Kalau ziarah kubur, jangan lupa siram air atas pusara insan tersayang. Memang rata-rata antara kita menjadi tabiat atau tradisi akan menyiram air selepas ziarah kubur arwah keluarga.
Namun begitu, apakah hukumnya bila seseorang itu melakukan perbuatan ini. Sebab ada di kalangan kita bukan sekadar menyiram air biasa, malah menyiram air mawar serta menabur bunga-bungaan.
Memetik perkongsian Pejabat Mufti Wilayah Persetuan, secara umumnya, ramai ulama Syafie berpendapat hukumnya harus bahkan ada pendapat menyatakan sunat kerana perbuatan Rasulullah SAW itu. Tetapi penggunaan air mawar pula dianggap sebagai makruh kerana dengan sebab pembelian dan pembaziran.
Kami nukilkan daripada kitab I’anah al-Talibin (2/135-136). Antara lain menyebut: “Dan (disunatkan) menyiram (menjirus) kubur dengan air agar debu-debu tanah tidak ditiup angin dan kerana bahawasanya Nabi SAW melakukan sedemikian pada kubur anakanda Baginda SAW, Saidina Ibrahim sebagaimana diriwayatkan oleh Imam Syafie dan juga pada kubur Saad bin Muaz sebagaimana yang diriwayatkan oleh Imam Ibn Majah.
Dan Nabi SAW telah memerintahkan dengannya (iaitu dengan menjirus air) pada kubur Saidina Uthman bin Mazh’un sebagaimana yang diriwayatkan oleh Imam al-Tirmizi.
Manakala yang mustahab adalah air tersebut suci lagi menyucikan dan sejuk (air mutlak) sebagai tafa’ul mudah-mudahan Allah menyejukkan kubur si mati.
Ads
Dan makruh menyiram atau menjirus air dengan air mawar atau seumpamanya kerana perbuatan tersebut adalah satu pembaziran dan mensia-siakan harta.”
Jangan Lupa Siram Air
Justeru, bagi mereka yang ingin melakukan dibolehkan dan lebih penting daripada itu adalah untuk berdoa kepada si mati kerana sabitdalam nas yang sahih.
Di samping itu menurut Ustaz Azhar Idrus, hukum menyiram kubur adalah bergantung kepada niat. Ini perkongsiannya:
Siram air atas kubur untuk ‘sejukkan mayat’?
Atau siram air atas kubur kerana kebersihan?
Kenapa perlu siram air atas kubur? Apa tujuan?
‘Saya tengok… Orang ziarah kubur mesti bawak air.’ Ada orang kata siram air atas kubur untuk sejukkan mayat.
Jika kita percaya, adakah lari akidah kita? Mohon penjelasan
Ads
Ulama ada menyebut, hukum jirus air atas kubur adalah harus tetapi dengan syarat. Tujuannya ialah:
1. Sebab baru tanam atau jenazah baru dikebumikan, kita jirus supaya tanahnya kemas.
2. Yang kedua, menghidupkan bunga-bunga, pokok-pokok yang hidup di sekitar kawasan kubur arwah supaya ia hidup lebih subur. Ketahuilah bahawa setiap yang hidup bertasbih kepada Allah. Dalam masa yang sama, tumpang rahmat kepada si mati jika Allah izinkan.
3. Yang ketiga supaya tanah di kawasan kubur tidak kering dan berdebu.
Tiada apa yang lebih indah jika dipanggil menemui Allah dalam keadaan yang sangat mulia.
Dunia hanya sekadar pinjaman dan akhirat kekal abadi.
Allah SWT menjadikan kehidupan dan kematian untuk menguji manusia siapakah dalam kalangan mereka yang paling baik amalannya, seperti mana Allah SWT berfirman di dalam al-Quran:
Maksudnya: Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) – untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat) (Surah al-Mulk: 2).
Ada 10 tanda kematian husnul khatimah dan satu darinya ialah meninggal pada hari atau malam Jumaat. Ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan daripada Abdullah Ibn ‘Amru, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: Tidak ada orang Islam yang meninggal dunia pada hari atau malam Jumaat kecuali Allah SWT akan melindunginya daripada fitnah kubur. Hadith riwayat al-Tirmidzi: (1074).
Memetik Sinar Harian, diberitakan, seorang tukang kebun meninggal dunia dalam keadaan mulia iaitu sedang membaca Al-Quran selepas solat Subuh semalam.
Arwah, Abdul Wahab Mat Noh, 54 yang bertugas di Sekolah Kebangsaan (SK) Darulaman, Bukit Kechil dikatakan sedang membaca Al-Quran di bahagian belakang ruang solat sebelum tiba-tiba rebah.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, sebaik menyedari kejadian, kakitangan masjid menghubungi ambulans untuk bantuan.
Menurutnya, kakitangan hospital yang tiba kemudian membuat pemeriksaan dan mengesahkan mangsa telah meninggal dunia.
“Pemeriksaan badan ke atas mangsa bagaimanapun tidak menjumpai sebarang kesan luka atau lebam serta disyaki tiada kaitan unsur jenayah,” katanya.
Mayat dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani untuk tindakan lanjut.
Menurutnya, maklumat dari keluarga memberitahu, mangsa menghidap penyakit darah tinggi dan bergantung pada ubat yang dibeli dari farmasi. Berdasarkan laporan awal, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Jenazah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bukit Kechil, Tikam Batu selepas solat Isyak pada Jumaat.
Difahamkan, mangsa seorang yang sering mengunjungi masjid termasuk menunaikan solat subuh berjemaah hampir setiap hari.
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download
sekarang ya?
Allahumma bika ash-bahnaa wa bika amsaynaa wa bika nahyaa wa bika namuutu wa ilaikan nusyuur.
Ertinya: “Ya Allah, dengan rahmat dan pertolongan-Mu kami memasuki waktu pagi, dan dengan rahmat dan pertolongan-Mu kami memasuki waktu petang. Dengan rahmat dan pertolongan-Mu kami hidup dan dengan kehendak-Mu kami mati. Dan kepada-Mu kebangkitan.”
Allahumma anta robbii laa ilaha illa anta, kholaqtanii wa anaa ‘abduka wa anaa ‘ala ‘ahdika wa wa’dika mas-tatho’tu. A’udzu bika min syarri maa shona’tu. Abu-u laka bi ni’matika ‘alayya wa abu-u bi dzambii. Fagh-firlii fainnahu laa yagh-firudz dzunuuba illa anta.
Ertinya: “Ya Allah, Engkau adalah Rabbku, tidak ada ilah yang berhak disembah kecuali Engkau, Engkaulah yang menciptakanku. Aku adalah hamba-Mu. Aku akan setia pada perjanjianku pada-Mu semampuku dan aku yakin akan janji-Mu. Aku berlindung kepada-Mu dari keburukan yang kuperbuat. Aku mengakui nikmat-Mu kepadaku dan aku mengakui dosaku. Oleh karena itu, ampunilah aku. Sesungguhnya tiada yang mengampuni dosa kecuali Engkau.”
Allahumma innii as-alukal ‘afwa wal ‘aafiyah fid dunyaa wal aakhiroh. Allahumma innii as-alukal ‘afwa wal ‘aafiyah fii diinii wa dun-yaya wa ahlii wa maalii. Allahumas-tur ‘awrootii wa aamin row’aatii. Allahummahfazh-nii mim bayni yadayya wa min kholfii wa ‘an yamiinii wa ‘an syimaalii wa min fawqii wa a’udzu bi ‘azhomatik an ughtala min tahtii.
Ertinya: “Ya Allah, sesungguhnya aku memohon kebajikan dan keselamatan di dunia dan akhirat. Ya Allah, sesungguhnya aku memohon kebajikan dan keselamatan dalam agama, dunia, keluarga dan hartaku. Ya Allah, tutupilah auratku dan tenteramkanlah aku dari rasa takut. Ya Allah, peliharalah aku dari muka, belakang, kanan, kiri dan atasku. Aku berlindung dengan kebesaran-Mu, agar aku tidak disambar dari bawahku.”
Allahumma ‘aalimal ghoybi wasy syahaadah faathiros samaawaati wal ardh. Robba kulli syai-in wa maliikah. Asyhadu alla ilaha illa anta. A’udzu bika min syarri nafsii wa min syarrisy syaythooni wa syirkihi, wa an aqtarifa ‘alaa nafsii suu-an aw ajurruhu ilaa muslim.
Ertinya: “Ya Allah, Yang Maha Mengetahui yang ghaib dan yang nyata, wahai Rabb pencipta langit dan bumi, Rabb segala sesuatu dan yang merajainya. Aku bersaksi bahwa tidak ada ilah yang berhak disembah kecuali Engkau. Aku berlindung kepadaMu dari kejahatan diriku, setan dan balatentaranya , dan aku dari berbuat keburukan terhadap diriku atau menyeretnya kepada seorang muslim.”
Bismillahilladzi laa yadhurru ma’asmihi syai-un fil ardhi wa laa fis samaa’ wa huwas samii’ul ‘aliim.
Ertinya: “Dengan nama Allah yang bila disebut, segala sesuatu di bumi dan langit tidak akan berbahaya, Dia-lah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.”
Yaa Hayyu Yaa Qoyyum, bi-rohmatika as-taghiits, wa ash-lih lii sya’nii kullahu wa laa takilnii ilaa nafsii thorfata ‘ain.
Ertinya: “Wahai Rabb Yang Maha Hidup, wahai Rabb Yang Berdiri Sendiri , dengan rahmat-Mu aku minta pertolongan, perbaikilah segala urusanku dan jangan diserahkan nasibku kepadaku diriku sekali pun sekejap mata .”
Ash-bahnaa ‘ala fithrotil islaam wa ‘alaa kalimatil ikhlaash, wa ‘alaa diini nabiyyinaa Muhammadin shallallahu ‘alaihi wa sallam, wa ‘alaa millati abiina Ibraahiima haniifam muslimaaw wa maa kaana minal musyrikin
Ertinya: “Di waktu pagi kami memegang agama Islam, kalimat ikhlas , agama Nabi kami Muhammad shallallahu ‘alaihi wa sallam, dan agama bapak kami Ibrahim, yang berdiri di atas jalan yang lurus, muslim dan tidak tergolong orang-orang musyrik.”
Ertinya: “Ya Allah! Selamatkan tubuhku Ya Allah, selamatkan pendengaranku. Ya Allah, selamatkan penglihatanku . Tidak ada ilah kecuali Engkau. Ya Allah! Sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu dari kekufuran dan kefakiran. Dan aku berlindung kepada-Mu dari siksa kubur. Tidak ada ilah kecuali Engkau.”
Laa ilaha illallah wahdahu laa syarika lah, lahul mulku walahul hamdu wa huwa ‘ala kulli syai-in qodiir.
Ertinya: “Tidak ada ilah yang berhak disembah selain Allah semata, tidak ada sekutu bagiNya. Bagi-Nya kerajaan dan segala pujian. Dia-lah yang berkuasa atas segala sesuatu.”
Subhanallah wa bi-hamdih, ‘adada kholqih wa ridhoo nafsih. wa zinata ‘arsyih, wa midaada kalimaatih.
Ertinya: “Maha Suci Allah, aku memujiNya sebanyak makhluk-Nya, sejauh kerelaan-Nya, seberat timbangan ‘Arsy-Nya dan sebanyak tinta tulisan kalimat-Nya.”
14) (Dibaca 100 x dalam sehari) أَسْتَغْفِرُ اللهَ وَأَتُوْبُ إِلَيْهِ
Astagh-firullah wa atuubu ilaih.
Ertinya: “Aku memohon ampun kepada Allah dan bertobat kepada-Nya.”
* Waktu AFHDOL Zikir Pagi, Bermula Selepas Solat Subuh Hingga Ke Waktu Dhuha Anggaran 10 pagi.
Baca tiap-tiap hari melalui handphone..
Insya Allah akan terhafal. Ia pendek dan mudah. Hanya 10 minit sahaja. Tidak syarat ikut turutan.
Sepanjang tempoh kawalan pergerakan semasa pandemik, kerajaan telah mengetatkan syarat untuk solat Jumaat berjemaah kepada jumlah yang terhad sahaja. Hanya beberapa jemaah berdaftar sahaja dibenarkan untuk solat Jumaat berjemaah. Keadaan ini menyebabkan rasa hampa sebahagian jemaah yang ingin tunaikan solat Jumaat di masjid.
Justeru adakah dibenarkan dalam situasi sekarang, kaum lelaki mendirikan solat Jumaat atas niat berjemaah menerusi Live Streaming di rumah? Kita ikuti penjelasan dari SS Mufti Wilayah Persekutuan akan hal solat secara live streaming ini.
Assalamualaikum w.b.t Saya ada satu persoalan. Bolehkah kita menunaikan solat Jumaat secara live streaming? Harap dapat pencerahan mengenai perkara ini.
Waalaikumussalam w.b.t. Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga baginda, para sahabat baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT :
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا نُودِيَ لِلصَّلَاةِ مِن يَوْمِ الْجُمُعَةِ فَاسْعَوْا إِلَىٰ ذِكْرِ اللَّـهِ وَذَرُوا الْبَيْعَ ۚ ذَٰلِكُمْ خَيْرٌ لَّكُمْ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diserukan azan untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang Jumaat) dan tinggalkanlah berjual-beli (pada saat itu), yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya).” (Surah al-Jumu‘ah : 9)
Ayat di atas adalah merupakan antara dalil pensyariatan dan kewajipan solat Jumaat. Selain itu, solat Jumaat juga adalah antara beberapa kelebihan yang dikurniakan khusus kepada umat Nabi Muhammad SAW supaya mereka mendapat kemuliaan hari Jumaat tersebut.
Solat Jumaat wajib ditunaikan secara berjemaah
Kami ingin menegaskan bahawa kewajipan solat Jumaat hendaklah ditunaikan secara berjemaah. Perkara ini adalah sebagaimana sabda Rasulullah SAW :
الْجُمُعَةُ حَقٌّ وَاجِبٌ عَلَى كُلِّ مُسْلِمٍ فِي جَمَاعَةٍ إِلاَّ أَرْبَعَةً عَبْدٌ مَمْلُوكٌ أَوِ امْرَأَةٌ أَوْ صَبِيٌّ أَوْ مَرِيضٌ Maksudnya : “Solat Jumaat merupakan satu hak kewajipan ke atas setiap orang muslim untuk mendirikannya secara berjemaah, kecuali hamba yang dimiliki oleh tuannya, perempuan, kanak-kanak dan orang yang sakit.” Riwayat Abu Daud (1067)
Malah, Dr. Wahbah al-Zuhaili telah menyatakan di dalam kitabnya bahawa telah berlaku Ijma’ ulama mengenai kewajipan menunaikan solat Jumaat secara berjemaah.
Syarat-Syarat Mengikut Imam Bagi Solat Berjemaah
Sepertimana yang telah kami sebutkan, solat Jumaat wajib ditunaikan secara berjemaah. Oleh itu, solat Jumaat tertakluk kepada syarat-syarat sah solat berjemaah. Antara syarat-syarat sahnya solat berjemaah ialah makmum mesti mengetahui pergerakan imam.
Mengenai perkara ini, Imam al-Nawawi ada menyebutkan bahawa :
Maksudnya : “Disyaratkan untuk sahnya ikutan (dalam solat berjemaah) ialah makmum mengetahui segala perpindahan (pergerakan dalam solat) orang yang menjadi imam, sama ada kedua-duanya (Imam dan makmum) menunaikan solat di dalam masjid atau selain masjid (luar masjid) atau salah seorangnya di dalam masjid dan seorang lagi berada di luar masjid. Inilah perkara yang telah disepakati (oleh para ulama).
“Ulama mazhab Syafie mengatakan bahawa hasil pengetahuan makmum itu ialah dengan mendengar imam atau mendengar orang yang dibelakang imam atau melihat pergerakkan imam atau pergerakkan orang yang di belakang imam. Dan mereka telah menukilkan ijma’ mengenai keharusan berpegang pada tiap-tiap satu daripada perkara tersebut.”
Begitu juga, al-Khatib al-Syirbini menyatakan bahawa disyaratkan makmum mengetahui segala pergerakan imam (di dalam solat), supaya (makmum itu) dapat mengikut sama ada dengan imam atau melihat sebahagian daripada saf (makmum yang lain) atau mendengarnya (suara imam) atau pun mendengar suara muballigh.
Selain itu, Al-Sayyid Ahmad al-Syatiri ada menyebutkan antara syaratnya juga ialah :
أن يكون اجتماع الإمام والمأموم… إما في مسجد، أو في مكان سواه لا يزيد ما بينهما منه على ثلاث مئة ذراع تقريبا…
“Hendaklah berhimpun (pada satu tempat) Imam dan makmum… sama ada di dalam masjid, atau tempat selainnya (luar masjid) yang mana jarak antara keduanya tidak melebihi kira-kira 300 hasta (lebih kurang).”
Apabila kita melihat kepada syarat ini, sebenarnya ia kembali semula kepada syarat sebelumnya iaitu dengan berhimpunnya kedua-duanya dalam satu tempat membolehkan makmum melihat dan mengetahui pergerakkan imam.
Oleh itu, di dalam kitab al-Fiqh al-Manhaji ada disebutkan bahawa sekiranya imam dan makmum sama-sama berada di dalam masjid maka mengikut imam adalah sah walau sejauh mana sekalipun jarak antara kedua-duanya ataupun terlindung oleh dinding-dinding yang boleh dilalui
Namun, apabila kedua-dua imam dan makmum berada di luar masjid atau imam di dalam masjid dan makmum di luarnya, ketika ini disyaratkan jarak antara kedua-duanya tidak terlalu jauh.
Dalam hal ini, para ulama ada meletakkan tiga syarat tambahan iaitu :
Sekiranya salah seorang berada di dalam masjid, manakala sebahagian lagi berada di luar masjid, kiraan jarak 300 hasta (150 meter) tersebut bermula daripada bahagian akhir masjid dan bukannya dari saf yang terakhir dalam masjid iaitu jarak di antara tepi dinding luar masjid dengan tempat berdiri makmum yang terdekat di luar masjid tidak melebih 300 hasta. (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 297 dan al-Fiqh al-Manhaji, 1/182)
Imam Kamaluddin al-Damiri pula berpendapat bahawa dengan makmum melihat imam atau melihat sebahagian daripada saf atau mendengar suara imam atau mendengar suara muballigh, adalah merupakan antara sebab-sebab yang boleh membawa kepada pengetahuan makmum mengenai pergerakkan imam di dalam solat.
Walau bagaimanapun, di sisi kami dan jumhur ulama sekadar (mensyaratkan) perkara tersebut sahaja tidak cukup, bahkan mesti bersamanya diletakkan syarat supaya berhimpunnya imam dan makmum (dalam satu tempat) kerana kalaulah sudah cukup dengan hanya pengetahuan (mengenai pergerakkan imam), sudah tentu terbatalnya (tidak perlu lagi) perintah untuk pergi ke masjid bagi menunaikan solat Jumaat.
Begitu juga, seruan untuk menunaikan solat berjemaah (di masjid). Dan setiap orang akan menunaikan solat di rumah masing-masing atau di pasar dengan berimamkan (mengikuti) solat imam di masjid, sekiranya mereka mengetahuinya (pergerakkan imam). Ini jelas menyalahi al-Quran dan Sunnah. (Lihat al-Najm al-Wahhaj fi Syarh al-Minhaj, 2/375)
Hukum Menunaikan Solat Jumaat Secara Live Streaming
Berbalik kepada soalan yang ditanyakan, menunaikan solat Jumaat melalui perantaraan live streaming adalah tidak sah dan solatnya terbatal kerana tidak memenuhi syarat-syarat sah mengikuti imam dalam solat berjemaah sebagaimana yang telah disebutkan oleh para ulama.
Begitu juga, solat berjemaah ini sebenarnya bertujuan untuk menghimpunkan orang-orang Islam (secara hakiki). Oleh itu, ia berhajat kepada satu tempat dan bersambungnya saf antara satu sama lain.
Oleh sebab itu, tidak boleh menunaikan solat berjemaah melalui siaran langsung di televisyen atau radio (atau live streaming) kerana ia tidak mencapai maksud sebagaimana yang dikehendaki oleh syarak.
Kalaulah dibenarkan perkara ini, sudah tentu setiap orang boleh menunaikan solat lima waktu dan solat Jumaat di rumah masing-masing.
Sudah tentu, perkara seperti ini menafikan (tujuan) pensyariatan solat Jumaat dan solat berjemaah (iaitu menghimpunkan manusia). (Lihat Majmu’ al-Fatawa wa Rasail Syeikh Ibn al-Uthaimin, 15/213)
Kesimpulannya
Berdasarkan kepada perbahasan dan perbincangan di atas, kami menyimpulkan bahawa menunaikan solat Jumaat melalui perantaraanlive streaming adalah tidak sah dan solatnya terbatal kerana tidak memenuhi syarat-syarat sah mengikuti imam dalam solat berjemaah sebagaimana yang telah digariskan oleh para ulama.
Oleh itu, apabila terdapatnya keuzuran atau halangan daripada menunaikan solat Jumaat seperti perintah kawalan pergerakan ini, maka hendaklah kembali kepada rukhsah yang diberikan oleh syarak iaitu menggantikannya dengan menunaikan solat zohor di rumah masing-masing.
Akhir kalam kami berdoa kepada Allah SWT agar memberikan kefahaman yang tepat kepada kita semua dalam beragama. Amin.
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download
sekarang ya?
Membesarkan anak bukan sekadar memastikan mereka cukup makan, cukup pakaian dan berjaya dalam akademik. Hakikatnya, ia adalah amanah besar yang akan dipersoalkan di akhirat...