
Sembilan Zulhijjah menandakan tibanya Hari Arafah, hari yang sangat dinanti-nantikan oleh umat Islam di seluruh dunia, khususnya mereka yang sedang mengerjakan ibadah haji.
Di Padang Arafah, Kota Makkah, jutaan jemaah haji berhimpun untuk berwukuf. Sebagai tanda merendah diri, memohon keampunan dan mengharap rahmat daripada Allah SWT. Walaupun kita tidak berada di sana, ini bukan bermakna kita tidak berpeluang meraih kelebihan hari yang penuh keberkatan ini.
Allah SWT tidak pernah menutup pintu rahmat-Nya. Selagi kita masih diberi peluang bernafas, masih ada ruang untuk kembali kepada-Nya dengan doa, zikir, taubat dan amal soleh.
BACA JUGA: 6 Doa Dipermudahkan Jodoh, Dipertemukan Pasangan Yang Baik. Yang Bujang Amalkan!
Wukuf merupakan salah satu rukun haji yang dilaksanakan oleh jemaah haji pada 9 Zulhijjah. Ia bermaksud berhenti atau berdiam diri di Padang Arafah, bermula dari gelincir matahari pada 9 Zulhijjah hingga terbit fajar pada 10 Zulhijjah.
Pada waktu inilah para jemaah haji memperbanyakkan doa, munajat, zikir dan taubat kepada Allah SWT. Suasana di Arafah sangat menyentuh hati kerana setiap insan hadir dengan penuh harapan, membawa dosa, hajat, air mata dan penyerahan diri kepada Tuhan Yang Maha Pengampun.
Namun bagi kita yang tidak berpeluang berada di sana, jangan berasa jauh daripada rahmat Allah. Kita juga boleh menghidupkan Hari Arafah dengan amalan yang disukai-Nya.
Keistimewaan Hari Arafah
Hari Arafah mempunyai kedudukan yang sangat mulia dalam Islam. Seperti yang dijelaskan melalui portal Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, antara kelebihan Hari Arafah ialah hari sempurnanya agama Islam.
Daripada Umar al-Khattab RA, seorang lelaki Yahudi pernah berkata kepadanya bahawa terdapat satu ayat dalam al-Quran yang jika diturunkan kepada mereka, pasti mereka akan menjadikan hari tersebut sebagai hari raya.
Maksudnya:“Wahai Amir al-Mukminin, satu ayat di dalam kitab kamu (al-Quran) yang kamu membacanya. Jika ia ke atas kami sekalian bangsa Yahudi maka kami akan mengambil hari tersebut sebagai perayaan. Umar bertanya: Apakah ayat itu? Dia berkata: “Aku telah sempurnakan bagi kamu ugama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu, dan Aku telah redakan Islam itu menjadi ugama untuk kamu”. Umar berkata: Kami telah ketahui hari tersebut dan tempat turun ayat tersebut ke atas Nabi SAW ketika baginda SAW berdiri di Arafah pada hari Jumaat”.
[Riwayat al-Bukhari (43) dan Muslim (5334)]
Hari Arafah juga disebut sebagai hari raya bagi umat Islam. Daripada Uqbah bin Amir RA, Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: “Hari Arafah, Hari Korban serta hari-hari Tasyrik adalah hari raya kita orang Islam, dan ia adalah hari makan dan minum.”
[Riwayat Abu Daud (20660), Tirmizi (704) dan al-Nasa’ie (2954)]
Selain itu, Hari Arafah juga merupakan hari penyaksian. Daripada Abu Hurairah RA, Nabi SAW bersabda:
Maksudnya: “Hari yang dijanjikan adalah hari Kiamat, hari Mayshud adalah hari Arafah serta al-Syahid adalah hari Jumaat”
[Riwayat al-Tirmizi]
Antara kelebihan besar Hari Arafah ialah kemuliaan berdoa pada hari tersebut. Daripada Abdullah bin ‘Amr RA, Nabi Muhammad SAW bersabda:
Maksudnya: “Sebaik-baik doa adalah doa pada Hari Arafah.”
[Riwayat al-Tirmizi]
Ini menunjukkan betapa besarnya peluang yang Allah SWT buka kepada hamba-Nya pada hari ini. Maka rugilah jika kita membiarkan Hari Arafah berlalu tanpa doa, tanpa taubat dan usaha mendekatkan diri kepada-Nya.
Hari Arafah juga merupakan hari keampunan dan pelepasan daripada api neraka. Daripada Aisyah RA, Nabi Muhammad SAW bersabda:
Maksudnya: “Tidak ada satu hari yang Allah lebih banyak membebaskan hamba-Nya daripada api neraka melainkan pada Hari Arafah.”
[Riwayat Muslim]
Amalan Yang Boleh Dilakukan Pada Hari Arafah
Kelebihan Hari Arafah bukan hanya dirasai oleh mereka yang sedang berwukuf di Padang Arafah. Kita yang tidak menunaikan haji juga boleh mengambil peluang memperbanyakkan amal soleh sepanjang hari tersebut.
Antara amalan yang sangat digalakkan ialah:
- Berpuasa sunat Arafah bagi yang tidak menunaikan haji.
- Memperbanyakkan doa, terutama selepas solat dan pada waktu-waktu mustajab.
- Banyakkan zikir, istighfar, tahmid, takbir dan tahlil.
- Memohon keampunan untuk diri sendiri, ibu bapa, pasangan, anak-anak dan seluruh umat Islam.
- Bertaubat dengan sungguh-sungguh atas dosa yang pernah dilakukan.
- Memohon hajat yang baik kepada Allah SWT dengan penuh yakin dan rendah hati.
Hari Arafah hanya datang setahun sekali. Jangan biarkan ia berlalu tanpa kita mengambil peluang untuk kembali kepada Allah SWT.
Mungkin ada sesuatu yang sudah lama kita hajati tetapi belum diperoleh. Mungkin ada doa yang sudah lama kita pendam. Mungkin ada masalah yang kita simpan sendiri kerana terlalu penat untuk bercerita kepada manusia.
Pada Hari Arafah ini, luahkanlah semuanya kepada Allah. Menangislah dalam doa. Mohonlah dengan sepenuh hati. Mintalah keampunan, ketenangan, rezeki yang baik, keluarga yang diberkati, kesembuhan, perlindungan dan apa sahaja kebaikan dunia serta akhirat.
Walaupun kita tidak berada di Padang Arafah, Allah tetap melihat usaha kita. Yang penting, datanglah kepada-Nya dengan hati yang ikhlas, penuh harapan dan yakin bahawa tiada doa yang sia-sia di sisi Allah SWT.
Sesungguhnya, Allah Maha Mendengar setiap rintihan hamba-Nya.
++Untuk berita dan artikel terkini. Jangan lupa ikuti kami di media sosial rasmi kashoorga, Instagram, Facebook & TikTok
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download
sekarang ya?







