Esok bermulalah anak-anak tingkatan lima menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia. Bagi ibu bapa yang mempunyai anak berdepan peperiksaan penting ini sudah tentulah akan turut rasa gementar.
Ketika anak akan berjuang menjawab soalan peperiksaan dalam tempoh beberapa minggu ini sebagai ibu bapa sebaiknya meluangkan masa melakukan beberapa amalan agar anak-anak dipermudahkan untuk menjawab soalan dengan betul dan lancar.
Berikut adalah perkongsian doa yang boleh dibaca oleh ibu bapa untuk anak yang berdepan peperiksaan dari Ustazah Asma’ Harun.
Doa ibu bapa ketika anak hadapi peperiksaan
Allahumma Ya Alim Ya Hakim Ya Rashid, sesungguhnya Engkaulah yang Maha Memiliki Ilmu, Maha Bijaksana dan Maha Cerdas,
Kurniakanlah kepada anak kami keberkatan dan kefahaman terhadap ilmu yang mereka pelajari, kebijaksanaan dalam menjawab setiap soalan dengan betul dan kecerdasan dalam menyelesaikan kertas peperiksaan mengikut waktu yang ditetapkan.
Allahumma Ya Baasit Yang Maha Melapangkan, lapangkan dada anak-anak kami Ya ALLAH agar mereka tenang ketika di dewan peperiksaan dan jelas ketika melihat soalan.
Allahumma Ya Salam Ya Mu’min, Yang Maha memberi keamanan dan kesejahteraan, berikanlah kesihatan yang sempurna dan keamanan sepanjang tempoh ini.
Allahumma Ya Mani’ (Yang Maha Mencegah), cegahlah mereka daripada penyakit lupa, lalai, cuai, was-was, resah gelisah, lemah semangat dan ketakutan yang berlebihan.
Allahumma Ya Aziz Ya Qowiy Ya Matin,
Ya ALLAH Yang Maha Perkasa, Maha Kuat dan Maha Teguh. Kurniakan kekuatan kepada jiwa, minda, mata telinga dan seluruh jasad mereka dalam mengharungi ujian dan cabaran peperiksaan ini.
Allahumma Ya Quddus Ya Jalil, Yang Maha Suci dan Maha Jernih, bersihkan dan jernihkan hati dan fikiran mereka daripada bisikan syaitan dan nafsu yang melemahkan semangat mereka.
DOA RASULULLAH SAW KEPADA IBNU ABBAS RA
Daripada Ibnu Abbas r.a., beliau berkata:
فَقَالَ: اللهُمَّ فَقِّهْهُ فِي الدِّينِ، وَعَلِّمْهُ التَّأْوِيلَ
Maksudnya: Rasulullah SAW mendoakan Ibnu Abbas dengan doa yang masyhur. “Ya ALLAH! Berikanlah kepadanya (Ibnu Abbas) kefahaman dalam agama serta ajarkanlah kepadanya takwil.”
(HR Ahmad, hadis sahih)
DOA AGAR DIBERI KECERDASAN BERFIKIR
Doa daripada Nabi SAW, menjadi amalan saya sendiri daripada zaman belajar, ibu ayah boleh ajarkan anak-anak doa ini:
اللَّهُمَّ أَلْهِمْني رُشْدِي ، وَأَعِذْنِي مِنْ شَرِّ نَفْسِي
“Ya ALLAH, berilah ilham kepadaku berupa petunjuk yang jelas dan lindungilah aku dari keburukan diriku.”
(HR Tirmizi, hadis hasan)
Ya Rahman Ya Rahim Ya Ro’uf Ya Karim, jadikan peperiksaan ini sebagai medan untuk mereka dan kami menjadi hamba-MU dan khalifah-MU di bumi, semoga dengan kecemerlangan peperiksaan ini membawa mereka dan kami lebih hampir kepadaMu.
Ameen Ya Mujib (Yang Maha Memakbulkan)
Bacalah zikir asmaul husna
Dalam pada itu ketika anak sedang menjawab soalan peperiksaan ibu dan ayah disarankan untuk membaca zikir asmaul husna. Zikir ini antara yang mudah dan disarankan oleh Datuk Dr Ustazah Norhafizah Musa.
“Ulangilah zikir ini sepanjang anak menghadapi peperiksaan. Bayangkan anak-anak sedang menjawab dengan betul dan senyum.
Allahumma
Ya Alim Ya Hakim Ya Roshid (40 kali)
Bicara hati: Ya ALLAH Alirkan kebijaksanaan ke dalam minda anakku agar dia dapat menjawab dengan baik.
Allahumma
Ya zohir (40 kali)
Bicara hati: Ya ALLAH Engkau nampakkan jawapan yang betul dalam minda anakku kerana Engkau Maha Menampakkan
Allahumma
Ya Fatah (40 kali)
Bicara hati: Ya ALLAH bukakanlah minda anakku seluas langit dan bumi agar dia nampak segala jawapan yang betul.
Allahumma
Ya Baari’ (40 kali)
Bicara hati: Ya ALLAH aku serah seluruh jiwa raga anakku hanya kepada-MU Engkau uruskan sebaik-baiknya sepanjang dia exam ini Ya Allah. Kau aturlah otak dan minda juga jari-jemarinya untuk menjawab dengan pimpinanmu Ya Hadi.
Aku yakin hanya kuasa-MU sahaja Ya ALLAH, aku tiada daya (sekali).
“Pastikan anak-anak dalam keadaan berwuduk semasa nak pergi sekolah. Kalau batal tak mengapa. Mak ayah kena perbanyakkan istighfar sepanjang exam ini juga ya,” kongsi Ustazah
Solat sunat hajat
Selain itu ibu bapa juga bolehlah melakukan solat sunat hajat memohon dipermudahkan anak menjawab soalan peperiksaan dengan betul dan lancar.
Solat sunat hajat dilakukan dengan pelbagai cara dan ia boleh didirikan sehingga 12 rakaat dan paling minima adalah 2 rakaat.
Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang mempunyai hajat kepada Allah SWT atau kepada seorang manusia, maka hendaklah ia berwuduk dengan sebaik-baiknya kemudian dia bersolat dua raka’at.”
(Riwayat At-Tarmizi)
Berikut adalah tata cara solat sunat hajat
Sumber: SinarPlus, Sirap Limau
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI