Walaupun dah bekerja, gaji sudah selesa tapi entah kenapa asyik ada masalah kewangan, atau dah cuba berniaga macam-macam tapi asyik tak menjadi, atau puas cari kerja tak juga dapat-dapat.
Mungkin ada yang dalam situasi ini, dah puas berusaha macam-macam tapi rezeki dilihat seperti sukar seakan ada saja yang menghalang hingga timbul persoalan apakah sebab dosa silam yang pernah dilakukan.
Jawapannya Ya!
Betulkah dosa silam boleh menghalang rezeki? Adakah benar begini, persoalan yang sama juga ditanya oleh netizen buat bekas mufti Datuk Seri Dr Zulkifli Mohammad Al Bakri yang dimuatnaik dalam laman web Maktabah Al Bakri.
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Benarkah rezeki dihalang dengan sebab dosa yang dilakukan?
Menjawab persoalan tersebut, Datuk Seri Dr Zulkifli tidak menafikan perkara tersebut. Berikut adalah penerangan beliau.
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Firman Allah SWT:
وَفِي السَّمَاءِ رِزْقُكُمْ وَمَا تُوعَدُونَ
Maksudnya: “Dan di langit pula terdapat (sebab-sebab) rezeki kamu, dan juga terdapat apa yang telah (ditakdirkan dan) dijanjikan kepada kamu.”
(Surah al-Zariyat: 22)
Ibn Kathir di dalam tafsirnya menyebut: “Dan di langit pula terdapat (sebab-sebab) rezeki kamu” iaitu hujan. “dan juga terdapat apa yang telah (ditakdirkan dan) dijanjikan kepada kamu”, iaitu syurga. Ini merupakan pandangan Ibn Abbas R.Anhuma, Mujahid dan selainnya.
Ia berdasarkan hadis
Menjawab persoalan di atas, kami katakan ya. Hal ini berdasarkan hadith daripada Thauban RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
إِنَّ الْعَبْدَ لَيُحْرَمُ الرِّزْقَ بِالذَّنْبِ يُصِيبُهُ
Maksudnya: Sesungguhnya seorang lelaki itu akan terhalang daripada rezekinya disebabkan oleh dosa yang menimpanya.
Riwayat Ibn Majah (4022) dan Ahmad (22438).
Al-Syarwani menyatakan, dalam hadith diterangkan, “Sesungguhnya seorang lelaki itu akan terhalang daripada rezekinya disebabkan oleh dosa yang menimpanya.”. Hadith ini menetapkan bahawa melakukan dosa menjadi sebab seseorang terhalang dari rezeki terutamanya pada pembohongan. (Lihat Hawasyi al-Syarwani, 1/238)
Banyak nas yang menunjukkan, dengan sebab bertakwa, rezeki akan diperolehi. Antaranya:
وَمَن يَتَّقِ اللَّهَ يَجْعَل لَّهُ مَخْرَجًا ﴿٢﴾ وَيَرْزُقْهُ مِنْ حَيْثُ لَا يَحْتَسِبُ ۚ وَمَن يَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ فَهُوَ حَسْبُهُ ۚ إِنَّ اللَّهَ بَالِغُ أَمْرِهِ ۚ قَدْ جَعَلَ اللَّهُ لِكُلِّ شَيْءٍ قَدْرًا
Maksudnya: Dan (ingatlah), sesiapa yang bertaqwa kepada Allah, nescaya Allah memudahkan baginya segala urusannya. Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya. Dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendaki-Nya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu.
(Surah al-Talaq: 2-3)
Ketika mentafsirkan ayat ini, Imam al-Tabari menyebutkan riwayat daripada Masruq bahawa ia bermaksud sesiapa yang bertaqwa kepada Allah ta‘ala, maka baginya jalan keluar iaitu jalan yang diketahui Allah Taala, jika Dia menghendaki maka boleh untuk diberikan atau ditegah.
Manakala ayat selepasnya pula iaitu ‘Allah akan memberinya rezeki dari jalan yang tidak disangka-sangkanya’ bermaksud dari jalan yang tidak diketahuinya.
Di samping itu, dinukilkan juga daripada Ibn Abbas R.Anhuma bahawa sesiapa yang bertaqwa kepada Allah SWT maka baginya jalan keluar yakni selamat daripada setiap kesengsaran dan kesusahan di dunia dan akhirat.
Manakala Rabi‘ pula berpendapat bahawa maknanya ialah jalan keluar daripada setiap sesuatu yang sempit ke atas manusia. (Lihat Tafsir al-Tabari, 23/446)
Selain itu, Qatadah pula mentafsirkan ‘jalan keluar’ dalam ayat di atas sebagai jalan keluar daripada segala perkara syubhat dan kesusahan ketika mati. Manakala makna ayat “وَيَرْزُقْهُ مِنْ حَيْثُ لا يَحْتَسِبُ” pula ialah memberinya rezeki daripada sesuatu yang tidak disangka-sangkakan dan tidak diharapkan. (Lihat Tafsir al-Tabari, 23/448)
Menurut al-Husain bin al-Fadhl makna ayat di atas ialah sesiapa yang bertaqwa kepada Allah SWT dengan menunaikan segala kewajipan fardhu, maka akan diberikan kepadanya jalan keluar daripada segala balasan seksa.
Begitu juga ‘diberikan rezeki kepadanya’ yakni balasan pahala daripada jalan yang tidak disangka-sangka. Dalam erti kata lain, Allah SWT memberkati setiap apa yang diberikan dan dikurniakan kepadanya.
Bahkan Sufyan bin ‘Uyaynah ketika mentafsirkan ayat “وَيَرْزُقْهُ مِنْ حَيْثُ لا يَحْتَسِبُ” menyatakan bahawa maknanya:
هُوَ الْبَرَكَةُ فِي الرِّزْقِ
Maksudnya: “Ia ialah keberkatan dalam rezeki.”
(Lihat Tafsir al-Qurtubi, 18/159-160)
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً
Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”
Sumber: Maktabah Al Bakri
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
Umat Islam yang ingin mengucapkan “Merry Christmas” kepada mereka yang beragama Kristian seringkali menimbulkan polemik dan salah faham baik dalam kalangan bukan Muslim, malah umat Islam sendiri.
Berikut pencerahan daripada pihak Mufti Wilayah Persekutuan.
Melihat kepada situasi semasa di Malaysia, kami berpendapat ucapan Merry Christmas kepada penganut Kristian dan seumpamanya adalah diharuskan. Ini kerana,
Firman Allah SWT:
وَلَا يَجْرِمَنَّكُمْ شَنَآنُ قَوْمٍ عَلَى أَلَّا تَعْدِلُوا اعْدِلُوا هُوَ أَقْرَبُ لِلتَّقْوَى وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا تَعْمَلُونَ
Maksudnya: Dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan. (Surah al-Maidah: 8)
Hak minoriti bukan Muslim. Ini kerana hak-hak golongan minoriti yang bukan Muslim juga perlu diraikan lebih-lebih lagi apabila mereka mengambil hak kewarganegaraan (muwatanah). Syeikh Dr Yusuf al-Qaradhawi dalam bukunya Fi Fiqh al-Awlawiyyat ada menekankan tentang keperluan meneliti masalah-masalah yang dihadapi oleh minoriti bukan Muslim.
Perlu membezakan antara penyerupaan (tasyabbuh) dan persamaan (musyabahah). Syeikh Abdullah bin Mahfudh Ibn Bayyah menyatakan bahawa perlu ada perbezaan antara memahami istilah penyerupaan (tasyabbuh) dan persamaan (musyabahah). Menurut beliau, bukan semua perkara yang kita lakukan dan dalam masa yang sama ia juga dilakukan oleh ahli agama lain maka ia menjadi haram. Ia menjadi haram jika menyamai mereka dengan niat (tashabbuh) bukannya semata-mata dengan wujudnya persamaan (musyabahah
Oleh itu kesimpulannya umat Islam dibenarkan untuk mengucapkan ‘Merry Christmas.’ Perkara ini dibenarkan kerana ia disifatkan ungkapan tahniah kepada perayaan agama lain tanpa niat memuliakan agama mereka.
“Umat Islam boleh mengucapkan kepada orang Kristian (Merry Christmas), dengan syarat mereka tidak memuliakan agamanya. Adalah penting untuk mewujudkan kesedaran mengenai perkara ini supaya tidak timbul kekeliruan. Hiduplah dengan harmoni bersama orang-orang beragama lain,” katanya Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.
Beliau memetik Majlis Muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan Muzakarah dalam mesyuarat ke-78 dalam Hal Ehwal Islam pada 2007 yang menyimpulkan bahawa mengirim salam melalui kad, e-mel atau mesej teks kepada orang bukan Islam semasa musim perayaan mereka adalah dibenarkan, selagi ucapan itu tidak memuliakan agama lain atau menggunakan simbol agama.
Sumber kredit: Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
Mungkin ramai yang membaca surah Kursi ini setiap hari tapi tidak tahu akan kelebihannya.
Potongan ayat ke-255 daripada Surah Al-Baqarah ini juga digelar ‘penghulu segala ayat al-Quran’ atau ayat paling agung dalam al-Quran . Keistimewaan dan kelebihannya dihuraikan oleh Dr Ahmad Sanusi.
Jangan tinggal ayat Kursi selepas solat
1. Amalan untuk masuk syurga
Pesan pada diri dan anak-anak agar tidak meninggalkan bacaan ayat Kursi setelah selesai menunaikan solat. Perkara ini adalah sunnah yang dianjurkan oleh Baginda Nabi ﷺ sendiri.
Sabda Rasulullah ﷺ:
مَنْ قَرَأَ آيَةَ الْكُرْسِيِّ دُبُرَ كُلِّ صَلاةٍ مَكْتُوبَةٍ لَمْ يَمْنَعْهُ مِنْ دُخُولِ الْجَنَّةِ، إِلا الْمَوْتُ
“Barangsiapa yang membaca ayat Kursi setiap kali selesai dari solat, maka tidak ada perkara yang akan menghalangnya untuk masuk ke syurga melainkan kematian. (Iaitu hanya kematian sahaja yang menghalangnya, setelah mati, dia akan mudah ke syurga) (HR al-Nasa’i dan al-Tabrani- hadis Sahih)
2. Ayat agung dalam al-Quran
Hadis di atas jelas menunjukkan bagaimana Rasulullah ﷺ mendidik para sahabat agar tidak meninggalkan bacaan ayat Kursi setiap kali selesai dari solat. Malah ayat Kursi turut diiktiraf oleh Rasulullah ﷺ sebagai salah satu ayat yang agung.
Perkara ini pernah ditanya kepada Saidina Ubai bin Ka’b. Sabda Rasulullah:
يَا أَبَا الْمُنْذِرِ، أَتَدْرِي أَيُّ آيَةٍ مِنْ كِتَابِ اللَّهِ مَعَكَ أَعْظَمُ»؟ قَالَ: قُلْتُ: }اللَّهُ لَا إِلَهَ إِلَّا هُوَ الْحَيُّ الْقَيُّومُ{ . قَالَ: فَضَرَبَ فِي صَدْرِي وَقَالَ :«وَاللَّهِ لِيَهْنِكَ الْعِلْمُ أَبَا الْمُنْذِرِ
“Wahai Abu al-Munzir (gelaran bagi Ubai), apakah ayat yang paling agung di dalam al-Quran? Ubai lalu membaca permulaan ayat Kursi. Rasulullah lalu memegang dada Ubai dan memujinya: “Bergembiralah (tahniah buatmu) dengan ilmu (yang ada padamu) wahai Abu al-Munzir. (HR Muslim)
3. Struktur ayat memuji dan mengagungkan Allah SWT
Apa yang membuatkan ayat Kursi dianggap sebagai ayat yang paling agung di dalam al-Quran?
Perkara ini dijelaskan oleh Sheikh Dr. Yusuf al-Qardawi yang mengatakan:
إن آية الكرسي تميزت بكونها خاصة بالثناء على الذات العليا لله عز وجل وتنزيهه ووصفه بكل كمال يليق
“Sesungguhnya ayat Kursi itu mempunyai kelebihan dari aspek struktur ayatnnya yang memuji dan mengagungkan zat Allah yang Maha Tinggi, menyucikanNya serta menyifatkanNya dengan sifat yang layak bagi zat Allah.”
4. 10 bahagian ayat semuanya memuji Allah
al-Qardawi turut menjelaskan bahawa ayat Kursi ini boleh dibahagikan kepada sepuluh bahagian. Kesemua sepuluh bahagian ini mengandungi elemen yang mengagungkan Zat Allah. Kata beliau:
إن آية الكرسي بها عشر جمل كلها ثناء على الله عز وجل، والجملة الأولى «الله لا إله إلا هو» وهي تثبت التوحيد، لا شريك لله
“Sesungguhnya ayat Kursi ini memiliki sepuluh bahagian ayat, kesemua pembahagian ini memuji Allah. Kenyataan pertama dari ayat ini dimulakan dengan nama Allah yang mana ia mengesahkan keesaan Allah dan tiada sekutu bagi Allah.”
5. Syaitan tak berani mendekati
Atas kehebatan dan keagungan ayat yang mengesakan Allah ini, maka tidak hairanlah syaitan tidak berani mendekati mereka yang membaca ayat Kursi sebelum tidur seperti yang diceritakankan oleh Saidina Abu Hurairah dalam riwayat al-Bukhari.
Malah rumah yang dibaca ayat Kursi akan digeruni oleh syaitan seperti yang dinukilkan dalam hadith:
فإنه لا يقرأها أحد إذا دخل بيته إلا خرج الشيطان
“Sesungguhnya, seorang yang membaca ayat Kursi setiap kali masuk ke rumahnya, maka syaitan akan keluar dari rumah tersebut.” (Tafsir Ibn Kathir)
6. Baca lepas solat, sebelum tidur, sebelum masuk rumah
Maka berikanlah pesanan buat diri, anak-anak dan ahli keluarga kita agar tidak lekang dari membaca ayat Kursi. Lazimi diri membacanya samada setiap kali selesai dari solat, sebelum tidur, setiap kali masuk rumah atau di waktu pagi dan petang. Basahi lidah kita dengan ayat agung ini. Mudah-mudahan Allah memelihara hambanya yang sentiasa mengagungkan Tuhannya.
Sumber: Dr. Ahmad Sanusi Azmi
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
Waktu doa mustajab antaranya adalah pada bulan Ramalan ini. Doa yang dipanjatkan pada masa ini adalah lebih dekat untuk dimakbulkan.
Dalam bulan yang mulia ini juga ada lima waktu yang terbaik untuk kita berdoa dan tidak harus kita biarkan ia berlaku begitu saja.
1. Waktu sahur
Ramai yang mungkin menganggap sahur sekadar waktu untuk mengisi perut sebelum berpuasa, tetapi sebenarnya ia juga merupakan masa yang sangat mustajab untuk berdoa. Waktu sahur termasuk dalam sepertiga malam terakhir, yang disebut sebagai saat paling sesuai untuk bermunajat.
Rasulullah SAW bersabda: “Pada sepertiga malam terakhir, Allah dengan kemurahan dan kasih sayang-Nya melimpahkan rahmat-Nya kepada makhluk-Nya, lalu Dia berfirman: ‘Barang siapa yang berdoa kepada-Ku, Aku akan perkenankan, barang siapa yang meminta kepada-Ku, Aku akan berikan, dan barang siapa yang memohon keampunan, Aku akan mengampuninya.” (HR Bukhari, No. 1145)
Oleh itu, selain bersahur, luangkan beberapa minit untuk berdoa dan memohon apa sahaja kebaikan yang diinginkan.
2.Sepanjang hari berpuasa
Sepanjang hari berpuasa juga merupakan waktu mustajab untuk berdoa. Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW bersabda: “Tiga doa yang tidak akan ditolak: doa seorang yang berpuasa sehingga dia berbuka, doa pemimpin yang adil, dan doa orang yang dizalimi.” (HR Ibnu Majah, No. 1752).
Ini bermakna setiap detik dalam keadaan berpuasa adalah peluang untuk berdoa dan memohon pertolongan serta keberkatan daripada Allah SWT. Sama ada sedang bekerja, belajar, atau berehat, setiap Muslim boleh mengambil kesempatan ini dengan memperbanyakkan doa dalam hati atau secara lisan.
3. Saat berbuka puasa
Saat berbuka puasa bukan hanya waktu untuk menikmati hidangan selepas seharian berpuasa, tetapi juga detik yang mustajab untuk berdoa. Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya bagi orang yang berpuasa itu, ketika saat dia berbuka, terdapat doa yang tidak akan ditolak.”(HR Ibnu Majah, No. 1753).
Oleh itu, sebelum menyuap makanan pertama, ambillah beberapa saat untuk berdoa dengan penuh pengharapan dan keikhlasan.
4. Ketika solat tarawih dan sujud
Ramadan tidak lengkap tanpa solat tarawih yang dilakukan pada waktu malam. Selain mendapat pahala solat berjemaah, waktu ini juga merupakan peluang untuk berdoa, terutama di antara rakaat solat atau selepas selesai solat.
Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW bersabda: “Seorang hamba paling dekat dengan Tuhannya ialah ketika dia dalam keadaan sujud, maka perbanyakkanlah doa.” (HR Muslim, No. 482).
Begitu juga ketika sujud dalam solat, kerana dalam keadaan ini seseorang berada paling dekat dengan Penciptanya. Ambil kesempatan untuk memohon keampunan, hidayah, dan segala kebaikan dalam kehidupan.
5. Malam Lailatul Qadar
Salah satu keistimewaan Ramadan adalah adanya malam Lailatul Qadar, yang lebih baik daripada seribu bulan. Allah SWT berfirman dalam Surah Al-Qadr, ayat 3: “Malam Lailatul Qadar itu lebih baik daripada seribu bulan.”
Dalam satu hadis, Rasulullah SAW bersabda: “Barang siapa yang beribadah pada malam Lailatul Qadar dengan penuh keimanan dan mengharap pahala, maka diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu.”
(HR Bukhari, No. 1901; Muslim, No. 760).
Pada malam ini, doa yang dipanjatkan sangat mustajab, dan peluang untuk diampunkan segala dosa terbuka luas. Oleh itu, perbanyakkan doa dan ibadah pada malam-malam ini agar tidak terlepas peluang istimewa ini.
Moga dengan memahami waktu-waktu mustajab ini, kita boleh mengatur ibadah dan doa dengan lebih berkesan.
Sumber: Astro Awani
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI