Ramai wanita membuat suntikan kolagen untuk mencantikkan wajah, menghilangkan kedutan dan ingin kelihatan muda. Demi kerana ingin kelihatan cantik, wanita tidak kisah memperuntukkan sejumlah wang agar wajah dan tubuh kelihatan mempersona.
Namun apakah hukum menyuntik kolagen daripada sudut agama Islam. Ini penjelasannya.
SOALAN:
Apakah hukumnya menyuntik cecair filler (soy based collagen) ke dalam anggota tubuh badan bagi wanita, untuk tujuan perhiasan pada suaminya?
JAWAPAN:
Terdapat beberapa pendapat ulama tentang kaedah kecantikan yang diharamkan dan diharuskan oleh Syarak.
Maksudnya: “Dan diharamkan juga mengerintingkan rambut, melakukan nasyr pada gigi yakni mengasah, dan menghaluskan hujung gigi, mewarnakan (rambut dan anggota badan) dengan warna hitam, memerahkan wajnah (bahagian atas pipi) dengan inai,[3] dan seumpamanya, mewarnakan hujung jari dengan warna hitam, melakukan tanmis yakni mencabut bulu-bulu di muka dan bulu kening yang berlebihan. Namun jika diizinkan oleh suaminya, atau tuannya, maka diharuskan baginya.”
Hukum menyambung rambut juga adalah diharamkan, melainkan jika menggunakan rambut sintentik dan dengan kebenaran suaminya, maka diharuskan.
Ads
PANDANGAN HUKUM
Berdasarkan kenyataan di atas, jelaslah bahawa hukum menyuntik kolagen pada anggota-anggota badan adalah bergantung kepada keadaan:
HARAM menyuntik kolagen pada tubuh badan dengan tujuan menunjukkan kecantikan kepada lelaki asing, menggunakan bahan yang bernajis, atau berbahaya untuk kesihatan, tanpa kebenaran suami, dan mengubah ciptaan Allah.
Ads
Hukumnya menjadi HARUS jika bertujuan untuk mengembalikan kecantikan yang hilang, bukan akibat penuaan yang normal, tetapi berdasarkan pemakanan yang tidak sihat, penyakit, kemalangan, kecuaian menjaga kesihatan dan seumpamanya. Ini berdalilkan hadis sahabat Nabi SAW yang bernama Arfajah yang kehilangan hidungnya akibat peperangan lalu dibenarkan Rasulullah SAW untuk dipasang hidung buatan daripada emas.
HARUS juga hukumnya jika tujuan suntikan kolagen adalah tujuan kecantikan dengan izin suami. Suntikan itu sendiri tidak berdosa kerana Syarak membenarkan bekam dan fasdu (venesectomy – pemotongan pada salur darah) untuk mengeluarkan darah yang berlebihan, yang menggunakan kaedah cucuk dan torehan, atas alasan hajat (seperti rawatan penyakit dan pencegahan).
Begitu juga Syarak mengharuskan tusukan pada telinga bagi tujuan memasang anting-anting, atas alasan kecantikan. Syarak juga mengharuskan pengambilan makanan dan supplement tambahan yang berkhasiat untuk kesihatan dan kecantikan. Namun suntikan kolagen tersebut mestilah tidak begitu ketara, melebihi khilqah ma`hudah (ciptaan atau rupa paras yang standard), sehingga boleh dianggap mengubah ciptaan Allah.
Semoga penjelasan ini akan memberikan manfaat dan menambahkankan kemesraan antara suami isteri yang menghasilkan tujuan berkelurga yang ditetapkan oleh Islam untuk saling berkasih-sayang. Wallahua’lam.
Sumber kredit: FB: Mufti Wilayah Persekutuan. Sahibus Samahah Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama. Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
Hukum asal menghadiri majlis perkahwinan sekiranya dijemput secara khusus adalah wajib menurut majoriti ulama dalam mazhab Maliki, Syafie dan Hanbali. Ia berdalilkan dengan sebuah hadis daripada Ibn Umar R.A bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:
Maksudnya: Apabila salah seorang kamu dijemput ke majlis perkahwinan (walimah), maka hadirlah ia. (Riwayat Muslim 1053)
Hukum wajib tersebut diambil daripada perkataan Nabi S.A.W فَلْيَأْتِهَا yang merupakan kata perintah yang membawa hukum wajib secara asasnya di sisi kaedah fekah.
Berikut merupakan ringkasan perbincangan ulama mengenai hukum asal menghadiri majlis perkahwinan. Mazhab Hanafi dan juga satu pendapat dalam mazhab Syafie dan Maliki mengatakan bahawa hukumnya sunat. Manakala terdapat pendapat lain dalam mazhab Hanbali dan Syafie yang mengatakan ia fardhu kifayah dan memadai jika dihadiri oleh sebahagian daripada masyarakat.
HUKUM MENERIMA JEMPUTAN MAJLIS YANG DIISI DENGAN PERKARA MUNGKAR
Para ulama bersepakat bahawa sesiapa yang dijemput ke majlis perkahwinan dalam keadaan dia mengetahui bahawa di dalam majlis tersebut terdapat perkara yang haram seperti hidangan arak sedangkan dia tidak mampu memungkirinya, maka gugur kewajipannya menghadiri majlis tersebut.
Maksudnya: Dan sungguh Allah telah menurunkan kekuatan kepada kamu di dalam Al Quran bahwa apabila kamu mendengar ayat-ayat Allah diingkari dan diperolok-olokkan (oleh orang-orang kafir), maka janganlah kamu duduk beserta mereka, sehingga mereka memasuki pembicaraan yang lain. (Surah Al-Nisa’ (140)
Berdasarkan kepada mafhum ayat di atas, perbuatan duduk di dalam sesebuah majlis yang terdapat di dalamnya pengingkaran dan penghinaan kepada ayat-ayat Allah adalah ditegah dan dilarang. Ini jelas ditunjukkan oleh frasa بِهَا فَلَا تَقْعُدُوا مَعَهُمْ yang datang dengan ‘La al-Naahiyah’ yang membawa hukum haram.
Imam Abu Ja’far al-Thabari Rahimahullah dalam tafsiran beliau ke atas ayat ini berkata:
وفي هذه الآية، الدلالة الواضحة على النهي عن مجالسة أهل الباطل من كل نوع، من المبتدعة والفسَقة، عند خوضهم في باطلهم
Maksudnya: Ayat ini menunjukkan kepada dalalah yang jelas ke atas larangan duduk bermajlis bersama ahli kebatilan dari segenap jenis lapisan. Dari kalangan ahli bid’ah dan juga golongan yang fasiq, semasa mereka melakukan kebatilan tersebut. Lihat Al-Jaami’ al-Bayan, al-Thabari.
Selain itu, terdapat juga sebuah riwayat yang jelas dari Nabi S.A.W akan larangan duduk di dalam majlis yang dihidangkan padanya arak. Ini berdasarkan sebuah riwayat daripada Ibn Abbas R.Anhuma bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:
من كان يؤمنُ باللهِ واليومِ الآخرِ فلا يشربِ الخمرَ من كان يؤمنُ باللهِ واليومِ الآخرِ فلا يجلسْ على مائدةٍ يشربُ عليها الخمرَ
Maksudnya: Sesiapa yang beriman dengan Allah dan juga hari akhirat, janganlah dia meminum arak. Dan sesiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat, maka janganlah dia duduk pada hidangan yang diminum padanya arak. (Riwayat al-Haithami)
Siyaq ataupun konteks hadis di atas jelas menunjukkan kepada pengharaman duduk di majlis yang dihidangkan padanya arak. Ini kerana, lafaz sebelum itu menunjukkan bahawa sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat hendaklah dia jangan meminum arak.
Larangan meminum arak tidak menunjukkan kepada kemakruhan bahkan kepada keharamannya. Justeru, larangan seterusnya ke atas perbuatan duduk di hidangan yang terdapat padanya arak juga menunjukkan kepada hukum yang sama.
FATWA BADAN-BADAN BERAUTORITI
Pertama: Dar al-Ifta’ al-Misriyyah
Dalam fatwa yang dikeluarkan oleh Syeikh al-Allamah Jaad al-Haq Ali Jaad al-Haq pada tahun 1979M, beliau menyatakan berkaitan dengan majlis yang berlangsung padanya pemberian dan penerimaan dadah dengan katanya: Allah memuji hamba-hamba-Nya yang menjauhi majlis-majlis yang melalaikan lagi lagha. Maka Dia berfirman:
وَالَّذِينَ هُمْ عَنِ اللَّغْوِ مُعْرِضُونَ
Maksudnya: (Ciri orang beriman) adalah mereka yang memalingkan diri dari perkara yang lagha. Surah al-Mu’minun (3)
Dan Abu Daud meriwayatkan di dalam sunannya dari Ibn Umar R.Anh tentang katanya:
نَهَى رسُولُ الله صلَّى الله عليه وسَلَّم عَنِ الجُلُوسِ عَلَى مَائِدَةٍ يُشربُ عَلَيهَا الخَمْرُ
Maksudnya: Rasulullah S.A.W melarang duduk pada hidangan yang diminum arak di dalamnya.
Kata Syeikh Rahimahullah: Yang diambil faedah dari beberapa nas ini adalah keharaman bermajlis dengan mereka yang melakukan maksiat dalam apa sahaja bentuknya. Ini kerana dalam bermajlis dengan mereka akan berlaku kerosakan terhadap perkara yang Allah haramkan. Dan sesiapa yang bermajlis bersama dengan pelaku maksiat yang melakukan kemungkaran pastilah akan berakhlak dengan akhlak mereka yang buruk (mengikut peribadi mereka). Dan akan mengikut kebiasaan apa yang mereka lakukan daripada dosa seperti minum sesuatu yang memabukkan serta mengkhayalkan.
Kedua: Para ulama khilaf mengenai hukum menghadiri majlis sedemikian.Pendapat yang azhar dan sahih dalam mazhab Syafie dan mazhab Hanbali adalah haram berdasarkan hadis Jabir bin Abdullah bahawa Rasulullah S.A.W melarang duduk dalam majlis yang terdapat hidangan arak. Ini kerana, pemergiannya ke majlis tersebut dalam keadaan dia mengetahui kemaksiatan di dalamnya seolah-olah dia pergi untuk tujuan mendengar atau melihat kemaksiatan.
Dalam mazhab Hanafi secara jelas menyatakan sesiapa yang dijemput menghadiri majlis perkahwinan sedangkan dia mengetahui terdapat kemaksiatan di dalamnya sebelum ia hadir, maka tidak perlu dihadiri jemputan tersebut.
Namun terdapat satu pendapat dalam mazhab Syafie kalangan ulama Iraq yang mengharuskan, dengan syarat memungkiri kemungkaran tersebut di dalam hatinya. Keharusan itu dengan alasan kehadiran mereka mungkin akan menyebabkan penganjur majlis merasa malu lalu menghentikan atau mengurangkan kemungkaran yang dilakukan dalam majlis tersebut.
Dihikayatkan bagaimana Imam al-Hasan al-Basri dan Muhammad bin Ka’ab telah dijemput menghadiri satu majlis perkahwinan. Dalam majlis tersebut mereka terdengar konsert nyanyian, lalu Muhammad bangun untuk meninggalkan majlis, namun ditarik oleh al-Hasan sambil berkata: “Duduklah, kemaksiatan mereka tidak menghalang ketaatanmu.”
KESIMPULANNYA
Hukum menghadiri majlis perkahwinan atau keraian yang terdapat di dalamnya maksiat dan kemungkaran perlulah diperincikan dari dua sudut yang berikut:
Pertama: Bagi masyarakat awam, yang mana kehadirannya ke majlis tersebut tidak memberi sebarang kesan dan perubahan kepada acara majlis, maka adalah tidak perlu untuk dia menghadirinya bahkan tidak wajib untuk hadir ke majlis itu sekiranya dia mengetahui ada maksiat di dalamnya.
Kedua: Bagi tokoh-tokoh ulama seperti para agamawan, sekiranya kehadiran mereka ke majlis tersebut akan menyebabkan pihak penganjur berasa malu dan segan serta boleh jadi memberhentikan acara maksiat atau paling tidak mengurangkannya, maka kehadiran mereka pada majlis sebegitu adalah dibolehkan.
Dalam suasana masyarakat Islam di Malaysia dan juga keadaan pihak kerajaan yang menjunjung tinggi nilai-nilai mulia dan adab yang murni, maka sebarang bentuk sambutan keraian di majlis perpisahan dan selainnya, hendaklah dielakkan sebarang unsur maksiat di dalamnya. Inilah yang sepatutnya.
Sumber kredit: Mufti Wilayah Persekutuan. Sahibus Samahah Dato’ Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri
VIDEO:
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama. Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
Apakah hukum seorang wanita yang awalnya memakai tudung disebabkan sesuatu tapi sampai satu masa dia membuka tudung kerana ia merasakan memakai tudung itu bukan dirinya yang sebenar, lalu dia buka tudung kerana merasakan isu dirinya yang sebenar.
JAWAPAN:
Firman Allah dalam surah an-Nur, 24:31:
وَلْيَضْرِبْنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَىٰ جُيُوبِهِنَّ
Maksudnya: “Dan hendaklah mereka (wanita Muslimah) menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka;”
Berkata Imam Ibn al-Jarir al-Tabari Rahimahullah dalam Jami` al-Bayan (19/159): “Yakni hendaklah para wanita itu melabuhkan tudung kepala mereka menutup dada-dada mereka supaya tertutup juga dengan itu rambut, tengkuk dan telinga mereka.”
Berkata Syeikh al-Maraghi dalam Tafsir-nya (18/99) : “Wanita pada zaman dahulu menutup kepala mereka dengan khimar (tudung) dan melabuhkan hujung tudung itu ke belakang badan supaya terdedah leher dan dada mereka, seperti kebiasaan zaman Jahiliyyah, lalu mereka dilarang syarak daripada berbuat sebegitu lagi. Berkata Sayyidatuna Aisyah RA: “Semoga Allah merahmati kepada kaum wanita Muhajirin yang awal. Mereka, apabila Allah menurunkan ayat : وَلْيَضْرِبْنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَىٰ جُيُوبِهِنَّ, mereka lantas mengoyakkan kain Murat (sejenis tekstil yang diperbuat daripada bulu bebiri) mereka lalu mereka jadikan sebagai tudung.”
Ini merupakan dalil jelas tentang kewajipan menutup aurat dan inilah yang disepakati oleh para ulama.
Ucapan sebegini adalah berbahaya kerana ditakuti padanya mengandungi unsur kekufuran. Berkata Syeikh Muhammad al-Zuhaili hafizhahullah: “Jika seorang muslim mengingkari suatu hukum syarak yang sudah disepakati ke atasnya dan mudah diketahuinya dalam agama, maka dia sudah kafir.” Rujuk al-Mu`tamad fi al-Fiqh al-Syafie (5/233). Justeru sewajarnya seorang Muslim itu mengelakkan sedaya mungkin menyebut “Ingin menjadi diri sendiri” sebagai justifikasi terhadap maksiat yang dia lakukan.
Adapun jika dia menyebut perkataan itu kerana dia tidak mahu menutup aurat tetapi dia mengiktiraf bahawa dia tertakluk kepada hukum syarat tersebut, maka hukumnya adalah fasiq dan kufur nikmat.
“Sekiranya seseorang itu beri`tikad dan mengakui bahawa semua hukum syarak yang telah disepakati dan diketahui dalam agama secara darurat (mudah), tetapi tidak melakukan tuntutan itu, lalu melakukan perbuatan yang dilarang itu, maka orang itu adalah pelaku maksiat, fasiq dan bukannya kafir.”
Begitu juga jika seseorang itu tidak memakai tudung atas alasan-alasan lain seperti kejahilan dan mendapat ancaman daripada sebahagian masyarakat bukan Islam seperti yang berlaku di negara-negara luar. Kes-kes seperti ini ulama telah berbincang panjang dan ramai dalam kalangan ulama yang membenarkan atas alasan darurat.
Sebenarnya, perintah untuk menutup aurat itu adalah datang daripada Pencipta diri manusia itu sendiri yakni Allah SWT. Justeru menjadi diri sendiri bererti menjadi seorang Muslim dan Muslimah yang soleh dan soleh. Sewajarnya manusia membenarkan ayat-ayat Allah dan melatih dirinya untuk mengikut hukum hakam yang telah Allah SWT tetapkan untuk bertanggungjawab ke atas amalannya di Hari Kiamat kelak.
Firman Allah SWT:
نَحْنُ خَلَقْنَاكُمْ فَلَوْلَا تُصَدِّقُونَ
Maksudnya: “Kamilah yang telah menciptakan kamu (dari tiada kepada ada – wahai golongan yang ingkar), maka ada baiknya kalau kamu percaya (akan kebangkitan kamu hidup semula pada hari kiamat).” (Surah al-Waqi`ah: 57)
Manusia-manusia yang melatih dirinya mengikut kehendak Allah SWT, mesti pun penuh dengan dugaan dan rintangan, luar dan dalam, akhirnya akan sedar dan tenang tenteram hatinya kerana itulah acuan dirinya yang sebenar.
Maksudnya: (Katakanlah wahai orang-orang yang beriman: “Ugama Islam, yang kami telah sebati dengannya ialah): celupan Allah( yang mencorakkan seluruh kehidupan kami dengan corak Islam); dan siapakah yang lebih baik celupannya daripada Allah? (Kami tetap percayakan Allah) dan kepadaNyalah kami beribadat”. (Surah al-Baqarah: 138)
Allah SWT mengetahui perkara ini kerana Dialah yang paling mengetahui masa lalu, masa sekarang, dan masa depan para hamba, lantas menerangkan kepada manusia keadaan mereka yang tenang dan pasrah apabila mengetahui perjuangan mereka selama ini berbaloi.
Mereka yang beralasan menjadi diri sendiri untuk tidak menutup aurat berkata mereka tidak mahu bersikap hipokrit atau munafik. Padahal berasa berat dan malas untuk melaksanakan syariat Allah itulah ciri munafik yang patut dijauhi.
Maksudnya: Sesungguhnya orang-orang munafik itu melakukan tipu daya (terhadap ugama) Allah (dengan perbuatan pura-pura beriman sedang mereka kafir pada batinnya), dan Allah pula tetap membalas tipu daya mereka (dengan membiarkan mereka dalam keadaan munafik). Mereka pula apabila berdiri hendak sembahyang, mereka berdiri dengan malas. Mereka (hanya bertujuan) riak (memperlihatkan sembahyangnya) kepada manusia (supaya disangka bahawa mereka orang yang beriman), dan mereka pula tidak mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang) melainkan sedikit sekali (jarang-jarang)(Surah al-Nisa: 142)
Sememangnya jalan menuju kesempurnaan diri itu melalui pelaksanaan syariat itu akan bertemu pelbagai mehnah dan tribulasi khususnya daripada hawa nafsunya. Namun Allah SWT telah memberi jaminan bahawa Dia sendiri akan membukakan jalan kemudahan kepada mereka yang melatih dirinya untuk menjadi dirinya yang sebenar mengikut acuan Allah SWT.
Maksudnya: Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak ugama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami (yang menjadikan mereka bergembira serta beroleh keredaan); dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah adalah berserta orang-orang yang berusaha membaiki amalannya. (Surah al-‘Ankabut: 69)
Semoga kita diberikan hidayah dan direzekikan kekuatan untuk mengikut hidayah itu.
Sumber kredit: Mufti Wilayah Sahibus Samahah Dato’ Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri
VIDEO:
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama. Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
Saya berumur 32 tahun mempunyai masalah uban yang agak kritikal. Bolehkah saya mewarnakan rambut menggunakan inai/pewarna hitam. Ada sesetengah ustaz menasihati saya mewarna rambut saya warna merah (inai) tapi saya agak malu jika warna rambut saya berwarna merah.
JAWAPAN:
Perbuatan menghitamkan uban mengandungi unsur-unsur pemalsuan dan mengubah keadaan yang sebenar. Dengan celupan warna hitam, seseorang dewasa kelihatan seperti remaja, orang tua kelihatan muda kepada pandangan orang ramai.
Hal ini menyebabkan sangkaan mereka berlainan daripada keadaan yang sebenar. Adapun warna yang lain tidaklah sampai ke tahap pengubahan, penipuan dan pemalsuan.
Inilah pendapat mazhab al-Syafie. Adapun di sisi mazhab Maliki, Hanafi dan Hanabilah, hukum mewarnakan rambut dengan warna hitam adalah makruh dan diharuskan semasa perang.
Imam Abu Yusuf daripada Hanafiyyah mengharuskan secara mutlak. Rujuk al-Mausu`ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah (2/281).
Berkata Imam al-Syaukani:
“Sebahagian Jemaah (ulama salaf) mewarnakan rambut mereka dengan warna hitam. Diriwayatkan hal ini daripada (para sahabat seperti) Uthman (bin `Affan), al-Hasan dan al-Hussein anak-anak (Saidina) Ali, `Uqbah bin `Amir dan Ibn Sirin, Abi Burdah dan lain-lain.” Rujuk Nail al-Autar (2/281)
Prof. Dr Yusuf al-Qadhawi dalam karyanya al-Halal wa al-Haram fi al-Islam (hal. 117) menyebut:
“Manakala orang yang tidak setua Abu Quhafah tidak mengapa jiialau dia mewarnakan rambutnya dengan warna hitam. Dalam hal ini al-Zuhri (seorang Tabien) mengatakan: “Kami menginai rambut dengan warna hitam jikalau wajah masih kelihatan muda. Apabila wajah sudah berkedut dan gigi sudah bergoyang kami meninggalkannya.”
Sekiranya seseorang ingin mewarnakan rambut, hendaklah dia mewarnakan rambut atau uban dengan warna apa pun selain warna hitam, atau warna dan gaya yang menyerupai syiar agama lain.
Ini bagi meraikan mazhab al-Syafie yang merupakan mazhab yang diamalkan di Malaysia. Namun begitu, kami tidak mengingkari pendapat-pendapat lain yang memakruhkan bahkan mengharuskan pewarna hitam, khususnya jika tidak melibatkan penipuan.
Sumber: Laman Web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama. Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
Selepas Syawal ramai yang berkira-kira untuk melakukan ibadah korban Setiap kali tibanya musim ibadah korban untuk Aidiladha nanti.Boleh jadi terdetik juga keinginan untuk melakukan...