
Seringkali kita mendengar nama Imam Bukhari di sebut atau membaca namanya tatkala ada penjelasan hal-hal tertentu memerlukan dalil Sunnah Rasulullah SAW.
Beliau merupakan cendekiawan Islam yang memiliki kebijaksanaan luar biasa dan mengingati lebih 200,000 hadis dan telah mengumpulkan hadis-hadis sahih dalam kitab Hadis al-Bukhari.
Beliau mempunyai pengaruh besar dalam penyebaran agama Islam dan telah meninggal dunia pada 1 Syawal 256 iaitu ketika berumur 62 tahun.
Sesungguhnya kematian insan hebat dan beramal soleh ini telah dimuliakan Allah, apabila makamnya menjadi tarikan orang ramai.
Setelah jasadnya dikebumikan di kota Samarkand, tiba tiba keluarlah bau harum dari kubur beliau. Semerbak bau harum tersebut berlangsung berhari hari dan dicium oleh ramai orang.
Orang ramai kemudian merasa hairan sekaligus takjub melihat fenomena itu, maka mereka pun silih berganti menziarahi kubur Imam Bukhari dan membawa sedikit dari tanah tersebut tabarukan atau mengambil berkat dengan keberkatan Imam Bukhari r.a.
Kerana khuatir akan kubur beliau disalahgunakan oleh orang ramai, maka pihak pengurusan makam telah menambah kembali kubur tersebut dengan tanah yang baharu di atasnya. Walaupun banyak tanah digunakan, tanah tersebut tetap mengeluarkan bau harum.
Berikutan itu, tiada pilihan lain bagi mengatasi haruman kubur Imam Bukhari, maka pihak pemakaman terpaksa membina seakan jalinan kayu yang kuat.
Suatu malam, seorang sahabat Imam Bukhari bermimpi berjumpa dengan Imam Bukhari, kemudian bertanya, “apa rahsia dari bau yang semerbak harum ini?”, Imam Bukhari kemudian menjawab,
“بكثرة الصيام و عدم الوقيعة في الناس”
“Dengan banyak berpuasa dan menjaga diri dari mencela dan merendahkan orang lain”.
Dan sesungguhnya tidak dinafikan bahawa Imam Bukhari sangat jarang berbicara atau mengeluarkan pendapat yang menjurus ke dalam celaan atau hinaan kepada seseorang, bahkan dalam penilaian Jarh kepada seorang rawi, sehingga lafaz terberat yang mungkin dilontarkannya ketika menjarh adalah “فيه نظر“..
Semoga kita dapat mencontohinya dalam menjaga hati dan lisan dari mencela, mencaci, merendahkan dan menghina seseorang, walaupun itu dalam keadaan ingin menasihati.
Artikel berkaitan:Wanita Dalam Iddah Lebih Elok Tinggal Di Rumah Dari Iringi Jenazah Suami Ke Kubur. Ini Penjelasan Mufti!
Artikel berkaitan:15 Minit Percubaan ‘Masuk’ Kubur Hidup-hidup, Amat Menginsafkan
Ringkasan Latar belakang:
Kita memang sudah biasa dengan nama Imam Bukhari kerana seringkali kita mendengar namanya disebut dan membaca namanya apabila ada hadis-hadis sahih diriwayatkan oleh beliau.
Nama penuh Imam Bukhari ialah Abu Abdullah Muhammad Bin Ismail Al-Bukhari. Dilahirkan pada 13 Syawal 194 Hijrah dan meninggal dunia pada 1 Syawal 256 Hijrah. Beliau terkenal sebagai pengarang kumpulan tradisi yang dikumpulkan dalam Sahih Bukhari, yang dianggap oleh Ahli Sunah Waljamaah sebagai hadis sahih daripada Nabi Muhammad SAW.
Beliau dilahirkan pada 13 Syawal 194 Hijrah di bandar Bokhara, di bahagian timur negeri Uzbekistan. Bapanya meninggal dunia semasa beliau masih kanak-kanak, dan ibunya membesarkan beliau bersendirian. Ibunya memelihara dan mendidiknya dengan penuh ihsan serta berkorban untuk memberikan pendidikan yang terbaik kepada beliau.
Semasa kecil lagi, nilai intelek Imam Bukhari telah teserlah.
Beliau amat warak dan mempunyai daya ingatan yang luar biasa serta mempunyai kesungguhan dalam pelajarannya. Diriwayatkan bahawa ketika di dalam belasan tahun, beliau sudah menghafal 70,000 hadis Rasulullah SAW. Beliau meninggal dalam buangan dan dimakamkan di Samarkand, Uzbekistan.
Kashoorga: Sebagai satu contoh teladan mulia dan baik buat kita menjalani hidup dalam dunia fitnah hari ini. Kurangkan lah bercakap perkara-perkara yang tidak elok atau kurang penting. Lagi banyak kita bercakap, maka akan banyaklah nanti luahan kata-kata yang tidak sepatutnya dituturkan.
Sumber: Mualim
Bukan Ikut Suka, Ada Waktu Yang Dilarang Solat. UAI Kongsikan Perkara Wajib Kita Tahu

Dalam hidup kita hanya ada 24 jam. Ada waktu di khususkan untuk solat iaitu Subuh, Zuhur, Asar, Maghrib dan Isyak. Namun tahukah dalam ruang setiap waktu itu ada dilarang kita mengerjakan ibadah solat ini.
Dikongsi fb Ustaz Azhar Idrus, penceramah ini berkongsi waktu yang dilarang solat padanya.
Hadith Musnad Imam Syafie.
Ringkasan Dan Terjemahan Serta Sedikit Keterangan.
بَابُ الأَوْقَاتِ الْمَنْهِيِّ عَنِ الصَّلاةِ فِيهَا
Bab Segala Waktu Yang Dilarang Solat Padanya
Telah diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a. :
أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نَهَى عَنِ الصَّلاةِ بَعْدَ الْعَصْرِ حَتَّى تَغْرُبَ الشَّمْسُ، وَعَنِ الصَّلاةِ بَعْدَ الصُّبْحِ حَتَّى تَطْلُعَ الشَّمْسُ
Ertinya : “Sungguhnya Rasulullah sollallahu alaihi wasallam telah melarang dari solat selepas asar sehingga terbenam matahari dan dari solat selepas subuh sehingga terbit matahari.”
Hadith ini telah dikeluarkan juga oleh Imam Malik dan Muslim.
Dan telah diriwayatkan daripada Ibnu Umar r.a. sungguhnya Nabi sollallahu alaihi wasallam telah bersabda :
لا يَتَحَرَّى أَحَدُكُمْ فَيُصَلِّيَ عِنْدَ طُلُوعِ الشَّمْسِ وَلا عِنْدَ غُرُوبِهَا
Artinya : “Janganlah salah seorang kamu sengaja mengerjakan solat ketika terbit matahari dan jangan ketika tenggelamnya.”
Hadith ini dikeluarkan juga oleh Imam Malik dan Bukhari dan Muslim dan An-Nasaie.
Dan telah diriwayatkan daripada Abdullah As-Sonabihi sungguhnya Rasulullah sollallahu alaihi wasallam telah bersabda :
إِنَّ الشَّمْسَ تَطْلُعُ وَمَعَهَا قَرْنُ الشَّيْطَانِ، فَإِذَا ارْتَفَعَتْ فَارَقَهَا، فَإِذَا اسْتَوَتْ قَارَنَهَا، فَإِذَا زَالَتْ فَارَقَهَا، فَإِذَا دَنَتْ لِلْغُرُوبِ قَارَنَهَا، فَإِذَا غَرَبَتْ فَارَقَهَا ، وَنَهَى رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنِ الصَّلاةِ فِي تِلْكَ السَّاعَاتِ
Ertinya : “Bahawasanya matahari itu terbit ia dan menyertainya oleh tanduk syaitan. Maka apabila matahari telah terangkat ia pun meninggalkannya. Kemudian apabila matahari telah berada di tengah langit maka datang ia menyertainya dan apabila matahari telah tergelincir maka ditinggalkannya. Kemudian apabila matahari hampir tenggelam maka datang ia menyertainya dan apabila matahari telah pun habis tenggelam maka ditinggalkannya. Rasulullah sollallahu alaihi wasallam telah melarang dari solat pada sekelian waktu-waktu ini.”
Hadith ini telah dikeluarkan juga olih Imam Malik dan An-Nasaie.
Dan telah diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a. :
أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نَهَى عَنِ الصَّلاةِ نِصْفَ النَّهَارِ حَتَّى تَزُولَ الشَّمْسُ إِلا يَوْمَ الْجُمُعَةِ
Artinya : “Bahawasanya Rasulullah sollallahu alaihi wasallam telah melarang dari solat ditengah hari sehingga tergelincir matahari kecuali pada hari jumaat.”
Hadith ini dikeluarkan juga olih Imam Abu Daud dan Al-Baihaqi dan Ibnu Abdi Al-Barri.
KETERANGAN
Hadith-hadith ini datang pada menerangkan waktu-waktu yang dilarang mengerjakan solat padanya.
Bermula maksud larangan solat selepas asar itu ialah selepas seseorang itu menunaikan solat asar dan selepas subuh itu ialah selepas seseorang itu telah menunaikan solat subuh.
Jika seorang itu belum menunaikan solat asar dan solat subuh maka tidak ada larangan ke atasnya.
Dan ada diriwayatkan daripada Uqbah bin ‘Amir r.a. beliau berkata :
ثَلَاثُ سَاعَاتٍ كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَنْهَى أَنْ نُصَلِّيَ فِيهِنَّ، أَوْ نَقْبُرَ فِيهِنَّ مَوْتَانَا: إِذَا طَلَعَتِ الشَّمْسُ بَازِغَةً حَتَّى تَرْتَفِعَ، وَحِينَ يَقُومُ قَائِمُ الظَّهِيرَةِ حَتَّى تَمِيلَ الشَّمْسُ، وَحِينَ تَضَيَّفُ لِلْغُرُوبِ حَتَّى تَغْرُبَ
Artinya : “Tiga waktu adalah Rasulullah sollallahu alaihi wasallam melarang kami menunaikan solat padanya atau kami menguburkan padanya orang-orang yang mati dari kalangan kami yaitu apabila telah terbitlah matahari sehingga naik tinggi dan ketika berdirilah unta kerana kepanasan (yakni ketika istiwa’) sehingga condonglah matahari dan ketika masuk matahari hendak tenggelam sehingga selesai tenggelam.” (Hadith riwayat Abu Daud dan Ibnu Majah dan An-Nasaie dan Al-Baihaqi dan Ad-Darimi)
Dan maskud waktu unta berdiri kerana kepanasan ketika istiwa’ itu ialah pada waktu tersebut pasir menjadi sangat panas maka unta yang sedang duduk di atas pasir ketika itu akan bangun mengelakkan dari panasnya pasir tersebut.
Berkata Imam Ad-Damiri :
فـ (الظهيرة): شدة الحر، و (قائمها): البعير يكون باركًا فيقوم من شدة حر الأرض
Artinya : “Maka zahirah itu maknanya sangat panas dan yang berdiri itu ialah unta bangun dari kerana sangat panasnya bumi ketika itu.” (Kitab An-Najm Al-Wahhaj).
Maka dapat diketahui dari hadith-hadith ini bahawa sekelian waktu yang dilarang padanya solat itu ialah lima waktu.
Berkata Imam Taqiyuddin Ad-Dimasyqi :
خَمْسَة أَوْقَات لَا يصلى فِيهَا إِلَّا صَلَاة لَهَا سَبَب بعد صَلَاة الصُّبْح حَتَّى تطلع الشَّمْس وَعند طُلُوعهَا حَتَّى تتكامل وترتفع قدر رمح وَإِذا اسْتَوَت حَتَّى تَزُول وَبعد الْعَصْر حَتَّى تغرب الشَّمْس وَعند الْغُرُوب حَتَّى يتكامل غُرُوبهَا
Artinya : “Lima waktu tidak dilakukan solat padanya melainkan solat yang ada sebab baginya yaitu selepas solat subuh hingga terbit matahari dan ketika matahari sedang terbit sehingga sempurna tinggi kadar segalah dan ketika istiwa’ hingga gelincir matahari dan selepas solat asar hingga tenggelam matahari dan ketika sedang tenggelam matahari.” (kitab Kifayatul Akhyar)
TANDUK SYAITAN
Ulamak telah berbeda pendapat pada makna tanduk syaitan pada hadith Abdullah As-Sonabihi itu. Berkata setengah ulamak maknanya ialah syaitan menyertai bagi matahari pada sekelian waktu ini. Dan berkata setengah yang lain maknanya ialah syaitan menjadi kuat pada waktu-waktu tersebut. Dan kata setengah yang lain sebahagian orang-orang kafir menyembah matahari pada ketika ini.
Dan berkata setengah yang lain ia adalah sindiran yang bermaksud orang yang melambatkan solat asar sehingga dekat terbenam matahari dan solat subuh sehingga terbit matahari telah diperdaya olih syaitan.
Dan kata setengah yang lain adalah syaitan itu apabila hendak terbit matahari atau hendak tenggelam maka dia duduk ditengahnya hingga jadilah kedudukan matahari di tengah antara dua tanduknya lalu orang-orang yang menyembah mathari itu sebenarnya menyembah syaitan.
MATAHARI DI TENGAH LANGIT
Bermula maksud matahari berada di tengah langit itu ialah waktu tenghari di mana matahari betul-betul berada di atas kepala yakni sama jaraknya dari arah timur dan arah barat yang disebut dengan istiwa’ artinya sama maka apabila telah tergelincir yakni bergerak matahari ke arah barat sedikit yang disebut sebagai zawal maka hilanglah waktu larangan tersebut dan ialah bermula waktu zuhur.
SEGALA WAKTU YANG DILARANG SOLAT
Telah berkata Imam Ibnu Al-Atsir :
الذي ذهب إليه الشافعي: أن الأوقات المنهي عن الصلاة فيها خمسة: ثلاثة متعلقة بالوقت وهي الصلاة عند طلوع الشمس حتى ترتفع، وعند الاستواء حتى تزول، وعند الغروب حتى تغرب، واثنان متعلقان بالفعل وهما: الصلاة بعد صلاة الصبح إلى طلوع الشمس، وبعد العصر إلى الغروب، وهذه الأوقات لا تجوز الصلاة فيها عنده، إلا أن تكون صلاة لها سبب، كقضاء فرض، أو صلاة جنازة، أو سجود قرآن، أو إدراك جماعة أو نذر.
Artinya : “Bermula yang berjalan kepadanya olih Imam Syafie bahwasanya sekelian waktu yang dilarang dari mengerjakan solat padanya itu ada lima yaitu tiga waktu yang berkait dengan masa yaitu solat ketika matahari sedang terbit sehinggalah tinggi matahari. Dan solat ketika matahari berada ditengah langit sehinggalah matahari tergelincir yakni condong ke arah barat. Dan ketika matahari sedang terbenam sehingga tenggelam matahari. Dan dua lagi waktu itu berkait dengan perbuatan yaitu solat selepas menunaikan solat subuh sehingga terbit matahari dan selepas menunaikan solat asar sehingga waktu maghrib yakni tenggelam matahari. Dan sekelian waktu-waktu ini tidak harus solat padanya di sisi beliau kecuali bahawa adalah solat itu mempunyai sebab seperti solat qadha atau solat jenazah atau sujud sajadah atau mendapatkan jemaah atau solat nazar.” (Kitab As-Syafi Syarah Musnad Imam As-Syafie).
Berkata Imam Ibnu Ruslan :
صَلَاة مالاسبب لَهَا امنعا … بعد صَلَاة الصُّبْح حَتَّى تطلعا …
وَبعد فعل الْعَصْر حَتَّى غربت … وَعند مَا تطلع حَتَّى أرتفعت
والاستوا لَا جُمُعَة إِلَى الزَّوَال … والاصفرار لغروب ذى كَمَال
أما الَّتِى لسَبَب مقدم … كالندر والفائت لم تحرم
Artinya : “Bermula dilarang solat yang tiada mempunyai sebab baginya selepas menunaikan solat subuh sampailah terbit matahari dan selepas menunaikan solat asar sampai tenggelam matahari dan ketika matahari sedang terbit sampai naik tinggi matahari dan ketika matahari ditengah langit melainkan hari jumaat sehingga matahari telah tergelincir dan ketika kekuningan waktu matahari hendak tenggelam sehingga sempurna tenggelamnya. Adapun solat yang ada baginya sebab yang terdahulu seperti solat nazar dan qadha yang luput maka tidak diharamkan.” (Kitab Matan Zubad)
Dan hikmah dilarang solat pada waktu tersebut ialah suapa merehatkan diri supaya kuat ia pada masa yang dituntut padanya mengerjakan solat.
Berkata Imam Al-Mawardi :
أَنَّ نَهْيَهُ عَنِ الصَّلَاةِ بَعْدَ الصُّبْحِ لِيَكُونَ أَقْوَى لَهُمْ عَلَى صَلَاةِ الضُّحَى وَبَعْدَ الْعَصْرِ لِيَكُونَ أَقْوَى لَهُمْ عَلَى صَلَاةِ اللَّيْلِ، وَعِنْدَ نِصْفِ النَّهَارِ لِأَجْلِ الْقَائِلَةِ وَالِاسْتِرَاحَةِ
Artinya : “Sungguhnya larangan Nabi sollallahu alaihi wasallam dari mengerjakan solat selepas solat subuh ialah supaya lebih kuat bagi mereka itu atas menunaikan solat dhuha dan selepas asar pula supaya lebih kuat bagi mereka itu atas menunaikan solat malam dan ketika tengahari ialah kerana tidur dan berehat (sebelum zuhur).” (Kitab Al-Hawi Al-Kabir)
LARANGAN MAKRUH ATAU HARAM & PENGECUALIAN HARI JUMAAT
Sungguhnya para fuqahak telah berebda pendapat pada hukum larangan ini pada dua pendapat yaitu larangan haram dan larangan makruh.
Telah menyebut olih Dr Wahbah Az-Zuhaili :
وقال الشافعية : تكره صلاة النافلة تحريماً على المعتمد في الأوقات الثلاثة، وتنزيهاً في الوقتين الآخرين. ولا تنعقد الصلاة في الحالتين؛ لأن النهي إذا رجع لذات العبادة أو لازمها اقتضى الفساد، سواء أكان للتحريم أم للتنزيه. ويأثم الفاعل في الحالتين أيضاً؛ لأن الكراهة التنزيهية وإن كانت لا تقتضي الإثم عموماً، لكنها في هذه الحالة يأثم بها المصلي، بسبب التلبس بعبادة فاسدة. ويعزر من صلى في الأوقات المنهي عنها. واستثنى الشافعية حالات لا كراهة فيها وهي ما يأتي: يوم الجمعة: لا تكره الصلاة عند الاستواء يوم الجمعة، لاستثنائه في خبر البيهقي عن أبي سعيد الخدري وأبي هريرة قالا: كان رسول الله صلّى الله عليه وسلم ينهى عن الصلاة نصف النهار إلا يوم الجمعة» وخبر أبي داود عن أبي قتادة نحوه، ولفظه: وكره النبي صلّى الله عليه وسلم الصلاة نصف النهار إلا يوم الجمعة
Artinya : “Dan telah berkata olih ulamak-ulamak mazhab Syafie solat sunat dihukumkan dengan makruh tahrim atas pendapat yang muktamad pada tiga waktu yaitu ketika matahari sedang terbit dan ketika matahari di atas kepala dan ketika matahari sedang tenggelam. Dan makruh tanzih pada dua waktu lagi yaitu selepas solat asar dan selepas solat subuh. Dan tidak terjadi sembahyang yang dikerjakan pada kedua keadaan tersebut kerana larangan itu apabila kembali kepada zat ibadah atau melaziminya menghendaki bagi rosaknya ibadah samada larangan itu larangan haram atau larangan makruh dan berdosalah pelakunya pada kedua keadaan tadi kerana sungguhnya sekalipun makruh tanzih itu pada umumnya tidak berdosa akan tetapi pada keadaan ini berdosa sebabnya olih orang yang sembahyang itu dengan sebab melakukan ibadah yang rosak dan ditakzirkan orang yang sengaja sembahyang pada sekelian waktu yang dilarang daripadanya itu.
Dan ulamak-ulamak mazhab Syafi mengecualikan beberapa keadaan yang tidak dimakruhkan padanya yaitu pada hari jumaat maka tidak dimakruhkan sembahyang ketika istiwa’ kerana ada pengecualaiannya dalam hadith riwayat Al-Baihaqi dari Abu Said Al-Khudri r.a. dan Abu Hurairah r.a. : Adalah Rasulullah sollallahu alaihi wasallam melarang solat pada tengahari melainkan pada hari jumaat dan hadith Abu Daud daripada Abi Qatadah r.a. yang sepertinya dan lafaznya ialah : Telah memakruhkan olih Nabi sollallahu alaihi wasallam solat pada tengahari melainkan pada hari jumaat.” (Kitab Al-Fiqh Al-Islami)
Imam Nawawi berkata :
Telah berkata Ashab kami pada bawasanya larangan pada sekelian waktu ini adakah ia makruh tanzih atau haram atas dua pendapat. Salah satunya ialah makruh tanzih maksudnya makruh yang tidak berdosa jika dikerjakannya. Dan dengan makruh tanzih ini telah memutuskan olih satu jemaah dimana setengah dari mereka itu ialah Imam Al-Bandaniji.
Dan pendapat yang keduanya yaitulah pendapat yang paling sahih hukumnya makruh tahrim maknanya makruh yang diharamkan kerana sabitnya beberapa hadith pada melarangnya dan asal bagi larangan itu ialah menunjukkan haram. Dan sungguhnya telah menerangkan dengan haramnya olih Imam Al-Mawardi pada kitabnya Al-Iqna’ dan pengarang kitab Az-Zakhoir dan lain dari keduanya.” (Kitab Al-Majmu’).
Dan setengah fuqahak berkata yang berdosa mengerjakan solat pada sekelian waktu yang dilarang itu ialah di sisi mereka yang mengatakan hukumnya makruh tahrim. Ada pun di sisi mereka yang mengatakan makruh tanzih sahaja maka tidaklah berdosa jika dikerjakan solat padanya.
Berkata Syeikh Abu Bakr Ad-Dimyathi :
ويأثم أيضا من حيث إيقاعها في وقت الكراهة، على القول بأن الكراهة للتحريم، بخلافه على القول بأنها للتنزيه
Artinya : “Dan berdosa juga dari pihak mengerjakan solat itu pada waktu yang yang dilarang atas pendapat yang mengatakan makruh tahrim dengan menyalahi atas pendapat yang mengatakan larangan itu hanya makruh tanzih.” (Kitab I’anah At-Talibin)
SAH ATAU TIDAK SOLAT PADA WAKTU YANG DILARANG?
Dan begitu juga ada dua pendapat pada siapa yang sengaja melakukan solat pada waktu-waktu yang dilarang ini adakah sah atau tidak sah.
Maka pendapat yang paling sahih mengatakan tidak sah dan pendapat yang lainnya mengatakan sah.
Berkata Imam Nawawi :
لَوْ أَحْرَمَ بِصَلَاةٍ مَكْرُوهَةٍ فِي هَذِهِ الْأَوْقَاتِ فَفِي انْعِقَادِهَا وَجْهَانِ حَكَاهُمَا الْخُرَاسَانِيُّونَ (أَصَحُّهُمَا) عِنْدَهُمْ لَا تَنْعَقِدُ كَالصَّوْمِ يَوْمَ الْعِيدِ وَالثَّانِي تَنْعَقِدُ كَالصَّلَاةِ فِي أَعْطَانِ الْإِبِلِ وَالْحَمَّامِ وَلِأَنَّ هَذَا الْوَقْتَ يقبل الصَّلَاةُ فِي الْجُمْلَةِ بِخِلَافِ يَوْمِ الْعِيدِ
Artinya : “Jikalau seorang memulakan solat yang dimakruhkan pada sekelian waktu yang dilarang ini maka pada sah atau tidaknya ada dua pendapat telah menyebutnya olih ulamak-ulamak Khurasan yang paling sahihnya ialah solat itu tidak terjadi yakni tidak sah sama seperti puasa pada hari raya. Dan pendapat yang kedua mengatakan sah sama seperti solat pada kandang unta dan dalam bilik air dan kerana sungguhnya waktu tersebut menerima ia bagi solat pada umumnya bersalahan dengan hari raya (pada masalah berpuasa).” (Kitab Syarah Al-Muhazzab)
wallahua’lam
ustaz azhar idrus
Tiga Punca Doa Tidak Dimakbulkan Oleh Allah

“Sedihnya…dah lama aku berdoa tapi permintaan aku tak pernah dimakbulkan. Apalah dosa aku sampai doa-doa aku ditolak.” Seringkali keluhan ini bermain-main di benak andai hajat tidak kesampaian. Doa adalah satu bentuk harapan kerana manusia sangat mengharapkan pertolongan dan bantuan daripada Allah SWT.
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Berdoalah kepada-Ku, nescaya akan aku perkenankan permohonan itu.” (Surah Mukmin, ayat 60).
Rasulullah SAW bersabda: “Doa seseorang sentiasa akan dimakbulkan selama dia tidak berdoa untuk perbuatan dosa atau pun untuk memutuskan tali silaturahim dan tidak terburu-buru. Seorang sahabat bertanya: Ya Rasulullah, apakah yang dimaksudkan dengan terburu-buru? Rasulullah SAW menjawab: Yang dimaksudkan dengan terburu-buru adalah apabila orang yang berdoa itu mengatakan: Aku telah berdoa dan terus berdoa, tetapi belum juga dikabulkan. Setelah itu, ia berasa putus asa dan tidak pernah berdoa lagi.” (Riwayat Muslim)
Cepat atau lambatnya doa diperkenankan adalah urusan Allah SWT.
Antara beberapa sebab mengapa doa ditolak dan tidak dimakbulkan:
1. BUKAN DENGAN SEPENUH HATI DAN TIDAK YAKIN
Apabila berdoa, kita hendaklah bersangka baik bahawa permintaan akan diterima. Ketahuilah bahawa apabila adanya perasaan was-was atau terbitnya perasaan tidak yakin yang Allah akan memakbulkan doa maka menyebabkan doa ditolak.
Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud, “Hendaklah kamu berdoa kepada Allah s.w.t dengan yakin akan perkenan doanya, dan ketahuilah sesungguhnya Allah s.w.t tidak memperkenankan doa orang-orang yang berhati lalai dan alpa.”
Melalui satu riwayat mengenai ulama terkenal iaitu Al-Imam al-Faqih Abu al-Lais yang didatangi satu kumpulan pemuda, ingin menanyakan perihal doa mereka. Selepas berkali-kali mereka berdoa, tetapi tidak pernah dimakbulkan oleh Allah SWT.
Lalu mereka mempertikaikan ayat al-Quran mengenai Allah SWT memperkenankan doa mereka. Antara ayat itu ialah firman Allah SWT yang bermaksud: “Apabila hamba-Ku bertanya mengenaiKu, maka jawablah bahawasanya Aku adalah dekat, Aku perkenankan orang yang berdoa.” (Surah al-Baqarah, ayat 186)
Lalu mereka bertanya lagi, apakah ayat al-Quran itu silap atau salah? Al-Imam al-Faqih menjawab: “Ayat itu tidak ada yang silap atau salah. Tetapi yang berdoa itu tidak pernah ambil tahu mengenai kesalahan atau kesilapannya. Oleh itu, wahai orang muda! Jangan pernah ada di hati kamu mempertikaikan ayat al-Quran itu. Seterusnya imam yang mulia itu berkata: Sebab doa tidak disahut oleh Allah SWT kerana hati orang yang berdoa itu mati.”
Begitu juga dalam satu riwayat lain, kisah seorang ahli sufi yang sangat masyhur bernama Ibrahim Adham. Beliau pernah ditanya oleh orang ramai ketika berada di tengah pasar Basrah di Iraq: “Mengapa doa kami tidak dimakbulkan Allah SWT, pada hal kami selalu berdoa? Lalu Ibrahim Adham menjawab: Doa tidak dikabulkan kerana hati kamu telah buta (mati).”
2. TIDAK MENUNAIKAN HAK DAN TANGGUNGJAWAB KEPADA ALLAH
Bagaimanalah Allah nak makbulkan doa kalau solat pun masih tunggang-langgang. Membaca al-Quran, tetapi tidak pernah mengamalkannya, mengakui umat Nabi Muhammad SAW, tetapi tidak pernah mengamalkan sunahnya, tidak pernah bersyukur terhadap segala nikmat kurniaan Allah SWT, mengakui mati itu adalah benar, tetapi tidak pernah bersedia untuknya. Oleh itu pastikan kita sebagai hambaNYA menunaikan tanggungjawab yang sepatutnya kepada Allah. Jaga ‘perilaku’ kita dengan Allah.
3. INGIN SEGERA DIMAKBULKAN DOA
Ibarat meminta sesuatu daripada orang lain, janganlah sampai memaksa. Ketahuilah bahawa seseorang yang memohon sesuatu hajat kepada Allah SWT tidak boleh meminta atau berharap doanya dikabulkan dengan segera. Ia seolah-olah memaksa Allah mengikut kehendaknya. Cara yang demikian akan menjadikan seseorang itu cepat putus asa apabila doanya atau permintaannya tidak dikabulkan oleh Allah. Sesungguhnya mereka yang berputus asa akan terputus daripada rahmat Allah. Apabila tiada rahmat Allah maka ia akan menyebabkan doanya tiada dimakbulkan.
Firman Allah s.w.t yang bermaksud, “Dan janganlah kau berputus asa daripada mengharap rahmat Allah s.w.t kerana sesungguhnya tiadalah yang putus asa dari rahmat Allah s.w.t kecuali orang-orang kafir”. (Surah Yusuf, 87)
“Eee…Busuklah,”. Hukum Isteri Tolak Hubungan Intim Sebab Suami Berbau

Memang ada isu perceraian disebabkan bau badan pasangan yang kurang disenangi apatah lagi untuk lakukan hubungan intim.
Ada isu perceraian disebabkan bau badan pasangan yang kurang disenangi. Bukan tidak berusaha mengubatinya, mungkin belum jumpa rawatan yang serasi.
Namun hal yang seperti ini boleh menjadi faktor hubungan intim suami isteri terjejas sehingga ke tahap pasangan enggan bersama. Ada isteri yang beberapa kali menolak dengan alasan bau badan suami yang tidak disukainya.
Hal ini boleh jatuh hukum nusyuz pada isteri terhadap suaminya akibat daripada perselisihan itu. Nusyuz bermaksud bersikap derhaka yang dilakukan isteri terhadap suaminya, dan berdosa besar sekiranya terjadi.
Artikel berkaitan: Ciri-Ciri Isteri Nusyuz, Wanita Jangan Sesekali Terlepas Pandang Kalau Nak Masuk Syurga
Artikel berkaitan: Hak Isteri Selepas Bercerai, Suami Jangan Ingat Boleh Lepas Tangan
Tindakan yang boleh diambil pihak suami apabila isteri nusyuz telah dijelaskan dalam Al-Qur’an:
وَاللَّاتِيْ تَخَافُوْنَ نُشُوْزَهُنَّ فَعِظُوْهُنَّ وَاهْجُرُوْهُنَّ فِيْ الـمَضَاجِعِ وَاضْرِبُوْهُنَّ فَإِنْ أَطَعْنَكُمْ فَلَا تَبْغُوْا عَلَيْهِنَّ سَبِيْلًا إِنَّ اللهَ كَانَ عَلِيًّا كَبِيْرًا
“Wanita-wanita yang kamu bimbangkan terjadi nusyuz, maka nasihatilah mereka dan pisahkanlah mereka di tempat tidur mereka, dan pukullah mereka. Kemudian jika mereka mentaatimu, maka janganlah kamu mencari-cari jalan untuk menyusahkannya. Sesungguhnya Allah Maha Tinggi lagi Maha Besar” (Q.S. An-Nisa:34)
Ada beberapa sikap dan perbuatan isteri yang tergolong sebagai nusyuz. Salah satunya adalah menolak ajakan hubungan intim dari suami, berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh sayyidina Abu Hurairah:
إِذَا دَعَا الرَّجُلُ امْرَأَتَهُ إِلَى فِرَاشِهِ فَأَبَتْ فَبَاتَ غَضْبَانَ لَعَنَتْهَا الـمَلَائِكَةُ حَتَّى تُصْبِحَ
“Apabila suami mengajak isteri berhubungan badan, lalu isteri enggan melayaninya, dan kerananya suami marah, maka malaikat melaknatnya sampai pagi hari”
Namun ulama menggariskan bahawa bila ada uzur yang dibenarkan syariat, maka isteri boleh menolak ajakan suaminya untuk berhubungan intim, seperti haid, menjalankan puasa wajib atau sakit yang tidak memungkinkannya untuk memenuhi hajat suami.
Hal ini sebagaimana dijelaskan dalam kitab Fathul Muin hamisy Hasyiyah I’anatut Thalibin (4/126):
وَيَحْصُلُ النُّشُوْزُ (بِمَنْعِ) الزَّوْجِ (مِنْ تَمَتُّعٍ) وَلَوْ بِنَحْوِ لَمْسٍ أَوْ بِمَوْضِعِ عَيَّنَهُ (لَا) إِنْ مَنَعَتْهُ عَنْهُ (لِعُذْرٍ) كَكِبَرِ آلَتِهِ بِحَيْثُ لَا تَحْتَمِلُهُ وَمَرَضٌ بِهَا يَضُرُّ مَعَهُ الوَطْءُ، وَقَرْحٌ فِيْ فَرْجِهَا وَكَنَحْوِ حَيْضٍ.
“Nusyuz terjadi dengan melarang suami untuk bersenang-senang walaupun sekedar menyentuh, atau bersenang-senang di bahagian tubuh tertentu, namun tidak dikatakan nusyuz bila isteri menolaknya karena ada uzur, seperti alat kelamin suami terlalu besar di luar kemampuan istri, sakit yang menimbulkan kemudaratan, ada luka di alat sulitnya, serta haid”
Dan termasuk uzur yang memperbolehkan isteri menolak ajakan suami adalah jika suaminya dalam keadaan bau badan atau bau mulut yang sampai batas membuat gelisah dan terganggu, sebagaimana ditegaskan dalam kitab at-Tahdzib fi Fiqh al-Imam asy-Syafi’i (5/545) :
…وَكَمَنْعِهَا لَهُ مِنَ الاسْتِمْتَاعِ بِهَا وَلَوْ بِغَيْرِ جِمَاعٍ كَقُبْلَةٍ حَيْثُ لَا عُذْرَ فِيْ امْتِنَاعِهَا مِنْهَا، فَإِنْ عَذَرَتْ كَأَنْ كَانَ بِهِ صُنَانٌ أَوْ بَخَرٌ مُسْتَحْكَامٌ وَتَأَذَّتْ بِهِ تَأَذِّيًا لَا يُحْتَمَلُ عَادَةً لَمْ تُعَدَّ نَاشِزَةً وَتُصَدَّقُ فِيْ ذَلِكَ إِنْ لَمْ تَدُلَّ قَرِيْنَةٌ عَلَى كَذِبِهَا
“(Termasuk nusyuz) seperti isteri menolak suami yang mahu bersenang-senang dengannya walaupun selain jima’, seperti mencium dan tidak ada uzur yang menyebabkan penolakannya. Bila ada uzur seperti suami dalam keadaan bau badan atau bau mulut yang menyengat, dan istri merasa terganggu dengan bau itu yang secara normal memang tidak boleh ditolerankan. Maka isteri tadi tidak boleh dikatakan telah melakukan nuzyuz dan dia boleh dibenarkan bila tidak ada tanda bahawa dia telah berbohong”
Imam Ibnu Hajar dalam kitabnya al-Fatawa al-Fiqhiyyah al-Kubra (4/173) juga menyatakan bahawa menolak ajakan suaminya yang dalam keadaan kotor tidak dikategorikan sebagai tindakan nusyuz.
Beliau juga menjelaskan bahawa kewajiban menghilangkan segala sesuatu yang membuat rasa terganggu tidak hanya berlaku bagi isteri, pun suami juga wajib untuk melakukannya. Dengan demikian, bila seorang suami sedang dalam keadaan kotor atau bau, maka dia wajib membersihkan diri atau mandi agar boleh memenuhi hajatnya dengan sang isteri.
Sumber rujukan: bincangsyariah