Apabila sudah bertemu kekasih hati, memang kita merancang untuk terus berkahwin agar ikatan yang terjalin lebih halal. Namun boleh ke kita berkahwin hanya kerana rasa cinta semata-mata.
Memanglah waktu bercinta semuanya sangat indah dan mengasyikkan. Tetapi adakah kita benar-benar bersedia untuk memikul tanggungjawab dan amanah yang tergalas di bahu.
Tidak kira lelaki atau perempuan, tanggungjawab masing-masing pada pasangan itu perlu diambil tahu.
Untuk lelaki, sudah semestinya tanggungjawab mereka sangat besar dan janganlah dibuat main-main.
Dan bagi perempuan pula jangan terlalu ikut perasaan atau ikut gaya hidup sebelum kerana apabila berkahwin, kita perlu melayan kehendak zahir dan batin suami kita.
Gambar sekadar hiasan.
Ayuh, baca perkongsian ini supaya boleh dijadikan panduan.
Rasa Cinta Je Tak Cukup Utk Berkahwin
Kahwin bkn ttg dating halal je, snap gambar romantik, dpt konvo sesama, blh pegang tangan, blh makan bersuap, semua yg sweet-sweet (sampai diabetes katanya), everything goes smooth all the time and live happily ever after.
Ads
Kalau kamu lihat yang INDAH-INDAH daripada kawan yang baru kahwin, itu semuanya hanya apa yang dia mahu perlihatkan kepada dunia. Realitinya susah payah perit air mata yang disembunyikan.
Siapa yang tahu?
Kita hidup di alam realiti, bukan fantasi. Jangan hanya berangan yang indah-indah tanpa memikirkan AMANAH dan TANGGUNGJAWAB yang bakal dipersoalkan.
Alasan sudah kenal lama sangat atau untuk ‘elak maksiat‘ saja TIDAK CUKUP untuk kahwin segera.
Sebab jika masa bujang gunakan alasan kahwin untuk pelihara maruah bagaimana kamu yakin kamu dapat menjaga maruah selepas nikah?
Kalau sebelum kahwin tidak mampu bersabar atau bertahan dengan ujian yang kecil atau sedikit, bagaimana kamu jangkakan untuk bersabar dan bertahan dengan ujian yang besar dan banyak selepas berkahwin?
Ads
Bersediakah kamu, pulang kerja penat, lapar, mengantuk tetapi BERSABAR apabila isteri tak masak sebab alahan mengandung atau anak meragam.
Bolehkah kamu TETAP TERSENYUM, menyinsing lengan memasak di dapur kemudian menyuapkan makanan ke mulut isteri kamu yang juga lapar, urus kencing berak dan mandikan anak-anak untuk beri isteri ruang untuk dirinya? Basuh, lipat baju yang menimbun?
Atau kamu akan sengaja pulang lewat sebab mahu lari dari menjaga anak-anak dan makan sahaja di luar?
Yang perempuan sudah bersediakah untuk mentaati seorang lelaki yang baru hadir dalam hidup, bersediakah menanggung jerit perih alahan mengandung, sakit bersalin, berpantang, realiti anak mahu mengempeng berjam-jam sampai badan menggigil lapar dan lesu yang amat?
You are giving your life for your children. JANGAN MIMPI hendak makan, mandi, tidur dengan aman selagi anak masih kecil.
Gambar sekadar hiasan.
Apabila kamu membentak marahkan orang tua, kenapa susahkan orang nak kahwin. Padahal kamu tidak sedar. Ibu bapa sedang mendidik kamu bahawa kehidupan selepas kahwin itu BUKAN MUDAH sebab itu mereka mahu kamu berdikari sekurang-kurangnya cuba hadapi susah sendiri tanpa harapkan-
orang lain sebab kahwin memang senang tetapi menjadi ketua keluarga dan ibu rumah tangga itu tidak mudah!
Tak sedikit yang rumah tangganya runtuh disebabkan masalah KEWANGAN, TIDAK FAHAM dan TIDAK MELAKSANAKAN TANGGUNGJAWAB, TIADA KEPERCAYAAN, PERSEFAHAMAN serta lain-lain.
Walaupun asalnya perkahwinan itu diawali atas dasar cinta yang mendalam.
Malangnya kita hanya menyedari setelah kahwin. Untuk menjayakan hidup berumah tangga. Cinta saja tak cukup rupanya.
Barulah kita sedar quote ‘rezeki setelah nikah’ itu perlu diusahakan dan disertakan dengan ujian bukannya terus bergolek masuk dalam mulut.
Cuma ketika itu baru kita sedar, betul apa mak ayah kata… “cinta saja tak cukup”..
Bukan sahaja saat hambaNya berjaga , malah sewaktu hendak tidur pun Allah titipkan pahala! Bukan perkara sulit untuk tidur malah ramai yang suka tidur bagi melepaskan lelah seharian bekerja.
Sesungguhnya Allah itu Maha Pengasih dan Penyayang kepada setiap hambaNya. Rabbul Izzah tidak pernah berkira melimpahkan kebaikan dan pahala kepada para hambaNya tanpa kira siapa, di mana dan bila masa sekalipun.
Tidur juga merupakan ibadah. Betapa nikmatnya tidur menghilangkan penat kemudian menjadi amalan mengutip pahala.
Bagaimana tidur yang nikmat itu dapat memberi ganjaran pahala? Jawapannya kerana adanya sunnah Rasulullah yang dapat dilakukan setiap kali hendak tidur. Berikut adalah lima amalan Rasulullah saat hendak tidur. Senang sesenang-senangnya.
Bukan hanya berwuduk sebelum solat, kita disarankan mengambil wuduk sebelum tidur agar kita dalam keadaan suci saat tidur. Seandainya kita menemui ajal saat tidur, maka kita meninggal dalam keadaan suci.
Selain itu, sunnah ini juga dapat melindungi kita daripada gangguan syaitan dan menghantarkan kita pada mimpi yang baik.
Dari Al Bara bin Azib, Rasulullah SAW bersabda, “Apabila kamu mendatangi tempat tidurmu, maka berwuduklah kamu sebagaimana wudukmu untuk solat,” (HR.Al Bukhari dan Muslim).
Jika terjaga di tengah malam sekalipun, Nabiyullah Muhammad pun berwuduk kembali. Sebagaimana dalam hadis dari Ibnu Abbas r.a mengatakan,
“Rasulullah terjaga di suatu malam lalu beliau menunaikan hajatnya kemudian membasuh wajah dan tangannya (berwuduk) lalu tidur,” (HR. Al Bukhari dan Abu Dawud)
Sunnah berikutnya ialah membersihkan tempat tidur dengan cara mengibas-ngibaskan cadar. Hal ini termasuk adab tidur yang menjadikan tidur kita lebih bernilai pahala di sisi Allah.
Padahal, fungsi membersihkan tempat tidur semata-mata kerana kebaikan hamba agar terhindar bahaya di tempat tidur. Mungkin sahaja di sana terdapat binatang melata ataupun serangga berbahaya yang dapat menyengat apabila saja saat kita terlelap.
Rasulullah bersabda, “Apabila salah seorang dari kalian beranjak menuju tempat tidurnya, maka hendaklah dia mengibas (membersihkan) tempat tidurnya karena dia tidak mengetahui apa yang akan terjadi kemudian.” (HR. Al Bukhari dan Muslim)
Sudah menjadi sunnah Rasulullah untuk tidur menghadap kanan atau lebih tepatnya tidur di atas rusuk kanan. Beliau pun memerintahkan kebiasaan tidur ini kepada umat baginda.
Nabi Muhammad bersabda, “Lalu tidurlah di atas rusukmu yang kanan.” (HR. Al Bukhari dan Muslim).
Kebiasaan nabi ini ditujukan agar lebih mudah saat bangun di pagi hari. Di era modern kini diketahui bahawa cara tidur demikian sangatlah baik untuk kesihatan tubuh terutama dalam sistem pencernaan.
Sunnah berikutnya ialah meletak tangan sebagai alas pipi ketika tidur. Inilah yang menjadi kebiasaan Rasulullah sebagaimana dikhabarkan sahabat Hudzaifah.
Beliau menceritakan, “Apabila tidur di malam hari, Rasulullah meletakkan tangan beliau di atas pipi” (HR. Al Bukhari)
Yang terakhir ialah berdoa dan berzikir sebelum tidur. Ada beberapa lafaz zikir sebelum tidur. Adapun berdoa sebagaimana yang telah terkenal dan dihafal sejak kecil, yang ertinya, “Ya Allah, dengan menyebut namaMu aku hidup dan dengan menyebut namamu aku mati (tidur),” (HR. Muslim dan Ahmad)
Banyak hadis yang menyebutkan perihal zikir Rasulullah sebelum tidur. Beberapa di antaranya ialah :
Mengucapkan tasbih sebanyak 33 kali, tahmid 33 kali dan takbir sebanyak 34 kali. Selain itu juga berzikir dengan membaca tiga surat perlindungan, iaitu: Al Ikhlas, Al Falaq dan An Nas.
Ummul mukminin Aisyah mengkhabarkan,
“Apabila Rasulullah akan tidur, beliau meniup kedua tangan beliau dan membaca mu’awwidzat (ayat-ayat perlindungan) lalu mengusap dengan itu keseluruh jasadnya,” (HR. Al Bukhari, Muslim, Ahmad, Abu Dwud, Ibnu Majah).
Dalam hadis lain yang juga dari ummul mukminin, diterangkan bahawa Rasulullah SAW membaca surat tersebut kemudian mengusap tubuh.
Caranya ialah dengan menghimpun kedua telapak tangan kemudian meniupnya dan membaca tiga surat tersebut.
Selepas itu, usaplah dengan tangan ke seluruh tubuh dimulai dari kepala, wajah kemudian bahagian depan tubuh. Hal ini dilakukan sebanyak tiga kali.
Kashoorga: Ambil lah peluang ini sebaik mungkin. Kita amalkannya secara istiqamah.
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download
sekarang ya?
Kala ini ramai mempersoalkan SOP di kalangan orang miskin dan orang kayangan. Banyak contoh-contoh jelas berlaku di depan mata sehingga segelintir netizen merasakan mereka juga perlu menjadi kaya agar boleh balik kampung menjengah mak ayah atau pergi berbulan madu. Walau kerajaan menegaskan tiada kompromi antara golongan ini tetapi semakin hari semakin banyak kepincangan peraturan ditunjukkan di depan mata.
Malah di media sosial, ramai yang melihat kemiskinan atau hidup seadanya sebagai “satu masalah” di mana mereka beranggapan menjadi kaya boleh buat macam-macam perkara. Misalannya dakwaa boleh rentas negeri, boleh balik kampung, boleh hantar kereta pada mak ayah dan sebagainya tapi kalau orang miskin hanya perlu duduk di rumah sahaja. Kalau buat kena denda? Namun sebelum kita merosakkan pemikiran tentang istilah miskin, kaya atau kayangan ini, dengarkanlah sebuah hadis Rasulullah SAW ini.
Daripada Ibnu Abbas dan ‘Imran bin Hussain r.a, bahawasanya Rasulullah SAW telah bersabda: “Aku melihat ke dalam syurga, maka aku dapat melihat kebanyakan penghuninya adalah terdiri daripada kalangan orang-orang fakir miskin. Dan (apabila) aku melihat ke dalam neraka, maka aku dapat melihat kebanyakan penghuninya adalah terdiri daripada golongan perempuan.” (Hadis riwayat Muttafaqun ‘alaih)
Sesuatu yang perlu dikaji dan kita fikirkan, kenapakah di dalam syurga ramai kaum fakir dan miskin? Di mana orang kaya? Dari hadis ini jelas tidak ramai orang kaya di syurga Allah. Di mana golongan kaya di dunia berada kalau bukan di syurga Allah? Di akhirat kita bukan ada rumah banglo, rumah teres atau rumah flat sebaliknya hanya ada dua sahaja iaitu syurga dan neraka? Apa kelebihan si fakir dan miskin sehingga mereka pula yang meramaikan syurga?
Perlu difahami, atau jangan pula beranggapan tak apa jadi miskin, nanti masuk syurga kerana hadis di atas. Kita memang disuruh bertebaran ke serata ceruk muka bumi mencari rezeki tapi rezeki yang halal selain meneguh keimaman kita kepada Allah. Jangan jadi orang miskin tapi iman selemah-lemah iman kerana beranggapan akan hadis di atas.
Bacalah satu perkongsian cerita di bawah ini yang sarat dengan pengajaran.
Dipetik dari Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, lihatlah bagaimana orang miskin tapi imannya teguh (walau ditawar kekayaan oleh putera Raja namun dirinya menolak sama sekali). Kerana teguhnya iman dan pendiriannya, mendorong putera raja “mengikut” langkah si miskin dan membuang kekayaannnya dan merasai kehidupan sebagai orang miskin sehingga ke akhir hayatnya.
Kisah ini diambil dari tulisan Dr. Aidh al-Qarni dalam bukunya bertajuk Siyat al-Qulub. Berikut kisah yang beliau nukilkan dalam buku tersebut:
Pada suatu hari, Putera ‘Ali – salah seorang daripada putera Khalifah al-Ma’mun – berdiri sambil melontarkan pandangannya ke luar istana memerhatikan pasar kota Baghdad. Dia sedang berada di puncak istana yang megah; makanannya lazat, kenderaannya empuk dan hidupnya menyenangkan. Dia memakai pakaian yang cantik lagi indah dan menikmati makanan yang paling lazat. Sepanjang hidupnya dia tidak pernah merasa apa yang dinamakan lapar dan tidak pernah merasa haus. Dahinya juga tidak pernah terkena pancaran sinar matahari.
Dia memandang ke arah orang-orang yang lalu lalang di pasar. Pandangan putera mahkota terhala kepada seorang lelaki daripada sekian banyak manusia yang dilihatnya. Lelaki itu bekerja sebagai kuli yang bekerja mengangkat barang-barang orang lain dengan diberi upah.
Pada diri lelaki tersebut terpancar tanda kesolehan dan ahli ibadah. Barang yang dipikulnya diletakkan di atas belakangnya. Dia memikul barang-barang tersebut dari satu kedai ke kedai yang lain, dari satu tempat ke tempat yang lain.
Putera mahkota tersebut, dari atas istana memperhatikan tingkahlaku dan aktiviti yang dilakukannya di pasar itu. Apabila waktu Dhuha telah mencapai pertengahannya, tukang pikul ini lalu meninggalkan pasar dan pergi menuju ke tepi sungai Tigris, lalu mengambil air wudhuk dan menunaikan solat dua rakaat. Kemudian dia mengangkat kedua tangannya berdoa kepada Allah SWT.
“Maha Suci Allah yang dapat dihubungi oleh orang-orang fakir miskin. Maha Suci Allah yang berlindung kepada-Nya orang-orang yang teraniaya dan orang-orang yang tertindas. Maha Suci Allah yang dikenal oleh orang-orang yang sederhana dan terhalang dari kebanyakan orang-orang kaya dan orang-orang yang terpandang.” Apabila tukang pikul ini selesai solat Dhuha, dia kembali bekerja sehingga menjelang waktu Solat Zohor. Kemudian dia membeli roti berharga satu dirham, lalu roti itu dibawanya ke tepi sungai Tigris. Roti itu kemudian dibasahkan dengan air terlebih dahulu, barulah dia makan dan minum.
Setelah selesai makan, dia mengambil air wudhuk untuk solat Zohor dan kemudian berdoa, menangis dan mengadu kepada Allah SWT. Kemudian dia tidur sejenak. Setelah itu, dia bangun, lalu turun ke pasar dan bekerja lagi dengan bersungguh-sungguh. Selesai semuanya itu, dia membeli roti lalu pulang ke rumahnya.
Putera Raja tawar kekayaan dunia namun ditolak mentah-mentah
Pada hari yang kedua, dia kembali melakukan kegiatan rutinnya seperti biasa tanpa ada perubahan. Hal yang sama dia lakukan pula pada hari yang ketiga, hari yang keempat sehingga beberapa hari berikutnya.
Akhirnya, putera mahkota itu pun menyuruh salah seorang pengawalnya untuk memanggil tukang pikul itu, kerana dia ingin bercakap dengannya di istana. Pengawal itu lalu pergi untuk memanggil tukang pikul tersebut.
Apabila melihat kedatangan pengawal kerajaan itu, tukang pikul berkata kepada dirinya sendiri, “Ada urusan apakah tentang Bani Abbas ini datang kepadaku? Aku rasa aku tiada urusan dengan khalifah.” Mereka berkata, “Putera khalifah memerintahkan kepadamu untuk datang menghadap beliau sekarang juga.”
Seketika terlintaslah dalam fikiran si miskin ini bahawa putera khalifah pasti akan bertanya dan menghukum dirinya. Disebabkan itu, dia berkata, “حَسْبُنَا اللَّهُ وَنِعْمَ الْوَكِيلُ” (Cukuplah Allah menjadi pelindung kami, dan Dia adalah sebaik-baik penolong).
Kalimat ini adalah senjata orang-orang miskin, orang-orang yang tertindas, dan orang-orang yang teraniaya serta orang-orang yang lemah, namun dapat meruntuhkan keangkuhan orang-orang yang melampaui batas, dapat merobekkan jerejak besi, dan dapat meruntuhkan benteng yang kukuh.
Nabi Ibrahim AS ketika ditangkap, sedangkan api telah menyala dengan hebatnya, lalu mereka melemparkannya ke dalam kemarakan api itu, dia mengeluarkan senjatanya dan berdoa, , “حَسْبُنَا اللَّهُ وَنِعْمَ الْوَكِيلُ” (Cukuplah Allah menjadi pelindung kami, dan Dia adalah sebaik-baik penolong). Maka ketika itu juga Ibrahim AS sdengan nikmat daripada Allah dan kurniaan-Nya selamat daripada api tanpa terbakar walaupun sedikit pada badannya.
Orang miskin ini masuk menemui putera khalifah yang bernama Ali bin al-Ma’mun dan mengucapkan salam kepadanya. Beliau bertanya kepadanya, “Adakah kamu kenal diriku?”
Dia menjawab, “Aku belum pernah melihat tuan, tetapi aku mengenal tuan.”
“Aku adalah anak khalifah,” jawab Ali.
“Orang ramai menyebut demikian,” jawab si miskin bersahaja.
“Apa pekerjaanmu?” tanya Ali.
“Aku bekerja bersama hamba-hamba Allah di negeri Allah,” jawab si miskin.
“Aku telah melihatmu selama beberapa hari terakhir ini, dan aku lihat kamu begitu sengsara. Maka aku ingin meringankan penderitaanmu,” Putera khalifah itu menawarkan bantuan kepadanya.
“Dengan cara apakah tuan akan melakukannya?” si miskin kembali bertanya.
“Kamu dan keluargamu boleh tinggal dalam istana bersamaku. Kamu akan hidup senang, mempunyai tempat tinggal, makan dan minum tanpa ada sebarang kesusahan dan kesulitan, serta tanpa ada penderitaan dan kesedihan,” jawab putera khalifah tersebut.
Si miskin menjawab, “Wahai putera khalifah, tidak ada kesusahan bagi orang yang tidak berdosa, tidak ada penderitaan bagi orang yang tidak derhaka, dan tidak ada kesedihan bagi orang yang tidak melakukan kejahatan. Adapun orang yang berpetang hari dalam kemurkaan Allah dan berpagi hari dalam keadaan derhaka terhadap Allah, maka dia adalah orang yang selalu ditimpa kesusahan, kesedihan dan penderitaan.
Putera khalifah kemudian bertanya tentang keluarganya, lalu si miskin menjawab, “Aku hanya memiliki ibuku yang sudah tua renta dan saudara perempuanku yang buta lagi papa. Aku datang dengan membawa roti untuk memberi makan berbuka puasa kepada keduanya sebelum matahari tenggelam, kerana keduanya selalu berpuasa setiap hari. Kami makan bersama, kemudian tidur.”
Putera khalifah bertanya, “Waktu mana engkau bangun?”
Dia menjawab, “Apabila rahmat yang Maha Hidup Kekal lagi terus-menerus mengurus makhluk-Nya turun ke langit yang terdekat (waktu sahur).”
Putera khalifah bertanya lagi, “Apakah kamu mempunyai hutang?”
Dia menjawab, “Dosa-dosa yang aku lakukan antara aku dan Allah yang Maha Hidup Kekal lagi terus-menerus mengurus makhluk-Nya.”
Putera khalifah bertanya, “Adakah kamu ingin hidup seperti kami?” “Tidak, demi Allah,” jawab tegas si miskin.
“Mengapa?” Putera khalifah bertanya kehairanan.
“Aku takut hatiku akan menjadi keras, dan agamaku menjadi rosak,” jawab si miskin.
“Apakah kamu lebih memilih menjadi kuli tukang pikul di pasar dalam keadaan lapar di bawah terik matahari, tidak berpakaian, susah, sedih lagi sengsara, dan tidak mahu hidup bersamaku di dalam istana kerajaan?” tanya putera khalifah.
“Benar, demi Allah.” Jawab si miskin. Kemudian dia pun turun, dan pergi meninggalkan putera khalifah.
Disangka sudah mati tapi hidup Putera Mahkota penuh dengan amal selepas menyamar menjadi miskin
Putera khalifah merenung dan berfikir dengan perasaan yang syahdu sesudah mendengar ucapan si miskin yang penuh keimanan dari hatinya.
Pada suatu malam, putera khalifah terbangun dari tidurnya yang begitu lena lagi lama. Beliau disedarkan oleh seruan daripada Allah yang membangunkannya:
Bangunlah wahai orang yang banyak tidur, Sampai bilakah keadaan seperti ini, Dunia ini adalah negeri yang fana (binasa), Semuanya yang ada pastilah lenyap, Kebaikannya pula sangat sedikit, Sedang keburukannya amat banyak, Usia di dunia makin berkurang dan keburukan makin bertambah, Oleh kerana itu, perbanyaklah membuat bekal, Kerana perjalanan yang akan ditempuh sangatlah jauh.
Putera khalifah terjaga di tengah malam, lalu berkata kepada pengawal peribadinya, “Aku akan bermusafir ke suatu tempat. Setelah tiga hari dari musafirku, sampaikanlah kepada ayahku, al-Makmun, bahawa aku bermusafir dan akan bersua lagi dengannya pada hari Akhirat kelak di padang Mahsyar.”
Mereka bertanya, “Mengapa engkau mahu bermusafir?”
Putera khalifah menjawab, “Aku telah muhasabah diriku, dan ternyata aku berada dalam kealpaan, tidur yang nyenyak, terdampat dan sesat, maka aku ingin berhijrah kepada Allah dengan membawa ruhku.”
Dia pun berangkat pergi di tengah malam, dalam keadaan meninggalkan baju kebesarannya dan memakai pakaian orang miskin, lalu pergi bermusafir menempuh perjalanannya hingga lenyap dari pandangan mata. Adapun khalifah tidak mengetahui ke mana arah yang dituju oleh puteranya. Begitu juga penduduk kota Baghdad. Saat terakhir pembantu istana melihat putera khalifah ialah pada hari dia meninggalkan istana menaiki kenderaannya menuju ke Wasith[16] sebagaimana yang dikatakan oleh ahli sejarah.
Putera khalifah telah mengubah penampilan dirinya dan menjadi seperti orang miskin serta bekerja dengan seorang saudagar untuk menghasilkan batu bata. Beliau mempunyai wirid yang selalu dilaziminya dan setiap pagi dia menghafal al-Qur’an, berpuasa setiap Isnin dan Khamis serta di malam harinya berqiamullail dan bermunajat kepada Allah yang Maha Hidup Kekal lagi terus menerus mengurus makhluk-Nya. Dia tidak mempunyai wang yang cukup untuk keperluan hidup sehari-harinya. Seketika kemudian, lenyaplah kesusahan dan kesulitan serta kesedihannya. Begitu juga lenyaplah rasa besar diri, sombong dan angkuh dari dalam hatinya.
Maksudnya: Dan adakah orang yang mati (hatinya dengan kufur), kemudian Kami hidupkan dia semula (dengan hidayah petunjuk), dan Kami jadikan baginya cahaya (iman) yang menerangi (sehingga dapatlah ia membezakan antara yang benar dengan yang salah, dan dapatlah) ia berjalan dengan suluhan cahaya itu dalam masyarakat manusia, (adakah orang yang demikian keadaannya) sama seperti yang tinggal tetap di dalam gelap-gelita (kufur), yang tidak dapat keluar sama sekali daripadanya? Surah al-An’am (122)
Ketika ajal sudah mendekatinya, dia memberikan cincin yang selalu dipakainya kepada majikannya – saudagar tersebut – dan berpesan, “Aku sebenarnya adalah anak khalifah al-Ma’mun. Apabila aku mati, maka mandikanlah, kafankanlah, dan kuburkanlah aku. Kemudian serahkanlah cincin ini kepada ayahku.”
Saudagar itu pun memandikan, mengafankan, dan mensolatkan jenazahnya, kemudian menguburkannya. Setelah itu, lalu dia membawa cincin itu kepada Khalifah al-Ma’mun. Pada awal mulanya, khalifah menyangka bahawa puteranya telah terbunuh di suatu tempat atau hilang atau pergi ke suatu tempat tanpa ada khabar beritanya. Setelah dia melihat cincin itu, dia pun sangat terkejut dan menangis dengan suara yang sangat kuat. Kemudian khalifah bertanya kepada saudagar itu berita tentang anaknya. Saudagar pun menceritakan kepada khalifah perihal puteranya.
Setelah mereka mendengar kisahnya, khalifah dan para menterinya menangis kesemuanya. Mereka mengetahui bahawa puteranya telah mengetahui jalannya, tetapi mereka tidak mahu berjalan bersamanya.
Maksudnya: Maka sesiapa yang Allah kehendaki untuk memberi hidayah petunjuk kepadanya nescaya Ia melapangkan dadanya (membuka hatinya) untuk menerima Islam. Surah al-An’am (125)
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download
sekarang ya?
Hidup bukan selalunya indah. Malah sudah begitu banyak kes-kes keruntuhan rumahtangga dilaporkan hanya kerana suami gagal menunaikan nafkah dan tanggungjawab. Walau diwar-war perkahwinan itu bahagia namun bukan semua wanita bernasib baik dalam perhubungan ini.
Lebih menyedihkan, kelana ke bumi Malaysia memberikan rasa duka kerana diberi harapan dan cinta palsu sedangkan kehidupan sebelumnya jauh lebih baik. Ibu ayah jauh di Gaza, malah hidup sebatang kara di sini yang langsung tidak menjanjikan masa depan. Dalam satu perkongsian dari Ngo Natipah Abu, wanita ini berkongsi sedekah Jumaat dengan kisah seorang wanita berketurunan Arab yang hidup sebatang kara di bumi Malaysia selepas ditinggalkan suami dengan anak-anak yang masih kecil.
Jadi kalau kita ada lebihan duit, bolehlah membantu wanita Gaza yang diuji dengan kesulitan kewangan selain ingin memulakan hidup baru. Baca kisah dikongsikan oleh Puan Natipah Abu di fbnya.
SEDEKAH JUMAAT HIDUP BARU KEPERLUAN RM10K SUMBANGAN MAYBANK NATIPAH ABU 552107617521
Kisah sedih ini dirujuk kepada kita oleh pihak berwajib kerana wanita malang ini memerlukan bantuan tetapi tidak banyak yang dapat dibantu kerana dia bukanlah rakyat Malaysia.
Nur (34 tahun ). Wanita berketurunan Arab ini bukanlah calang-calang. Dia memegang ijazah dalam Bahasa Inggeris dari Universiti Al Azhar – ( Kuliah Pendidikan Takhasus Bahasa Inggeris ).
Umum kita tahu pergolakan di Gaza, penindasan terhadap rakyat Palastin mendapat perhatian berbagai lapisan masyarakat antarabangsa termasuklah Malaysia.
Di sanalah, Nur berkhidmat di bawah panji-panji United Nation sebagai penterjemah kepada sukarelawan dan NGO yang masuk bermisi dan menyampaikan bantuan di sana.
Ketika menjadi penterjemah kepada sebuah delegasi yang datang dari Malaysia pada tahun 2010, Nur telah berkenalan dengan seorang lelaki yang 30 tahun lebih tua darinya.
Nur tidak pernah menduga sama sekali. Itu semua bakal menjadi titik bermulanya takdir perjalanan penuh liku hidupnya hari ini.
Diberi harapan namun kemudian ditinggalkan.Bermula dari perkenalan itu, mereka selalu berbalas mesej di FB dan lelaki itu yang juga seorang duda telah menjanjikan peluang pekerjaan dengan gaji yang lumayan sekiranya Nur berhijrah ke Malaysia.
2013. Dengan tiket dan semua perbelanjaan ditanggung lelaki itu, Nur pun terbang ke Malaysia dengan harapan pekerjaan baru yang dijanjikan akan memberikan pengalaman indah buatnya.
Sebaik tiba di Malaysia, Nur dibawa tinggal di rumah ibu lelaki itu dan dalam tempoh tidak sampai sebulan, Nur diajak berkahwin oleh lelaki itu atas alasan masalah visa dan imigresen. Tidak punya pilihan lain, Nur yang ketika itu menaruh harapan yang tinggi untuk berdagang nasib di Malaysia, menerimanya dengan hati yang terbuka.
Namun sayang, bukan sahaja perkerjaan yang dijanjikan tidak menjadi kenyataan, bahagia yang diharapkan juga tidak kunjung tiba.
Sepanjang tempoh 8 tahun berkahwin, Nur sengsara menanggung derita. Hidup di bumi asing yang tiada bersaudara. Tidaklah semudah yang disangkakan.
Cukuplah kalau kita katakan .. Nur juga mangsa penderaan emosi dan keganasan rumah tangga, suami tidak menjalankan tanggung jawabnya dengan sempurna.
Dalam tempoh 8 tahun ini, sudah dua kali dia ditalakkan dan rujuk semula dan kini dia dihalau lagi. Namun Nur sama sekali tidak berhasrat untuk berpisah pun bahkan dalam tempoh dua kali rujuk sebelum ini, Nur lah yang merayu.
Nur tinggal di Malaysia atas visa suami kepada warga negara. Jadi walau apa pun terjadi, Nur harus mengekalkan statusnya sebagai seorang isteri. Walau sudah dilayan bagai kupang tembaga, Nur tetap harus bertahan.
Nur tidak pernah bermimpi pun untuk kembali dan tinggal di negara asalnya kerana anak-anaknya rakyat Malaysia dan keadaan di Gaza. Tidak lagi sesuai untuk membesarkan anak-anak.
Bila dihalau buat kali ketiga, Nur mula melangkah keluar mendapatkan bantuan pihak berwajib. Nur juga mula ke sana dan ke sini menghantar borang permohonan untuk mencari perkerjaan bagi membesarkan anak-anak yang berusia 6 tahun dan 9 bulan itu. Tetapi buat masa ini belum ada rezeki mereka lagi.
Tak mahu hati ayahnya di Gaza risau
ZAKAT KEDAH telah menyalurkan bantuan sara hidup RM 300 sebulan utk Nur. Dari pihak JKM pula, bantuan hanya boleh diproses atas nama anak Nur setelah anak sulungnya berusia 7 tahun dan boleh membuka buku akuan bank sendiri. Sekarang Nur tinggal di sebuah rumah kampung di dalam sebuah kebun kelapa sawit yang tiada bekalan air. Nur menggunakan air telaga yang kotor utk urusan harian. Bila hujan, Nur dan anak -anak kesejukan menadah tubuh tempias hujan dan bumbung yang bocor.
Melihat keadaan rumah Nur yang kini telah pun berpisah tempat tinggal dengan suami terasa hati bagai dihempas ke batu.
Mimpi indahnya jatuh berserakan di kaki waktu. Nur sendiri lupa bahawa dia sudah 8 tahun dia berada di Malaysia. Di mana bumi dipijak di situlah langit dijunjung. Nur lancar bertutur dan mahir membaca dalam bahasa Melayu dengan baik.
Sebagai wanita Arab, Nur sangat menjaga kehormatannya. Nur berulang kali meminta identinya dirahsiakan. Selain aib diri dan aib keluarga suami , Nur bimbang sekali ayahnya di Gaza tahu tentang keadaannya.
Tidak sampai hati sungguh dia membiarkan ayah yang dulunya seorang guru dan telah tua itu, bermandikan air mata seandainya dia tahu tentang nasib anak bongsunya di perantaun. Yang semua kelurganya tahu Nur bahagia di sini.
Jumaat yang barakah ini semoga sumbangan yang kita kumpul hari ini mampu membawa sinar baru dalam hidup Nur dan dua orang anaknya.
Langkah pertama kita, membawa Nur berpindah ke rumah yang lebih selesa dan selamat. Menanggung kos sewa rumah dan membeli keperluan asas rumah.
Kita juga akan berusaha membantu Nur mendapatkan pekerjaan yang setara dengan pengalaman beliau sebagai guru kelas tusyen Bahasa Inggeris dan Bahasa Arab sebelum ini.
Semoga Ramadhan yang bakal tiba dalam masa 4 hari lagi nanti akan membawa seribu rahmat buat Hamba Allah yang tidak berdaya ini.
“Saya selalu berdoa kepada Allah Ajzawalla, Ya Allah! hantarlah orang yang baik untuk saya dan anak-anak… “
Hukum ubat kuat menurut Ustaz Azhar Idrus adalah harus jika digunakan untuk tujuan kesihatan dan nafkah batin, dengan syarat produk halal, selamat serta tidak memudaratkan pengguna.