Meluangkan masa yang berkualiti dengan pasangan akan mengeratkan kasih sayang antara satu sama lain, sebagaimana sunnah Nabi Muhamad SAW. Anda boleh belajar benda baru tentang pasangan, bina kekuatan bersama, dan hargai dia seadanya.
Tidak dapat dinafikan situasi masa kini menyebabkan ramai pasangan yang punya masa yang terhad untuk bersama. Masing-masing sibuk dengan tugasan harian yang adakalanya menuntut pengorbanan masa. Walau bagaimanapun janganlah jadikan alasan itu sebagai kekangan untuk meluangkan masa bersama pasangan. Sisihkan sedikit masa untuk bersama pasangan agar hubungan suami isteri jadi lebih harmoni.
Seperti luahan Aidid Marcello di Intagramnya. Dia mengungkapkan tentang betapa pentingnya ‘mencuri’ masa untuk bersama pasangan. Imam kepada Norzie Pak Wan Chik ini mengakui bahawa adakalanya kesibukan dengan tugas membataskan waktu untuk meluangkan masa bersama isteri tercinta.
Berikut posting di Instagram Aidid Marcello.
Kadang-kadang aku pk, penat gila kerja cari duit. Kerja utk bayar segala yg wajib bayar dan sebab nak sara family. Kerja dan besarkan family mmg 1 tanggungjawab penting sebagai ketua keluarga. Tapi, kadang2 aku pk jugak, kerja rajin penat nak mati pun…dan habiskan setiap saat dengan kerja tanpa pandai curi masa berharga utk yang tersayang, bagi aku, xda maknanya hidup…
Jadi, selagi kaki masih terdaya menapak dan berdiri, selagi ada kedrat utk ke sana sini… curilah masa terbaik utk yg tersayang, yg menjadi tulang belakang dan pembakar semangat dalam apa jua kerja kita!!! Harap you @norziepwc happy dengan apa yg i buat utk you, walaupun i x mampu nak bawak u cuti ke USA, balik kampung pun jadilah… mana tau maybe kita habiskan usia tua kita disini? ❤️ you!!
Untuk tunjukkan rasa cinta terhadap pasangan, anda patut ambil tahu, beri perhatian dan bantu si dia. Boleh berikan si dia hadiah sekali sekala. Tak perlu tungguh hari-hari istimewa. Satu lagi perkara bermanfaat yang anda boleh buat adalah luangkan masa bersama.
Banyak orang lupa tentang hal ini, lebih-lebih lagi kalau sudah bernikah. Tapi sebenarnya hal ini akan menguatkan kasih sayang antara suami isteri. Masa ini boleh digunakan untuk lupakan segala tekanan dan fokus pada hubungan anda.
IKLAN
Carilah ‘peluang’ untuk luangkan masa dengan pasangan. Kalau ada anak kecil, tinggalkan mereka seketika dengan orang lain, mungkin pengasuh atau ibu bapa. Yang penting, anda dan pasangan boleh nikmati masa berdua!
Ini ada beberapa idea untuk anda cuba:
1. Jadi pelancong di tempat sendiri – Tak kira di mana anda tinggal, mesti ada tempat unik yang anda belum terokai. Pandu kereta atau jalan kaki, masuk taman, muzium, atau cuba restoran baru. Atau cari tempat di mana pelancong selalu pergi dan lawati!
IKLAN
2. Buat aktiviti yang berselerak – Kalau anda pasangan yang suka makanan, cuba masak bersama. Cuba penuhkan laman rumah anda dengan beberapa pokok kecil, atau lukis sesuatu bersama kalau anda jenis yang artistik. Apa pun yang anda buat, ketawa dan berseronoklah bersama.
3. Cuba aktiviti baru – ice skating, roller blading, naik roller coaster, wall climbing atau daki bukit bersama. Cuba aktiviti yang mencabar untuk dalamkan kepercayaan antara satu sama lain.
4. Rancang hari untuk perut – Lawat 4 jenis restoran / kafe yang berbeza. Mulakan dengan teh di kafe kecil, berhenti di kedai bakeri untuk cari pembuka selera, ambil makanan berat di restoran dan cari pencuci mulut di kafe yang lain. Mungkin kosnya sedikit tinggi, tapi boleh cuba sekali sekala untuk cipta kelainan.
5. Pek makanan dan pergi ke tempat yang cantik untuk berkelah – Tak kira di mana anda tinggal, pasti ada tempat yang cantik di sekitar anda. Anda boleh berkelah sambil lihat matahari terbenam di tepi pantai, makan tengahari dengan tenang di tepi dusun, atau habiskan masa sepetang di dalam taman.
Kata Datuk Dr Hj Mohd Fadzilah Kamsah lagi ada kajian di Amerika Syarikat mendapati pelukan suami dapat mengurangkan tahap kolesterol dan meningkatkan kesihatan isteri. Oleh itu kalau anda mahu isteri anda sentiasa kelihatan ‘menarik’ rajin-rajinlah peluk isteri.
Ramai yang beranggapan bahawa memeluk isteri sudah tidak lagi relevan. Lebih-lebih lagi yang sudah lama berumah tangga. Apa salahnya, sambil-sambil melihat isteri lalu lalang di rumah itu, cuba-cubalah untuk tarik dan peluk seketika.
Kerana ketahuilah sentuhan dan belaian ialah satu keperluan emosi yang bukan sahaja diperlukan oleh seorang isteri tetapi juga pada seorang suami. Pelukan juga ialah lambang kebersamaan dalam menghadapi rintangan kehidupan.
“If I’m marrying you, I’m marrying your problems too”.
Jadi bilakah waktu sesuai untuk beri pelukan kepada isteri?
1. Sebelum pergi ke kerja
Tak perlu lama pun, kalau dapat 10 saat pun sudah mencukupi. Ia akan sangat membantu memberi kekuatan dan keyakinan buat kedua-dua pasangan bagi menghadapi hari baru yang penuh dengan cabaran.
2. Sewaktu menonton televisyen
Kalau rumah pakai astro, sekali sekala langganlah astrofirst. Buat special sedikit untuk anda dan pasangan menonton bersama. Beri pelukan kepada pasangan sepanjang waktu menonton. Kalau tak biasa mungkin akan kekok tetapi lama-kelamaan boleh je sebenarnya.
3. Ketika isteri sedang di dapur
Datangi dan rangkullah isteri dari belakang dan peluklah dirinya dengan mesra. Baik ketika sedang memasak dan juga membasuh pinggan. Isteri kalau letih pun akan dapat rasa hilang keletihan, dan lebih baik lagi anda pula yang menyambung kerja dan beri isteri peluang untuk rehat.
4. Waktu isteri merajuk
Pelukan mungkin akan ditolak. Tetapi jangan risau, dan jangan putus asa. Kerana sebenarnya waktu isteri sedang merajuk inilah dia sangat perlukan pelukan cuma memang sudah sifat isteri untuk menguji kesungguhan pasangan.
5. Waktu tidur
Inilah peluang terbaik untuk hormon cinta dan bahagia dikeluarkan. Kalau tak biasa memang akan kekok, jadi memang kena ajar diri dan pasangan untuk sesuaikan. Biar isteri tidur di atas lengan dan peluklah pasangan. Kerana percayalah isteri memang suka tidur berbantalkan suami sebenarnya.
Jika kata-kata cinta bagus untuk sentuhan minda, sebaliknya memberi pelukan pula bagus untuk sentuhan emosi.
Siapa tidak mengenali penyanyi utama kumpulan Caliph Buskers, Azmi Saat. Kemerduan suaranya mendendangkan lagu berunsur keinsafan begitu membuai perasaan.
Biarpun kini sepenuh masa terbabit dalam bidang seni, namun dia sekalipun
tidak pernah melupakan tanggungjawab sebagai seorang suami.
Sebagai seorang suami yang setia dan sanggup berkorban apa sahaja, Azmi dilihat lebih mengutamakan perasaan isterinya, teman sehidup semati dan menyokong kuat kerjayanya selama ini.
Tidak sanggup berpisah dengan isterinya.
Dalam satu perkongsian di laman sosial Facebook, Azmi bercerita tentang bagaimana dia sanggup mengetepikan pelbagai tawaran rezeki yang datang semata-mata kerana tidak sanggup berpisah dengan isteri tercinta.
Dan setelah mendapat keredaan dari isterinya dengan apa yang dilakukan, rezeki yang datang selepas itu mencurah-curah masuk tanpa henti. Justeru Azmi berpesan agar setiap pasangan itu agar menyayangi dan hargai para isteri agar rezeki yang datang sentiasa berkat.
Bertemu seorang rakan ketika ada urusan kerja di Johor
Minggu lepas berpeluang jumpa dengan kawan yang dah lama tak jumpa. Alang-alang ada kerja di Johor, curilah masa sedikit bertemu beliau walau pun letih sebenarnya.
Dalam kami berbual, sempat saya tanyakan “anak kau dah boleh buat apa sekarang?”
“Anak aku dah mula bercakap. Tapi aku sedihlah. Aku baru je berpisah dengan isteri aku.
“Inna lillahi wainna ilaihi raji’un. Punyalah terkejut saya. Masih terngiang-ngiang perbualan saya dan beliau dalam telefon beberapa tahun lepas. Punyalah teruja beliau bercerita yang beliau bakal menhjadi bapa selepas gigih berikhtiar. Tup tup hari ni jumpa dah berpisah. Macam tak percaya.
Rupanya sudah berpisah dengan isterinya kerana tidak memahami tugas sebagai pemuzik
“Macam mana boleh jadi macam tu?”
“Isteri aku tak faham kerja kita Mi. Biasalah pemuzik. Kadang-kadang kena pergi buat persembahan jauh-jauh. Kalau musim sibuk aku jarang ada masa dengan dia. Waktu itulah dia asyik merungut. Lama-lama tak tahan juga aku.”
“Oh. Sabarlah ya. Ini ujian untuk kau orang.” Hanya itu yang mampu saya katakan pada beliau walau pun dalam hati macam-macam yang mahu saya kongsikan namun tak sanggup Mengenangkan beliau baru sahaja berpisah.
Pernah mengalami pengalaman sama. Tolak semua tawaran kerana tidak sanggup tinggalkan isteri
Sebenarnya saya juga pernah melalui pengalaman begitu. Baru-baru ini saya menolak tawaran berlakun drama yang sepatutnya penggambarannya akan dilaksanakan dalam bulan oktober ini kerana perlu meninggalkan isteri selama satu minggu. Saya pernah juga tolak tawaran menjadi artis rakaman walau pun lagunya sudah dirakamkan kerana jadual promosi yang memerlukan saya terpaksa meninggalkan isteri beberapa hari. Banyak lagi undangan yang pernah saya tolak walau pun bayarannya agak lumayan. Semuanya kerana jadual yang padat memerlukan saya terpaksa mengorbankan masa bersama isteri.
Sejak awal perkahwinan saya dan isteri, dia tak pernah minta kemewahan. Cuma satu yang dia minta ia itu masa di sebelah malam. Isteri saya boleh jadi sampai tak boleh tidur kalau ditinggalkan waktu malam. Tak tahulah kenapa. Dia akan resah, bimbang dan takut bila berseorangan waktu malam. Tak ramai orang yang faham. Cuma orang yang rapat sahaja yang tahu masalah dia.
Tolak tawaran demi isteri.
Dulu sering bergaduh dengan isteri hingga mengganggu fikiran
Dulu saya dan isteri kerap bertengkar. Waktu awal Caliph Buskers dikenali, jadual kami terlalu padat. Saya tak boleh tolak undangan kerana saya penyanyi utama. Biasanya penganjur tak mahu mengundang jika saya tak ada.
Setiap kali undangan yang memerlukan kami bermalam, setiap kali itulah saya dan isteri akan bertengkar. Ia sedikit sebanyak mengganggu fikiran dan perasaan saya sewaktu bekerja. Walau pun dapat bayaran tapi tak ada ketenangan. Saya menghiburkan orang tapi diri sendiri tak terhibur. Saya menggembirakan orang tapi isteri sendiri dirumah bersedih. Apakah maknanya?
Sampailah satu masa bila terlalu banyak bergaduh, isteri saya meluahkan isi hatinya. “Dari awal perkahwinan kita cuma satu sahaja yang saya minta. Saya sangat memerlukan awak di waktu malam. Semenjak awak dah jadi artis saya selalu ditinggalkan. Saya faham awak ada kerjaya sekarang tapi saya sangat perlukan awak. Saya tak kisah kita hidup susah sekalipun asalkan awak selalu ada dengan saya.”
Isteri bagi pilihan, pilih dia atau kerjaya
“Siapalah saya untuk menghalang awak mengejar kerjaya awak. Sekarang saya minta awak buatlah pilihan. Jika awak benar-benar mahu mengejar kerjaya sebagai penyanyi yang sibuk, tolonglah lepaskan saya. Namun seandainya awak lebih memilih saya, buatlah sesuatu supaya saya tak selalu ditinggalkan bersendirian.”
Apa lagi yang mampu saya katakan? Sejak dari saya tak punya apa-apa walaupun duit untuk hantaran perkahwinan kami dialah yang bantu saya. Dua tiga tahun awal perkahwinan saya tak mampu memberi nafkah secukupnya pada dia tapi tak pernah sekali pun dia merungut.
Susah senang bersama sebelum bergelar pemuzik lagi.
Dia insan yang banyak bantu sampai boleh jadi pemuzik. Beri semangat untuk menyanyi walaupun buta
Malah dialah yang banyak membantu sampai saya boleh menjadi pemuzik. Dia pinjamkan duit untuk saya beli barang-barang muzik. Dia teman saya menyertai pertandingan menyanyi sana sini supaya orang tahu bakat saya. Dia yang beri semangat supaya saya jangan berhenti menyanyi walaupun waktu itu rasanya mustahil seorang buta boleh menjadi penyanyi di Malaysia.
Akhirnya, saya ambil keputusan untuk maklumkan pada ahli-ahli Caliph Buskers tentang pendirian saya. Sekiranya ada kerja yang memerlukan kita bermalam tolong maklumkan awal supaya saya boleh carikan teman untuk isteri saya. Jika tak ada orang yang boleh temankan, saya terpaksa tolak sebesar apa pun juga tawarannya. Begitu jugalah yang saya sampaikan pada pihak KRU Music selaku pihak yang bertanggungjawab menguruskan kami waktu itu.
Bermacam-macam kata-kata yang saya terima selepas saya suarakan pendirian saya. Ada yang kata saya takut bini. Ada yang kata saya tak akan ke mana kalau berpendirian begitu. Ada juga yang kata saya bodoh kerana menolak rezeki. Pernah juga saya terima nasihat,”Kau bincanglah elok-elok dengan isteri kau. Kerja sebagai artist ni bukannya bertahan lama. Setiap tahun akan ada penyanyi baru yang muncul. Waktu kau tengah naik inilah masa untuk kau kumpul duit banyak-banyak. Nanti kau dah tak popular kau peluklah isteri kau 24 jam.”
Ditemukan dengan insan yang beri nasihat cukup bermakna
Jujurnya tertekan juga dengan kata-kata mereka. Sampailah akhirnya saya ditemukan dengan seseorang yang benar-benar membuat saya tekad dengan pendirian saya. Masih saya ingat kata-kata beliau. “Mi. Isteri ni tanggungjawab kita. Selain bagi makan, tempat tinggal dan pakaian, ketenangan dan kebahagian juga wajib seorang suami berikan pada isteri. Untuk apa banyak duit kalau tak gembira. Untuk apa kaya kalau tak bahagia.?
“Isteri yang baik tak akan sama nilainya dengan semua kemewahan yang ada di dunia ni Mi. Mereka akan sentiasa ada waktu kita susah. Mereka yang jaga waktu kita sakit. Mereka akan sambut waktu kita jatuh. Aku dapat rasakan isteri kau seorang yang baik. Kau hargailah dia. Tak akan pernah rugi kalau kau bahagiakan isteri yang baik. Kalau kau orang sepakat dalam berumah tangga, percayalah rezeki akan datang melimpah ruah lepas ni.”
Selepas buat apa yang sepatutnya, rezeki datang mencurah-curah
Saya jadi tenang bila dengar nasihat itu. Tanpa saya sangka, macam-macam tawaran yang saya dapat selepas isteri redha dengan apa yang saya buat. Saya ditawarkan untuk menyertai Gema Gegar Vaganza musim pertama dan dapat ke final. Saya dapat tawaran menggantikan Faizal Tahir untuk AJL 32 dan dapat tempat k dua. Dapat juga berpeluang menjadi juri untuk Mikrofon Impian awal tahun itu hari. Baru-baru ini saya dapat pula tawaran bertanding di Muzikal Lawak Superstar. Semua ini peluang-peluang yang tak pernah saya terfikir akan saya terima. Dalam masa yang sama Caliph Buskers juga tak pernah putus rezeki walau pun kami sepenuh masa mencari nafkah dengan bermuzik.
Kawan-kawan. Sayangilah pasangan yang benar-benar sayangkan kalian. Dalam sibuk mencari rezeki, luangkanlah masa bersama kerana itu juga hak mereka. Fahamilah pasangan kalian kerana tiada siapa lagi yang layak memahami mereka selain kita. Yakinlah rumah tangga yang penuh dengan kasih sayang pasti akan diberkati. Mudah-mudahan Allah limpahkan banyaknya kebaikan. Begitulah hendaknya.
Dalam sebuah rumah tangga, tentunya suami menjadi pemimpin ke arah membentuk rumah tangga yang bahagia. Maka sebab itulah suami perlu menjalankan peranan mereka sebagai seorang ketua. Ibarat seorang nakhoda yang mengemudi sebuah kapal, maka sudah tentulah besar tanggungjawab yang harus dipikul.
Kepimpinan suami dalam rumah tangga membentuk imej seorang isteri.
Bila suami lemah lembut, insyaAllah, isteri pun akan lemah lembut. Sekeras mana wanita, kalau dilayan dengan kelembutan dan kesopanan, pasti akan merubahnya.
Ibaratnya seperti batu disiram air, lama-lama akan lekuk juga. Ibarat kerak nasi direndam air, lama-lama akan lembut juga.
Suami soleh perlulah bijak menangani makhluk beremosi bernama isteri. Bila wanita menjadi bakal ibu, dia bukan sahaja mengandungkan bayi tetapi juga menjadi bayi.
Bila wanita menjadi ibu, suami bukan hanya ada anak-anak, tetapi isteri juga bertukar sensitif seperti anak kecil.
SABAR DIDIK ISTERI
Matanglah dalam menyantuni emosi isteri. Memahaminya bukan mudah, tetapi tetaplah teguh mencintai dan sabar dalam mendidik.
Ikutlah seperti pesan Nabi SAW, didiklah wanita dan nasihatilah ia seperti tulang rusuk yang bengkok, terlalu keras akan mematahkannya. Maka, santunilah dan berlemah lembutlah, tetapi tetap tegas mentarbiyahnya dalam hal agama & akhirat.
Jangan sesekali memukul isteri dengan perbuatan mahupun dengan kata-kata kasar, menghina, memaki, mencarut.. ia akan menjadikan hatinya keras dan membuatkan dia mungkin takut, tetapi sudah hilang hormat. Bahkan.. jika kamu memukul wanita, kamu sebenarnya bukanlah lelaki. Rasulullah tak pernah memukul wanita. Malah memuliakannya.
MUDAHKAN ISTERI
Isteri yang rasa disayangi, dihormati, dipercayai oleh suaminya akan mudah dibentuk, akan menjadi lebih kuat, tabah dan reda.. akan menyenangkan hati si suami juga akhirnya.
Sesungguhnya, jadilah suami yang memudahkan isteri untuk menjadi solehah, kerana solehahnya isteri itu, hanya suami yang soleh boleh menilainya..