Malam hari adalah waktu berehat bagi pasangan suami isteri. Ada ketikanya pasangan melakukan hubungan batin sebagai fitrah berumahtangga. Selesai berhubungan selepas kepenatan, adakalanya kita tertidur tanpa sedar.
Di sebalik hubungan batin secara sah ini, mungkin ramai yang kurang sedar hukum tidur dalam keadaan berjunub adalah makruh. Dalam erti kata lain, tidak mendapat dosa tetapi akan mendapat pahala sekiranya ditinggalkan.
Bacalah perkongsian dari pejabat Mufti Wilayah Persekutuan ini mengenai hukum seseorang tidur dalam keadaan berjunub tanpa mandi wajib terlebih dahulu. Malah Rasulullah juga tertidur selepas berjunub namun Baginda terlebih dahulu mengambil wudhu sebelum tidur. Moga kita juga boleh mengamalkannya selepas mengetahui perkara ini.
Assalamu’alaikum tuan Mufti, kalau seseorang lelaki berada dalam keadaan berjunub, adakah boleh untuk dia tidur dalam keadaan tersebut? Atau dia perlu untuk mandi wajib terlebih dahulu?
Jawapan : Wa’alaikumussalam w.b.t. Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.
Menjawab berkenaan dengan isu ini, seseorang itu dianggap berjunub apabila berlaku dua perkara kepada dirinya. Pertama, keluar air mani sama ada melalui mimpi dan sebagainya. Kedua, mengadakan hubungan suami isteri, meskipun tidak keluar air mani.
Berbalik kepada persoalan yang dikemukakan, kami kongsikan beberapa riwayat yang berikut. Antaranya adalah sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Salamah R.A beliau bertanya kepada A’isyah R.Anha :
Ads
أَكَانَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم يَرْقُدُ وَهْوَ جُنُبٌ قَالَتْ نَعَمْ وَيَتَوَضَّأُ Maksudnya : Adakah Nabi S.A.W pernah tidur dalam keadaan berjunub ? Kemudian A’isyah menjawab : Ya, dan baginda berwuduk (terlebih dahulu sebelum tidur). Riwayat Al-Bukhari (286)
Imam Al-Hafiz Ibn Rajab al-Hanbali dalam syarahan beliau ke atas hadis ini berkata : ‘’Hadis ini menunjukkan keharusan untuk melewatkan mandi junub tanpa sebarang dharurat. Akan tetapi sekiranya dia hendak tidur maka disunatkan untuk dia berwuduk terlebih dahulu’’. Rujuk Fath al-Bari, Ibn Rajab (1/349).
Demikian juga seperti yang disebutkan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah Ibn Umar R.A beliau berkata :
اسْتَفْتَى عُمَرُ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم أَيَنَامُ أَحَدُنَا وَهوَ جُنُبٌ قَالَ نَعَمْ إِذَا تَوَضَّأَ
Ads
Maksudnya : Umar pernah bertanya kepada Nabi S.A.W : ‘’Adakah boleh seseorang dari kami tidur dalam keadaan dia berjunub ?’’. Lalu jawab Rasulullah S.A.W : ‘’Ya boleh, apabila dia telah berwuduk’’.Riwayat Al-Bukhari (289)
Manakala dalam riwayat yang lain daripada Ibn Umar R.A beliau berkata : Umar pernah menceritakan kepada Rasulullah S.A.W bahawa dia berjunub pada waktu malam. Kemudian Rasulullah S.A.W berkata :
تَوَضَّأْ وَاغْسِلْ ذَكَرَكَ ثُمَّ نَمْ
Maksudnya : Berwuduklah kamu dan basuhlah kemaluan kamu kemudian tidurlah. Riwayat Al-Nasa’ie (261)
Ads
Meskipun begitu, di sisi para fuqaha al-Syafi’eyyah dan selain mereka arahan yang terdapat di dalam riwayat di atas ini bukanlah merujuk kepada makna wajib sebaliknya merujuk kepada hukum mustahab iaitu disunatkan. Ini kerana terdapat beberapa riwayat lain yang menunjukkan bahawa hukumnya adalah mustahab sahaja.
Syeikh Al-Mahamili Al-Syafi’e ketika menjelaskan keadaan-keadaan yang mana seseorang itu disunatkan untuk berwuduk menyebut antaranya :
والوُضُوءُ لِلْجُنُبِ عِنْدَ النَّومِ
Maksudnya : Dan berwuduk ketika hendak tidur bagi orang yang berjunub. Rujuk Al-Lubab fil Fiqh al-Syafi’e (Hlm. 59)
Penutup
Sebagai kesimpulan setelah kami merujuk kepada beberapa nas dan hujahan di atas kami menyatakan bahawa dibolehkan untuk seseorang yang berjunub itu melewatkan mandi wajibnya kepada selepas bangun dari tidur. Namun, disunatkan untuk seseorang yang berjunub untuk mengambil wuduk seperti wuduk solat sebelum dia tidur. Sekiranya dia tidur dalam keadaan berjunub tanpa berwuduk terlebih dahulu maka hukumnya adalah makruh.
Akhir kalam, kami berdoa kepada Allah S.W.T agar memberikan kefahaman yang tepat kepada kita semua dalam beragama. Ameen.
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download
sekarang ya?
Beli kereta baru sebelum guna siram dengan air jampi kononnya untuk mengelakkan musibah. Mungkin ada yang tak percaya dengan amalan ini tapi hakikatnya ia masih dijadikan amalan oleh segolongan kita.
Ini antara persoalan yang dibangkitkan oleh seorang netizen berkenaan hukum menyiram kereta dengan air jampi.
Soalan
Saya ingin bertanya beberapa persoalan berkaitan siram air jampi pada kenderaan : 1.Apakah hukum renjis/bilas kenderaan bagi memastikan tidak kena musibah seperti kemalangan, kecurian, kerosakan dan sebagainya.
2.Apakah hukum siram/renjis kereta kerana disyakki kenderaan yang digunakan terkena Ain.
3.Adakah terdapat perbezaan/persamaan perbuatan tersebut dengan amalan kaum agama lain yang mana secara zahirnya dilihat lebih kurang sama.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan saudara;
1. Perbuatan merenjis/ membilas kenderaan bagi mengelakkan musibah adalah sesuatu yang tidak disyariatkan, hukumnya tidak harus kerana menimbulkan fitnah dan tohmah terhadap masyarakat Islam.
Jika berlaku sesuatu musibah ucaplah sebagaimana firman Allah SWT; الَّذِينَ إِذَا أَصَابَتْهُم مُّصِيبَةٌ قَالُواْ إِنَّا لِلّهِ وَإِنَّـا إِلَيْهِ رَاجِعونَ Maksud: “(iaitu) orang yang apabila mereka ditimpa musibah, mereka berkata, “Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali”. (al-Baqarah : 156)
2. Hukumnya juga tidak harus. Cara menghindari daripada penyakit Ain bukanlah dengan menyiram/ merenjis air ke kereta. Caranya ikutlah panduan yang telah dinyatakan dalam hadith yang diriwayatkan daripada Abi Said RA; كان رسول الله ﷺ يتعوذ من عين الجان ثم أعين الانس. فلما نزل المعوذتان أخذهما. وترك ماسوى ذلك
Maksudnya : “Adalah Rasulullah SAW berlindung diri kepada Allah dari penyakit pandangan jahat jin dan juga manusia. Maka ketika turun surah al-Muawwizatan (iaitu surah al-Falaq dan surah an-Nas) baginda mengamalkannya dan meninggalkan yang lainnya” (Riwayat Ibnu Majah)
Justeru, amalkanlah bacaan surah al-Falaq dan surah an-Nas sebagai pelindung diri dari kejahatan jin, manusia dan makhluk lainnya.
3. Jika orang Islam sendiri percaya amalan tersebut, tiada bezanya dengan kaum lain. Sedangkan Islam telah memberikan panduan untuk berkenderaan dengan membaca dan mengamalkan doa sebagaimana firman Allah SWT; وَالَّذِي خَلَقَ الْأَزْوَاجَ كُلَّهَا وَجَعَلَ لَكُمْ مِنَ الْفُلْكِ وَالْأَنْعَامِ مَا تَرْكَبُونَ لِتَسْتَوُوا عَلَىٰ ظُهُورِهِ ثُمَّ تَذْكُرُوا نِعْمَةَ رَبِّكُمْ إِذَا اسْتَوَيْتُمْ عَلَيْهِ وَتَقُولُوا سُبْحَانَ الَّذِي سَخَّرَ لَنَا هَٰذَا وَمَا كُنَّا لَهُ مُقْرِنِينَ وَإِنَّا إِلَىٰ رَبِّنَا لَمُنْقَلِبُونَ
Maksudnya : “Dan (Dia lah) yang menciptakan sekalian makhluk yang berbagai jenisnya; dan Ia mengadakan bagi kamu kapal-kapal dan binatang ternak yang kamu dapat mengenderainya, Supaya kamu duduk tetap di atasnya; kemudian kamu mengingati nikmat Tuhan kamu apabila kamu duduk tetap di atasnya, serta kamu (bersyukur dengan) mengucapkan: “Maha Suci Tuhan yang telah memudahkan kenderaan ini untuk kami, sedang kami sebelum itu tidak terdaya menguasainya -“Dan sesungguhnya kepada Tuhan kamilah, kami akan kembali!” (az-Zukhruf : 12 – 14)
Selepas semua usaha dilakukan seperti memastikan kenderaan diservis, memandu secara berhemah, mematuhi isyarat di jalanraya dan sebagainya, maka bertawakkallah kepada Allah SWT.
والله أعلم بالصواب
Sepanjang tempoh kawalan pergerakan semasa pandemik, kerajaan telah mengetatkan syarat untuk solat Jumaat berjemaah kepada jumlah yang terhad sahaja. Hanya beberapa jemaah berdaftar sahaja dibenarkan untuk solat Jumaat berjemaah. Keadaan ini menyebabkan rasa hampa sebahagian jemaah yang ingin tunaikan solat Jumaat di masjid.
Justeru adakah dibenarkan dalam situasi sekarang, kaum lelaki mendirikan solat Jumaat atas niat berjemaah menerusi Live Streaming di rumah? Kita ikuti penjelasan dari SS Mufti Wilayah Persekutuan akan hal solat secara live streaming ini.
Assalamualaikum w.b.t Saya ada satu persoalan. Bolehkah kita menunaikan solat Jumaat secara live streaming? Harap dapat pencerahan mengenai perkara ini.
Waalaikumussalam w.b.t. Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga baginda, para sahabat baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT :
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا نُودِيَ لِلصَّلَاةِ مِن يَوْمِ الْجُمُعَةِ فَاسْعَوْا إِلَىٰ ذِكْرِ اللَّـهِ وَذَرُوا الْبَيْعَ ۚ ذَٰلِكُمْ خَيْرٌ لَّكُمْ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diserukan azan untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang Jumaat) dan tinggalkanlah berjual-beli (pada saat itu), yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya).” (Surah al-Jumu‘ah : 9)
Ayat di atas adalah merupakan antara dalil pensyariatan dan kewajipan solat Jumaat. Selain itu, solat Jumaat juga adalah antara beberapa kelebihan yang dikurniakan khusus kepada umat Nabi Muhammad SAW supaya mereka mendapat kemuliaan hari Jumaat tersebut.
Solat Jumaat wajib ditunaikan secara berjemaah
Kami ingin menegaskan bahawa kewajipan solat Jumaat hendaklah ditunaikan secara berjemaah. Perkara ini adalah sebagaimana sabda Rasulullah SAW :
الْجُمُعَةُ حَقٌّ وَاجِبٌ عَلَى كُلِّ مُسْلِمٍ فِي جَمَاعَةٍ إِلاَّ أَرْبَعَةً عَبْدٌ مَمْلُوكٌ أَوِ امْرَأَةٌ أَوْ صَبِيٌّ أَوْ مَرِيضٌ Maksudnya : “Solat Jumaat merupakan satu hak kewajipan ke atas setiap orang muslim untuk mendirikannya secara berjemaah, kecuali hamba yang dimiliki oleh tuannya, perempuan, kanak-kanak dan orang yang sakit.” Riwayat Abu Daud (1067)
Malah, Dr. Wahbah al-Zuhaili telah menyatakan di dalam kitabnya bahawa telah berlaku Ijma’ ulama mengenai kewajipan menunaikan solat Jumaat secara berjemaah.
Syarat-Syarat Mengikut Imam Bagi Solat Berjemaah
Sepertimana yang telah kami sebutkan, solat Jumaat wajib ditunaikan secara berjemaah. Oleh itu, solat Jumaat tertakluk kepada syarat-syarat sah solat berjemaah. Antara syarat-syarat sahnya solat berjemaah ialah makmum mesti mengetahui pergerakan imam.
Mengenai perkara ini, Imam al-Nawawi ada menyebutkan bahawa :
Maksudnya : “Disyaratkan untuk sahnya ikutan (dalam solat berjemaah) ialah makmum mengetahui segala perpindahan (pergerakan dalam solat) orang yang menjadi imam, sama ada kedua-duanya (Imam dan makmum) menunaikan solat di dalam masjid atau selain masjid (luar masjid) atau salah seorangnya di dalam masjid dan seorang lagi berada di luar masjid. Inilah perkara yang telah disepakati (oleh para ulama).
“Ulama mazhab Syafie mengatakan bahawa hasil pengetahuan makmum itu ialah dengan mendengar imam atau mendengar orang yang dibelakang imam atau melihat pergerakkan imam atau pergerakkan orang yang di belakang imam. Dan mereka telah menukilkan ijma’ mengenai keharusan berpegang pada tiap-tiap satu daripada perkara tersebut.”
Begitu juga, al-Khatib al-Syirbini menyatakan bahawa disyaratkan makmum mengetahui segala pergerakan imam (di dalam solat), supaya (makmum itu) dapat mengikut sama ada dengan imam atau melihat sebahagian daripada saf (makmum yang lain) atau mendengarnya (suara imam) atau pun mendengar suara muballigh.
Selain itu, Al-Sayyid Ahmad al-Syatiri ada menyebutkan antara syaratnya juga ialah :
أن يكون اجتماع الإمام والمأموم… إما في مسجد، أو في مكان سواه لا يزيد ما بينهما منه على ثلاث مئة ذراع تقريبا…
“Hendaklah berhimpun (pada satu tempat) Imam dan makmum… sama ada di dalam masjid, atau tempat selainnya (luar masjid) yang mana jarak antara keduanya tidak melebihi kira-kira 300 hasta (lebih kurang).”
Apabila kita melihat kepada syarat ini, sebenarnya ia kembali semula kepada syarat sebelumnya iaitu dengan berhimpunnya kedua-duanya dalam satu tempat membolehkan makmum melihat dan mengetahui pergerakkan imam.
Oleh itu, di dalam kitab al-Fiqh al-Manhaji ada disebutkan bahawa sekiranya imam dan makmum sama-sama berada di dalam masjid maka mengikut imam adalah sah walau sejauh mana sekalipun jarak antara kedua-duanya ataupun terlindung oleh dinding-dinding yang boleh dilalui
Namun, apabila kedua-dua imam dan makmum berada di luar masjid atau imam di dalam masjid dan makmum di luarnya, ketika ini disyaratkan jarak antara kedua-duanya tidak terlalu jauh.
Dalam hal ini, para ulama ada meletakkan tiga syarat tambahan iaitu :
Sekiranya salah seorang berada di dalam masjid, manakala sebahagian lagi berada di luar masjid, kiraan jarak 300 hasta (150 meter) tersebut bermula daripada bahagian akhir masjid dan bukannya dari saf yang terakhir dalam masjid iaitu jarak di antara tepi dinding luar masjid dengan tempat berdiri makmum yang terdekat di luar masjid tidak melebih 300 hasta. (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 297 dan al-Fiqh al-Manhaji, 1/182)
Imam Kamaluddin al-Damiri pula berpendapat bahawa dengan makmum melihat imam atau melihat sebahagian daripada saf atau mendengar suara imam atau mendengar suara muballigh, adalah merupakan antara sebab-sebab yang boleh membawa kepada pengetahuan makmum mengenai pergerakkan imam di dalam solat.
Walau bagaimanapun, di sisi kami dan jumhur ulama sekadar (mensyaratkan) perkara tersebut sahaja tidak cukup, bahkan mesti bersamanya diletakkan syarat supaya berhimpunnya imam dan makmum (dalam satu tempat) kerana kalaulah sudah cukup dengan hanya pengetahuan (mengenai pergerakkan imam), sudah tentu terbatalnya (tidak perlu lagi) perintah untuk pergi ke masjid bagi menunaikan solat Jumaat.
Begitu juga, seruan untuk menunaikan solat berjemaah (di masjid). Dan setiap orang akan menunaikan solat di rumah masing-masing atau di pasar dengan berimamkan (mengikuti) solat imam di masjid, sekiranya mereka mengetahuinya (pergerakkan imam). Ini jelas menyalahi al-Quran dan Sunnah. (Lihat al-Najm al-Wahhaj fi Syarh al-Minhaj, 2/375)
Hukum Menunaikan Solat Jumaat Secara Live Streaming
Berbalik kepada soalan yang ditanyakan, menunaikan solat Jumaat melalui perantaraan live streaming adalah tidak sah dan solatnya terbatal kerana tidak memenuhi syarat-syarat sah mengikuti imam dalam solat berjemaah sebagaimana yang telah disebutkan oleh para ulama.
Begitu juga, solat berjemaah ini sebenarnya bertujuan untuk menghimpunkan orang-orang Islam (secara hakiki). Oleh itu, ia berhajat kepada satu tempat dan bersambungnya saf antara satu sama lain.
Oleh sebab itu, tidak boleh menunaikan solat berjemaah melalui siaran langsung di televisyen atau radio (atau live streaming) kerana ia tidak mencapai maksud sebagaimana yang dikehendaki oleh syarak.
Kalaulah dibenarkan perkara ini, sudah tentu setiap orang boleh menunaikan solat lima waktu dan solat Jumaat di rumah masing-masing.
Sudah tentu, perkara seperti ini menafikan (tujuan) pensyariatan solat Jumaat dan solat berjemaah (iaitu menghimpunkan manusia). (Lihat Majmu’ al-Fatawa wa Rasail Syeikh Ibn al-Uthaimin, 15/213)
Kesimpulannya
Berdasarkan kepada perbahasan dan perbincangan di atas, kami menyimpulkan bahawa menunaikan solat Jumaat melalui perantaraanlive streaming adalah tidak sah dan solatnya terbatal kerana tidak memenuhi syarat-syarat sah mengikuti imam dalam solat berjemaah sebagaimana yang telah digariskan oleh para ulama.
Oleh itu, apabila terdapatnya keuzuran atau halangan daripada menunaikan solat Jumaat seperti perintah kawalan pergerakan ini, maka hendaklah kembali kepada rukhsah yang diberikan oleh syarak iaitu menggantikannya dengan menunaikan solat zohor di rumah masing-masing.
Akhir kalam kami berdoa kepada Allah SWT agar memberikan kefahaman yang tepat kepada kita semua dalam beragama. Amin.
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download
sekarang ya?
Sebenarnya pemakaian braces atau pendakap gigi adalah dibenarkan jika memenuhi keperluan seperti sukar mengunyah makanan dan hilangnya keyakinan bila berkomunikasi.
Namun begitu, tak dinafikan dalam masyarakat kita ramai yang suka memberatkan isu memakai braces ini. Apa lagi bila si pemakai braces meninggal dunia. Begitulah juga isunya dengan wanita yang mewarnakan kuku, warnakan rambut serta yang bergigi emas.
Bagi yang kurang pengetahuan agama selalunya meminta pengurus jenazah tanggalkan braces atau potong rambut yang diwarnakan. Sedangkan tiada saranan dalam agama untuk berbuat demikian.
Ikuti perkongsian Dr Mohd Khairul Izwan dan hadam baik-baik apa yang dijelaskan,
“Saya ada soalan, kalau orang Muslim memakai braces (pendakap gigi). Kemudian, katakanlah tiba-tiba dia meninggal dunia dan ada braces ni.
‘Agak-agak orang yang uruskan kita macam mana ya? Mereka kena panggil doktor gigi untuk buka (tanggalkan) braces orang meninggal itu atau macam mana ya?”
Sebenarnya, hukum asal memakai braces bagi tujuan memperbaiki susunan gigi untuk meningkatkan kualiti hidup dari segi penampilan, keyakinan diri, membantu penguyahan dan juga memudahkan pembersihan gigi, hukumnya adalah harus.
Apabila seseorang meninggal dunia, maka tiada keperluan untuk menanggalkan braces tersebut dan tidak mengapa untuk ditinggalkan serta dikebumikan bersama-sama dengan jenazah yang memakai braces itu.
Ini selari dengan tatacara pengurusan jenazah di mana jenazah yang telah meninggal dunia mestilah dilakukan dan disantuni dengan cara yang paling menghormati jenazah tersebut, seperti mana kita dituntut untuk menghormati seseorang ketika dia masih hidup.
Dalil bagi kenyataan ini bersandarkan kepada firman Allah di dalam Surah Al-Isra ayat 70 yang bermaksud:
“Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak Adam.”
Oleh yang demikian, bagi anda yang berhajat untuk memakai braces ataupun telah memakainya, maka tidak perlu khuatir tentang isu tersebut sekiranya anda ditakdirkan meninggal dunia ketika masih memakai braces.
Dan bagi yang bertugas untuk menguruskan jenazah pula, maka tidak perlulah berusaha untuk menanggalkannya atau memanggil doktor gigi bagi menanggalkannya dan uruskanlah jenazah tersebut seperti biasa.
Begitu juga keadaannya dengan gigi palsu kekal seperti crown, bridge mahupun implant pergigian. Semuanya tidak perlu ditanggalkan dan boleh dikebumikan bersama-sama dengan jenazah.
Hukum ubat kuat menurut Ustaz Azhar Idrus adalah harus jika digunakan untuk tujuan kesihatan dan nafkah batin, dengan syarat produk halal, selamat serta tidak memudaratkan pengguna.