Hukum Hanya Jirus Air Saja Tanpa Gosok Tapak Kaki Ketika Wuduk
Berwuduk adalah syarat sah solat. Wuduk yang tidak dilakukan mengikut rukun boleh menyebabkan ia tidak sah. Ini bermakna, solat yang dilakukan dengan wuduk yang tidak sempurna juga tidak sah.
Sebab itulah ia tidak boleh dipandang ringan. Namun ada beberapa persoalan yang dibangkitkan dalam perihal wuduk ini.
Antaranya ketika berwuduk ada yang mengatakan wajib digosok sekali telapak kaki dan bukan sekadar melalukan air saja. Kemusykilan ini mendapat penjelasan daripada Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.
Maksudnya : Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu hendak mendirikan solat maka basuhlah muka-muka kamu serta tangan-tangan kamu sehingga ke bahagian siku. Dan sapulah kepala kamu serta (basuhlah) kaki-kaki kamu sehingga ke bahagian buku lali.Surah Al-Ma’idah (6)
Ayat di atas ini menjelaskan beberapa anggota yang wajib dibasuh dan disapu dalam wuduk. Iaitu muka, kedua tangan sehingga ke siku, kepala, serta kaki sehingga ke buku lali. Dua lagi perkara fardhu dalam wuduk adalah niat dan juga tertib.
Ads
Hukum Hanya Jirus Air Saja Tanpa Gosok
Merujuk kepada persoalan yang dikemukakan, isu ini sebenarnya melibatkan perbahasan para ulama fekah berkenaan hukum menggosok anggota wuduk setelah dikenakan air padanya.
Dalam bahasa arab perbuatan ini disebut sebagai الدلك. Dari sudut bahasa, ia membawa maksud : Melalukan tangan kepada anggota. Rujuk Mu’jam Maqayis al-Lughah, Ibn Faris (2/297).
Dalam mazhab Imam al-Syafi’e, perbuatan menggosok anggota wuduk untuk meratakan air adalah termasuk dalam kategori perkara-perkara sunat ketika berwuduk. Imam Al-Nawawi ketika menghuraikan beberapa perkara sunat dan mustahab di dalam berwuduk beliau berkata:-
وَأَنْ يُدَلِّكَ الْأَعْضَاءَ
Ads
Maksudnya : Dan seseorang itu menggosok anggota wuduk. Rujuk Al-Majmu’ Syarah Al-Muhazzab, Al-Nawawi (1/465).
Begitu juga dalam kitab Al-Fiqh al-Manhaji (1/59) menyebutkan bahawa antara perkara sunat dalam wuduk adalah الدلك ini. Iaitu melalukan tangan ke atas anggota ketika membasuhnya.
Keadaan ini juga sama dalam isu mandi junub. Ini kerana, Imam Al-Syafi’e dalam isu perkara-perkara sunat ke atas mereka yang mandi wajib berkata :-
Maksudnya : Dan aku suka sekiranya dia menggosok kadar yang dia mampu dari bahagian badannya. Namun sekiranya dia tidak melakukannya dan mengenakan air kepada anggota tubuhnya maka itu telah mencukupi. Rujuk Al-Umm, Al-Syafi’e (1/57).
Seperti yang kita ketahui, wuduk dan juga mandi wajib keduanya adalah sama dari sudut keduanya mengangkat hadas. Wuduk mengangkat hadas kecil dan mandi wajib mengangkat hadas besar.
Justeru, keadaannya adalah sama dari sudut selama mana seseorang itu mengenakan air sahaja kepada anggota badan dan tidak menggosoknya, maka yang demikian itu telah memadai dan mencukupi.
Wuduk sah tapi
Sebagai kesimpulan kami menyatakan bahawa hukum menggosok anggota wuduk setelah mengenakan air ke anggota wuduk adalah sunat. Justeru, sekiranya seseorang yang berwuduk sekadar mengenakan air kepada anggota wuduknya seperti meletakkan tangan atau kaki di bawah air paip, maka wuduknya adalah sah. Demikian juga sama hukumnya ketika mandi wajib.
Meskipun begitu, sekiranya tanpa menggosok anggota badan semasa wuduk atau mandi wajib akan menyebabkan air tidak kena kepada anggota tersebut, maka dalam keadaan ini hukum menggosok anggota wuduk atau badan tersebut adalah wajib.
Assalamualaikum wbt, Dr, mohon penjelasan hukum dan sumber keberkatan duit, berkenaan trend NPC yang ada di live TikTok sekarang. Bila penonton bagi gift/duit, mereka akan buat pergerakan atau memek muka comel untuk penonton. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Hadiah berasal daripada perkataan bahasa Arab, yang bermaksud pemberian seseorang yang sah memberi ketika dia masih hidup, secara tunai tanpa ada sebarang syarat dan mengharapkan balasan.(Lihat Aqrab al-Masalik, 5/342)
Dari sudut bahasa, hadiah ialah harta yang diserahkan atau diberikan kepada seseorang sebagai tanda penghormatan kepadanya. Manakala dari sudut istilah, ulama’ mazhab Syafi’i menyebut bahawa hadiah ialah pemilikan sesuatu benda tanpa berlakunya pertukaran dan berlakunya perpindahan (barang tersebut) kepada orang yang dihadiahkan sebagai tanda penghormatan. (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 42/252)
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A sabda Nabi SAW:
تَهَادُوا تَحَابُّوا
Maksudnya: “Hendaklah kamu saling memberi hadiah. Nescaya, kamu akan saling mengasihi dan mencintai.”
Riwayat al-Baihaqi (6/169), al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Ausat (7240), dan al-Bukhari dalam al-Adab al-Mufrad (594). Hadith ini isnadnya dinilai hasan oleh al-Hafiz Ibn Hajar dalam al-Talkhis al-Habir (3/1047)
Selain itu, Rasulullah SAW juga akan membalas hadiah yang diberikan kepadanya. Aisyah R.Anha meriwayatkan, katanya:
Selain itu, turut dijelaskan bahawa pembahagian hadiah terbahagi kepada beberapa bahagian iaitu:
Halal di antara keduanya iaitu pemberi dan penerima hadiah bertujuan untuk bersilaturrahim. Haram di antara keduanya seperti pemberian bertujuan melakukan kezaliman. Diharamkan kepada penerima hadiah sahaja sekiranya pemberian hadiah itu bertujuan untuk menggelakkan kezalimannya ke atas diri kita.
Selain itu, pemberian hadiah disebabkan rasa takut disebabkan kemudharatan adalah halal bagi pemberi dan haram bagi penerima. (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 42/258)
Menjawab bagi persoalan di atas, istilah NPC sering diucapkan oleh para pemain dalam dunia permainan atau video game. Ia sering muncul ketika bermain game yang bertema yang melibatkan banyak karakter. NPC, yang merupakan singkatan bagi “Non-Player Character” adalah karakter yang tidak dapat dikendalikan oleh pemain. Sebaliknya, mereka dikendalikan oleh komputer dan bergerak secara automatik.
Meskipun dikendalikan secara automatik oleh komputer, karakter NPC dapat memengaruhi permainan yang sedang dimainkan. Mereka akan mengikuti perintah yang telah ditetapkan sebelumnya. Karakter NPC sering digambarkan sebagai manusia yang tidak memiliki kemampuan berpikir secara rasional atau objektif.
Namun, dalam dunia media sosial seperti TikTok dan Twitter, istilah NPC digunakan untuk menggambarkan individu yang dianggap kurang mampu berpikir rasional atau bertindak secara spontan
Konten “NPC Live” di TikTok, misalnya, menampilkan orang yang bergerak dengan kaku seperti karakter dalam video game. Mereka menciptakan gerakan yang mirip dengan karakter NPC dalam game asli dan merujuk kepada individu yang cuba meniru gaya, perwatakan, kostum, suara atau aksi sesuatu non-player character tersebut.
Tren NPC ini dilakukan setiap kali mendapat gift atau hadiah dari penonton melalui aplikasi tersebut. Meraih jumlah gift yang tinggi membolehkan individu-individu ini meraih keuntungan menerusi live yang dijalankan.
Dalam isu ini kami katakan memberi dan menerima hadiah adalah salah satu amalan yang dianjurkan dalam Islam. Amalan ini membantu memupuk rasa kasih sayang dan memperkuat hubungan sesama umat Islam. Namun, penting untuk diingat bahawa memberi hadiah seharusnya dengan tujuan yang bersesuaian dengan nilai-nilai agama seperti mengeratkan silaturrahim dan sebagainya
Namun, memberi hadiah dengan niat untuk melihat gaya yang ditunjukkan oleh tiktoker melalui trend NPC adalah tidak sesuai dalam konteks Islam, begitu juga dalam menerimanya terutamanya jika gaya yang ditunjukkan tersebut menimbulkan fitnah, lagi-lagi jika dipertontonkan oleh wanita. Yang demikian bersesuaian kaedah fiqh:
كُلّ مَا أدّى إِلى حَرَامٍ فَهُوَ حَرَام
Maksudnya: “Setiap perkara yang membawa kepada perkara yang haram maka ia adalah haram (hukumnya).”
Justeru, mengikut trend dengan memperlihatkan gaya yang tidak bersesuaian dengan nilai dan akhlak seorang muslim adalah tidak dibolehkan. Yang demikian kerana dalam Islam, kita diajar untuk bersifat dengan sifat malu, menjaga kehormatan dan maruah diri, serta menghindari perbuatan yang boleh merosakkan imej sebagai muslim.
Diriwayatkan daripada Abu Huraira R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:
وَالحَيَاءُ شُعْبَةٌ مِنَ الإِيمَانِ
Maksudnya: “Malu itu adalah sebahagian daripada keimanan.”
Riwayat al-Bukhari (9)
Syeikh Soleh al-Uthaimin menyatakan bahawa: Prinsip dalam berperilaku dengan sopan santun adalah untuk tidak melakukan apa yang dipertentangkan oleh orang lain, baik dalam perkataan maupun perbuatan (Lihat Syarh al-Mumti’, 11/108)
Dinyatakan dalam Hilyah al-Awliya’ bahawa: Maruah adalah rasa malu seseorang terhadap dirinya sendiri, dan tidak berbuat dalam keadaan tersembunyi apa yang dia malu berbuat dalam keadaan terang-terangan. Ini adalah tanda keagungan diri; oleh itu, Imam al-Shafi’i rahimahullah berkata: ‘Demi Allah, jika aku tahu air sejuk akan mengurangkan maruahku, nescaya aku tidak akan minumnya.(Lihat Hilyah al-Awliya’, 9/132)
Sebagai kesimpulan, penting untuk diingat bahawa memberi dan menerima hadiah harus dihindari apabila berkaitan dengan perkara yang bertentangan dengan nilai-nilai Islam. Sebagai seorang Muslim, kita seharusnya sentiasa berusaha untuk memperkayakan diri dengan akhlak dan sifat-sifat terpuji serta menjauhi segala perbuatan atau sikap yang mencacatkan nilai-nilai agama kita
Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:
Maksudnya: “Ya Allah, berikanlah ke-takwaan pada jiwa kami, dan bersihkanlah ia kerana Engkaulah sebaik-baik yang dapat membersihkannya. Engkaulah Pelindung dan Tuan kepadanya.”
Bagi seorang isteri, ada amalan sunnah yang boleh menjadi dosa jika melakukannya tanpa mendapat izin dari suami. Amalan sunnah ini seharusnya menjadi pahala tapi boleh jadi haram jika suami tidak mengizinnnya. Apakah amalan-amalan sunnah ini?
Dari Abu Hurairah Radhiyallahu-anhu diriwayatkan bahawa Rasulullah Shalallahu Alaihi wa sallam bersabda: “Tidak halal bagi seorang perempuan berpuasa dan suaminya ada kecuali dengan izinnya dan tidak juga ia mengizinkan (seseorang) ke rumahnya kecuali dengan izinnya,”.
Imam Nawawi Rahimahullah berkata dalam penjelasannya tentang hadis ini,”Sabda Nabi Shalallahu Alaihi wa sallam;”Tidak halal bagi seorang perempuan berpuasa dan suaminya ada kecuali dengan izinnya…”.
Berikut tiga amalan sunnah yang dapat menjadi dosa bila dilakukan oleh seorang isteri tanpa mendapat izin dari suaminya ialah:-
Maksudnya: Tidak dibenarkan berpuasa bagi seorang wanita (isteri) dan suaminya ada disisinya melainkan dengan keizinannya. Riwayat Muslim (1026)
Ini seperti mana hadis yang diriwayatkan oleh Hammam bin Munabbih R.A, sabda Nabi SAW:
Maksudnya: Tidak dibenarkan berpuasa bagi seorang wanita (isteri) dan suaminya ada disisinya melainkan dengan keizinannya Riwayat Muslim (1026)
Imam Nawawi dalam mensyarahkan hadis di atas menyebut:-
Maksudnya: larangan ini bermaksud ke atas puasa sunat (yang memiliki waktu tertentu seperti puasa hari arafah) dan puasa yang disunatkan yang tidak memiliki waktu tertentu, dan larangan ini merupakan larangan yang menunjukkan pengharamannya sebagaimana yang dijelaskan oleh ashab al-Syafi’eyyah (Lihat Syarh al-Nawawi ala Muslim, 7/115
2. Amalan Bersedekah :- Bersedekah memberikan pahala tapi ia boleh menjadi dosa jika bersedekah tanpa pengetahuan suami apatah lagi menggunakan wang diberi suami.
Para ulama’ mengatakan tidak dibolehkan isteri dan hamba bersedekah dengan harta suami atau tuannya melainkan dengan izinnya. Hadith ini juga menunjukkan bahawa dibolehkan mengeluarkan sebahagian harta sebagaimana ia adalah adat ahli hijaz bahawa diserahkan urusan ini kepada ahli keluarga (isteri) atau hamba apabila ada orang yang memerlukan bantuan dan juga apabila adanya tetamu. [Lihat: Tuhfah al-Ahwazi, 277/3]
Hadith di atas membicarakan kelebihan atau pahala yang bakal diperolehi oleh isteri atau seseorang hamba itu bersedekah dengan harta suami atau tuannya dengan syarat setelah mendapat keizinan suami atau tuannya. Selain itu, pahala yang akan diperolehi tidak akan kurang antara satu sama lain.
3. Bila isteri menolak ajakan suami untuk berhubungan badan:- Di dalam hidup berumah tangga, seorang isteri itu wajib untuk mentaati suaminya pada perkara yang ma’ruf. Ini kerana, dengan ketaatan tersebut akan memudahkannya jalan untuk ke syurga berdasarkan sebuah hadith yang disahihkan oleh Imam Ibn Hibban:
Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
Maksudnya: “Jika seorang wanita menunaikan solat lima waktu, berpuasa pada bulannya (Ramadhan), mengawal kemaluannya (maruahnya) dan ta’at kepada suaminya. Masuklah dia ke dalam Syurga dari mana-mana pintu yang dia kehendaki”. [Riwayat Ibn Hibban (4163)]
Terdapat beberapa buah hadith yang menceritakan akibat atau hukuman yang akan diterima oleh isteri apabila menolak ajakan suaminya untuk bersama. Antaranya adalah:
Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:-
Maksudnya: “Apabila seorang suami mengajak isterinya ke katil (dengan tujuan untuk bersama, lalu isteri itu menolaknya. Maka suami tersebut tidur dalam keadaan marah dengan isterinya. Dengan itu, para malaikat akan melaknatnya (isteri) sehinggalah dia bangun (daripada tidurnya) pada waktu pagi.” [Riwayat al-Bukhari (3237)(5193)]
Imam al-Nawawi menyatakan bahawa hadith ini menjadi dalil bahawa haramnya seorang isteri itu menolak ajakan suaminya tanpa keuzuran yang syarak dan haid juga bukanlah satu keuzuran yang boleh menghalang ajakan suami kerana suami mempunyai hak untuk istimta’ (berseronok) dengan apa yang terdapat di atas kain (selain daripada faraj). Hadith ini juga bermaksud laknat daripada malaikat akan berterusan sehingga hilangnya maksiat dengan terbitnya fajar dan dengan suami itu merasa memadai atau dengan taubat si isteri apabila menerima ajakan suami tersebut untuk bersama. [Lihat: al-Minhaj, 7-8/10].
Sumber rujukan :- Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download
sekarang ya?
‘Tak elok & tidak menepati sunnah.’ Pakai jam tangan, afdal tangan kanan atau kiri? Mana satu lebih baik terutamanya bagi lelaki.
Maklumlah pemakaian jam tangan adalah penting kerana mudah untuk mengetahui masa. Tetapi adakah dalam Islam disarankan memakai jam pada tangan-tangan tertentu.
Ikuti penerangan Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, tangan kiri atau kanan yang lebih afdal pakai jam?
Soalan:
Tangan mana yang lebih baik untuk dipakai jam, tangan kanan atau kiri? Adakah memakainya pada tangan kiri dilihat tidak elok dan tidak menepati sunnah? Terima kasih.
Jawapan:
Secara umumnya seseorang lelaki dibenarkan atau diharuskan untuk memakai jam tangan dan tidak ada masalah memakainya kerana tidak syak lagi bahawa pemakaian jam tangan itu pada asalnya adalah kerana keperluan mengetahui waktu.
Begitu juga jika seorang lelaki itu memakai jam tangan bagi tujuan berhias, di samping tujuan asalnya untuk mengetahui waktu, maka dalam hal ini secara zahirnya ia dilihat menyerupai hukum seorang lelaki memakai cincin daripada besi. Ringkasnya, pemakaiannya adalah diharuskan.
Imam al-Nawawi dalam syarahannya terhadap Sahih Muslim, hadith daripada riwayat Sahl bin Sa‘ad al-Sa‘idi, yang di dalamnya ada dinyatakan:
الْتَمِسْ وَلَوْ خَاتَمًاً مِنْ حَدِيدٍ
Maksudnya:
“Carilah sesuatu walaupun jika sebentuk cincin besi.”
Riwayat al-Bukhari (5871) dan Muslim (1425)
Beliau menyebutkan, hadis ini menunjukkan keharusan untuk menggunakan cincin besi. Padanya terdapat khilaf dalam kalangan ulama salaf sebagaimana dinukilkan oleh al-Qadhi. Seterusnya bagi ashab kami (ulama mazhab Syafi‘i) berkenaan kemakruhan memakainya terdapat dua pendapat. Pendapat yang paling sahih, tidak makruh memakainya kerana hadith yang melarang daripadanya dinilai sebagai dha‘if (lemah). (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 9/213).
Selain itu, jam tangan juga tidak dikhususkan hanya sebagai perhiasan untuk wanita, bahkan sudah menjadi adat dan ‘uruf setempat bahawa lelaki juga memakainya sebagai perhiasan, tanpa mengenepikan tujuan asalnya itu. Jadi, ini bertepatan dengan kaedah yang menyebutkan:
Maksudnya:
“Hukum asal bagi pakaian dan perhiasan adalah diharuskan.” (Lihat al-Qawa’id al-Nuraniyyah oleh Ibn Taimiyyah, hlm. 164; Tafsir Ibn Kathir, 3/408; Tafsir Abi Su‘ud, 3/224; al-Ifham fi Syarh ‘Umdah al-Ahkam oleh Ibn Baz, hlm. 777).
Berbalik kepada soalan yang diajukan, secara umumnya, seseorang itu diharuskan untuk memakai jam pada mana-mana tangan yang dikehendakinya; kanan atau kiri. Syeikh Ibn Baz ketika ditanya berkenaan memakai jam tangan di tangan kanan, beliau menjawab dengan menyatakan, diharuskan untuk memakai jam tangan pada tangan kanan dan kiri. (Lihat Masa‘il al-Imam Ibn Baz, hlm. 220).
Namun, pada asasnya terdapat riwayat menceritakan bahawa Rasulullah SAW suka mendahulukan bahagian kanan dalam urusan Baginda. Ini sebagaimana riwayat daripada Aisyah R.Anha, katanya:
كَانَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم يُعْجِبُهُ التَّيَمُّنُ فِي تَنَعُّلِهِ وَتَرَجُّلِهِ وَطُهُورِهِ وَفِي شَأْنِهِ كُلِّهِ
Maksudnya:
“Nabi SAW selalu mendahulukan bahagian kanan dalam memakai selipar, menyikat rambut, bersuci dan dalam setiap urusan kehidupan sehariannya.”
Riwayat al-Bukhari (168)
Tajuddin al-Fakihani setelah mensyarahkan hadith di atas, beliau menyebutkan, ini adalah kaedah/prinsip yang berterusan dalam syariat; iaitu segala sesuatu yang termasuk dalam perkara yang dimuliakan dan diberi penghormatan seperti memakai pakaian, seluar dan kasut, masuk ke dalam masjid, menggunakan siwak, memakai sandal, memotong kuku, menggunting misai, menyikat rambut, mencabut bulu ketiak, mencukur kepala, memberi salam ketika dalam solat, membasuh anggota-anggota taharah (bersuci), keluar dari tandas, makan dan minum, berjabat tangan, istilam Hajarul Aswad, dan lain-lain yang memiliki makna serupa, adalah disunatkan untuk dimulakan dengan bahagian yang kanan.
Adapun hal-hal yang berlawanan dengannya, seperti masuk ke dalam tandas, keluar dari masjid, beristinja’, membuka atau melepaskan pakaian, seluar, dan kasut, dan seumpamanya, maka adalah disunatkan untuk dimulakan dengan tangan kiri. Semua ini adalah untuk menghormati dan memuliakan tangan kanan. (Lihat Riyadh al-Afham fi Syarh ‘Umdah al-Ahkam, 1/162).
Dalam menjawab soalan ini juga, terlebih dahulu kita hendaklah mengetahui bahawa jam tangan seperti mana yang dipakai pada hari ini tidak dikenali pada zaman dahulu.
Justeru, kita hendaklah melihat perhiasan yang serupa atau mirip kepada jam tangan, dan secara zahirnya ia dilihat menyerupai perbuatan memakai cincin. Terdapat beberapa riwayat yang menceritakan mengenai cincin yang dipakai oleh Baginda SAW di jari atau tangan mana.
Di antaranya riwayat daripada Anas bin Malik R.A, beliau berkata:
كَانَ خَاتِمُ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم فِي هَذِهِ وَأَشَارَ إِلَى الْخِنْصَرِ مِنْ يَدِهِ الْيُسْرَى
Maksudnya:
“Cincin Nabi SAW di sini, lalu beliau menunjukkan kepada jari kelingkingnya di tangannya yang kiri.”
Riwayat Muslim (2095)
Justeru hadis ini menunjukkan kepada kita bahawa Baginda SAW memakai cincin di tangan kirinya. Bahkan jika dilihat dari sudut hikmahnya, Nabi SAW makan dan minum dengan tangan kanan, justeru jika Baginda memakai cincin di tangan kanan pasti ia akan menjadikan proses makan dan minum itu sedikit sukar. Al-Buhuti menyebutkan, memakai cincin di jari kelingking tangan kiri adalah lebih afdhal berbanding memakainya di jari kelingking tangan kanan, kerana ia lebih selesa dan tetap (tidak perlu diubah-ubah). (Lihat Kassyaf al-Qina‘, 2/236).
Manakala Syeikh Ibn Soleh al-‘Uthaimin pula berpendapat, memakai jam tangan di tangan kanan tidak ada masalah dan tidak juga ada keutamaan (afdhaliyyah) padanya.
Seseorang itu boleh memilih untuk memakai jam tangannya pada mana-mana tangan; kanan atau kiri. Sesungguhnya telah sabit daripada Nabi SAW bahawasanya Baginda kadang-kadang memakai cincin pada tangan kanannya, dan kadang-kadang memakainya pada tangan kirinya.
Pemakaian jam tangan termasuk dalam jenis cincin (dari segi hukumnya). Justeru, berdasarkan perkara itu, beliau berpendapat, tidak mengapa seseorang itu memakai jam tangan pada tangan kirinya.
Begitu juga tidak mengapa memakainya pada tangan kanan, dan tidak ada sebarang kelebihan mahupun keutamaan dalam pemakaiannya ke atas yang lain (sama ada kanan atau kiri).
Beliau juga ada menyatakan, ramai orang pada hari ini memakainya pada sebelah tangan kiri kerana tangan kanan lebih banyak digunakan dalam kehidupan seharian berbanding tangan kiri. Jika dia memakai jam tangan pada tangan kanannya, berkemungkinan ia akan menghalang atau mengganggu aktiviti sehariannya atau kemungkinan juga akan mendedahkannya kepada kerosakan.
Oleh sebab itu, kebanyakan orang memilih untuk memakai jam tangan pada tangan kiri mereka dan tidak menjadi masalah dalam hal tersebut mahupun terdapat keutamaan bagi tangan kanan berbanding tangan kiri dalam perkara ini. (Lihat Fatawa Nur ‘ala al-Darb, 22/2).
Namun, para ulama mazhab Syafi‘i berpandangan bahawa pemakaian cincin di tangan kanan adalah lebih afdhal dan utama. Ini seperti pendapat Imam al-Nawawi yang menyebutkan, dibolehkan bagi seorang lelaki untuk memakai cincin perak di jari kelingking tangan kanannya, dan sekiranya dia mahu dia boleh memakainya pada jari kelingking tangan kirinya.
Kedua-duanya sahih dilakukan oleh Nabi SAW. Akan tetapi pendapat yang sahih lagi masyhur adalah lebih afdhal untuk memakainya pada tangan kanan kerana ia merupakan perhiasan dan tangan kanan adalah lebih mulia. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 4/333).
Oleh itu, berdasarkan kepada kenyataan dan perbincangan di atas, kami berpendapat bahawa tidak menjadi masalah memakai jam tangan pada mana-mana tangan sama ada kanan atau kiri. Kedua-duanya adalah diharuskan.
Namun, jika seseorang itu memakai jam tangan di tangan kanan dengan tujuan untuk mengikuti sunnah Nabi SAW (ittiba‘ al-Nabi) dalam hal mendahulukan anggota kanan, maka tidak syak lagi ia adalah lebih afdhal dan mendapat pahala Insya-Allah.
Lebih-lebih lagi, jika pemakaian jam di tangan kanan itu tidak menyebabkan kesukaran ke atasnya untuk melakukan aktiviti seharian seperti makan, minum dan seumpamanya sekalipun perlu membukanya.
Begitu juga jika dia memakainya pada tangan kiri kerana tangan kanannya banyak atau kerap digunakan dalam aktiviti sehariannya sehingga menimbulkan kesukaran ke atasnya untuk kerap kali membuka/menanggalkannya, maka tidak mengapa melakukannya dan tidak termasuk dalam perbuatan yang dianggap tercela.
Ini kerana dalam hal tersebut adalah luas, diharuskan untuk memakainya pada tangan kanan atau tangan kiri, tidak kira bagi lelaki mahupun perempuan kerana hukumnya adalah sebagaimana pemakaian cincin.
Kirim doa kepada jemaah umrah atau haji merupakan amalan yang harus dalam Islam. Ketahui hukum, dalil hadis serta adab mengirim doa tanpa membebankan para jemaah.