
Sesungguhnya solat adalah tiang agama. Walau bagaimanapun untuk wanita, menutup aurat juga merupakan satu kewajipan. Melalui solat yang dilakukan kerana Allah, seseorang itu akan dapat membantu memperbaiki diri untuk terus berubah ke arah yang lebih baik.
Namun banyak sahaja situasi di mana ramai wanita yang tidak memakai tudung tetapi solatnya tidak pernah tinggal manakala wanita yang memakai tudung, ada yang langsung tidak solat.
SOALAN:
Apakah hukumnya wanita yang tidak menutup aurat tetapi solat lima waktu tidak pernah tinggal?
JAWAPAN:
Tidak tinggal solat bermakna dia masih Islam. Jika tidak solat maka tiada/kurang satu rukun Islamnya, Tidak cukup satu rukun maka tidak sempurnalah Islamnya. Sama seperti solat ada 13 rukun. Jika tidak rukuk maka tidak sah solatnya. Jadi bila tinggal satu daripada rukun Islam, seseorang tidak dikatakan Islam.
Jika tidak menutup aurat tetapi tetap solat, dia dikira berdosa kepada Allah. Islamnya masih ada kecuali dia tinggal solat maka Islamnya akan ‘tercabut.’
Perempuan yang tidak pakai tudung tapi solat itu lebih baik daripada perempuan yang pakai tudung tapi tidak solat. Bagi perempuan yang masih tidak bertudung maka hendaklah dia memasang azam untuk memakai tudung.
Sumber kredit: Tanyalah Ustaz
‘Letupkan’ Jari Ketika Solat, Ketahui Hukumnya

Dalam keadaan tidak sedar sewaktu solat, saya sering menekan jari-jari tangan sehingga berbunyi. Kemudian ada rakan yang menegur dan mengatakan bahawa perbuatan itu adalah makruh. Adakah benar seperti yang diperkatakan?
Pertanyaan di atas mungkin boleh dibahaskan melalui sebuah hadis Nabi SAW ketika mana Baginda melihat seorang lelaki melakukan perbuatan tersebut.
Lalu Baginda menarik jari lelaki itu lalu bersabda:
“Janganlah engkau menekan jari-jemari tangan ketika menunaikan solat.”
Hadis ini dicatatkan oleh al-Zaila’ei di dalam kitab Nasbu al-Rayah: 2/87. Turut diriwayatkan oleh Ibnu Majah dengan sanad yang dhaif. Namun secara umumnya diamalkan oleh para ulama.
Selain itu, Syeikh Abu Bakar al-Jazairi di dalam kitabnya Minhajul Muslim, menyatakan beberapa perkara yang makruh dilakukan ketika solat. Antara lain ialah :
1) Memalingkan kepala atau menjeling. Rasulullah s.a.w bersabda:
“Ia adalah suatu bentuk kecurian yang dilakukan oleh syaitan terhadap solat seseorang hamba. (Hadis Riwayat al-Bukhari : 1/191, 4/152)
2) Memandang ke arah langit. Baginda bersabda :
“Apakah urusan kaum-kaum yang memandang ke langit ketika solat? Kemudian Baginda menyambung lagi. Sama ada mereka berhenti daripada berbuat demikian atau disambar pandangan-pandangan mereka.” (Hadis Riwayat al-Bukhari : 1/191)
3) Mencekak pinggang. Abu Hurairah r.a berkata:
“Nabi s.a.w melarang seseorang bersolat mencekak pinggang.” (Hadis Riwayat al-Tirmizi : 383 dan al-Nasa’ie : 2/127)
4) Mengurai-uraikan rambut, menyingsing lengan baju atau pakaian. Rasulullah s.a.w bersabda:
“Aku diperintahkan untuk bersujud dengan tujuh anggota badan dan aku tidak menyingsing pakaian dan mengurai-urai rambut (yang terurai).” (Hadis Riwayat Muslim : 128, 231, Kitab Solat.
5) Menyapu batu kerikil atau pasir pada tempat sujud lebih daripada sekali. Rasulullah s.a.w bersabda: “Apabila salah seorang daripada kamu mengerjakan solat, maka janganlah dia menyapu kerikil (pasir). Hal ini kerana rahmat diarahkan kepadanya.” (Hadis Riwayat Ibnu Majah : 1027 dan al-Darimi : 1/322) Namun Rasulullah s.a.w bersabda : “Jika kamu melakukan juga maka cukuplah sekali sahaja.” (Hadis Riwayat Ibnu Majah)
6) Bermain-main dalam solat dan melakukan perbuatan yang melalaikan dan menghilangkan khusyuk seperti memegang atau menggentel janggut, pakaian atau melihat corak hiasan tikar, dinding atau sebagainya. Rasulullah s.a.w bersabda : “Tetaplah (bertenang) kamu dalam mengerjakan solat.” (Hadis Riwayat Muslim : 119, Kitab Solat)
7) Membaca al-Quran dalam rukuk atau sujud. Baginda s.a.w bersabda : “Aku dilarang membaca al-Quran dalam rukuk atau sujud.” (Dalam musnad Syafi’e : 41)
8) Solat ketika makanan telah dihidangkan. Rasulullah s.a.w bersabda : “Tidak boleh melakukan solat ketika makanan telah dihidangkan dan dalam keadaan menahan dua kotoran (buang air besar dan kecil).” (Hadis Riwayat Muslim : 67, Kitab Solat)
Hukum Mengambil Wuduk Dalam Keadaan Tak Berpakaian, Sah Atau Tidak?

SOALAN:
Apakah hukum kita mengambil wuduk dalam keadaan tidak berpakaian?
JAWAPAN:
Suruhan untuk menutup aurat ketika mengambil wuduk tidak ada dinyatakan sebagai satu perkara wajib atau sunat untuk dilakukan.
Akan tetapi, di dalam bab mandi ada dinyatakan bahawa menutup aurat adalah satu daripada perkara sunat.
Namun begitu, ia berlainan pada keadaan mengambil wuduk atau mandi tanpa berpakaian di tempat awam, maka hukumnya jelas wajib untuk menutup aurat. Ini berdasarkan kepada Hadis Nabi SAW:
لَا يَنْظُرُ الرَّجُلُ إِلَى عَوْرَةِ الرَّجُلِ وَلَا تَنْظُرُ الْمَرْأَةُ إِلَى عَوْرَةِ الْمَرْأَةِ
Maksudnya: Lelaki tidak boleh melihat aurat lelaki dan begitu juga wanita tidak boleh melihat aurat wanita.
Hadis riwayat Muslim (no. 388)
قُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ عَوْرَاتُنَا مَا نَأْتِي مِنْهَا وَمَا نَذَرُ قَالَ احْفَظْ عَوْرَتَكَ إِلَّا مِنْ زَوْجَتِكَ أَوْ مَا مَلَكَتْ يَمِينُكَ فَقَالَ الرَّجُلُ يَكُونُ مَعَ الرَّجُلِ قَالَ إِنْ اسْتَطَعْتَ أَنْ لَا يَرَاهَا أَحَدٌ فَافْعَلْ قُلْتُ وَالرَّجُلُ يَكُونُ خَالِيًا قَالَ فَاللَّهُ أَحَقُّ أَنْ يُسْتَحْيَا مِنْهُ
Maksudnya: Saya bertanya: “Wahai Nabi Allah, aurat kita manakah yang harus kita tutup dan manakah yang boleh kita nampakkan?” Nabi menjawab: “Jagalah auratmu kecuali terhadap isterimu atau hamba wanitamu.” Saya bertanya: “Jika lelaki bersama lelaki?” Nabi menjawab: “Jika engkau mampu agar auratmu tidak dilihat oleh sesiapa maka (usahakan) jangan sampai ada orang yang boleh melihatnya.” Saya bertanya: “Wahai Nabi Allah, jika berada dalam keadaan sendirian?” Nabi menjawab: “Allah lebih berhak baginya untuk malu terhadapNya daripada (malu) terhadap manusia”.
Hadis riwayat al-Tirmidzi (no. 2769)
Menurut mazhab Syafie, wajib kepada seseorang muslim yang berada di dalam keadaan bersendirian dan ditempat yang tertutup untuk menutup aurat. Pandangan ini juga disokong oleh ulamak dari kalangan Hanafi dan Hanbali.
Adapun begitu, dari kalangan Ulamak mazhab Maliki mereka menyatakan sunat untuk menutup aurat ketika berada dalam keadaan bersendirian dan ditempat yang tertutup (rujuk kitab Mausuah Fiqhiyah Quwaitiyah, 24/176)
Namun begitu, dibenarkan seseorang itu untuk tidak menutup aurat ketika bersendirian dengan syarat ia perlu disertakan dengan hajat seperti mandi atau untuk menyejukkan badan (rujuk kitab Mughni Muhtaj, m/s 185).
Justeru dalam keadaan tidak memakai pakaian ketika wuduk adalah sah tetapi tidaklah dilakukan di tempat terbuka atau dilihat oleh orang lain.
Begitu juga sepatutnya seseorang Muslim hendaklah menjaga maruahnya dan tidak mendedahkan aib diri sendiri di hadapan orang lain. Walaupun sah wuduknya tetapi dia berdosa kerana mendedahkan aurat kepada orang yang haram melihatnya.
Bahkan Rasulullah SAW bersabda:
الحَيَاءُ مِن الإِيمَان
Maksudnya: “Malu itu sebahagian daripada Iman.”
Hadis Riwayat Bukhari (no. 24)
فَاللَّهُ أَحَقُّ أَنْ يُسْتَحْيَا مِنْهُ
Maksudnya: “Allah lebih berhak baginya untuk malu terhadapNya daripada (malu) terhadap manusia”
Hadis riwayat al-Tirmidzi (no. 2769)
Walaupun tidak dinyatakan sebagai perkara sunat atau wajib menutup aurat ketika mengambil wuduk tetapi adalah lebih baik dan utama untuk menutup aurat sepertimana yang disunatkan ketika mandi.
Sumber: Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri
Orang Yang Solat Pun Masih Terdedah Dengan Dosa, Bayangkan Orang Yang Langsung Tak Solat

Daripada pemerhatian hari ini, dapat dilihat ramai orang yang tidak solat, baik kanak-kanak, remaja, orang dewasa dan warga emas. Mereka mungkin tidak solat kerana tidak dipaksa-didik oleh ibu bapa. Mungkin ibu bapa mereka dahulu pun turut tidak dipaksa-didik oleh generasi lampau. Orang yang tak dipaksa-didik untuk solat akan jadi orang dewasa yang tidak pula memaksa-didik anak mereka. Lalu kitaran tak paksa-didik ini akan terus berhubung dan berantai.
Rasulullah SAW tahu benar solat yang konsisten sukar dilaksanakan jika tidak dilatih semenjak muda. Ini sebabnya baginda menyuruh solat dididik seawal 7 tahun dan didik-pukul (tanpa dera) dibuat ketika usia anak mencecah 10 tahun.
Jika nasib baik, orang yang membesar dalam kitaran ini mendapat hidayah dan mula mengenal Allah melalui pintu yang sebenar iaitu solat. Oleh itu kita perlu saling mengingatkan sesama kita agar menjaga solat. Cuba perhati! Doa hidayah pada ayat 6 surah al-Fatihah yang menjadi rukun solat didatangkan Allah dengan lafaz JAMAK atau RAMAI – اهدنا الصراط – dan bukannya – اهدني الصراط.
Ia sebenarnya suatu signifikan betapa kita perlu turut doakan hidayah untuk orang lain yang belum solat atau tidak konsisten solat.
Setelah melihat kecacatan kitaran paksa-didik ini, barulah dapat difahami mengapa nabi Ibrahim AS berdoa khusus untuk solat dan keturunannya:
“Wahai Tuhanku! Jadikan daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku. (Ibrahim 14:40)
Percayalah! Apabila Allah sudah hilang daripada jiwa dalam kitaran 5 waktu sehari, nafsu dan syaitan akan mengisi kekosongan itu:
Kemudian mereka diganti oleh keturunan yang mencuaikan sembahyang serta menurut hawa nafsu (dengan melakukan maksiat); maka mereka akan menghadapi azab (dalam neraka), (Maryam 19:59).
Jika orang yang kekal solat pun masih terdedah kepada dosa, bayangkan orang yang tak kenal solat?
Orang yang solat, mereka sedar kekurangan dan kelemahan diri apabila melakukan dosa kerana mereka masih dalam kitaran penyembahan kepada Allah 5 kali sehari. Bagi orang yang tak solat, tiada apa lagi peringatan harian yang boleh mengingatkannya betapa alam ini ada TUHAN, ada dosa pahala dan balasan akhirat.
Kesimpulannya, paksa-didiklah diri kita dan anak keturunan kita untuk konsisten bersolat dan mengenal Allah! Jangan hanya solat sendiri, rangkumkan bersama anak keturunan kita kerana ia adalah arahan Allah:
Dan perintahkanlah keluargamu serta umatmu mengerjakan sembahyang, dan hendaklah engkau tekun bersabar menunaikannya. Kami tidak meminta rezeki kepadamu, (bahkan) Kamilah yang memberi rezeki kepadamu. Dan (ingatlah) kesudahan yang baik adalah bagi orang yang bertaqwa. (Taha 20:132).
Sumber: Abdullah Bukhari Abdul Rahim