Beruntunglah jika seseorang itu sudah terbuka hatinya untuk berubah dan memilih cara yang sepatutnya sebagai seorang wanita Muslim.
Ternyata hatinya telah dibukakan sedikit demi sedikit oleh Allah untuk berhijrah ke arah penampilan yang lebih baik.
Begitu juga yang terjadi pada pelakon dan juga isteri kesayangan kepada Ashraf Khalid, Tya Ariffin yang dilihat sudah perlahan-lahan berhijab dengan lebih sempurna.
Dia yang dilihat berpenampilan sudah berhijab sejak 2 Fabruari lalu mendapat isyarat dari suaminya sendiri yang mahu dia bertudung .
“Pada pagi 2 Februari, sebelum keluar rumah, saya terdetik untuk mengenakan hijab. Tanpa sebarang persiapan, saya ambil keputusan untuk mencuba memakai hijab.
“Saya beritahu suami supaya jangan memuatnaik gambar saya sebab belum bersedia. Tapi, suami tersenyum lebar sambil mengucapkan alhamdulillah.
“Sebenarnya, suami dan Prof Muhaya sudah bagi ‘hint’ pada saya untuk sempurnakan cara pemakaian. Tapi, ketika itu saya masih belajar dan dalam process untuk memperbaiki diri. Bagi saya, perubahan ini harus muncul daripada diri sendiri dahulu,” katanya.
Menurut Tya, penghijrahan itu juga langkah awal untuk dirinya membantu wanita lain untuk ke arah yang lebih baik.
“Misi saya adalah untuk membantu wanita dan impian saya bersama suami sangat besar. Jadi, saya harus lakukan segala perintah Allah dan tinggalkan segala yang dilarang. Mudah-mudahab Allah reda dengan segala yang saya lakukan.
“Saya juga bersyukur pada Allah kerana memberi segala nikmat di dunia. Saya ada keluarga yang baik, perniagaan Mutyara yang baik dan sedang berkembang dengan sangat laju. Jadi, saya nak perbaiki diri untuk lebih baik. Allah sudah sangat baik pada saya.
“Saya mohon supaya semua mendoakan saya kekal istiqomah dan untuk saya dan keluarga lebih sukses dan maju. Terima kasih kepada semua yang sudah menyokong saya,” katanya lagi.
Gaduh sikit merajuk. Gaduh sikit minta pulangkan hadiah yang diberi minggu lepas.
Meminta semula hadiah yang sebelumnya diberikan penuh keikhlasan boleh diibaratkan buruk siku. Tindakan ini seperti tidak matang dan berdasarkan emosi.
Apapun juga, pejabat Mufti Wilayah Persekutuan ada jawapannya.
Soalan Assalamualaikum w.b.t Datuk Mufti. Saya ada soalan berkenaan hadiah. Individu A memberikan hadiah kepada individu B. Kemudian, setelah 2 bulan, individu A meminta semula hadiah yang diberikannya kepada individu B.
Jawapan Waalaikumussalam w.b.t. Alhamdulillah. Segala puji bagi Allah atas segala limpahan nikmat dan kurniaNya. Selawat dan salam ke atas Rasul junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W, ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda, dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda S.A.W hingga ke Hari Akhirat.
Kami mulakan kalam ini dengan firman Allah S.W.T: فَإِنْ طِبْنَ لَكُمْ عَنْ شَيْءٍ مِنْهُ نَفْسًا فَكُلُوهُ هَنِيئًا مَرِيئًا Maksudnya: Kemudian jika mereka dengan suka hatinya memberikan kepada kamu sebahagian dari maskahwinnya maka makanlah (gunakanlah) pemberian (yang halal) itu sebagai nikmat yang lazat, lagi baik kesudahannya. (Surah al-Nisa’: 4)
Ayat ini menerangkan bahawa apabila seorang isteri memberikan sesuatu dari maharnya kepada suaminya selepas mahar tersebut diserahkan kepadanya (isteri), maka diharuskan bagi suami tersebut untuk menerimanya.
Dan ia adalah perkara yang baik selagimana dalam keredhaan. Justeru, jelas melalui ayat ini, Allah S.W.T telah mensyariatkan hibah dan menyatakan keharusannya.
Ini dikuatkan juga dengan sabda Nabi Muhammad S.A.W: تهادُوْا تحابُّوا Maksudnya: “Hendaknya kalian saling memberi hadiah, nescaya kalian akan saling mencintai”.
Riwayat al-Bukhari (594). (Lihat: al-Adab al-Mufrad; muka surat 306), Hadith Shohih, (Lihat juga Irwa’ al-Ghalil; 6/44)
Hadis ini merupakan galakan daripada Nabi Muhammad S.A.W buat umatnya. Maka, sudah jelas terang lagi bersuluh bahawa hibah merupakan sunnah berdasarkan kepada nas al-Quran, hadis Nabi Muhammad S.A.W dan juga ijma’ ulama’.
Sebelum diulas lanjut berkenaan hadiah, maka perlu kita bezakan terlebih dahulu pengertian hibah, hadiah dan juga sedekah.
Hibah ialah suatu akad yang merujuk kepada pemindahan hak milik tanpa sebarang gantian, ketika masih hidup dan dilakukan secara sukarela.
Pada dasarnya, ia mempunyai persamaan dengan hadiah dan juga sedekah dari sudut pengertian, bahkan ia lebih umum berbanding keduanya. Namun, ia juga mempunyai perbezaan.
Sedekah pada zahirnya ialah pemindahan hak milik kepada orang yang memerlukan, biasanya sebagai usaha mendekatkan diri kepada Allah dan beroleh pahala. Manakala hadiah pula pada zahirnya ialah pemindahan hak milik kepada orang yang mahu didekati dan dikasihi.
Biasanya ia membabitkan pemindahan barangan yang dihadiahkan kepada penerima. Justeru itu, ulama’ mengatakan setiap hadiah atau sedekah merupakan hibah, dan bukan semua hibah adalah hadiah ataupun sedekah. (Lihat: al-Fiqh al-Manhaji; 6/116)
Berbalik kepada soalan yang diajukan, ia berkait rapat dengan rukun-rukun hibah. Rukun-rukun ini ialah:
Pemberi dan penerima
Sighah Aqad (Ijab dan Qabul)
Barangan yang dihibahkan atau dihadiahkan
Penerimaan Hibah
Pada dasarnya, akad ini tidak sempurna hanya dengan sighah aqad iaitu lafaz ijab dan qabul. Bahkan perlunya kepada penerimaan barangan hibah atau hadiah tersebut.
Ini bermakna, jika seseorang mengucapkan lafaz ingin memberikan hadiah kepada seseorang namun barangan yang ingin dihadiahkannya itu belum lagi diserahkan kepada si penerima, maka pemberi hadiah ini berhak untuk menarik semula keinginannya itu.
Justeru, akad ini akan menjadi sempurna dan berkuatkuasa hanya setelah apabila hadiah tersebut diterima dan memenuhi syarat-syarat bagi hibah atau hadiah, maka sahlah pemilikannya (penerima) ke atas barangan hibah itu.
Meminta Semula Hadiah/Hibah
Asal bagi aqad hadiah mahupun hibah adalah kedua-duanya merupakan akad tabarru’at (kebajikan) dan bukannya akad mu’awadhat (pertukaran). Maka, dalam hal kebajikan, tidak berlakunya pertukaran barangan sepertimana urusan jual beli dan lain-lain.
Seperti yang dibincangkan dalam perihal di atas, asas aqad hibah atau hadiah ini ialah apabila sempurnanya rukun-rukun dan juga syarat-syaratnya, serta telah sempurna penerimaan barangan hadiah/hibah tersebut, maka jelaslah ia merupakan hak milik si penerima, tanpa perlu kepada sebarang pertukaran sepertimana jual beli.
Sehubungan dengan itu, tidak dibenarkan atau tidaklah dibolehkan bagi si pemberi untuk meminta semula hadiah atau hibah yang telah diberikannya melainkan seorang ayah meminta semula harta yang telah diberikan kepada anaknya atau sesorang yang melakukan hibah dengan syarat pertukaran.
Maka, dalil bagi perbuatan ini adalah berdasarkan kepada hadis Nabi Muhammad S.A.W: «العَائِدُ فِي هِبَتِهِ كَالعَائِدِ فِي قَيْئِهِ» Maksudnya:
“Orang yang meminta semula hibahnya sama seperti orang yang memakan semula muntahnya”.
Riwayat al-Bukhari (2621)
Atau dalam riwayat yang lain: «لَيْسَ لَنَا مَثَلُ السَّوْءِ، الَّذِي يَعُودُ فِي هِبَتِهِ كَالكَلْبِ يَرْجِعُ فِي قَيْئِهِ» Maksudnya: “Kita tidak melakukan perbuatan yang buruk itu, iaitu orang yang meminta semula anugerah (hibah) mereka samalah seperti anjing yang menelan semula muntahnya.” Riwayat al-Bukhari (2622)
Justeru itu, melalui kedua-dua hadith ini, jelas menunjukkan larangan dan juga betapa buruknya sikap mereka yang meminta semula pemberian itu.
Maka, Dr.Wahbah al-Zuhaili berkata: فالرجوع في القيء حرام، فكذلك الرجوع في الهبة، وأن ذلك مثل السوء الذي يتنافى مع أخلاق المسلم Maksudnya: Maka menelan semula muntah adalah haram. Begitu juga meminta semula hibah atau hadiah yang telah diberikan. Dan sesungguhnya ia adalah perbuatan dan juga sikap yang buruk, lantas ia bukanlah akhlak seorang Muslim.
Penutup Kesimpulannya, hukum meminta semula hadiah yang telah diberikan kepada seseorang adalah haram melainkan tuntutan semula seorang ayah terhadap anaknya dan juga hibah yang diberikan berserta syarat pertukaran.
Akhir kalam, kami menasihati orang ramai agar menjauhkan diri dari bersikap dengan perbuatan ini iaitu meminta semula hadiah, kerana ia merupakan perbuatan yang buruk dan tidak sesuai dengan akhlak seorang Muslim.
Semoga Allah S.W.T meletakkan keikhlasan dalam diri kita dalam hal kebajikan, murahkan rezeki kita agar dapat perbanyakkan diri dengan amalan-amalan kebajikan.
Semoga Allah S.W.T memberkati segala amal kebajikan kita semua.
Ramadan adalah masa untuk keluarga dan saudara-mara berkumpul, buka puasa sambil luangkan masa bersama. Sayangnya, tak semua orang bertuah untuk alami situasi seperti ini.
Ramai juga diantara kita sebenarnya yang tak teruja dengan datangnya Ramadan, sebab kesunyian itu akan lebih terasa.
Mungkin saudara baru dalam agama, atau orang-orang yang tinggal jauh dari keluarga, atau tak ramai kawan yang sama-sama puasa di sekeliling mereka. Jadi sesi buka puasa akan terasa sangat sunyi.
Nabi Muhammad SAW bersabda yang Allah SWT berfirman yang bermaksud;
“Semua amal anak Adam untuk dirinya kecuali puasa, ia untuk aku. Aku akan membalasnya” (HR BUKHARI)
Jadi, tak kira macam mana pun situasi kita, kita kena sentiasa ingat bahawa kita akan diberi ganjaran yang besar untuk puasa kita. Tak kira betapa susah pun, ganjaran itu akan datang dari Allah SWT. Dia yang nampak susah senang kita. Dia yang sentiasa ada dengan kita, dan Dia takkan biarkan usaha kita untuk taat kepadaNya jadi sia-sia.
Untuk anda yang rasa kesunyian di bulan yang penuh dengan berkat ini, nah kami sediakan beberapa tips yang boleh anda cuba;
Kunjungi Masjid Terdekat
Kalau anda tak biasa ke masjid, nah inilah masa terbaik untuk mulakan! Sebab anda tak berseorangan. Ramai orang yang akan mula berjinak ke masjid dalam bulan Ramadan jadi anda boleh gunakan peluang in untuk beribadat, baiki diri dan mulakan silaturrahim yang baru.
Untuk permulaan, cuba pergi untuk solat terawikh dulu. Kalau ada kesempatan, boleh berjemaah masa solat-solat wajib juga. Sambil tu, tengok sekali kalau ada apa-apa majlis atau kelas-kelas yang anda rasa selesa nak ikuti.
Tetapi untuk tahun ini rasanya, lebih elok duduk saja di rumah memandangkan semua rumah ibadat telah ditutup kerana COVID-19.
Hargai Masa Yang Ada
Mungkin bunyinya pelik sikit, tapi cuba “enjoy” masa yang anda ada untuk bersendirian. Walaupun Ramadan biasanya dipenuhi pelbagai majlis, ia sebenarnya adalah masa untuk anda fokus pada ibadat, tingkatkan iman dan baiki hubungan anda dengan Allah SWT.
Tanya pada diri sendiri, apa yang anda nak capai Ramadan ini? Nak baca lebih buku agama? Nak baiki pemahaman Al-Quran? Ada tak tabiat buruk yang anda nak hentikan? Atau ada tabiat baik yang anda nak kembangkan? Nah, inilah masanya untuk lawan rasa sunyi itu dengan sibukkan diri dengan kerja atau aktiviti yang akan meningkatkan iman anda. Bukankah ini juga salah satu tujuan kita berpuasa di bulan Ramadan?
Sediakan Juadah Sahur Atau Berbuka Untuk Orang Lain
Nabi Muhammad SAW bersabda;
SIAPA MEMBERI MAKAN ORANG YANG BERPUASA, MAKA BAGINYA PAHALA SEPERTI ORANG YANG BERPUASA TERSEBUT, TANPA MENGURANGI PAHALA ORANG YANG BERPUASA ITU SEDIKIT PUN JUGA.” (HR. TIRMIDZI)
Ramadan memang akan terasa sunyi kalau anda tak tinggal dengan keluarga atau tak ada ramai kawan yang sama-sama single. Untuk kurangkan rasa sunyi, apa kata anda beranikan diri dan kenalkan diri kepada orang-orang sekeliling yang mungkin anda selalu nampak tapi tak pernah bertegur sapa? Bila ada masa lapang, masakkan satu juadah atau kuih dan beri pada mereka. InshaAllah dengan cara ini, hubungan ini akan kekal walaupun selepas Ramadan.
Kalau anda rasa tak yakin, boleh juga cuba bawa makanan ke masjid berdekatan dan edarkan pada orang sekeliling sebagai “pembuka kata” bila mula-mula nak bertegur sapa.
“Sedekah” Masa Anda
Seperti yang anda tahu, Ramadan adalah masa untuk anda fokus untuk tingkatkan iman dan perbaiki diri. Dan salah satu perkara yang anda boleh buat untuk capai objektif ini adalah dengan melibatkan diri sebagai sukarelawan di mana-mana badan kebajikan dan “sedekah” kan sedikit masa anda.
Cuba tawarkan diri sebagai sukarelawan menggunakan apa-apa kemahiran yang anda ada. Paling kurang pun, boleh bantu masjid untuk pastikan ia sentiasa bersih dan rapi untuk kegunaan jemaah yang lain. Masa anda akan dihabiskan dengan perkara yang bermanfaat dan anda pun berpeluang berjumpa dengan kawan baru di samping mendapat ganjaran pahala dari Allah SWT.
Perbanyakkan Doa
Bila anda rasa sunyi, carilah Allah SWT. Tadahkan tangan dan doa yang Dia akan bantu anda. Hanya Dia yang berkuasa untuk berikan anda semua cita-cita dan harapan anda. Ramai orang yang selalu dikelilingi ramai orang, tapi hatinya masih terasa sunyi dan tak tenang. Jadi jangan lupa berdoa pada Allah SWT sebab hanya Dia yang boleh tarik rasa sunyi itu dari hati kita.
VIDEO KASHOORGA:
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama. Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
Walau nampak remeh, filosofi perihal sepasang selipar adalah objek pembelajaran paling berharga. Terutamanya pada sebuah kehidupan yang sederhana selain menjadi manusia yang mampu memberikan manfaat kepada manusia lainnya.
Ini kerana kita biasanya belajar dari satu pengalaman dan ternyata filosofi selipar yang hanya terletak di kaki kita sahaja boleh menjadi “pelajaran” paling berguna dalam kehidupan kita.
Ini adalah sebahagian dari “pelajaran” mengenai sepasang selipar. Tak kisah ianya selipar mesra muslim atau tidak tapi ianya tetap sebuah selipar.
Rela dilepas untuk hal yang lebih besar
Tak kira harganya mahal atau murah tapi ketika ingin masuk rumah atau memasuki surau/masjid, selipar akan rela dilepaskan pemiliknya. Dikaitkan dengan kehidupan kita, ia adalah sikap merendah diri yang boleh kita tiru dalam kehidupan sehari-hari. Demi kepentingan bersama, maka kita harus rela melepaskan sesuatu yang ada pada diri kita termasuk melepaskan benda yang kita sayang demi kepentingan bersama.
Setia dan sabar menunggu
Sepasang selipar adalah penunggu yang sangat setia. Ketika dia dilepaskan pemiliknya makan dia akan setia menunggu pemiliknya datang kembali sebelum menyarungnya. Bukan sehari tapi andai pemiliknya tidak mengambilnya sampai bila-bila, dia akan terus setia di situ.
Selalu dicari dan gusar jika kehilangannya
Harga sepasang selipar mungkin murah. Tapi jika hilang terutama ketika pulang dari masjid, tuannya akan berusaha mencari seliparnya sampai dapat walau pun harganya mungkin RM5 saja. Berpusing-pusing cari satu masjid sebelum balik dengan hampa termasuk berkaki ayam kalau selipar milik mereka terus tidak ditemui.
Bergaul Tanpa Pandang Bulu
Semahal mana pun sepasang selipar terutama bagi yang ada jenama, selipar akan sentiasa berkhimat untuk pemiliknya. Malah selipar juga tidak kisah sama ada kaki yang menyarungnya bersih atau kotor tapi dirinya akan selalu memberikan manfaat kepada pemiliknya. Tidak hanya dengan pemiliknya, selipar juga mudah mesra bergaul sesame selipar lain tanpa mempedulilan harga dan bentuk dirinya.
Semahal mana pun harga dan kualiti, selipar tetap saja duduknya di bawah
Selipar mengajar kita untuk hidup sederhana dan bersikap rendah diri. Kekayaan dan pangkat yang mungkin kita miliki hari ini tidak seharusnya menjadikan kita orang yang sombong dengan kedudukan yang ada pada hari ini. Justeru sebaliknya, walau mahal atau bagusnya, kita harus kekal berada di bawah. Bahkan rela dipijak demi manafaat yang lebih besar. Bahkan selipar juga merupakan salah satu barang yang selalu menemani pemiliknya. Dirinya akan sentiasa bersedia digunakan pada bila-bila masa dan ke mana saja.
Begitulah juga dengan kehidupan manusia itu sendiri. Hendaklah menjadi susuk yang sangat berguna tidak kira di mana saja. Siang atau malam, jika orang lain memerlukan pertolongan kita, sentiasalah memberikan pertolongan.
Memiliki integriti yang sangat tinggi
Ini adalah salah satu filosofi yang sangat istimewa. Di mana pun keadaannya, sepasang selipar memiliki integriti yang tinggi. Bayangkan, selipar tidak akan sesekali mahu dipasangkan dengan selipar lain yang bukan pasangannya. Hal ini dibuktikan kita sendiri akan berasa kekok berjalan selipar yang berbeza.
Sumber :-IPHINCOW
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama. Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
Kucing kesayangan mati memang boleh menyebabkan kesedihan pada seluruh ahli keluarga. Dalam masa yang sama ia juga boleh menimbulkan dilema terutama jika tinggal di...