Timbul isu bila mana seorang pengguna twitter menjelaskan, sehelai seluar terkena najis walau setitik pun dan bila dibasuh dalam mesin basuh, pakaian itu tetap dianggap najis dan tidak boleh digunakan untuk kegunaan solat.

Hal ini telah menarik perhatian ramai termasuk Ketua Penolong Mufti (Bahagian Penyelidkan, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Dr. Syed Shahridzan Ben-Agil yang telah mengupas isu ini dua tahun lalu dan kembali mengeluarkannya selepas ia menjadi viral di media sosial.

Isu Pakaian Bercampur Najis  Dalam Mesin Basuh, Ketua Penolong Mufti Ingatkan Jangan Mudah Keluarkan HukumJelasnya, jangan terlalu mudah keluarkan hukum.

“Hukum fiqh perlu dijelaskan melalui kaedah yang telah ditetapkan oleh fuqaha. Bukannya dengan rasa sendiri. Tidak semestinya air bercampur najis bertukar menjadi mutanajjis (air bernajis).

“Adakala air mutlak bila bercampur dengan najis (yang terpisah dari pakaian) hanya bertukar menjadi mustakmal, iaitu masih lagi kategori suci. Oleh yang demikian, tidak semestinya pakaian-pakaian yang bercampur dalam mesin basuh turut menjadi najis,” jelasnya.

Untuk lebih faham, baca perkongsian pernah dibuat beliau sebelum ini.

Assalamualaikum ustaz. Saya ingin bertanya hukum basuh baju gunakan mesin basuh? Contoh pakaian anak saya yang terkena air kencing. Boleh tak saya basuh terus kat dalam mesin tanpa rendam dulu sebelum masuk kat dalam mesin?

IKLAN

Jawapan ;-
1) Antara syarat untuk membasuh pakaian yang bernajis dengan air yang kurang dari dua kolah, iaitu air mutlak mestilah bersifat mendatangi pada najis, iaitu air itu mestilah dicurahkan pada tempat bernajis tidak kira dari arah mana sekali pun. Jika air itu tidak bersifat mendatangi pada najis maka hukum menghilang najis itu tidak dikira sah menurut syarak, maka pakaian itu kekal bernajis. Fakta ini ada disebut di dalam kitab-kitab fiqh, antara kitab Taqrirat Sadidah:

أن يكون الماء واردا عير مورد، أي يرد الماء على النجاسة لا العكس.

Maksudnya: “Air itu hendaklah mendatangi bukan ia didatangi, iaitu air mendatangi ke atas najis bukan sebaliknya”.

2) Sebagai contoh jika ingin membasuh sesuatu pakaian yang bernajis hendaklah tempat bernajis itu mestilah ditadah di bawah air paip yang mengalir bukan pakaian itu direndam ke dalam bekas yang menakungkan air kurang dua kolah. Ini kerana air di bawah kapasiti dua kolah tidak mempunyai kekuatan untuk menolak najis, maka yang mendatangi air itu mestilah mengalir keluar bersama najis yang dihilangkan.

IKLAN

3) Jika pakaian bernajis direndam di dalam air yang kurang dari dua kolah maka penyucian pakaian itu tidak sah kerana air rendaman itu sudah menjadi mutanajjis maka ia sama sekali tidak menyucikan pakaian itu dari najis, melainkan pakaian itu dibilas sekali lagi dengan air mutlak, maka pakaian itu dikira suci.

4) Berkenaan mencuci pakaian yang bernajis dengan menggunakan mesin basuh automatik pada hakikatnya ia tidak menimbulkan masalah dalam proses menyucikan pakaian yang bernajis. Perkara ini disebut oleh al-‘Allamah al-Habib Hasan bin Ahmad al-Kaf di dalam karangan beliau “Taqrirat Sadidah”:

ومن ذلك مسألة إلقاء الملابس في الغسالات الحديثة فإن كانت الغسالة من النوع الألي (الأتوماتيكي) فلا ضرر بالإتفاق لأنها تقوم بإزالة النجاسة ثم بإمرار ماء طهور على الملابس وأما إن كانت من النوع العادي فبعد الغسيل وإزالة الأوصاف تكون النجاسة حكمية فلا بد بعد ذلك من إمرار ماء طهور على الملابس وذلك ما يسمى بمرحلة التصفية أو التطهير ولا بد أن يكون الماء واردا في هذه المرحلة بأن توضع الملابس أولا ثم يصب فوقها الماء.

Maksudnya: “Dari masalah itu, mencampakkan pakaian ke dalam mesin basuh moden, jika mesin basuh itu dalam kategori berteknologi tinggi (automatik) maka tiada mudarat menurut persepakatan ulama.

IKLAN

Ini kerana ia menghilangkan najis (pada pakaian) kemudian dibilas dengan air yang suci lagi menyucikan pada pakaian itu. Manakala jika mesin itu dari jenis biasa (bukan automatik), maka selepas basuh dan menghilangkan sifat-sifat (najis), maka najis (pada pakaian) diketogarikan najis hukmi (yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar). Oleh itu mesti dibilas dengan air yang suci lagi menyucikan selepas itu pada pakaian, ini dinamakan sebagai peringkat penyucian di mana air mestilah bersifat mendatangi pada peringkat ini dengan meletakkan pakaian terlebih dahulu kemudian dicurah air ke atasnya”.

5) Tidak dinafikan bahawa air dicurahkan di atas pakaian, namun selepas itu air yang berada di dalam mesin akan bertakung. Meskipun air itu bertakung di dalam mesin, ia tidak semestinya mutanajjis (bernajis).
Iini disebabkan jika air tersebut bila berpisah dari pakaian dan masih tidak berubah sifatnya (tidak berubah dengan kesan najis) dan tidak bertambah beratnya (disebabkan najis) maka air itu dikira sebagai masih suci dan hukumnya sama seperti air mustamal (suci tetapi tidak menyucikan). Dengan ini air yang masih bertakung bersama-bersama pakaian itu tidak dikira menajiskan pakaian yang direndam selagimana air itu tidak berubah sifat kerana najis. Fakta ini banyak disebut di dalam kitab-kitab fiqh Shafi’ie antaranya ‘I’anah al-Tolibin’:
وحاصله أنه إذا ورد الماء على المحل النجس ولم ينفصل عنه فهو طاهر مطهر. فإن انفصل عنه، ولم يتغير ولم يزد وزنه بعد اعتبار ما يأخذه المحل، وطهر المحل، فهو طاهر غير مطهر.
Maksudnya: “Kesimpulannya jika air mendatangi pada tempat bernajis dan ia belum terpisah darinya maka hukum air itu suci dan menyucikan. Jika air terpisah darinya dan tidak berubah sifatnya(bau, warna atau rasa) dan ia tidak bertambah beratnya selepas menghilangkan najis dari tempatnya dan tempat itu menjadi suci, maka air itu kekal suci tetapi tidak menyucikan”.

6) Namun jika pakaian itu bernajis dengan najis jelas kelihatan dengan mata kasar atau jelas bau najisnya dan apabila air curahan itu berubah sifat selepas berpisah dari pakaian, maka pakaian itu mestilah dibilas paling kurang sekali sama ada melalui mesin basuh atau luar mesin sehinggalah tempat bernajis itu hilang najisnya dan air curahan yang berpisah darinya tidak berubah sifat dan tidak bertambah beratnya disebabkan najis. Ini kerana air yang berpisah masih lagi berubah sifatnya masih diketogarikan sebagai mutanajjis iaitu tidak sah untuk menyucikan pakaian.

7) Jika objek (‘ain) najis wujud pada pakaian seperti ketulan najis atau tompokan najis yang tebal maka hendaklah dibuang dahulu dari pakaian sebelum dimasukkan ke dalam mesin basuh untuk mengelakkan kesan perubahan sifat yang ketara pada air curahan itu.

8)) Meskipun pakaian bernajis itu dibasuh dengan air sabun di dalam mesin basuh iaitu bukan kategori air mutlak yang mana ia masih tidak sah sebagai bahan menyucikan pakaian bernajis. Namun dengan teknologi canggih pada zaman kini yang mana pakaian yang dibasuh dengan sabun akan dibilas beberapa kali dengan air mutlak dalam mesin basuh, maka proses ini tidak syak lagi dapat menyucikan pakaian yang bernajis. Menurut mazhab Hanafi, air mutlak yang berubah sifatnya dengan bahan lain seperti sabun maka ia tetap suci dan menyucikan. Sesungguhnya khilaf antara ulama merupakan rahmat untuk umat.

9) Jelas fakta-fakta yang disebut bahawa mencuci pakaian yang bernajis melalui mesin basuh yang berteknologi moden dan canggih tetap menyucikan pakaian tersebut tanpa ragu-ragu. Proses ini perlu memenuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh kaedah fiqh seperti mana yang dinyatakan di atas.
Wallahu A’lam
Dr. Syed Shahridzan Ben-Agil

Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?

KLIK DI SEENI