
Dalam pergaulan seharian atau berinteraksi dengan orang adakala kita mengalami hal-hal yang tidak menyenangkan. Misalannya dihina atau kemampuan kita direndah-rendahkan. Pasti kita akan rasa sakit hati dan timbulnya dendam hingga kalau kurang sabar, kita membalasnya dengan pukulan dan memaki hamun semula.
Tapi jika mengalami situasi buruk sebegini, bacalah doa yang diajarkan oleh Rasulullah ini selain memohon perlindungan dari Allah subhanahuwa ta’ala.
Bahkan semasa menyebarkan agama islam, Rasululllah Shallallahu alaihi wa sallam sendiri pernah mengalami hal ini (dihina) bahkan dipukul hingga berdarah. Tapi apa yang Nabi buat ialah, Nabi berdoa dan bukannya membalas perbuatan tersebut.
Inilah doa yang dibaca oleh Nabi saat dirinya dihina.
اللهم اغفر لقومي، فإنهم لا يعلمون
Allahummaghfir li qaumi fa innahum la ya’lamun.
“Ya Allah ampunilah kaumku, (mereka berbuat demikian) karena mereka tidak mengetahui.”
Doa nabi saat dihina ini ada dalam hadis riwayat Imam al-Bukhari dan Imam Muslim. Dalam hadis lengkapnya diceritakan kronologi penghinaan dan pemukulan kepada nabi saat Baginda menyebarkan dakwah.
عن عبد الله بن مسعود قال: كأني أنظر إلى رسول الله ﷺ يحكي نبيًّا من الأنبياء -صلوات الله وسلامه عليهم- ضربه قومه فأدمَوْه، وهو يمسح الدم عن وجهه، ويقول: اللهم اغفر لقومي، فإنهم لا يعلمون(متفق عليه
Saat itu Rasulullah dipukul hingga berdarah. Darah yang muncul di wajah Nabi menunjukkan pukulan itu sangat keras. Sambil mengusap darahnya, Rasulullah langsung tidak membalas perlakuan mereka sebaliknya Baginda hanya membacakan doa di atas.
Kalimat fa innahum laa ya’lamun yang dibacakan nabi di atas menunjukkan bahawa nabi sangat memahami keadaan orang-orang yang menghina dan memukuli Baginda. Mereka, bagi nabi, adalah orang-orang yang tidak mengetahui kemuliaan ajaran yang dibawa Nabi SAW. Jika mereka mengetahui, mereka pasti akan sedar dan merasa malu telah berbuat demikian.
Doa nabi saat dihina ini juga wajar dijadikan iktibar pada kita bahawa Nabi bukanlah seorang pendendam. Nabi mengajarkan kepada kita cara terbaik untuk berdakwah dan mengenalkan ajaran Islam. Bukan dengan kekerasan, melainkan dengan kasih sayang. Jadi kalau dihina, bacalah doa ini agar hinaan itu berlalu pergi. Bukan membalasnya semula dengan kekerasan. Sumber : Kalam Sindownews
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
‘Tular Video Kak Ning Berbahasa Jepun.’ Mak Cik Cleaner Masjid Negara Fasih Empat Bahasa

Isi Kandungan
Toggle‘Tular video Kak Ning berbahasa Jepun.’ Mak Cik cleaner Masjid Negara fasih empat bahasa iaitu Bahasa Inggeris, Arab dan Jerman selain daripada bahasa Jepun.
Siapa sangka seorang cleaner fasih dalam empat bahasa, bukan setakat Inggeris tetapi beberapa bahasa asing yang lain.
Tular Video Kak Ning
“Ada aura di sini (masjid) yang tiada di tempat lain,” kata ibu lima anak, Nirmaningsih Mawi atau mesra disapa Kak Ning.
Kak Ning, 59, yang juga tukang cuci menarik perhatian netizen baru-baru ini selepas tular video di laman sosial menunjukkan kefasihannya bertutur dalam bahasa Jepun dengan delegasi negara matahari terbit itu yang datang ke Masjid Negara.
Bukan setakat itu, Kak Ning yang menetap di Batu Caves, Selangor turut mengajar delegasi terbabit cara penggunaan bahasa Melayu dengan mudah sebelum melakukan tunduk hormat mengikut budaya Jepun pada akhir perbualan.
Artikel Berkaitan:
Yatt Hamzah Kongsikan Perasaan Luar Biasa Jadi Tukang Cuci Bersihkan Masjid Nabawi
Berbahasa Jepun
Berkongsi kisahnya, menurut Kak Ning, dia bukan pensyarah seperti yang didakwa segelintir netizen dan sekadar insan biasa cuma pernah bekerja selama 30 tahun sebagai pemandu pelancong namun beralih menjadi tukang cuci kerana penutupan sempadan akibat pandemik Covid-19.
“Kali terakhir saya bawa pelancong ke negara ini (sebelum PKP) adalah pada 13 Mac lalu dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mengubah hidup saya.
“Empat bulan saya tidak bekerja sebelum ambil tawaran bekerja sebagai tukang cuci di sebuah syarikat.
“Saya bekerja di situ selama enam bulan sebelum beralih ke syarikat sanitasi dan kini di sini (Masjid Negara) bersama suami yang juga bekerja sebagai tukang cuci.
“Satu pengalaman baru kerana dulu, saya bawa pelancong ke masjid tetapi kini bekerja di sini pula,” katanya.
Mak Cik Cleaner
Bercerita lanjut, jelas Kak Ning, peluang bekerja sebagai tukang cuci di masjid memberinya banyak pengalaman baru yang menyeronokkan.
“Di sini, saya dapat jumpa pelancong setiap hari, jumpa dan makan tengah hari dengan suami, solat dan baca al-Quran.
“Selain itu, ada banyak kelas agama seperti tadarus jadi itu yang menarik malah saya sudah anggap masjid ini seperti ‘heart of the city.
“Cuma, anak ada minta saya cari kerja lain tapi bagi bagi saya ia (tukang cuci) tetap satu pekerjaan malah beri peluang saya bersama suami,” katanya.
Masjid Negara
Mengimbas kenangan sebagai pemandu pelancong, dia memulakan kerjaya pada tahun 1990 bermula dengan bekerja di bawah syarikat agensi pelancongan selama empat tahun sebelum bergerak secara bebas.
Berikutan itu, Kak Ning mengambil kursus bahasa bermula dengan bahasa Inggeris pada tahun yang sama (1990), diikuti Jepun (1991-1992), Arab (2010) dan Jerman pada 2011.
Katanya, tamat kursus, dia perlu melalui ujian penilaian pula sebelum mendapat lesen bahasa daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac).
“Kiranya, saya boleh bertutur dalam lima bahasa cuma banyak berurusan dengan pelancong dari Jepun.
“Saya belajar bahasa Jepun ketika mengikuti kursus intensif Dasar Pandang Ke Timur selama enam bulan di Wisma Belia, Jalan Syed Putra, di sini selepas mendapat tajaan biasiswa daripada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
“Tamat kursus, saya bekerja sambil menjalani latihan pula di syarikat agensi pelancongan dekat Tokyo, Jepun dan di situlah saya praktikkan cara bercakap selain belajar etika kerja di sana.
“Kalau tidak ke sana, boleh jadi saya tidak boleh cakap Jepun seperti sekarang cuma pengorbanannya apabila perlu meninggalkan anak sulung yang ketika itu berumur 11 bulan,” katanya.
Baca Di Sini:
Penatnya Kaum Wanita Uruskan Macam-Macam Kerja, Redakannya Dengan Amalan Zikir Fatimah Sebelum Tidur
Wanita Kongsi Travel Umrah Secara Solo. Bab Duit No 2, Pertama Keyakinan Pada Allah Kena Tinggi
Fasih Empat Bahasa
Meskipun sudah terikat dengan komitmen kerja sebagai tukang cuci di masjid, Kak Ning belum meninggalkan sepenuhnya kerjaya sebagai pemandu pelancong.
Ia kerana dia masih menawarkan khidmat sebagai pemandu pelancong pada hujung minggu.
Kak Ning juga tiada masalah menyesuaikan diri daripada awal dengan kerja sebagai tukang cuci walaupun datang daripada bidang berbeza kerana mengikut garis panduan pembersihan ditetapkan.
“Waktu kerja saya di sini adalah daripada jam 7 pagi hingga 4 petang manakala cuti pada Ahad.
“Jadi, waktu hujung minggu saya gunakan untuk ambil tawaran kerja sebagai pemandu pelancong dan kiranya masih boleh buat kerja seperti dulu,” katanya yang dilahirkan di Sumatera, Indonesia sebelum berhijrah ke negara ini mengikut ibunya ketika berumur tiga tahun dan masih fasih berbahasa Minangkabau.
Tak Sangka Tular
Berhubung kisahnya yang tular, Kak Ning tidak menyangka videonya itu akan tular.
“Hari berkenaan, saya sedang mop lantai dan apabila nampak tiga profesor dari Jepun itu lalu, saya terus tegur kerana teruja.
“Mereka terkejut dan kebetulan ada seorang lelaki tempatan bersama jadi dia yang ambil video dan perbualan kami kasual saja.
“Cuma, tak sangka ia tular sebegitu rupa, hakikatnya saya orang biasa saja namun terima kasih kepada semua yang mendoakan.
“Diharap ia memberi semangat kepada anak muda di luar sana untuk tidak memilih kerja dan cuba belajar bahasa yang mereka minat,” katanya.
Kashoorga : Kagum dengan Kak Ning, dia menjalankan kerja bukan sekadar mencari rezeki tetapi dalam masa yang sama dia fikirkan soal ibadat dan dapat bersama suami sepanjang masa.
Sumber : myMetro
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
Umur Baru 9 Tahun Tapi Sudah Hafal 30 Juzuk Al-Quran, Setiap Hari Baca Satu Juz. Masya-Allah Hebatnya

Ketika anak seusia dengannya asyik bermain dengan rakan sepermainan atau leka dengan gajet tapi adik Haikal Firdaus berbeza. Pada usia 9 tahun dia sudahnya berjaya menghafal 30 juzuk al-Quran.
Mula menunjukkan minat menghafaz al Quran sejak usia 4 tahun, dia mendapat dorongan hebat daripada datuk dan nenek yang menjaganya.
Ikuti perkongsian yang sungguh inspirasi ini. Moga kita semua istiqomah dalam menjadi mukmin yang terbaik.
9 TAHUN 30 JUZ DALAM KEPALA
Adik ni bernama Haikal Firdaus. Berumur 9 Tahun dan Berasal dari negeri Johor. Kelebihan dia ialah 30 Juz Al-Quran dalam kepala.
Beliau dijaga oleh datuk dan nenek, orang tanya datuk dia, sejak bila adik Haikal ni mula hafal Quran dan bagaimana mana cara didik dia nak suruh rajin hafal Quran?
Jawapan yang diberikan oleh datuk kepada adik Haikal begitu inspirasi.
“Cucu saya mula menghafal al Quran sejak usia 4 tahun dan cucu saja juga perangainya lain dari kanak-kanak lain. Kami tak paksa di menghahafal tapi semua ini kehendak dia sendiri.”
“Bangun pada 5.00 pagi, ambil wudhuk dan solat, lepas solat dia baca al-Quran satu Juz hingga masuk waktu Subuh.
“Waktu pagi pergi ke sekolah agama lepas waktu sekolah pada waktu petang dia hafal Hadis 40. Tapi kalau waktu cuti sekolah dia gandakan bacaan Al-Quran setiap hari 4 Juz.”
Masya-Allah begitu hebat minat anak kecil ini kepada al-Quran. Semoga dia membesar jadi lelaki soleh.
Sumber: Keluarga & FB Mohd Ibrahim via HIMPUNAN CERAMAH DAN DOA ISLAM
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
Trend Pasangan Selebriti Dedah Aib Suami Di Media Sosial, Ini Nasihat Mufti Untuk Para Isteri

Media sosial sering jadi medan meluahkan perasaan. Barangkali ada berpendapat, ia ruang peribadi mereka dan suka hatilah nak tulis apa. Tak hairanlah ada kes-kes kecurangan selebriti didedahkan oleh pasangan mereka. Antara yang terbaru melibatkan penyampai radio (kini digantung perkhidmatannya) Syuk dan terbaru melibatkan seorang penyanyi rapper.
Dalam kes keduanya, isteri masing-masing meluahkan kes kecurangan suami dan pastinya isu sebegini mendapat simpati dari netizen. Ramai yang back-up isteri dilihat teraniaya dan sebahagiannya berkata, kaca yang pecah memang boleh dicantum semula tetapi kesannya tetap ada.
Namun trend sebegini jelas menakutkan kerana mengaibkan pasangan di media sosial adalah berdosa besar. Ikuti tulisan Mufti Wilayah Persekutuan, Sahibus Samahah Datuk Dr. Haji Zulkifli bin Mohamad al-Bakri yang kini Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dalam trend ini yang pernah menulisnya pada tahun 2017 dahulu.
Mukadimah
Telah sampai kepada pengetahuan kami soalan dan kerisauan orang ramai tentang satu fenomena yang berlaku khususnya dalam kalangan selebriti, untuk mewar-warkan kisah rumah tangga dan perceraian mereka di media sosial. Kami asalnya tidak berminat untuk mengulas secara individu kerana ia akan membuka aib dan tidak menyelesaikan masalah. Bahkan, ia akan menjerumuskan pihak yang tidak berkepentingan dan tiada autoriti kepada lembah ghibah (mengumpat), namimah (mengadu-domba), dan berleluasanya fitnah, yang akhirnya menggadaikan maruah yang menjadi tujuan Islam dan Muslim untuk mempertahankannya.
Namun apabila budaya buruk ini sudah menjadi wabak dalam masyarakat, sehingga masyarakat berasa tiada dosa memperkatakan tentang keaiban rumah tangga orang lain, maka berasa terpanggil untuk menjelaskan adab-adab yang sepatutnya diperhatikan oleh anggota masyarakat, sama ada pasangan, keluarga mertua dan masyarakat mengenai perceraian. Kami rakamkan dalam bentuk nasihat kepada semua pihak tanpa mengkhususkan kepada individu-individu tertentu.
Justeru kami judulkan artikel ini dengan tajuk “Bayan Linnas Siri ke-109 : Isu Perceraian Selebriti : Jagalah Adab-Adabnya.” Semoga pesanan dan perkongsian kami ini memberi manfaat kepada masyarakat Malaysia tentang kepentingan menjaga adab dan maruah institusi kekeluargaan.
Kenyataan Mufti Wilayah Persekutuan
Melihat kepada fenomena yang tidak sihat berlaku dalam masyarakat tentang isu perceraian ini, kami tujukan nasihat ini kepada pihak-pihak berikut:
- Nasihat Kepada Pasangan Suami dan Isteri
Islam mengajar umatnya agar memelihara hubungan perkahwinan dengan cara yang baik dan pembubaran juga dengan cara yang baik. Ini jelas seperti mana maksud ayat dalam Surah al-Baqarah, “Talaq (yang dapat dirujuki) dua kali. Setelah itu boleh rujuk lagi dengan cara yang ma'ruf atau menceraikan dengan cara yang baik.”
Imam al-Maraghi menyebut dalam Tafsir-nya (1/488) terhadap maksud “menceraikan dengan cara yang baik”:
“Sewajarnya si suami tidak menceritakan keburukan dan kehormatan diri bekas isterinya kepada orang lain, sehingga orang lain menjauhi (bekas isteri), jika dia mahu berkahwin lagi dengan lelaki lain. Sikap menceritakan keburukan bekas isteri merupakan satu kesilapan besar dalam ikatan yang pernah berlaku di antara mereka berdua.
Penentuan agama secara bertahap dalam masalah talak ini menunjukkan kasih sayang Islam menangani persoalan kemasyarakatan yang memberi hasil kebaikan keluarga dan pendidikan anak-anak, membimbing fikiran dan kehidupan yang stabil. Oleh itu, dapat mewujudkan kerjasama ibu bapa dalam membetulkan kesilapan dan memaklumkan kepada mereka tentang perhatian orang tua sebaik-baiknya, setiap ibu bapa melaksanakan tugas sesuai pada tempatnya.”
Dalam konteks hari ini, cara ihsan itu termasuklah dengan mendaftarkan perkahwinan dan perceraian mengikut saluran yang sah lagi menjaga maslahat dan menolak mudarat pasangan khususnya pihak wanita. Ini termasuklah proses dokumentasi. Ini kerana kaum wanita perlu memerhatikan waktu iddah, tidak boleh menerima lamaran dan diharamkan untuk berkahwin dengan orang lain dalam tempoh tersebut. Kegagalan pasangan khususnya bekas suami untuk mendaftarkan perceraian dan mendapatkan dokumen pengesahan mempunyai risiko mudarat bagi pihak bekas isteri jika dia ingin berkahwin dengan orang lain selepas iddah tamat.
- Nasihat Keluarga Pasangan
Kepada keluarga pihak-pihak yang berselisih, seperti mertua, saudara lelaki dan perempuan, kami nasihatkan seperti berikut:-
“Pensyariatan hukum talaq dan natijahnya menurut Islam merupakan lambang kemuliaan syariat Islam. Ia juga merupakan dalil yang unggul, bahawa peraturan syariat Islam amat bersesuaian dengan fitrah manusia dan keperluan semula jadinya.
Hakikat ini jelas apabila kelihatan umat-umat yang lain mundur kembali, iaitu daripada pegangan mereka yang mengharamkan talaq dan menganggap perkahwinan sebagai penjara yang kekal abadi, yang dihuni oleh suami isteri sama ada mereka suka atau tidak.
Hal ini selepas mereka melihat pegangan tersebut akan menimbulkan natijah yang amat buruk dan jenayah yang amat berbahaya. Mereka telah sedar bahawa hubungan suami isteri tidak mungkin berlaku dengan paksaan. Jika dipaksa, akan timbul kecelakaan kepada seluruh keluarga, bahkan ia umpama gunung berapi yang membawa kebinasaan, pembunuhan dan kerosakkan. Syariat Islam amat mementingkan usaha mewujudkan persefahaman antara suami isteri berkasih sayang dan hidup bersama yang berkekalan.
Walaupun begitu, usaha ini tidak sekadar mengikat hasad kedua-dua suami isteri itu semata-mata, bahkan ia dilakukan dengan peringatan dan panduan ke arah mewujudkan pelbagai jaminan yang positif bagi menyuburkan kasih sayang dan persefahaman antara mereka.
Dengan cara ini, menjauhkan mereka daripada unsur perselisihan dan kebencian. Antara faktor terpenting yang dianjurkan oleh Islam adalah dengan wujudnya pegangan agama yang sahih di kalangan suami isteri, melaksanakan semua kewajipan yang ditentukan serta sentiasa berakhlak mulia, sebagaimana yang diaturkan oleh syariat Allah SWT.
Inilah faktor yang memelihara rumahtangga daripada keruntuhan dan juga mewujudkan syariat sebagai undang-undang yang dirujuk jika perlu, iaitu jika pasangan tersebut cuai daripada melaksanakan adab-adab yang telah disyariatkan oleh Allah bagi memelihara kehidupan rumahtangga dan perasaan cinta dan kasih sayang antara mereka.
Berdasarkan keadaan rumahtangga dan keluarga yang harmoni dan berpegang teguh kepada hukum-hukum Islam dan adab-adabnya, didapati kes-kes penceraian hampir tidak berlaku.
Apabila yang dilihat atau yang didengar ialah kebanyakan penceraian yang berlaku dalam keluarga yang bebas daripada ikatan Islam dan terkeluar daripada peraturan-peraturan dan adab-adabnya.” Rujuk al-Fiqh al-Manhaji (edisi terjemahan) (2/10-11)
Justeru, janganlah keluarga mana-mana pihak membuat kenyataan di media sosial kerana menyerahkan urusan ini kepada mereka yang tidak ada kuasa dan autoriti untuk menyelesaikan masalah hanyalah satu dosa dan kezaliman, membuka aib dan tidak menyelesaikan masalah. Sebaiknya, berikanlah bantuan perlindungan dan kos-kos terbabit untuk penyelesaian kes yang lebih cermat dan berkesan.
- Nasihat kepada para wartawan
Kami susunkan nasihat kepada rakan-rakan wartawan yang membuat liputan isu ini, termasulah penulis-penulis akhbar, blog dan lain-lain, untuk memerhatikan perkara-perkara berikut:
- Elakkan mengapi-api dan mensensasikan suasana kerana ini merupakan keaiban seorang Muslim.
Daripada Ibn Umar R.Anhuma, Rasulullah SAW pernah bersabda di atas mimbar:
يا مَعْشَرَ من قد أَسْلَمَ بِلِسَانِهِ، ولم يُفْضِ الْإِيمَانُ إلى قَلْبِهِ، لَا تُؤْذُوا الْمُسْلِمِينَ، ولا تُعَيِّرُوهُمْ، ولا تَتَّبِعُوا عَوْرَاتِهِمْ، فإنه من تَتَبَّعَ عَوْرَةَ أَخِيهِ الْمُسْلِمِ تَتَبَّعَ الله عَوْرَتَهُ، وَمَنْ تَتَبَّعَ الله عَوْرَتَهُ يَفْضَحْهُ وَلَوْ في جَوْفِ رَحْلِهِ
Maksudnya: “Wahai para pemuda yang telah Islam dengan lidahnya, tetapi iman belum lagi masuk dalam hatinya. Janganlah kalian menyakiti orang-orang Islam, mengejek dan menghina mereka, mengintip-ngintip keaiban mereka, kerana Barangsiapa yang mencari-cari aib (atau kelemahan) saudaranya yang muslim, nescaya Allah akan membuka aibnya walaupun dia berada di dalam rumahnya.”(Riwayat Muslim (2032)
- Berpeganglah dengan fiqh al-tabayyun untuk mendapatkan berita yang sahih daripada badan berautoriti yakni mahkamah.
- Elakkan menulis sangkaan-sangkaan yang tidak pasti.
Firman Allah Taala:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اجْتَنِبُوا كَثِيرًا مِّنَ الظَّنِّ إِنَّ بَعْضَ الظَّنِّ إِثْمٌ ۖ وَلَا تَجَسَّسُوا وَلَا يَغْتَب بَّعْضُكُم بَعْضًا ۚ أَيُحِبُّ أَحَدُكُمْ أَن يَأْكُلَ لَحْمَ أَخِيهِ مَيْتًا فَكَرِهْتُمُوهُ ۚ وَاتَّقُوا اللَّهَ ۚ إِنَّ اللَّهَ تَوَّابٌ رَّحِيمٌ
Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani. (Surah al-Hujurat: 49)
- Elakkan menyubur kebencian
- Nasihat kepada masyarakat awam
Kepada masyarakat awam, kami nasihatkan sama seperti nasihat-nasihat di atas, dengan tambahan bahawa elakkan diri daripada memberi komen di media sosial yang tidak berdasarkan ilmu sebaliknya sangkaan semata-mata. Ini adalah sebahagian daripada kesempurnaan Islam. Renungilah nas-nas di berikut;
Daripada Abu Hurairah RA, Sabda Rasulullah SAW:
مِنْ حُسْنِ إِسْلَامِ المَرْءِ تَرْكُهُ مَا لَا يَعْنِيهِ
Maksudnya: “Antara kemurniaan Islam seseorang adalah apabila dia meninggalkan sesuatu yang tidak berguna baginya.” (Riwayat al-Tirmidzi (2317).
Apabila seseorang Muslim menyedari kewajipan dan tanggungjawabnya maka dia akan sibuk dengan dirinya dan memberi perhatian kepada perkara yang akan memberikan manfaat di dunia dan di akhirat. Dia akan menjauhi perkara yang sia-sia, menjauhkan dirinya daripada perkara keji dan memberi perhatian kepada perkara yang berkaita dengannya. Rujuk al-Kafi Syarah Hadis 40 (hal. 132)
Daripada Hudzaifah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
لَا يَدْخُلُ الجَنَّةَ قَتَّاتٌ
Maksudnya: “Tidak masuk syurga orang yang mengadu-domba.” (Riwayat al-Bukhari (6056)
Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
سَيَأْتِي عَلَى النَّاسِ سَنَوَاتٌ خَدَّاعَاتُ، يُصَدَّقُ فِيهَا الْكَاذِبُ، وَيُكَذَّبُ فِيهَا الصَّادِقُ، وَيُؤْتَمَنُ فِيهَا الْخَائِنُ، وَيُخَوَّنُ فِيهَا الْأَمِينُ، وَيَنْطِقُ فِيهَا الرُّوَيْبِضَةُ» ، قِيلَ: وَمَا الرُّوَيْبِضَةُ؟ قَالَ: الرَّجُلُ التَّافِهُ فِي أَمْرِ الْعَامَّةِ
Maksudnya: “Akan datang kepada manusia tahun-tahun yang penuh dengan golongan penipu. Pendusta menjadi orang terpercaya, manakala orang yang jujur pula didustai. Pengkhianat diberikan amanah manakala orang yang amanah pula dikhianati, dan Ruwaibidhah pula dibenarkan untuk bercakap.” Para sahabat bertanya, “Siapakah Ruwaibidhah itu.” Nabi menjawab: “Individu yang lemah lagi bodoh tetapi bercakap urusan umum.” (Riwayat Ibn Majah (4036)
Semoga dengan pesanan-pesanan di atas dapat menghentikan budaya fitnah dan mengumpat yang melanda, memperbaiki hubungan kekeluargaan, dan penyelesaian yang menenangkan dapat diperolehi dalam kalangan pihak yang bertelingkah. InsyaAllah.
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI