Berpuasa di bulan Ramadan adalah rukun Islam yang ketiga. Setiap Umat Islam wajib menunaikannya. Namun bagaimana pula dengan mereka yang meninggal dunia dan tidak sempat mengqadha’ puasanya? Apakah hukumnya menggantikan puasa bagi mereka yang telah meninggal dunia?
Sekiranya berterusan keuzuran seseorang itu sehingga dia meninggal dunia seperti sakitnya yang berterusan, berpanjangan safarnya, pengsannya, hamilnya, menyusunya dan semisalnya, maka ia tidak dikira berdosa. Tidak wajib ke atasnya dan begitu juga bagi pihak walinya (saudara terdekat) kerana kewajipan berpuasa tidak dapat dilaksanakan sehinggalah dia meninggal dunia maka telah gugur hukum berpuasa buatnya.
Sekiranya seseorang itu mampu untuk mengqadha’kan puasa yang ditinggalkan sama ada sebab uzur ataupun tidak, namun tidak diqadha’kan sehingga dia mati, adapun mazhab al-Qadim (dan ia adalah yang rajih dan disahihkan oleh golongan muhaqqiq), dalam keadaan begini dibolehkan bagi wali untuk berpuasa bagi pihak si mati namun tidaklah dilazimi (wajib) akan perbuatan tersebut. Ini berdasarkan hadis `Aisyah R.Anha yang mana Nabi SAW telah bersabda:
Maksudnya: Siapa yang mati dan padanya terdapat puasa yang belum digantikan, maka berpuasa bagi pihak (si mati) walinya.
IKLAN
Riwayat al-Bukhari (1952) & Muslim (1147)
Al-Imam al-Nawawi Rahimahullah di dalam kitabnya al-Minhaj menyebutkan bahawa bagi mereka yang berbuka puasa kerana uzur dan berpanjangan uzur atau sakitnya itu sehinggalah mati, maka tidak ada puasa keatasnya, dan tidak perlu membayar fidyah baginya dan tidak pula orang lain berpuasa baginya.[2]
Dalam sebuah hadis yang lain, daripada Ibn `Abbas R.Anhuma, telah datang seorang lelaki kepada Nabi SAW lalu berkata: Wahai Rasulullah SAW, sesungguhnya ibuku telah mati dan masih ada padanya baki puasa sebulan (yang belum diqadha’kan). Adakah aku perlu menggantikannya?. Jawab Nabi SAW:
IKLAN
فَدَيْنُ اللَّهِ أَحَقُّ أَنْ يُقْضَى
Maksudnya: Adapun hutang Allah itu lebih berhak untuk dilunaskan.
IKLAN
Riwayat Abu Daud (3310)
Puasa tersebut boleh digantikan oleh wali si mati dari kalangan ahli keluarga yang terdekat dan boleh juga untuk mengupah orang lain berpuasa bagi si mati. Sekiranya terdapat orang luar (bukan dari kalangan wali si mati) yang berpuasa bagi si mati tanpa izin atau tiada wasiat dari si mati maka tidak sah puasa tersebut.
Sekiranya wali tidak berpuasa bagi si mati, dan tidak juga orang yang lain, maka dikeluarkan dari bahagian yang ditinggalkan puasa tersebut fidyah bagi setiap hari yang ditinggalkan dengan satu mud (cupak). Sekiranya si mati tiada meninggalkan harta maka dibolehkan untuk orang lain mengeluarkan hartanya bagi menyelesaikan hutang puasa si mati dalam bentuk fidyah.
Apakah hukumnya bagi lelaki memakai inai? Kita lihat ketika majlis perkahwinan, selalunya pengantin lelaki akan diinaikan jarinya.
Inai adalah perhiasan bagi wanita bukannya untuk lelaki. Dalam sebuah hadith, diriwayatkan daripada ‘Aisyah R.Anha:
Maksudnya: Seorang wanita memberikan isyarat dari belakang tabir bagi menunjukkan pada tangannya ada surat untuk diberikan kepada Rasulullah SAW. Maka Nabi SAW menggenggam menutup tangannya lalu berkata:
“Aku tidak tahu adakah ini tangan lelaki ataupun tangan perempuan?”. Jawab perempuan tersebut: “Perempuan”. Lalu Baginda berkata: “Jikalau kamu ini perempuan, nescaya akan lakukan perubahan pada kuku-kuku kamu (iaitu dengan inai)”.
Al-Imam al-Nawawi Rahimahullah menyebutkan di dalam al-Majmu’:
Maksudnya: Adapun mewarnakan kedua tangan dan kaki dengan inai, maka digalakkan bagi yang berkahwin dikalangan perempuan berdasarkan hadith-hadith masyhur padanya dan haram ke atas lelaki-lelaki (memakai inai) kecuali untuk berubat.
[Lihat al-Majmu’. Dar al-Fikr, 1/294]
Begitu juga al-Imam al-Syarwani Rahimahullah di dalam hasyiahnya bagi kitab Tuhfah al-Muhtaj karangan Ibn Hajar al-Haitami Rahimahullah turut menyatakan perkara yang sama iaitu digalakkan bagi wanita yang telah berkahwin untuk berinai dan haram ke atas lelaki.
Oleh kerana berinai itu termasuk di dalam perhiasan wanita maka tidak boleh bagi lelaki untuk berinai. Sama ada untuk tujuan perkahwinan ataupun atas dasar berhias, agar nampak cantik dan sebagainya, tetap tidak boleh melainkan untuk tujuan berubat yang mana dengan berinai boleh membantu menyembuhkan penyakit-penyakit tertentu. Walau bagaimanapun lelaki boleh mengenakan inai pada rambut, ini kerana terdapat hadis yang membenarkannya.
Berdoalah kepada Allah SWT supaya Dia memberikan kekuatan untuk mengatasi segala ujian hidup serta jalan keluar kepada masalah yang kita hadapi itu.
Daripada Abu Hurairah, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Berdoalah kepada Allah dalam keadaan yakin akan dikabulkan dan ketahuilah bahawa Allah tidak mengabulkan doa daripada hati yang lalai.” (Hadis Riwayat at-Tirmizi)
Antara perkara yang perlu diambil perhatian ketika berdoa ialah adab dalam berdoa. Berikut adab-adab yang perlu dititi beratkan ketika berdoa.
Pertama: Berdoa Dengan Penuh Harap Dan Yakin
Antara adab berdoa, seseorang itu perlulah meminta kepada Allah SWT dalam keadaan dirinya bersangka baik dengan-Nya agar permintaan itu dimustajabkan. Demikian juga, seseorang itu perlulah berdoa dalam keadaan penuh harap (agar doa dimustajabkan) dan juga perasaan takut (dari doa tertolak). Ini berdasarkan firman Allah SWT:
Maksudnya: Sesungguhnya mereka itu (para Nabi) sentiasa bersegera dalam melakukan perkara kebaikan. Dan mereka berdoa kepada Kami dalam keadaan penuh harap dan rasa takut. (Surah al-Anbiya’: 90)
Ayat di atas ini sebelumnya menceritakan berkenaan beberapa orang para Nabi dan juga permintaan yang mereka lakukan. Nabi Ayyub AS berdoa kepada Allah SWT untuk memberikan kesembuhan kepada penyakit yang menimpanya, lalu Allah mustajabkan.
Nabi Yunus AS berdoa supaya diselamatkan dari musibah yang menimpa dirinya saat berada di dalam perut ikan Nun, kemudian Allah mustajabkan doanya. Berikutnya, Nabi Zakaria AS juga berdoa supaya dikurniakan zuriat, lalu Allah SWT memustajabkannya dengan mengurniakan Nabi Yahya sebagai anak.
Ketiga-tiga para Nabi ini dimustajabkan doa mereka kerana berdoa dalam keadaan penuh harap dan takut kepada Allah SWT.
Begitu juga berdasarkan sebuah hadis daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: Berdoalah kepada Allah dalam keadaan kamu yakin bahawa ianya akan dimustajabkan. Dan ketahuilah kamu bahawa Allah SWT tidak akan memustajabkan doa yang datang daripada hati yang lalai lagi alpa. Riwayat al-Tirmizi (3479)
Kedua: Memuji Tuhan Sebelum Berdoa
Antara adab dalam berdoa adalah dengan memuji Allah SWT sebelum meminta sebarang hajat. Hal ini sebagai contoh mudahnya adalah dengan melihat kepada bacaan surah al-fatihah yang dibacakan oleh seseorang. Ia berdasarkan sebuah riwayat yang panjang daripada Abu Hurairah R.A beliau berkata bahawa Rasulullah SAW menceritakan berkenaan bacaan al-Fatihah di dalam solat. Lalu Allah SWT membahagikan solat kepada dua bahagian, untuk diri-Nya dan untuk para hamba-Nya.
Jelas dalam surah al-Fatihah, terdapat 5 pujian daripada ayat pertama hinggalah ke ayat yang ke lima kepada Allah SWT. Kemudian pada ayat yang keenam, ia diikuti dengan permintaan atau doa yang pertama iaitu:
اهْدِنَا الصِّرَاطَ الْمُسْتَقِيمَ
Maksudnya: Berilah kami hidayah kepada jalan yang lurus. (Surah al-Fatihah: 6)
Demikian juga seperti yang difirmankan oleh Allah SWT di dalam al-Quran yang menceritakan berkenaan doa Nabi Ibrahim A.S, baginda memulakan dengan katanya:
Maksudnya: Dialah Tuhan yang telah menciptakan aku maka Dia jugalah yang memberikan petunjuk. Dialah Tuhan yang memberi makan dan minum kepadaku. Dan apabila aku sakit, maka Dialah yang memberikan kesembuhan. Dan Dialah Tuhan yang mematikan aku kemudian menghidupan semula (diriku). Dan Dia jugalah Tuhan yang sangat aku harapkan supaya Dia mengampunkan kesalahan-kesalahanku pada hari akhirat. (Surah al-Syu’ara: 78 – 82)
Kesemua ungkapan di atas ini, jika diteliti ia adalah suatu puji-pujian seorang hamba kepada Tuhannya. Maka Nabi Ibrahim AS tidak terhenti sekadar lima pujian ini, bahkan baginda menyambungnya dengan lima buah permintaan kepada Allah SWT melalui firman-Nya:
Maksudnya: Tuhanku, berilah hikmah kepadaku dan golongkanlah diriku bersama dengan orang-orang yang soleh. Berilah kepadaku lisan yang benar buat orang-orang yang terkemudian. Dan jadikanlah aku di antara mereka yang mewarisi syurga al-na’im. Dan ampunkanlah bapaku, sesungguhnya dia tergolong dalam kalangan mereka yang tersesat. Dan janganlah Kau hinakan aku pada hari kebangkitan. Surah al-Syu’ara’ (83-87)
Justeru, dapat kita fahami bahawa petunjuk qurani di dalam berdoa adalah dengan memulakannya dengan ucapan pujian-pujian kepada Allah SWT.
Sebagai tambahan, cukuplah kami nyatakan di sini dua hadis untuk melengkapkan jawapan di atas.
Daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: “Siapa yang suka Allah terima doanya ketika kesukaran dan kepayahan, maka hendaklah dia membanyakkan doa pada masa kemewahan dan kesenangan.” Riwayat al-Tirmizi (3382) dan Abu Ya’la
Daripada Abi Hurairah R.A katanya, Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: Berdoalah kamu kepada Allah dalam hal keadaan kamu yakin dengan penerimaan Tuhan. Ketahuilah bahawa Allah SWT tidak menerima doa daripada hati orang yang lalai.
Penyanyi Aizat Amdan dan Nabila Razali telah meluangkan masa melawat 30 orang pesakit kanak-kanak di wad kanak-kanak di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM). Sama ada Aizat mahupun Nabila, masing-masing gembira diberi peluang untuk meraikan kanak-kanak ini yang nyata teruja dengan kehadiran dua penyanyi kesayangan ramai ini.
Program Remaja X Media Hiburan Make A Wish Raya ini adalah anjuran majalah Remaja dan Media Hiburan serta mendapat tajaan daripada pihak Int3tree. Aizat dan Nabila telah menyampaikan cenderahati dan duit raya kepada 30 orang pesakit kanak-kanak di wad ini. Jelas terpancar keceriaan pada wajah mereka.
Sekurang-kurangnya kehadiran Aizat dan Nabila dapat menceriakan anak-anak ini.