Senario hari ini memperlihatkan semakin ramai pasangan pengantin memilih konsep perkahwinan yang estetik dan moden. Ada yang memilih tema taman, majlis outdoor, dekorasi ala Barat, lengkap dengan flower boy atau flower girl, sesi memotong kek, gaun putih, tuxedo serta pelbagai susunan acara yang kelihatan indah di mata.
Trend sebegini semakin menjadi kebiasaan dalam masyarakat kita. Alasannya mudah, perkahwinan hanya sekali seumur hidup dan setiap pasangan pasti mahu meraikan hari bahagia mereka dengan cara yang paling cantik serta meninggalkan kenangan manis.
Namun, dalam keterujaan mengikut trend dan budaya luar, timbul persoalan penting. Sejauh manakah budaya serapan ini boleh diamalkan dalam masyarakat Islam? Adakah ia dibolehkan atau boleh menjejaskan keberkatan sesebuah majlis perkahwinan?
Islam bukanlah agama yang terlalu menyekat. Malah, Islam tidak melarang umatnya daripada mengamalkan budaya asing selagi mana ia tidak bercanggah dengan akidah, syariat dan adab sebagai seorang Muslim.
Apa yang paling penting, tujuan asal sesebuah majlis perkahwinan perlu sentiasa diingati. Majlis walimatulurus diadakan untuk mengumumkan pernikahan, meraikan pasangan pengantin, berkongsi kegembiraan bersama keluarga dan sahabat serta menzahirkan rasa syukur kepada Allah SWT.
BACA JUGA: Perkahwinan Dalam Islam Perlu Sederhana, Bukan Sampai Berhutang
Ia bukan medan untuk menunjuk-nunjuk, berlebih-lebihan atau berlumba siapa paling gah.
Secara asasnya, hukum mengadakan majlis perkahwinan bertemakan taman, moden atau estetik adalah harus. Begitu juga jika pasangan memilih untuk memakai gaun putih atau tuxedo, selagi mana pakaian tersebut menutup aurat, sopan dan tidak menyerupai pakaian khusus sesuatu agama lain.
Susunan acara seperti memotong kek, bergambar beramai-ramai atau dekorasi cantik juga bukanlah satu kesalahan. Ia boleh dijadikan sebagai memori dan kenangan indah buat pasangan serta keluarga.
Dalam Islam, terdapat kaedah fiqh yang disebut sebagai Al-‘Adah Muhakkamah, iaitu adat yang tidak bercanggah dengan syarak boleh diterima dan diamalkan. Maksudnya, sesuatu adat atau budaya boleh dilakukan selagi mana ia tidak melanggar batas agama.
Penceramah terkenal, Ustaz Azhar Idrus pernah menyatakan dalam sebuah ceramah beliau yang mana, perkara yang baik daripada sesuatu budaya boleh diambil dan diteruskan, manakala perkara yang bercanggah dengan Islam perlu ditinggalkan.
Keadaan mula menjadi masalah apabila sesuatu amalan itu melibatkan unsur tasyabbuh, iaitu menyerupai kaum atau agama lain dalam perkara yang khusus berkaitan kepercayaan dan ritual mereka.
Jika sesuatu adat itu mempunyai kaitan dengan amalan agama tertentu atau boleh merosakkan jati diri seorang Muslim, maka hukumnya boleh menjadi makruh dan dalam keadaan tertentu boleh jatuh haram.
Contohnya, bridal shower yang mengandungi unsur tarian liar, hadiah berunsur lucah, pergaulan bebas atau aktiviti yang melampaui batas. Walaupun ia kelihatan seperti hiburan semata-mata, unsur sebegini jelas tidak sesuai dengan adab Islam.
Begitu juga dengan acara tukar ikrar atau wedding vow. Jika ucapan tersebut sekadar janji untuk saling menghargai dan menjaga pasangan, ia perlu dilihat dengan berhati-hati.
Namun jika ia ditiru bulat-bulat daripada amalan agama lain, khususnya yang menyentuh unsur teologi atau kepercayaan tertentu, maka ia tidak wajar diamalkan.
Satu lagi perkara yang sering terlepas pandang dalam majlis perkahwinan moden ialah soal pergaulan antara lelaki dan wanita. Pergaulan bebas tanpa batas, bersentuhan bukan mahram, tarian bercampur lelaki dan perempuan serta suasana yang membuka ruang kepada maksiat adalah perkara yang perlu dielakkan.
Begitu juga dengan pemakaian. Tidak salah mahu tampil cantik pada hari bahagia, tetapi aurat tetap wajib dijaga. Pengantin, keluarga dan tetamu seharusnya menjaga batas berpakaian agar majlis yang diraikan tidak dicemari dengan perkara yang mendatangkan dosa.
Selain itu, Islam sangat menekankan sikap sederhana. Berbelanja untuk majlis perkahwinan tidak salah, tetapi jangan sampai berlebih-lebihan semata-mata mahu mengikut trend.
Majlis yang menelan belanja puluhan ribu ringgit hanya kerana mahu nampak mewah, lengkap dengan dekorasi gah, pelamin luar biasa, lokasi eksklusif dan pelbagai acara tambahan boleh membawa kepada pembaziran jika tidak mengikut kemampuan.
Lebih membimbangkan apabila pasangan atau keluarga sanggup berhutang semata-mata mahu memenuhi kehendak majlis yang viral dan kelihatan sempurna di media sosial.
Sedangkan dalam Islam, keberkatan sebuah perkahwinan bukan terletak pada kemewahan majlis, tetapi pada niat yang baik, kesederhanaan dan kepatuhan kepada syariat.
Kesimpulannya, tidak salah untuk mengadakan majlis perkahwinan yang cantik, estetik dan moden. Tidak salah juga mengambil inspirasi daripada budaya luar, asalkan ia tidak bercanggah dengan ajaran Islam.
Namun, setiap pasangan perlu berpada-pada. Jaga aurat, jaga pergaulan, elakkan unsur ritual agama lain, jauhi pembaziran dan pastikan majlis yang diraikan benar-benar membawa keberkatan.
Biarlah majlis itu sederhana tetapi penuh rahmat, bukan sekadar cantik di mata manusia tetapi indah juga pada pandangan Allah SWT.
++Untuk berita dan artikel terkini. Jangan lupa ikuti kami di media sosial rasmi kashoorga, Instagram, Facebook & TikTok
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download
sekarang ya?