Menjelang Aidiladha lebih kurang dua minggu lagi ramai yang sudah atau masih berkira-kira untuk melakukan ibadah korban.

Bagi yang mempunyai bajet lebih kebanyakan memilih untuk melakukan korban di tempat sendiri. Bagi yang terhad bajet, melakukan korban di luar negara antara pilihan yang mampu dibayar. Tapi dalam hal ini mana satu yang kebih baik?

Menjawab persoalan ini jelas Ustazah Asma’ Harun tidak terdapat mana-mana nas al-Quran atau hadis yang menyatakan wajib melakukan ibadah korban di sesuatu tempat kerana ia adalah suatu ibadah sunat muakkad iaitu sunat yang dituntut untuk melakukannya.

Walau bagaimanapun, terangnya dalam satu catatan di Facebook terdapat beberapa sunat bersandarkan hadis Nabi Muhammad SAW yang menunjukkan kelebihan dan galakan menunaikan ibadah korban di tempat sendiri. Antaranya

1. Sunat menyembelih dengan tangan sendiri

Hadis Nabi Muhammad SAW:
ضَحَّى النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم بِكَبْشَيْنِ أَمْلَحَيْنِ أَقْرَنَيْنِ، ذَبَحَهُمَا بِيَدِهِ، وَسَمَّى وَكَبَّرَ وَوَضَعَ رِجْلَهُ عَلَى صِفَاحِهِمَا
Maksudnya: “Nabi SAW menyembelih dua ekor kibasy putih yang bertanduk besar sebagai korban dengan tangannya sendiri sambil menyebut nama Allah dan bertakbir, serta meletakkan kaki Baginda di tengkuk kibasy tersebut.” (HR al-Bukhari & Muslim, hadis sahih)

2. Sekiranya tidak mampu menyembelih dengan tangan sendiri,boleh wakilkan kepada orang lain yang dipercayai

Hal ini dibuktikan semasa Fatimah r.a. menunaikan ibadah korban namun meminta orang lain bagi menyembelih binatang korbannya.
Nabi Muhammad SAW bersabda:
قَوْمِي إِلَى أُضْحِيَّتِكَ فَاشْهَدِيهَا فَإِنَّ لَكِ بِأَوَّلِ قَطْرَةٍ تَقْطُرُ مِنْ دَمِهَا يُغْفَرُ لَكِ مَا سَلَفَ مِنْ ذُنُوبُكَ

Maksudnya: “Bangun dan pergilah ke tempat penyembelihan korban kamu dan saksikanlah sendiri kerana dengan titisan darahnya yang pertama akan diampunkan dosa kamu yang terdahulu.” (HR al-Hakim, hadis dhaif)
Perintah Nabi Muhammad SAW kepada Fatimah r.a. untuk melihat binatang korban membawa maksud Fatimah r.a. tidak menyembelih sendiri sebaliknya mewakilkan orang lain semasa penyembelihan.

Mana Lebih Baik Buat Ibadah Korban Dalam Atau Luar Negara?

3. Sunat hadirkan diri melihat haiwan korban disembelih

Nabi Muhammad SAW bersabda:
قَوْمِي إِلَى أُضْحِيَّتِكَ فَاشْهَدِيهَا فَإِنَّ لَكِ بِأَوَّلِ قَطْرَةٍ تَقْطُرُ مِنْ دَمِهَا يُغْفَرُ لَكِ مَا سَلَفَ مِنْ ذُنُوبُكَ. قَالَتْ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، هَذَا لَنَا أَهْلَ الْبَيْتِ خَاصَّةً أَوْ لَنَا وَلِلْمُسْلِمِينَ عَامَّةً؟ قَالَ: بَلْ لَنَا وَلِلْمُسْلِمِينَ عَامَّةً

Maksudnya: “Bangun dan pergilah ke tempat penyembelihan korban kamu. Saksikanlah sendiri kerana dengan titisan darahnya yang pertama akan diampunkan dosa kamu yang terdahulu. Fatimah bertanya: Wahai Rasulullah! Ini adakah untuk kita ahli Bait sahaja atau untuk kita dan orang Islam keseluruhannya? Jawab Rasulullah SAW: Bahkan untuk kita dan orang Islam keseluruhannya.” (HR al-Hakim, hadis dhaif)

4. Sunat makan daging korban walaupun sedikit

Firman Allah SWT:
فَكُلُوا مِنْهَا وَأَطْعِمُوا الْبَائِسَ الْفَقِيرَ
Maksudnya: “Maka yang demikian makanlah kamu dari (daging) binatang-binatang korban itu dan berilah makan kepada orang yang susah, yang fakir miskin.” (Surah al-Hajj: 28)

Diriwayatkan oleh Jabir r.a, bahawa Nabi Muhammad SAW telah melakukan korban dan memakan dagingnya:
فَنَحَرَ ثَلَاثًا وَسِتَّينَ بَدَنَةً بِيَدِهِ ثُمَّ أَعْطَى عَلِيًّا فَنَحَرَ مَا غَبَرَ وَأَشْرَكَهُ فِي هَدْيِهِ ثُمَّ أَمَرَ مِنْ كُلِّ بَدَنة بِبَضْعَةٍ فَجَعَلَتْ فِي قِدرٍ فَطَبَخَتْ فَأَكَلَا مِن لَحْمِهَا وَشُرْبَا مِن مَرْقِهَا

Maksudnya: “Maka Nabi Muhammad SAW menyembelih 63 ekor unta, kemudian Baginda memberikan kepada Ali bin Abi Talib untuk menyembelih apa yang terbaki. Lalu Baginda menyuruh supaya bagi setiap satu unta itu dibahagikan kepada beberapa orang. Kemudian dimasukkan ke dalam periuk lalu dimasak. Setelah itu, mereka berdua makan dagingnya dan minum kuahnya.” (HR Muslim, hadis sahih)

Walau bagaimanapun, sekiranya haiwan korban tersebut merupakan korban nazar atau korban wajib, maka tidak boleh memakan sebahagian daging korban sebaliknya wajib menyedekahkan kesemua daging korban tersebut kepada golongan fakir miskin.

Namun tidaklah menghalang melakukan korban di luar negara

Maka berdasarkan hadis-hadis di atas, banyak kelebihan disandarkan sekiranya kita melakukan ibadah korban di dalam negara. Namun, galakan ini tidaklah menghalang umat Islam untuk melakukan korban di luar negara. Hal ini kerana menunaikan ibadah korban merupakan salah satu daripada perbuatan menegakkan syiar Islam tidak kira di mana jua kita melakukannya.

Firman Allah SWT:
وَلِكُلِّ أُمَّةٍ جَعَلْنَا مَنسَكًا لِّيَذْكُرُوا۟ ٱسْمَ ٱللَّهِ عَلَىٰ مَا رَزَقَهُم مِّنۢ بَهِيمَةِ ٱلْأَنْعَٰمِ ۗ فَإِلَٰهُكُمْ إِلَٰهٌ وَٰحِدٌ فَلَهُۥٓ أَسْلِمُوا۟ ۗ وَبَشِّرِ ٱلْمُخْبِتِينَ

Maksudnya: “Dan bagi tiap-tiap umat telah Kami syariatkan penyembelihan (korban), supaya mereka menyebut nama Allah terhadap binatang ternak yang telah direzekikan Allah kepada mereka, maka Tuhanmu ialah Tuhan Yang Maha Esa, kerana itu berserah dirilah kamu kepada-Nya. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang tunduk patuh (kepada Allah).” (Surah al-Hajj: 34)

Sumber: Ustazah Asma’ Harun

Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?

KLIK DI SEENI