
Sebelum itu pelakon cantik ini sudah lama memasang niat untuk berhijab. Dan ternyata niat itu kemudiannya terlaksana apabila mengesahkan dirinya sudah mula bertudung sejak bermula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang lalu.
Isteri kesayangan pelakon Beego ini memberitahu dia mula mengubah penampilan dengan gaya lebih sopan san memenuhi ciri wanita Muslimah sebenar.
“Sebenarnya sejak beberapa tahun lalu lagi saya sudah menyatakan hasrat hendak bertudung tapi banyak sahaja halangan dan dugaannya.
Artikel Berkaitan: Berkat Doa Ibu Bapa Tak Pernah Putus, Kilafairy Kini Tampil Manis Berhijab. Ramai Doakan Kekal Istiqamah!
“Namun saya akui saya bermula dengan memakai baju lengan panjang dan labuh paras punggung.
“Menjadi titik permulaannya saya bertudung ketika PKP baru-baru ini. Banyak hikmahnya, bila saya duduk di rumah banyak buat ibadah seperti solat sunat dan sebagainya ia sekaligus menggerahakan hati saya untuk mahu bertudung terus,” katanya kepada Astro Gempak.
Menurut Linda lagi, dia bukan sahaja mahu mengubah imejnya sahaja, malah mahu berhijrah menjadi seorang muslimah yang sejati.
“Saya tidak mahu dilihat baik hanya kerana saya bertudung sahaja. Saya mahu perbaiki diri saya luar dan dalam.
“Jadi sebelum saya bertudung saya telah cuba memperbaiki dalaman saya dengan menjadi seorang yang lebih beradab serta berkawan dengan orang-orang yang baik.
“Sejujurnya ini penghijrahan diri saya dari dalam dan luar,” katanya lagi.
Linda dan Beego merupakan pasangan selebriti yang banyak membintangi drama Melayu di stesen televisyen.
Pasangan ini mendirikan rumah tangga pada 8 Jun 2013 dan dikurniakan tiga orang cahaya mata iaitu Jelita Clarissa, 5, Anggun Cassandra, 4 dan Indah Camella, 1.
KREDIT FOTO: INSTAGRAM LINDA HASHIM
Kashoorga: Mencari sesuatu yang cantik dan menarik, boleh layari sini
Mahu Cari Keberkatan Dunia & Akhirat, Tya Ariffin Tak Lupa Bantu Keluarga Di Indonesia Setelah Kecap Kejayaan

Kata orang bersusah-susah payah dahulu dan bersenang-senang kemudian. Begitu pepatah menggambarkan perjalanan karier aktres dan juga ahli perniagaan dari Palembang, Indonesia, Tya Ariffin yang pernah mengalami zaman sukar sebelum berjaya seperti hari ini.
Dia yang terpaksa mengorbankan segalanya termasuk meninggalkan tanah air kelahirannya kerana mengikut suami, Asyraf Khalid yang merupakan anak ketiga kepada Datuk Khalid Mohd Jiwa
Ironinya, perkenalan selama setahun setengah ketika bibit cinta bersulam antaranya dan suami, mengubah drastik kehidupan dan kerjaya seninya yang sudah mekar di tanah kelahiran sendiri.
Jodoh panjang antara Tya dan Asyraf akhirnya menyatukan mereka pada November 2015. Pasangan ini juga dikurniakan sepasang cahaya mata comel, Arif Jiwa, 3, dan Azzahra Jiwa, setahun lebih sekaligus menjadi pelengkap kebahagiaan.
“Berkahwin dengan Asyraf juga memerlukan saya banyak berkorban. Saya tinggalkan kerjaya seni di Indonesia yang sedang berkembang dan berjauhan dengan keluarga.
“Saya bukanlah datang daripada keluarga yang senang. Jadi sebelum ini pun saya mencari rezeki untuk membantu keluarga. Datang ke Malaysia juga saya perlu membiasakan diri dengan kehidupan di sini.
“Ia bukan sesuatu yang mudah. Saya juga ketika itu bergelut antara cintakan keluarga serta kerjaya seni dan masa depan bersama suami.
“Jujur pada awal fasa perkahwinan, saya pernah bertanya kepada suami, hidup saya saat itu untuk apa? Saya pernah seperti rasa hilang punca.
“Takkan saya hanya mahu menjadi isteri yang hanya menunggu kepulangan suami di rumah. Sedangkan saya sangat aktif ketika hidup solo. Saya tidak betah duduk diam.
“Bagaimanapun perasaan itu bukan bermaksud menyesali setiap keputusan yang dibuat. Cuma saya sentiasa percaya hidup ini perlu diteroka dan bukan hanya duduk berpeluk tubuh. Pasti ada sesuatu yang boleh dimanfaatkan,” katanya menganggap pengorbanan dan keputusan yang dibuat membuka 1001 hikmah tersendiri saat melahirkan anak lelaki sulungnya.
Dia yang kini mampu tersenyum kerana telah memiliki wisma sendiri yang tersergam megah di Puchong menerusi perniagaan jenama Mutyara diusahakan bersama suami akhirnya membongkar sebuah kisah yang tidak pernah dikongsi selama ini.
“Kehadiran Arif boleh saya anggap satu hadiah dan isyarat yang cukup berharga. Posisi ibu mulai mengubah dimensi hidup saya. Menceburi dunia perniagaan Mutyara pada April 2018 juga mula membuka skop hidup saya jadi lebih luas.
“Ilham cetusan perniagaan jus kesihatan yang diwarisi dari keluarganya secara turun temurun membuka satu langkah bermakna.
“Saya kian nampak ada hala tuju dalam hidup. Menjadi isteri dan ibu kepada dua anak juga tidak membataskan saya mencari titik kesempurnaan dalam hidup. Saya jadi lebih optimis dan bersemangat dalam hidup ini apabila perniagaan yang diusahakan juga dapat membantu mengubah nasib orang lain,” katanya.
Bagi Tya menyelak kembali perjalanan hampir tiga tahun menjalankan perniagaan bersama suami hingga memiliki wisma sendiri bukan satu kejayaan mudah.
Jika ikutkan semangat membara dalam diri, sejak awal fasa berniaga lagi sudah bercita-cita ada wisma sendiri.
Namun, seperti pepatah dari Indonesia berbunyi, tiada hasil yang mengkhianati usaha, Tya boleh tersenyum bangga kerana apa yang diraih kini sudah membahagiakan diri.
Ironinya, kejayaan yang datang ini tidak datang bergolek. Menepis pelbagai skeptikal yang datang bertalu talu, menantu kepada usahawan terkenal Datuk K atau Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa ini berjaya melawan segala cabaran mendatang.
Bertemunya pada majlis pelancaran wisma Mutyara pada 5 September, Tya menarik nafas lega dan memanjat kesyukuran atas rezeki diperoleh.
“Kalau ikut semangat membara dalam jiwa, sejak awal lagi saya sudah mahu memiliki wisma sendiri. Begitu juga dengan suami. Namun semua itu bukan mudah. Tak salah bercita cita tinggi, namun ada kalanya kita kena berpijak pada bumi nyata.
“Saya sendiri bergelut memulakan perniagaan bersama suami. Maklumlah buat sendiri itu ini. Ada kalanya percaturan kita menjadi dan begitulah sebaliknya.
“Saya percaya ia adalah proses. Berguru dengan pakar pemasaran serta mentor usahawan, Dr Azizan Osman menyuntik keyakinan saya dan suami hari demi hari.
“Alhamdulillah apa dilakukan itu penuh berkat. Saya buat apa saja, Allah permudahkannya sampai jadi. Jadi dalam tempoh dua tahun lebih untuk memiliki wisma sendiri saya masih anggap satu kejayaan dan pencapaian peribadi,” katanya
Jika mahu diimbas, perniagaan Mutyara ini awalnya hanya bermula di sebuah rumah di Cyber Jaya.
Seterusnya berpindah ke lot pejabat di kawasan sama sekitar awal tahun.
“Pengalaman lalu itu benar benar mematangkan diri. Dengan kepayahan itu sendiri mengajar kita sebuah erti kehidupan dan selok belok dunia niaga.
“Alhamdulillah pada hujung Julai lalu, wisma sendiri yang didambakan jadi kenyataan. Saya awalnya seperti bermimpi. Tidak pernah menyangka semua ini menjadi realiti.
“Pada akhirnya soal lambat atau cepat sudah tidak saya fikirkan dalam merealisasikan kewujudan wisma sendiri.
“Saya percaya ia sudah tersusun cantik dengan izin-Nya. Ia datang pada waktu yang tepat sudah buat saya optimis memastikan kelangsungan perniagaan diusahakan,” katanya yang menekankan setiap kerja dilakukan bersama suami tercinta dizahirkan dengan penuh kejujuran.
“Jujur jadi kunci segala serbi langkah dimulakan. Niat saya dan suami memulakan empayar perniagaan sendiri selain mahu mengubah kehidupan sendiri juga bertunjangkan paksi membantu mereka yang berdepan masalah kesihatan.
“Tak ketinggalan mengajak orang lain menjana pendapatan bersama sama. Begitu juga menjaga kebajikan staf tersayang.
“Kita imbangi hal dunia dan syurgawi dalam masa sama. Kita tak pernah sempurna, namun sentiasa mahu berubah jadi lebih baik daripada sebelumnya. Kita nak keberkatan dunia dan akhirat. InsyaAllah,” katanya yang percaya sebagai manusia biasa, Tya dan suami juga percaya keberkatan itu juga datang atas posisi mereka sebagai anak dan hamba Allah.
“Saya datang daripada keluarga yang selesa dan tidak terlalu mewah. Saya sendiri dengan niat mahu membantu keluarganya di Indonesia.
“Begitu juga saya dan suami mahu membalas jasa baik ibu bapa mendidik diri ini menjadi manusia berguna,” katanya yang turut bertindak menjadi pembimbing mereka yang mula berjinak jinak mahu jadi usahawan Mutyara.
Bagi Tya biarpun dilihat masih hijau dalam arena diceburi, wanita ini juga tidak malu mengaku pernah gagal.
“Saya pernah melihat perniagaan diceburi suami sebelum ini ada antaranya turut kecundang di tengah jalan. Suami pernah gagal dan kami pernah sama sama susah. Kejayaan itu tidak datang bergolek. Tewas itu juga jadi ruang saya bermuhasabah diri.
“Mak saya selalu pesan sentiasa ikut resmi padi. Semakin berisi, semakin menunduk.
“Namun untuk saya mahu memastikan legasi ini kebal dan konsisten sudah cukup baik. Semoga kemanisan ini akan terus berpanjangan.
“Saya beruntung kerana banyak belajar erti hidup dan sepak terajang dunia perniagaan dengan suami. Dia kekuatan saya,” katanya turut memberitahu jus kesihatan ini terlebih dahulu dipasarkan dalam format botol.
Bagaimanapun pada hujung tahun ini turut diberi pilihan dijual dalam bentuk pek mudah bawa.
Artikel Berkaitan: “Cantik Sangat Tya Bertudung, Moga Kekal Istiqamah” – Tya Arifin Berhijab Lepas Dapat ‘Hint’ Dari Suami
Kredit Foto: Instagram Tya Ariffin
Dikatakan Bala Turun Pada Rabu Terakhir Bulan Safar, Mufti Wilayah Sangkal Dakwaan & Ini Penjelasannya

Hari ini tanggal 23 Oktober 2019 bersamaan jatuh pada hari Rabu dan Safar di bulan Islam. Ada yang mengatakan bahawa hari Rabu terakhir pada bulan Safar adalah hari diturunkan bala dan ada amalan tertentu untuk menghindarinya.
Persoalan yang dibangkitkan oleh seorang warganet di laman sosial twitter Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri dan beliau telah menjawab segala kemusykilan berkenaan.
Apakah benar dakwaan berkenaan dan bagaimana pula dengan amalan yang dilakukan untuk menghindari bala yang datang nanti?
Ini jawapan dari Mufti Wilayah dalam menjelaskan persoalan berkenaan.
Soalan : Adakah amalan mandi safar digalakkan kerana disebut di dalam hadis berkaitan safar?
Jawapan :
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.
Mandi Safar adalah satu amalan turun menurun masyarakat Melayu di mana diadakan temasya mandi-manda yang ada di adakan pada hari Rabu yang terakhir di dalam bulan Safar dengan tujuan menolak bala. Pada pagi tersebut orang ramai mandi di pantai atau sekurang-kurangnya minum air yang telah direndam kertas safar atau papan kecil yang ditulis kalimat suci. Air ini dikenal sebagai air safar.
Berdasarkan soalan dan penjelasan ringkas mengenai Mandi Safar, kami telah menerima satu pesanan ringkas melalui aplikasi whatsapp yang mengatakan bahawa amalan mandi safar disebut di dalam hadis Nabi SAW. Kami menukilkan semula terjemahan hadis yang dihantar kepada kami.Ianya berbunyi seperti berikut:
“Tidak ada penularan penyakit (dengan sendirinya),tidak ada thiyarah (sempena baik atau buruk),tidak ada kesialan (malang) kerana burung dan tidak ada kesialan (bala bencana) pada bulan safar”(Hadis riwayat Bukhari r.a, Muslim, Abu Daud dan Ahmad r.a).
Individu yang menghantar keratan terjemahan hadis ini kepada kami mendakwa bahawa inilah dalil pengharusan mandi safar yang bertujuan menolak bala dan sial.Benarkah dakwaan ini?
PENJELASAN MENGENAI HADIS
Setelah dicari dan diteliti, lafaz matan yang dimaksudkan ada asal-usulnya. Lafaz tersebut berbunyi daripada Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda:
لا عَدْوَى وَلاَ طِيرَةَ ولا صَفَرَ وَلاَ هَامَّةَ
Maksudnya:”Tidak ada penyaki yang berjangkit,tidak ada kepercayaan bahawa haiwan memberi manfaat dan mudarat, tidak ada kesialan dalam bulan safar dan tidak ada juga kepercayaan datangnya malapetaka disebabkan burung hantu.”
Riwayat al-Bukhari (5770), Muslim(2220), Abu Daud (3913) di dalam al-Sunan & Ahmad(3031) di dalam Musnad.
Di dalam lafaz yang lain menyebut: Daripada Jabir bin Abdullah r.anhuma bahawa Rasulullah bersabda:
لا عَدْوَى وَلاَ صَفَرَ وَلَا غُوْلَ
Maksudnya:”Tidak ada penyebaran penyakit(secara tabi’i),tidak ada kesialan dalam bulan safar bahkan tidak ada Ghul(Syaitan yang boleh menyerupai dalam pelbagai bentuk untuk menyesatkan manusia).”[1]
Riwayat Muslim (2222),Ibnu Hibban (6128) di dalam Sohihnya,Ahmad (15103) di dalam Musnad
Disebut juga di dalam lafaz yang lain:
لَا عَدْوَى وَلَا صَفَرَ وَلَا هَامَةَ وَلَا نَوْء
Maksudnya:”Tidak ada penyebaran penyakit(secara tabi’i),tidak kesialan dalam bulan safar dan tiada ramalan bintang bulan dengan hujan.”
Riwayat Ahmad (9165) di dalam Musnad,Ibn Hibban (6133) di dalam sohihnya
Hadis ini diriwayatkan oleh beberapa orang sahabat melalui jalur sanad yang berbeza antaranya:
1. Abu Hurairah
2. Ibnu ‘Abbas
3. Jabir Bin ‘Abdullah
4. Ibnu Mas’ud
Secara ringkasnya, hadis ini diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Imam Muslim di dalam kitab sohih mereka.Bahkan ianya juga diriwayatkan juga jaguh-jaguh ahli hadis semisal Imam Ahmad, Abu Daud dan ramai lagi. Di dalam kesemua jalur sanad hadis ini, terkandung perkataan safar. Dengan wujudnya hadis ini di dalam kitab hadis yang muktabar seperti Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim tidak syak lagi bahawa hadis ini adalah hadis yang sahih. Namun yang menjadi permasalahan di sini adalah adakah hadis ini menunjukkan adanya keharusan melakukan amalan mandi safar dengan hanya berdalilkan wujudnya perkataan safar di dalam hadis ini?
MAKSUD SAFAR(صفر)
Menurut Ibnu Manzur (w.711 H) صَفَرَ bermaksud penyakit di dalam perut yang menyebabkan orang yang mengalaminya kuning mukanya. Perkataan ini juga membawa maksud ular yang suka mematuk. Ianya juga membawa maksud lapar.
Rujuk Lisan al-Arabi(8/250)
Safar juga adalah bulan kedua di dalam kalendar Hijrah selepas bulan Muharram.
Secara asasnya,untuk memahami satu perkataan yang terdapat di dalam hadis selain dari merujuk makna dari segi bahasa,perlu juga untuk merujuk pandangan para ulama yang muktabar untuk mendapatkan gambaran yang sebenar tentang apa yang disabdakan oleh Nabi SAW. Di sini kami kumpulkan pandangan dan syarahan para ulama berkenaan hadis ini:
Ibnu Hajar al-Asqalani (w.852 H) menyebut:
“Ia adalah penyakit yang menyakitkan perut.Abu ‘Ubaidah Ma’mar bin al-Muthanna menyebut di dalam kitab Gharib al-Hadith daripada Yunus bin ‘Ubaid Al-Jarami.Beliau bertanya kepada Ru’bah bin al-‘Ajjaj tentang makna safar.Beliau menjawab :”Bangsa Arab Jahiliyyah mempercayai bahawa ia adalah cacing yang berada di dalam perut manusia dan ia lebih merebak dari penyakit kulit.Kerana inilah Nabi menyebut tentang tiadanya safar di mana mereka mempercayai bahawa ia lebih berbahaya dari penyakit kulit.Inilah pandangan yang dipegang oleh Imam al-Bukhari kerana ianya dikaitkan dengan ayat tidak ada penyebaran penyakit.”
Beliau (Ibnu Hajar) menyebut lagi :Apa yang dimaksudkan dengan penafian bahawa tiadanya safar adalah menolak kepercayaan orang arab jahiliyyah yang beranggapan bahawa ianya boleh membunuh jika ia menimpa manusia.Akan tetapi,Syarak menolak kepercayaan ini kerana kematian tidak akan berlaku jika ajal belum tiba.”
Rujuk Fath al-bari Syarh Sahih al-Bukhari(3/285)
Kata Imam al-Nawawi (w.676 H) :
“Sabda Nabi SAW ‘Tidak ada safar’ ada dua tafsiran : Tafsiran yang pertama bermaksud menjadikan bulan Safar sebagai bulan haram dan bulan Muharram sebagai bulan yang dibolehkan berperang.Inilah yang dilakukan oleh Bangsa Arab Jahiliyyah.Ini adalah pendapat Malik dan Abu ‘Ubaidah.Tafsiran yang kedua,yang dimaksudkan dengan safar adalah binatang yang wujud di dalam perut iaitu ulat.Arab Jahiliyyah percaya bahawa di dalam perut ada satu binatang yang berlegar ketika lapar.Berkemungkinan ianya boleh membunuh tuan punya perut.Mereka mengatakan bahawa ianya lebih teruk dan berjangkit berbanding penyakit kulit.Inilah tafsiran yang betul.Pandangan ini telah dikemukakan oleh al-Mutarrif,Ibnu Wahbin,Ibnu Habib,Abu ‘Ubaid dan sebahagian besar para ulama.Pandangan ini juga disebutkan oleh Imam Muslim yang dinukilkan daripada Jabir salah seorang perawi hadis ini.”
Rujuk al-Minhaj Syarh Sohih Muslim (13/379)
Imam al-Qurtubi (w.656 H) berkata :
“Safar adalah menjadikan bulan Safar sebagai bulan yang diharamkan untuk berperang. Inilah yang dilakukan oleh Arab Jahiliyyah. Mereka berperang pada bulan Muharram dan berhenti pada bulan Safar. Inilah pandangan Malik dan Abu ‘Ubaidah. Dikatakan bahawa maksud safar adalah ulat yang ada di dalam perut manusia yang berlegar ketika lapar. Arab jahiliyyah melihat bahawa ia lebih berjangkit berbanding penyakit kulit. Mereka mendendangkan syair yang berbunyi[2]:
لا يَتَأَرّى لمِاَ فِي القِدْرِ يَرْقُبهُ # وَلاَ يَعُضُّ على شٌرْسُوفِهِ الصَفَرُ
Maksudnya:”Dia tidak bercanggahan dengan apa yang telah ditakdirkan untuknya. Tidak pula kerana tulang sum-sumnya digigit oleh ulat.”
Inilah pandangan Mutarrif, Ibnu Wahbin, Ibnu Habib dan inilah juga pandangan yang dipilih oleh Abu‘Ubaidah.”
Rujuk al-Mufhim li ma asykala min talkhis kitabi Muslim (5/622)
Kata Imam Abdul Rauf al-Munawi (w.1031 H) :
“Tidak ada safar bermaksud menjadikan bulan Safar sebagai bulan haram berperang dan juga bermaksud penyakit di dalam perut yang boleh menjangkiti orang lain mengikut kepercayaan Arab Jahiliyyah. al-Baidhawi berkata: Ia ditafsirkan sebagai satu penafian kepada kepercayaan yang mengatakan bahawa bulan Safar adalah bulan musibah dan bulan berlakunya fitnah.”
Rujuk Faid al-Qadir syarh al-Jami’ al-Saghir (6/433)
Kata Imam Badruddin al-‘Aini (w.855 H):
“Bangsa Arab Jahiliyyah mendakwa bahawa di dalam perut ada satu ular yang dipanggil safar. Ianya menyakitkan ketika datangnya lapar dan ia juga boleh menjangkiti orang lain.Islam menolak kepercayaan ini. Ada pandangan yang mengatakan bahawa ia adalah an-nasi’ iaitu menjadikan bulan Safar sebagai bulan yang diharamkan berperang dan bulan Muharram sebagai bulan yang dibolehkan untuk berperang. Ianya dilakukan ketika zaman Jahiliyyah. Perbuatan ini telah diharamkan oleh Islam.”
Rujuk ‘Umdah al-Qari Syarh Sohih al-Bukhari (21/247)
Kata al-Qadhi Iyadh (w.544 H) :
“Ada dua pandangan berkenaan maksud perkataan Safar. Yang pertama adalah menjadikan bulan Safar sebagai bulan haram untuk berperang. Dan inilah yang yang dilakukan oleh Arab Jahiliyyah.Pandangan ini adalah pandangan Malik dan Abu ‘Ubaidah.Perkataan yang kedua mengatakan bahawa safar adalah penyakit yang boleh berjangkit kepada orang lain.”
Rujuk Kitab al-Mu’lim syarh Sohih Muslim (7/71)
Syaraful haq ‘Azim al-Abbadi (w.1329 H) ketika beliau mensyarahkan hadis ini menyebut:
“Ketika mana Nabi SAW menyebut tidak ada safar ianya bermaksud Nabi SAW menafikan kepercayaan yang mengatakan bahawa adanya penyakit di dalam perut yang boleh menjangkiti orang lain dan adanya ular yang menyakiti manusia ketika mana dia lapar. Arab Jahiliyyah menagatakan bahawa ianya lebih berjangkit berbanding penyakit kulit. Ia juga bermaksud bulan Safar. Di mana Arab Jahiliyyah menyangka akan berlakunya perkara buruk apabila tibanya bulan Safar.”
Rujuk ‘Aun al-Ma’bud syarh Sunan Abi Daud (10/407)
Kata Nuruddin al-Sindi (w.1138):
“Ianya bermaksud menjadikan bulan Safar sebagai bulan yang diharamkan berperang.Ianya adalah bentuk tegahan terhadap perbuatan tersebut.”
Rujuk Hasyiah al-Sindi ‘ala Sohih al-Bukhari (4/10)
Al-Qastalani(w.923 H) ketika mensyarahkan hadis ini, beliau menyebut:
“Ianya bermaksud menjadikan bulan Safar sebagai bulan haram. Disebutkan di dalam Sunan Abu Daud daripada Muhammad Bin Rashid Bahawa Arab Jahiliyyah menganggap akan berlakunya perkara yang buruk apabila masuknya bulan Safar. Mereka menyangka bulan Safar adalah bulan musibah dan bulan berlakunya pelbagai fitnah.”
Rujuk Irsyad al-Sari Syarh Sohih al-Bukhari (8/373)
Ibn Rajab al-Hanbali (w.795 H) berpandangan:
“Ahli ilmu mengatakan bahawa yang dimaksudkan dengan safar adalah bulan Safar kemudian mereka berselisih dalam mentafsirkan maksud hadis tersebut.”
Pertama: Maksud hadis tersebut adalah menafikan apa yang dilakukan oleh masyarakat Arab Jahiliyyah. Mereka berperang pada bulan Muharram dan berhenti pada bulan Safar.Ini adalah pandangan Malik.
Kedua: Masyarakat Arab Jahiliyyah menganggap bahawa akan berlaku perkara buruk apabila masuknya bulan Safar. Mereka menggelar bulan Safar sebagai bulan sial. Maka Nabi SAW menolak kepercayaan demikian. Pandangan ini dinukilkan oleh Abu Daud daripada Muhammad Bin Rashid al-Makhuli.
Pandangan yang kedua ini adalah pandangan yang paling hampir maknanya. Kebanyakan orang-orang yang jahil menyangka bahawa akan berlakunya perkara buruk di bulan lalu mereka mencelanya. Ada di antara mereka yang melarang untuk berkelana pada bulan Safar. Dan ini adalah jenis yang sama dengan perbuatan Thiyarah yang dilarang.”
Rujuk Lataif al-Ma’arif fi ma li mawasim min al-Wazaif (m/s 135-136)
Kesemua ini adalah pandangan para ulama berkenaan sabda Nabi SAW iaitu ‘tidak ada safar’. Banyak lagi ulasan ulama berkenaan perkataan ini dan kesemuanya memberikan pandangan yang hampir sama seperti yang kami nukilkan. Dapat kita simpulkan dari pandangan-pandangan ini bahawa yang dimaksudkan oleh safar itu adalah satu kepercayaan masyarakat arab Jahiliyyah yang karut dan bertentangan dengan ajaran Islam lalu datang Nabi SAW menolak kesemua kepercayaan tersebut. Melalui tafsiran-tafsiran ini,dapat kita fahami bahawa tiada satu pun petunjuk yang menunjukkan bahawa perkataan لا صَفَرَ itu merujuk kepada amalan mandi safar bahkan ianya tiada kena mengena dengan amalan syirik tersebut. Kalaupun ianya merujuk kepada mandi safar (walaupun tafsiran ini tidak diterima dan tiada tafsiran para ulama yang menyebut sedemikian rupa) ianya didahului dengan huruf لا النافِيَة (La yang memberi makna menafikan sesuatu). Justeru ia memberi makna larangan bukan galakan.
PENUTUP
Justeru itu, dapat kita fahami bahawa safar yang dimaksudkan dalam hadis adalah kepercayaan karut yang dianuti oleh masyarakat Arab Jahiliyyah yang dilarang oleh Nabi SAW untuk mempercayainya. Antaranya adalah mereka mempercayai bahawa apabila tibanya bulan Safar,akan berlakulah perkara buruk. Kepercayaan ini hampir serupa dengan kepercayaan orang melayu di dalam amalan mandi safar di mana mereka melakukan upacara tersebut untuk menolak bala dan musibah dan ianya dilakukan hanya pada bulan Safar.
Tidakkah ia memberi isyarat bahawa adanya kepercayaan bahawa bulan itu adalah bulan sial dan musibah sepertimana yang dipercayai oleh masyarakat arab Jahiliyyah. Ini adalah satu perbuatan yang ditegah Nabi SAW. Ditambah pula dengan amalan karut marut yang mengiringi temasya mandi safar ini.
Oleh itu, kami mengesyorkan agar tolaklah bala dengan doa. Seperti mana yang dianjurkan oleh Nabi SAW di dalam kebanyakan hadis. Antaranya adalah doa yang sentiasa kita ulangi di dalam solat Subuh:
وَقِنِيْ شَرَّ مَا قَضَيتَ
Maksudnya:”lindungi dan jauhkanlah aku dari kejahatan yang telah Engkau tetapkan.”
Riwayat al-Nasaie (1725),Abu Daud (1214) di dalam al-Sunan,al-Baihaqi (427) di dalam Sunan al-Sughra,Ibnu Hibban ( 950) di dalam Sohihnya,Ahmad (1625) di dalam Musnad
Wallahu’alam
‘Sentiasa Doakan Keajaiban Buat Isteri.’ Isteri Terlantar Angin Ahmar, Pak Tam Sanggup Lakukan Apa Saja

‘Sentiasa doakan keajaiban buat isteri.’ Isteri terlantar angin ahmar, Pak Tam sanggup lakukan apa saja untuk isteri agar terus positif dan tidak murung. Tidak ada sesiapapun yang mahu dirinya sakit.
Begitu juga dengan isteri Pak Tam. Masalah kesihatan yang dialami meragut kebahagiaan wanita ini dalam sekelip mata. Bayangkan selama ini bebas bergerak, kini tidak lagi dan terpaksa bergantung kepada suami.
Ternyata ini bukan satu ujian yang kecil. Mujurlah di samping wanita ini ada lelaki yang benar-benar bertanggungjawab dan dapat menerima isterinya apa adanya.
Artikel Berkaitan:
‘Terima Seadanya, Sentiasa Berada Disisi Ketika Sakit.’ Cinta Luar Biasa Juliana & Zamani
Sentiasa Doakan
Inilah lelaki yang bernama Pak Tam. Cekalnya bapa dua anak, bukan hanya gigih mencari rezeki buat keluarga tetapi komited mengurus dan menjaga isterinya, Norfaezan Ishak yang diserang angin ahmar dua bulan lalu.
Meskipun sibuk dengan komitmen sebagai usahawan makanan, Pak Tam, 38, cuba luangkan masa juga dengan isteri selain menguruskan anak yang berusia lapan dan 12 tahun.
Keajaiban Buat Isteri
Bercerita lanjut, Pak Tam sebenarnya tiada pilihan melainkan kuat kerana perlu memberi semangat kepada Norfaezan, 42, yang mengalami kemurungan selepas diserang angin ahmar.
“Isteri dulu sihat namun diserang angin ahmar secara mengejut pada hari raya kelima yang lalu. Hasil pemeriksaan di hospital mendapati isteri diserang angin ahmar pada bahagian kiri badan berpunca akibat darah tinggi.
“Ketika dapat berita itu, isteri jadi patah semangat kerana tak boleh terima keadaan dirinya. Tahap kemurungannya semakin serius selepas keluar hospital dan pulang ke rumah kerana berasa dirinya tak berguna juga menyusahkan,” katanya.
Terlantar Angin Ahmar
Menyedari keadaan itu, Pak Tam cuba beri semangat, menggembirakan dan menjadi pendengar setia isterinya.
Berkaitan soal penjagaan pula, Pak Tam mengakui agak sukar pada awalnya kerana tiada pengalaman menjaga pesakit angin ahmar. Jadi,dia cuba lakukan carian di Internet bagi mendapatkan maklumat diperlukan.
“Setiap hari, saya akan bangun 5.30 pagi kemudian bersiap untuk hantar anak ke sekolah selepas Subuh dan pulang ke rumah bagi uruskan isteri termasuk mandi serta membawanya pergi sarapan.
“Awalnya dulu, isteri nak bangun pun tak boleh dan dia malu dengan keadaan dirinya tetapi kini dapat terima malah sudah boleh diajak makan sarapan di luar.
“Demi isteri, saya sanggup pusing satu taman cari makanan diinginkan. Setiap pagi, saya menyakatnya dengan jadi pak lawak, joker dan badut semata-mata nak tengok dia (isteri) ketawa dan tersenyum.
“Penat macam mana sekalipun, saya akan tukar jadi ceria setiap kali pulang dari kerja kerana nak isteri berasa positif sentiasa,” katanya.
Pak Tam Sanggup Lakukan Apa Saja
Menurut Pak Tam, dia sedia maklum isterinya tidak akan sembuh sepenuhnya daripada derita yang ditanggung.
Bagaimanapun, Pak Tam berdoa semoga ada keajaiban dan isterinya dipanjangkan umur bagi melihat anak mereka membesar di depan mata.
“Doktor kata isteri tak boleh sembuh sepenuhnya, mungkin 70 ke 80 peratus saja. Tapi saya tetap bersyukur kerana dia banyak tunjukkan perubahan ke arah lebih baik berbanding sebelum ini.
“Kisah ringkas mengenai isteri pun saya ada kongsikan menerusi video di TikTok dan Alhamdulillah, dapat banyak komen positif dengan rata-rata mendoakannya,” katanya.
Baca Di Sini:
Cintailah Pasangan Sepenuh Jiwa Di Dunia! Di Padang Mahsyar Nanti Kita Tak Kenal Satu Sama Lain
Kashoorga: Semoga Mak Tam cepat sihat dan kembali pulih seperti sediakala.
Sumber: TikTok Pak Tam, myMetro
Follow kami di Facebook, Website, Instagram dan YouTube Kashoorga untuk mendapatkan info dan artikel-artikel menarik.