Tidak dinafikan telefon pintar kini sudah menjadi sebahagian daripada hidup kita. Ia kini bukan lagi bertindak semata-mata sebagai peranti komunikasi.
Malah telefon pintar kini mampu melakukan banyak perkara seperti perbankan, e-mel serta komunikasi dalam bentuk teks menerusi pelbagai aplikasi. Apatah lagi penggunaan laman media sosial kini menjadi salah satu perkara yang sudah lumrah dalam kehidupan seharian.
Namun fungsi telefon pintar masih lagi digunakan untuk perbualan telefon terutamanya untuk komunikasi tradisional yang lebih terang, cepat dan jelas.
Maka telefon pintar itu akan kita usung ke mana sahaja termasuklah bila memasuki tandas. Rasanya pada zaman sekarang agak sukar untuk masuk tandas tanpa telefon pintar di tangan. Ia seakan sudah menjadi peneman ketika kita melunaskan hasrat perut.
Ada juga orang yang ketika membuang air sambil bercakap telefon. Lebih mengharukan mereka tidak mempedulikan orang lain yang turut menggunakan tandas tersebut.
Bolehkah kita bercakap telefon ketika membuang air di dalam tandas?
IKLAN
KASHOORGA tertarik dengan perkongsian yang pernah dilakukan oleh pendakwah disegani ramai, Ustaz Azhar Idrus. Beliau menjelaskan antara adab tatkala masuk ke dalam tandas adalah tidak bercakap-cakap di tempat berkenaan.
Ini kerana katanya, ia adalah perbuatan yang dibenci oleh syarak.
Daripada Abu Said Al-Khudri RA bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda: “Tiadalah dua orang membuang air dalam keadaan terbuka aurat dan berbual keduanya, maka sesungguhnya ALLAH SWT murka atas yang demikian itu.” (Riwayat Abu Daud)
Tambah tokoh pendakwah popular tersebut, murka yang dimaksudkan adalah bersangatan marah.
IKLAN
“Dalam kitab Syarah Sunan Abi Daud ada dinyatakan tentang perkara itu.
“Sementara itu, Syeikh Bujairimi pula berpandangan: “Dan tiada berkata-kata ketika kencing dan berak, ertinya diam ketika tunaikan hajat, maka tidak berkata dengan zikir dan lainnya dimakruhkan baginya yang demikian itu kecuali darurah.”
“Ia sebagaimana yang dinukilkan oleh beliau dalam kitab Hasyiah Bujairimi,” katanya dipetik menerusi Instagram miliknya baru-baru ini.
IKLAN
“Tidak kiralah sama ada individu yang sedang bercakap dengan kita itu dekat atau jauh iaitu termasuklah mereka yang bercakap dengan menggunakan telefon,” katanya.
Justeru, elakkanlah bercakap ketika berada di dalam tandas. Ia bukanlah tempat yang sesuai untuk kita berbual-bual.
Bukankah lebih manis jika kita bersembang di tempat yang sesuai? Hendak berbual pun lebih selesa dan tiada gangguan lain.
Dibimbangi perbualan kita atau perbualan dalam telefon kita tadi akan mengganggu orang lain untuk melepaskan ‘hajat’ terutama jika melibatkan tandas awam.
Soalan: Apa hukum membasuh kain dengan menggunakan mesin basuh?
Jawapan:
Asal sesuatu pakaian yang bersih dimasukkan oleh seseorang ke dalam mesin basuh tidak dikira bernajis melainkan terbukti kenajisannya.
Pakaian dicuci dengan menggunakan air yang bersih dan bahan-bahan yang boleh membersihkan. Setelah sesuatu pakaian itu dicuci dengan satu proses penyucian sehingga tiada lagi kesan najis sama ada bau, rasa dan warna, maka dikira pakaian itu bersih. Tidak diperintahkan oleh syara’ untuk kita membebani diri meneliti sesuatu proses pembersihan jika sudah terbukti cucian yang berlaku menghilangkan segala kesan najis.
Jika terbukti masih terdapat kesan najis selepas proses pembersihan menggunakan mesin basuh maka pakaian terbabit dikira masih bernajis. Namun jika kesan itu terlalu sukar untuk dihilangkan dan hanya sedikit seperti kesan warna darah atau warna najis yang tidak dapat dihilangkan maka dimaafkan.
Bagi mengelakkan kesan najis di dalam penggunaan mesin basuh maka digalakkan seseorang memastikan pakaian yang dimasukkan itu dihilangkan najis yang jelas yang akan menyebabkan pakaian lain terkena najis tersebut dan memberi kesan kepada bau, warna dan rasa.
‘Akui cuai tinggal card debit, saya halalkan wang yang telah dibelanjakan.’ Mencuri harta orang wajib kembalikan, ini pesan UAI (Ustaz Azhar Idrus).
Mengambil hak orang lain tak kiralah duit, makanan, kad bank atau apa saja tanpa izinnya memang dilarang agama.
Malah jika kita bertaubat sekalipun, kita harus pulangkan barang yang kita ambil. Jika tidak taubat kita pun tak diterima kerana kita pernah mencuru harta orang lain.
Semalam tular di Facebook sebuah video yang memaparkan seorang wanita selamba menggunakan kad debit milik orang lain yang tertinggal di atas menu restoren tersebut. Ramai warganet menyelar tindakan wanita tersebut.
Ini posting pertama pemilik kad debit tersebut. Kongsinya:
Minta tolong carikan pasangan suami isteri dalam video (dalam ruangan komen) & gambar. Perempuan pakai tudung biru & lelaki pakai baju merah. Anak 3 orang.
Semalam saya makan di Woodfires di Stadium Sultan Ibrahim ketika perlawanan Persahabatan JDT dan Persis Solo. Saya baju putih. Debit card tertinggal di atas menu.
Pencuri (pakai tudung biru) selamba TAP pakai card debit saya untuk beli burger.
Kalau sesiapa kenal minta hubungi saya ya. Sebab kad itu dia ada pakai dekat tempat lain juga sebelum saya sempat blok.
Saya Halalkan
Tak lama kemudian, atas kuasa viral masalah ini dapat diselesaikan. Ini pula posting kedua apabila pemilik kad tersebut menemui pesalah.
Satu tindakan yang harus dipuji apabila pemilik kad yang dikenali dengan nama Arzaim Barimin mengakui kesilapannya yang cuai dan menghalalkan wang yang dibelanjakan setelah mendengar cerita sebenar.
Mencuri Harta Orang
Salam. Selamat semua
Saya owner card debit tersebut. Kes sudah selesai ya. Saya akui silap saya cuai. Selepas selesai bayar ambil gambar menu, cadang nak beli untuk sarapan dengan wife esoknya.
Boleh pulak kad debit itu sama warna dengan buku menu. Saya terima notifications dari Bank Islam untuk kesemua transaksi. Hanya transaksi ketiga saya trigger sebab amount besar.
Wajib Kembalikan
Pesalah ada call saya petang tadi selepas video tersebar. Kami sudah jumpa di Puteri Harbour tadi pukul 9 malam.
Dia mengaku salah ada “terguna” kad saya empat kali. Dua kali beli burger Woodfire dan la gi dua kali di KK Mart Gelang Patah. Sudah pukul 11 malam tak banyak kedai yang buka masa itu.
Katanya duit yang digunakan adalah untuk beli barang kegunaan harian keluarga. Selepas dengar penjelasan dia, jadi saya halalkanlah semua yang di belanjakan. Burger dia akan bayar semula di Woodfire sebab saya sudah terima refund dari Woodfire.
Terima kasih Woodfire & JDTFC bantu dari awal kes sampai selesai. Kes sudah selesai ya semua. Saya undur diri dulu. Minta jadikan pengajaran untuk semua.
Ini Pesan UAI
Menerusi perkongsian lain, Ustaz Azhar Idrus menjelaskan hukum mengambil hak orang lain:
Dulu ketika kecil pernah mencuri barang milik orang. Jadi macam mana saya nak selesaikan sekarang. Adakah perlu saya anti dengan jumlah yang sama?
Ya benar, kalau baran itu ada lagi, wajib pulang barang. Sebagai contoh dahulu kita curi cincin kawan kita, kira-kira 10 tahun yan lalu dan cincin tersebut masih ada di rumah.
Maka taubat kita tak sah selagi kita tak pulangkan cincin tersebut pada tuannya. Wajib pulangkan balik kerana taubat dalam bab ambil harta orang ada empat syarat. Tambah syarat yang ke-empat ialah pulang balik harta haram tadi.
Ada segelintir orang sudah bertaubat, tapi cincin tersebut sayang nak pulangkan sebab sudah lama pakai. Jadi taubatnya tidak akan diterima.
Assalamualaikum Dato’ Mufti. Terdapat masjid yang meletakkan pencuci tangan pada pintu masjid. Jadi, bolehkah menggunakan hand sanitizer ketika melakukan solat, adalakah ia dikira najis disebabkan ada alkohol di dalamnya. Mohon pencerahan Dato’ Mufti. Terima kasih.
Gambar sekadar hiasan.
Jawapan
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Dalam melakukan ibadah solat, di antara syarat sah solat yang wajib dipatuhi adalah menghilangkan najis yang terdapat pada badan dan pakaian. Persoalan pada kali ini adalah untuk menjelaskan penggunaan hand sanitizer (pencuci tangan) ketika hendak melakukan solat. Justeru sebaiknya kita membahaskan tentang apa yang terdapat pada kandungan dan bahan yang digunakan di dalam hand sanitizer (pencuci tangan) itu sendiri.
Hand Sanitizer (Pencuci Tangan)
Penggunaan sanitizer adalah bertujuan untuk membunuh bakteria yang terdapat pada permukaan kulit. Ia juga merupakan bahan yang efektif dalam membunuh kuman dan bakteria berbanding mencuci tangan menggunakan air dan sabun.
Menurut garis panduan daripada Food and Drug Administration (FDA) setiap kandungan produk hand sanitizer yang dipasarkan mestilah mengandungi ethyl alcohol (ethanol), isopropyl alcohol (isopropanol) atau benzalkonium klorida sebagai bahan utama.[1]
Selain itu, terdapat juga hand sanitizer yang menggunakan bahan selain daripada alkohol untuk membunuh mikroorganisma dan bakteria seperti povidone-iodine atau triclosan.
Sukatan yang digunakan mengikut jenis bahan yang diletakkan di dalam hand sanitize (pencuci tangan). Mengikut World Health Organization (WHO) menetapkan garis panduan dengan menyatakan bahan kimia yang digunakan di dalam 10 liter hand sanitizer mestilah mengandungi 8333 ml daripada 96% ethanol, 417 daripada 3% hydrogen peroxide dan145 daripada 98% glycerol atau 7515 ml daripada 99.8% isopropyl alcohol, 417 ml daripada 3% hydrogen peroxide dan 145% daripada 98% glycerol. [2]
Hukum Penggunaan Alkohol
Menuru jumhur ulama, alkohol merupakan najis kerana ia termasuk di dalam cecair yang memabukkan. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/183-184). Ini seperti hadis yang diriwayat oleh Ibnu Umar RA, sabda Nabi SAW:
Maksudnya: “Setiap yang memabukkan adalah arak dan setiap arak adalah haram.” Riwayat Muslim (2003)
Selain itu, Prof. Dr Basri bin Ibrahim al-Hasani al-Azhari menyebut di dalam kitabnya menyatakan para ulama berselisih pandangan tentang sama ada arak najis atau tidak. Pada dasarnya, ulama bersepakat tentang arak adalah najis, tetapi mereka berselisih tentang sifat kenajisannya. Segolongan ulama berpendapat arak merupakan najis dari segi ainnya. Manakala menurut pendapat yang lain arak tidak najis dari segi ainnya. Sebaliknya najis dari segi maknawi iaitu tidak boleh diminum kerana ia merupakan sesuatu yang kotor sperti dadah dan seumpamanya. (Lihat Isu-isu Fiqh Halal & Haram Semasa, hlm. 598)
Fatwa Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam Tahun 2005 (ms. 74) juga menyatakan: “Alkohol sintetik atau tiruan daripada campuran bahan kimia adalah haram meminumnya kerana sifatnya yang memudharatkan seperti mana racun.
Adapun barangan kosmetik yang mengandungi alkohol yang dihasilkan melalui sintetik atau tiruan daripada campuran bahan kimia adalah harus menggunakannya, kerana ia bukan najis. Dengan ini juga, sah sembahyang seseorang yang memakai baju yang telah disembut dengan minyak wangi yang mengandungi alkohol yang dihasilkan melalui sintetik atau tiruan daripada campuran bahan kimia kerana ia bukan najis.”
Selain itu, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-7 yang bersidang pada 11-12 April 1984 telah membincangkan Alkohol Menurut Pandangan Islam. Muzakarah telah memutuskan bahawa:
Setiap minuman arak mengandungi alkohol. Bukan semua alkohol itu mengandungi arak. Alkohol dari proses pembuatan arak hukumnya haram dan najis, tetapi alkohol yang dibuat bukan melalui proses pembuatan arak hukumnya tidak najis tetapi haram diminum. Minuman ringan yang dibuat sama caranya dengan membuat arak sama ada mengandungi sedikit alkohol atau alkoholnya disuling adalah haram diminum.
Minuman ringan yang dibuat bukan dijadikan arak atau bahan yang mabuk dan tidak sama caranya dengan proses arak adalah halal. Tapai halal dimakan.
Alkohol yang terjadi sampingan dalam proses pembuatan makanan tidak najis dan boleh dimakan.
Ubat-ubatan dan pewangi yang ada kandungan alkohol adalah harus dan dimaafkan.
Begitu juga boleh rujuk artikel di laman web PMWP yang bertajuk IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-185: MENGGUNAKAN ALKOHOL SWAB DAN MINYAK WANGI BERALKOHOL untuk maklumat lebih lanjut.
Kesimpulan
Kemunculan penularan virus Covid-19 telah melanda negara kita, oleh itu perlaksanaan menjaga kebersihan merupakan faktor utama bagi mengurangkan risiko dalam jangkitan virus ini. Justeru, timbul persoalan berkenaan dengan penggunaan hand sanitizer (pencuci tangan) semasa melakukan solat. Adakah ia dikira sebagai najis kerana kandungan alkohol di dalamnya?
Berbalik kepada persoalan yang diajukan dan pendapat ulama yang diberikan, dapat disimpulkan bahawa hand sanitizer (pencuci tangan) adalah tidak najis dan boleh digunakannya ketika hendak melakukan sembahyang serta tidak dikira menanggung najis. Ini jelas seperti yang diputuskan oleh Muzakarah Jawatankuasa fatwa Majlis Kebangsaan iaitu ubat-ubatan dan pewangi yang ada kandungan alkohol adalah harus dan dimaafkan.
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang sahih terhadap agamaNya serta taufiq dan hidayah untuk mengamalkan syari’atNya dengan sebaiknya.
Wallahua’lam
S.S. Dato’ Seri Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri Mufti Wilayah Persekutuan Diterbitkan : 1 Mac 2020