Lidah insan beriman tidak lekang dari menyebut nama Allah. Namun bagi kita Melayu yang tidak menguasai bahasa Arab, adakalanya kita gagal menggunakan pada tempat yang betul. Khususnya penggunaan ungkapan “Masya-Allah” dan “Subhanallah”.
Contoh kesilapan itu adalah seperti berikut:
“Masya-Allah, habis mati ternakan aku”
“Subhanallah, dia mampu menghafal al-Quran dalam masa sebulan.”
Sepatutnya begini:
“Subhanallah , habis mati ternakan aku.”
“Masya-Allah, dia mampu menghafal al-Quran dalam masa sebulan.”
Apakah beza maksud dua ungkapan itu?
“Subhanallah” bermaksud “Maha Suci Allah”. Kita guna zikir ini pada sesuatu kejadian malang yang menakjubkan kerana keburukan atau kenegatifannya dan kita berharap kejadian itu TIDAK berlaku lagi atau berulang.
Ads
Manakala masya-Allah bermaksud “kejadian itu berlaku atas kehendak Allah”. Kita guna zikir ini pada sesuatu kejadian yang menakjubkan kerana kebagusannya dan kita berharap kejadian itu berlaku lagi atau berulang.
Ads
Jadi, apabila kita berkata dengan cara yang betul, “Subhanallah, habis mati ternakan aku” bermakna kita berharap peristiwa malang atau kejadian buruk itu tidak akan berlaku lagi.
Ads
Dan apabila kita berkata, “Masya-Allah, dia mampu menghafal al-Quran dalam masa sebulan” bermakna kita berharap peristiwa atau kejadian yang menakjubkan itu akan berlaku lagi atau berulang. Namun, kedua-dua ungkapan itu merupakan zikir kepada Allah.
Dalam solat pastinya kita tak lupa mendoakan ibu bapa, pasangan dan anak-anak kita. Tapi adakah kita turut sekali mendoakan adik beradik kita? Jika tiada, mulakan untuk menyelitkan sekali doa untuk mereka.
Dikongsi oleh Dr. Ahmad Sanusi Azmi kisah Nabi Musa yang sentiasa mendoakan abangnya Nabi Harun mungkin antara sebab untuk kita mula mendoakan saudara kandung kita dalam setiap solat.
1. Salah satu perkara yang boleh kita pelajari dari kisah-kisah al-Quran adalah mendoakan adik beradik sendiri. Perkara ini dapat dilihat apabila Nabi Musa mendoakan abangnya Nabi Harun.
2. Hubungan antara abang dan adik ini adalah antara perkara yang menarik untuk diterokai. Mereka digambarkan di dalam al-Quran sebagai adik-beradik yang saling membantu antara satu sama lain dalam usaha dakwah.
3. Nabi Musa dan Nabi Harun memiliki dua karakter berbeza yang ditampilkan di dalam al-Quran. Nabi Musa orangnya keras, sedang Nabi Harun itu sikapnya lembut. Ini dapat dilihat daripada peristiwa yang berlaku setelah kaum mereka menyeleweng dari ajaran Islam, Musa memarahi abangnya Harun dengan menggenggam janggutnya dan menarik rambutnya. Sedang Harun membalas dengan baik dengan katanya:-
“Nabi Harun menjawab: “Wahai anak ibuku (Nabi Musa)! Janganlah engkau meragut janggutku dan janganlah menarik (rambut) kepalaku. Sesungguhnya aku takut bahawa engkau akan berkata kepadaku: “Engkau telah memecah-belahkan kaum Bani lsrail sesama sendiri, dan engkau tidak berhati-hati mengambil berat pesananku!” Surah Taha: 94.
4. Nabi Harun orangnya fasih sedang Nabi Musa barangkali tuturnya tidak berapa lancar. Perkara ini diakui sendiri oleh Nabi Musa ketika meminta bantuan daripada Allah supaya Allah mengutuskan Harun sebagai pembantunya kerana beliau lebih fasih dalam bertutur.
Kata Nabi Musa:-
وَأَخِي هَارُونُ هُوَ أَفْصَحُ مِنِّي لِسَانًا
“Dan saudaraku Harun, dia lebih fasih dari diriku” (Surah al-Qasas: 34).
4.1 Menurut al-Imam Ibn Kathir, Musa mempunya sejarah yang menyebabkan beliau menjadi sedemikian. Ketika kecil, beliau diberikan pilihan antara tamar dan bara api oleh Firaun untuk menguji anak kecil ini. Musa telah memilih bara lalu diletakkan pada lidahnya yang menyebabkan terdapat gangguan kepada lisan beliau. (Ibn Kathir, Tafsir, Dar al-Kutub al-Ilmiyyah, 1419H, 6/212)
5. Walaupun memiliki karakter yang berbeza, dua beradik ini adalah pasangan yang ideal dalam dakwah. Ketika Allah memerintahkan Nabi Musa untuk berdakwah kepada Firaun, beliau memohon supaya Allah melantik Harun, abangnya sebagai pembantu.
Perlantikan Nabi Harun sebagai pembantu Nabi Musa ini disebut berulang-ulang kali di dalam al-Quran. Ia menggambarkan betapa besar peranan Harun sebagai pembantu misi dakwah tersebut. Allah menceritakan dialog Musa ini di dalam al-Quran. Firman Allah: وَاجْعَلْ لِي وَزِيرًا مِنْ أَهْلِي (29) هَارُونَ أَخِي (30) اشْدُدْ بِهِ أَزْرِي (31) وَأَشْرِكْهُ فِي أَمْرِي (32) كَيْ نُسَبِّحَكَ كَثِيرًا
“Dan jadikanlah bagiku, seorang pembantu dari keluargaku. [30] Iaitu Harun saudaraku [31] Kuatkanlah pendirianku dengan sokongannya [32] Dan jadikanlah dia turut campur bertanggungjawab dalam urusanku [33] Supaya kami sentiasa beribadat dan memujiMu [34] – Surah Taha: 30-34.
6. Bukan sahaja sahaja saling membantu, Nabi Musa juga direkodkan sebagai mendoakan keampunan buat abangnya. Berapa ramai di kalangan kita yang mendoakan sesama adik beradik sendiri?
“Wahai Tuhanku, ampunilah dosaku dan dosa saudaraku dan masukkanlah kami ke dalam syurga.” (Surah al-A’raf:151)
7. Melihatkan kepada doa ini, alangkah baiknya andai sesama adik-beradik itu saling mendoakan kebaikan dan keampunan sesama mereka agar mereka semua sentiasa berada di dalam rahmat Allah.
Nampak air penuh kolah atau air paip laju keluar kita pun ambil wuduk berlama-lamaan. Barulah terasa segar dan bersih sepenuhnya.
Namun begitu apa yang kita tak tahu sebenarnya terdapat larangan menggunakan air berlebihan untuk berwuduk.
Terdapat sebuah riwayat yang menyebut akan larangan israf (berlebihan) dalam menggunakan air bagi tujuan wuduk. Ini berdasarkan sebuah riwayat daripada Abdullah Ibn Amru bin Al Ash R.Anhuma beliau berkata:
أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ ـ صلى الله عليه وسلم ـ مَرَّ بِسَعْدٍ وَهُوَ يَتَوَضَّأُ فَقَالَ ” مَا هَذَا السَّرَفُ ” . فَقَالَ أَفِي الْوُضُوءِ إِسْرَافٌ قَالَ ” نَعَمْ وَإِنْ كُنْتَ عَلَى نَهَرٍ جَارٍ
Maksudnya: Sesungguhnya Rasulullah S.A.W lalu di suatu kawasan dan melihat Sa’ad sedang berwuduk, lalu baginda bersabda: “Kenapakah israf (berlebihan) ini ?” Maka Sa’ad menjawab: Adakah pada wuduk juga terdapat israf ? Lalu baginda menjawab: “Ya, sekalipun kamu berada di sungai yang mengalir”. Riwayat Ibn Majah (425)
Hadis ini jelas menunjukkan bahawa perbuatan israf dalam berwuduk itu jelas ditegur dan dilarang oleh Rasulullah S.A.W. sekalipun kuantiti air itu berada dalam jumlah yang banyak seperti di laut, sungai, dan seumpamanya.
Syeikh Mulla Ali Al-Qari Rahimahullah apabila mensyarahkan hadis ini beliau berkata: Iaitu beliau israf dalam wuduknya sama ada dalam perbuatan wuduk seperti menambah dari tiga kali basuhan, ataupun israf pada kadar seperti menambah lebih dari kadar yang diperlukan dalam penggunaan air.
Beliau juga berkata: Tidak ada kebaikan pada israf (berlebihan), dan tidak ada israf pada kebaikan. Beliau (Abdullah bin Amru) menyangka bahawa tidak ada israf pada hal ketaatan dan ibadah. Lalu baginda bersabda: “Ya ada israf padanya. Sekalipun kamu berada di sungai yang mengalir”.
Ini kerana pada perbuatan tersebut terdapatnya israf pada waktu dan pensia-siaan terhadap umur. Atau melampau had syar’ie (dalam wuduk) seperti yang telah disebutkan. Rujuk Mirqat al-Mafatih, Mulla Ali Al-Qari (2/421).
Secara kesimpulannya dalam isu berwuduk dalam masa yang lama, sekiranya ia dilakukan kerana faktor was-was, maka ini adalah perbuatan yang perlu dijauhkan. Ini kerana, was-was adalah penyakit yang perlu dielakkan dan kita hendaklah sentiasa yakin dan pasti terhadap setiap ibadah yang dikerjakan.
Berwuduk dalam tempoh yang lama, meskipun tidak berniat untuk membazir air, ia tetap juga suatu pembaziran terhadap masa. Ini kerana, tujuan seseorang itu berwuduk antaranya adalah untuk mendirikan solat.
Justeru, sekiranya seseorang berlama-lama dalam wuduk pastilah akan mendatangkan implikasi melewatkan solat dari waktunya, dan itu merupakan suatu perbuatan yang buruk.
Ramadan telah pun berlalu. Selepas puas berhari raya ramai yang mengambil peluang menambah pahala dengan melakukan puasa enam. Tak kurang juga yang mula menqadhakan puasa (ganti) disebabkan uzur syarie. Persoalannya bolehkan niat puasa qadha dilakukan ecara serentak dengan puasa serentak.
SOALAN:
Bolehkah saya berniat puasa qada (ganti) dan puasa enam dibulan Syawal secara serentak (dua dalam satu (puasa ganti dan puasa enam).
Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.
(Surah al-Baqarah:183)
BERBUKA PUASA DI BULAN RAMADAN TANPA ADA SEBARANG KEUZURAN
Sesiapa yang berbuka puasa pada bulan Ramadan tanpa sebarang keuzuran wajib ke atasnya menqadhakannya serta merta selepas tamatnya Ramadan dan selepas selesai hari raya yang pertama. Seseorang itu tidak boleh mendahulukan puasa sunat enam pada bulan Syawal kemudian diekori dengan puasa qadha.
Adapun sekiranya dia tidak berpuasa pada bulan Ramadan kerana ada keuzuran (yang dibenarkan syarak) maka harus baginya mendahulukan puasa enam pada bulan Syawal daripada puasa qadha kerana qada waktu puasa qadha adalah muwassa` (luas).
Imam as-Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani Rahimahullahu Taala menyebut: “ (Dan demikian lagi) orang yang tiada puasa dengan uzur sunat dia berpuasa enam hari sunat Syawal melainkan orang yang berbuka puasa Ramadan dengan tiada uzur maka wajib ke atasnya menyegerakan menqada Ramadan kerana makruh mengerjakan sunat orang yang ada padanya qada Ramadan dengan tiada uzur maka wajib menyegerakan qada dahulu.” (Rujuk Kitab Bughyah at- Tullab, hlm. 128)
ISU MENGGABUNGKAN DUA IBADAT DENGAN SATU NIAT
Masalah ini dikenali di sisi para ulama sebagai masalah tasyrik (mengabungkan dua ibadat dengan menggunakan satu niat) hukumnya :
Sekiranya ia adalah termasuk dalam wasilah atau perkara yang bercampur maka hukumnya sah. Terhasil apa yang dihajatinya daripada kedua ibadat tersebut. Misalnya, jika seseorang itu mandi junub pada Hari Jumaat untuk melakukan Jumaat dan juga mengangkat junub, sesungguhnya junubnya terangkat dan pahala mandi Jumaat tersebut pun terhasil.
Walaupun salah satu daripada dua ibadat tersebut tidak diniatkan manakala yang lain pula diniatkan dengan zatnya maka sah himpunan atau gabungan tersebut dan tidak mencederakan ibadat tersebut misalnya solat tahiyyah masjid dilakukan berserta solat fardhu atau solat sunat yang lain.
Adapun menghimpunkan atau gabung di antara dua ibadat yang diniatkan dengan zatnya seperti puasa qadha atau kaffarah, atau nazar berserta puasa sunat seperti puasa sunat 6 hari pada bulan Syawal maka tidak sah tasyrik tersebut mengikut pendapat yang muktamad kerana setiap ibadat itu berasingan daripada ibadat lain yang diniatkan dengan zatnya dan tidak pula berada di bawah ibadah yang lain.
Persoalannya, adakah berpuasa dengan niat qadha bulan Ramadan dan niat puasa 6 pada bulan Syawal yang digabungkan sah keduanya? Atau salah satu sahaja sah? Jika dibuat secara ithlaq (Umum) berhasil keduanya atau salah satu sahaja?
GABUNG NIAT PUASA QADHA RAMADAN DAN PUASA ENAM SYAWAL
Fuqaha dalam Mazhab Syafie berselisih pendapat tentang isu menggabungkan niat di antara puasa qadha Ramadan dan puasa sunat enam hari pada bulan Syawal.
Syaikul Islam Zakaria al-Ansari Rahimahullahu Taala: “Jika seseorang berpuasa pada Bulan Syawal untuk qadha bagi puasa Ramadan, atau selainnya sama ada puasa nazar atau puasa sunat lain maka terhasil pahala sunatnya. Kerana topik perbincangannya adalah tentang puasa pada 6 hari daripada bulan Syawal…tetapi dia tidak akan memperolehi pahala yang sempurna sebagaimana yang diinginkannya melainkan dengan hanya dia berniat puasa khusus untuk 6 hari pada bulan Syawal sahaja. Terutamanya orang yang telah luput daripadanya puasa Ramadan kerana tidak sesuai dia berpuasa Ramadan dan seterusnya berpuasa 6 hari di bulan syawal” (Rujuk Kitab Syarqawi ‘ala al-Tahrir)
Imam Ramli Rahimahullahu Taala menyebut bahawa dia pernah ditanya tentang puasa Ramadan dan qadha di bulan Syawal, adakah berhasil qadha puasa Ramadan dan pahala puasa 6 hari pada bulan Syawal, ada ke tidak dalam masalah ini sebarang nukilan?
Imam Ramli Rahimahullahu Taala menjawab: “Bahawa berhasil puasa qadha Ramadannya walaupun dia gabung niat puasa qadha Ramadannya dengan puasa yang lain. Dan berhasil pahala puasa 6 hari pada bulan Syawal. Masalah ini disebut oleh ramai ulama terkemudian (mutaakhirin).” (Rujuk Fatawa Imam Ramli, 2/339)
Imam Ibnu Hajar Al-Haitami Rahimahullahu Taala dalam mengenai orang yang berniat puasa sunat bersama puasa wajib: “Jika diniatkan keduanya (puasa sunat dan pusat wajib), dia mendapat ganjaran bagi kedua-duanya atau diniatkan salah satu maka gugur tuntutan yang satu lagi dan tidak mendapat ganjarannya.” (Rujuk Kitab Al-Fatwa Al-Kubra, 2/75)
Sebahagian ulama menyebut sah seseorang itu melakukan qadha puasa bulan Ramadan bersama puasa sunat enam Syawal dan terhasil pahala puasa sunat yang dilakukan di dalam bulan Syawal tersebut. Hal ini kerana diqiyaskan dengan seseorang yang memasuki masjid kemudian solat 2 rakaat fardu atau solat sunat rawatib (mengiringi solat fardu) maka terhasil sekali baginya pahala solat sunat Tahiyyatul Masjid kerana ia melakukan solat berkenaan sebelum ia duduk.
Imam Sulaiman al-Bujairimi Rahimahullahu Taala berkata: “Terhasil pahala solat sunat Tahiyyatul Masjid dengan melakukan solat fardhu atau sunat yang lainnya, sama ada diniatkan atau tidak solat sunat Tahiyyatul Masjid tersebut. Hal ini berdasarkan hadis yang telah diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim: “Apabila masuk salah seorang dari kamu ke dalam masjid hendaklah ia solat dua rakaat sebelum ia duduk” dan kerana itu juga maksud solat sebelum duduk yang disebutkan dalam hadis telah terhasil dengan melakukan solat Fardhu atau solat sunat yang lain. (Rujuk Kitab Hasyiah al-Bujairimi 1/280)
Begitu juga nas yang hampir serupa dikatakan Syeikh Islam Zakaria Al-Ansori Rahimahullahu Taala: Terhasilnya solat sunat dua rakaat atau lebih (yang dimaksudkan dengan adalah hasilnya pahala solat walaupun bersama dengannya solat fardhu atau solat sunat yang lain) sama ada diniatkan sekali ataupun tidak. Ia berdasarkan hadis Riwayat Imam Bukhari dan Imam Muslim Rahimahumahullahu Taala “ Apabila masuk seseorang daripada kamu ke dalam masjid maka janganlah ia duduk sehingga ia solat dua rakaat”. ” dan kerana itu juga maksud solat sebelum duduk yang disebutkan dalam hadis telah terhasil dengan melakukan solat Fardhu atau solat sunat yang lain (Rujuk Kitab Fathul Wahab Syarah Manhajul Tullab 1/67)
Imam ar-Ramli Rahimahullahu Taala telah berkata: “Dan sekiranya berpuasa pada bulan Syawal, puasa qadha, nazar atau selain daripada keduanya atau seumpama dengannya, seperti berpuasa pada hari Asyura maka telah dapat pahala puasa sunat itu baginya, seperti yang telah difatwakan oleh bapanya (bapa kepada Imam ar-Ramli), begitu juga oleh al-Barizi, al-Asfahuni, A-Nasyizi, al-Faqih Ali Soleh al-Hadrami dan selainnya tetapi ia tidaklah mendapat pahala yang sempurna ke atas yang dituntut.” Begitulah sama hukumnya puasa Ramadhan dengan puasa sunat enam Syawal. (Rujuk kitab Nihayah al-Muhtaaj, 3/208-209)
Imam as-Suyuti Rahimahullahu Taala berkata : “Sekiranya seseorang berpuasa sunat misalnya pada hari Arafah, qadha atau nazar atau kafarah, dan diniatkan puasa-puasa tersebut bersama dengan niat puasa sunat hari Arafah, maka al-Barizi telah memberi fatwa bahawa sah puasa dan terhasil pahala untuk kedua-duanya. Begitu juga halnya jika dia ithlaqkan (sahaja aku berpuasa) maka masalah tersebut mengikut masalah solat tahiyyah Masjid. ” (Rujuk kitab Ashbah Wan Nazoir, hlm. 61)
Dalam Syarah al-Tanbih karangan al-Hafiz al-Suyuti Rahimahullahu Taala, daripada fatawa al-Baarizi Rahimahullahu Taala, beliau mengatakan : Sekiranya seseorang berpuasa sunat misalnya pada hari Arafah, qadha atau nazar atau kafarah, dan diniatkan puasa-puasa tersebut bersama dengan niat puasa sunat hari Arafah terhasih keduanya (sah keduanya), begitu juga jika dia ithlaqkan (sahaja aku berpuasa). Tetapi al-Isnawi menyebut perkara ini tertolak dan qiyas yang dilakukan tidak sah dalam menggambarkan perkongsian satu daripada keduanya. Disisinya apa yang terhasil adalah yang fardhu sahaja dalam gambaran ithlaq”
Walaupun begitu, perlulah diambil perhatian, maksud terhasilnya pahala puasa sunat enam Syawal apabila dimasukkan sekali dengan puasa fardhu adalah pahala semata-mata pahala sunat bukannya pahala yang sempurna.
KESIMPULAN
Kesimpulannya, mengikut pendapat yang muktamad, afdhal seseorang itu menjadikan puasa qadha berasingan dengan puasa 6 pada bulan syawal. Namun begitu, menyatukan puasa qadha dengan puasa enam itu tetap diharuskan dan mendapat ganjaran pahala kedua-duanya mengikut pendapat yang dhaif. Namun begitu, menyegerakan qadha puasa itu adalah sikap yang terpuji dan dituntut oleh syarak terutama kepada sesiapa yang meninggalkan puasa tanpa uzur yang dibenarkan syarak. Semoga kita termasuk bersama-sama dengan orang bertaqwa.
Hadir ke masjid pada saat-saat akhir dan terlepas khutbah Jumaat menyebabkan kita rugi ganjaran besar yang dijanjikan. Ketahui kepentingan hadir awal, adab mendengar khutbah, dan mengapa solat Jumaat bukan sekadar mengejar dua rakaat semata-mata.