‘Pakai seluar putih di Arafah, cuci 7 kali air masih hitam.’ Tak jadi merungut, bila ibu bagi ingatan menusuk kalbu. Benarlah kadang-kadang kita tak nampak kiasan atas sesuatu benda yang berlaku.
Seperti kisah cerita seluar putih ini. Dilihat pada mata kasar, kita bersungguh-sungguh untuk bersihkan seluar yang kotor tetapi akhirnya hendak menyerah kalah kerana hasilnya tidak seperti yang kita inginkan.
Ikuti perkongsian Dato Dr Shareena Almashoor ini dan hadam kisah di sebalik seluar putih pemberian sahabatnya ini:
Masa Di Arafah, saya pakai jubah hitam. Sebab sudah tahu banyak pergerakan, berdebu serta kotor.
Kusut-masai kan. Jadi mental dan fizikal sudah sedia. Tapi seorang sahabat ini hadiahkan pakaian umrah haji baju seluar putih untuk saya pergi haji tahun lepas yang saya tak pakai tahun lepas.
Cuci 7 Kali Air Masih Hitam
Jadi saya decided pakai seluar putih itu dekat dalam jubah. Supaya dia pun dapat sahamnya.
Bila balik ini nak cuci masyallah tujuh kali tukar air masih hitam. Kemudian beransur coklat dan masih kelabu. Belum lagi putih air nya. Stres sangat rasanya. Sebab kita sudahlah penat baru balik kena pula cuci pakaian macam ini.
Ads
Dengan hati yang sedih dan hendak mengadu, saya pun call mama and explain whole situation and asked her what to do to make this seluar bersih dalam masa yang cepat.
Tak Jadi Merungut
Mama jawab:
“ Adik… say Alhamdulilah Allah want to show you something. Seluar putih itulah macam diri kita.
Terlalu kotor penuh dosa Bila kita pergi mengadap Allah. Jangan harap satu istighfar boleh bersih. 1000 istighfar tak tentu bersih. Jangan harap 2 rakaat solat taubat dapat hapus dosa, 1000 rakaat tak tentu kita tak ulang dosa. 1 haji tak tentu berubah 100% perangai kita. Mungkin beberapa umrah haji baru nampak perubahan kita.
Bila Ibu Bagi
Lepas itu macam mana hendak basuh seluar ini?
Give up? Buang seluar itu atau rendam, letak garam, letak Clorox, letak serbuk pencuci dan rendam lama-lama (macam tahajud menangis lama-lama) esok cuci lagi.
Kalau tak bersih, buang air ulang lagi proses sama esok cuci lagi.
Ads
Macam itulah hati kita ini teruk sangat kotoran yang tangan, kaki kita buat sendiri.”
Adoi, menusuk dalam sampai ke kalbu. Itulah kasih sejati seorang ibu. My mama sudah 70 tahun umur. Ingatan sangat sedikit. Can’t even remember sudah makan ke belum. Tapi bila tanya dia soalan, masih tajam jawapan seperti dulu-dulu.
Ingatan Menusuk Kalbu
Peristiwa seluar putih ini banyak mengajar saya .
Kasih ibu tiada tandingannya. Bodohlah kamu jika kamu cuba putuskan kasih sayang seorang ibu dengan anaknya.
Maka Islam pesan bila memilih pasangan itu pilihlah dari bani keturunannya.
Ads
Jangan hanya lihat anaknya tapi periksa siapa bagaimana ibu bapanya.
Hari ini tanggal 23 Oktober 2019 bersamaan jatuh pada hari Rabu dan Safar di bulan Islam. Ada yang mengatakan bahawa hari Rabu terakhir pada bulan Safar adalah hari diturunkan bala dan ada amalan tertentu untuk menghindarinya.
Persoalan yang dibangkitkan oleh seorang warganet di laman sosial twitter Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri dan beliau telah menjawab segala kemusykilan berkenaan.
Apakah benar dakwaan berkenaan dan bagaimana pula dengan amalan yang dilakukan untuk menghindari bala yang datang nanti?
Ini jawapan dari Mufti Wilayah dalam menjelaskan persoalan berkenaan.
Soalan : Adakah amalan mandi safar digalakkan kerana disebut di dalam hadis berkaitan safar?
Jawapan :
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.
Mandi Safar adalah satu amalan turun menurun masyarakat Melayu di mana diadakan temasya mandi-manda yang ada di adakan pada hari Rabu yang terakhir di dalam bulan Safar dengan tujuan menolak bala. Pada pagi tersebut orang ramai mandi di pantai atau sekurang-kurangnya minum air yang telah direndam kertas safar atau papan kecil yang ditulis kalimat suci. Air ini dikenal sebagai air safar.
Berdasarkan soalan dan penjelasan ringkas mengenai Mandi Safar, kami telah menerima satu pesanan ringkas melalui aplikasi whatsapp yang mengatakan bahawa amalan mandi safar disebut di dalam hadis Nabi SAW. Kami menukilkan semula terjemahan hadis yang dihantar kepada kami.Ianya berbunyi seperti berikut:
“Tidak ada penularan penyakit (dengan sendirinya),tidak ada thiyarah (sempena baik atau buruk),tidak ada kesialan (malang) kerana burung dan tidak ada kesialan (bala bencana) pada bulan safar”(Hadis riwayat Bukhari r.a, Muslim, Abu Daud dan Ahmad r.a).
Individu yang menghantar keratan terjemahan hadis ini kepada kami mendakwa bahawa inilah dalil pengharusan mandi safar yang bertujuan menolak bala dan sial.Benarkah dakwaan ini?
PENJELASAN MENGENAI HADIS
Setelah dicari dan diteliti, lafaz matan yang dimaksudkan ada asal-usulnya. Lafaz tersebut berbunyi daripada Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda:
لا عَدْوَى وَلاَ طِيرَةَ ولا صَفَرَ وَلاَ هَامَّةَ
Maksudnya:”Tidak ada penyaki yang berjangkit,tidak ada kepercayaan bahawa haiwan memberi manfaat dan mudarat, tidak ada kesialan dalam bulan safar dan tidak ada juga kepercayaan datangnya malapetaka disebabkan burung hantu.”
Riwayat al-Bukhari (5770), Muslim(2220), Abu Daud (3913) di dalam al-Sunan & Ahmad(3031) di dalam Musnad.
Di dalam lafaz yang lain menyebut: Daripada Jabir bin Abdullah r.anhuma bahawa Rasulullah bersabda:
لا عَدْوَى وَلاَ صَفَرَ وَلَا غُوْلَ
Maksudnya:”Tidak ada penyebaran penyakit(secara tabi’i),tidak ada kesialan dalam bulan safar bahkan tidak ada Ghul(Syaitan yang boleh menyerupai dalam pelbagai bentuk untuk menyesatkan manusia).”[1]
Riwayat Muslim (2222),Ibnu Hibban (6128) di dalam Sohihnya,Ahmad (15103) di dalam Musnad
Maksudnya:”Tidak ada penyebaran penyakit(secara tabi’i),tidak kesialan dalam bulan safar dan tiada ramalan bintang bulan dengan hujan.”
Riwayat Ahmad (9165) di dalam Musnad,Ibn Hibban (6133) di dalam sohihnya
Hadis ini diriwayatkan oleh beberapa orang sahabat melalui jalur sanad yang berbeza antaranya:
1. Abu Hurairah
2. Ibnu ‘Abbas
3. Jabir Bin ‘Abdullah
4. Ibnu Mas’ud
Secara ringkasnya, hadis ini diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Imam Muslim di dalam kitab sohih mereka.Bahkan ianya juga diriwayatkan juga jaguh-jaguh ahli hadis semisal Imam Ahmad, Abu Daud dan ramai lagi. Di dalam kesemua jalur sanad hadis ini, terkandung perkataan safar. Dengan wujudnya hadis ini di dalam kitab hadis yang muktabar seperti Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim tidak syak lagi bahawa hadis ini adalah hadis yang sahih. Namun yang menjadi permasalahan di sini adalah adakah hadis ini menunjukkan adanya keharusan melakukan amalan mandi safar dengan hanya berdalilkan wujudnya perkataan safar di dalam hadis ini?
MAKSUD SAFAR(صفر)
Menurut Ibnu Manzur (w.711 H) صَفَرَ bermaksud penyakit di dalam perut yang menyebabkan orang yang mengalaminya kuning mukanya. Perkataan ini juga membawa maksud ular yang suka mematuk. Ianya juga membawa maksud lapar.
Rujuk Lisan al-Arabi(8/250)
Safar juga adalah bulan kedua di dalam kalendar Hijrah selepas bulan Muharram.
Secara asasnya,untuk memahami satu perkataan yang terdapat di dalam hadis selain dari merujuk makna dari segi bahasa,perlu juga untuk merujuk pandangan para ulama yang muktabar untuk mendapatkan gambaran yang sebenar tentang apa yang disabdakan oleh Nabi SAW. Di sini kami kumpulkan pandangan dan syarahan para ulama berkenaan hadis ini:
Ibnu Hajar al-Asqalani (w.852 H) menyebut:
“Ia adalah penyakit yang menyakitkan perut.Abu ‘Ubaidah Ma’mar bin al-Muthanna menyebut di dalam kitab Gharib al-Hadith daripada Yunus bin ‘Ubaid Al-Jarami.Beliau bertanya kepada Ru’bah bin al-‘Ajjaj tentang makna safar.Beliau menjawab :”Bangsa Arab Jahiliyyah mempercayai bahawa ia adalah cacing yang berada di dalam perut manusia dan ia lebih merebak dari penyakit kulit.Kerana inilah Nabi menyebut tentang tiadanya safar di mana mereka mempercayai bahawa ia lebih berbahaya dari penyakit kulit.Inilah pandangan yang dipegang oleh Imam al-Bukhari kerana ianya dikaitkan dengan ayat tidak ada penyebaran penyakit.”
Beliau (Ibnu Hajar) menyebut lagi :Apa yang dimaksudkan dengan penafian bahawa tiadanya safar adalah menolak kepercayaan orang arab jahiliyyah yang beranggapan bahawa ianya boleh membunuh jika ia menimpa manusia.Akan tetapi,Syarak menolak kepercayaan ini kerana kematian tidak akan berlaku jika ajal belum tiba.”
Rujuk Fath al-bari Syarh Sahih al-Bukhari(3/285)
Kata Imam al-Nawawi (w.676 H) :
“Sabda Nabi SAW ‘Tidak ada safar’ ada dua tafsiran : Tafsiran yang pertama bermaksud menjadikan bulan Safar sebagai bulan haram dan bulan Muharram sebagai bulan yang dibolehkan berperang.Inilah yang dilakukan oleh Bangsa Arab Jahiliyyah.Ini adalah pendapat Malik dan Abu ‘Ubaidah.Tafsiran yang kedua,yang dimaksudkan dengan safar adalah binatang yang wujud di dalam perut iaitu ulat.Arab Jahiliyyah percaya bahawa di dalam perut ada satu binatang yang berlegar ketika lapar.Berkemungkinan ianya boleh membunuh tuan punya perut.Mereka mengatakan bahawa ianya lebih teruk dan berjangkit berbanding penyakit kulit.Inilah tafsiran yang betul.Pandangan ini telah dikemukakan oleh al-Mutarrif,Ibnu Wahbin,Ibnu Habib,Abu ‘Ubaid dan sebahagian besar para ulama.Pandangan ini juga disebutkan oleh Imam Muslim yang dinukilkan daripada Jabir salah seorang perawi hadis ini.”
Rujuk al-Minhaj Syarh Sohih Muslim (13/379)
Imam al-Qurtubi (w.656 H) berkata :
“Safar adalah menjadikan bulan Safar sebagai bulan yang diharamkan untuk berperang. Inilah yang dilakukan oleh Arab Jahiliyyah. Mereka berperang pada bulan Muharram dan berhenti pada bulan Safar. Inilah pandangan Malik dan Abu ‘Ubaidah. Dikatakan bahawa maksud safar adalah ulat yang ada di dalam perut manusia yang berlegar ketika lapar. Arab jahiliyyah melihat bahawa ia lebih berjangkit berbanding penyakit kulit. Mereka mendendangkan syair yang berbunyi[2]:
لا يَتَأَرّى لمِاَ فِي القِدْرِ يَرْقُبهُ # وَلاَ يَعُضُّ على شٌرْسُوفِهِ الصَفَرُ
Maksudnya:”Dia tidak bercanggahan dengan apa yang telah ditakdirkan untuknya. Tidak pula kerana tulang sum-sumnya digigit oleh ulat.”
Inilah pandangan Mutarrif, Ibnu Wahbin, Ibnu Habib dan inilah juga pandangan yang dipilih oleh Abu‘Ubaidah.”
Rujuk al-Mufhim li ma asykala min talkhis kitabi Muslim (5/622)
Kata Imam Abdul Rauf al-Munawi (w.1031 H) :
“Tidak ada safar bermaksud menjadikan bulan Safar sebagai bulan haram berperang dan juga bermaksud penyakit di dalam perut yang boleh menjangkiti orang lain mengikut kepercayaan Arab Jahiliyyah. al-Baidhawi berkata: Ia ditafsirkan sebagai satu penafian kepada kepercayaan yang mengatakan bahawa bulan Safar adalah bulan musibah dan bulan berlakunya fitnah.”
“Bangsa Arab Jahiliyyah mendakwa bahawa di dalam perut ada satu ular yang dipanggil safar. Ianya menyakitkan ketika datangnya lapar dan ia juga boleh menjangkiti orang lain.Islam menolak kepercayaan ini. Ada pandangan yang mengatakan bahawa ia adalah an-nasi’ iaitu menjadikan bulan Safar sebagai bulan yang diharamkan berperang dan bulan Muharram sebagai bulan yang dibolehkan untuk berperang. Ianya dilakukan ketika zaman Jahiliyyah. Perbuatan ini telah diharamkan oleh Islam.”
Kata al-Qadhi Iyadh (w.544 H) : “Ada dua pandangan berkenaan maksud perkataan Safar. Yang pertama adalah menjadikan bulan Safar sebagai bulan haram untuk berperang. Dan inilah yang yang dilakukan oleh Arab Jahiliyyah.Pandangan ini adalah pandangan Malik dan Abu ‘Ubaidah.Perkataan yang kedua mengatakan bahawa safar adalah penyakit yang boleh berjangkit kepada orang lain.”
Rujuk Kitab al-Mu’lim syarh Sohih Muslim (7/71)
Syaraful haq ‘Azim al-Abbadi (w.1329 H) ketika beliau mensyarahkan hadis ini menyebut:
“Ketika mana Nabi SAW menyebut tidak ada safar ianya bermaksud Nabi SAW menafikan kepercayaan yang mengatakan bahawa adanya penyakit di dalam perut yang boleh menjangkiti orang lain dan adanya ular yang menyakiti manusia ketika mana dia lapar. Arab Jahiliyyah menagatakan bahawa ianya lebih berjangkit berbanding penyakit kulit. Ia juga bermaksud bulan Safar. Di mana Arab Jahiliyyah menyangka akan berlakunya perkara buruk apabila tibanya bulan Safar.”
Rujuk ‘Aun al-Ma’bud syarh Sunan Abi Daud (10/407)
Kata Nuruddin al-Sindi (w.1138):
“Ianya bermaksud menjadikan bulan Safar sebagai bulan yang diharamkan berperang.Ianya adalah bentuk tegahan terhadap perbuatan tersebut.”
Al-Qastalani(w.923 H) ketika mensyarahkan hadis ini, beliau menyebut:
“Ianya bermaksud menjadikan bulan Safar sebagai bulan haram. Disebutkan di dalam Sunan Abu Daud daripada Muhammad Bin Rashid Bahawa Arab Jahiliyyah menganggap akan berlakunya perkara yang buruk apabila masuknya bulan Safar. Mereka menyangka bulan Safar adalah bulan musibah dan bulan berlakunya pelbagai fitnah.”
“Ahli ilmu mengatakan bahawa yang dimaksudkan dengan safar adalah bulan Safar kemudian mereka berselisih dalam mentafsirkan maksud hadis tersebut.”
Pertama: Maksud hadis tersebut adalah menafikan apa yang dilakukan oleh masyarakat Arab Jahiliyyah. Mereka berperang pada bulan Muharram dan berhenti pada bulan Safar.Ini adalah pandangan Malik.
Kedua: Masyarakat Arab Jahiliyyah menganggap bahawa akan berlaku perkara buruk apabila masuknya bulan Safar. Mereka menggelar bulan Safar sebagai bulan sial. Maka Nabi SAW menolak kepercayaan demikian. Pandangan ini dinukilkan oleh Abu Daud daripada Muhammad Bin Rashid al-Makhuli.
Pandangan yang kedua ini adalah pandangan yang paling hampir maknanya. Kebanyakan orang-orang yang jahil menyangka bahawa akan berlakunya perkara buruk di bulan lalu mereka mencelanya. Ada di antara mereka yang melarang untuk berkelana pada bulan Safar. Dan ini adalah jenis yang sama dengan perbuatan Thiyarah yang dilarang.”
Rujuk Lataif al-Ma’arif fi ma li mawasim min al-Wazaif (m/s 135-136)
Kesemua ini adalah pandangan para ulama berkenaan sabda Nabi SAW iaitu ‘tidak ada safar’. Banyak lagi ulasan ulama berkenaan perkataan ini dan kesemuanya memberikan pandangan yang hampir sama seperti yang kami nukilkan. Dapat kita simpulkan dari pandangan-pandangan ini bahawa yang dimaksudkan oleh safar itu adalah satu kepercayaan masyarakat arab Jahiliyyah yang karut dan bertentangan dengan ajaran Islam lalu datang Nabi SAW menolak kesemua kepercayaan tersebut. Melalui tafsiran-tafsiran ini,dapat kita fahami bahawa tiada satu pun petunjuk yang menunjukkan bahawa perkataan لا صَفَرَ itu merujuk kepada amalan mandi safar bahkan ianya tiada kena mengena dengan amalan syirik tersebut. Kalaupun ianya merujuk kepada mandi safar (walaupun tafsiran ini tidak diterima dan tiada tafsiran para ulama yang menyebut sedemikian rupa) ianya didahului dengan huruf لا النافِيَة (La yang memberi makna menafikan sesuatu). Justeru ia memberi makna larangan bukan galakan.
PENUTUP
Justeru itu, dapat kita fahami bahawa safar yang dimaksudkan dalam hadis adalah kepercayaan karut yang dianuti oleh masyarakat Arab Jahiliyyah yang dilarang oleh Nabi SAW untuk mempercayainya. Antaranya adalah mereka mempercayai bahawa apabila tibanya bulan Safar,akan berlakulah perkara buruk. Kepercayaan ini hampir serupa dengan kepercayaan orang melayu di dalam amalan mandi safar di mana mereka melakukan upacara tersebut untuk menolak bala dan musibah dan ianya dilakukan hanya pada bulan Safar.
Tidakkah ia memberi isyarat bahawa adanya kepercayaan bahawa bulan itu adalah bulan sial dan musibah sepertimana yang dipercayai oleh masyarakat arab Jahiliyyah. Ini adalah satu perbuatan yang ditegah Nabi SAW. Ditambah pula dengan amalan karut marut yang mengiringi temasya mandi safar ini.
Oleh itu, kami mengesyorkan agar tolaklah bala dengan doa. Seperti mana yang dianjurkan oleh Nabi SAW di dalam kebanyakan hadis. Antaranya adalah doa yang sentiasa kita ulangi di dalam solat Subuh:
وَقِنِيْ شَرَّ مَا قَضَيتَ
Maksudnya:”lindungi dan jauhkanlah aku dari kejahatan yang telah Engkau tetapkan.”
Riwayat al-Nasaie (1725),Abu Daud (1214) di dalam al-Sunan,al-Baihaqi (427) di dalam Sunan al-Sughra,Ibnu Hibban ( 950) di dalam Sohihnya,Ahmad (1625) di dalam Musnad
Wallahu’alam
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download
sekarang ya?
Perkahwinan adalah salah satu sunnah Rasulullah SAW. Namun bagi mereka yang ingin mendirikan mahligai dalam usia muda ia bukanlah semudah yang disangka.
Anda perlu bersedia dari segi mental dan juga fizikal. Perkahwinan bukanlah satu mainan dan ianya tidak boleh dipandang remeh.
Dapatkan pandangan serta nasihat daripada orang yang lebih tua. Dan apabila sudah bersedia, tunjukkan kesungguhan dan kemampuan memikul tanggungjawab sebagai suami isteri serta sebagai ibu bapa di usia muda. Nyatakan anda mampu membina rumahtangga yang bahagia.
Jika anda benar-benar berhasrat untuk berkahwin dalam usia muda, ada beberapa perkara yang perlu diberikan perhatian:
NIAT YANG BETUL
Betulkan niat anda bahawa tujuan anda ingin berkahwin di usia muda bukanlah nafsu semata-mata tetapi kerana ingin mencari keredhaan dari Allah. Disamping dapat mengelakkan terjadinya perkara-perkara yang dilarang oleh Allah antara anda dengan pasangan anda. Insyallah segala urusan anda akan dipermudahkan-Nya kelak.
PENTING DAPATKAN RESTU KELUARGA
Paling penting, perkahwinan itu mesti mendapat keizinan dan restu daripada ibu ayah, barulah perkahwinan itu berkat dan berpanjangan.
ADA PENDAPATAN UNTUK MENYARA PASANGAN
Pastikan anda mempunyai pendapatan yang stabil terutamanya kepada lelaki yang akan menjadi ketua keluarga sebelum melangkah ke alam perkahwinan. Bagi yang masih belajar, anda boleh mencari kerja sambilan di samping tidak mengabaikan pelajaran anda. Banyak kerja-kerja sambilan yang memberikan pendapatan yang lumayan di luar sana. Dan jangan lupa nyatakan kepada keluarga anda dan keluarga sebelah si dia dari mana datangnya sumber pendapatan anda.
SALING BANTU MEMBANTU
Setiap pasangan yang berkahwin tidak kira yang muda atau dewasa, kena ada sikap bantu membantu dalam menguruskan rumah tangga.
PERANCANGAN KELUARGA
Jika belum bersedia mendapat anak awal, buat perancangan keluarga. Sebaliknya jika tidak, perlu persiapkan mental dan fizikal untuk menerima kehadiran orang baru
Sebenarnya daripada satu sudut, berkahwin dalam usia yang muda ada juga baiknya. Perkahwinan menjadikan seseorang itu lebih matang dalam menjalani kehidupan.
Ini antara keberkatan berkahwin dalam usia muda.
MEMELIHARA PANDANGAN
Perkahwinan dalam usia yang muda mampu mengawal pandangan dan seterusnya mengawal nafsu. Secara tidak langsung ia mampu mengelakkan berlakunya perkara-perkara negatif dan di luar kawalan.
LEBIH MENIKMATI ALAM PERKAHWINAN
Berkahwin dalam usia yang muda menjadikan pasangan suami isteri lebih menikmati hubungan suami isteri. Selain itu, rahim seorang wanita muda masih sangat kuat dan subur sehingga mampu menghasilkan keturunan yang berkualiti.
MENYUBURKAN HUBUNGAN ROMANTIS
Perkahwinan merupakan bukti cinta sejati dan menjadi lambang dari keromantisan.
Rasulullah SAW bersabda, “Tidak ada romantisme yang lebih indah bagi dua orang yang saling mencintai selain menikah.” [Ibnu Majah, Ibnu Abi Syaibah, Baihaqi dan dishahihkah oleh Albani].
LEBIH BAHAGIA
Berkahwin dalam usia muda juga adalah untuk mencari puncak kehidupan yang lebih bahagia menurut Islam.
Allah SWT berfirman, “Di antara tanda-tanda kekuasaanNya adalah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan Ia menjadikan rasa kasih dan sayang di antara kalian. Sungguh pada yang demikian itu terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir.” [ar-Rum : 21].
BERJAYA DALAM USIA MUDA
Allah SWT juga akan memberikan limpahan rezeki pada pasangan yang telah berkahwin.
“Dan kahwinkanlah orang-orang yang sendirian di antara kamu, dan orang-orang yang layak (berkawin) dari hamba-hamba sahayamu yang lelaki dan hamba-hamba sahayamu yang perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memampukan mereka dengan kurnia-Nya. Dan Allah Maha Luas (pemberian-Nya) lagi Maha mengetahui.” [Q.S : An-nur : 23].
BANYAK WAKTU UNTUK MENGURUSKAN ANAK-ANAK
Keuntungan yang boleh didapati jika berkahwin dalam usia yang muda ialah kesempatan mendidik anak-anak dengan baik. Ketika usia masih muda, fikiran masih fresh dan tubuh pun masih bertenaga.
MENIKIMATI MASA TUA DENGAN ANAK-ANAK
Berpeluang menikmati hari tua dengan anak-anak yang sudah berganjak dewasa. Ini tentunya berbeza jika anda berkahwin antara umur 40 tahun dan ke atas sebab masih harus bekerja dengan giat untuk membiayai segala keperluan anak-anak yang masih kecil.
MATANG DARI SEGI EMOSI
Lebih mendewasakan pasangan dan menjadi cara untuk mengendalikan emosi menurut Islam. Ia mengajar anda untuk mengawal emosi yang dipengaruhi juga dengan keperluan batin yang dipenuhi daripada pasangan masing-masing.
STAMINA TUBUH
Ketika usia masih muda, masing-masing punya stamina tubuh yang tinggi. Faktor ini menjadi perkara penting untuk memperoleh hubungan suami isteri yang terbaik sekali gus memperoleh keturunan sebanyak banyaknya dalam Islam.
MENJAUHKAN DIRI DARI ZINA
Perkara utama daripada sebuah perkahwinan ialah menyalurkan hawa nafsu mengikut saluran yang betul. Fitrah seorang lelaki dan wanita untuk hidup berpasangan. Untuk menghindari perbuatan zina maka digalakkan untuk berkahwin dalam usia yang muda.
Ingatlah wahai anak-anak muda, perkahwinan adalah satu perkara yang serius. Oleh itu, janganlah cepat membuat keputusan secara terburu-buru. Muhasabah diri dan tanyalah kepada diri sendiri adakah aku betul-betul sudah bersedia? Semoga segala urusan anda dipermudahkan oleh-Nya.
VIDEO KASHOORGA:
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download
sekarang ya?
Zakat mempunyai hikmah dan faedah yang banyak. Ia adalah untuk kebaikan pengeluar zakat dan juga penerimanya. Faedah zakat juga dapat dinikmati oleh individu dan masyarakat. Bahkan dengan berzakat juga tidak akan mengurangi harta pemberinya.
Ini ditegaskan oleh Rasulullah SAW yang bersabda,
مَا نَقَصَتْ صَدَقَةٌ مِنْ مَالٍ
Maksudnya: “Zakat itu tidak mengurangi harta.”
Antara hikmah berzakat boleh menguatkan hubungan persaudaraan dan kasih sayang antara pengeluar zakat dengan orang lain. Hikmah lain antaranya dapat membersihkan hati daripada sifat-sifat keji yang memberi kesan kepada masyarakat, iaitu sifat berdendam, iri hati dan hasad dengki.
Bahkan ia dapat membersihkan jiwa daripada sifat hasad dengki dan iri hati serta mengeratkan hubungan persaudaraan sekalipun mereka berbeza dari segi kemewahan dan kekayaan. Ini berdasarkan firman Allah SWT:
Maksudnya: “Ambillah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan menyucikan mereka (dari akhlak yang buruk). (Surah al-Taubah: 103).
Penghargaan diterima oleh usahawan dan juga selebriti Aeril Zafrel dari Lembaga Zakat Selangor kerana membayar zakat melebihi RM50,000 sewajarnya dijadikan contoh teladan yang baik.
Dalam satu perkongsiannya, Aeril memaklumkan dirinya menerima penghargaan ini.
“Alhamdulillah dapat penghargaan daripada pusat zakat selangor untuk tahun ni. Mari ramai-ramai kita tunaikan kewajipan.
Tindakannya jelas menerima pujian ramai dan ramai mengatakan founder-founder lain harus mengikut jejak langkahnya ini. Ini kerana ia memberikan tanggapan baik kepada umat Islam lain untuk mengikuti jejaknya dengan kelebihan rezeki yang Allah berikan. Nyata dirinya menerima doa dari orang ramai yang mendoakan rezekinya terus melimpah ruah. Sumber : IG Aeril Zafrel.
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download
sekarang ya?