
Ketika membeli ayam di pasaran, pengguna biasanya meletakkan kepercayaan penuh bahawa bekalan yang dijual adalah halal dan selamat dimakan. Pasti tiada keraguan yang melibatkan ayam disembelih tidak patuh syarak.
Namun, kepercayaan itu tercalar susulan pendedahan kes penyembelihan ayam yang tidak mengikut hukum syarak di sebuah gudang di Puchong, Selangor baru-baru ini.
Dalam serbuan menerusi Ops Taring Chiller itu, pihak berkuasa merampas 6,555 kilogram ayam mentah bernilai RM85,400 dan menahan 12 lelaki warga asing.
BACA JUGA: Rezeki Tak Pernah Salah Alamat! Selepas 8 Kali Gagal, Kembar Tiga Kini Bergelar Tentera
Apa yang membimbangkan adalah premis terbabit dikesan mempunyai kapasiti memproses lebih 40,000 ekor ayam sehari untuk pasaran tempatan.
Mati Akibat Renjatan Elektrik Menyebabkan Ayam Disembelih Tidak Patuh Syarak
Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Datuk Salehuddin Saidin berkata, siasatan awal mendapati premis berkenaan menggunakan kaedah water bath stunning dengan kadar voltan elektrik yang terlalu tinggi.
Tindakan itu menyebabkan ayam mati serta-merta sebelum sempat melalui proses penyembelihan yang betul.
“Ini seolah-olah mereka menyembelih bangkai dan bukan lagi ayam hidup seperti mana diperlukan mengikut ajaran Islam sebenar,” katanya.
Isu ini bukan sekadar pelanggaran prosedur biasa, tetapi melibatkan isu amanah pengusaha serta hak pengguna Islam untuk mendapatkan makanan yang diyakini halal dan bersih.
Makanan yang diambil setiap hari sudah tentu menjadi darah daging ahli keluarga, sekali gus menuntut ketelusan pihak industri.
Penjelasan Status Hukum
Bagi pengguna yang mungkin terlanjur membeli atau memakan bekalan ayam terbabit tanpa mengetahui status sebenarnya, Mufti Pulau Pinang, Prof Madya Datuk Dr Mohd Sukki Othman menjelaskan bahawa pengguna terbabit tidak berdosa.
Mereka juga tidak diwajibkan membayar kaffarah, menggantikan makanan yang sudah dimakan, atau melakukan amalan khusus untuk menyucikan diri kerana ia dilakukan dalam keadaan tanpa sedar (jahil).
Walau bagaimanapun, pendedahan ini menjadi peringatan kepada orang ramai agar lebih berhati-hati dan memastikan produk yang dibeli benar-benar mempunyai sijil halal yang sah bagi mengelakkan daripada terus terdedah kepada isu keraguan status makanan.
Sumber: Sinar Harian
++Untuk berita dan artikel terkini. Jangan lupa ikuti kami di media sosial rasmi kashoorga, Instagram, Facebook & TikTok

sekarang ya?

