Kelebihan puasa Asyura, anjuran berpuasa sunat Pada 9, 10 dan 11 Muharam.
Terdapat banyak nas-nas daripada Al-Quran dan juga al-Sunnah yang menyebutkan berkenaan kelebihan bulan ini. Antaranya ialah kelebihan puasa Hari Asyura iaitu pada tanggal 10 Muharam.
Maksudnya:
Sesungguhnya bilangan bulan di sisi Allah S.W.T adalah sebanyak dua belas bulan sebagaimana yang terdapat di dalam kitabullah (Lauh al-Mahfuz) pada hari diciptakan langit-langit dan juga bumi. Di antaranya (bulan-bulan tersebut) adalah empat bulan haram. Demikian itulah agama yang lurus maka janganlah kalian menzalimi diri kalian di dalam bulan-bulan tersebut.
Surah al-Taubah (36)
Rasulullah S.A.W telahpun memberikan penjelasan berkenaan dengan empat bulan haram tersebut dengan sabda baginda:
Maksudnya:
Dalam setahun itu ada dua belas bulan dan di antaranya adalah empat bulan haram. Tiga bulan yang berturut-turut iaitu Zulkaedah, Zulhijjah, dan Muharram serta bulan Rejab yang berada di antara Jamadil Akhir dan juga Syaaban.
Riwayat al-Bukhari (184)
Justeru, dua nas di atas jelas menunjukkan bahawa bulan Muharram dimuliakan kerana ia termasuk dalam kalangan empat bulan haram yang mana diharamkan untuk berperang pada bulan-bulan haram serta ianya sangat dihormati dari sudut amalan soleh di dalamnya menjadi besar ganjarannya manakala dosa dan maksiat juga turut menjadi lebih besar di dalam bulan-bulan haram.
Galakan Berpuasa Dalam Bulan Muharam
Di antara amalan soleh yang sangat digalakkan untuk umat Islam lakukan pada bulan Muharam adalah dengan memperbanyakkan berpuasa sunat. Ini dapat dilihat berdasarkan sebuah riwayat daripada Abu Hurairah R.A beliau berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:
Maksudnya:
Seafdhal-afdhal puasa setelah bulan Ramadhan adalah berpuasa pada bulan Allah al-Muharram dan sesungguhnya solat yang paling afdhal setelah solat fardhu adalah solat malam (Qiyamullail). Riwayat Abu Daud (2429)
Demikian juga terdapat sebuah hadis yang menceritakan berkenaan seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah S.A.W tentang bulan apakah yang Rasulullah perintahkan untuk dirinya berpuasa setelah bulan Ramadhan ?
Maksudnya:
Sekiranya kamu hendak berpuasa setelah bulan Ramadhan maka berpuasalah kamu pada bulan al-Muharram kerana sesungguhnya ia adalah bulan Allah.
Riwayat al-Tirmizi (741)
Berdasarkan kepada dua hadis di atas, terdapat dua kelebihan yang terdapat pada bulan Muharram. Ianya seperti berikut:
Bulan Muharram disebut sebagai bulan Allah yang tidak disebut pada bulan-bulan lain. Umum mengetahui jika sesuatu perkara itu disandarkan kepada Allah maka ianya menjadi suatu yang mulia. Sama seperti Baitullah, Abdullah, Rasulullah, dan seumpamanya.
Bulan Muharam adalah bulan paling afdal untuk berpuasa sunat setelah bulan Ramadan.
Kelebihan Puasa Asyura, Hapuskan Dosa Setahun Sebelum
Walaupun berpuasa pada sepanjang bulan Muharram adalah digalakkan, akan tetapi terdapat nas khusus yang menceritakan berkenaan kelebihan berpuasa pada 10 Muharram iaitu hari ‘asyura. Ini adalah berdasarkan beberapa riwayat berikut:
Antaranya adalah sebuah riwayat daripada Abu Qatadah R.A. bahawasanya Rasulullah S.A.W bersabda:
Maksudnya:
Berpuasa pada hari ‘Asyura sesungguhnya aku mengharapkan kepada Allah supaya ia dapat menghapuskan dosa-dosa setahun sebelumnya.
Riwayat Ibn Majah (1738)
Perintah Supaya Menyelisihi Yahudi
Walaupun kita digalakkan untuk berpuasa pada 10 Muharam, akan tetapi kita juga turut diperintahkan untuk mengikutinya dengan berpuasa pada hari sebelum ataupun hari selepasnya.
Ini adalah bertujuan untuk menyelisihi golongan Yahudi yang hanya berpuasa pada 10 Muharram secara tunggal. Hal ini berdasarkan sebuah riwayat daripada Ibn Abbas R.Anhuma beliau berkata bahawa Nabi S.A.W bersabda:
Maksudnya:
Berpuasalah kalian pada hari ‘Asyura dan berbezalah dengan golongan Yahudi. Berpuasalah sehari sebelumnya ataupun sehari selepasnya.
Riwayat Ahmad (2154)
Demikian juga sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah Ibn Abbas R.anhuma, kata Nabi S.A.W:
لَئِنْ بَقِيتُ إِلَى قَابِلٍ لأَصُومَنَّ التَّاسِعَ
Maksudnya: Sekiranya aku masih hidup pada tahun hadapan nescaya aku akan berpuasa pada hari yang ke 9 (Muharram).
Riwayat Muslim (1134)
Demikian juga ketika Nabi S.A.W memerintahkan untuk berpuasa pada hari ‘Asyura, maka para sahabatnya berkata: “Wahai Rasulullah S.A.W, sesungguhnya ia adalah hari yang mana golongan Yahudi dan Nasrani membesarkannya”. Maka Rasulullah S.A.W menjawab:
Maksudnya: Apabila datangnya tahun hadapan Insha Allah kita akan berpuasa pada hari yang ke sembilan.
Riwayat Muslim (1134)
Nas-nas di atas jelas menunjukkan bahawa Rasulullah S.A.W memerintahkan kepada kita untuk dilakukan juga puasa sehari sebelum 10 Muharram ataupun sehari selepasnya dengan tujuan untuk menyelisihi golongan Yahudi.
Anjuran Berpuasa Sunat
Berikut kami nyatakan beberapa pendapat para fuqaha berkenaan isu mengikuti puasa hari ‘Asyura dengan berpuasa sehari ataupun selepasnya. Sebahagian para ulama mengatakan bahawa cara mengerjakan puasa ‘Asyura itu ada tiga keadaan seperti berikut:
1. Berpuasa sehari sebelumnya atau sehari selepasnya.
2. Berpuasa padanya (10 Muharram) secara tunggal.
3. Berpuasa sehari dan selepasnya.
Pada 9, 10 & 11 Muharam
Manakala cara terbaik serta paling lengkap untuk melakukannya adalah sebagaimana turutan yang disebutkan oleh Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah di dalam kitabnya Zaad al-Ma’ad (2/72) dengan cara seperti berikut:
Berpuasa pada hari sebelumnya dan juga hari selepasnya.
Berpuasa pada 9 dan 10 Muharram sahaja.
Berpuasa pada 10 Muharram sahaja.
Akhir kalam, kami menyatakan bahawa disunatkan untuk berpuasa pada 9 Muharram atau pada 11 Muharram berserta dengan puasa hari ‘Asyura dengan tujuan untuk menyelisihi dan berbeza dengan golongan Yahudi.
Kami berdoa semoga Allah S.W.T memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua di samping merezekikan kepada kita semua untuk mengikut petunjuk Rasulullah S.A.W di dalam kehidupan seharian kita.
Al-Quran yang diturunkan sejak 1400 tahun dahulu menjadi panduan umat islam untuk dibaca, diamalkan dan difahamkan.
Abdullah bin ‘Amr Radhiyallahu anhu berkata, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Dikatakan kepada orang yang membaca al-Quran nanti, ‘Bacalah dan naiklah serta tartilan sebagaimana engkau di dunia mentartilnya kerana kedudukanmu adalah pada akhir ayat yang engkau baca.” (Hadis diriwayatkan Abu Daud, at-Tirmizi dan Ibnu Hibban dengan sanad hasan).
Malah kelebihan mengamalkan Al-Quran walau hanya dibacakan satu ayat, ia akan dilipatgandakan menjadi 10 kebajikan. Dalam satu hadis, Abdullah bin Mas’ud menyatakan, Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Sesiapa membaca satu huruf daripada al-Quran maka dia melakukan satu kebajikan. Dan satu kebajikan itu dilipatgandakan sepuluh kali. Saya tidak mengatakan Alif Lam Mim itu satu huruf, melainkan Alif itu satu huruf, Lam satu huruf dan Mim satu huruf.” (Sunan Tirmizi).
Malah dalam satu hadis diriyawatkan oleh Aisyah, Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Orang yang membaca al-Quran dan menjaganya (membacanya dengan betul dan mengamalkannya) akan bersama para malaikat yang mulia. Adapun orang yang membaca al-Quran dengan sungguh-sungguh dan mengalami kesulitan, dia akan mendapat dua pahala.” (Sahih Bukhari dan Muslim).
Ternyata orang yang memuliakan al-Quran, Allah memuliakan dirinya termasuk di alam baqa.
Di media sosial, tular kisah sepasang suami isteri, Haji Md Raof yang jenazahnya masih utuh termasuk kuburnya berbau harum meskipun sudah 11 tahun dikebumikan. Penemuan jasad ini mula tular ketika proses penggalian semula kubur lama bagi pembinaan Projek Lebuhraya Segamat.
Jasd pasangan suami isteri yang mengajar al-Quran ini ditemui masih elok, tidak mereput seperti mana proses semulajadi jasad yang akan mula pecah perut selepas tiga hari dikebumikan malah kain kapan yang membalut jenazah ini masih utuh (cuma diselaputi lumpur tanah).
Dari perkongsian orang ramai yang menyaksikan kerja pengalihan kubur lama itu, mereka mengakui ianya adalah kejadian benar. Kata mereka yang menyaksikan kejadian ini, jasadnya berbau harum semerbak dalam lingkungan perkuburan itu. Malah mereka memaklumkan kain kapan membalut jenazah ini tidak sebersih ditularkan di media sosial sebaliknya apa yang berlaku ialah kain kapan masih selain jasad berbau harum.
Salah cucu kepada guru mengaji ini, Danial-Saini turut berkongsi kisah ini di instagramnya.
“Ada beberapa yang ditemui mempunyai jasad sempurna, kapan ditukar baru. Tapi selepas mereka jumpa 1st jasad sempurna, banyak ahli keluarga cuba elakan bagitau. Pasal orang terlampau ramai berkemurun yang akan menyusahkan kami utk uruskan jenazah…
Arwah tokbak 1st time 1998 kebumi oleh anak anak dia, kali ke-2 2013 oleh cucu2 dia.
Arwah tok topah pula 1999 dikebumi oleh cicit2 dia 2013
Alhamdulillah dapat pegang dan kedua-dua jasad lepaskan rindu.
Tp kita keluarga anggap semua sama, takan nak cakap sedara lain tak cukup amalan kan? Dorg sedara kami jugak.
Apa yang pasti, setiap kejadian adalah atas aturan Allah taala. Malah Allah turut berjanji, siapa yang melebihkan akhirat dan tidak mengejar dunia akan diberikan kelebihannya.
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama. Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
Usai solat baru sedar ada beberapa rambut terkeluar dari celah telekung. Pasti ramai wanita yang pernah berada dalam situasi ini.
Mungkin ada yang beranggapan solat sah kerana ia bukan disengajakan tapi sebaiknya jangan bersangka-sangka atau membuat andaian sendiri. Sebenar dalam beberapa keadaan solat boleh batal, kita perlu mengulanginya.
Penjelasan tentang situasi rambut terkeluar dari telekung Ketika solat ini dijelaskan oleh Ustazah Asma’ Harun.
Aurat wanita dalam solat
Aurat bagi wanita dalam solat ialah keseluruhan tubuh badannya melainkan muka dan tapak tangan. Rambut wanita juga adalah aurat yang wajib ditutup ketika solat.
Dalam kitab Fiqh Manhaji, menutup aurat adalah syarat sah dalam solat. Jika ada aurat yang terdedah semasa solat maka WAJIB untuk segera menutupnya. Jika orang yang solat itu menghiraukan atau membiarkan sahaja auratnya terbuka tanpa segera ditutup, maka SOLATNYA BATAL dan hendaklah ulang semula solat.
Namun jika dia sempat menutup aurat yang terdedah tadi dengan segera maka tidak batal dan dia boleh meneruskan solatnya.
Daripada Aisyah R.Anha bahawa Rasulullah ﷺ bersabda:
لَا تُقْبَلُ صَلَاةُ الحَائِضِ إِلَّا بِخِمَارٍ
Maksudnya: “Tidak diterima solat seorang wanita yang sudah berhaid itu melainkan dengan memakai khimar (tudung).” (HR al-Tirmizi, hadis hasan)
Imam al-Syirazi selepas menyebut hadis ini menukilkan, Maka jika terdedah suatu pun daripada jenis aurat, sedangkan dia mampu untuk menutupnya, maka tidak sahlah solat.”
Hukum bila tersedar ada rambut terkeluar
SOLAT BATAL, TIDAK SAH DAN WAJIB DIULANG jika rambut itu terkeluar ketika dalam solat sebelum salam, begitu juga dalam situasi jika sudah terkeluar sebelum lagi dia memulakan solat.
SAH SOLAT, TIDAK PERLU ULANG SEMULA SOLAT jika dia yakin rambut tersebut terkeluar selepas memberi salam.
Secara asas dan yang perlu kita fahami di dalam mazhab al-Syafie aurat itu keseluruhannya perlu ditutup semasa solat, dan jika terdedah, sama ada sedikit atau banyak, WAJIB baginya SEGERA menutupnya, jika tidak, maka SOLATNYA BATAL.
Bagaimana jika rambut yang terkeluar itu sedikit, adakah tetap batal?
Menurut pendapat Jumhur Ulama’ jika rambut yang terkeluar itu TERLALU SEDIKIT, TIDAK DISENGAJAKAN, SUKAR DILIHAT SECARA RAMBANG maka ia DIMAAFKAN dan TIDAK MEMBATALKAN SOLAT, apatahlagi jika sukar untuk dielak.
Ia berdasarkan dalil daripada Amr bin Salamah RA yang berkata:
وَكُنْتُ غُلَامًا حَافِظًا فَحَفِظْتُ مِنْ ذَلِكَ قُرْآنًا كَثِيرًا فَانْطَلَقَ أَبِي وَافِدًا إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي نَفَرٍ مِنْ قَوْمِهِ فَعَلَّمَهُمُ الصَّلَاةَ فَقَالَ يَؤُمُّكُمْ أَقْرَؤُكُمْ وَكُنْتُ أَقْرَأَهُمْ لِمَا كُنْتُ أَحْفَظُ فَقَدَّمُونِي فَكُنْتُ أَؤُمُّهُمْ وَعَلَيَّ بُرْدَةٌ لِي صَغِيرَةٌ صَفْرَاءُ فَكُنْتُ إِذَا سَجَدْتُ تَكَشَّفَتْ عَنِّي فَقَالَتْ امْرَأَةٌ مِنَ النِّسَاءِ وَارُوا عَنَّا عَوْرَةَ قَارِئِكُمْ فَاشْتَرَوْا لِي قَمِيصًا عُمَانِيًّا فَمَا فَرِحْتُ بِشَيْءٍ بَعْدَ الْإِسْلَامِ فَرَحِي بِهِ فَكُنْتُ أَؤُمُّهُمْ وَأَنَا ابْنُ سَبْعِ سِنِينَ أَوْ ثَمَانِ سِنِينَ
Maksudnya: “Aku adalah seorang pemuda yang sangat kuat hafalan dan aku telah menghafal banyak ayat-ayat al-Quran. Ayahku pernah datang menghadap Rasulullah ﷻ bersama beberapa orang sebagai utusan kaumnya, lalu baginda mengajarkan kepada mereka tentang solat. Baginda bersabda: “Yang berhak menjadi imam kalian adalah yang paling baik dalam membaca al-Quran di antara mereka.”
Oleh kerana aku sudah dapat menghafalnya, lalu mereka mengajukan aku (untuk menjadi imam). Maka akupun menjadi imam mereka dengan memakai kain yang kecil berwarna kuning, sehingga kalau aku sujud terbuka auratku (sedikit), lalu salah seorang wanita dari mereka berkata: “Tutuplah dari kami aurat qori kalian.” Lalu mereka membelikan untukku baju buatan Oman, sehingga tidak pernah saya bahagia seperti masuk Islam seperti bahagiaku dengannya. Saya menjadi imam mereka sedangkan usia saya baru tujuh atau delapan tahun,” (HR al-Bukhari, hadis sahih)
Oleh itu disimpulkan bahawa;
Aurat wanita dalam solat merangkumi seluruh tubuh kecuali muka dan tapak tangan, termasuk RAMBUT yang wajib ditutup. Menutup aurat adalah syarat sah solat, jika aurat terbuka semasa solat, WAJIB SEGERA DITUTUP, jika tidak, solat tersebut batal dan perlu diulang.
Jika rambut terkeluar sebelum atau semasa solat sebelum salam, solatnya batal dan perlu diulang. Namun, jika yakin rambut yang terkeluar selepas memberi salam, solat tetap sah.
Menurut mazhab Syafie, aurat yang terbuka, walaupun sedikit, perlu SEGERA ditutup untuk mengelakkan solat menjadi batal. Inilah pendapat yang lebih berhati-hati dan keluar daripada khilaf.
PENDAPAT JUMHUR ULAMA’ PULA MENYATAKAN BAHAWA JIKA RAMBUT YANG TERKELUAR ITU TERLALU SEDIKIT, TIDAK DISENGAJAKAN, DAN SUKAR DILIHAT, MAKA IA DIMAAFKAN DAN TIDAK MEMBATALKAN SOLAT. Dalil dari hadis juga menunjukkan bahawa aurat yang terbuka sedikit tidak membatalkan solat, namun adalah lebih baik untuk SEGERA menutupnya.
Cuba bayangkan tiba-tiba anak-anak kita jadi anak yatim piatu. Tentu mereka berasa satu kehilangan teramat besar. Kehilangan yang mengundang kejutan buat anak-anak yatim (anak-anak kecil belum baligh yang kematian ayah).
Tiada lagi tempat bergantung hidup, mengadu dan mendapat kasih sayang sejati orang tua. Jika ada pengganti sekalipun, ia tidak sama seperti kesaratan kasih sayang ibu dan ayah kandung. Hati terusik, kenangan bertandang apabila melihatkan kanak-kanak lain gembira bersama ibu dan ayah.
Lantas kita sebagai orang dewasa, sanggupkah membiarkan mereka terkapai begitu sahaja. Bagi yang beriman, anak-anak ini lah lubuk berharga untuk merebut ganjaran pahala besar daripada Allah SWT. Malah Nabi SAW turut berpesan agar kita menjaga baik kebajikan mereka. Mencukupi keperluan mereka; makan, pakai, pendidikan, kesihatan, tempat berlindung dan sebagainya.
Sejumlah 23 kali perkatan yatim disebut dalam al-Quran. Dalam al-Quran jelas menegaskan akan betapa pentingnya anak-anak yatim dipelihara.
“Mereka bertanya kepadamu tentang anak yatim, katakanlah “Memperbaiki keadaan mereka adalah baik,” (al-Baqarah: 220)
Betapa peri pentingnya melindungi dan menjaga kebajikan mereka, maka Allah memberi ganjaran amat besar kepada sesiapa sahaja yang menyantuni mereka dengan baik:
Pahala Setanding Dengan Berjihad
Rasulullah SAW sudah memberi jaminan bahawa pahala menyantuni anak yatim adalah standing dengan pahala orang yang berjihad; disamakan dengan bangun pada waktu malam dan berpuasa di siang hari kemudian dilanjutkan dengan keluar untuk jihad di jalan Allah SWT.
Mendapat Perlindungan Hari Kiamat
Pahala lain yang akan diperolehi kerana menyantuni anak-anak ini adalah terselamat dari mendapat azab Allah SWT dan juga dihindari dari ancaman yang akan terjadi pada hari kiamat. Hendak dapatkan ganjaran ini, kasihi lah anak yatim dan selalu berkata baik.
Dipermudahkan Masuk Surga
Mustahil ada manusia yang tidak mahu masuk syurga dan bersama Rasulullah SAW. Pada sebuah hadits sudah dijelaskan jika orang yang menyantuni anak yatim dengan cara memberi makan, minum dan sebagainya, maka akan mendapat jaminan dari Allah SWT untuk masuk ke dalam syurga kecuali orang yang pernah melakukan Dosa Besar Dan Tidak Bertaubat.
Pahala Berlipat Kali Ganda
Semua orang yang selalu berbuat kebaikan dengan cara menyantuni anak yatim, maka dia akan mendapat pahala yang sangat besar tidak hanya saat hidup di bumi, namun juga saat di akhirat nanti.
“Dan jika ada kebijakan sebesar zarah nescaya Allah akan melipatgandakan dan memberikan dari sisiNya pahala yang besar.” [An-Nisaa:40]
Dimuliakan Dan Dilimpahi Rezeki
Allah SWT juga akan memberikan kelimpahan rezeki dan juga kemuliaan selain daripada berzikir pembuka rezeki. Hal ini juga berlaku sebaliknya di mana Allah SWT juga akan menyempitkan rezeki seseorang apabila tidak menyantuni dan memuliakan anak yatim.
“Adapun manusia apabila Tuhannya mengujinya lalu dimuliakanNya dan diberinya kesenangan, maka dia berkata, ‘Tuhanku telah memuliakanku’. Adapun bila Tuhannya mengujinya lalu membatasi rezekinya maka dia berkata, ‘Tuhanku menghinaku’. Sekali-kali tidak (demikian), sebenarnya kamu tidak memuliakan anak yatim.” [surat Al-Fajr ayat 15-17].
Masuk Dalam Golongan Orang Beriman
Jika kita menyayangi sekaligus menyantuni mereka, InsyaAllah kita termasuk dalam golongan orang beriman dan bertakwa oleh Allah SWT.
“Dan memberikan hanya yang dicintainya kepada kerabatnya, anak-anak yatim mereka itulah orang-orang yang benar (imannya) dan mereka itulah orang-orang yang bertakwa.” [Al Baqarah: 177].
Minum Mata Air Surga
Beruntunglah sesiapa yang selalu berbuat baik dan menyantuni anak-anak ini kerana akan mendapat kenikmatan daripada Allah SWT berupa air minuman berasal dari mata air syurga.
Bersama Rasulullah Di Syurga
Pahala berikutnya yang akan kita peroleh apabila menyantuni mereka adalah kita akan berada hampir dengan Rasulullah SAW di syurga bahkan jaraknya hanya sebatas antara jari telunjuk dengan jari tengah saja.
Rasulullah SAW bersabda, “Aku dan orang yang menanggung anak yatim (kedudukannya) di syurga seperti ini”, kemudian beliau SAW mengisyaratkan jari telunjuk dan jari tengah beliau SAW, serta agak merenggangkan keduanya” [HR. Bukhari, Shahih Bukhari, Sahl bin Sa’ad As-Sa’idiy: 5304].
Dapat Penuhi Keperluan Hidup
Allah telah berjanji untuk memenuhi apa sahaja keperluan hidup orang yang menyantuni anak-anak yatim. Saat menyantuni mereka, maka ini diibaratkan seperti berinfak di jalan Allah SWT sehingga akan diperbanyak harta dalam Islam untuk orang tersebut.
Mengundang Keberkatan ke Rumah
Memelihara dan menyantuni anak yatim juga akan memberikan banyak keberkatan ke rumah orang yang menyantuni anak-anak tersebut. Sebab, sebaik baiknya rumah dari seorang muslim merupakan rumah orang yang selalu sayang terhadap mereka sehingga menjadi rumah ideal dalam Islam.
Kashoorga: Sungguh besar ganjaran pahala yang Allah berikan kepada kita yang menyantuni anak-anak yatim. Semoga segala usaha kita mendapat keberkatan Allah SWT.
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama. Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
Batalkan solat kerana anak menangis. Situasi ini mungkin pernah berlaku kalangan ibu yang mempunyai anak kecil.Tapi perlu diketahui bahawa adalah haram membatalkan solat fardu...