
Mati itu sudah pasti, cuma kita tidak tahu bila dan di mana. Urusan rezeki, ajal dan maut ini terletak di tangan Allah. Hanya Dia yang Maha Mengetahui. Dan sangat beruntung jika seseorang itu meninggal dunia pada hari Jumaat nan mulia.
Tidak kiralah seseorang itu masih kanak-kanak, dewasa atau orang tua. Sangat beruntungnya dijemput Illahi pada Jumaat mulia dan juga penghulu segala hari.
Seperti perkongsian di laman sosial SR Islam Al-Irsyad Balok memberitahu bahawa hari ini adik Ahmad Daniel Muhammad Ahmad Suhairi telah bertemu Illahi pada jam 4 pagi tadi.
Adik Ahmad Daniel sebelum ini telah di sahkan menghidap kanser otak jenis Diffuse Diffuse Intrinsic Pontine Glioma (DIPG) tahap empat pada Mac yang lalu.
Malah kisahnya juga menjadi viral kerana hasrat untuk mengenakan pakaian seragam anggota bomba lengkap dengan tanda nama tercapai.
Pada awal Oktober lalu, hasrat arwah telah ditunaikan apabila berpeluang menyarung baju uniform itu dan turut menaiki jentera bomba.

Menurut bapanya, arwah Danial memang sangat berhajat untuk menjadi angota bomba. Malah setiap kali melihat jentera atau aksi anggota bomba, dia akan teruja dan beritahu bomba adalah wira penyelamat yang hebat.
Innalillahi Wainna Ilaihi Raajiun
اِنَّالِلَه وَاِنَّااِلَيْهِ رَاجِعُوْن
Pagi Jumaat yang hening. Pihak @SR Islam Al Irsyad Balok mendapat perkhabaran duka perginya anak didik kami yang tercinta, Adik Muhammad Daniel b Muhammad Suhairi bertemu Ilahi lebih kurang pukul 4 pagi tadi.
Allah menjemputnya pulang di hari Jumaat yang mulia. Almarhum Ahmad Daniel disahkan menghidap DIPG iaitu sejenis kanser otak pada Mac yang lalu.
Semoga keluarga almarhum Ahmad Daniel tabah dan sabar menghadapi ujian ini.
Jenazah akan dibawa pulang ke rumah neneknya di Beserah untuk disemadikan di sana.
Tenanglah kamu di sana wahai anak syurga..
02022012-25102019
KASHOORGA: Semoga Adik Daniel tenang dan berehatlah di sana. Dan kepada ahli keluarga bersabarlah dalam menghadapi dugaan ini. Ternyata Tuhan lebih menyayangi arwah dan semoga ditempatkan dalam kalangan orang beriman.
Mentaati Ulul Amri (Pemerintah) Adalah Wajib, Ini Sebab Kenapa Undang-Undang Dikuat Kuasa

Satu petisen yang mahukan selebriti Neelofa di penjara yang dilancarkan semalam mendapat respon luar biasa dari masyarakat.
Menerusi laman web change.org, seorang individu yang menggunakan nama Hentikan Double Standard mendakwa selebriti berusia 32 tahun itu berulang kali melanggar SOP dengan menyenaraikan beberapa kesalahan dan menuntut tindakan wajar dikenakan.
Petisyen bertajuk Langgar SOP: PDRM, Penjarakan Neelofa Segera itu membuatkan netizen bersatu hati apabila sejumlah tandatangan diterima sejak semalam.
“Neelofa adalah seorang selebriti yang banyak kali melanggar SOP dan menidakkan undang-undang dalam usaha negara menangani pandemik Covid-19.
“Kesalahan-kesalahan dilakukan tanpa serik menyebabkan wujudnya undang-undang yang ‘double standard’ (pilih kasih) dikenakan terhadap beliau,” tulis keterangan pada petisyen berkenaan dan ia telah ditandatangani oleh hampir 20,000 orang.
Antara kesalahan yang disenaraikan dalam petisyen itu adalah majlis perkahwinannya di ibu negara; rentas negeri ke Langkawi, Kedah; rentas negeri ke Nilai 3, Negeri Sembilan dan terbaharu tular video Neelofa dan ahli keluarga melanggar SOP sambutan Aidilfitri lalu. (sumber Harian Metro).
Di sebalik dakwaan dan petisen ini, sebagai rakyat berada di bawah arahan pemerintah, agama telah mengajarkan kita agar taat kepada pemerintah seperti dituntut oleh syarak.
Dalam satu perkongsian dari pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, dinyatakan kepada kita perlu taat pada ulul amri.
Neelofa dan suaminya PU Haris didakwa di mahkamah Seremban pagi ini (Gambar : AZRUL EDHAM MOHD AMINUDDIN)
Mentaati pemerintah merupakan salah satu perkara yang dituntut oleh syarak. Banyak nas baik dari Al-Quran mahupun Al-Sunnah yang jelas menunjukkan kepada perkara ini. Antaranya adalah firman Allah S.W.T :
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُولِي الْأَمْرِ مِنكُمْ
Maksudnya : Wahai orang yang beriman taatlah kamu kepada Allah, taatlah kamu kepada Rasul serta (taatlah kepada) ulil amri (para pemimpin) dari kalangan kamu. Surah Al-Nisa’ (59)
Sebahagian ulama tafsir dalam kupasan mereka terhadap ayat di atas ini menyatakan bahawa ketaatan kepada ulil amri hanyalah terikat dengan ketaatan mereka kepada Allah S.W.T serta Rasul-Nya S.A.W. Justeru, ketaatan kepada arahan para pemerintah adalah berkaitan dengan perkara-perkara yang makruf sahaja. Ini bertepatan dengan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Umar R.Anhuma beliau berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda :
السَّمْعُ وَالطَّاعَةُ حَقٌّ، مَا لَمْ يُؤْمَرْ بِالْمَعْصِيَةِ، فَإِذَا أُمِرَ بِمَعْصِيَةٍ فَلاَ سَمْعَ وَلاَ طَاعَةَ
Maksudnya : Dengar dan taat (kepada pemerintah) itu merupakan suatu perkara yang hak (kemestian), selama mana mereka tidak memerintahkan kepada maksiat. Apabila mereka (pemerintah) mengarahkan kepada maksiat maka tidak wajib dengar dan taat (pada arahan tersebut). Riwayat Al-Bukhari (2955)
Oleh yang demikian, sekiranya sebarang arahan yang dikeluarkan oleh pemerintah itu merupakan suatu kemakrufan, kebaikan, serta mendatangkan maslahah kepada rakyat, sama ada arahan tersebut disukai oleh kita atau tidak, namun sekiranya ia bukan maksiat maka wajib hukumnya arahan tersebut untuk dipatuhi. Ini bertepatan dengan kaedah fekah yang masyhur :
تَصَرُّفُ الإمَامِ عَلَى الرَّعِيَّةِ مَنُوطٌ بِالمَصْلَحَة
Maksudnya : Urus tadbir pemerintah ke atas rakyat hendaklah terikat dengan maslahah.
Syaikh Syihabuddin Al-Qasthallani dalam syarahan beliau ke atas hadis Ibn Umar tersebut menyatakan : ‘’Ketaatan terhadap arahan-arahan mereka (pemerintah) adalah wajib, dan ini meliputi para pemerintah umat Islam sama ada di zaman Rasulullah S.A.W dan juga selepas baginda selama mana suruhan tersebut bukan terhadap perkara maksiat’’. Rujuk Irsyad al-Sari li Syarh al-Bukhari, Al-Qasthallani (5/119).
Mentaati arahan pemerintah adalah wajib. Arahan yang tidak wajib adalah sekiranya ia sesuatu yang haram. Sebagai contoh, sekiranya pemerintah mengarahkan untuk meninggalkan solat, maka ini adalah arahan yang haram dipatuhi.
Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas R.Anhuma beliau berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda :
وَإِمَاطَةُ الأَذَى عَنِ الطَّرِيقِ صَدَقَةٌ
Maksudnya : Mengalihkan sesuatu yang menyakiti dari jalanan adalah sedekah. Riwayat Al-Bukhari dalam Al-Adab Al-Mufrad (422)
Maka sebarang usaha untuk mengelakkan sebarang kesakitan dan gangguan penyakit berjangkit kepada umat Islam juga turut termasuk dalam perbuatan sedekah.
Demikian juga kaedah fekah yang menyebut :
دَرْءُ الْمَفَاسِدِ أَولَى مِن جَلب المصَالِح
Maksudnya : Menolah mafsadah (keburukan) adalah lebih utama berbanding mendatangkan kebaikan.
Justeru, arahan yang dikeluarkan adalah bersifat menolak sedaya mungkin faktor-faktor yang boleh mendatangkan kemudaratan yang lebih besar meskipun terpaksa mengenepikan beberapa maslahah-maslahah yang tertentu.
Perlu juga ditambah bahawa ulil amri itu meliputi para umara serta para ulama’. Maka jika kedua-dua pihak ini telah bersetuju dengan sesuatu arahan yang padanya kebaikan kepada masyarakat, maka adalah wajib untuk diikuti arahan yang telah dikeluarkan tersebut. Wallahu A’lam.
.
Anak Jahit Sendiri Barut & Pasang Hoist Crane, Cara Mudah Angkat Mak & Ayah Sakit

Kasih ibu membawa ke syurga, kasih ayah sepanjang masa. Tanpa ibu ayah, kita mungkin tiada apa-apa di dunia ini. Kerana kasih sayang dan doa merekalah kita menjadi manusia hari ini.
Jika dahulu ketika kita masih kecil, banyak yang kita harapkan dari mereka di saat kudrat mereka masih kuat. Seiring masa, kudrat yang dahulunya kuat sudah mula melemah ditambah masalah kesihatan yang singgah di tubuh tua mereka. Jika dulu ibu ayah kita mampu melakukan pelbagai pekerjaan, hari ini ada yang diuji terlantar sakit di katil dan memerlukan bantuan kita untuk mengangkat mereka bagi urusan mandi, menukar lampin dan sebagainya.
Yang pastinya, kudrat anak perempuan takkan sama dengan anak lelaki yang Allah beri kekuatan lebih.
Dikongsi dari Tik Tok @aisyahishak5, dirinya berkongsi cara mudah untuk mengangkat ayah dan ibunya yang terlantar sakit dengan menjahit sendiri barut dan memasang hoist crane untuk mengangkat ibu dan ayahnya.
Dari video dikongsikan dapat dilihat adik beradik ini sepakat menjaga kedua orang tua mereka dan ramai memuji kesepakatan antara adik beradik ini tanpa mengeluh penat. Dan kerja mengangkat kedua orang tuanya menjadi lebih mudah selepas memasang hoist crane yang mampu mengangkat beban berat kedua orang tuanya.
Jelas Aisyah dengan menjahit sendiri kain barut dan kosnya tidak terlalu mahal.
“Apa yang diperlukan untuk rawatan ini hanyalah katil hospital 3 function, hoist crane yang dibeli di Shopee pada harga RM348.40 untuk menampung berat 300 kg, rantai besi yang besar dalam dua meter, penyambung rantai besi dan kain barut dua helai yang saya jahit sendiri. Saya hanya perlukan dua meter saja dan dikerat dua.
“Jadi dapat dua keping. Setiap keping tu dilipat dua dan jahit keliling dan dalamnya supaya kain tak bergerak. Bila dah siap, hujungnya dibuat lubang kiri kanan dan dipasangkan kain untuk disambung ke penyambung rantai besi hoist crane. Untuk katil mak pula, kita letak roda agar mudah dialih-alihkan.
“Jadi setiap kali meletak mereka di atas kerusi roda untuk ke bilik air, kerja itu jadi mudah,” katanya. Dan video yang dikongsikan oleh anak-anak hebat ini sudah ditonton 1.4 juta orang yang bangga dengan usaha mereka lakukan.
https://www.tiktok.com/@aisyahishak5/video/7057473322493168922?is_from_webapp=1&sender_device=pc&web_id6973624686812366338
Bergelar Suami 4 Hari Saja, Tak Sempat Ke Majlis Bertandang. Pengantin Baru Maut Dalam Kemalangan Jalan Raya

Innalilahiwainailahirojiun
Kepada Allah, kita datang dan kepada Allah kita pergi. Tidak pernah terlewat seminit atau tercepat sesaat, bila tiba masanya, kita akan kembali kepada Sang Pencipta.
Keterujaan pasangan pengantin yang baru berkahwin Jumaat lalu, memilih pelamin untuk majlis bertandang tidak kesampaian apabila terbabit dalam sebuah kemalangan di Kampung Galok, di sini, 4.45 petang semalam.
Kemalangan berkenaan meragut nyawa Wan Ahmad Haziq Wan Abd Razak, 25, manakala isterinya, Norainsya Mohd Suhaimi, 22, luka ringan di kepala.

Adik mangsa, Wan Ahmad Aizat Wan Abd Razak, 23, berkata, pada awalnya, dia menerima panggilan telefon daripada isteri mangsa memberitahu mereka terbabit dalam kemalangan dengan keadaan abangnya yang masih tidak diketahui.
Katanya, ketika dalam perjalanan ke Hospital Pasir Mas (HPM), dia terkedu kerana dikhabarkan abangnya sudah meninggal dunia, namun terus menguatkan semangat untuk sampai ke sana.
“Kali terakhir kami berjumpa ketika sarapan pagi bersama-sama di rumah ibu pagi tadi (semalam), memandangkan saya merancang untuk pulang Tanjung Malim, Perak, tempat saya bekerja pada sebelah petang.
“Kami berdua sangat akrab malah boleh dikatakan hampir setiap hari dia menelefon saya sebelum majlis perkahwinannya, untuk berkongsi persiapan dan keterujaan dia mendapat isteri memandangkan saya sudah berkahwin beberapa bulan lebih awal daripada abang,” katanya ketika ditemui di perkarangan Unit Forensik HPM, malam tadi.
Wan Ahmad Aizat dalam keadaan sebak mengakui, abangnya itu seorang anak yang sangat taat pada ibu mereka selain disenangi rakan-rakan kerana keramahannya selain suka membantu kenalan yang dalam kesusahan.
“Pemergiannya benar-benar memberi kesan buat kami sekeluarga, apatah lagi hanya beberapa hari dia membina ‘masjid’ bersama isteri tercinta. Bagaimanapun, kami reda dan akan terus menguatkan semangat kerana isterinya juga perlukan sokongan kami sekeluarga untuk terus kuat.

“Insya-Allah sebaik selesai semua urusan di hospital, jenazah abang akan segera dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Beris Harab, Kota Jembal, di Kota Bharu,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berkaitan kejadian itu.
“Hasil siasatan mendapati, pasangan berkenaan yang menaiki Perodua Myvi dipercayai hilang kawalan menyebabkan terbabas ke jalan bertentangan dan bertembung dengan Perodua Alza ketika dalam perjalanan dari arah Tanah Merah ke Pasir Mas.
“Selepas bedah siasat dilakukan, didapati mangsa yang parah pada bahagian dada dan disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Unit Kecemasan HPM, manakala isterinya mengalami luka di bahagian kepala.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Ya Allah Ya Tuhanku ampunilah dia, rahmatilah dia, maafkanlah dia, muliakanlah kematiannya, lapangkanlah kuburnya, jadikanlah syurga sebagai ganti tempat tinggalnya dan berilah kesabaran kepada ahli keluarganya, semoga arwah di tempatkan di kalangan orang-orang yang beriman.
Al-Fatihah
بِسْم ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـنِ ٱلرَّحِيم۞ ٱلْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ ٱلْعَـلَمِين۞ ٱلرَّحْمَـنِ ٱلرَّحِيم۞ مَـلِكِ يَوْمِ ٱلدِّين۞ إِيَّاكَ نَعْبُدُ وَإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ۞ ٱهْدِنَا ٱلصِّرَطَ ٱلْمُسْتَقِيمَ۞ صِرَطَ ٱلَّذِينَ أَنْعَمْتَ عَلَيْهِمْ۞ غَيْرِ ٱلْمَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ وَلاَ ٱلضَّاۤلِّينَ۞ امين
Sumber :- Harian Metro