Sengaja atau tidak untuk nikah senyap-senyap di negara jiran itu adalah urusan peribadi masing-masing. Cuma paling utama ialah daftar nikah. Pernikahan itu perlu didaftarkan sesegera mungkin.

Jika gagal akan dikenakan tindakan undang-undang. Tak kiralah di negara mana sekalipun dinikahkan, ia tetap perlu didaftar mengikut perundangan Malaysia.

Walaupun mengikut hukum syarak perkahwinan itu sah, namun isu besar akan timbul dalam tuntutan hak atau menghadapi banyak implikasi undang-undang Malaysia.

Jangan terkejut pula apabila isteri baharu tiada hak penggiliran, tiada hak pusaka, sulit untuk daftar persekolahan anak-anak dan lain-lain. Boleh perang dunia ketiga jadinya jika tiada dokumen hitam putih mengikut lunas undang-undang yang telah ditetapkan.

Artikel berkaitan: Hukum Merahsiakan Pernikahan; Undang Dosa atau Pahala?

IKLAN

Artikel berkaitan: Mahu Dihormati Isteri? Sebelum Nikah Ilmu Agama Kena Habis Gali

Bagi pasangan yang telah berkahwin senyap-senyap tetapi masih kabur tentang cara pendaftaran pernikahan mengikut lunas undang-undang, maka disarankan membaca catatan ringkas peguam Suriati Ab Ghani untuk kebaikan bersama.

Ada 2 cara yang boleh diambil oleh pasangan ‘pengantin baru’ ini, tapi kedua-dua cara tersebut ada kesan yang berlainan dari segi rekod bermulanya tarikh pernikahan serta kesan kepada pendaftaran kelahiran anak yang lahir.

CARA 1:

IKLAN

Memfailkan Kes Pengesahan Nikah Di Mahkamah Syariah Di Malaysia

  1. Pernikahan sah jika wali pada ketika akad nikah dijalankan berada lebih dari 2 marhalah (92 kilometer) dari tempat akad nikah, dengan menggunakan jurunikah yang bertauliah di Thailand.
  1. Pernikahan juga sah jika cukup rukun nikah yang lain iaitu ada suami, ada isteri, ada 2 orang saksi lelaki dan ada sighah (ijab qabul).
  1. Jika Mahkamah Syariah di Malaysia telah memutuskan pernikahan tersebut sah, rekod pernikahan adalah bermula pada tarikh akad nikah yang berlaku di Thailand.
  1. Jika permikahan tersebut telah disahkan, anak yang lahir juga boleh terus didaftarkan sebagai anak sahtaraf.

CARA 2:

Melakukan Akad Nikah Semula Di Malaysia

IKLAN
  1. Rekod tarikh pernikahan yang tertera dalam sijil nikah adalah bermula pada hari akad nikah yang baru dilakukan tersebut.
  1. Kesan kepada pendaftaran kelahiran anak, tidak boleh dibinkan kepada bapa kerana dikira anak tak sahtaraf, samada anak lahir dulu sebelum tarikh akad nikah semula di Malaysia atau tarikh kelahiran anak menunjukkan persetubuhan berlaku sebelum akad nikah berlangsung.
  1. Jalan penyelesaian untuk menjadikan anak tersebut adalah anak sahtaraf, ibu bapa boleh memfailkan tuntutan pengesahan nasab anak di Mahkamah Syariah, kemukakan fakta, bukti serta saksi bahawa pernikahan sebenarnya berlaku lebih awal di Thailand tetapi pasangan bertindak melakukan akad nikah semula di Malaysia.

Pandangan dan nasihat saya, adalah lebih baik buat pengesahan pernikahan di Malaysia, bukannya akad nikah semula. Daftar nikah lebih mustahak. Mengapa? Kerana kesannya bukan sahaja kepada anak, malah turut memberi kesan kepada isteri.

Jika berlaku perceraian, tuntutan mut’ah turut mengambil kira tempoh perkahwinan, tuntutan nafkah tertunggak isteri juga jika ada tidak boleh diambilkira dari tarikh pernikahan sebenar di Thailand.

Jika ada harta yang dibeli dalam tempoh perkahwinan iaitu dibeli selepas tarikh pernikahan di Thailand, tidak dikira harta sepencarian jika pasangan melakukan akad nikah semula di Malaysia.

Kashoorga: Komplikasi sangat besar terutama sekali buat isteri baharu. Oleh itu, pastikan ikut saranan peguam atau pejabat agama bagi mengelakkan masalah lebih rumit.