
Hari Jumaat merupakan hari yang mulia. Ia juga dikenali sebagai penghulu segala hari (sayyidul ayyam) serta memiliki keutamaan dan manfaat yang besar bagi umat Islam.
Diambil daripada bahasa Arab iaitu Jumu’ah yang berasal dari kata dasar as-Jamu’ (berkumpul) yang mana di hari bagi umat Islam berkumpul beramai-ramai.
Istimewanya hari ini juga sehingga terdapat surah al-Jumu’ah dalam al-Quran yang merupakan surah ke-62 dan mempunyai 11 ayat.
Memetik laporan daripada UtusanTV, menurut Dr. Wahbah Zuhaili individu pertama yang meletakkan hari Jumaat selepas hari Khamis ialah Ka’ab bin Lu’ay. Tetapi, menurut Ibnu Sirin, individu pertama ialah kaum Ansar.
Ketika itu penduduk Yatsrib (Ansar) berkumpul di hari Arubah sebelum Nabi SAW berhijrah ke Yasrib (Madinah). Mereka berkata, “Dalam satu minggu, kaum Yahudi mempunyai satu hari khusus untuk berkumpul iaitu hari Sabtu. Orang Nasrani pula mempunyai hari Ahad sebagai hari khusus. Mari kita berkumpul dan menciptakan satu hari khusus untuk berzikir dan berdoa pada Allah,”.
Kemudian mereka berkumpul dan bertemu dengan As’ad bin Zurarah yang juga dikenali sebagai Abu Umamah. Mereka solat bersama dan beliau turut menyembelih seekor kambing untuk hidangan makanan tengahari selepas solat.
Daripada situasi tersebut, hari Arubah dinamakan Jumu’ah yang bermaksud hari berkumpul.
Nabi Adam AS diciptakan dan dimasukkan ke Syurga pada hari Jumaat, serta hari Kiamat juga dijanjikan akan berlaku pada hari yang sama.
Hujah ini dapat dibuktikan melalui sebuah hadis yang diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a. Rasulullah SAW bersabda,
“Jumaat adalah sebaik-baik hari kala mentari terbit. Nabi Adam a.s. diciptakan pada hari Jumaat. Demikian pula ketika dimasukkan dan dikeluarkan dari Syurga. Dan tidak terjadi hari Kiamat kecuali pada hari Jumaat” (HR Muslim).
Antara kelebihan lain termasuklah para lelaki Islam yang mukallaf diwajibkan menunaikan solat Jumaat dan menghadiri khutbah hari Jumaat.
Firman Allah SWT dalam Surah al-Jumu’ah ayat 9:
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diserukan azan (bang) untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang jumaat) dan tinggalkanlah berjual-beli (pada saat itu); yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya).”
Solat Jumaat adalah solat fardhu dua rakaat yang menggantikan solat Zohor selepas mendengar dua khutbah bagi kaum lelaki.
Khutbah pula adalah ucapan atau syarahan yang disampaikan oleh khatib bagi menggantikan lagi dua rakaat solat zohor. Khutbah mengandungi kata-kata pujian terhadap Allah, ilmu dan nasihat, serta pengajaran kepada jemaah yang datang solat Jumaat pada hari tersebut. Tanpanya solat Jumaat menjadi tidak sah.
Kemuliaan hari Jumaat bukan sekadar gelaran, tetapi satu anugerah dan peluang besar untuk umat Islam memperbanyakkan amal, mendekatkan diri kepada Allah SWT serta menghayati maknanya sebagai sayyidul ayyam yang penuh keberkatan.
Kesimpulannya, hari Jumaat sebagai penghulu segala hari bukan sahaja memiliki sejarah penamaan yang berkait dengan himpunan umat untuk beribadah, malah dimuliakan dengan peristiwa-peristiwa penting seperti terciptanya nabi Adam dan hari Kiamat.
++Untuk berita dan artikel terkini. Jangan lupa ikuti kami di media sosial rasmi kashoorga, Instagram, Facebook & TikTok.
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download
sekarang ya?





