Mengahwini adik ipar setelah isteri meninggal dunia memang agak jarang terjadi, namun ia tetap berlaku dalam masyarakat kita. Tentulah ada faktor yang mendorong hal ini terjadi. Setiap kes adalah berbeza.
Islam tiada halangan dalam hal ini. Di saat salah seorang daripada pasangan suami isteri meninggal dunia, maka dibolehkan pasangan yang masih hidup untuk bernikah lagi dengan syarat memenuhi kriteria sah nikah.
Ayah perlukan teman hidup yang sentiasa ada di sisi.
Tiada seorang pun berhak menghalang hasrat untuk bernikah itu termasuklah anak-anaknya. Mereka tidak dibenarkan melarang orangtuanya untuk berkahwin lagi.
Kita sebagai anak perlu faham mengapa ayah mengambil keputusan itu. Bukan bermakna ayah tidak lagi menyayangi allahyarhamah ibu, tetapi ada sesetengah lelaki memerlukan teman hidup untuk menjalani kehidupan seharian.
Mahu teman untuk berkongsi cerita, mencari teman yang boleh menjaga makan minumnya da menjaganya diwaktu sakit pening. Dia tidak mahu menyusahkan anak-anak yang telah pun mempunyai kehidupan masing-masing.
Ads
Sekiranya ayah mampu untuk memberi nafkah kepada isteri baharunya, maka kita sebagai anak-anak perlu berikan sokongan penuh. Dalam Islam, sekiranya duda kematian isteri, maka dia boleh sahaja menikahi siapapun, termasuklah jika ingin mengahwini adik atau kakak ipar (saudara kandung perempuan) allahyarhamah isterinya.
Ayah tidak perlu menjalani masa menunggu hingga empat bulan atau sewaktu dengannya setelah isterinya meninggal sebagaimana yang disyaratkan terhadap balu yang perlu menunggu habis iddah.
Ads
SOALAN:
Seorang telah kematian isteri dan isterinya memiliki saudara kandung perempuan yang hendak dinikahi olehnya. Apakah dia harus menjalani masa iddah dan menungga hingga empat bulan sepuluh hari dari sejak isterinya meninggal? Atau apakah dia boleh langsung akad dengan saudari kandung isterinya sebelum masa itu?
Kami mengambil kesimpulan bahawa boleh bagi lelaki (ayah) tersebut menikahi saudara kandung perempuan isterinya yang sudah meninggal tanpa menunggu masa tertentu.
Dalam kitab Al-Hamidiyah disebutkan bahwa ada seorang lelaki telah kematian isteri dan isterinya memiliki saudara kandung perempuan, apakah dia boleh menikah saudara kandung perempuan isterinya setelah sehari isterinya meninggal?
Jawapannya, Ya, seperti disebutkan dalam kitab Al-Khulashah.
Dalam solat pastinya kita tak lupa mendoakan ibu bapa, pasangan dan anak-anak kita. Tapi adakah kita turut sekali mendoakan adik beradik kita? Jika tiada, mulakan untuk menyelitkan sekali doa untuk mereka.
Dikongsi oleh Dr. Ahmad Sanusi Azmi kisah Nabi Musa yang sentiasa mendoakan abangnya Nabi Harun mungkin antara sebab untuk kita mula mendoakan saudara kandung kita dalam setiap solat.
1. Salah satu perkara yang boleh kita pelajari dari kisah-kisah al-Quran adalah mendoakan adik beradik sendiri. Perkara ini dapat dilihat apabila Nabi Musa mendoakan abangnya Nabi Harun.
2. Hubungan antara abang dan adik ini adalah antara perkara yang menarik untuk diterokai. Mereka digambarkan di dalam al-Quran sebagai adik-beradik yang saling membantu antara satu sama lain dalam usaha dakwah.
3. Nabi Musa dan Nabi Harun memiliki dua karakter berbeza yang ditampilkan di dalam al-Quran. Nabi Musa orangnya keras, sedang Nabi Harun itu sikapnya lembut. Ini dapat dilihat daripada peristiwa yang berlaku setelah kaum mereka menyeleweng dari ajaran Islam, Musa memarahi abangnya Harun dengan menggenggam janggutnya dan menarik rambutnya. Sedang Harun membalas dengan baik dengan katanya:-
“Nabi Harun menjawab: “Wahai anak ibuku (Nabi Musa)! Janganlah engkau meragut janggutku dan janganlah menarik (rambut) kepalaku. Sesungguhnya aku takut bahawa engkau akan berkata kepadaku: “Engkau telah memecah-belahkan kaum Bani lsrail sesama sendiri, dan engkau tidak berhati-hati mengambil berat pesananku!” Surah Taha: 94.
4. Nabi Harun orangnya fasih sedang Nabi Musa barangkali tuturnya tidak berapa lancar. Perkara ini diakui sendiri oleh Nabi Musa ketika meminta bantuan daripada Allah supaya Allah mengutuskan Harun sebagai pembantunya kerana beliau lebih fasih dalam bertutur.
Kata Nabi Musa:-
وَأَخِي هَارُونُ هُوَ أَفْصَحُ مِنِّي لِسَانًا
“Dan saudaraku Harun, dia lebih fasih dari diriku” (Surah al-Qasas: 34).
4.1 Menurut al-Imam Ibn Kathir, Musa mempunya sejarah yang menyebabkan beliau menjadi sedemikian. Ketika kecil, beliau diberikan pilihan antara tamar dan bara api oleh Firaun untuk menguji anak kecil ini. Musa telah memilih bara lalu diletakkan pada lidahnya yang menyebabkan terdapat gangguan kepada lisan beliau. (Ibn Kathir, Tafsir, Dar al-Kutub al-Ilmiyyah, 1419H, 6/212)
5. Walaupun memiliki karakter yang berbeza, dua beradik ini adalah pasangan yang ideal dalam dakwah. Ketika Allah memerintahkan Nabi Musa untuk berdakwah kepada Firaun, beliau memohon supaya Allah melantik Harun, abangnya sebagai pembantu.
Perlantikan Nabi Harun sebagai pembantu Nabi Musa ini disebut berulang-ulang kali di dalam al-Quran. Ia menggambarkan betapa besar peranan Harun sebagai pembantu misi dakwah tersebut. Allah menceritakan dialog Musa ini di dalam al-Quran. Firman Allah: وَاجْعَلْ لِي وَزِيرًا مِنْ أَهْلِي (29) هَارُونَ أَخِي (30) اشْدُدْ بِهِ أَزْرِي (31) وَأَشْرِكْهُ فِي أَمْرِي (32) كَيْ نُسَبِّحَكَ كَثِيرًا
“Dan jadikanlah bagiku, seorang pembantu dari keluargaku. [30] Iaitu Harun saudaraku [31] Kuatkanlah pendirianku dengan sokongannya [32] Dan jadikanlah dia turut campur bertanggungjawab dalam urusanku [33] Supaya kami sentiasa beribadat dan memujiMu [34] – Surah Taha: 30-34.
6. Bukan sahaja sahaja saling membantu, Nabi Musa juga direkodkan sebagai mendoakan keampunan buat abangnya. Berapa ramai di kalangan kita yang mendoakan sesama adik beradik sendiri?
“Wahai Tuhanku, ampunilah dosaku dan dosa saudaraku dan masukkanlah kami ke dalam syurga.” (Surah al-A’raf:151)
7. Melihatkan kepada doa ini, alangkah baiknya andai sesama adik-beradik itu saling mendoakan kebaikan dan keampunan sesama mereka agar mereka semua sentiasa berada di dalam rahmat Allah.
‘Banyakkan berdoa pada Allah agar diberi kemudahan.’ Mina tempat menguji kesabaran, keimanan dan ketakwaan jemaah haji. Dikatakan sepanjang di Mina, kita janganlah terlalu banyak merungut, sebaliknya doa pada Allah agar dipermudahkan urusan.
Ternyata apa yang jemaah haji lalui di Mina pasti akan menjadi ingatan dan kenangan yang tidak dapat dilupakan sampai bila-bila. Ikuti perkongsian Azli Loko tentang pengalamannya bermalam di Mina sempena musim haji kali ini.
Mina, tempat di mana semua ‘Ismail-Ismail’ aku dilucutkan.
Alhamdulillah, banyak cerita-cerita perjalanan haji yang dikongsikan sehari dua ini.
Ini pula, cerita aku…
Ramai yang sifatkan Mina sebagai tempat ujian yang berat, yang menguji tahap kesabaran dan juga yang akhirnya menimbulkan rasa syukur dalam diri. Sesungguhnya memang betul pun…
Aku… Bila isteri bergenang air mata tanya ‘Abang, kita tak boleh ke naffar awal?
Huhu… Adoi, luluh hati aku. Khemah dia panas, isteri dan anak hanya survive makan maggie, tak lalu hendak telan apa pun. Ajak minum-minum tak hendak, sebab tak sanggup kerap-kerap beratur lama dekat toilet.
Lepas jumpa anak, isteri… Aku ke sana, ke sini tanya macam mana cara hendak balik ke Makkah. Jumpa jalannya, aku WhatsApp bagitahu dia kita boleh balik Makkah…
Dia reply, tak apa abang. Kita reda, apa yang Allah bagi. Kita reda, kata dia, ilmu kita tak sebanyak mana sehingga hendak decide buat kerja haji ikut cara sendiri.
Takut tersalah nanti menyesal sampai bila-bila. Allahuakbar, Allah masukkan lapang dalam hati dia, tapi Allah ajar aku ikhtiar cari yang paling baik untuk mereka.
Bila reda dan berniat untuk buat yang terbaik. Lillahitaala, Allah Ya Rahman, Ya Rahim, kirimkan nikmat satu persatu. Dihantar maggie tak putus-putus cakap saja apa flavour yang teringin.
Sebelum tidur aiskrim datang dekat khemah, mereka siap boleh pilih hendak strawberi atau vanilla. Buah pula, tak payah cakaplah melimpah ruah, anak hendak apple juice sampai satu catton dapat.
Maknya suka pineapple juice ambillah sampai tak lalu hendak minum, kemudian ada orang datang masukkan kipas-kipas dalam khemah. Allahuakbar…
Menjelang pagi, bila jemaah naffar awal sudah beransur balik, mereka pindah masuk khemah kosong. Tunjuk gambar tilam berlapis-lapis, siap kena pakai selimut sebab sejuk sangat pula.
Mandi pun boleh berkali-kali sehari. Hendak pergi toilet pun pilih saja yang mana. Senyum-senyum bergurau dengan geng mereka sambil minum hot chocolate al-maklum sebab sejuk katanya.
Malam datang nasi Arab, sampai kena tolak sebab kenyang sangat. Alhamdulillah tabarakallah.
Pergi melontar pun boleh bergurau senda, tidak ada yang tak bahagia. Bergenang lagi air mata dia, tapi isteri cuma cakap, Alhamdullillah.
Aku fikir selama ini bila anak, isteri hendak itu dan ini, akulah yang adakan semua untuk mereka. Malah, akulah yang bagi itu, akulah yang providekan ini, akulah yang buat dia bahagia akulah yang buat dia senyum. Dan akulah, semua aku.
Tapi dekat sini Allah ajar aku, bukan kau yang bagi, tapi aku. Bukan kau yang buat anak isteri bahagia tapi aku, bukan kau yang ada semua kuasa tapi aku.
Kau tidak akan mampu kalau aku tak bagi kau jalannya. Sungguh kerana hanya 4 hari aku di Mina, membuat aku memohon keampunan, sungguh aku serahkan kembali semua ‘Ismail-Ismail’ yang Allah pinjamkan.
Sungguh aku mengaku aku tidak ada daya dan upaya dalam hidup dan hanya kepada-Nya aku memohon dan berlindung. Dan sungguh, Mina meninggalkan kesan paling dahsyat dalam jiwa aku sebagai hamba, melucutkan segala KEAKUAN dan aku balik dengan kesyukuran atas sekecil-kecil nikmat Allah bagi…
Semoga segala yang aku rasa di Mina akan kekal dalam diri aku selamanya… Semoga Allah ampunkan kami, redakan dan terima segala ibadah dan izinkan kami pulang dengan haji yang mabrur.
Isteri aku kata, semoga Allah limpahi kita dengan segala Ismail yang ada tetapi hati kita tidak akan terikat dengan semua ismail2 yang dipinjamkan. Amin. Insyallah.
Dalam setiap perhubungan mesti adapasang surutnya. Tidak semua kejadian itu indah-indah kerana ada masanya berlakunya perselisihan faham.
Namun bagaimana sebagai orang perempuan yang sering merasa dirinya tidak disayangi suami. Ada caranya boleh dilakukan untuk memastikan diri kita dirindui orang yang kita sayang terutama apabila berjauhan.
Berikut adalah beberapa petua atau kaedah yang boleh dicuba untuk membuatkan lelaki merindui anda.
Tidak dinafikan bagi wanita yang bekerja, mungkin sukar untuk memberi layanan yang mesra saat suami tiba di rumah selepas bekerja. Malahan sebenarnya, wanita yang menjadi suri rumah juga adakalanya kelam kabut dalam menguruskan anak.
Namun, cuba untuk luangkan sekurang-kurangnya 10 hingga 15 minit untuk menyambut kepulangan suami sebelum menyambung melakukan tugasan rumah anda. Berikan layanan mesra dan senyuman, sudah tentu perbuatan ini akan dapat membuatkan hati lelaki sejuk melihat anda.
Seperti yang dinyatakan tadi, wanita yang bekerja atau suri rumah akan berasa penat. Namun tidak ada salahnya untuk anda bersiap, sekurang-kurangnya mandi dan berpakaikan kemas selain baju kelawar, ketika menyambut kepulangan lelaki yang anda cintai.
Lagi bagus kalau dikenakan sedikit wangian yang digemari pasangan anda. Ini sudah tentu dapat membuatkan lelaki merindui anda ketika berjauhan. Kalau anda rajin, oleskan sedikit lipstik untuk menampak anda lebih berseri.
Nampak remeh bukan? Tapi tidak bagi orang-orang lama. Orang dulu-dulu, akan tanya suami mahu minum apa. Isteri akan tuangkan dan letakkan di sebelah suami. Lelaki juga inginkan diri dimanja. Rasanya sebagai pasangan, anda pasti mengetahui mengenai makanan mahupun minuman kegemaran lelaki kesayangan anda, bukan? Jadi setiba kepulangan suami, sediakanlah air kegemaran mereka.
Kalau anda tidak pasti, anda boleh tanya sama ada mereka inginkan air sejuk atau air panas. Kalau rajin, hidangkan bersama kuih sama ada disediakan oleh anda, atau anda boleh beli sahaja di kedai.
Ketika berbual dengan lelaki, mungkin ia adalah sangat yang sesuai untuk anda bermanja dan mendapatkan perhatian mereka. Sesekali ketika berbual, mungkin anda boleh sandarkan kepala anda ke dada mereka.
Rahsianya, perbuatan meletakkan kepala ke dada adalah satu perbuatan yang disukai oleh lelaki. Ini membuatkan mereka berasa seperti lelaki sebenar yang dapat memberikan perlindungan kepada insan yang dicintai mereka. Kalau anda ingin membuatkan lelaki rindu kepada anda, rajin-rajinlah untuk menyandarkan kepala ke dada mereka.
Namun, pastikan terlebih dahulu lelaki kesayangan anda berada dalam mood yang baik.
Seperti wanita, lelaki juga ingin dibelai manja. Apabila dalam kenderaan dan lelaki sedang memandu, mungkin anda boleh memberikan belaian mesra kepadanya. Usaplah tangan atau paha, belailah pipi mahupun rambut. Kalau nampak si dia keletihan, picitlah dengan lembut bahu mahupun lehernya.
Anda mungkin berasakan perbuatan ini tidak mungkin akan membuatkan lelaki merindui anda, tetapi apabila si dia sudah terbiasa dengan belaian anda, sudah pasti dia akan merindui belaian manja dari anda apabila berjauhan. Lebih-lebih lagi apabila si dia memandu sendirian, sudah tentu si dia akan merindui anda. Lagipun tidak ada ruginya untuk mencuba.
Walaupun hakikatnya lelaki jarang mahu berkongsi masalah dengan sesiapa, tetapi ada masanya kita semua memerlukan seseorang untuk sudi mendengar luahan dan masalah. Sekiranya, suami anda inginkan ruang untuk berbicara, maka berikanlah sepenuh perhatian kepadanya.
Anda mungkin tidak perlu untuk memberikan sebarang pandangan mahupun komen, kerana adakalanya, lelaki hanya ingin meluahkan bebanan yang ditanggung. Jadi selagi mereka tidak bertanyakan pandangan anda, pinjamkan sahaja telinga anda.
Lelaki pastinya akan berasa disayangi apabila anda tampak tidak jemu dan memberikan perhatian kepadanya. Sudah tentu, ini akan membuatkan si dia merindui anda, apabila berjauhan, bukan?
Bila kita sayangkan seseorang, sudah pasti hati dan fikiran akan selalu memikirkan tentang si dia, apatah lagi jika berjauhan. Jadi mungkin anda boleh menghantar mesej kepada lelaki yang anda sayangi. Tanyakan keadaannya, ingatkan si dia untuk makan, atau mungkin sekadar bertanya tentang harinya.
Tiada salahnya kalau anda menyatakan bahawa anda merindui si dia, sudah tentu ia akan membuatkan si dia rasa disayangi. Malah peratusan yang tinggi bahawa si dia juga akan mengakui bahawa anda juga sedang dirindui.
Jika masa bercinta dahulu, boleh bermesej sehingga lewat tengah malam, kenapa tidak ketika sudah menjadi yang halal, anda meneruskan lagi untuk bermesej si dia. Ikatan perkahwinan bukan untuk menghenti kasih sayang yang terjalin dahulu ketika bercinta, tetapi untuk menguatkan lagi rasa cinta, jadi mulakan untuk menghantar mesej kepada si dia.
Apa yang membuatkan kita merindui seseorang? Sudah tentu rasa rindu itu hadir kesan daripada cara seseorang menzahirkan rasa sayang kepada kita, bukan? Jadi sebagai isteri, jangan malu untuk pamerkan rasa cinta dan kasih kepada pasangan anda melalui perbuatan.
Pimpinlah tangan si dia ketika berjalan, suapkanlah makanan kepadanya atau lapkan mulutnya sewaktu makan. Atau anda boleh membuat kejutan seperti membuat pesanan makanan secara kejutan ke tempat kerja suami. Sudah tentu ia boleh membuatkan suami berasa bangga memiliki isteri yang prihatin seperti anda.
Pastinya, apabila sering dimanjakan dengan perbuatan sebegini, rasa rindu juga akan hadir apabila berjauhan.
Menjaga merupakan satu perspektif yang luas, anda boleh menjaga dengan mengambil berat aspek penampilan suami, segera menyahut panggilan daripada lelaki kesayangan anda dan berhiaslah untuk suami. Ini merupakan antara cara untuk membuatkan lelaki rindukan anda.
Sebelum tidur malam, anda mungkin boleh membelai dan memberikan ciuman pada dahinya serta lafazkan betapa anda bersyukur memiliki si dia sebagai lelaki yang bergelar suami. Ia sudah pasti membuatkan si dia lebih menyayangi anda.
Ketahui tanda kematian menurut Islam dan perubatan berdasarkan al-Quran, hadis serta penjelasan perubatan moden. Fahami perubahan fizikal ketika nazak dan bezakan fakta daripada mitos 40 hari atau 100 hari sebelum kematian.