
Pasangan yang bakal melangsungkan perkahwinan kadangkala berasa buntu untuk memilih tarikh sesuai bagi mengadakan majlis pernikahan.
Apabila bertanyakan pandangan ibu bapa atau orang yang lebih tua, ada yang menasihatkan supaya pernikahan tidak dilakukan pada bulan-bulan tertentu kerana dikhuatiri membawa nasib buruk atau ditimpa musibah.
Antara kepercayaan yang masih wujud dalam masyarakat ialah larangan bernikah pada bulan Safar kerana bulan tersebut dianggap membawa bala.
BACA JUGA: Perkahwinan Dalam Islam Perlu Sederhana, Bukan Sampai Berhutang
Namun, adakah benar dalam Islam terdapat bulan yang baik dan bulan yang dianggap sial untuk melangsungkan pernikahan?
Bulan Syawal sering dikaitkan sebagai bulan yang baik untuk melangsungkan pernikahan kerana Rasulullah SAW menikahi Saidatina Aisyah RA pada bulan tersebut.
Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim, Aisyah RA berkata:
Maksudnya: “Rasulullah SAW menikahiku pada bulan Syawal dan baginda mula tinggal bersamaku juga pada bulan Syawal. Maka isteri Rasulullah SAW yang manakah lebih beruntung di sisi baginda berbanding aku?”
Perkahwinan Rasulullah SAW dengan Aisyah RA pada bulan Syawal juga bertujuan mematahkan kepercayaan karut masyarakat Arab Jahiliah yang menganggap bulan tersebut tidak baik untuk mendirikan rumah tangga.
Oleh itu, melangsungkan pernikahan pada bulan Syawal merupakan suatu perkara yang baik kerana bertepatan dengan amalan Rasulullah SAW.
Bagaimanapun, perkara ini tidak bermakna pernikahan hanya digalakkan pada bulan Syawal atau bulan-bulan lain dianggap tidak baik.
Dalam masyarakat Melayu, masih terdapat segelintir individu yang takut untuk mengadakan majlis pernikahan pada bulan Safar atau Muharam kerana menganggap bulan-bulan tersebut membawa kesialan.
Kepercayaan seperti ini tidak mempunyai asas dalam ajaran Islam.
Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: “Tidak ada penyakit yang menular dengan sendirinya, tidak ada kepercayaan kepada petanda buruk, tidak ada kesialan kerana burung hantu dan tidak ada kesialan pada bulan Safar. Larilah daripada penyakit kusta sebagaimana kamu lari daripada singa.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Hadis ini menjelaskan bahawa bulan Safar tidak membawa bala atau kesialan sebagaimana yang dipercayai oleh masyarakat Jahiliah.
Kepercayaan terhadap hari, bulan, haiwan atau sesuatu kejadian sebagai petanda buruk dikenali sebagai thiyarah.
Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: “Thiyarah itu adalah syirik. Thiyarah itu adalah syirik.” (Riwayat Abu Dawud)
Berdasarkan hadis tersebut, umat Islam dilarang mempercayai bahawa sesuatu hari atau bulan mempunyai kuasa untuk mendatangkan kecelakaan.
Segala perkara yang berlaku adalah dengan ketentuan dan izin Allah SWT, bukannya disebabkan oleh tarikh atau bulan tertentu.
Hakikatnya, tiada bulan tertentu yang diharamkan dalam Islam untuk melangsungkan pernikahan.
Namun, terdapat beberapa keadaan yang menyebabkan seseorang tidak dibenarkan bernikah menurut hukum syarak.
Antaranya ialah seseorang yang sedang berada dalam ihram haji atau umrah. Selain itu, seorang wanita yang masih berada dalam tempoh idah atau masih berstatus isteri orang juga tidak boleh dinikahi.
Larangan tersebut bukan disebabkan oleh bulan atau tarikh tertentu, tetapi berdasarkan hukum dan ketetapan syarak.
Kesimpulannya, Islam tidak pernah menetapkan adanya bulan yang membawa tuah atau bulan yang membawa kesialan untuk melangsungkan pernikahan.
Tarikh perkahwinan sebaiknya dipilih berdasarkan persetujuan kedua-dua belah pihak, kemudahan keluarga serta keadaan yang tidak membebankan pasangan.
Pasangan juga dinasihatkan supaya tidak terlalu mengejar tarikh cantik sehingga sanggup berbelanja secara berlebihan hanya untuk meraikan majlis walimatulurus.
Keberkatan sesebuah perkahwinan bukanlah terletak pada tarikh yang dipilih, tetapi pada keikhlasan niat, ketakwaan kepada Allah SWT serta usaha suami isteri melayari kehidupan rumah tangga mengikut panduan dan keredaan-Nya.
++Untuk berita dan artikel terkini. Jangan lupa ikuti kami di media sosial rasmi kashoorga, Instagram, Facebook & TikTok
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download
sekarang ya?







