Imam Al-Syafie pejuang sunnah & kebenaran

Masyarakat Islam khususnya di Malaysia tahu bahawa pengamalan ibadah dan hukum fekah mengikut Mazhab Syafie, namun berapa ramai yang tahu nama sebenar pengasas Mazhab Syafie? Siapakah dia? Di manakah lahirnya? Bagaimanakah keperibadiannya?

Abu Abdullah Muhammad bin Idris, lebih dikenali sebagai Imam Al-Syafie.

Beliau adalah tokoh ilmuwan agung yang lahir dalam sejarah kegemilangan Islam. Sebaris dengan tokoh hebat seperti Al-Imam Abu Hanifah, Al-Imam Malik bin Anas, Al-Imam Ahmad bin Hanbal, Ibn Abi Laila, Abi Thaur, Al-Imam Al-Auza’i, Al-Imam Sufyan Al-Thauri dan ramai lagi.

Dilahirkan pada 150 Hijrah di Ghazzah, selatan Palestin, tahun yang sama dengan kewafatan ulama besar yang juga pengasas Mazhab Hanafi, Imam Abu Hanifah. Ada sebahagian mengatakan: “Seorang imam telah meninggal dunia dan lahir pula imam yang lain.”

Si anak yatim

Ayahnya meninggal dunia semasa beliau masih kecil. Ketika berusia dua tahun, ibunya telah membawa beliau kembali ke tempat asal keturunannya iaitu di Makkah.

Imam Al-Syafie mempelajari al-Quran ketika usianya lima tahun dan mula menghafaz al-Quran semasa berusia tujuh tahun. Apa yang menarik mengenai beliau adalah daya ingatannya sangat kuat ketika belajar. Beliau mudah memahami, dan berkebolehan tinggi.

Imam Al-Syafie sedar mustahil seseorang itu dapat memahami makna al-Quran, hukum-hakam dan rahsia yang terkandung tanpa menguasai bahasa Arab dengan baik.

Justeru, Imam Al-Syafie telah mengambil keputusan dengan meninggalkan kota Makkah dan tinggal di pedalaman Arab Badwi bersama suku Hudzail. Suku Hudzail ibarat seperti jin dalam kalangan manusia. Mereka bukan sahaja fasih berbahasa Arab, bahkan mampu melihat kesalahan yang orang lain menganggapnya betul.

Ilmu hadis

Keinginan Imam Al-Syafie terhadap ilmu Islam semakin membara. Setelah menghafal al-Quran dan mendalami bahasa Arab, beliau cenderung pula terhadap ilmu hadis. Beginilah adab untuk mencapai mujtahid yang sebenar.

Dalam kitab Al-Muhaddits Al-Fashil ada diceritakan kisah yang hampir sama dengan Imam Al-Syafie.

Hafs bin Ghiyats berkata: “Saya datang kepada Al-A’masy dan berkata kepadanya: “Riwayatkanlah hadis kepadaku! Al-A’masy bertanya: “Apakah engkau sudah menghafal al-Quran?” Saya jawab: “Belum.” Lalu dia berkata kepadaku: “Pergilah hafal al-Quran! Kemudian (jika sudah), barulah aku bersedia meriwayatkan hadis kepadamu.” Hafs berkata: “Kemudian saya pergi untuk menghafal al-Quran. Lalu, saya datang semula kepadanya.” Dia meminta saya untuk membaca al-Quran dan saya pun membaca (di hadapannya). Setelah itu, barulah dia meriwayatkan hadis kepadaku.

Imam Al-Syafie mendapat khabar ada seorang ulama besar Madinah yang hebat dalam bidang hadis, iaitu Imam Malik. Lantas, Imam Al-Syafie meminjam kitab Al-Muwattha’ susunan Imam Malik daripada kenalan di kota Makkah.

Usianya ketika membaca dan menghafal Al-Muwattha’ ialah 14 tahun. Kemudian, Imam Al-Syafie berjumpa dengan Imam Malik di Madinah dan berguru dengannya sehingga Imam Malik meninggal dunia.

Dalam usianya yang masih muda, beliau banyak menuntut ilmu dengan ramai fuqaha. Antaranya Sufyan bin ‘Uyainah, Muslim bin Khalid Az-Zinji, Abdul Majid bin Abdul Aziz bin Abu Daud, Imam Malik dan ramai lagi. Disebabkan itulah beliau sering diminta memberi pandangan dalam menyelesaikan masalah agama.

Hadapi tentangan

Ketokohan Imam Al-Syafie sebagai murid terpintar Imam Malik bin Anas, diiktiraf ramai. Imam Al-Syafie mengambil alih kedudukan Imam Malik bin Anas sebagai guru di Masjid Nabawi Madinah sehinggalah beliau ditawarkan satu kedudukan jawatan oleh Gabenor Yaman. Jawatan Imam Al-Syafie di Negeri Yaman tidak lama kerana beliau difitnah sebagai pengikut mazhab Syiah. Selain itu pelbagai konspirasi lain dijatuhkan ke atasnya sehinggalah beliau dirantai dan dihantar ke penjara di Baghdad, yakni pusat pemerintahan Dinasti Abbasiyyah ketika itu.

Imam Al-Syafie dibawa menghadap Khalifah Harun Ar-Rashid dan beliau berjaya membuktikan dirinya berada di pihak yang benar. Kehandalan dan kecekapan Imam Al-Syafie membela diri dengan pelbagai hujah agama menyebabkan Harun Ar-Rashid tertarik kepada beliau. Imam Al-Syafie dibebaskan dan dibiarkan bermastautin di Baghdad. Di sini Imam Al-Syafie berkenalan dengan anak murid Imam Abu Hanifah dan duduk berguru bersama mereka, terutamanya Muhammad bin Al-Hasan As-Syaibani.
Jurang perbezaan

Pada tahun 188H/804M, Imam Al-Syafie berhijrah ke Mesir sebelum itu beliau singgah ke Makkah, Di sana beliau diberi penghormatan dan dipelawa memberi kelas agama. Imam Al-Syafie diiktiraf sebagai imam dan banyak berusaha menutup jurang perbezaan antara aliran fekah Imam Malik dan Imam Abu Hanifah. Usahanya tidak disambut baik penduduk Makkah kerana mereka berpegang pada aliran fekah Imam Malik.

Pada tahun 194H/810M, Imam Al-Syafie kembali ke Baghdad dan dipelawa memegang jawatan kadi dalam Dinasti Abbasiyyah. Beliau menolak dan hanya menetap selama empat tahun di Baghdad. Imam Al-Syafie kembali semula ke Mesir dan memusatkan ajarannya di sana.

Saat-saat akhir

Dalam usahanya untuk menutup jurang antara ajaran Imam Malik bin Anas dan Imam Abu Hanifah, Imam Al-Syafie menghadapi banyak tentangan daripada pengikut Mazhab Maliki yang taksub kepada guru mereka. Pada satu malam, dalam perjalanan balik ke rumah daripada kuliah Maghrib, Imam Al-Syafie diserang dan dipukul sehingga menyebabkan kematiannya.

Imam Al-Syafie meninggal dunia pada 29 Rejab tahun 204H/820M di Mesir ketika berumur 54 tahun (Hijriah), dan dikebumikan di Al-Qarafah selepas Asar. Beliau meninggalkan sebuah kitab yang paling agung dalam bidang usul fiqh berjudul Ar-Risalah. Kitab ini adalah yang terawal menyatakan kaedah mengeluarkan hukum daripada gabungan nas al-Quran dan sunnah. Selain itu, Imam Al-Syafie juga meninggalkan kitab fiqhnya yang termasyhur berjudul Al-Umm. Aliran mazhabnya diteruskan anak muridnya seperti Abu Yaaqub Al-Buwayti (231H/846M), Rabi’ bin Sulaiman Al-Maradi (270H/884M) dan Abu Ibrahim bin Yahya Al-Muzani 274H/888M).

Info

KARYA IMAM AL-SYAFIE

1. Ikhtilaf Al-Hadits.

2. Al-Hujjah.

3. Al-Mabsuth.

4. Al-Umm.

5. Al-Risalah.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*