
Antara amalan sunat yang boleh dilakukan apabila tibanya Syawal adalah dengan melakukan ibadah puasa sunat 6 hari di bulan Syawal. Ianya thabit dari perbuatan Nabi SAW yang mana di dalam hadith ada menyebutkan mengenai kelebihan berpuasa 6 hari di bulan Syawal iaitu bersamaan pahalanya dengan berpuasa sepanjang tahun. Ini berdasarkan sebuah hadith riwayat Muslim daripada Abu Ayub al-Ansari RA yang mana Rasulullah SAW telah bersabda:
مَنْ صَامَ رَمَضَانَ ثُمَّ أَتْبَعَهُ سِتًّا مِنْ شَوَّالٍ كَانَ كَصِيَامِ الدَّهْرِ
Maksudnya: Barangsiapa yang berpuasa di bulan Ramadhan kemudian diikuti dengan enam hari di bulan Syawal, ianya bersamaan dengan berpuasa sepanjang tahun.
Riwayat Muslim (1164)
Al-Imam al-Nawawi Rahimahullah ketika mensyarahkan hadith di atas menyebut bahawa hadith ini menjadi dalil bagi mazhab Syafi’e, Hanbali dan juga Daud (al-Zahiri) bahawa disunatkan untuk berpuasa enam pada bulan Syawal manakala fadhilat seumpama berpuasa sepanjang tahun adalah berdasarkan hadith Nabi SAW yang lain yang mana menyebutkan bahawa setiap kebaikan itu dibalas dengan 10 kali ganda (أَنَّ الْحَسَنَةَ بِعَشْرِ أَمْثَالِهَا )[1].
ADAKAH PUASA ENAM PERLU DILAKUKAN SECARA BERTURUTAN?
Setelah mengetahui akan pensyariatan puasa sunat enam Syawal beserta fadhilatnya, timbul juga persoalan mengenai adakah puasa yang enam itu perlu dilakukan secara berturutan ataupun boleh dilakukan secara berasingan.
Mengenai persoalan di atas, al-Imam al-Nawawi Rahimahullah di dalam al-Majmu’ ada menyebutkan: “…dan disunatkan untuk berpuasa secara berturutan di awal Syawal. Sekiranya dipisahkan (tidak berpuasa 6 hari secara berturutan) ataupun diakhirkan puasa tersebut di dalam bulan Syawal, maka ianya dibolehkan…”[2]
Al-Imam Ibn Qudamah di dalam kitabnya al-Mughni menyebutkan mengenai permasalahan ini seperti berikut: “…tidak ada bezanya (menjadikan puasa tersebut) dilakukan secara berturutan ataupun dipisahkan samaada di awal Syawal ataupun diakhirnya kerana hadith menyebutkannya secara mutlaq tanpa dikaitkan dengan sesuatu yang lain…”[3]
KESIMPULAN
Berdasarkan pendapat-pendapat yang terdapat di dalam isu ini, kami katakan bahawa isu ini ada fleksibilitinya yang tersendiri iaitu puasa 6 boleh dilakukan secara berturutan ataupun dipisahkan. Diawalkan ataupun dilewatkan selagi mana masih berada di dalam bulan Syawal. Ianya tidak menjadi masalah.
Di dalam kemeriahan kita menyambut Syawal, sudah pasti akan ada jemputan dari sanak saudara juga rakan taulan untuk menghadiri rumah terbuka, kenduri dan sebagainya. Maka ianya tidak menjadi masalah serta penghalang untuk menunaikan puasa 6 Syawal kerana terdapat fleksibiliti di dalam kaifiat menunaikannya. Alangkah baiknya jika kita dapat menghimpunkan dua kebaikan dalam bulan Syawal ini, satunya dengan berpuasa enam dan keduanya dengan menghubungkan silaturrahim sesama kita. Wallahu a’lam.
Sumber kredit: Mufti Wilayah Persekutuan
VIDEO KASHOORGA:
https://www.youtube.com/watch?v=SbmAsW_zUzk&t=25s
“’Aamin’kan Doa Imam Pun Boleh Terampun Dosa Jika Serentak Dengan Aamin Malaikat”-Da’i Luqman

Ramai yang ingat lafaz “Aamin” itu hanyalah sekadar lafaz menyambut doa imam agar doa kita diterima Allah hendaknya. Lafaz ‘Aamin’ bermaksud “perkenankanlah”. Ia adalah kalimah doa yang bukan daripada al-Quran al-Karim dengan ijma’
Antara amalan sunnah selepas membaca al-Fatihah ialah membaca “Aamin”. Ia berdasarkan hadis Wail bin Hujr RA daripada Rasulullah SAW yang menyuruh dibaca panjang Aamin. Riwayat Ahmad (no: 18842), Abu Daud (no: 933) dan al-Tirmizi (no: 248). Kata Tirmizi, “Hadith hasan”. Dinilai sahih oleh Ibn Hibban (no: 1805).
Dalam hadis Abi Musa al-Asy’ari, sabda Rasulullah SAW:
“Apabila selesai membaca ayat akhir al-Fatihah, maka sebutlah Aamin nescaya diterima Allah SWT bagimu.” Riwayat Muslim (no: 404)
Kelebihannya jelas berdasarkan hadis Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:
“Apabila imam mengaminkan, maka hendaklah kamu aminkan bersama, kerana siapa yang berbetulan aminnya dengan amin malaikat nescaya diampunkan baginya dosa yang terdahulu.” Riwayat al-Bukhari (no: 747) dan Muslim (no: 410)
Artikel berkaitan: Moga Abah Dapat Lihat Kami Di Syurga Handal Pu Amin Berdakwah, Rupanya Hasil Didikan Ayahnya Yang Cacat Penglihatan
Artikel berkaitan: Doa Ubah Takdir Jodoh, Masih Ada Peluang Dapatkan Bantuan Allah
Meng”Aamin”kan doa ini sebenarnya mempunyai senjata halus yang kita pun tak perasan ia juga adalah sebaik-baik senjata untuk pengampunan dosa silam.
Bayangkan hanya dengan sebut ‘Aamin’ bagi menyahut doa imam pun kita boleh dapat manfaatnya.
Ikuti penjelasan lanjut daripada Da’i Luqman akan perkara ini dalam ciapan di akaun twitternya.
Tahukah anda! Bila kita ‘Amin’ kan do’a yang dibaca Imam, jika kena timing, maka dosa-dosa kita yang lalu akan diampunkan Allah.
Rasulullah SAW bersabda : “Bila imam menyebut ‘Amiin’, lalu disahut oleh kamu ‘Amiin’. Barangsiapa ‘Amiin’ nya bertepatan dengan Amiin para malaikat, maka diampunkan dosa-dosanya yg lalu.” (HR At-Tirmidzi, Sohih, hadith no. 250)
Kata ‘ulama, ada EMPAT tempoh masa imam menyebut ‘Amiin’ :
1. Selepas membaca Al-Fatihah dalam solat
2. Selepas bacaan Do’a Qunut
3. Selepas membaca Al-Fatihah sewaktu wirid
4. Dan sewaktu imam membaca do’a selepas solat
Dosa-dosa yang terampun adalah semua dosa-dosa yang kecil, kecuali :
1. Dosa-dosa besar
2. Dosa syirik
3. Dosa dengan ibu ayah
4. Dosa-dosa sesama manusia lain
Dosa-dosa yang besar tidak diampunkan, kecuali melalui :
1. Taubat nasuha, jika dosa dengan Allah
2. Kembalikan hak, jika dosa sesama manusia. Hak tersebut merujuk kepada meminta kemaafan dan melunaskan kembali hutang jika ada
Jadi, pastikan kita sentiasa bersedia merebut peluang penghapusan dosa dengan meng ‘Amiin’ kan do’a imam ni. Musim PKPB ni, apa kata selalu-selalulah dirikan solat berjemaah bersama keluarga di rumah ya?
Kashoorga: Ini lah antara cara paling mudah untuk kita mendapat pengampunan dosa-dosa kecil daripada Allah.
Jadi lepas ini, pastikan jangan sambil lewa apabila nak sahut doa imam dengan meng”Aamin”kan penuh perasaan dan harapan.
Sumber : Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dan Da’I Luqman
Hukum Memuatnaik Gambar Wanita Yang Tidak Menutup Aurat Di Media Sosial

Dalam fiqh Islam terdapat satu bab yang dinamakan ( نَظَرُ الرَّجُل إِلَى الْمَرْأَةِ عَنْ طَرِيقِ الْمَاءِ وَالْمِرْآةِ ) iaitu hukum seseorang lelaki melihat wanita melalui pantulan dalam atau cermin.
Dalam bab ini Imam Ar-Ramli ketika mensyarahkan pendapat Imam Nawawi dalam Al-Minhaj menyebut: diharamkan seorang lelaki yang baligh daripada melihat aurat wanita ajnabi yang merdeka tapi tidak haram jika aurat itu sekadar imej, gambar atau pantulan (mithal).
Maka tidak diharamkan melihat aurat melalui cermin sebagaimana yang difatwakan oleh sekumpulan ulama’ kerana ia tidak dikira melihat aurat secara langsung / terus. Namun, keharusan ini terpakai selagimana ia tidak menimbulkan fitnah. (Nihayatul Muhtaj, 6/187. Juga disebut oleh Syeikh Abu Bakr ad-Dimyathi dalam I’anatu at-Thalibin, 3/301. Rujuk juga Al-Mausu’ah Al-Fiqhiyyah Al-Kuwaitiyah, 40/353-354 )
Dalam hal ini, gambar samada yang bercetak atau dalam bentuk digital boleh diqiyaskan hukumnya kepada gambaran suatu objek yang terpantul pada cermin atau air. Maka hukum melihat kepada gambar yang tidak menutup aurat adalah harus jika ada keperluan dan tidak mendatangkan fitnah seperti menimbulkan syahwat. Maka memuat naik gambar tidak menutup aurat di media sosial atau dalam bentuk cetakan adalah harus jika ada keperluan dan tidak mendatangkan fitnah.
Ini turut disokong oleh qa’idah fiqhiyyah iaitu:
إِذا ضَاقَ الْأَمر اتَّسَع
Maksudnya: Sesuatu perkara itu apabila ia menjadi sempit, maka ia diperluaskan.
الْحَاجة تنزل منزلَة الضَّرُورَة
Maksudnya: Sesuatu hajat atau keperluan itu diraikan setakat yang diperlukan.
Dalam hal ini, mengharamkan memuat naik gambar yang tidak menutup aurat serta melihatnya secara mutlak akan menyebabkan kesusahan dan kesempitan apabila ada keperluan seperti wartawan yang ingin melaporkan lawatan pemimpin wanita non-Muslim ke Malaysia, laporan program keilmuan yang melibatkan wanita tidak bertudung dan sebagainya.
Dalam hal-hal tertentu, terdapat keperluan yang tidak dapat dielakkan seperti yang disebutkan di atas, maka keperluan tersebut perlu diraikan sekadar yang diperlukan.
Hukum asal memuat naik gambar sendiri yang mendedahkan aurat untuk tatapan umum di media sosial adalah HARAM kerana ia akan menyebabkan auratnya turut dilihat oleh bukan mahramnya. Walau bagaimanapun hukum seseorang memuat naik gambar wanita Muslimah yang memang tidak menutup aurat secara sempurna dalam kehidupan seharian atau wanita non-Muslim adalah HARUS jika atas keperluan tertentu yang bukan bertujuan ingin mendedahkan auratnya. Termasuk dalam keharusan ini bagi para wartawan akhbar yang melaporkan berita namun termasuk di dalamnya gambar-gambar yang tidak menutup aurat.
Contoh keperluan yang perlu diraikan ialah memuat naik gambar-gambar rasmi melibatkan urusan kerajaan, syarikat perniagaan atau gambar kenang-kenangan sewaktu program keilmuan. Disyaratkan juga gambar itu masih lagi bersifat sopan dan menepati neraca ketatasusilaan, tidak terlalu mendedahkan dan menghairahkan. Malah adalah lebih baik jika bahagian- bahagian tersebut dikaburkan bagi mengelakkan ia dilihat.
Selain itu sikap warak dan berhati-hati hendaklah diutamakan. Apabila dibimbangi dengan kadar ghalabah az-zhangambar yang dimuatnaik tersebut mampu menimbulkan fitnah, maka ia diharamkan berdasarkan kaedah Sadd Zari’ah, iaitu mencegah perkara-perkara harus yang boleh membawa kepada yang haram.
Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
Bagaimana Nak Cuci Bersih Dosa-dosa Mengumpat?

Jangan bohong dengan mengatakan kita tidak pernah sekalipun mengumpat. Kalau berkumpul bersama rakan lain, ada sahaja topik umpatan yang merancakkan pertemuan itu. Sedar sebenarnya apabila mengumpat hukumnya adalah berdosa dan seakan memakan daging saudara sendiri.
Namun bagi yang dahulunya rajin mengumpat dan kini ingin hapuskan semua dosa-dosa silam hasil mengumpat, ada beberapa cara untuk kita berbuat demikian. Namun sebelum itu, kita amati dahulu apa yang dimakudkan umpat atau ghibah.
Artikel berkaitan: Mengumpat Itu Dosa, Tapi Ada 6 Jenis Umpatan Dibenarkan Syarak
Artikel berkaitan: Jangan Asyik Ulang Lakukan Dosa Setelah Bertaubat, Takut Jadi Sia-Sia Jika Taubat Sebelumnya Tidak Diterima Allah!
Rasulullah SAW bersabda,
اتدرون ما الغيبه؟ قالوا: الله ورسوله أعلم .قال:الْغِيبَة ذِكْرك أَخَاك بِمَا يَكْرَه قِيلَ : أَفَرَأَيْت إِنْ كَانَ فِي أَخِي مَا أَقُول ؟ قَالَ : إِنْ كَانَ فِيهِ مَا تَقُول فَقَدْ اِغْتَبْته ، وَإِنْ لَمْ يَكُنْ فَقَدْ بَهَتّه
“Tahukah kalian apa itu ghibah?”
Mereka (para sahabat) menjawab, “Allah dan RasulNya lebih tahu.”
Kemudian beliau Baginda bersabda, “Engkau menyebut-nyebut saudaramu tentang sesuatu yang dia benci.”
Kemudian ada yang bertanya, “Bagaimana menurutmu jika sesuatu yang aku sebutkan tersebut itu memang ternyata ada padanya?”
Beliau SAW menjawab, “Jika memang apa yang engkau ceritakan tersebut ada pada dirinya itulah yang namanya ghibah, namun jika tidak bererti engkau telah berdusta atas namanya.” (HR Muslim 2589)
Ghibah atau mengumpat dalam Islam merupakan salah satu dosa yang tak terampunkan sehingga orang yang menumpat perlu melakukan banyak cara untuk mendapatkan keampunan dari Allah SWT.
1. Meminta maaf pada orang yang diumpat
Rasulullah SAW bersabda,
مَنْ كَانَتْ لَهُ مَظْلَمَةٌ لِأَخِيهِ مِنْ عِرْضِهِ أَوْ شَيْءٍ فَلْيَتَحَلَّلْهُ مِنْهُ الْيَوْمَ قَبْلَ أَنْ لَا يَكُونَ دِينَارٌ وَلَا دِرْهَمٌ إِنْ كَانَ لَهُ عَمَلٌ صَالِحٌ أُخِذَ مِنْهُ بِقَدْرِ مَظْلَمَتِهِ وَإِنْ لَمْ تَكُنْ لَهُ حَسَنَاتٌ أُخِذَ مِنْ سَيِّئَاتِ صَاحِبِهِ فَحُمِلَ عَلَيْهِ
“Siapa yang pernah menzalimi saudaranya berupa menodai kehormatan atau mengambil sesuatu yang menjadi miliknya, hendaknya ia meminta kehalalannya dari kezaliman tersebut hari ini.
“Sebelum tiba hari kiamat yang tidak akan bermanfaat lagi dinar dan dirham. Pada saat itu bila ia mempunyai amal soleh maka akan diambil seukiran kezaliman yang ia perbuat. Bila tidak memiliki amal kebaikan, maka keburukan saudaranya akan diambil kemudian dibebankan kepadanya.” (HR. Bukhari no. 2449)
Namun beberapa ulama memandang bahawa hal ini hanya dilakukan pada keadaan tertentu yang mana umpatan telah tersebar, Jika umpayan belum tersebar, maka sebaiknya tidak perlu meminta maaf kerana akan menyebabkan kerosakan yang lebih parah, seperti pemutusan hubungan silaturahim.
2. Memohon maaf untuk orang yang diumpati
Beberapa ulama sepakat bahawa untuk mendapatkan keampunan atas dosa mengumpat, maka dia perlu memohon keampunan atas dosa tersebut kepada Allah SWT. Sebagaimana perkataan AL-Hasan Al-Basri,
كفارة الغيبة أن تستغفر لمن اغتبته
“Kafarah ghibah adalah memintakan ampun untuk yang dighibahi.” (AL-Majmu’ Al-Fatawa 3/291, Darul Wafa’, Syamilah)
3. Menyebutkan kebaikan orang yang diumpati di tempat terjadinya umpatan
Ini adaah salah satu cara bertaubat daripada perbuatan mengumpat. Jika dahulu yang disebutkan adalah keburukannya, maka gantilah dengan menyebutkan banyak kebaikannya. Sebagaimana Fatwa syaikh bin Baz, beliau berkata:
تذكرين بالخير الذي تعرفين منه بدلاً من السوء الذي ذكرتي
“Engkau sebutkan kebaikan-kebaikan yang engkau ketahui mengenai dirinya sebagai ganti keburukan yang telah engkau sebutkan.”
4. Taubat nasuha
Rasulullah SAW bersabda :
كُلُّ بَنِيْ آدَمَ خَطَاءٌ وَ خَيْرُ الْخَطَّائِيْنَ التَّوَّبُوْنَ. رَوَاهُ التِّرْمـِذِيُّ
Setiap anak adam (manusia) berbuat kesalahan, dan sebaik-baiknya orang yang bersalah adalah yang bertaubat. (HR At Tirmidzi, no.2499 dan dihasankan Al Albani dalam Shahih Al Jami’ Ash Shaghir, no. 4391)
5. Perbanyak zikir
Allah SWT berfirman,
وَالْحَافِظَاتِ وَالذَّاكِرِينَ اللَّهَ كَثِيرًا وَالذَّاكِرَاتِ أَعَدَّ اللَّهُ لَهُمْ مَغْفِرَةً وَأَجْرًا عَظِيمًا
“… Laki-laki dan perempuan yang banyak menyebut (nama) Allâh, Allâh telah menyediakan untuk mereka ampunan dan pahala yang besar.“[al-Ahzâb/33:35]
Rasulullah bersabda,
مَنْ قَعَدَ مَقْعَدًا لَمْ يَذْكُرِ اللهَ فِيْهِ كَانَتْ عَلَيْهِ مِنَ اللهِ تِرَةٌ وَمَنِ اضْطَجَعَ مَضْجَعًا لاَ يَذْكُرُ الله فِيْهِ كَانَتْ عَلَيْهِ مِنَ اللهِ تِرَةٌ
Barangsiapa duduk di suatu tempat, lalu tidak berzikir kepada Allâh di dalamnya, pastilah dia mendapatkan kerugian dari Allâh, dan barangsiapa yang berbaring dalam suatu tempat lalu tidak berzikir kepada Allâh, pastilah mendapatkan kerugian dari Allâh. (Shahih: HR. Abu Dâwud (no. 4856); Shahîh Abi Dâwud (III/920, no. 4065) dari Abu Hurairah Radhiyallahu anhu)
6. Perbanyak sedekah
Dalam riwayat lain disebutkan,
أنفقي أَوِ انْفَحِي ، أَوْ انْضَحِي ، وَلاَ تُحصي فَيُحْصِي اللهُ عَلَيْكِ ، وَلاَ تُوعي فَيُوعي اللهُ عَلَيْكِ
“Infaqkanlah hartamu. Janganlah engkau menghitung-hitungnya (menyimpan tanpa mau menyedekahkan). Jika tidak, maka Allah akan menghilangkan berkat rezeki tersebut. Janganlah menghalangi anugerah Allah untukmu. Jika tidak, maka Allah akan menahan anugerah dan kemurahan untukmu.” (HR. Bukhari no. 1433 dan Muslim no. 1029, 88)
7. Silaturrahim
Dari Al-Barra berkata, bersabda Rasulullah SAW “ Tidak bertemu dua orang muslim lalu bersalaman, maka pasti diampuni dosa keduanya, sebelum keduanya berpisah.”( HR Ahmad, Abu Daud dan At-Tirmidzi ).
Dari Abi Hurairah ra, bahawa Rasulullah SAW bersabda : “ Pintu-pintu syurga dibukakan setiap Isnin dan Khamis, Allah mengampuni dosa-dosa hamba selama tidak musyrik. Kecuali orang yang antara dia dengan saudaranya ada kebencian, maka diarahkan: Tangguhkanlah kedua orang ini (keampunannya) sampai keduanya berdamai, tangguhkanlah kedua orang ini (keampunannya) sampai keduanya damai. “ (HR. Muslim).
8. Banyakkan berpuasa sunat
كُلُّ عَمَلِ ابْنِ آدَمَ يُضَاعَفُ الْحَسَنَةُ عَشْرُ أَمْثَالِهَا إِلَى سَبْعِمِائَةِ ضِعْفٍ قَالَ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ إِلاَّ الصَّوْمَ فَإِنَّهُ لِى وَأَنَا أَجْزِى بِهِ يَدَعُ شَهْوَتَهُ وَطَعَامَهُ مِنْ أَجْلِى لِلصَّائِمِ فَرْحَتَانِ فَرْحَةٌ عِنْدَ فِطْرِهِ وَفَرْحَةٌ عِنْدَ لِقَاءِ رَبِّهِ. وَلَخُلُوفُ فِيهِ أَطْيَبُ عِنْدَ اللَّهِ مِنْ رِيحِ الْمِسْكِ
“Setiap amalan kebaikan yang dilakukan oleh manusia akan dilipatgandakan dengan sepuluh kebaikan yang bersamaan hingga tujuh ratus kali ganda. Allah Ta’ala berfirman (yang ertinya), “Kecuali amalan puasa. Amalan puasa tersebut adalah untuk-Ku. Aku sendiri yang akan membalasnya. Disebabkan dia telah meninggalkan syahwat dan makanan keranaKu.
Bagi orang yang berpuasa akan mendapatkan dua kebahagiaan iaitu kebahagiaan ketika dia berbuka dan kebahagiaan ketika berjumpa dengan Rabbnya. Sungguh bau mulut orang yang berpuasa lebih harum di sisi Allah daripada bau minyak kasturi” (HR. Muslim no. 1151).
9. Perbanyak solat sunnah
Allah SWT berfirman:
وَأَقِمِ الصَّلَاةَ طَرَفَيِ النَّهَارِ وَزُلَفًا مِنَ اللَّيْلِ ۚ إِنَّ الْحَسَنَاتِ يُذْهِبْنَ السَّيِّئَاتِ ۚ ذَٰلِكَ ذِكْرَىٰ لِلذَّاكِرِينَ
“Dan dirikanlah solat itu pada kedua tepi siang (pagi dan petang) dan pada sebahagian permulaan malam. Sesungguhnya perbuatan-perbuatan yang baik itu menghapuskan (dosa) perbuatan-perbuatan yang buruk. Itulah peringatan bagi orang-orang yang ingat.” [Huud/11: 114]
10. Selalu menjaga wuduk
Dari Tsauban r.a bahwa Rasulullah SAW bersabda, “Istiqamahlah (konsistenlah) kalian semua (dalam menjalankan perintah Allah) dan kalian tidak akan pernah dapat menghitung pahala yang akan Allah berikan. Ketahuilah bahawa sebaik-baik perbuatan adalah solat, dan tidak ada yang selalu memelihara wuduknya kecuali seorang mukmin.” (HR. Ahmad dan Ibnu Majah)
11. Perbanyak membaca al-Quran
Rasulullah bersabda, “Al Qur’an adalah kitabullah yang berisi sejarah umat sebelum kamu, berita umat sesudahmu, kitab yang memutuskan urusan-urusan diantara kamu, yang nilainya bersifat pasti. Siapa saja orang durhaka yang meninggalkannya pasti Allah akan memusuhinya. Siapa yang mencari petunjuk selain al-Quran, pasti akan tersesat. Al-Quran adalah tali Allah yang sangat kuat, peringatan yang bijaksana dan jalan yang lurus” (HR Tirmidzi)
12. Bersahabat dengan orang soleh
Nak mengelak perbuatan mengumpat setelah bertaubat adalah dengan memperbaiki pergaulan dalam Islam. Rasulullah SAW bersabda dalam hadisnya ;
لَا تَصْحَب إِلَّا مُؤْمِنًا وَلَا يَأْكُلْ طَعَامَكَ إِلَّا تَقِيٌّ
Janganlah bersahabat kecuali kepada seorang mukmin. Dan janganlah memakan makananmu kecuali orang yang bertakwa. [HR. Bukhari].
13. Perbanyak istighfar
Ada sebuah riwayat dari Aisyah ra berkata : Rasulullah SAW melakukan solat dhuha, kemudian dia membaca
اَللَّهُمَّ اغْفِرْ لِي وَتُبْ عَلَيَّ إِنَّكَ أََنْتَ التَّوَابُ الرَّحِيْمِ
Ya Allah, Ampunilah aku, terimalah taubatku, sesungguhnya Engkau Maha Penerima tasubat dan Maha pengasih”. Beliau membacanya hingga seratus kali. [HR. Bukhari dan di shahihkan oleh al Albani dalam adabul mufrad no. 482].
Itulah cara melakukan taubat dari dosa mengumpat. Sungguh mengumpat ini sangat buruk akibatnya, maka dari itu kita harus berhati-hati dalam berkata.
Sumber artikel: dalamislam