
Ini fakta zaman sekarang. Bila jadi pengantin, memang semua nak nampak cantik dan pakaian pun mengerlip. Tapi sayangnya kecantikan itu takut dicemari lalu meninggalkan solat, yang wajib buat diri.
Akibat nak bermekap, mak andam sampai ke rumah pengantin seawal jam 11 pagi. Maka si pengantin pun menadah muka selama sejam dua lamanya, akhirnya siap bermekap setelah hampir jam 1 tengah hari.
Dah tahu Zohor masuk setengah jam lagi, terus disarungkan busana perkahwinan yang ketat membaluti seluruh tubuh wanita. Tak ada seinci pun kelonggaran, malah lebih ketat lebih mengujakan.
Itu belum lagi menyentuh hal mak andam separa alam, yang tidak dapat dipastikan jantinanya lelaki mahupun wanita. Maka bersentuhan la kulit sang ajnabi bertopengkan wajah si pari-pari, untuk menatariaskan pengantin akhir zaman yang hanyut dengan kejahilan diri.
Apatah lagi jika mak andamnya lelaki, walau bersarung tangan tetap dia ajnabi dan si bakal suami pula jenis berpenyakit bisu bila isteri disentuh lelaki yang juga halal untuk dinikahi si bakal isteri.
Akhir zaman, majlis pernikahan yang sepatutnya mengundang seribu keberkatan dan malaikat rahmat turut sama mendoakan, telah dicemari dengan kemaksiatan yang tiada berkesudahan.
Busana yang anggun disarung tadi, dibawa pula ke majlis pernikahan untuk menjadi saksi penyatuan dua hati. Saat sah menjadi isteri, maka tertanggunglah segala dosa atas bahu si suami yang dayus membiarkan sang bidadari menjadi tatapan nafsu ajnabi.
Hilanglah kesucian dan jatuhlah maruah seorang isteri, sebelum malam pertamanya lagi. Manakan tidak, beratus pasang mata melirik menjamu kecantikan si pengantin rupawan yang tidak memberatkan hukum menutup aurat buat dirinya.
Belum lagi disebut tentang perihal solat yang dianggap remeh, di hari persandingan kedua mempelai. Sibuk menjamu telinga dengan bunyi karaoke, sampaikan azan pun diperlekeh dan solat juga tercicir.

Pengantin takut merosak kecantikan majlis dan wajah hanya kerana sudah lengkap berbusana, lalu solat yang fardhu ditinggalkan tanpa ada rasa malu melayan tetamu.
Maka bermulalah episod cinta yang disaksikan kemurkaan Allah SWT, buat kedua mereka. Namun masih beria-ia kata, LOVE TILL JANNAH..
Sumber: Majlis Ilmu
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
Ustaz Datuk Kazim Elias Kongsi Empat Punca Perkahwinan Tak Bahagia Salah Satunya Sebab Tak Reda Dengan Pasangan

Pembentukan institusi keluarga Islam bertitik tolak daripada perkahwinan. Perkahwinan merupakan ikatan antara lelaki dan wanita melalui akad nikah dan ijab kabul. Cabaran dalam perkahwinan itu biasa. Inilah yang mematangkan setiap pasangan dalam melayari bahtera rumah tangga. Malah, ia juga mengeratkan lagi hubungan suami isteri itu.
Ustaz Datuk Kazim Elias ada share 4 punca kenapa satu-satu perkahwinan tu tak bahagia.
Sebab duit ke? Sebab rupa? Atau sebab agama semata?
1. Punca pertama ialah sebab semua benda isteri buat. Basuh baju isteri, kemas isteri, masak isteri. Sedangkan isteri ni cuma dituntut untuk layan suami je. Jadi, tak perlu ke isteri buat semua tu? Isteri solehah dia TOLONG buat kerja. Bantu sama membantu. Masing-masing kena faham erti tanggungjawab.
Ustaz siap cakap, semakin suami rasa senang rileks tak buat apa-apa, lagi senang dia lupa tanggungjawab dia. Bukanlah balik ni hang pi kabo kat laki hang “Awak, start harini saya taknak basuh baju masak apa semua.” Tak…tak.
Benda susah akan senang bila buat sama-sama. Jangan senang je bersama. Bila susah pas kat pasangan pulak. No no!!!
2. Punca kedua sebab kita tak faham PERANGAI pasangan masing-masing.
Nak jaga laki ni senang je bak kata Ustaz Kazim.
1- Bagi makan kenyang-kenyang. Zahir dan batin. Semoga segalanya dikira ibadah. Aamiin ya Rabb.
2- Mana suami tu pergi, ikut ! Hahaha
Selagi hang boleh ikut, ikut.
3. Punca ketiga sebab kita TAK REDA itu pasangan kita. Ramai orang hanya menghargai seseorang lepas seseorang tu meninggal. So tak best la nak tunggu laki ke bini hang mati pastu baru nak cakap, “takde yang sama macam laki/bini aku dulu.”
Kita memang takkan kenal pasangan kita selagi kita tak share serumah, sekatil, sebantal dengan dia. Hat mak pak dia pun takkan kenal dia sedalam kita kenal dia. Sebab tu kabo, bini lagi kenal laki dia dari mak dia kenal dia.
Tapi orang bijak, lelaki soleh, wanita solehah akan selalu menganggap bahawa pasangan itu adalah ANUGERAH.
Ada pasangan tu, bersyukur. Sebab ada ramai lagi yang masih Allah tak kabulkan doanya untuk berpasangan. Jadi, bersyukurlah.
Bukan senang zaman sekarang, nak dapat pasangan yang solat, yang mengaji, yang nafkah tak culas apa semua. Jadi kalau kita dapat pasangan hat gitu, belajar menghargai walaupun dia tak cantik ke boroi ke apa.
Hat boroi, tak lawa, tak comey ke apa, kat situ Allah nak uji kita, siapa antara kita yang paling BERTAQWA. Memilih yang beragama, mengatasi segalanya.
4. Yang last sekali, punca dia ialah bila seseorang tu tak jadi yang saling menyenangkan. Ye, belajar jadi seorang yang menyenangkan pasangan masing-masing.
Kalau pasangan kita suka sekian-sekian, so kita usahalah untuk memberi sekian ataupun lebih. Yang penting usaha ye, yang lain tu biar Allah yang tentukan. Insyaa Allah.
Ustaz tu share lagi, musibah ni dia mai dalam 3 bentuk:
•UJIAN
•TEGURAN
•BALA
Kalau kita rasa dalam kahwin ni asyik musibah je, meh kita tengok hat tiga ni. Mana satu sebenarnya yang Allah nak tunjuk.
Yang ujian tu adalah untuk orang-orang beriman. Dia bagi contoh, Asiah yang solehah bersuamikan Firaun yang zalim. Tu ujian untuk dia.
Hat yang Allah uji seseorang tu soleh solehah, solat tak tinggal, mengaji tak miss, puasa penuh tapi bertahun-tahun tak dapat anak. Itu ujian namanya. Dan ujian ini tak lain adalah untuk angkat darjat taqwa dan iman kita lebih tinggi. Bersabarlah dan bergembiralah dengan ujian Allah bagi.
Yang kedua, musibah yang mai dalam bentuk teguran. Yang ni Allah hantar sebab Allah nak tegur suruh kita balik semula kepada kebaikan.

Contoh, kita dok leka kejar duit sana sini, kaya sana sini, papppp Allah bagi accident. Takleh dah carik punca rezeki. Tu teguran namanya. Mungkin kita solat tak khusyuk. Kita buat ibadah tapi banyak culasnya. Jadi, Allah nak jentik sikit nak bagi teguran. Nak bagi kita kembali balik pada Dia. Jadi, jangan melatah dok mengata Allah. Allah tak buat benda sia-sia.
Yang last pulak musibah ni mai dalam bentuk bala atau azab.
Dalam kahwin ni, kalau kita nak ketenangan, kita kena belajar untuk REDHA. Redha apa yang Allah bagi. Redha itu pasangan kita. Redha atas segala ujian Allah.
Kalau satu detik nanti Allah uji takde rezeki jodoh panjang, takde rezeki nak bersama.
“Kalau masih mampu, pegang elok-elok, kalau tak mampu, lepaskan elok-elok.”
Selalulah belajar untuk curi hati suami/isteri. Belajar rebut segala pahala yang Allah nak beri dalam perkahwinan. Belajar jadi orang yang tamak pahala.
Sumber kredit: Pencetus Ummah Rahmat Ikhsan
VIDEO KASHOORGA:
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
Jodoh Itu Datang Dalam Bentuk Ujian Atau Nikmat

Kalau sudah namanya rumah tangga tentunya ada pasang, ada surutnya. Dalam perkahwinan, adatlah jika suami isteri berselisih faham dan tidak sependapat. Ia ibarat rencah dalam kehidupan alam berumah tangga.
Jika mencari yang sempurna, sampai bila-bila pun kita tidak akan dapat.
Berikut perkongsian Firdaus Shakirin
Adakah saya tak cukup baik dalam menjadi seorang isteri atau seorang suami?”
Kadang-kadang bukanlah ‘baik’ atau ‘tidak baik’ yang menjadi ukuran bilamana perkahwinan kita tu tak berjalan lancar seperti pasangan lain…
Cumanya pasangan yang di”temu”kan dan di”jodoh”kan dgn kita itu berbentuk UJIAN dan bukannya NIKMAT…
Apabila kita memilih untuk mencintai dan menyayangi seseorang, kita harus sedar akan risiko-risikonya…sama ada cinta sebelum nikah atau selepas nikah, kedua-duanya ada risikonya yang tersendiri…
Manusia bukan tuhan…
Apa sebenarnya yang kita harapkan dari manusia? Kita harap dia akan kekal cintakan kita sampai bila-bila? Belum tentu lagi dan tiada sebarang jaminan pun sebab hati manusia tu berbolak-balik…
Kita harapkan manusia itu sentiasa menggembirakan hati, membahagiakan diri? Belum tentu jugak sbb dia boleh jadi seseorang yang selalu menghadirkan kesedihan dan menyakitkan hati…
Kita harapkan dia untuk setia? Ini lagi la belum tentu sebab banyak perempuan-perempuan/lelaki-lelaki di sekelilingnya, di tempat kerjanya, di social medianya…adakah dia mampu untuk menepis semua perempuan-perempuan/lelaki-lelaki itu kalau ada yang cuba menggoda dirinya?

Kesimpulannya, kalau hidup ini menjadi tak seperti yang kita inginkan, tak seindah yang kita bayangkan, atau tak berjalan lancar seperti yang kita fikirkan, maka jangan takut untuk ambik risiko, jangan takut akan sebarang kemungkinan…mampu atau tak mampu, boleh atau tak boleh tetap kena fikir dalam-dalam untuk buat keputusan berdasarkan pilihan yang ada dan cuba untuk yakin dengan keputusan tu…
Jika kita buat yang terbaik dengan keputusan yang kita ambik dan pilihan yang kita buat, maka selebihnya biarlah Allah yang tentukan perjalanan hidup kita.
Sumber kredit: Firdaus Shakirin
VIDEO KASHOORGA:
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
Romantik Itu Sunnah, Contohilah Nabi Muhammad SAW

Sebut saja romantik, anak muda mula tertarik hati…mungkin yang diketahui romantik sesama ‘couple’…No..No..No..ini romantik sesama pasangan suami isteri. Apa lag, jom ramai-ramai kita pakat kahwin. Isy..Isy..best oo kahwin…kalau tak percaya..cubalah kahwin..hehehe..
Rasulullah SAW adalah gedung segala sifat-sifat kesempurnaan yang sukar dicari tandingannya. Allah membimbing baginda dengan didikan-Nya yang terbaik. Sehingga Allah berfirman kepada baginda seraya memuji baginda di dalam surah al-Qalam ayat 4 bermaksud : “Dan sesungguhnya kamu benar-benar berbudi pekerti yang agung”.
Sifat-sifat yang sempurna inlah yang membuat jiwa manusia merasa dekat dengan Rasulullah SAW. Membuatkan hati mereka mencintai baginda. Menempatkan baginda sebagai tumpuan hati. Bahkan berapa ramai yang dahulunya bersikap keras dengan Nabi SAW berubah menjadi lembut dan akhirnya masuk Islam setelah terpanah kemuliaan akhlak dan budinya baginda Nabi SAW.
Kemuliaan ini bukan sekadar lakonan di hadapan manusia. Namun dibuktikan oleh insan pendamping baginda. Meneliti satu persatu perbuatan, pertuturan dan lenggok gayanya. Mereka ialah serikandi rumahtangga baginda Nabi SAW. Sehinggakan kemuliaan akhlak seorang suami bernama Muhammad bin Abdullah tidak dapat digambarkan oleh Aisyah RA, lalu menisbahkan akhlaknya dengan akhlak kitab suci al-Quran.
KAYA NILAI KASIH SAYANG
Walaupun Rasulullah seorang panglima perang, pemimpin tertinggi umat Islam, namun di sisinya terdapat nilai kasih sayang dan jalan kisah yang cukup romantis antara baginda dan isteri-isterinya. Namun berapa banyak sunnah ini dilupakan lalu suami masakini menggambarkan dirinya bagaikan pemegang kuasa keluarga yang perlu sentiasa kelihatan bengis dan penuh egois.
Siapalah kita berbanding Rasulullah SAW yang jauh kedudukannya lebih mulia dari segala manusia. Namun atas tawaduk dan romantisnya baginda membuatkan umat yang membaca kisah cinta baginda bersama isterinya seolah sedang menghayati novel cinta romantik.
Diberitakan bahawa Rasulullah pernah bermandi air cinta bersama isterinya. Dalam Sahih Bukhari diriwayatkan bahawa Aisyah berkata bahawa : “Aku sering mandi bersama Nabi Muhammad dari satu bekas air yang disebut al-faraq.” Perbuatan Nabi mandi bersama Aisyah tanpa sebarang tabir penghalang menunjukkan ianya satu sunnah. Terutamanya setelah melakukan hubungan intim sesama pasangan.
Romantik gaya Rasulullah SAW boleh diteladani. Walaupun hidup suami isteri masa kini sentiasa disibukkan dengan pekerjaan. Kita juga boleh mengambil sunnah-sunnah romantik Rasulullah SAW bermula dari sebelum keluar bekerja.
Sebagai contoh menghantar isteri ketika hendak keluar rumah seperti yang dilakukan oleh Nabi SAW kepada isterinya Shafiyyah binti Huyay sehinggakan Nabi SAW berkata “Jangan terburu-buru hingga aku mengiringimu (menemani sampai ke pintu)”. Hadis Bukhari dan Muslim. Bahkan Nabi SAW turut membantu isterinya menaiki kenderaan.
Di dalam Sahih Bukhari dan Muslim menceritakan bahawa “Nabi Muhammad SAW duduk di sisi unta baginda. Kemudian baginda menekukkan lututnya. Lalu isteri baginda Shafiyyah meletakkan kakinya di atas lutut Nabi Muhammad SAW hingga naik atas unta”. Bukankah ini sesuai dipraktikkan dengan membuka pintu kepada isteri seperti zaman memikat isteri dahulu. Ataupun sekali sekala membonceng isteri di belakang seperti dalam riwayat Bukhari yang menyatakan Anas bin Malik menceritakan bahawa ketika pulang dari perang Khaibar salah seorang isteri Rasulullah membonceng di belakangnya.
Apabila waktu cuti hujung minggu atau di malam hari, bawalah isteri bersiar-siar. Ini bukanlah sekadar tips dari seorang pakar motivasi. Namun ianya merupakan suatu sunnah romantis Nabi SAW bersama isterinya. Diberitakan dalam Sahih Bukhari dan Muslim bahawa “Rasulullah apabila datang waktu malam, baginda berjalan bersama Aisyah dan berbincang-bincang dengannya”.
Malah apabila baginda ingin keluar baginda akan mengundi siapa yang akan menemaninya untuk keluar bersama. Malah Rasulullah juga membawa Aisyah untuk makan bersama di luar. Sehinggakan suatu ketika Nabi pernah menolak pelawaan jirannya yang berbangsa Parsi untuk makan di rumah mereka sekiranya isterinya Aisyah RA tidak turut diundang bersama. (Hadis riwayat Muslim)
SUAP MAKANAN KE MULUT ISTERI
Untuk menambahkan romantis terhadap isteri, disarankan suami menyuap sendiri makanan ke mulut isterinya. Sepertimana dalam sahih Bukhari dan Muslim sabda Nabi SAW : “Sesungguhnya apapun yang kamu nafkahkan, maka hal itu adalah sedekah hingga suapan yang kamu suapkan ke mulut isterimu.” Walaupun hadis ini berkisar tentang pemberian nafkah, namun bukankah menjalin ikatan romantik antara suami isteri itu satu tuntutan.
Romantik sesama suami isteri ini semakin malu untuk diamalkan. Mungkin bagi yang sudah lama berkahwin akan bertambah rasa jelik bermadu kasih dengan isterinya. Namun jika diteliti, sebenarnya sikap romantis ini adalah datang dari Nabi SAW. Sayang apabila kita lebih malu mengamalkan sunnah romantis sesudah berkahwin sedangkan kita tanpa segan silu melakukannya sebelum ianya dihalalkan.
Sebenarnya, gambaran seorang suami yang garang dan bengis bukanlah suatu yang datangnya dari agama. Nabi SAW tidak mendidik para isteri untuk takut kepadanya. Namun didikan sebagai pemimpin rumahtangga yang hebat membuatkan rasa takut itu bertukar menjadi lebih menghormati. Nikmat suasana percintaan itu lebih dihargai apabila suami turut meluang masa bergurau senda dan bermesra seakan-akan baru sehari diijabkabulkan.
Belaian terhadap isteri dapat memupuk kasih antara sesama pasangan. Nabi SAW dalam satu riwayat Ahmad berkata bahawa “ Rasulullah tidaklah setiap hari melainkan baginda selalu mengunjungi isteri-isterinya seorang demi seorang. Rasulullah menghampiri dan membelai mereka secara bergantian”.
Adakalanya romantisnya Nabi SAW sehinggakan beliau sengaja bermanja dengan menyandarkan kepalanya kepangkuan isterinya sepertimana yang dipertuturkan Aisyah RA dalam Sahih Bukhari bahawa “Nabi SAW membaca al-Quran (mengulang hafalan) dan kepalanya berada di pangkuanku sedangkan aku dalam keadaan haid”. Bahkan amalan ini berlarutan sehingga detik-detik akhir hayat Rasulullah SAW. Aisyah berkata “ Ketika maut menghampiri Rasulullah SAW, kepala baginda berada diatas pahaku.”
Ada suatu hari ketika Aisyah sedang asyik menyaksikan kanak-kanak bermain bersama ibu mereka, datang baginda Nabi SAW mengangkat Aisyah. Lalu baginda mendukung Aisyah di belakang beliau. Aisyah menuturkan bahawa : “Baginda mendirikanku di belakang dan pipiku di atas pipi baginda. Ku letakkan bahuku di atas bahu Rasulullah SAW”. (Bukhari dan Muslim). Begitu juga isteri Nabi SAW sentiasa mendapat kucupan mesra daripada Nabi SAW ketika ingin pergi ke masjid.

Rasulullah bukan seorang yang kaku dan keras. Ia juga seorang manusia yang mempunyai emosi tersendiri. Pemergian baginda telah membuatkan kehangatan rasa rindu di kalangan isterinya. Dikala isteri kesunyian, hadirnya mengungkap keriangan. Sewaktu isteri dalam kedukaan, baginda bukanlah sekadar pemerhati. Namun baginda juga sebagai ubat kedukaan dan kesakitan. Diriwayatkan dari Aisyah bahawa : Nabi Muhammad SAW adalah orang yang penyayang lagi lembut. Baginda akan menjadi orang yang sangat lembut dan paling banyak menemani ketika isterinya sakit.” (Bukhari dan Muslim) Hadirnya Nabi SAW mengubat hati para isteri.
MENYANTUNI ISTERI
Baginda paling banyak bergurau senda bersama isterinya. Suatu hari datang Saodah (salah seorang isteri Nabi SAW) kerumah Aisyah. Lalu Nabi SAW duduk diantara Aisyah dan Saodah dan meletakkan kaki beliau di atas pangkuan mereka. Ketika Aisyah menjemput Saodah makan, ia menolaknya kerana tidak berselera. Lalu Aisyah berkata : “(Demi Allah), makanlah atau aku akan mengotori wajahmu”. Saodah menolak dengan berkata : Aku tidak akan memakannya”.
Lalu Aisyah mengambil makanan dan disapukan ke wajah Saodah. Rasulullah SAW tertawa. Kemudian Rasulullah menyuruh Saodah membalas semula dengan mengotori wajah Aisyah. Setelah Saodah mengotori wajah Aisyah, Rasulullah terus tertawa. (an-Nasai’e, Ibn Abi Dunya). Kisah ini merupakan senda gurau Nabi SAW bersama isteri-isterinya. Pernah juga Rasulullah memujuk Aisyah untuk menghilangkan marahnya dengan sengaja memegang hidung Aisyah seperti dalam riwayat Ibnu Sunni.
Begitu romantisnya rumahtangga Rasulullah SAW. Mungkin inilah rahsia cinta sejati yang kekal ke akhir hayat Nabi SAW. Beramah mesra, bergurau senda, belaian dan sentuhan. Sehinggalah ayat-ayat cinta terukir dari bibir seorang Nabi dengan memanggil panggilan manja terhadap isterinya. Suara indah memanggil “Ya Humaira” kepada Aisyah yang bermaksud “Wahai si putih kemerah-merahan atau Mawar merah”. Membuatkan ikatan itu lebih intim. Adakalanya Nabi SAW memanggil Aisyah dengan singkatan manja “Ya Aisy” yang bermaksud kehidupan ketika mana beliau menyampaikan salam daripada Malaikat Jibril untuk Aisyah RA. Dengan membuang huruf terakhir itu menunjukkan besarnya rasa cinta, kemanjaan dan kesayangan yang ditonjolkan dari Nabi SAW.
Sesungguhnya bersikap romantis sesama isteri itu adalah sunnah Nabi SAW. Kita berharap dengan sunnah ini dapat memupuk ikatan yang lebih erat antara sesama pasangan. Bukanlah sunnah ini suatu yang perlu dimalukan untuk diamalkan. Kepada suami, ayuh mengikut petunjuk Nabi dalam berkasih sayang sesama isteri. Andai isteri berasa pelik dari mana datangnya sikap romantis seorang suami. Adakah suami baru sahaja selesai menamatkan buku novel cinta Romeo dan Juliet. Jawablah dengan manja. Romantis ini bukan dari novel biasa, namun romantis ini datangnya daripada hadis Nabi SAW.
Sumber kredit: Imam Muda Asyraf Redzuan.
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI