Ubah suai meter elektrik untuk kurangkan bil, apa hukumnya? Bil elektrik yang semakin tinggi memang terasa membebankan. Disebabkan itu ramai yang mengambil menjimatkan penggunaan tenaga sebagai langkah penjimatan tapi tak kurang juga ada yang melakukan perkara berbeza.
Sebagai contoh membuat pengubahsuaian meter termasuklah meletakkan magnet dan sebagainya demi mengurangkan bil elektrik. Dalam hal ini apakah hukumnya?
Hukumnya haram
Menurut Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dalam Irsyad Hukum Siri Ke-876, Hukum Mengubah Suai Meter Elektrik, perbuatan sebegini dilihat sebagai salah satu helah untuk menipu dan hukumnya adalah haram.
Dalam penjelasannya, mengubah suai meter elektrik adalah perbuatan yang bertentangan dengan syariat Islam. Hal ini kerana ia bertujuan memperoleh sesebuah harta dengan cara yang salah iaitu tanpa keizinan daripada pemilik harta berkenaan malah mencabuli undang-undang setempat.
Secara umumnya, terdapat larangan dalam al-Quran ke atas orang beriman daripada memakan atau mengambil harta orang lain secara batil. Allah SWT berfirman:
Maksudnya: “Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya).” (Surah al-Baqarah :188)
Ads
Di samping itu, terdapat sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah Ibn Mas’ud bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مَن غشَّنا فليس منَّا والمكرُ والخداعُ في النَّارِ
Ads
Maksudnya: ‘Sesiapa yang melakukan penipuan maka dia bukanlah termasuk dalam kalangan kami. Balasan yang menimpa ke atas golongan yang melakukan tipu daya dan muslihat adalah ditempatkan dalam neraka.” (Riwayat Ibn Hibban)
Secara kesimpulannya sama ada memasang magnet atau mengubah suai meter elektrik bagi menjimatkan bil elektrik hukumnya adalah haram.
Jika seseorang itu sudah taubat tetapi setelah beberapa lama masa berlalu dia telah lakukan lagi dosa itu. Adakah taubatnya dulu tidak diterima?
JAWAPAN :
Siapa yang telah melakukan satu dosa kemudian dia telah bertaubat maka Allah akan menerima taubatnya itu jika taubatnya itu nasuha artinya yang ikhlas kerana Allah yang terbit dari hatinya dan ada serta taubatnya itu rasa penyesalan atas apa yang telah lalu dan berazam ia sungguh-sungguh tidak akan kembali kepada maksiat.
Ertinya : “Wahai orang-orang yang beriman bertaubatlah kamu semua kepada Allah dengan taubat nasuha semoga Tuhan kamu menghapuskan daripada kamu sekelian segala kesalahan kamu dan memasukkan kamu sekelian kedalam taman-taman syurga yang berlari di bawahnya mata air.” (At-Tahrim : 8)
Ertinya : “Dan sungguhnya Aku maha pengampun bagi orang yang bertaubat dan beriman dan melakukan amal yang soleh kemdian mengikut pertunjuk.” (Taha : 82)
Ada pun taubat hanya dengan lisan sedangkan hati masih ingin kembali kepada maksiat maka taubat ini ditolak bahkan ia dikira sebagai satu maksiat pula.
Maka jika telah benarlah taubat yang nasuha kemudian syaitan memperdayakannya sehingga dia terjatuh melakukan maksiat lagi dalam keadaan tidak ada dia berniat untuk melakukan maksiat dan tidak berazam melakukannya kemudian dia bertaubat maka Allah akan menerima taubatnya.
‘Bayi kerap menangis tapi tak keluar air mata.’ Elak anak terkena gangguan, amal surah dan doa ini, bila anak kalian ada tanda-tanda mengalami gangguan.
Apabila anak kecil kerap menangis pada waktu malam terutamanya waktu senja atau tengah malam, sudah tentu setiap ibu bapa pasti mempunyai perasaan bimbang dan risau.
Ia berkemungkinan si kecil itu lapar, sakit atau terkena gangguan makhluk halus. Menangis bagi bayi atau anak kecil merupakan perkara biasa, bukan semestinya kerana ada masalah atau kerana kecuaian ibu.
Malah menangis merupakan suatu pernyataan bayi atau kanak-kanak sebagai ganti kepada pertuturan yang tidak dapat diluahkan terhadap sesuatu yang berlaku.
Ada bayi yang masih dalam tempoh berpantang, tidur nyenyak di siang hari, tetapi mula menangis pada masa-masa tertentu sama ada pada tengah malam, petang ataupun bila-bila masa tanpa sebab yang jelas.
Terdapat juga bayi yang mula menangis apabila tidurnya terganggu, biarpun oleh suara yang perlahan seperti bunyi benda jatuh, bunyi tapak kaki, bunyi pintu tertutup dan sebagainya.
Pada kebiasaannya tangisan akibat gangguan tersebut berlaku dalam tempoh yang singkat. Terkadang ada juga anak kecil menangis malam tanpa henti. Bukan sebab lapar atau sakit. Tapi sebab gangguan lain.
Menangis bayi tak berairmata. Susah hati ibu bapa bila anak-anak macam tu. Puas pujuk tetap menangis juga.
Insyallah, cuba amalkan bacaan ini untuk anak-anak kalian yang menangis.
• Membaca Surah al-Fatihah dan mengulang-ulanginya.
• Kemudian, membaca Ayat al-Kursi.
• Membaca Surah al-Ikhlas, Surah al-Falaq dan Surah al-Nas.
• Dan membaca doa seperti di bawah sebanyak 3 kali:
Doa dan ayat al-Qur’an di atas boleh dibacakan pada air dan dipercikkan kepada mereka yang sakit. Ia berdasarkan perbuatan Nabi SAW kepada Thabit bin Qais.
[Menurut hadis Riwayat Abu Daud, no. 3885]
Semoga sedikit sebanyak memberi manfaat buat semua ya.
‘Tak gosok badan dan hanya berendam dalam tab mandi.’ Sah atau tidak mandi wajib seseorang itu? Iyalah jika ikut hukum air dalam tab mandi mencukupi dan rata ke seluruh badan.
Kadang-kadang bila berpeluang menginap di hotel, kita tak akan lepaskan peluang untuk mandi di dalam tab mandi. Maklumlah tak semua rumah ada tab mandi. Namun begitu apa hukumnya mandi wajib atau mandi junub dalam tab mandi. Sah atau tidak.
Ikuti kemusykilan yang dikongsikan oleh Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan berkaitan isu ini.
Soalan
Adakah boleh mandi junub dengan sekadar berendam di dalam tab mandi?
Ringkasan Jawapan
Mandi junub atau mandi wajib yang dilakukan dengan berendam di dalam tab mandi adalah sah dan memadai sekalipun tidak menggosok tubuh badan apabila tidak terdapat sebarang kotoran yang menghalang laluan air untuk sampai ke tubuh badan.
Huraian Jawapan
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat dan salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.
Perkara yang menyebabkan seseorang itu wajib mandi ialah keluar air mani, haid, nifas dan wiladah. Para ulama telah menjelaskan bahawa fardu bagi mandi wajib ada dua perkara sahaja iaitu niat mandi wajib dan meratakan air ke seluruh badan. Hal ini seperti yang dijelaskan oleh Imam al-Nawawi bahawa:
Maksudnya:
Sekurang-kurang untuk (mandi wajib) ialah niat mengangkat hadas atau bagi memboleh ibadah yang memerlukan kepadanya atau bagi melaksanakan fardu mandi wajib yang dilakukan bersamaan dengan basuhan pertama anggota yang wajib dan meratakan air ke seluruh bulu dan badan.
[Rujuk Minhaj al-Tolibin: 1/14]
Ada disebutkan dalam hadis yang diriwayatkan oleh Saidatina Aisyah R.Anha, yang merujuk kepada meratakan air ke seluruh badan, beliau berkata:
Maksudnya: Sesungguhnya apabila Nabi SAW mandi junub, Baginda akan memulakannya dengan mencuci kedua-dua tangannya. Kemudian Baginda berwuduk sebagaimana wuduk untuk solat.
Seterusnya, Baginda memasukkan jari-jari ke dalam air lalu meratakannya ke kulit rambutnya. Kemudian Baginda menyiramkan air ke atas kepala dengan kedua-dua tangannya sebanyak tiga kali, seterusnya Baginda mengalirkan air ke seluruh kulit tubuhnya.
Riwayat Bukhari
Berdasarkan penjelasan di atas mandi junub dengan cara berendam di dalam tab mandi, jika telah cukup dua rukun di atas iaitu niat dan meratai air ke seluruh badan maka ia adalah sah. Imam al-Ramli menjelaskan bahawa:
Maksudnya: Jika ada seseorang yang junub dan orang yang berhadas kecil menyelam ke dalam air yang sedikit (kurang daripada 2 kolah), kemudian berniat, maka hilang hadas dari keseluruhan anggota badan dalam permasalahan pertama (bagi orang yang junub, dan hadas hilang daripada anggota wuduk dalam permasalahan yang kedua (bagi orang berhadas).
Sementara itu, air tersebut menjadi mustakmal jika digunakan lagi oleh orang lain, bukan pada diri sendiri.
[Rujuk Nihayah al-Muhtaj: 1/73]
Seterusnya, Imam Ba ‘alawi menjelaskan bahawa jika terdapat seseorang yang junub menyelam ke dalam air yang banyak atau sedikit dan berniat, maka sah dan memadai meskipun tidak disertai dengan gosokan pada badannya.
Walau bagaimanapun, jika terdapat lilin, kotoran atau minyak pada anggota tubuh badannya sehingga menghalang air untuk sampai ke tubuhnya melainkan dengan cara menggosok, maka wajib menggosok sebagaimana dijelaskan di dalam bab wuduk.
[Rujuk Bughyah al-Mustarsyidin: 44]
Justeru, mandi junub atau mandi wajib yang dilakukan dengan berendam di dalam tab mandi adalah sah dan memadai sekalipun tidak menggosok tubuh badan apabila tidak terdapat sebarang kotoran yang menghalang laluan air untuk sampai ke tubuh badan.
Akan tetapi, jika terdapat kotoran tersebut, maka wajib menggosok dan menghilangkan kotoran tersebut seperti perbahasan di dalam bab wuduk.