Menyembelih haiwan korban pada hari-hari raya Adha (10 – 13 Zulhijjah) adalah satu ibadah kepada Allah SWT bagi sesiapa yang memiliki kemampuan melakukannya.
Bagi memastikan ibadah ini dilaksanakan dengan baik, di bawah ini disenaraikan beberapa kesilapan dan salah faham dalam ibadah korban untuk dielakkan.
1. Menjadikan Daging Korban Sebagai Upah Kerja
Menjadikan daging sembelihan korban (udhiyah) sebagai upah kepada mereka yang terbabit menjalankan kerja-kerja korban seperti tukang sembelih, tukang lapah dan lainnya bererti menjual daging membeli tenaga kerja.
Larangan memberikan daging atau bahagian lain dari haiwan korban sebagai upah kerja kepada penyembelih adalah termaktub dalam hadis-hadis yang sahih yang diriwayat oleh al-Bukhari dan Muslim. Daripada `Ali bin Abi Talib r.a, katanya:
أنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَمَرَهُ أَنْ يَقُومَ عَلَى بُدْنِهِ، وَأَنْ يَقْسِمَ بُدْنَهُ كُلَّهَا، لُحُومَهَا وَجُلُودَهَا وَجِلاَلَهَا، وَلاَ يُعْطِيَ فِي جِزَارَتِهَا شَيْئًا
“Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. telah memerintahkan aku menyembelih unta-untanya (sembelihan ketika haji). Baginda memerintahkan agar aku membahagikan kesemuanya; daging, kulit dan apa yang menutupi belakang unta-unta itu (seperti pelana dan seumpamanya). Baginda juga memerintahkan agar aku tidak memberikan kepada jazzar (penyembelih dan pelapah) sedikit pun darinya.” (Riwayat al-Bukhari Muslim).
2. Mengambil Daging Korban Tanpa Izin
Daging korban adalah milik pembuat korban, bukan milik masjid, surau dan seumpamanya. Pihak pengurusan masjid, surau atau pihak penganjur majlis ibadah korban dilarang bertindak sesuka hati mengagihkan daging korban kepada sesiapa sahaja tanpa mendapat keizinan terlebih dahulu dari pemilik sebenar daging korban.
قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: مَنْ ضَحَّى مِنْكُمْ فَلاَ يُصْبِحَنَّ بَعْدَ ثَالِثَةٍ وَبَقِيَ فِي بَيْتِهِ مِنْهُ شَيْءٌ» فَلَمَّا كَانَ العَامُ المُقْبِلُ، قَالُوا: يَا رَسُولَ اللَّهِ، نَفْعَلُ كَمَا فَعَلْنَا عَامَ المَاضِي؟ قَالَ: كُلُوا وَأَطْعِمُوا وَادَّخِرُوا، فَإِنَّ ذَلِكَ العَامَ كَانَ بِالنَّاسِ جَهْدٌ، فَأَرَدْتُ أَنْ تُعِينُوا فِيهَا
Sabda Nabi s.a.w: “Sesiapa kalangan kamu yang menyembelih korban maka jangan sehingga tiga hari masih berbaki di rumahnya walaupun sedikit daging”. Apabila tahun berikutnya para sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah apakah kami kena lakukan seperti tahun lepas (tidak boleh simpan daging lebih dari tiga hari)? Sabda Nabi: “Sila makan, jamu orang lain dan simpanlah. Sesungguhnya tahun lepas orang ramai dalam kesusahan (kekurangan makanan) maka aku ketika itu mahu kamu menolong mereka”. (Riwayat al-Bukhari)
Ads
Hadis di atas menunjukkan, orang yang melakukan korban berhak dalam menentukan daging korbannya sama ada mahu memakan, atau memberikan kepada sesiapa atau menyimpannya.
3. Menguruskan sembelihan dengan cara yang kejam tanpa ihsan kepada haiwan sembelihan.
Ini biasanya terjadi ketika proses merebahkan haiwan, pisau yang digunakan dan meletakkan haiwan dalam ketakutan. Sifat ihsan atau simpati diwajibkan ke atas kita ketika menguruskan haiwan sembelihan terutamanya korban yang merupakan ibadah kepada ALLAH. Rasulullah s.a.w bersabda:
إنَّ اللهَ كَتَبَ الإِحْسَانَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ: فَإِذَا قَتَلْتُمْ فَأَحْسِنُوا الْقِتْلَةَ، وَإِذَا ذَبَحْتُمْ فَأَحْسِنُوا الذِّبْحَةَ، وَلْيُحِدْ أَحَدُكُمْ شَفْرَتَهُ، وَلْيُرِحْ ذَبِيحَتَهُ
“Sesungguhnya Allah menulis (mewajibkan) ihsan atas segala sesuatu. Apabila kamu mahu membunuh (dengan alasan yang sah), maka perelokkanlah pembunuhan itu. Apabila kamu mahu menyembelih, maka perelokkanlah penyembelihan itu, dan hendaklah kamu menajamkan mata pisau dan hendaklah dia merehatkan (menyenangkan) haiwan sembelihannya itu. (Hadis riwayat Muslim).
Berdasarkan hadis di atas, memastikan pisau benar-benar tajam, haiwan yang diuruskan dengan tenang merupakan sebahagian dari tuntutan ihsan.
Antara perbuatan yang menafikan sifat ihsan ialah mengasah pisau atau menyembelih binatang korban di hadapan binatang korban yang sedang menunggu giliran untuk disembelih.
Dalam riwayat al-Hakim dalam al-Mustadrak, daripada Ibn ‘Abbas:
أَنَّ رَجُلًا أَضْجَعَ شَاةً يُرِيدُ أَنْ يَذْبَحَهَا وَهُوَ يَحُدُّ شَفْرَتَهُ فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: “أَتُرِيدُ أَنْ تُمِيتَهَا مَوْتَاتٍ؟ هَلْ حَدَدْتَ شَفْرَتَكَ قَبْلَ أَنْ تُضْجِعَهَا”
Bahawa seorang lelaki membaringkan biri-biri yang dia hendak menyembelihnya, di samping ketika itu dia menajamkan mata pisaunya. Maka Nabi s.a.w bersabda: “Apakah engkau mahu membunuhnya beberapa kali? Mengapa tidak engkau tajamkan mata pisaumu sebelum engkau membaringkannya?!!” (Hadis riwayat al-Hakim, dia menyatakan sahih dan disetujui oleh al-Zahabi).
Ads
4. Menggunakan Harta Orang Ramai Untuk Korban
Pensyariatan ibadah korban adalah ditujukan ke atas individu. Hukumnya adalah sunat yang dituntut bagi sesiapa yang memiliki kemampuan melakukannya. Mereka yang tidak berkemampuan, tidak perlu bimbang dengan hal ini.
Ibadah korban tidak terlaksana dari haiwan korban yang berupa harta kerajaan, institusi tertentu, badan-badan korporat atau tabung orang ramai dan seumpamanya, melainkan jika haiwan korban itu dari wang individu tertentu sama ada individu dari dalam kerajaan, syarikat atau seumpamanya. Adapun mengambil harta awam atau pihak lain yang tidak dikhususkan untuk ibadah korban, maka itu menyalahi pensyariatan korban.
5. Berkongsi Binatang Korban Lebih Dari Jumlah Yang Diizinkan
Berkongsi melakukan korban seekor kambing atau satu bahagian (1/7) lembu atau unta dengan dua individu atau lebih. Ini kerana seekor kambing atau satu bahagian (1/7) lembu atau unta hanya boleh dijadikan korban untuk seorang individu sahaja.
Kadar ini telah ditetapkan oleh Rasulullah s.a.w seperti yang termaktub dalam hadis:
عَنْ جَابِرِ بْنِ عَبْدِ اللهِ، قَالَ: نَحَرْنَا مَعَ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَامَ الْحُدَيْبِيَةِ الْبَدَنَةَ عَنْ سَبْعَةٍ، وَالْبَقَرَةَ عَنْ سَبْعَةٍ
Kami menyembelih korban bersama Rasulullah s.a.w pada tahun Perjanjian Hudaibiyyah. Seekor unta untuk tujuh (bahagian) dan seekor lembu untuk tujuh (bahagian). (Riwayat Muslim).
Ads
6. Melakukan Korban Dari Sumber Yang Haram
Korban merupakan ibadah kepada ALLAH, maka tidak boleh melakukan korban dengan menggunakan hasil dari wang yang haram seperti hasil riba, hasil judi, mengambil hak orang lain dan seumpamanya. Ini kerana Allah hanya menerima apa yang halal dan baik.
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: ” إِنَّ اللَّهَ طَيِّبٌ لَا يَقْبَلُ إِلَّا طَيِّبًا
Daripada Abu Hurairah, beliau berkata: Bersabda Rasulullah s.a.w “Allah itu baik, DIA tidak menerima melainkan yang baik” (Riwayat Muslim)
7. Menganggap Tidak Sah Sembelihan Yang Tidak Menyebut Nama Pembuat Korban
Sunnah penyembelih korban menyebut ketika sembelihan nama orang yang melakukan ibadah korban. Ini seperti menyebut: “Ya ALLAH terimalah daripada si fulan, dan si fulan…”. Ini pernah dilakukan oleh Nabi s.a.w seperti hadis ‘Aishah r.ha:
عَنْ عَائِشَةَ، أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَمَرَ بِكَبْشٍ أَقْرَنَ يَطَأُ فِي سَوَادٍ، وَيَبْرُكُ فِي سَوَادٍ، وَيَنْظُرُ فِي سَوَادٍ، فَأُتِيَ بِهِ لِيُضَحِّيَ بِهِ، فَقَالَ لَهَا: “يَا عَائِشَةُ، هَلُمِّي الْمُدْيَةَ”، ثُمَّ قَالَ: “اشْحَذِيهَا بِحَجَرٍ”، فَفَعَلَتْ: ثُمَّ أَخَذَهَا، وَأَخَذَ الْكَبْشَ فَأَضْجَعَهُ، ثُمَّ ذَبَحَهُ، ثُمَّ قَالَ: “بِاسْمِ اللهِ، اللهُمَّ تَقَبَّلْ مِنْ مُحَمَّدٍ، وَآلِ مُحَمَّدٍ، وَمِنْ أُمَّةِ مُحَمَّدٍ”، ثُمَّ ضَحَّى بِهِ
Daripada ‘Aishah, bahawa Rasulullah mengarahkan (untuk korban) seekor biri-biri bertanduk yang hitam kaki, perut dan sekitar matanya. Lalu kambing itu dibawa kepada baginda untuk dikorbankan. Sabda baginda: “Wahai ‘Aishah! Bawalah pisau”. Kemudian baginda bersabda: “Asahlah (agar tajam) ia dengan batu”. Lalu aku ( Aishah) melakukannya. Kemudian baginda mengambil pisau itu dan mengambil biri-biri tersebut lalu dibaringkan untuk disembelih. Kemudian baginda menyebut: “Dengan nama ALLAH, Ya ALLAH terimalah daripada Muhammad, kaum keluarga Muhammad dan Umat Muhammad”. Kemudian baginda mengorbankannya. (Riwayat Muslim, al-Nasai, Abu Daud, al-Tirmizi, Ibn Majah dll)
Sebutan nama orang yang melakukan korban ketika sembelihan bukanlah syarat sah korban. Beranggapan tukang sembelih wajib menghafal semua nama peserta korban sebelum menyembelih haiwan korban sebagai syarat sah adalah tidak tepat. Sebenarnya, ia sesuatu yang sunnah untuk dilakukan.
Jika tukang sembelih menyebut nama orang yang melakukan korban seperti berkata: “Ya Allah, ini korban dari fulan bin fulan” maka itu suatu yang baik, namun tidak wajib. Dia juga boleh mengingati nama mereka atau membaca catatan nama. Jika hanya dia menyebut: “Ya Allah, terimalah korban dari mereka” juga memadai. Jika dia tidak menyebut nama, tetapi empunya haiwan yang dikorbankan telah berniat korban, maka sah korbannya.
Antara sunnah yang jarang dilakukan dalam pengamalan masyarakat pada hari ini adalah membasahkan sedikit dari bahagian badan dengan air hujan yang turun daripada langit.
Perbuatan ini tsabit daripada Nabi S.A.W berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik R.A beliau berkata : ‘’Hujan turun dan kami pada ketika itu bersama dengan Rasulullah S.A.W. Lalu baginda S.A.W menyelak baju baginda sehinggalah hujan menimpa badan baginda. Kemudian kami bertanya : ‘’Wahai Rasulullah, mengapakah anda melakukan ini ?’’. Maka jawab baginda S.A.W:
لِأَنَّهُ حَدِيثُ عَهْدٍ بِرَبِّهِ تَعَالَى
Maksudnya : Kerana ia baru sahaja datang (turun) dari Tuhannya yang Maha Tinggi. Riwayat Muslim (898)
Imam Al-Nawawi dalam syarahan beliau ke atas hadis ini berkata : ‘Sesungguhnya hujan ini adalah rahmat, dan ia baru sahaja tempoh penciptaannya oleh Allah Ta’ala lalu dilakukan tabarruk (mengambil berkat) dengannya’’. Rujuk Syarah Al-Nawawi ‘ala Muslim (6/195).
Syeikh Zakariya bin Muhammad Al-Ansari berhujah menggunakan hadis ini dengan kata beliau : ‘’Dan disunatkan untuk seseorang itu keluar ke arah hujan yang turun dan menyelak pakaiannya (selain auratnya) supaya hujan menimpa badannya’’. Rujuk Asna Al-Mathalib (1/293).
Kemudian dalam menjelaskan sebab dilakukan perbuatan tersebut, Syeikh Zakariya menukilkan sebuah riwayat daripada Ibn Abbas R.Anhuma bahawa beliau ditanyakan akan sebab perbuatan tersebut, maka jawab Ibn Abbas : ‘Apakah kamu tidak membaca firman Allah S.W.T :
وَنَزَّلْنَا مِنَ السَّمَاءِ مَاءً مُبَارَكًا
Maksudnya : Dan Kami telah menurunkan daripada langit air yang berkat.
Surah Qaf (9)
Sebagai kesimpulan, hukum membasahkan bahagian badan yang bukan dalam kategori aurat dengan air hujan adalah disunatkan. Zahir nas tidak menunjukkan bahagian hujan yang mana sama ada pada awal turunnya, di pertengahan, atau di penghujung.
Meskipun begitu, ia lebih dituntut pada awal-awal turunnya hujan memandangkan hikmahnya kerana ia disifatkan sebagai nikmat yang baru turun, serta disifatkan sebagai air yang berkat diturunkan oleh Allah S.W.T.
Bagi yang beroleh rezeki menjadi tetamu Allah mengerjakan ibadah haji sudah tentu mendambakan haji yang mabrur. Malah kita juga akan mendoakan mereka yang menjadi duyufurrahman turut mendapat haji yang mabrur.
Namun sebenarnya apakah maksud haji yang mabrur ini dan ganjarannya serta apakah tanda-tanda seseorang itu beroleh haji yang mabrur. Persoalan ini dijawab oleh bekas mufti, Datuk Dr Zulkifli Mohammad Albakri.
Hadith daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: “Haji yang mabrur, tidak ada ganjarannya selain syurga.” Riwayat al-Bukhari (1650) dan Muslim (2403).
Ibn Manzur menyebut, mabrur membawa maksud diganjari. Ia juga membawa maksud tidak bercampur dengan sesuatu daripada dosa.
Imam al-Nawawi berkata: “Menurut pendapat yang paling sahih dan masyhur, yang dimaksudkan dengan mabrur adalah yang tidak dicemari dengan dosa. Ciri-cirinya dan hasil kemabruran tampak jelas pada dirinya, seperti akhlak dan perilaku setelah melaksanakan haji jauh lebih baik daripada perilakunya sebelum haji.”
Tanda haji mabrur
Antara tanda-tanda haji mabrur juga adalah sekembalinya daripada ibadah haji, seseorang itu sentiasa dalam keadaan zuhud dan merendah diri dalam hal dunia serta sentiasa bersemangat dalam mengejar akhirat.
Di dalam hadis daripada Jabir Bin Abdullah, bahawa Nabi SAW pernah ditanya tentang apakah kesan daripada haji mabrur, lalu Baginda menyatakan:
إِطْعَامُ الطَّعَامِ وَإِفْشَاءُ السَّلاَمِ
Maksudnya: “(Haji mabrur itu ialah) memberi makan dan menyebarkan salam.”
Tetapi hadith ini dilemahkan oleh pengarang kitab al-Fath. Seandainya sahih maka pasti itulah makna haji mabrur.
Justeru, janganlah kita mengotori dosa-dosa yang telah dibersihkan sebaliknya hendaklah kita memelihara semangat dan roh ibadah pada prestasi yang tertinggi yang pernah kita lakukan semasa acara manasik haji sebagai mukhayyam tarbawi.
Berdasarkan hadis di atas, haji mabrur akan tercapai insya Allah apabila pra-syarat haji dipenuhi, antaranya:
Ikhlas semata-mata kerana Allah.
Mengikut segala adab, syarat, rukun dengan sempurna.
Rezeki yang dibawa dan digunakan adalah hala semuanya tanpa ada unsure haram ataupun syubhah.
Berdoa dan mohon kepada-Nya dengan sepenuh hati.
Bermuamalah dengan semua pihak dengan akhlak yang tinggi dan terpuji.
Mengelakkan daripada berlakunya fasiq, berdebat dan perkara yang dilarang.
Disunatkan untuk melakukan sujud syukur ketika mana menerima kurnian nikmat daripada Allah SWT seumpama kelahiran anak, mendapat harta, pangkat, lulus peperiksaan dengan cemerlang dan juga selainnya. Begitu juga disunatkan untuk sujud syukur ketika mana kita terbebas dari segala bala dan bencana sepertimana terselamat dari kemalangan, gempa bumi dan juga perkara-perkara yang tidak baik.
Ini adalah pendapat al-Syafi’e (begitu juga pendokong mazhab Syafi’e), Ahmad bin Hanbal (begitu juga pendokong mazhab Hanbali), Ishak, Abu Thaur dan juga Ibn al-Munzir. Adapun al-Nakha’ie, Malik dan juga Abu Hanifah berpendapat bahawa sujud syukur adalah makruh. Namun, terdapat juga pendapat sebahagian Malikiyyah yang mengatakan bahawa sunatnya sujud syukur.
Dalil Sujud Syukur
Dalil yang menunjukkan kepada pensyariatan sujud syukur adalah berdasarkan hadith Nabi SAW daripada Abu Bakrah RA:
Maksudnya:Adalah Nabi SAW ketika telah datang sesuatu perkara yang menggembirakan ataupun diceritakan sesuatu yang gembira dengannya akan turun sujud, bersyukur terhadap Allah SWT.
Riwayat Abu Daud (2774). Disahihkan oleh Al-Albaani.
Begitu juga diriwayatkan daripada para Sahabat yang mana turut juga melakukan sujud syukur ketika menerima satu perkhabaran yang gembira. Sebagai contoh, diriwayatkan bahawa Abu Bakar RA sujud syukur ketika pembukaan Yamamah. Begitu juga Ali RA telah sujud syukur apabila mendapati bahawa Dzu al-Thudayyah berada dalam kawanan Khawarij. Seterusnya, diriwayatkan juga bahawa Ka’ab bin Malik telah sujud syukur ketika mana mendengar khabar bahawa taubatnya telah diterima oleh Allah SWT.
Kaifiyat Sujud Syukur
Di dalam kitab fiqh Syafi’e dan juga Hanbali menyebutkan bahawa sifat serta kaifiyat sujud syukur itu adalah seperti mana sujud tilawah di luar solat. Oleh itu, bagi yang ingin melakukan sujud syukur mestilah dalam keadaan berwudhu’, menutup aurat, bersih dari sebarang najis bagi tubuh badan, pakaian serta tempat sujud dan perlulah menghadap kiblat.
Secara praktikalnya bagi yang ingin melakukan sujud syukur adalah seperti berikut:
Perlulah berniat terlebih dahulu untuk melakukan sujud syukur.
Kemudian bertakbir sepertimana takbiratul ihram dengan mengangkat tangan kerana diqiyaskan dengan solat.
Kemudian bertakbir sekali lagi tanpa mengangkat tangan yang mana takbir pada kali ini adalah untuk turun sujud.
Kemudian sujud sekali sepertimana sujudnya di dalam solat. Adapun bacaan ketika sujud syukur ini adalah bacaan sepertimana sujud di dalam solat dan kemudiannya boleh ditambahkan dengan lafaz tahmid memuji Allah SWT atas kurniaan nikmat yang telah diberikan oleh-Nya.
Kemudian bangun dari sujud (dalam keadaan duduk) dan memberi salam. Tidak disyaratkan untuk membaca tasyahhud dan tidak juga disunatkan untuk membacanya.
Sujud Syukur Tanpa Wuduk Dan Tidak Menghadap Kiblat
Selain dari kaifiyat yang ditunjukkan pada perbahasan sebelum ini, terdapat juga perbahasan para ulamak mengenai sujud syukur tanpa wudhu’ serta tidak pula menghadap kiblat. Ini adalah pendapat kebanyakan salaf serta sebahagian al-Malikiyyah. Begitu juga ianya adalah pendapat jemaah muhaqqiq seperti Ibn Jarir al-Tabari, Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah, Ibn al-Qayyim, al-Syaukani dan al-San’ani.
Bagi yang berpendapat sedemikian, berikut adalah alasan serta justifikasi bagi menyokong pendapat mereka:
Pendapat yang mengatakan bahawa sujud syukur memerlukan wuduk perlu mendatangkan dalil. Mengqiyaskan sujud syukur dengan solat adalah tidak tepat kerana sujud syukur itu adalah sujud dan bukannya seperti solat.
Zahir hadith Abu Bakrah RA yang menunjukkan bahawa Nabi SAW terus sujud syukur tatkala menerima sesuatu yang menggembirakan Baginda. Tiada pula disebutkan perlunya dalam keadaan berwudhu’. Sekiranya memerlukan wudhu’ pasti akan diterangkan oleh Baginda SAW kerana berhajatkan kepadanya bahkan hadith menyebutkan Nabi SAW terus sujud tatkala menerima khabar yang gembira.
Sujud syukur dilakukan apabila mendapat nikmat atau terselamat dari mudarat tanda syukur kepada Allah SWT. Ianya dilakukan secara serta merta. Jika memerlukan kepada wuduk, sudah tentu ianya tidak dapat dilakukan dengan segera kerana perlu mencari air untuk berwuduk, mencari kiblat kemudian barulah boleh melakukan sujud syukur. Ini boleh menghilangkan rahsia makna disyariatkan sujud syukur itu sendiri.
Kesimpulan
Sujud syukur boleh dilakukan tanpa adanya wuduk dan juga menghadap kiblat. Ini dengan melihat bahawa tiada dalil yang menjadi pemutus akan perlunya untuk berwuduk dan menghadap kiblat.
Boleh sahaja bagi mereka yang menerima khabar gembira seperti mendapat anak, lulus peperiksaan, naik pangkat untuk terus sujud menzahirkan rasa syukur kepada Allah SWT. Begitu juga seseorang yang terselamat dari kecelakaan jalan raya, sembuh dari penyakit, boleh terus sujud menzahirkan rasa syukur serta lega dari kemudaratan yang tidak menimpa ke atasnya.
Jika ingin beramal dengan pendapat yang mengatakan perlunya wuduk serta menghadap kiblat juga tiada masalah kerana isu ini terdedah kepada perbahasan ilmiah yang boleh diperbahaskan lagi.
Sumber: Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr. Zulkifli Bin Mohamad Al-Bakri
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama. Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
Masuk masjid nampak soket plug terus kita cas telefon bimbit yang kebetulan hampir kehabisan bateri.Mungkin ramai yang biasa melakukan perkara ini tanpa memikirkan bahawa...