Semakin ramai alim ulama meninggalkan kita sejak akhir-akhir ini, tanda dunia sudah semakin tua dan ke penghujungnya. Terkini, seorang syaikh tariqah terkenal sangat terkenal di Turki, Syeikh Mahmûd Efendi Hazretlerimiz dilaporkan meninggal semalam dan akan dikebumikan hari ini.
Menurut Mehmet Izudin Gul, seorang rakyat Malaysia yang menetap di Turki berkongsi pemergian seorang ulama terkenal semalam dan akan dikebumikan hari ini.
Berikut adalah perkongsiannya:-
Allahu. Subuh pagi ini, baru saja mendapat berita pilu yang Syeikh Mahmûd Efendi Hazretlerimiz telah pergi meninggal dunia tadi.
Ads
Innalillahi wa Inna ilaihi raji’un.
Syeikh Mahmud Efendi adalah seorang syaikh tariqah yang sangat terkenal di Turki & mempunyai anak murid di seluruh dunia. Beliau sangat disayangi oleh pengikut-pengikutnya dan sering dikunjungi oleh manusia serata dunia yang datang ke İstanbul. (rujuk gambar-gambar beliau dengan keturunan Uthmaniyyah & Erdoğan ).
Kepada yang berada di İstanbul, solat jenazah akan diadakan pada hari Jumaat ini. Jenazah akan dipindahkan dari Masjid Fatih selepas solat Jumaat.
(Ikut pengalaman, semasa Hocam Balkanlıoğlu wafat dulu, jammed teruk area Fatih İstanbul, sampaikan untuk motorsikal lalu pun takda laluan. Penuh dengan manusia.
Ads
Inikan pula Syeikh Mahmud Efendi yang meninggal. Semua pengikutnya di seluruh pelusuk Turki akan hadir.
Yang bercadang nak pergi beri penghormatan terakhir Jumaat ini, persiapkan diri. Memang sesak sungguh nanti.)
Terakhirnya, Al-Fatihah buat sang guru besar kepada ummah. Pemergianmu dirasai.
Memetik laman web The Muslim 500, Syeikh Effendi menjadi seorang hafiz seawal usia enam tahun. Beliau mempelajari bahasa Arab dan Parsi, dan kemudian melanjutkan pelajaran dan jurusan Sains Islam. Sheikh Effendi dilantik sebagai imam masjid Ismail Agha di Istanbul pada tahun 1954, di mana beliau kekal sehingga bersara pada tahun 1996.
Syeikh Effendi mempunyai berjuta-juta pengikut dan telah menubuhkan pelbagai organisasi keagamaan, sosial dan amal seperti Persatuan Marifet, Persekutuan Persatuan Marifet dan Gabungan Ahli Sunnah wal Jamaah.
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download
sekarang ya?
‘Harapkan doa terbaik, saya bukan manusia sempurna.’ Syamsul Yusof mengaku sudah sah bernikah dengan Ira Kazar berwalikan bapanya di Thailand.
Akhirnya setelah melalui episod yang panjang, kemelut rumah tangga yang melanda pasangan ini menemui noktahnya.
Pengarah popular, Syamsul Yusof, 39, akhirnya mengesahkan dia sudah bernikah dengan wanita pilihannya, Ira Kazar, hari ini. Syamsul berkongsi berita itu menerusi video di Instagram, hari ini.
Dalam masa yang sama, menurut Syamsul, pernikahan itu berlangsung di Thailand dan berwalikan bapa Ira yang juga pelakon veteran, Kazar Saisi.
“Saya sudah bernikah secara sah dengan Ira yang berwalikan ayah dia sendiri di Thailand. Ada sebab ia dilangsungkan di sini bagi memudahkan beberapa perkara. Perkahwinan ini juga sudah didaftarkan,” katanya menerusi video itu.
Difahamkan, Syamsul kini berada di Thailand. Syamsul turut menjelaskan Puteri Sarah masih lagi isterinya yang sah.
“Kepada Puteri Sarah, saya mengharapkan kepulangan awak. Pulanglah ke rumah agar kita dapat berbincang dan tak perlu dihebahkan dalam media sosial. Bawa anak-anak kita balik.
“Apa saja kita berbincang di rumah tanpa perlu mengaibkan saya.Terus-terang, bawa anak-anak ke sana sini tanpa keizinan suami, sedangkan saya masih suami awak. Saya tak nak cakap lebih, fikir-fikirkanlah,” katanya.
Malah jelas Syamsul, dia juga tidak berniat membelakangkan keluarganya.
“Tak pernah terlintas membelakangkan keluarga. Saya harap doa yang baik-baik dari ibu bapa, adik-beradik dan keluarga.
“Saya berdoa keputusan yang saya buat dirahmati, dilindungi Allah daripada segala fitnah, hasad dengki dan niat jahat.
“Paling penting, saya mengharapkan doa terbaik. Saya bukan manusia sempurna, ada masanya melakukan kesilapan,” katanya.
Sepanjang tempoh kawalan pergerakan semasa pandemik, kerajaan telah mengetatkan syarat untuk solat Jumaat berjemaah kepada jumlah yang terhad sahaja. Hanya beberapa jemaah berdaftar sahaja dibenarkan untuk solat Jumaat berjemaah. Keadaan ini menyebabkan rasa hampa sebahagian jemaah yang ingin tunaikan solat Jumaat di masjid.
Justeru adakah dibenarkan dalam situasi sekarang, kaum lelaki mendirikan solat Jumaat atas niat berjemaah menerusi Live Streaming di rumah? Kita ikuti penjelasan dari SS Mufti Wilayah Persekutuan akan hal solat secara live streaming ini.
Assalamualaikum w.b.t Saya ada satu persoalan. Bolehkah kita menunaikan solat Jumaat secara live streaming? Harap dapat pencerahan mengenai perkara ini.
Waalaikumussalam w.b.t. Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga baginda, para sahabat baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT :
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا نُودِيَ لِلصَّلَاةِ مِن يَوْمِ الْجُمُعَةِ فَاسْعَوْا إِلَىٰ ذِكْرِ اللَّـهِ وَذَرُوا الْبَيْعَ ۚ ذَٰلِكُمْ خَيْرٌ لَّكُمْ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diserukan azan untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang Jumaat) dan tinggalkanlah berjual-beli (pada saat itu), yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya).” (Surah al-Jumu‘ah : 9)
Ayat di atas adalah merupakan antara dalil pensyariatan dan kewajipan solat Jumaat. Selain itu, solat Jumaat juga adalah antara beberapa kelebihan yang dikurniakan khusus kepada umat Nabi Muhammad SAW supaya mereka mendapat kemuliaan hari Jumaat tersebut.
Solat Jumaat wajib ditunaikan secara berjemaah
Kami ingin menegaskan bahawa kewajipan solat Jumaat hendaklah ditunaikan secara berjemaah. Perkara ini adalah sebagaimana sabda Rasulullah SAW :
الْجُمُعَةُ حَقٌّ وَاجِبٌ عَلَى كُلِّ مُسْلِمٍ فِي جَمَاعَةٍ إِلاَّ أَرْبَعَةً عَبْدٌ مَمْلُوكٌ أَوِ امْرَأَةٌ أَوْ صَبِيٌّ أَوْ مَرِيضٌ Maksudnya : “Solat Jumaat merupakan satu hak kewajipan ke atas setiap orang muslim untuk mendirikannya secara berjemaah, kecuali hamba yang dimiliki oleh tuannya, perempuan, kanak-kanak dan orang yang sakit.” Riwayat Abu Daud (1067)
Malah, Dr. Wahbah al-Zuhaili telah menyatakan di dalam kitabnya bahawa telah berlaku Ijma’ ulama mengenai kewajipan menunaikan solat Jumaat secara berjemaah.
Syarat-Syarat Mengikut Imam Bagi Solat Berjemaah
Sepertimana yang telah kami sebutkan, solat Jumaat wajib ditunaikan secara berjemaah. Oleh itu, solat Jumaat tertakluk kepada syarat-syarat sah solat berjemaah. Antara syarat-syarat sahnya solat berjemaah ialah makmum mesti mengetahui pergerakan imam.
Mengenai perkara ini, Imam al-Nawawi ada menyebutkan bahawa :
Maksudnya : “Disyaratkan untuk sahnya ikutan (dalam solat berjemaah) ialah makmum mengetahui segala perpindahan (pergerakan dalam solat) orang yang menjadi imam, sama ada kedua-duanya (Imam dan makmum) menunaikan solat di dalam masjid atau selain masjid (luar masjid) atau salah seorangnya di dalam masjid dan seorang lagi berada di luar masjid. Inilah perkara yang telah disepakati (oleh para ulama).
“Ulama mazhab Syafie mengatakan bahawa hasil pengetahuan makmum itu ialah dengan mendengar imam atau mendengar orang yang dibelakang imam atau melihat pergerakkan imam atau pergerakkan orang yang di belakang imam. Dan mereka telah menukilkan ijma’ mengenai keharusan berpegang pada tiap-tiap satu daripada perkara tersebut.”
Begitu juga, al-Khatib al-Syirbini menyatakan bahawa disyaratkan makmum mengetahui segala pergerakan imam (di dalam solat), supaya (makmum itu) dapat mengikut sama ada dengan imam atau melihat sebahagian daripada saf (makmum yang lain) atau mendengarnya (suara imam) atau pun mendengar suara muballigh.
Selain itu, Al-Sayyid Ahmad al-Syatiri ada menyebutkan antara syaratnya juga ialah :
أن يكون اجتماع الإمام والمأموم… إما في مسجد، أو في مكان سواه لا يزيد ما بينهما منه على ثلاث مئة ذراع تقريبا…
“Hendaklah berhimpun (pada satu tempat) Imam dan makmum… sama ada di dalam masjid, atau tempat selainnya (luar masjid) yang mana jarak antara keduanya tidak melebihi kira-kira 300 hasta (lebih kurang).”
Apabila kita melihat kepada syarat ini, sebenarnya ia kembali semula kepada syarat sebelumnya iaitu dengan berhimpunnya kedua-duanya dalam satu tempat membolehkan makmum melihat dan mengetahui pergerakkan imam.
Oleh itu, di dalam kitab al-Fiqh al-Manhaji ada disebutkan bahawa sekiranya imam dan makmum sama-sama berada di dalam masjid maka mengikut imam adalah sah walau sejauh mana sekalipun jarak antara kedua-duanya ataupun terlindung oleh dinding-dinding yang boleh dilalui
Namun, apabila kedua-dua imam dan makmum berada di luar masjid atau imam di dalam masjid dan makmum di luarnya, ketika ini disyaratkan jarak antara kedua-duanya tidak terlalu jauh.
Dalam hal ini, para ulama ada meletakkan tiga syarat tambahan iaitu :
Sekiranya salah seorang berada di dalam masjid, manakala sebahagian lagi berada di luar masjid, kiraan jarak 300 hasta (150 meter) tersebut bermula daripada bahagian akhir masjid dan bukannya dari saf yang terakhir dalam masjid iaitu jarak di antara tepi dinding luar masjid dengan tempat berdiri makmum yang terdekat di luar masjid tidak melebih 300 hasta. (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 297 dan al-Fiqh al-Manhaji, 1/182)
Imam Kamaluddin al-Damiri pula berpendapat bahawa dengan makmum melihat imam atau melihat sebahagian daripada saf atau mendengar suara imam atau mendengar suara muballigh, adalah merupakan antara sebab-sebab yang boleh membawa kepada pengetahuan makmum mengenai pergerakkan imam di dalam solat.
Walau bagaimanapun, di sisi kami dan jumhur ulama sekadar (mensyaratkan) perkara tersebut sahaja tidak cukup, bahkan mesti bersamanya diletakkan syarat supaya berhimpunnya imam dan makmum (dalam satu tempat) kerana kalaulah sudah cukup dengan hanya pengetahuan (mengenai pergerakkan imam), sudah tentu terbatalnya (tidak perlu lagi) perintah untuk pergi ke masjid bagi menunaikan solat Jumaat.
Begitu juga, seruan untuk menunaikan solat berjemaah (di masjid). Dan setiap orang akan menunaikan solat di rumah masing-masing atau di pasar dengan berimamkan (mengikuti) solat imam di masjid, sekiranya mereka mengetahuinya (pergerakkan imam). Ini jelas menyalahi al-Quran dan Sunnah. (Lihat al-Najm al-Wahhaj fi Syarh al-Minhaj, 2/375)
Hukum Menunaikan Solat Jumaat Secara Live Streaming
Berbalik kepada soalan yang ditanyakan, menunaikan solat Jumaat melalui perantaraan live streaming adalah tidak sah dan solatnya terbatal kerana tidak memenuhi syarat-syarat sah mengikuti imam dalam solat berjemaah sebagaimana yang telah disebutkan oleh para ulama.
Begitu juga, solat berjemaah ini sebenarnya bertujuan untuk menghimpunkan orang-orang Islam (secara hakiki). Oleh itu, ia berhajat kepada satu tempat dan bersambungnya saf antara satu sama lain.
Oleh sebab itu, tidak boleh menunaikan solat berjemaah melalui siaran langsung di televisyen atau radio (atau live streaming) kerana ia tidak mencapai maksud sebagaimana yang dikehendaki oleh syarak.
Kalaulah dibenarkan perkara ini, sudah tentu setiap orang boleh menunaikan solat lima waktu dan solat Jumaat di rumah masing-masing.
Sudah tentu, perkara seperti ini menafikan (tujuan) pensyariatan solat Jumaat dan solat berjemaah (iaitu menghimpunkan manusia). (Lihat Majmu’ al-Fatawa wa Rasail Syeikh Ibn al-Uthaimin, 15/213)
Kesimpulannya
Berdasarkan kepada perbahasan dan perbincangan di atas, kami menyimpulkan bahawa menunaikan solat Jumaat melalui perantaraanlive streaming adalah tidak sah dan solatnya terbatal kerana tidak memenuhi syarat-syarat sah mengikuti imam dalam solat berjemaah sebagaimana yang telah digariskan oleh para ulama.
Oleh itu, apabila terdapatnya keuzuran atau halangan daripada menunaikan solat Jumaat seperti perintah kawalan pergerakan ini, maka hendaklah kembali kepada rukhsah yang diberikan oleh syarak iaitu menggantikannya dengan menunaikan solat zohor di rumah masing-masing.
Akhir kalam kami berdoa kepada Allah SWT agar memberikan kefahaman yang tepat kepada kita semua dalam beragama. Amin.
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download
sekarang ya?
Hidup dan mati kita semua ditentukan Allah. Usia muda atau tua bukan faktor penentu kita menemui ajal.
Ada yang meninggal di usia muda kebetulan pula berharta dan malang lagi tidak sempat uruskan pembahagian harta terutama untuk isteri, suami dan anak-anak tercinta.
Di kalangan orang Melayu Islam kita, bab harta pusaka ini sememangnya menjadi agak sensitif untuk dibawa bincang ditambah pula pemilik harta baharu meninggal dunia. Tidak kiralah suami yang baru anda kahwini mahupun ayah atau ibu yang terlantar sakit meninggal dunia.
Tak pelik ada kes berebut harta di kawasan perkuburan, putus tangan disabit, maut ditetak, cedera disimbah asid dan petaka lain lagi dek kerana harta pusaka yang tidak diurus awal oleh si mati.
Bertambah malang jika kita baharu sahaja mendirikan rumahtangga, suami tak sempat uruskan hartanya akhirnya kita berputih mata.
Diriwayatkan dari Salim, dari Ibn ‘Umar r.a., bahawa dia mendengar Rasulullah SAW bersabda, “Tidaklah pantas seorang Muslim yang mempunyai sesuatu akan diwasiatkan lalu dia tinggal sampai tiga malam. Kecuali wasiatnya itu telah tertulis padanya. “ Abdullah bin ‘Umar r.a berkata,”Sejak saya mendengar Rasulullah SAW bersabda demikian, tidak ada satu malam pun berlalu, kecuali saya telah menulis wasiat saya,” (5:70-Shahih Muslim)
Untuk anak-anak muda atau sesiapa sahaja, pastikan anda ambil tahu hal ini, kerana hak anda pun ada pada harta pusaka itu.
Sebahagian dari masyarakat beranggapan bahawa adalah tidak wajar membahagikan harta pusaka terlalu awal, kononnya “tanah kubur masih merah”. Jika terdapat salah seorang waris yang menyarankan agar pembahagian dan penyelesaian harta itu dibuat dengan segera, biasanya dia akan dipandang serong oleh waris-waris yang lain, dituduh sebagai tidak beradab, tidak menghormati si mati dan sebagainya.
Untuk mengelakkan perkara ini, akhirnya semua waris mengambil sikap berdiam diri dan menanti-nanti bilakah perkara itu akan diselesaikan dan siapakah yang patut memulakannya.
Anak sulung yang selalunya menjadi tumpuan hanya berdiam diri. Penantian ini kadangkala memakan masa yang lama sehingga bertahun-tahun. Ini adalah satu tanggapan yang salah dan bertentangan dengan syarak kerana pembahagian pusaka perlu disegerakan supaya dapat ditentukan hak waris-waris.
Masyarakat Melayu terkenal dengan sifat bersopan santun yang tinggi nilainya. Mereka amat berhati-hati agar tidak dikatakan orang sesuatu yang tidak baik terhadap mereka. Dalam kes penyelesaian harta pusaka ini umpamanya, masing-masing takut untuk bersuara, bertanyakan tentang harta pusaka nanti akan dituduh berkehendakkan harta, tamakkan harta.
Justeru itu masing-masing membiarkan harta pusaka tersebut sehingga sekian lama tanpa menyelesaikannya. Dengan bersifat demikian, mereka telah mengabaikan tanggungjawab mereka untuk membahagikan pusaka, sekaligus mereka juga telah mengabaikan tuntutan agama supaya menyegerakan pembahagian pusaka.
Dengan ini bermakna mereka telah mengenepikan agama semata-mata kerana adat bersopan santun yang bukan pada tempatnya.
Kekurangan pengetahuan dan maklumat ini boleh ditafsirkan kepada dua maksud. Pertama, waris-waris tidak mempunyai pengetahuan yang mendalam tentang proses pembahagian harta pusaka sama ada dari segi hukum atau undang-undang. Mereka tidak tahu apakah yang harus mereka lakukan, ke mana dan kepada siapa harus dikemukakan perkara tersebut.
Kedua, mereka tidak tahu tentang risiko dan implikasi dari tindakan mereka menangguh-nangguhkan pembahagian harta pusaka. Mereka menganggap tidak ada apa-apa kesan dari segi hukum mahupun undang-undang.
Tanggapan bahawa tugas menyelesai harta pusaka ini merupakan satu tugas yang remeh temeh. Mereka mengambil sikap endah tak endah (adamant attitude) dan menganggap bahawa menangguhkan penyelesaian harta pusaka ini tidak mendatangkan sebarang kesan, baik dari segi hukum atau undang-undang. Mereka tidak prihatin terhadap tuntutan agama yang menuntut mereka agar menyegerakan pembahagian pusaka.
Sebab itulah kadangkala harta pusaka itu dibiarkan sehingga begitu lama tidak diselesaikan. Mereka hanya mahu menyelesaikannya apabila sesuatu yang menguntungkan bakal menemui mereka, misalnya apabila harta tersebut hendak dijual, digadai atau diambil balik oleh kerajaan dan mendapat wang pampasan.
Selalunya keadaan demikian berlaku ke atas hartanah. Mereka tidak mempunyai rasa tanggungjawab untuk menyelesaikannya, kerana tanah tidak ke mana. Selagi tidak terdesak selagi itulah tanah tersebut dibiarkan.
Pertelingkahan sesama waris juga merupakan salah satu sebab mengapa harta pusaka dibiarkan dan tidak diselesaikan dengan segera. Pertelingkahan mungkin wujud sebelum berlaku kematian dan berlarutan. Apabila berlaku kematian, waris-waris yang bertelingkah itu tidak dapat bersua muka di antara satu sama lain apatah lagi bertanya khabar tentang harta pusaka atau berbincang mengenainya.
Pertelingkahan mungkin juga wujud selepas kematian. Mungkin ada di antara waris-waris yang tidak puas hati di dalam sesuatu perkara semasa pengurusan jenazah misalnya atau ada yang sengaja untuk cuba menguasai atau membolot harta-harta simati untuk kepentingan dirinya sendiri. Ini berlaku akibat dari rasa tamak dan haloba dan kadangkala sayangkan harta itu supaya tidak jatuh ketangan orang lain. Akibatnya harta pusaka tidak dibahagi dan dibiarkan.
Ini salah satu sebab yang juga menyumbang kepada kelewatan penyelesaian harta pusaka tetapi kurang diberikan perhatian. Ada kes yang berlaku, di mana waris-waris tidak puas hati dengan sikap simati semasa hayatnya yang tidak berlaku adil terhadap anak-anaknya. Ada anak yang diberi layanan dan perhatian baik dan ada yang sebaliknya.
Ada juga anak yang telah diberi hibbah (pemberian semasa hidup) dan ada yang tidak diberi, atau diberi tetapi secara tidak adil dan berbagai perkara lagi. Hal-hal seumpama ini juga akan menyebabkan sebahagian waris merasa jauh hati dan tidak memberikan perhatian yang sewajarnya kepada penyelesaian harta pusaka itu.
Mengikut satu kajian yang dilakukan oleh seorang Pegawai Pembahagian Pusaka yang membuat ijazah sarjana mendapati, 81% daripada waris-waris yang disoal siasat mempunyai hubungan yang baik dengan waris yang lain, dan tidak mempunyai apa-apa masalah yang boleh mengakibatkan berlakunya kelewatan permohonan untuk menuntut pusaka, tetapi apabila disoal siasat beliau mendapati sikap pemohon itu sendiri yang menyebabkan berlakunya kelewatan di mana ada di kalangan mereka yang tidak mahu menyusahkan diri, berasa selesa dengan keadaan semasa.
Mereka ini adalah di kalangan orang yang mendudukki tanah pusaka atas nama simati. Mereka menjadi berat hati dan takut untuk memohon pusaka kerana takut tanah yang didudukki mereka akan dituntut oleh waris-waris lain. Oleh yang demikian untuk mengelakkan wujudnya hubungan tidak mesra di antara waris, maka lebih elok tanah tersebut kekal dengan nama si mati.
Kajian juga mendapati seramai 55% daripada waris yang disoal mengakui dan bersetuju bahawa mereka mengharapkan waris yang tertua (anak sulung) yang akan membuat tuntutan harta pusaka. Waris lain hanya tunggu dan lihat. Oleh kerana anak sulung tidak mengambil apa-apa tindakan, berlakulah kelewatan dalam permohonan pusaka.
Bukan mahram tinggal serumah di homestay sering menimbulkan persoalan. Ketahui penjelasan tentang khalwat, aurat dan batas pergaulan yang perlu dijaga.