Bagai sudah menjadi budaya tanpa memikirkan aib pasangan pengantin. Bagi kita ianya mungkin melucukan kerana mengenakan kawan di majlis persandingannya namun bagi pasangan suami isteri ia dilihat perbuatan tidak senonoh. Berkahwin adalah sunnah Rasulullah namun hubungan suami isteri adalah rahsia yang tidak seharusnya dijadikan bahan lawak.
Hal ini telah mendapat teguran dari Pendakwah Prof Madya Datuk Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim yang memaklumkan pemberian hadiah tidak senonoh kepada pasangan pengantin seperti yang tular di media sosial baru-baru ini hukumnya haram dan berdosa kerana menjatuhkan aib suami isteri, keluarga pengantin dan tetamu yang hadir.
Pendakwah, Prof Madya Datuk Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim berkata, amalan itu sepatutnya dihentikan kerana Nabi Muhammad SAW sendiri sangat memuliakan majlis perkahwinan.
“Nabi Muhammad cukup suka beri hadiah kepada orang, lebih-lebih lagi mereka yang melangsungkan perkahwinan untuk menggembirakan hati tuan rumah.
“Malah ada riwayat Rasulullah menyuruh para sahabat yang dijemput ke majlis perkahwinan yang sedang berpuasa sunat untuk berbuka puasa, sampai begitu sekali Rasulullah memuliakan pengantin dan keluarga.
“Disebabkan itu, Islam menyarankan kita menghormati pengantin, keluarga pengantin serta majlis yang diraikan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Ads
Mohd Izhar berkata selain menghadiri perkahwinan, amalan memberi hadiah untuk menggembirakan hati pengantin baru dan meraikan hari bersejarah mereka sudah menjadi satu kebiasaan.
“Hadiah berkenaan mestilah bersifat memuliakan perkahwinan, bukan menghina dan menjatuhkan maruah pengantin, hukumnya adalah makruh jika perkara itu tidak menjatuhkan aib mana-mana pihak.
“Contohnya beri hadiah tidak sepatutnya dalam bentuk tertutup, hanya pasangan pengantin saja yang tahu, hukumnya makruh.
Ads
“Bagaimanapun ia akan menjadi berdosa dan haram kalau perbuatan seperti itu dilakukan di khalayak ramai sehingga menjatuhkan aib suami isteri, keluarga dan majlis perkahwinan itu sendiri,” katanya.
Menurutnya, disebabkan itu, anak muda sekarang perlu berhati-hati kerana Rasulullah menjelaskan, Allah SWT sangat suka kepada orang yang menutup keaiban.
“Saya nasihatkan anak-anak muda supaya menjaga adab ketika menghadiri majlis perkahwinan, beri hadiah dan berseloroh.
Ads
“Saya khuatir perkara ini menjadi amalan tidak baik kepada anak muda, lebih-lebih lagi ia dipertonton secara meluas dalam media sosial yang terang-terangan memaparkan wajah pengantin,” katanya.
Sebelum ini, tular video berdurasi dua minit 15 saat di TikTok memaparkan situasi di majlis perkahwinan di sebuah negeri di mana rakan pengantin memberikan hadiah tidak senonoh kepada pengantin.
Menerusi video itu, dapat dilihat rakan pengantin secara bergilir-gilir memberikan hadiah iaitu kondom kepada pengantin lelaki di atas pelamin ketika majlis.
Perkongsian itu meraih perhatian orang ramai dan rata-rata netizen terkejut dengan tindakan rakan pengantin terbabit yang memberikan hadiah tidak sepatutnya. Sumber : Harian Metro
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama. Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
Selepas tular perlakuannya mempersendakan seorang guru yang mengajar Bahasa Inggeris di program DidikTV, kemuncaknya penyampai radio Hitz FM Sarawak, DJ Yusuf atau nama sebenarnya Muhammad Yusuf Shukri meletak jawatan berkuat kuasa di stesen semalam.
Jelas ia satu tindakan berani bagi meredakan ketegangan dan ia juga satu tindakan yang wajar dipuji. Jujurnya tiada manusia tidak melakukan kesilapan dalam hidup dan semua manusia tidak terlepas untuk belajar sesuatu yang berharga.
Sesungguhnya meminta maaf itu satu perlakuan berani dan ia langsung tidak merendahkan martabat seorang muslim.
“Dan bersegeralah kamu mencari ampunan daripada Tuhanmu dan mendapatkan syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang-orang yang bertakwa, (iaitu) orang-orang yang menafkahkan (hartanya), baik di waktu lapang mahupun sempit, dan orang-orang yang menahan amarahnya dan memaafkan (kesalahan) orang. Allah menyukai orang-orang yang berbuat kebaikan.” (Surah Ali-Imran: ayat 133-134)
Dalam laporan Harian Metro, perletakan jawatan itu disahkan pihak pengurusan Hitz FM Sarawak menerusi hantaran di Instagram.
Dalam satu perkongsian Harian Metro, Hitz FM tetap komited untuk terus memberi maklumat dan hiburan kepada rakyat Malaysia. Berikutan siasatan dalaman kami mengenai kontroversi baru-baru ini yang membabitkan salah seorang penyampai kami, pihak kami sudah menerima perletakan jawatannya berkuatkuasa 22 Februari 2021," tulisnya
Terdahulu, DJ Yusuf atau nama sebenarnya, Muhammad Yusuf Shukri, 29, terbabit kontroversi apabila memuat naik video di aplikasi TikTok mempersenda cara sebutan bahasa Inggeris seorang guru wanita.
Video yang dimuat naiknya itu mengundang kecaman netizen hingga dia akhirnya tampil membuat permohonan maaf di Instagram TV pada 20 Februari lalu.
Yusuf menerusi video permohonan maaf itu turut meminta bantuan secara terbuka supaya dia dapat dihubungkan dengan guru berkenaan bagi membolehkannya memohon maaf atas sikap yang ditunjukkan.
"Perkara pertama adalah saya dengan seikhlas hati memohon maaf kerana mempersenda guru terbabit. Ia langsung tidak lucu dan saya tak boleh menjadikan ini sebagai alasan untuk membenarkan sesuatu sikap buruk," katanya.
Terdahulu, tindakan Yusuf memuat naik video sebagai respons kepada sebutan bahasa Inggeris guru wanita sambil memaparkan reaksinya ketawa berdekah-dekah mencetuskan kemarahan netizen yang turut mendesak stesen radio Hitz FM Sarawak memecat Yusuf.
Susulan itu, Yusof digantung tugas serta-merta menerusi kenyataan dikeluarkan wakil pengurusan stesen radio itu pada 19 Februari lalu.
Hasil tinjauan Harian Metro di Instagram Yusuf setakat ini, dia masih belum membuat sebarang kemaskini dan memaklumkan mengenai perletakan jawatannya itu.
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama. Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
Sengaja atau tidak untuk nikah senyap-senyap di negara jiran itu adalah urusan peribadi masing-masing. Cuma paling utama ialah daftar nikah. Pernikahan itu perlu didaftarkan sesegera mungkin.
Jika gagal akan dikenakan tindakan undang-undang. Tak kiralah di negara mana sekalipun dinikahkan, ia tetap perlu didaftar mengikut perundangan Malaysia.
Walaupun mengikut hukum syarak perkahwinan itu sah, namun isu besar akan timbul dalam tuntutan hak atau menghadapi banyak implikasi undang-undang Malaysia.
Jangan terkejut pula apabila isteri baharu tiada hak penggiliran, tiada hak pusaka, sulit untuk daftar persekolahan anak-anak dan lain-lain. Boleh perang dunia ketiga jadinya jika tiada dokumen hitam putih mengikut lunas undang-undang yang telah ditetapkan.
Bagi pasangan yang telah berkahwin senyap-senyap tetapi masih kabur tentang cara pendaftaran pernikahan mengikut lunas undang-undang, maka disarankan membaca catatan ringkas peguam Suriati Ab Ghani untuk kebaikan bersama.
Ada 2 cara yang boleh diambil oleh pasangan ‘pengantin baru’ ini, tapi kedua-dua cara tersebut ada kesan yang berlainan dari segi rekod bermulanya tarikh pernikahan serta kesan kepada pendaftaran kelahiran anak yang lahir.
CARA 1:
Memfailkan Kes Pengesahan Nikah Di Mahkamah Syariah Di Malaysia
Pernikahan sah jika wali pada ketika akad nikah dijalankan berada lebih dari 2 marhalah (92 kilometer) dari tempat akad nikah, dengan menggunakan jurunikah yang bertauliah di Thailand.
Pernikahan juga sah jika cukup rukun nikah yang lain iaitu ada suami, ada isteri, ada 2 orang saksi lelaki dan ada sighah (ijab qabul).
Jika Mahkamah Syariah di Malaysia telah memutuskan pernikahan tersebut sah, rekod pernikahan adalah bermula pada tarikh akad nikah yang berlaku di Thailand.
Jika permikahan tersebut telah disahkan, anak yang lahir juga boleh terus didaftarkan sebagai anak sahtaraf.
CARA 2:
Melakukan Akad Nikah Semula Di Malaysia
Rekod tarikh pernikahan yang tertera dalam sijil nikah adalah bermula pada hari akad nikah yang baru dilakukan tersebut.
Kesan kepada pendaftaran kelahiran anak, tidak boleh dibinkan kepada bapa kerana dikira anak tak sahtaraf, samada anak lahir dulu sebelum tarikh akad nikah semula di Malaysia atau tarikh kelahiran anak menunjukkan persetubuhan berlaku sebelum akad nikah berlangsung.
Jalan penyelesaian untuk menjadikan anak tersebut adalah anak sahtaraf, ibu bapa boleh memfailkan tuntutan pengesahan nasab anak di Mahkamah Syariah, kemukakan fakta, bukti serta saksi bahawa pernikahan sebenarnya berlaku lebih awal di Thailand tetapi pasangan bertindak melakukan akad nikah semula di Malaysia.
Pandangan dan nasihat saya, adalah lebih baik buat pengesahan pernikahan di Malaysia, bukannya akad nikah semula. Daftar nikah lebih mustahak. Mengapa? Kerana kesannya bukan sahaja kepada anak, malah turut memberi kesan kepada isteri.
Jika berlaku perceraian, tuntutan mut’ah turut mengambil kira tempoh perkahwinan, tuntutan nafkah tertunggak isteri juga jika ada tidak boleh diambilkira dari tarikh pernikahan sebenar di Thailand.
Jika ada harta yang dibeli dalam tempoh perkahwinan iaitu dibeli selepas tarikh pernikahan di Thailand, tidak dikira harta sepencarian jika pasangan melakukan akad nikah semula di Malaysia.
Kashoorga: Komplikasi sangat besar terutama sekali buat isteri baharu. Oleh itu, pastikan ikut saranan peguam atau pejabat agama bagi mengelakkan masalah lebih rumit.
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama. Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
Setiap dari kita pastinya mahu rumahtangga dibina akan kekal hingga ke akhir hayat. Lebih-lebih lagi jika ia adalah cinta pertama. Namun kita hanya merancang tapi Tuhan jua yang menentukan.
Setelah bertahun menyulam cinta dan dikurniakan seorang anak, siapa sangka rumahtangga dibina mengalami berantakan.
Begitulah yang terjadi pasangan pelakon Sharnaaz Ahmad, 34 tahun dan isterinya Noor Nabila Mohd Noor, 34 tahun, mengalami masalah rumahtangga hingga memaksa Noor Nabila menuntut untuk dilepaskan secara baik.
Noor Nabila dalam tuntutannya juga memberitahu, langkah sudah diambil untuk mencapai perdamaian termasuk sudah berbincang namun tidak menemui jalan penyelesaian dan defendan berterusan dengan sikapnya.
Namun bagi Sharnaz dia belum bersedia untuk menceraikan isteri dan ibu kepada anak tunggal mereka, Jebat Jaydan Ahmad yang kini berusia setahun.
Terdahulu dalam prosiding itu, Sharnaaz yang diwakili peguam Datuk Akberdin Abdul Kader ketika ditanya hakim adakah sudah melihat tuntutan yang diterimanya daripada Noor Nabila pada 29 Ogos lalu, menjawab ” Ya” namun tidak bersetuju dengan tuntutan cerai berkenaan.
Namun begitu, dalam kes ini bagaimana penyelesaian kepada masalah ini. Jika isteri mahu bercerai tetapi tidak dipersetujui oleh lelaki.
Apakah jalan terbaik untuk menyelamatkan rumahtangga dibina daripada terus runtuh.
Menurut Pendakwah Bebas Ustaz Riza Kamaruddin, bagi kes seperti ini jalan terbaik kedua-dua pihak adalah dengan mengadakanMajlis Thuluh atau Majlis Tahkim.
“Kedua-dua pihak perlu lantik wakil untuk berbincang bagi pihak mereka dalam mencari jalan untuk perdamaian.
“Biasanya hal ini akan dijalankan oleh pihak pejabat agama atau pihak-pihak lain, pihak pejabat agama atau mahkamah boleh mengaturkan Majlis Thuluh ini,” ujarnya ketika ditanya mengenai persoalan itu.
Ustaz Riza Kamaruddin
Tambahnya lagi tiada jalan lain boleh dibuat jika salah seorang sudah mengambil keputusan untuk berpisah.
“Tidak ada caranya (untuk berdamai) melainkan kedua-dua pihak ikhlas mencari jalan penyelesaiannya. Kalau masih boleh berbaik-baik berbincanglah demi masa depan anak yang masih kecik,” tambahnya lagi ketika dihubungi.
KREDIT FOTO: INSTAGRAM NOOR NABILA & SHARNAAZ
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama. Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
Keluar pejabat pada waktu bekerja untuk melakukan urusan peribadi ibarat satu kebiasaan. Ada yang memberitahu majikan tapi ramai juga yang keluar senyap-senyap hingga berjam-jam...