Perkahwinan itu suatu perkara yang serius dan tidak boleh diambil mudah tidak seperti masa bercinta dan bukan masanya untuk bersuai kenal. Ia melibatkan soal masa depan, teman hidup, dan juga bapa kepada anak-anak yang bakal dilahirkan. Maka sudah semestinya seseorang itu perlu memilih dan mencari calon suami yang memenuhi kriteria penting sebagai ‘imam’ dalam rumah tangga.
Walau bagaimanapun rumah tangga yang dibina tidak selalunya aman, di pertengahan jalan mungkin akan ada gelora dan badai yang datang melanda. Jangan cepat berputus asa dan kecewa, hakikatnya dugaan yang datang itu adalah ujian dari Allah SWT untuk menguji sekuat mana iman seseorang itu.
Ingatlah setiap kejadian itu bersebab. Jangan cepat menyalahkan pasangan sebaliknya cubalah untuk membetulkan keadaan. Andai suami berkecil hati dan tertekan dengan sikap anda, pujuk dan raihlah cintanya kembali. Belajarlah untuk memahami keagungan hak-hak suami yang menjadi kewajipan terhadap isteri.
Berikut adalah hak-hak suami yang menjadi kewajiban isteri:
1. Seorang isteri juga perlu menjaga kehormatan, memelihara kemuliaannya serta bijak menguruskan harta, anak-anak dan segala hal yang berhubungan dengan tanggung jawab sebagai isteri di rumah, sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud:
“Sebab itu, maka wanita yang soleh, ialah yang taat kepada Allah lagi memelihara diri ketika suaminya tidak ada, oleh kerana Allah telah memelihara (mereka).”[An-Nisaa’: 34]
Ads
2. Buat para suri rumah, janganlah keluar rumah meskipun untuk ke masjid kecuali dengan izin suamimu. Seperti mana firman Allah dalam surah al Ahzaab ayat 33, yang bermaksud,
“Dan hendaklah kamu tetap di rumahmu.”
Walau bagaimanapun bagi wanita yang berkerjaya, ajukanlah soalan ini kepada suamimu… ‘Apakah abang reda dan rela saya keluar bekerja?’. Jika jawapannya TIDAK, dapatkanlah keredaannya kerana dengan redanya itu akan memberikan keberkatan kepada gaji yang anda peroleh.
Ads
3. Berkhidmat kepada suami dan anak-anaknya. Semestinya seorang isteri itu peneman dan pembantu yang setia bagi seorang suami. Hal ini telah diperlihatkan oleh isteri-isteri solehah daripada kalangan shahabiyah seperti yang dilakukan oleh Asma` bintu Abi Bakar Ash-Shiddiq ra yang berkhidmat kepada suaminya, Az-Zubair ibnul ‘Awwam ra. Ia menguruskan haiwan tunggangan suaminya, memberi makan dan minum kudanya, menjahit dan mengadun tepung untuk membuat makanan. Dia juga turut memikul biji-bijian dari tanah milik suaminya sementara jarak tempat tinggalnya dengan tanah tersebut sekitar 2/3 farsakh.” (Riwayat Bukhari no. 5224 dan Muslim no. 2182)
Demikian juga kisah Fatimah binti Rasulullah s.a.w di rumah suaminya, Ali bin Abi Thalib ra. Sehingga kedua tangannya melecet kerana menggiling gandum. (Riwayat Bukhari no. 5361 dan Muslim no. 2182)
4. Jangan mengungkit pemberian yang diinfakkan kepada suami dan anak-anak.
Ads
Allah SWT telah berfirman, “Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu menghilangkan (pahala) sedekahmu dengan menyebut-nyebutnya dan menyakiti (perasaan si penerima)” (al Baqarah: 264).
5. Reda dengan yang sedikit, memiliki sifat qona’ah (merasa cukup) dan tidak membebani suami lebih daripada kemampuannya. Allah SWT berfirman,
“Hendaklah orang yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya. Dan orang yang disempitkan rezekinya hendaklah memberi nafkah dari harta yang diberikan Allah kepadanya. Allah tidak memikulkan beban kepada seseorang melainkan sekadar apa yang Allah berikan kepadanya. Allah kelak akan memberikan kelapangan sesudah kesempitan.” (. Ath Tholaq: 7)
6. Tidak menyakiti hati suami dan tidak membuatnya marah. Nabi Muhammad s.a.w bersabda, “Tidaklah seorang isteri menyakiti suaminya di dunia melainkan isterinya dari kalangan bidadari akan berkata, “Janganlah engkau menyakitinya. Semoga Allah memusuhimu. Dia (sang suami) hanyalah tamu di sisimu; hampir saja ia akan meninggalkanmu menuju kepada kami”. (Riwayat Tirmidzi no. 1174 dan Ahmad 5: 242. Syaikh Al Albani mengatakan bahawa hadis ini sahih)
7. Terus ingin hidup bersama suami dan tidak meminta untuk diceraikan kecuali jika ada alasan yang kukuh. Nabi s.a.w bersabda,“Setiap wanita yang meminta talak kepada suaminya tanpa ada alasan (yang dibenarkan oleh syar’i), maka haram baginya mencium wangi syurga.” (HR. Tirmidzi no. 1199, Abu Daud no. 2209, Ibnu Majah no. 2055. Syaikh Al Albani mengatakan bahawa hadis ini shahih.
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama. Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
Ikan di laut, asam di darat. Dalam periuk, bertemu jua. Kalau sudah jodoh, lautan dan sempadan tidak menjadi halangan. Percintaan itu indah, soal hati dan perasaan yang tidak boleh dipaksa namun ada ketentuannya. Menyemai cinta dengan warga negara asing bukan semudah yang diangan-angankan. Ia banyak melibatkan penyatuan antara dua insan daripada golongan berbeza sama ada agama atau bangsa mahupun negara. Moga perkongsian ceritera (Nurin bukan nama sebenar) yang dipaparkan ini memberi teladan kepada mereka yang sedang bercinta. Usah kita menjadi buta dek kerana cinta.
Perkenalan aku dengan Jesse tidak dirancang. Kami bertemu ketika aku terlanggar belakang kereta yang dinaiki oleh Jesse, seorang jejaka warga Afrika. Walaupun aku telah melanggar keretanya, tetapi Jesse kelihatan tenang sahaja meskipun memang ketara kesalahanku. Pada mulanya aku menganggap perkenalan antara aku dan Jesse berakhir di situ sahaja, namun Jesse kerap bertanya khabar melalui kad nama yang diberikan ketika kemalangan kecil itu berlaku sehingga aku merasakan amat selesa bila bersamanya.
Aku juga sudah berani untuk menerima pelawaan Jesse untuk keluar bersamanya. Tidak tahu mengapa aku boleh jatuh jati dengan Jesse sedangkan aku tahu, sudahlah Jesse berlainan agama dan bangsa denganku, cara hidup dan budayanya juga berbeza. Ah, mungkin kerana Jesse bijak mengusik jiwa wanita sepertiku. Dia juga bijak berkata-kata sehingga aku mudah ‘cair’ padanya.
Pertemuan demi pertemuan kami lalui bersama. Selepas tiga bulan berkenalan dengan Jesse, dia menyuarakan hasrat hati untuk serius denganku. Ketika itu aku sebenarnya keliru, sama ada gembira mahupun takut. Gembira kerana sudah bertemu dengan cinta sejati, takut kalau-kalau dihalang oleh kedua ibu bapaku. Hati kecilku sudah boleh mengagak, cintaku dan Jesse pasti akan mendapat tentangan daripada kedua orang tuaku.
JAUH TERPESONG
Cinta oh cinta! Demi cintaku yang semakin kuat pada Jesse, aku beranikan diri dan tekadkan semangat untuk berterus-terang dengan kedua ibu bapaku. Apa lagi, sudah tentulah kedua ibu bapaku menghalang cinta aku dan Jesse. Lebih-lebih lagi apabila sudah banyak kisah buruk tentang ‘awang hitam’ yang sering digembar-gemburkan di media cetak mahupun media elektronik. Sudah tentulah ia menambah kegusaran kedua ibu bapaku.
Kalau sudah mabuk cinta, nasihat dan teguran sudah tentu tidak diendahkan. Ibarat masuk telinga kiri, keluar telinga kanan Segala nasihat yang diberikan oleh kedua ibu bapaku dan rakan-rakan, semuanya ku tolak ke tepi lantaran cintaku yang terlalu mendalam pada Jesse. Oh! Sukar digambarkan betapa aku sudah ‘mabuk’ cinta dengan Jesse.
Sejak perhubungan aku dengan Jesse semakin serius, aku semakin melupakan tikar sembahyang. Diri ini semakin leka dengan dunia cinta yang aku bina bersama Jesse. Paling teruk, aku sudah mula berjinak-jinak dengan rokok. Dari seorang gadis yang bertudung litup, aku kini gemar membiarkan rambut lurusku ditatap dan dibelai oleh Jesse.
Perubahan pada diriku sudah tentu menghancur luluhkan perasaan kedua ibu bapaku. Setiap malam, tatkala aku pulang ke rumah, ibuku kerap merayu padaku agar aku memutuskan perhubungan dengan Jesse. Aku sudah jauh terpesong. Mana mungkin dapat ku terima nasihat daripada ibuku. Bukankah aku sedang khayal dalam dunia cinta yang dicipta oleh lelaki bernama Jesse.
KEMBALI KE PANGKAL JALAN
Demi mahu melihat aku kembali ke pangkal jalan, kedua ibu bapaku telah melakukan solat hajat selain meminta pihak masjid melakukan solat hajat. Tujuannya agar pintu hatiku terbuka semula untuk kembali ke pangkuan mereka. Usaha dan kesungguhan yang dilakukan oleh kedua ibu bapaku ternyata dengan izin Allah SWT berjaya membuka pintu hatiku untuk memutuskan perhubungan dengan Jesse.
Seakan tersedar daripada lamunan yang panjang, aku menangis semahu-mahunya. Aku berasa cukup kesal kerana terlalu mengikut perasaan dan darah mudaku. Aku bernasib baik kerana mahkotaku masih terjaga dengan rapi meskipun aku kerap bersama dengan Jesse. Dengan linangan air mata, aku kembali melutut di kaki kedua ibu bapaku. Sungguh aku menyesal dengan apa yang aku lakukan pada mereka.
Menyedari yang aku sudah kembali pada kedua ibu bapaku, Jesse mula menjauhkan diri. Baru ku sedar, sejak berpacaran dengan Jesse, sudah banyak wangku dihabiskan oleh Jesse. Dia bijak memujuk hingga aku sanggup memberikan wang dan barang kemas untuk digadaikan oleh Jesse.
Jesse akhirnya telah ditangkap oleh pihak polis atas kesalahan melakukan jenayah siber. Mengucap panjang tatkala aku terbaca artikel Jesse di dada akhbar. Aku sangat bersyukur kepada Allah kerana tidak lagi hanyut dengan cinta pura-pura Jesse. Berhati-hatilah jika bercinta dengan warga asing. Restu ibu bapa itu amat penting kerana tiada ibu bapa yang mahu melihat anak-anak mereka sengsara. Kini aku semakin gembira melalui hari-hari baruku dan semoga Allah mengampunkan dosa-dosaku yang lalu.
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama. Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
Sejuk mata memandang. Itulah yang boleh dikatakan tentang penampilan berhijab, Lisa Surihani. Sekembalinya daripada mengerjakan umrah, Lisa Surihani tampil berhijab. Ramai peminat berharap dia mengekalkan imej itu.
Sedar mengenai perkara itu, ibu kepada dua anak ini bagaimanapun menganggap keputusan sama ada mahu kekal bertudung atau sebaliknya, terlalu peribadi.
“Jauh di sudut hati kecil saya, hal ini (bertudung) memberikan banyak terjemahan dan kesimpulan.
“Saya agak bimbang apabila ada yang membuat andaian perubahan ini (bertudung) sebagai imej baharu.
“Bimbang kalau saya terus muat naik foto memakai tudung, seolah-olah mahu meraih pujian sesama insan.
“Ia sangat peribadi…Sebab itu saya ambil masa yang agak lama untuk memuat naik gambar ini. Saya harap terus istiqomah dalam hal ini dan melakukannya kerana Allah. Jauh sekali atas tekanan atau kehendak sesiapa,” katanya.
FASA BAHARU DALAM KEHIDUPAN
Akur dengan fitrah manusia yang sering diuji, isteri kepada Yusry Abdul Halim ini mahu menikmati fasa baharu ini perlahan-lahan.
“Dalam hidup ini, kita tak pernah lari daripada melakukan kesilapan. Setiap hari juga kita cuba mengubah diri menjadi lebih baik daripada sebelumnya.
“Pengalaman mengerjakan umrah bersama suami, anak dan keluarga baru-baru ini, saya sifatkan begitu indah.
“Moga lembaran baharu ini dapat saya nikmati sebaik mungkin,” katanya yang hangat diperkatakan selepas foto menghadiri majlis anjuran Snap Inc, viral.
Ibu kepada Yahaira Leanne dan Yusof Leonne ini nampak manis bertudung. Kita doakan moga-moga Lisa Surihani terus istiqomah berhijab.
Amalan penjagaan ibu-ibu selepas bersalin amat diperlukan dalam memastikan keadaan kesihatan ibu kembali mantap selepas melahirkan anak. Oleh itu sokongan daripada insan terdekat iaitu suami amat diperlukan agar kesihatan mental dan fizikal isteri kembali seperti sediakala.
Jarang kita dengar suami yang sanggup jaga isteri dalam pantang. Selalunya isteri ‘dipos’ ke kampung. Alasannya suami tidak pandai. Masa anak pertama mungkin alasan ini bolehlah diterima tapi bila anak dah masuk nombor dua dan seterusnya, suami kenalah belajar menjaga isteri dalam pantang.
Tempoh berpantang akan lebih indah bagi seorang isteri apabila dijaga oleh suaminya. Jangan terkejut kalau ada isteri yang menangis kerana hatinya begitu tersentuh dengan pengorbanan suami yang tidak cukup rehat dan tidur semata-mata nak pastikan isteri dan anak selesa.
Kalau nak isteri semakin sayang, suami kena sahut cabaran menjaga isteri dalam pantang. Berusahalah sepenuh hati pasti pengalaman ini mencatat memori indah dalam perkahwinan korang. Kepada encik suami, ikuti panduan ini. Tak susah pun jaga isteri dalam pantang syaratnya kena ikhlas, sabar dan gigih.
Jaga Isteri Dalam Pantang, 8 Tugas Ini Suami Patut Buat!
PANDUAN JAGA ISTERI BERPANTANG:
1. Mandikan Bayi
Dalam pantang kalau nak isteri berehat sepenuhnya suami kenalah belajar mandikan anak. Minta panduan daripada emak atau orang yang lebih tua. Kalau nak mudah, mandikan baby di dalam tub. Gunakan set mandian bayi jangan main bantai ja. Kena ingat ye kulit baby sensitif. Lepas mandikan baby, urut perut baby dengan minyak telon supaya perut baby tak kembung. Sapukan minyak telon pada perut, belakang betis, tapak kaki dan belakang badan baby.
2. Sediakan Air Herba Untuk Mandian Isteri
Jika mampu sepanjang 44 hari, sediakan air herba untuk mandian isteri. Sekurang-kurangnya bagi isteri mandi air herba selama tujuh hari. Air rebusan herba ini membantu menghangatkan tubuh isteri, melancarkan perjalanan darah dan menyegarkan badan. Tak payah pening-pening, suami beli sahaja set mandian herba di toko jamu. Cara nak guna pun senang, rebus set herba sehingga mendidih, lepas tu tunggu suam baru bagi isteri mandi.
3. Cari Tukang Urut
Sediakan tukang urut untuk isteri. Jika isteri bersalin normal, hari kelima isteri dah boleh urut badan. Tapi jika isteri bersalin secara pembedahan, disarankan seminggu baru isteri berurut. Hanya urut badan ye jangan bagi bidan urut perut kerana bimbang jahitan pembedahan terbuka dan dijangkiti kuman.
4. Masak Menu Pantang
Masa isteri hamil, suami dah boleh cuba memasak menu dalam pantang. Google je resipi dalam pantang dan ikuti langkah mudah memasak. Bila dah selalu cuba, insya-Allah masakan akan sedap. Pasti kan isteri diberi makan makanan yang berkhasiat, elakkan makanan sejuk dan berangin. Tak sesuai untuk wanita lepas bersalin. Menu yang paling senang masak sayur sawi, ulam pegaga, ikan bakar atau sup ayam.
5. Jangan Lupa Tungku & Bengkung Isteri
Lepas isteri diurut, bengkung isteri. Jangan lupa sapu minyak panas supaya badan isteri tidak masuk angin. Bagi isteri yang bersalin normal, suami perlu bakar tungku antara 10 hingga 15 minit supaya isteri dapat bertungku. Lapik tungku dengan daun herba seperti daun kunyit dan mengkudu. Tungku isteri sekurang-kurangnya tiga kali sehari. Daun kunyit boleh dibeli di kedai runcit atau di pasar tani.
6. Bagi Isteri Makan Jamu
Bagi menjaga kesihatan dan kecantikan dalaman isteri, belikan jamu atau herba. Tanya isteri atau ibu mentua agar memilih produk yang tepat. Pasti kan isteri makan jamu secara konsisten untuk kesan yang terbaik.
7. Beli Ubat Lembutkan Najis
Suami kena tahu, lepas bersalin biasanya bahagian intim isteri dijahit. Jadi ramai isteri yang fobia nak buang air besar. Bagi isteri minum air suam secukupnya agar tidak sembelit. Suami juga boleh beli ubat lembutkan najis di farmasi.
8. Pastikan Isteri Cukup Rehat & Bagi Sokongan Moral
Emosi isteri biasanya mudah terganggu dalam pantang kerana isteri penat dan melalui proses penyembuhan selepas ‘bertarung nyawa’. Jadi suami kena banyak bersabar dan bagi sokongan moral. Pasti kan isteri cukup rehat dan cukup tidur. Jika baby berjaga malam, suami kena bergilir dengan isteri menjaga baby.
Berpantang di rumah sendiri lebih privasi. Secara tidak langsung ia juga dapat mengeratkan hubungan kasih sayang antara suami isteri. Ayuh para suami, sahut cabaran jaga isteri ketika dalam pantang.
Sumber kredit: FB: Muhammad Faizal via Keperluan Bayi Murah
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama. Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
Bayar Deposit Beli Barang Tapi Tak Jadi Ambil, Duit Pendahuluan Ini Hak Pembeli Atau Penjual?Dalam urusan jual beli hari ini, bayaran pendahuluan atau deposit...