Anak yang selalu beri duit dimanja dan disayangi, tapi anak yang jarang hulur duit kerana hidup susah dilayan kasar dan dimarah-marah. Bukan hanya dalam drama tapi hakikatnya ada ibu bapa sebegini yang memberi membezakan kasih sayang serta layanan.
Bagi ibu bapa yang bersikap sedemikian cubalah bermuhasabah kerana dibimbangi sikap sedemikian memungkinkan kita tergolong dalam golongan yang berdosa.
Perkara ini turut diulas oleh pendakwah bebas terkenal, Ustaz Azhar Idrus.
Menerusi hantaran di laman Facebook rasminya, Ustaz Azhar menjelaskan sikap melebihkan sebahagian anak dalam soal pemberian hingga memudaratkan anak lain boleh jatuh hukum haram dan berdosa.
Tambahnya, ibu bapa disunatkan menyamakan pemberian kepada anak-anak masing-masing atau dengan kata lain, berlaku adil.
“Tersebut pada himpunan fatwa Universiti Al-Azhar, ertinya, ‘Fuqaha telah sepakat bahawa seorang itu dituntut menyamakan pemberian antara anak-anaknya tanpa pilih kasih atau melebihkan kecuali ada sebab yang mengharuskan.
“Telah berkata jumhur fuqaha dari Mazhab Hanafi dan yang masyhur dalam Mazhab Maliki serta muktamad di sisi Mazhab Syafie, jika dilebihkan salah seorang daripada anaknya kerana mahu memudaratkan anak-anak yang lain, maka dia telah berdosa dan perbuatannya itu haram kerana sesungguhnya dia berniat melakukan zalim dan kemudaratan,” katanya.
Sikap pilih kasih dibenci agama
Sementara itu memetik laman web Mufti Wilayah Persekutuan, ia mengatakan sifat pilih kasih ibu bapa kepada anak-anak merupakan perkara yang dibenci dalam agama.
Ini kerana perbuatan tersebut hanya akan mengundang kebencian sesama keluarga terutamanya dalam kalangan adik-beradik.
“Dalam satu riwayat, Nabi SAW menolak permintaan bapa Nu’man bin Basyir untuk dijadikan saksi.
“Rasulullah SAW bersabda, maksudnya, panggillah orang lain untuk menjadi saksi selain aku, adakah kamu suka jika semua anak-anakmu bersamaan berbuat baik kepadamu?
“Beliau berkata, Ya. Nabi berkata, janganlah berbuat demikian (iaitu jangan memberikan hadiah kepada seseorang dengan mengecualikan yang lain),” menurutnya.
Dituntut berlaku adil
Menurutnya lagi, salah satu di antara hak anak-anak yang dipertanggungjawabkan kepada kedua ibu bapa adalah hak untuk mendapatkan kasih sayang, belas kasihan dan sifat keihsanan.
“Perasaan ini dapat ditonjolkan melalui tindakan ibu bapa seperti bercakap dengan kata-kata yang baik, menunjukkan sifat kelembutan dan kebaikan serta memberikan kegembiraan kepada mereka.
“Justeru, tuntutan agama untuk berlaku adil kepada anak-anak tidaklah semata-mata terhad kepada pemberian sesuatu yang bersifat material atau kebendaan bahkan ia lebih meluas daripada itu dengan mengambil kira sudut emosi anak-anak dan hak mereka untuk mendapatkan kasih sayang,” menurutnya lagi.
Fenomena penyusutan air di Laut Galilee atau lebih tepat disebut sebagai Tasik Tabariyyah bukan sekadar isu alam sekitar biasa.
Bagi umat Islam yang memahami ilmu akhir zaman, peristiwa ini disebut sebagai salah satu tanda kemunculan Dajjal, makhluk fitnah terbesar sebelum tibanya kiamat.
Tasik ini bukanlah laut seperti namanya. Ia sebenarnya sebuah tasik air tawar yang terletak di utara wilayah yang kini dikenali sebagai Israel. Dalam sejarah dan peta lama, tasik ini juga dikenali dengan nama-nama lain seperti Tasik Gennesaret, Tasik Kinneret, Laut Tiberias, atau Tasik Tiberias.
Apa yang menarik, penyusutan air tasik ini telah disebut secara khusus dalam hadis sahih berkenaan kisah Tamim ad-Dari RA, seorang sahabat yang menceritakan pertemuannya dengan Dajjal — lalu Rasulullah ﷺ membenarkan kisah itu dan meriwayatkannya kepada para sahabat.
Dalam kisah itu, antara tanda penting ialah air Tasik Tabariyyah yang semakin berkurangan, dan ia berkait rapat dengan kemunculan Dajjal di akhir zaman.
Daripada al-Nawwas bin Sam’an RA, bahawa Nabi SAW telah bersabda:
Maksudnya: “Allah SWT akan mengutuskan Ya’juj dan Ma’juj dan mereka akan datang dari segala penjuru dengan begitu cepat. Mereka akan melalui Tasik Tabari dan akan meminum apa yang ada di dalamnya (sehingga kering) sehinggakan yang terakhir daripada kalangan mereka berkata: Tadi ada air di tasik ini.” [Riwayat Muslim (2937)]
Imam Mulla Ali al-Qari ketika mensyarahkan hadith mengatakan bahawa Ya’juj dan Ma’juj akan meminum air daripada Tasik Tabari ini sehingga yang terakhir atau salah seorang daripada mereka akan berkata bahawa dahulunya tasik atau tempat ini mempunyai air yang banyak.
Air tasik kering diminum Ya’juj dan Ma’juj
Dalam hadith jelas menyatakan bahawa air di Tasik Tabari akan kering akibat diminum oleh Ya’juj dan Ma’juj apabila mereka muncul di akhir zaman nanti.
Ini juga menunjukkan bilangan Ya’juj dan Ma’juj begitu ramai disebabkan itu al-Quran dan Nabi SAW menyatakan bahawa mereka iaitu Ya’juj dan Ma’juj akan keluar dengan meluru turun dari tiap-tiap tempat yang tinggi.
Maksudnya: “(Demikianlah keadaan mereka) sehingga apabila terbuka tembok yang menyekat Yakjuj dan Makjuj, mereka akan meluru turun dari tiap-tiap tempat yang tinggi.”
Kesimpulannya, hadis yang menyatakan berkaitan Tasik Tabari akan kering adalah hadith yang sahih kerana ia diriwayatkan oleh Imam Muslim di dalam sahihnya.
Di samping itu, peristiwa ini akan berlaku di akhir zaman apabila munculnya Ya’juj dan Ma’juj yang mana keluarnya mereka ini termasuk di dalam tanda-tanda besar Kiamat. Akhirnya, semoga Allah SWT memelihara kita semua daripada fitnah yang zahir dan batin serta memasukkan kita dalam kalangan hamba-hamba-Nya yang beriman.
Kelebihan puasa Asyura, anjuran berpuasa sunat Pada 9, 10 dan 11 Muharam.
Terdapat banyak nas-nas daripada Al-Quran dan juga al-Sunnah yang menyebutkan berkenaan kelebihan bulan ini. Antaranya ialah kelebihan puasa Hari Asyura iaitu pada tanggal 10 Muharam.
Maksudnya:
Sesungguhnya bilangan bulan di sisi Allah S.W.T adalah sebanyak dua belas bulan sebagaimana yang terdapat di dalam kitabullah (Lauh al-Mahfuz) pada hari diciptakan langit-langit dan juga bumi. Di antaranya (bulan-bulan tersebut) adalah empat bulan haram. Demikian itulah agama yang lurus maka janganlah kalian menzalimi diri kalian di dalam bulan-bulan tersebut.
Surah al-Taubah (36)
Rasulullah S.A.W telahpun memberikan penjelasan berkenaan dengan empat bulan haram tersebut dengan sabda baginda:
Maksudnya:
Dalam setahun itu ada dua belas bulan dan di antaranya adalah empat bulan haram. Tiga bulan yang berturut-turut iaitu Zulkaedah, Zulhijjah, dan Muharram serta bulan Rejab yang berada di antara Jamadil Akhir dan juga Syaaban.
Riwayat al-Bukhari (184)
Justeru, dua nas di atas jelas menunjukkan bahawa bulan Muharram dimuliakan kerana ia termasuk dalam kalangan empat bulan haram yang mana diharamkan untuk berperang pada bulan-bulan haram serta ianya sangat dihormati dari sudut amalan soleh di dalamnya menjadi besar ganjarannya manakala dosa dan maksiat juga turut menjadi lebih besar di dalam bulan-bulan haram.
Di antara amalan soleh yang sangat digalakkan untuk umat Islam lakukan pada bulan Muharam adalah dengan memperbanyakkan berpuasa sunat. Ini dapat dilihat berdasarkan sebuah riwayat daripada Abu Hurairah R.A beliau berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:
Maksudnya:
Seafdhal-afdhal puasa setelah bulan Ramadhan adalah berpuasa pada bulan Allah al-Muharram dan sesungguhnya solat yang paling afdhal setelah solat fardhu adalah solat malam (Qiyamullail). Riwayat Abu Daud (2429)
Demikian juga terdapat sebuah hadis yang menceritakan berkenaan seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah S.A.W tentang bulan apakah yang Rasulullah perintahkan untuk dirinya berpuasa setelah bulan Ramadhan ?
Maksudnya:
Sekiranya kamu hendak berpuasa setelah bulan Ramadhan maka berpuasalah kamu pada bulan al-Muharram kerana sesungguhnya ia adalah bulan Allah.
Riwayat al-Tirmizi (741)
Berdasarkan kepada dua hadis di atas, terdapat dua kelebihan yang terdapat pada bulan Muharram. Ianya seperti berikut:
Bulan Muharram disebut sebagai bulan Allah yang tidak disebut pada bulan-bulan lain. Umum mengetahui jika sesuatu perkara itu disandarkan kepada Allah maka ianya menjadi suatu yang mulia. Sama seperti Baitullah, Abdullah, Rasulullah, dan seumpamanya.
Bulan Muharam adalah bulan paling afdal untuk berpuasa sunat setelah bulan Ramadan.
Walaupun berpuasa pada sepanjang bulan Muharram adalah digalakkan, akan tetapi terdapat nas khusus yang menceritakan berkenaan kelebihan berpuasa pada 10 Muharram iaitu hari ‘asyura. Ini adalah berdasarkan beberapa riwayat berikut:
Antaranya adalah sebuah riwayat daripada Abu Qatadah R.A. bahawasanya Rasulullah S.A.W bersabda:
Maksudnya:
Berpuasa pada hari ‘Asyura sesungguhnya aku mengharapkan kepada Allah supaya ia dapat menghapuskan dosa-dosa setahun sebelumnya.
Riwayat Ibn Majah (1738)
Walaupun kita digalakkan untuk berpuasa pada 10 Muharam, akan tetapi kita juga turut diperintahkan untuk mengikutinya dengan berpuasa pada hari sebelum ataupun hari selepasnya.
Ini adalah bertujuan untuk menyelisihi golongan Yahudi yang hanya berpuasa pada 10 Muharram secara tunggal. Hal ini berdasarkan sebuah riwayat daripada Ibn Abbas R.Anhuma beliau berkata bahawa Nabi S.A.W bersabda:
Maksudnya:
Berpuasalah kalian pada hari ‘Asyura dan berbezalah dengan golongan Yahudi. Berpuasalah sehari sebelumnya ataupun sehari selepasnya.
Riwayat Ahmad (2154)
Demikian juga sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah Ibn Abbas R.anhuma, kata Nabi S.A.W:
لَئِنْ بَقِيتُ إِلَى قَابِلٍ لأَصُومَنَّ التَّاسِعَ
Maksudnya: Sekiranya aku masih hidup pada tahun hadapan nescaya aku akan berpuasa pada hari yang ke 9 (Muharram).
Riwayat Muslim (1134)
Demikian juga ketika Nabi S.A.W memerintahkan untuk berpuasa pada hari ‘Asyura, maka para sahabatnya berkata: “Wahai Rasulullah S.A.W, sesungguhnya ia adalah hari yang mana golongan Yahudi dan Nasrani membesarkannya”. Maka Rasulullah S.A.W menjawab:
Maksudnya: Apabila datangnya tahun hadapan Insha Allah kita akan berpuasa pada hari yang ke sembilan.
Riwayat Muslim (1134)
Nas-nas di atas jelas menunjukkan bahawa Rasulullah S.A.W memerintahkan kepada kita untuk dilakukan juga puasa sehari sebelum 10 Muharram ataupun sehari selepasnya dengan tujuan untuk menyelisihi golongan Yahudi.
Berikut kami nyatakan beberapa pendapat para fuqaha berkenaan isu mengikuti puasa hari ‘Asyura dengan berpuasa sehari ataupun selepasnya. Sebahagian para ulama mengatakan bahawa cara mengerjakan puasa ‘Asyura itu ada tiga keadaan seperti berikut:
1. Berpuasa sehari sebelumnya atau sehari selepasnya.
2. Berpuasa padanya (10 Muharram) secara tunggal.
3. Berpuasa sehari dan selepasnya.
Manakala cara terbaik serta paling lengkap untuk melakukannya adalah sebagaimana turutan yang disebutkan oleh Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah di dalam kitabnya Zaad al-Ma’ad (2/72) dengan cara seperti berikut:
Berpuasa pada hari sebelumnya dan juga hari selepasnya.
Berpuasa pada 9 dan 10 Muharram sahaja.
Berpuasa pada 10 Muharram sahaja.
Akhir kalam, kami menyatakan bahawa disunatkan untuk berpuasa pada 9 Muharram atau pada 11 Muharram berserta dengan puasa hari ‘Asyura dengan tujuan untuk menyelisihi dan berbeza dengan golongan Yahudi.
Kami berdoa semoga Allah S.W.T memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua di samping merezekikan kepada kita semua untuk mengikut petunjuk Rasulullah S.A.W di dalam kehidupan seharian kita.
SOALAN: Bolehkah ustaz senaraikan perkara yang dibenarkan bagi wanita haid lakukan untuk tujuan ibadah?
JAWAPAN: Perkara yang dibenarkan untuk wanita yang haid dan nifas lakukan adalah mereka dibenarkan melakukan semua rukun serta kewajipan haji atau umrah kecuali tawaf mengelilingi Kaabah.
Mereka dibenarkan untuk berlalu (melintasi) kawasan dalam masjid dengan syarat memastikan kebersihan kawasan berkenaan terpelihara.
Mereka yang menghafal dan mengajar al-Quran adalah dibenarkan untuk memegang serta membaca al-Quran bagi memelihara hafalan daripada terlupa sementara yang lain boleh membaca serta memegang tafsir al-Quran.
Wanita haid juga digalakkan berzikir dengan ayat tertentu yang dipetik daripada sebahagian ayat al-Quran atau hadis. Mereka boleh mendengar bacaan ayat suci al-Quran yang dikumandangkan oleh orang lain sama ada di televisyen, radio dan sebagainya.
Mereka boleh melakukan semua perkara dengan suami kecuali jimak. Ini berdasarkan sabda Nabi SAW: “Lakukan apa sahaja (dalam pergaulan rumah tangga) kecuali persetubuhan.”
Mereka yang biasa melakukan qiamullail di pertengahan malam boleh memperbanyakkan doa sebagai gantian kepada solat yang diharamkan ke atas wanita haid.
Solat Jumaat wanita musafir adalah sah di sisi Islam walaupun tidak diwajibkan. Ketahui hukum, cara jamak dengan Asar serta adab wanita ketika menunaikan solat Jumaat di masjid.