Ramadan adalah masa untuk keluarga dan saudara-mara berkumpul, buka puasa sambil luangkan masa bersama. Sayangnya, tak semua orang bertuah untuk alami situasi seperti ini.
Ramai juga diantara kita sebenarnya yang tak teruja dengan datangnya Ramadan, sebab kesunyian itu akan lebih terasa. Mungkin saudara baru dalam agama, atau orang-orang yang tinggal jauh dari keluarga, atau tak ramai kawan yang sama-sama puasa di sekeliling mereka. Jadi sesi buka puasa akan terasa sangat sunyi.
Nabi Muhammad SAW bersabda yang Allah SWT berfirman yang bermaksud;
“SEMUA AMAL ANAK ADAM UNTUK DIRINYA KECUALI PUASA; IA UNTUK AKU. AKU AKAN MEMBALASNYA. (HR BUKHARI)
Jadi, tak kira macam mana pun situasi kita, kita kena sentiasa ingat bahawa kita akan diberi ganjaran yang besar untuk puasa kita. Tak kira betapa susah pun, ganjaran itu akan datang dari Allah SWT. Dia yang nampak susah senang kita. Dia yang sentiasa ada dengan kita, dan Dia takkan biarkan usaha kita untuk taat kepadaNya jadi sia-sia.
Untuk anda yang rasa kesunyian di bulan yang penuh dengan berkat ini, nah kami sediakan beberapa tips yang boleh anda cuba;
Kunjungi masjid terdekat
Kalau anda tak biasa ke masjid, nah inilah masa terbaik untuk mulakan! Sebab anda tak berseorangan. Ramai orang yang akan mula berjinak ke masjid dalam bulan Ramadan jadi anda boleh gunakan peluang in untuk beribadat, baiki diri dan mulakan silaturrahim yang baru.
IKLAN
Untuk permulaan, cuba pergi untuk solat terawikh dulu. Kalau ada kesempatan, boleh berjemaah masa solat-solat wajib juga. Sambil tu, tengok sekali kalau ada apa-apa majlis atau kelas-kelas yang anda rasa selesa nak ikuti.
Hargai masa yang ada
Mungkin bunyinya pelik sikit, tapi cuba “enjoy” masa yang anda ada untuk bersendirian. Walaupun Ramadan biasanya dipenuhi pelbagai majlis, ia sebenarnya adalah masa untuk anda fokus pada ibadat, tingkatkan iman dan baiki hubungan anda dengan Allah SWT.
Tanya pada diri sendiri, apa yang anda nak capai Ramadan ini? Nak baca lebih buku agama? Nak baiki pemahaman Al-Quran? Ada tak tabiat buruk yang anda nak hentikan? Atau ada tabiat baik yang anda nak kembangkan? Nah, inilah masanya untuk lawan rasa sunyi itu dengan sibukkan diri dengan kerja atau aktiviti yang akan meningkatkan iman anda. Bukankah ini juga salah satu tujuan kita berpuasa di bulan Ramadan?
IKLAN
Sediakan juadah sahur atau berbuka untuk orang lain
Nabi Muhammad SAW bersabda;
SIAPA MEMBERI MAKAN ORANG YANG BERPUASA, MAKA BAGINYA PAHALA SEPERTI ORANG YANG BERPUASA TERSEBUT, TANPA MENGURANGI PAHALA ORANG YANG BERPUASA ITU SEDIKIT PUN JUGA.” (HR. TIRMIDZI)
Ramadan memang akan terasa sunyi kalau anda tak tinggal dengan keluarga atau tak ada ramai kawan yang sama-sama single. Untuk kurangkan rasa sunyi, apa kata anda beranikan diri dan kenalkan diri kepada orang-orang sekeliling yang mungkin anda selalu nampak tapi tak pernah bertegur sapa? Bila ada masa lapang, masakkan satu juadah atau kuih dan beri pada mereka. InshaAllah dengan cara ini, hubungan ini akan kekal walaupun selepas Ramadan.
Kalau anda rasa tak yakin, boleh juga cuba bawa makanan ke masjid berdekatan dan edarkan pada orang sekeliling sebagai “pembuka kata” bila mula-mula nak bertegur sapa.
IKLAN
“Sedekah” masa anda
Seperti yang anda tahu, Ramadan adalah masa untuk anda fokus untuk tingkatkan iman dan perbaiki diri. Dan salah satu perkara yang anda boleh buat untuk capai objektif ini adalah dengan melibatkan diri sebagai sukarelawan di mana-mana badan kebajikan dan “sedekah” kan sedikit masa anda.
Cuba tawarkan diri sebagai sukarelawan menggunakan apa-apa kemahiran yang anda ada. Paling kurang pun, boleh bantu masjid untuk pastikan ia sentiasa bersih dan rapi untuk kegunaan jemaah yang lain. Masa anda akan dihabiskan dengan perkara yang bermanfaat dan anda pun berpeluang berjumpa dengan kawan baru di samping mendapat ganjaran pahala dari Allah SWT.
Perbanyakkan doa
Bila anda rasa sunyi, carilah Allah SWT. Tadahkan tangan dan doa yang Dia akan bantu anda. Hanya Dia yang berkuasa untuk berikan anda semua cita-cita dan harapan anda. Ramai orang yang selalu dikelilingi ramai orang, tapi hatinya masih terasa sunyi dan tak tenang. Jadi jangan lupa berdoa pada Allah SWT sebab hanya Dia yang boleh tarik rasa sunyi itu dari hati kita.
VIDEO KASHOORGA:
https://www.youtube.com/watch?v=FnUqOumlMTQ&t=64s
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama. Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
Pengacara, pelakon dan usahawan, Neelofa terkejut doa yang dikongsikan menerusi program Naura Shares hingga menjadi tular di laman sosial.
Neelofa berkata, dia berasa terharu dan berharap agar perkongsiannya itu dapat menjadi manfaat serta dimasukkan sebagai sebahagian rutin doa harian dalam kalangan peminatnya.
“Sejujurnya, saya tidak sangka apa yang saya kongsikan tempoh hari menjadi viral di laman sosial.
“Apa pun, saya berharap agar perkongsian doa tersebut dapat digunakan oleh orang ramai pada hari yang mendatang,” katanya.
Terdahulu, rakaman perkongsian doa yang dilafazkan oleh Neelofa viral di Twitter.
Tweet tersebut mendapat maklum balas positif dan telah diulang siar sebanyak hampir 50,000 kali.
Dalam perkembangan lain, Neelofa turut mengumumkan bulan ini merupakan yang terakhir dia akan mengacarakan program MELETOP setelah lapan tahun mengendalikannya dengan pasangan pengacara dan pelawak, Nabil Ahmad.
Lofa atau nama sebenarnya Noor Neelofa Mohd Noor, 30, berkata, keputusan itu sangat sukar untuk dibuat memandangkan dia sudah lama dan serasi dengan program berkenaan, tapi dia terpaksa kerana akan terbabit dengan program baru yang dirancang pihak Astro.
Kita doakan semoga Neelofa terus berjaya dalam bidang diminati dan kejayaan figura ini dlam bidang keusahawanan sememangnya menjadi inspirasi buat wanita di luar rumah.
VIDEO KASHOORGA:
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama. Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
Hari ini tanggal 23 Oktober 2019 bersamaan jatuh pada hari Rabu dan Safar di bulan Islam. Ada yang mengatakan bahawa hari Rabu terakhir pada bulan Safar adalah hari diturunkan bala dan ada amalan tertentu untuk menghindarinya.
Persoalan yang dibangkitkan oleh seorang warganet di laman sosial twitter Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri dan beliau telah menjawab segala kemusykilan berkenaan.
Apakah benar dakwaan berkenaan dan bagaimana pula dengan amalan yang dilakukan untuk menghindari bala yang datang nanti?
Ini jawapan dari Mufti Wilayah dalam menjelaskan persoalan berkenaan.
Soalan : Adakah amalan mandi safar digalakkan kerana disebut di dalam hadis berkaitan safar?
Jawapan :
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.
Mandi Safar adalah satu amalan turun menurun masyarakat Melayu di mana diadakan temasya mandi-manda yang ada di adakan pada hari Rabu yang terakhir di dalam bulan Safar dengan tujuan menolak bala. Pada pagi tersebut orang ramai mandi di pantai atau sekurang-kurangnya minum air yang telah direndam kertas safar atau papan kecil yang ditulis kalimat suci. Air ini dikenal sebagai air safar.
Berdasarkan soalan dan penjelasan ringkas mengenai Mandi Safar, kami telah menerima satu pesanan ringkas melalui aplikasi whatsapp yang mengatakan bahawa amalan mandi safar disebut di dalam hadis Nabi SAW. Kami menukilkan semula terjemahan hadis yang dihantar kepada kami.Ianya berbunyi seperti berikut:
“Tidak ada penularan penyakit (dengan sendirinya),tidak ada thiyarah (sempena baik atau buruk),tidak ada kesialan (malang) kerana burung dan tidak ada kesialan (bala bencana) pada bulan safar”(Hadis riwayat Bukhari r.a, Muslim, Abu Daud dan Ahmad r.a).
Individu yang menghantar keratan terjemahan hadis ini kepada kami mendakwa bahawa inilah dalil pengharusan mandi safar yang bertujuan menolak bala dan sial.Benarkah dakwaan ini?
PENJELASAN MENGENAI HADIS
Setelah dicari dan diteliti, lafaz matan yang dimaksudkan ada asal-usulnya. Lafaz tersebut berbunyi daripada Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda:
لا عَدْوَى وَلاَ طِيرَةَ ولا صَفَرَ وَلاَ هَامَّةَ
Maksudnya:”Tidak ada penyaki yang berjangkit,tidak ada kepercayaan bahawa haiwan memberi manfaat dan mudarat, tidak ada kesialan dalam bulan safar dan tidak ada juga kepercayaan datangnya malapetaka disebabkan burung hantu.”
Riwayat al-Bukhari (5770), Muslim(2220), Abu Daud (3913) di dalam al-Sunan & Ahmad(3031) di dalam Musnad.
Di dalam lafaz yang lain menyebut: Daripada Jabir bin Abdullah r.anhuma bahawa Rasulullah bersabda:
لا عَدْوَى وَلاَ صَفَرَ وَلَا غُوْلَ
Maksudnya:”Tidak ada penyebaran penyakit(secara tabi’i),tidak ada kesialan dalam bulan safar bahkan tidak ada Ghul(Syaitan yang boleh menyerupai dalam pelbagai bentuk untuk menyesatkan manusia).”[1]
Riwayat Muslim (2222),Ibnu Hibban (6128) di dalam Sohihnya,Ahmad (15103) di dalam Musnad
Maksudnya:”Tidak ada penyebaran penyakit(secara tabi’i),tidak kesialan dalam bulan safar dan tiada ramalan bintang bulan dengan hujan.”
Riwayat Ahmad (9165) di dalam Musnad,Ibn Hibban (6133) di dalam sohihnya
Hadis ini diriwayatkan oleh beberapa orang sahabat melalui jalur sanad yang berbeza antaranya:
1. Abu Hurairah
2. Ibnu ‘Abbas
3. Jabir Bin ‘Abdullah
4. Ibnu Mas’ud
Secara ringkasnya, hadis ini diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Imam Muslim di dalam kitab sohih mereka.Bahkan ianya juga diriwayatkan juga jaguh-jaguh ahli hadis semisal Imam Ahmad, Abu Daud dan ramai lagi. Di dalam kesemua jalur sanad hadis ini, terkandung perkataan safar. Dengan wujudnya hadis ini di dalam kitab hadis yang muktabar seperti Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim tidak syak lagi bahawa hadis ini adalah hadis yang sahih. Namun yang menjadi permasalahan di sini adalah adakah hadis ini menunjukkan adanya keharusan melakukan amalan mandi safar dengan hanya berdalilkan wujudnya perkataan safar di dalam hadis ini?
MAKSUD SAFAR(صفر)
Menurut Ibnu Manzur (w.711 H) صَفَرَ bermaksud penyakit di dalam perut yang menyebabkan orang yang mengalaminya kuning mukanya. Perkataan ini juga membawa maksud ular yang suka mematuk. Ianya juga membawa maksud lapar.
Rujuk Lisan al-Arabi(8/250)
Safar juga adalah bulan kedua di dalam kalendar Hijrah selepas bulan Muharram.
Secara asasnya,untuk memahami satu perkataan yang terdapat di dalam hadis selain dari merujuk makna dari segi bahasa,perlu juga untuk merujuk pandangan para ulama yang muktabar untuk mendapatkan gambaran yang sebenar tentang apa yang disabdakan oleh Nabi SAW. Di sini kami kumpulkan pandangan dan syarahan para ulama berkenaan hadis ini:
Ibnu Hajar al-Asqalani (w.852 H) menyebut:
“Ia adalah penyakit yang menyakitkan perut.Abu ‘Ubaidah Ma’mar bin al-Muthanna menyebut di dalam kitab Gharib al-Hadith daripada Yunus bin ‘Ubaid Al-Jarami.Beliau bertanya kepada Ru’bah bin al-‘Ajjaj tentang makna safar.Beliau menjawab :”Bangsa Arab Jahiliyyah mempercayai bahawa ia adalah cacing yang berada di dalam perut manusia dan ia lebih merebak dari penyakit kulit.Kerana inilah Nabi menyebut tentang tiadanya safar di mana mereka mempercayai bahawa ia lebih berbahaya dari penyakit kulit.Inilah pandangan yang dipegang oleh Imam al-Bukhari kerana ianya dikaitkan dengan ayat tidak ada penyebaran penyakit.”
Beliau (Ibnu Hajar) menyebut lagi :Apa yang dimaksudkan dengan penafian bahawa tiadanya safar adalah menolak kepercayaan orang arab jahiliyyah yang beranggapan bahawa ianya boleh membunuh jika ia menimpa manusia.Akan tetapi,Syarak menolak kepercayaan ini kerana kematian tidak akan berlaku jika ajal belum tiba.”
Rujuk Fath al-bari Syarh Sahih al-Bukhari(3/285)
Kata Imam al-Nawawi (w.676 H) :
“Sabda Nabi SAW ‘Tidak ada safar’ ada dua tafsiran : Tafsiran yang pertama bermaksud menjadikan bulan Safar sebagai bulan haram dan bulan Muharram sebagai bulan yang dibolehkan berperang.Inilah yang dilakukan oleh Bangsa Arab Jahiliyyah.Ini adalah pendapat Malik dan Abu ‘Ubaidah.Tafsiran yang kedua,yang dimaksudkan dengan safar adalah binatang yang wujud di dalam perut iaitu ulat.Arab Jahiliyyah percaya bahawa di dalam perut ada satu binatang yang berlegar ketika lapar.Berkemungkinan ianya boleh membunuh tuan punya perut.Mereka mengatakan bahawa ianya lebih teruk dan berjangkit berbanding penyakit kulit.Inilah tafsiran yang betul.Pandangan ini telah dikemukakan oleh al-Mutarrif,Ibnu Wahbin,Ibnu Habib,Abu ‘Ubaid dan sebahagian besar para ulama.Pandangan ini juga disebutkan oleh Imam Muslim yang dinukilkan daripada Jabir salah seorang perawi hadis ini.”
Rujuk al-Minhaj Syarh Sohih Muslim (13/379)
Imam al-Qurtubi (w.656 H) berkata :
“Safar adalah menjadikan bulan Safar sebagai bulan yang diharamkan untuk berperang. Inilah yang dilakukan oleh Arab Jahiliyyah. Mereka berperang pada bulan Muharram dan berhenti pada bulan Safar. Inilah pandangan Malik dan Abu ‘Ubaidah. Dikatakan bahawa maksud safar adalah ulat yang ada di dalam perut manusia yang berlegar ketika lapar. Arab jahiliyyah melihat bahawa ia lebih berjangkit berbanding penyakit kulit. Mereka mendendangkan syair yang berbunyi[2]:
لا يَتَأَرّى لمِاَ فِي القِدْرِ يَرْقُبهُ # وَلاَ يَعُضُّ على شٌرْسُوفِهِ الصَفَرُ
Maksudnya:”Dia tidak bercanggahan dengan apa yang telah ditakdirkan untuknya. Tidak pula kerana tulang sum-sumnya digigit oleh ulat.”
Inilah pandangan Mutarrif, Ibnu Wahbin, Ibnu Habib dan inilah juga pandangan yang dipilih oleh Abu‘Ubaidah.”
Rujuk al-Mufhim li ma asykala min talkhis kitabi Muslim (5/622)
Kata Imam Abdul Rauf al-Munawi (w.1031 H) :
“Tidak ada safar bermaksud menjadikan bulan Safar sebagai bulan haram berperang dan juga bermaksud penyakit di dalam perut yang boleh menjangkiti orang lain mengikut kepercayaan Arab Jahiliyyah. al-Baidhawi berkata: Ia ditafsirkan sebagai satu penafian kepada kepercayaan yang mengatakan bahawa bulan Safar adalah bulan musibah dan bulan berlakunya fitnah.”
“Bangsa Arab Jahiliyyah mendakwa bahawa di dalam perut ada satu ular yang dipanggil safar. Ianya menyakitkan ketika datangnya lapar dan ia juga boleh menjangkiti orang lain.Islam menolak kepercayaan ini. Ada pandangan yang mengatakan bahawa ia adalah an-nasi’ iaitu menjadikan bulan Safar sebagai bulan yang diharamkan berperang dan bulan Muharram sebagai bulan yang dibolehkan untuk berperang. Ianya dilakukan ketika zaman Jahiliyyah. Perbuatan ini telah diharamkan oleh Islam.”
Kata al-Qadhi Iyadh (w.544 H) : “Ada dua pandangan berkenaan maksud perkataan Safar. Yang pertama adalah menjadikan bulan Safar sebagai bulan haram untuk berperang. Dan inilah yang yang dilakukan oleh Arab Jahiliyyah.Pandangan ini adalah pandangan Malik dan Abu ‘Ubaidah.Perkataan yang kedua mengatakan bahawa safar adalah penyakit yang boleh berjangkit kepada orang lain.”
Rujuk Kitab al-Mu’lim syarh Sohih Muslim (7/71)
Syaraful haq ‘Azim al-Abbadi (w.1329 H) ketika beliau mensyarahkan hadis ini menyebut:
“Ketika mana Nabi SAW menyebut tidak ada safar ianya bermaksud Nabi SAW menafikan kepercayaan yang mengatakan bahawa adanya penyakit di dalam perut yang boleh menjangkiti orang lain dan adanya ular yang menyakiti manusia ketika mana dia lapar. Arab Jahiliyyah menagatakan bahawa ianya lebih berjangkit berbanding penyakit kulit. Ia juga bermaksud bulan Safar. Di mana Arab Jahiliyyah menyangka akan berlakunya perkara buruk apabila tibanya bulan Safar.”
Rujuk ‘Aun al-Ma’bud syarh Sunan Abi Daud (10/407)
Kata Nuruddin al-Sindi (w.1138):
“Ianya bermaksud menjadikan bulan Safar sebagai bulan yang diharamkan berperang.Ianya adalah bentuk tegahan terhadap perbuatan tersebut.”
Al-Qastalani(w.923 H) ketika mensyarahkan hadis ini, beliau menyebut:
“Ianya bermaksud menjadikan bulan Safar sebagai bulan haram. Disebutkan di dalam Sunan Abu Daud daripada Muhammad Bin Rashid Bahawa Arab Jahiliyyah menganggap akan berlakunya perkara yang buruk apabila masuknya bulan Safar. Mereka menyangka bulan Safar adalah bulan musibah dan bulan berlakunya pelbagai fitnah.”
“Ahli ilmu mengatakan bahawa yang dimaksudkan dengan safar adalah bulan Safar kemudian mereka berselisih dalam mentafsirkan maksud hadis tersebut.”
Pertama: Maksud hadis tersebut adalah menafikan apa yang dilakukan oleh masyarakat Arab Jahiliyyah. Mereka berperang pada bulan Muharram dan berhenti pada bulan Safar.Ini adalah pandangan Malik.
Kedua: Masyarakat Arab Jahiliyyah menganggap bahawa akan berlaku perkara buruk apabila masuknya bulan Safar. Mereka menggelar bulan Safar sebagai bulan sial. Maka Nabi SAW menolak kepercayaan demikian. Pandangan ini dinukilkan oleh Abu Daud daripada Muhammad Bin Rashid al-Makhuli.
Pandangan yang kedua ini adalah pandangan yang paling hampir maknanya. Kebanyakan orang-orang yang jahil menyangka bahawa akan berlakunya perkara buruk di bulan lalu mereka mencelanya. Ada di antara mereka yang melarang untuk berkelana pada bulan Safar. Dan ini adalah jenis yang sama dengan perbuatan Thiyarah yang dilarang.”
Rujuk Lataif al-Ma’arif fi ma li mawasim min al-Wazaif (m/s 135-136)
Kesemua ini adalah pandangan para ulama berkenaan sabda Nabi SAW iaitu ‘tidak ada safar’. Banyak lagi ulasan ulama berkenaan perkataan ini dan kesemuanya memberikan pandangan yang hampir sama seperti yang kami nukilkan. Dapat kita simpulkan dari pandangan-pandangan ini bahawa yang dimaksudkan oleh safar itu adalah satu kepercayaan masyarakat arab Jahiliyyah yang karut dan bertentangan dengan ajaran Islam lalu datang Nabi SAW menolak kesemua kepercayaan tersebut. Melalui tafsiran-tafsiran ini,dapat kita fahami bahawa tiada satu pun petunjuk yang menunjukkan bahawa perkataan لا صَفَرَ itu merujuk kepada amalan mandi safar bahkan ianya tiada kena mengena dengan amalan syirik tersebut. Kalaupun ianya merujuk kepada mandi safar (walaupun tafsiran ini tidak diterima dan tiada tafsiran para ulama yang menyebut sedemikian rupa) ianya didahului dengan huruf لا النافِيَة (La yang memberi makna menafikan sesuatu). Justeru ia memberi makna larangan bukan galakan.
PENUTUP
Justeru itu, dapat kita fahami bahawa safar yang dimaksudkan dalam hadis adalah kepercayaan karut yang dianuti oleh masyarakat Arab Jahiliyyah yang dilarang oleh Nabi SAW untuk mempercayainya. Antaranya adalah mereka mempercayai bahawa apabila tibanya bulan Safar,akan berlakulah perkara buruk. Kepercayaan ini hampir serupa dengan kepercayaan orang melayu di dalam amalan mandi safar di mana mereka melakukan upacara tersebut untuk menolak bala dan musibah dan ianya dilakukan hanya pada bulan Safar.
Tidakkah ia memberi isyarat bahawa adanya kepercayaan bahawa bulan itu adalah bulan sial dan musibah sepertimana yang dipercayai oleh masyarakat arab Jahiliyyah. Ini adalah satu perbuatan yang ditegah Nabi SAW. Ditambah pula dengan amalan karut marut yang mengiringi temasya mandi safar ini.
Oleh itu, kami mengesyorkan agar tolaklah bala dengan doa. Seperti mana yang dianjurkan oleh Nabi SAW di dalam kebanyakan hadis. Antaranya adalah doa yang sentiasa kita ulangi di dalam solat Subuh:
وَقِنِيْ شَرَّ مَا قَضَيتَ
Maksudnya:”lindungi dan jauhkanlah aku dari kejahatan yang telah Engkau tetapkan.”
Riwayat al-Nasaie (1725),Abu Daud (1214) di dalam al-Sunan,al-Baihaqi (427) di dalam Sunan al-Sughra,Ibnu Hibban ( 950) di dalam Sohihnya,Ahmad (1625) di dalam Musnad
Wallahu’alam
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama. Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
Amalan membaca surah Yasin sangat banyak kelebihannya. Selain mendapat fadhilat, jika dihayati maknanya, seseorang itu akan mendapat ilmu yang amat berharga yang boleh mendorongnya untuk berfikir dan mengkaji kandungan surah Yasin dengan lebih mendalam.
Ikuti perkongsian Maryam Salleh tentang keperluan air bacaan Surah Yasin.
Menurut ulamak boleh di minum. Nak tau tak, molekul-molekul air boleh berubah mengikut getaran suara.Terdapat perbezaaan antara air dan mineral biasa diminum dengan air mineral yang dibaca Surah Yasin padanya.
Molekul-molekul air berubah dari keadaan asal kepada bentuk lain yang lebih menarik dan juga terdapat bentuk yang hodoh. Bukti-bukti terkumpul melalui kajian yang dilakukan untuk membuktikan kebenaran kata-kata air yang dibaca Surah Yasin lebih banyak memberi manfaat daripada air tanpa ayat suci Al-Qur’an.
DIBERIKAN KEPADA ANAK-ANAK KETIKA MUSIM PEPERIKSAAN
Banyak kegunaan air bacaan yassin ni, biasanya diberikan kepada anak-anak yang bakal menduduki peperiksaan. Kenapa? Hal ini disebabkan air tersebut dapat menjadi penawar.
Apabila air yang dibacakan ayat-ayat dari surah Yaasin, molekul yang terbentuk adalah tersusun sempurna. Molekul air ini akan diproses dalam tubuh lalu menyampaikan pesanan pada air di otak dan pembuluh darah.
Air ini akan memperbetulkan fungsi-fungsi dalaman tubuh bagi menenangkan jiwa. Hasilnya, dengan izin Allah, air akan bertindak menurut pesanan yang diniatkan dan dilaksanakan tanpa kita sedari.
Ayat-ayat suci dari surah Yaasin mempunyai manfaat yang lebih berbanding air yang biasa saja. Molekul air yang bersinar dengan bacaan Yaasin dpat menyembuhkan penyakit, menerangkan hati dan jiwa dan sebagai penawar mengelakkan gangguan makhluk halus.
PAGAR RUMAH
Air bacaan Yassin juga boleh digunakan untuk memagar rumah. Cara memagari guna sembur air Yaasiin untuk rumah baru ialah:
Cara pagar rumah guna air semburan Surah Yasin:
1. Ambil penyembur baju.
2. Masukkan air paip biasa sampai 3/4 penuh.
3. Masukkan air Yaasiin.
4. Sembur semua penjuru-penjuru bilik rumah kecuali bilik air — Tidak perlu basah, sembur sikit sahaja.
5. Untuk tempat-tempat yang selalu kita duduki seperti bilik TV, bilik makan dan bilik tidur, sembur ke siling-siling.
6. Sembur bahagian luar pintu rumah dan pintu dapur.
7. Sembur pagar-pagar di sekeliling rumah.
MENYEMBUHKAN PENYAKIT
Amalan kita membaca Yaasin yang diiringi doa kepada air biasa dapat mengubah molekul air menjadi lebih cantik sekaligus dapat menyembuhkan penyakit dari segi fizikal dan rohani.
Sekadar minum air bacaan Yaasin semata-mata tidak dapat membantu manusia ke arah kebaikan, tetapi ia perlu diselarikan dengan niat yang ikhlas, baik dan tidak mendatangkan keburukan kepada orang lain.
Tidak lupa juga supaya sentiasa bertawakal kepada Allah kerana hanya dengan izin-Nya, semua usaha yang diikhtiarkan mendatangkan hasil yang sempurna. Insya’Allah.
Sumber kredit: FB: Maryam Salleh
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama. Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
Kita selalu fikir, apabila kita lakukan amal kebaikan, pastinya Allah akan balas dengan pahala atau kebaikan juga. Ini apa yang selalu diajar di sekolah dahulu.