
Siapa kata usia yang semakin meningkat menjadi noktah untuk seseorang berhenti menimba ilmu?
Meskipun sudah lebih tiga dekad berada di puncak industri seni, pemilik nama sebenar Wan Norafiza Wan Ariffin atau lebih dikenali sebagai Datuk Nora Ariffin ini membuktikan bahawa semangat menuntut ilmu itu tiada hadnya.
Pada usia 53 tahun, beliau kembali bergelar siswa apabila diterima melanjutkan pengajian ke peringkat Sarjana (Master) di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
BACA JUGA: Usia 22 Tahun Raih Tempat Kedua Dunia ACCA, Graduan UiTM Kongsi Rahsia Kejayaan
Lebih istimewa, kemasukan beliau adalah menerusi saluran APEL.Q (Accreditation of Prior Experiential Learning for Qualifications), iaitu laluan pengiktirafan yang menilai pengalaman kerja dan kemahiran terdahulu sebagai sebahagian daripada syarat pengajian tinggi.
Bagi pelantun lagu malar segar Di Persimpangan Dilema ini, perjalanan hidupnya penuh dengan liku yang mendewasakan. Daripada dunia nyanyian, perniagaan, animasi, sehinggalah ke bidang produksi dan pengurusan syarikat semuanya mengajar erti disiplin, ketekunan, serta daya tahan yang tinggi.
Apatah lagi selepas pemergian Allahyarham suami tercinta, Johan Nawawi, kehidupan mengajar beliau untuk menjadi wanita yang lebih berdikari, berani memikul tanggungjawab besar dan sentiasa melangkah ke hadapan.
Sebagai seorang penggiat seni, Datuk Nora sentiasa menyimpan azam yang kuat untuk memperkasakan diri dengan ilmu akademik demi menjadi seorang penggiat seni yang berilmu.
Mengulas mengenai lembaran baharu ini, beliau menceritakan bagaimana setiap liku dan fasa kehidupannya membentuk diri hari ini:
“Lebih 30 tahun dalam industri muzik, bersama pengalaman dalam perniagaan, animasi, produksi dan pengurusan syarikat, banyak mengajar saya tentang disiplin, ketekunan, konsisten dan berdaya tahan.
Selepas pemergian Allahyarham Johan Nawawi, kehidupan pula mengajar saya untuk berdikari, terus belajar dan berani memikul tanggungjawab baharu.
Rupanya setiap pengalaman, cabaran dan jatuh bangun dalam hidup tidak pernah sia-sia. Semuanya menjadi bekal untuk langkah seterusnya,”.
Kejayaan melangkah semula ke menara gading ini turut dizahirkan dengan penuh rasa kesyukuran dan berterima kasih kepada suami tersayang atas restu dan dorongan semangat, anak-anak yang tidak henti-henti memberikan kasih sayang serta para sahabat dan peminat yang sentiasa mendoakan langkahnya.
Mengakhiri perkongsian, Datuk Nora Ariffin turut meninggalkan pesanan bermakna,
“Jangan jadikan usia sebagai penghalang untuk mengejar impian. Jangan malu untuk terus belajar. Pada usia 53 tahun, saya bukan bermula semula dari kosong, sebaliknya membina kehidupan berdasarkan segala pengalaman dan pengajaran yang telah saya lalui,”.
Semoga langkah Datuk Nora Ariffin ini menjadi suntikan motivasi buat kita semua untuk terus memburu impian tanpa mempedulikan angka usia.
++Untuk berita dan artikel terkini. Jangan lupa ikuti kami di media sosial rasmi kashoorga, Instagram, Facebook & TikTok

sekarang ya?

