah yang paling ditakuti”.
Menurut Al-San’ani, gharar berlaku apabila:
Barang yang diniagakan tidak mampu diserahkan kepada pembeli,
menjual beli barang yang belum ada (ma’dum) dan tidak jelas sifatnya (majhul) atau; menjual barangan yang tidak dimiliki oleh penjual.
Ibn ‘Abidin, ulama mazhab al-Hanafi menyatakan bahawa syarat sah bagi jual beli ialah mengetahui jumlah barang dan harganya. Oleh itu, ketidakjelasan mengenai kadar dan harga barangan boleh membawa kepada gharar dalam jual beli.
Bufet Ramadan
Namun begitu, gharar boleh dibahagikan kepada dua kategori iaitu:
al-Gharar al-Yasir – ketidakjelasan yang kecil atau ringan
al-Gharar al-Fahish – ketidakjelasan yang besar
Imam al-Nawawi menjelaskan bahawa jual beli yang secara jelas mengandungi unsur gharar dan mampu untuk dielakkan adalah satu larangan yang besar.
Namun para ulama’ bersepakat dalam mengharuskan gharar ringan yang sukar untuk dielakkan. Sebagai contoh, melakukan akad sewaan dengan menyatakan tempoh sewaan selama satu bulan, dimana di dalam satu bulan terdapat 29 hari, 30 hari atau 31 hari.
Begitu juga memasuki tandas awam dengan bayaran yang sama walaupun terdapat perbezaan dalam penggunaan air dan tempoh para pengguna menggunakan tandas tersebut.
Mempunyai Perbezaan
Berkenaan hal ini, realiti jual beli hidangan bufet yang mempunyai perbezaan dari segi kadar atau kuantiti makanan yang diambil tidak mengandungi unsur gharar yang besar.
Hal ini kerana penjual telah sedia maklum akan purata kadar untung rugi hidangan yang disediakan dan kadar perbezaan tersebut masih boleh diterima secara adat (uruf).
Adapun bagi mereka yang kadar pemakanannya melebihi adat kebiasaan, maka dia harus memaklumkannya kepada pemilik restoran untuk menghindari gharar fahisy yang menyebabkan kerugian kepada salah satu pihak.
Jual beli hidangan bufet termasuk dalam kategori gharar yasir iaitu ketidakjelasan yang ringan dan sedikit.
Para ulama’ bersepakat dalam mengharuskan jual beli yang mempunyai unsur gharar yang sedikit dan sukar dielakkan. Justeru, hukum jual beli hidangan bufet adalah harus menurut syarak.
Kashoorga: Ramadan ini lebih meriah dapat luangkan masa berbuka bersama keluarga dan kawan-kawan terdekat, tak kiralah berbuka dengan bufet Ramadan atau di rumah saja.
Kita selalu fikir, apabila kita lakukan amal kebaikan, pastinya Allah akan balas dengan pahala atau kebaikan juga. Ini apa yang selalu diajar di sekolah dahulu.