Hebatnya penangan raja buah pada musim ini sehingga ia telah tular dan menjadi kegilaan ramai. Setiap kali tiba musim durian, pasti ramai orang akan membelinya dan kadang-kadang ada yang akan membuat jamuan dan pesta memakan durian.

BAU DURIAN DI BAWA KE DALAM SOLAT
Tahukah anda, buah durian yang sudah tua dan terlalu masak mengandungi alkohol. Disebabkan itulah, jika dimakan secara berlebihan, ia boleh memabukkan, malah boleh muntah kerana panas dari dalam. Namun, menurut pandangan ulama’ seperti Mufti Indonesia, Imam Abu Hanifah dan ramai lagi, ia bukanlah alkohol yang sampai kepada hukum haram.

Menurut Imam Abu Hanifah lagi, hukum memakan durian adalah berbalik kepada hukum asal, iaitu harus dan tidak haram. Hal ini kerana, segala jenis buah dan juga jus buah yang tidak diproses seperti arak, iaitu diperam selama tiga hari atau lebih adalah halal untuk dimakan. Namun, perlu diingatkan untuk tidak berlebihan kerana bimbang boleh mengundang mudarat.

Hal ini ada disebut melalui firman Allah dalam kalamnya yang berbunyi:

وَكُلُوا وَاشْرَبُوا وَلَا تُسْرِفُوا ۚ إِنَّهُ لَا يُحِبُّ الْمُسْرِفِينَ

“Dan makanlah serta minumlah, dan jangan pula kamu melampau; sesungguhnya Allah tidak suka akan orang-orang yang melampaui batas.”
(Surah Al-A’raf, 7:31)

Malah, tidak dapat disangkal lagi bahawa terdapat banyak kebaikan dan khasiat yang akan diperoleh jika kita memakan buah durian. Hal ini telah didasari oleh beberapa buah kajian saintifik yang telah dilakukan oleh pakar-pakar pemakanan mengenai keunikan durian.

Buah durian yang dikatakan mengandungi vitamin A, C, E, B1, B2, kalsium, protein, serat, karbohidrat, kalium dan fosforus dikatakan baik untuk kesihatan dan kecantikan kulit. Malah, antioksidan yang terkandung di dalam durian tersebut boleh mencegah dan menghilangkan jerawat.

Bahana Makan Durian, Mulut Berbau Ketika Solat Di Masjid, Apakah Hukumnya

IKLAN

Ia juga mengandungi tryptophan yang berfungsi untuk menenangkan fikiran dan tubuh serta boleh mengubati penyakit imsonia. Vitamin B-6 yang juga terkandung di dalam buah durian mampu menghasilkan serotonin yang berfungsi untuk mencegah tekanan secara semulajadi.

Akhir sekali, ia diyakini boleh mengawal keseimbangan gula dalam darah sehingga kadar gula menjadi normal. Walau bagaimanapun, ia tidak digalakkan dimakan oleh golongan yang mempunyai penyakit diabetis dalam jumlah yang banyak kerana ia mengandungi karbohidrat yang tinggi dalam bentuk glokosa dan fruktosa, menurut Dr Zubaidi.

Sebenarnya, banyak lagi khasiat dan manfaat durian yang diperoleh oleh para penggemar durian sehingga ia diiktiraf sebagai buah paling sedap oleh peminat durian yang fanatik. Walau bagaimanapun, pengambilannya perlu dielakkan sebelum ingin menunaikan solat, sama ada berjemaah atau tidak.

Hal ini kerana, baunya yang boleh menganggu kekhusyukan sesiapa sahaja dalam solat. Bukankah Allah telah berpesan bahawa, apabila solat, kita perlu meletakkan dunia dan isinya di luar agar tidak mengganggu ibadah kita.

قَدْ أَفْلَحَ الْمُؤْمِنُونَ
الَّذِينَ هُمْ فِي صَلَاتِهِمْ خَاشِعُونَ

IKLAN

Mafhum: “Dan berjayalah orang-orang yang beriman, iaitu mereka yang khusyuk dalam sembahyangnya.” (Surah Al-Mu’minun, 23:1-2)

Malah, dalam sebuah hadis nabi juga ada disebut bahawa mereka yang memakan benda-benda yang sangat kuat baunya perlulah dibersihkan mulutnya terlebih dahulu sebelum bersolat.

مَنْ أَكَلَ ثُومًا أَوْ بَصَلًا فَلْيَعْتَزِلْنَا أَوْ لِيَعْتَزِلْ مَسْجِدَنَا

Maksud: “Siapa memakan bawang putih atau bawang, maka jarakkanlah mereka daripada kamu atau jarakkanlah daripada masjid kami.” (Hadis Riwayat Bukhari)

Menurut tafsir Al-Allam Syarh ‘Umdatul Ahkam, makruh hukumnya memakan benda-benda yang berbau jika ingin solat selepasnya. Ia bukan sahaja untuk mengelakkan daripada jemaah lain tidak terganggu, malah malaikat dan makhluk lain di dalam masjid juga.

IKLAN

Bahana Makan Durian, Mulut Berbau Ketika Solat Di Masjid, Apakah Hukumnya

Oleh itu, muslim dinasihatkan untuk mengelakkan diri daripada memakan durian atau makanan lain yang berbau seperti petai, bawang dan sebagainya sebelum menunaikan solat untuk mengelakkan daripada mulut yang berbau. Inisiatif lain ialah dengan membersihkan mulut untuk menghilangkan bau seperti bersugi atau menggosok gigi dengan bersih.

Hal ini adalah untuk menjaga kesucian dan maruah diri sendiri selain memberi keselesaan kepada jemaah lain juga.

KESIMPULAN
Makan durian secara beramai-ramai adalah tidak salah, malah digalakkan untuk membantu mengeratkan silaturahim. Namun, jika dimakan secara berlebihan dan sehingga mendatangkan kemudaratan kepada diri sendiri atau jemaah lain, ia perlulah dielakkan.

Islam tidak melarang umatnya untuk merasa nikmat dunia, namun perlu berjaga-jaga agar tidak merosakkan ibadah diri sendiri dan orang lain.

Sumber kredit: TZKRH

VIDEO KASHOORGA:

 

Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?

KLIK DI SEENI