Menyediakan tempat tinggal buat isteri antara tanggungjawab dan kewajipan seorang suami selain menyediakan pakaian, makanan, nafkah mengikut kemampuan, mendidik isteri menambah ilmu agama bagi menunaikan kewajipan fardhu ain serta bergaul dengan isteri dengan cara yang baik.
Memang besar tanggungjawab seorang suami terhadap isterinya. Apabila seorang lelaki itu sudah bersedia untuk mendirikan rumah tangga ini bermakna dia juga sudah bersedia untuk memikul amanah yang telah diberikan iaitu isterinya.
Isteri saya bertanya, jika ada lelaki meminang Haura, tetapi lelaki itu mahu tinggal dengan ibu bapanya, tidak mahu duduk berasingan, adakah saya akan terima.
Saya bertanya: Mak bapak lelaki itu sakit ke dan memang memerlukan anaknya di sisi? Jawapan isteri saya: Tidak.
Maka saya menjawab: Insya-Allah, ‘reject’ awal-awal sebab lelaki itu tidak faham tanggungjawab sebagai suami dan belum sedia menjadi suami.
Bahkan, sepatutnya 2-3 bulan sebelum bernikah sudah mula cari rumah untuk didiami nanti selepas pernikahan. Habis menikah, boleh terus masuk rumah.
Wahai kaum lelaki ‘beragama’, fahami agamamu sebenar-benarnya. Semaklah fatwa para ulama berkaitan menyedian kediaman berasingan untuk isteri daripada keluarga mertua, dan hak isteri untuk menolak tinggal dengan mertua. Sesungguhnya kefahaman anak lelaki perlu utamakan ibu bapa sebelum isteri sering disalah fahami dengan erti kata yang tidak benar. Belajar agama betul-betul, baca huraian para ulama betul-betul.
BELUM SEDIA JADI SUAMI
Ads
Bagi saya, jika anda tidak bersedia hidup berasingan daripada ibu bapa anda, bermaksud anda belum bersedia menjadi seorang suami.
Apabila melihat reaksi dan komen kepada ‘post’ saya yang menyatakan saya akan ‘reject’ mana-mana lelaki yang masih mahu tinggal dengan ibu bapanya yang meminang anak perempuan saya membuatkan saya terfikir, sejauh manakah pengetahuan kita semua berkaitan kewajipan suami dan isteri, hak suami dan isteri.
Kita sering menggunakan kaedah ‘isteri kena taat suami dalam perkara yang tidak melanggar syara’, lalu kaedah ini digunakan secara meluas dalam semua perkara termasuk jika suami mahu tinggal dengan ibu bapanya, isteri wajib taat, suami suruh isteri jaga ibu bapa suami, isteri wajib taat. Sejauh itukah ketaatan kepada suami sehingga isteri berdosa jika enggan mentaati suami?
Apatah lagi kaedah mengarut yang berbunyi: “Apabila seorang wanita sudah berkahwin, ibu bapa suami adalah lebih diutamakan daripada ibu bapa sendiri”.
Saya tidak tahu kenapa perkara yang sangat banyak dibahaskan dalam karya-karya feqh para ulama ini seolah-olah asing daripada pengetahuan masyarakat Melayu.
Ads
HAK ISTERI MENDIAMI KEDIAMAN SENDIRI
Saya menulis status sebelum ini kerana saya tahu, itu merupakan hak kepada seorang isteri untuk mendiami kediaman yang berasingan daripada ahli keluaraga suami dan ahli keluarganya. Sepatutnya, kewajipan asas sebegini diketahui seorang lelaki dan wanita sebelum memasuki alam perkahwinan supaya tidak ada sesiapa yang menzalimi atau dizalimi. Saya ingin memetik beberapa kalam ulama yang berkaitan, kemudian yang lain, tuan-tuan boleh terus membaca pada pautan yang saya berikan.
من حق الزوجة أن يكون لها مسكن خاص مع زوجها وأولادها ، لا يشاركها فيه أحد ، لا أب ولا أم ولا قريب . وإلى هذا ذهب جمهور الفقهاء من الحنفية والشافعية والحنابلة ، وأن لها الامتناع من السكن مع أبيه وأمه وإخوته . قال الكاساني في بدائع الصنائع (4/24): ” ولو أراد الزوج أن يسكنها مع ضرتها أو مع أحمائها كأم الزوج وأخته وبنته من غيرها وأقاربه فأبت ذلك ; عليه أن يسكنها في منزل مفرد ; لأنهن ربما يؤذينها ويضررن بها في المساكنة ، وإباؤها دليل الأذى والضرر ولأنه يحتاج إلى أن يجامعها ويعاشرها في أي وقت يتفق ولا يمكنه ذلك إذا كان معهما ثالث ” انتهى.
Antara hak seorang isteri ialah dia mempunyai tempat tinggal yang khusus bersama suaminya dan anak-anaknya yang tidak dikongsi bersama orang lain sama ada ayahnya, ibunya atau kaum kerabat yang lain. Ini adalah pendapat majoriti ulama daripada mazhab Hanafi, Syafie dan Hanbali. Si isteri berhak untuk enggan tinggal bersama mertuanya dan kaum kerabat suaminya.
Imam al-Kasani menyebutkan dalam Badai’ al-Sona’i: Seandainya si suami mahu menempatkan isterinya bersama dengan madunya, atau keluarga suami, seperti ibu suami, adik beradik perempuan suami, atau anak-anak perempuan suami daripada isteri yang lain, atau kaum kerabat suami, lalu si isteri enggan, maka wajib untuk suami menyediakan tempat tinggal yang berasingan kepada si isteri. Ini kerana mereka yang tinggal serumah itu mungkin boleh menyakiti hati isteri atau memukulnya jika mereka tinggal serumah. Keengganan si isteri merupakan petunjuk bahawa beliau terganggu atau disakiti. Ini jua kerana si suami perlu jua mampu untuk melakukan hubungan seksual dengan isteri atau bermesra dengannya pada bila-bila masa, dan ini tidak mungkin berlaku apabila adanya orang ketiga di dalam rumah.
والذي ننصحك به في ختام هذا الجواب أن تسعى للتوفيق بين زوجتك ووالدتك وعائلتك ، وأن تعطي كل ذي حق حقه ، فتعطي الزوجة حقها في السكن المستقل ، ولا يضرك أن يغضب أحد منهم لانفرادك بالسكن ، لأنك لم تخطئ في ذلك ، ولكن عليك الاستمرار في صلة أقاربك وأمك وإخوانك .
Ads
Nasihat kami kepada kamu sebagai penutup jawapan ini: Hendaklah kamu berusaha untuk mendamaikan antara isteri kamu, ibu kamu dan ahli keluarga kamu, dan hendaklah kamu memberikan kepada setiap orang haknya. Oleh itu hendaklah kamu memberikan kepada isteri haknya iaitu kediaman yang berasingan. Tidaklah memudharatkan kamu akan kemarahan salah seorang daripada mereka disebabkan keputusan kamu untuk tinggal berasingan kerana kamu tidak melakukan apa-apa kesalahan dalam hal ini. Akan tetapi hendaklah kamu berterusan menjalinkan hubungan silaturahim dengan kaum kerabat kamu, ibu kamu, dan adik beradik kamu.
BUKAN KERANA DERHAKA
Begitu juga penutup kepada aduan seorang isteri, di mana disebutkan:
فنصيحتنا لزوجك أن يبادر إلى إيجاد سكن مستقل لكما ، ويسعى في إرضاء أمه بالقول الحسن ، والإكثار من زيارتها ، وتفقد أحوالها ، وبالهدية ونحوها ، وليعلم أن خروجه من بيت أمه لا يعد عقوقا .
Nasihat kami kepada suami kamu ialah agar segera menyediakan kediaman yang berasingan untuk kamu berdua, dan berusaha mendapatkan keredhaan ibuya dengan perkataan yang baik, dan kerap menziarahinya, mengambil berat keadaannya, memberinya hadiah dan sebagainya. Suami itu hendaklah tahu bahawa keluarnya dia dari rumah ibunya tidak termasuk dalam penderhakaan kepada ibunya.
Sering terjadi pertelingkahan di antara suami isteri disebabkan tidak memahami perasaan, kehendak dan keperluan pasangan. Walaupun ada yang sudah berkahwin puluhan tahun, pergaduhan kecil sering berlaku.
Ada yang mengatakan suami tidak memahami perasaan isteri, isteri pula mengatakan sebaliknya. Bergaduh macam mana sekali pun, tidak perlulah sampai bercerai berai.
Tak semestinya gaduh je nak kena cerai. Gaduh manja biasalah. Tapi kalau gaduh sampai naik kaki tangan, itu memang kena berpisah la ikut cara mahkamah.
Setakat gaduh hal hal kecik ni, boleh nego lagi. Islam agama yang mengajak ummat untuk hidup bekeluarga. Carilah jalan penyelesaian dengan SOLAT dan SABAR.
Dalam perhubungan perlu ada tolak ansur dan saling memahami agar jalinan kebahagiaan kekal sehingga hujung nyawa. Antara panduan yang boleh diikuti terutama suami isteri bekerja adalah:
1. Ubah sikap
Perkara paling penting adalah setiap pasangan perlu mengubah sikap masing-masing menjadi seorang yang prihatin terhadap masalah orang lain. Dengan cara ini saja dapat mengikis sikap mementingkan diri sendiri. Bagi suami, mereka seharusnya membuang sikap dan ego agar pergaduhan tidak berpanjangan.
2. Memahami perasaan pasangan
Banyak masalah dalam rumah tangga berpunca daripada masalah di tempat kerja, kesihatan, kewangan, isu keluarga kedua pihak dan anak. Setiap masalah ada jalan penyelesaiannya. Apa yang penting saling berkongsi pendapat serta memahami perasaan pasangan.
3. Untuk suami isteri bekerja
Bagi suami isteri bekerja, tiada istilah siapa suri rumah sebenarnya. Sekiranya pasangan berkemampuan, bolehlah mengambil pembantu untuk meringankan beban kerja di rumah. Tetapi sekiranya tidak mampu, suami isteri perlu bekerjasama di dalam menguruskan rumah tangga.
Biasanya isteri yang lebih banyak melakukan kerja rumah berbanding suami walaupun kedua-duanya berkerja. Saling memahami dalam hubungan suami isteri sangat membantu dalam mewujudkan sebuah keluarga bahagia.
4. Amalkan makan bersama setiap hari
Berbual mesra dan nasihat-menasihati ketika makan. Amalan ini akan menarik hidayah Tuhan dan mengeratkan hubungan. Elakkan berbual perkara yang melalaikan semasa makan.
Suami adalah pembimbing keluarga. Tanggungjawab suami terhadap isteri merangkumi banyak aspek terutama yang membabitkan emosi, tingkah laku dan perwatakan isteri. Menikahi seorang wanita bermakna tanggungjawab seorang suami itu telah bermula.
Melalui perkongsian Zureiny Zulkafly, wanita ini berkongsi tentang nukilan hatinya mengenai seorang suami.
Suami yang dicintai sepenuh hati oleh sang isteri bukan kerana manis mulut menabur janji; dia adalah lelaki yang tulus mencintai dan berkorban tanpa ragu.
Suami yang hebat di mata sang isteri bukan kerana kedudukan, kekayaan atau kekuasaan; dia adalah lelaki yang mampu menundukkan nafsunya terhadap godaan dunia.
Suami yang kuat di hati sang isteri bukan kerana tubuh sasa atau kekar ototnya; dia adalah lelaki yang upaya sabar ketika marahnya.
BAIK AKHLAK DAN BUDI BAHASA
Suami yang soleh di jiwa sang isteri bukan kerana tinggi ilmu dan pengetahuan agama atau amal ibadahnya; dia adalah lelaki yang paling baik akhlak dan budi bahasanya.
Suami yang terkaya di minda sang isteri bukan kerana limpahan harta atau wang ringgit; dia adalah lelaki yang paling banyak bersyukur dan mengucapkan terima kasih.
Suami yang didambakan sang isteri bukan kerana keelokan wajah dan kesempurnaan tubuhnya; dia adalah lelaki yang memberi rasa selamat dan selesa.
PEMBIMBING DAN PENDENGAR YANG SETIA
Suami yang dicontohi sang isteri bukan kerana kesempurnaan wataknya; dia adalah lelaki yang paling banyak memberi manfaat kepada keluarga dan orang di sekelilingnya.
Suami yang dihormati sang isteri bukan kerana paksaan atau ketakutan; dia adalah lelaki yang jujur tanpa prasangka, membimbing dan menjadi pendengar yang setia.
Suami yang sangat dirindui sang isteri adalah lelaki yang dihargai ketika masih ada dan dikenang setelah dia tiada. Saat bersama membuai bahagia. Saat terpisah mengukuhkan cinta.
Sumber kredit: FB: Zureiny Zulkafly
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama. Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
Dalam membina rumah tangga, kesepaduan antara dua belah pihak suami dan isteri, adalah amat penting. Perkara yang pertama perlu diwujudkan adalah melaksanakan tanggungjawab, kewajipan dan hak masing-masing. Dalam masa yang sama, perkara yang tidak kurang pentingnya bahkan itulah yang menjadikan rumahtangga sebagai baiti jannati adalah pengorbanan.
Para suami berkorban untuk isterinya dan para isteri berkorban untuk suaminya. Dengan sebab itu, akan lahirlah kasih sayang seperti yang termaktub dalam Surah al-Rum. Natijah daripada perkahwinan adalah mendapat ketenangan, mahabbah (kasih sayang) dan juga rahmah yang melahirkan cinta dan kebahagiaan.
Al-Quran sendiri telah mengajar suami supaya bergaul dengan isteri dengan cara yang baik samada daripada sudut adat dan yang lebih penting lagi berlandaskan syariat.
Firman Allah SWT:
وَعَاشِرُوهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ
Maksudnya: “Dan bergaulah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik.” (Surah al-Nisa’: 19)
Jumhur ulama’ berpendapat wajib atas suami berkhidmat kepada isterinya yang tidak mampu dan tidak layak untuk dia menguruskan dirinya sendiri. Ini kerana ia seolah-olah sebahagian daripada nafkah isteri ke atas suami dan ulama sepakat jika sekiranya isterinya sakit atau ditimpa keuzuran sehingga tidak mampu menguruskan diri sendiri untuk suami berkhidmat kepada isterinya.
SUAMI WAJIB BANTU ISTERI
Walaupun begitu, dalam mazhab Maliki wajib bagi suami menolong isterinya dalam berkhidmat jika suaminya kaya dan isterinya mempunyai kedudukan yang tidak sesuai melaksanakan tugas tersebut kerana dengan pelaksanaan tersebut akan mengurangkan darjat kedudukan isterinya itu.
Sedangkan mazhab Hanafi pula berpendapat jika isteri enggan mengisar tepung atau menguli roti di mana beliau tidak sesuai untuk tugasan itu atau kerana sakit, maka hendaklah suami menyediakan makanan yang sudah siap. Sebaliknya jika mampu, maka hendaklah isteri melaksanakan tugas tersebut dan tidak wajib atas suaminya. Hujahnya adalah Rasulullah SAW membahagikan tugasan Ali dan Fatimah di mana Ali bertugas di luar rumah sedangkan dalam rumah di tugaskan kepada Fatimah. Lihat Fath al-Bari (9/507).
Dr. Yusuf al-Qaradhawi dalam Fatawa Mu’asirah (terj.) 3/144 menyebut, “Perkhidmatan khadam merupakan salah satu bentuk pergaulan yang baik (kepada isteri). Tidak wajib mendapatkan khadam lebih daripada satu kerana haknya adalah khidmat dirinya sendiri.”
Berdasarkan kepada banyak nas dan juga nasihat salafussoleh, jelas menunjukkan para isteri amat perlu berkorban dalam ruang lingkup kerumahan sehingga dialah yang mentadbir dan mengasuh serta menguruskan rumah. Isteri digelar dalam Bahasa Arab sebagai rabbatul bayt memberi maksud tuan atau pengurus rumah.
Saidina Umar RA ketika menasihatkan Aqil RA berkenaan kedudukan isteri telah mengalasankan dengan banyaknya tugas isteri di rumah seperti mengasuh, memasak dan seumpamanya. Inilah juga yang dilakukan Asma’ binti Abu Bakr dalam membantu suami, al-Zubair Ibn al-Awwam. Hal ini tidak pelik dalam tradisi semua bangsa termasuklah sejarah Fatimah al-Zahra’ yang membantu suaminya Ali bin Abi Talib RA dengan mengisar gandum dan sebagainya. Begitu juga apa yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang berkorban untuk para suami dan keluarga mereka.
Dalam Raudhah al-Nadiyyah oleh Sayyid Siddiq Hasan Khan menyebut: “Ia berbeza mengikut tempat dan masa, keadaan seseorang individu. Nafkah di masa mewah dengan cara baik dan di waktu ekonomi meleset dengan cara yang sepatutnya.”
PERSEFAHAMAN DAN TOLERANSI
Walaupun begitu, suami yang berkemampuan sebaiknya hendaklah meringankan bebanan isteri seperti mengupah orang gaji atau membeli beberapa peralatan bagi memudahkan urusan isteri masing-masing seperti mesin basuh, alat memasak yang moden seperti periuk nasi dan lain-lain yang sudah barang tentu akan meringankan dan menyenangkan isteri.
Justeru, kami katakan bahawa dengan memahami tugas dan tanggungjawab serta realiti sebuah kehidupan dalam mengasuh mendidik anak bangsa generasi seterusnya, persefahaman dan pelaksanaan tugas serta sikap toleransi, bantu-membantu antara suami isteri boleh menatijahkan kebahagiaan sehingga terjadilah baiti jannati. Isteri dan anak-anak menjadi qurratul ain kepada suami masing-masing.
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”
Puasa ganti tapi awal pagi ada pula kawan nak belanja makan-makan, terus tak jadi puasa.Situasi ini mungkin pernah kita lakukan kerana tidak tahu hukumnya.Sebenarnya...